Selamat Menyambut Hari Belia Peringkat Negeri Sembilan

May 18, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

Assalamualaikum, Salam Sejahera dan Salam 1Malaysia.

Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Belia Peringkat Negeri Sembilan yang akan diadakan pada 19 Mei, 2012 ini. Kepada semua belia di Negeri Sembilan, terima kasih kerana memberi sokongan dan terus bersama-sama mengambil bahagian membangunkan negeri kita yang bertuah ini. Semoga saudara dan saudari akan terus menjadi belia yang berjaya.

Terima Kasih dan Salam Hormat.

Sumber : Facebook YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan

Perundingan hak milik tanah perlu teliti dan adil

May 16, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

SEREMBAN, 16 Mei – Di sidang media ringkas bersempena Mesyuarat EXCO Mingguan petang tadi, di Wisma Negeri, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menjelaskan, mesyuarat membincangkan mengenai isu hak milik tanah yang mahu di luluskan oleh Kerajaan Negeri.

Mesyuarat telah mengambil ketetapan seperti berikut,

Kelulusan permohonan masalah tanah yang dihadapi Kampung Melor dan Kampung Keretapi, Jempol.

Menurut Menteri Besar, setelah di siasat dan diteliti, Kerajaan Negeri mendapati penduduk asal kawasan ini sudah mendiami tanah tersebut di tahun 1960-an dan kini usia masing-masing sudah menjangkaui umur 80 – 90 tahun.

Ketika ini proses tersebut masih belum dapat diproses kerana Pejabat Tanah Daerah Jempol perlu mengemukan data permohonan penduduk asal yang selama ini mendiami kawasan tersebut.

Permohonan dari penduduk asal tertangguh begitu lama, dan Kerajaan Negeri perlu memastikan sama ada pemohon asal itu masih hidup atau sebaliknya kerana urusan pewarisan di perlukan untuk menamakan tanah yang mereka diami sejak sekian lama.

Sekiranya pemohon asal sudah meninggal dunia, maka pewaris  perlu mengemukakan surat sumpah melalui bicara tanah bagi menamakan tanah yang didiami.

Menurutnya lagi, berdasarkan kepada Piagam Pejabat Tanah, tempoh bagi menyelesaikan hal ini mengambil masa 3 bulan, tetapi kerajaan negeri tidak mahu perkara ini diselesaikan terburu-buru malah ianya tidak boleh di buat atas dasar membezakan latar belakang orang.

Majoriti yang terlibat mendiami tanah ini terdiri dari bangsa India dan kerajaan negeri mahu menyelesaikan isu ini dengan terbaik yang mungkin.

Hak milik tanah yang dipersetujui kerajaan Negeri ialah, di Kampung Melor, 1 ekar sebuah keluarga, manakala di Kampung Keretapi pula berdasarkan keluasan rumah yang sedia ada.

Kelulusan permohonan masalah tanah yang dihadapi Kampung Pasir, Rasah

Kerajaan Negeri akan menyelesaikan masalah hak milik tanah kepada penduduk Kampung Pasir, Rasah walaupun terdapat dua ke tiga orang masih berdegil dan tidak mahu berpindah ke tanah lain.

Tanah yang di diami ketika ini berstatus tanah pembangunan dan rezab jalan.

Perkara ini telah maklumkan kepada jawatan kuasa kampung agar berunding dengan mereka yang tidak bersetuju kerana tanah yang di tawarkan adalah lebih baik dan tidak menggangu aktiviti kehidupan mereka.

Kerajaan Negeri tidak boleh mengorbankan persetujuan penduduk yang ramai yang mahu melihat pembangunan di tempat mereka.

Oleh yang demikian, sama ada mereka setuju atau tidak bersetuju, pembangunan strategik tetap akan dibangunkan juga.

Jangan lupa jasa guru, tanpanya kita tidak mampu membina Negara – MB

May 16, 2012 by  
Filed under News1, Program Harian Menteri Besar

Comments Off

SEREMBAN, 16 Mei – Bersempena Hari Guru yang jatuh pada hari ini, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada warga pendidik seluruh Negara yang banyak mencurahkan jasa dan bakti bagi melahirkan modal insan berjaya serta berguna kepada agama, bangsa dan Negara.

Beliau turut mengucapkan terima kasih terhadap jasa guru yang mendidik anak bangsa sehingga Negara berada pada kedudukan yang baik dan progresif, di Wisma Negeri, petang tadi.

Tidak di lupa, penghargaan kepada guru-guru yang pernah mengajar beliau yang akan di kenang sampai bila-bila.

Bersempena Hari Guru ini juga, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelajaran Negeri akan mengadakan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri pada 22 Mei 2012 di Majlis Perbandaran Seremban.

Pada tahun 2011, majlis makan malam sambutan hari guru perdana di adakan di daerah Rembau, dan tahun ini ianya diadakan di daerah Seremban pula.

Berbeza dari tahun lalu di mana warga pendidik dari sekolah agama tidak terlibat, tahun ini mereka dipelawa bersama-sama di dalam majlis Makan Malam Perdana secara tidak langsung ianya akan mengeratkan silaturahim di antara satu sama lain.

Sesebuah negeri bergantung kepada hasil cukai

May 14, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

PORT DICKSON, 14 Mei – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian Mesyuarat Agung Tri Tahunan Kali Ke-4 Persatuan Pekerja-Pekerja Awam Angkatan Tentera (KESATRIA) Cawangan Negeri Sembilan di Dewan Auditorium Pejabat Daerah Port Dickson, pagi tadi.

Hadir sama, Presiden CUEPACS, Datuk Haji Omar Bin Osman; Panglima Briged Pertama Infantri, Brigadier Jeneral Dato’ Sheikh Mokhsin Bin Sheikh Hassan; Presiden KESATRIA Kebangsaan, Tuan Haji Ahmad Shah Bin Mohd Zain; Pengerusi KESATRIA Negeri Sembilan, En. Ravindran A/L Maniam dan Pegawai Daerah Port Dickson, Tuan Ab. Khalid Bin Mat.

Dalam ucapan Menteri Besar, beliau menjelaskan bahawa peruntukan tambahan gaji penjawat awam adalah bergantung kepada kutipan cukai dan royalti mineral bijih timah dan bijih besi.

Oleh yang demikian, beliau selaku pentadbir negeri akan terus berusaha untuk memastikan penambahan pendapatan semakin meningkat bagi menjamin masa depan penjawat awam.

Kata beliau lagi, sesebuah negara itu bergantung kepada hasil cukai dan di Negeri Sembilan beliau telah menjalankan dasar belanjawan berimbang di mana hasil tersebut dibelanjakan dengan berhemah.

“Penjawat awam juga perlu memastikan produktiviti dan mutu kerja dipertingkatkan agar apa yang diusahakan oleh kerajaan dirasakan berbaloi,” ujar beliau.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyumbangkan sebanyak RM30,000 kepada KESATRIA.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak cemerlang dan kepada ahli-ahli KESATRIA yang memerlukan rawatan hospital.

Oleh : Ainaa@n9kini.com

15,000 ‘Gelombang Merah’ Negeri membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil

May 12, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

KUALA LUMPUR, 11 Mei -  Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mengemudi dan mengetuai persiapan rapi menyediakan kemudahan pengangkutan untuk ahli-ahli UMNO di Negeri Sembilan hadir di ulangtahun UMNO ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Seramai 15,000 ahli UMNO Negeri Sembilan mula membanjiri stadium pada pukul 4.00 petang bagi sama-sama meraikan ulangtahun UMNO ke-66.

Rombongan dari bahagian-bahagian ini mula bergerak seawal jam 2:30 petang dari bahagian masing-masing bukan sahaja terdiri daripada veteran, wanita, pemuda dan puteri malah ianya turut menarik minat generasi muda dan belia terhadap UMNO yang merupakan satu-satunya parti yang menjadi tunjang dan tulang belakang pembangunan Negara.

Biarpun UMNO sudah menjangkau usia ke-66 hari ini, namun hasil dari kesinambungan kepimpinan yang silih berganti dan membawa hala tuju parti berdasarkan satu prinsip, UMNO terus kukuh berdiri dan sentiasa melaksanakan dasar-dasar baik untuk rakyatnya.

Sempena ulangtahun UMNO ke-66, sambutan kali ini sangat luar biasa apabila hampir 100 ribu ahli UMNO membanjiri stadium untuk mendengar sendiri amanat dari Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang menyatakan perhimpunan hari ini sebagai ‘Perhimpunan Raksasa Maha UMNO’.

Ianya bukan sahaja di hadiri oleh hampir 100 ribu orang dari seluruh negara, tetapi turut diikuti oleh berjuta rakyat Malaysia di kaca televisyen.

Program Sambutan Ulangtahun UMNO ke-66 dimulai 01 Mei 2012 dengan larian bendera UMNO serentak di seluruh Malaysia melalui empat penjuru, utara, timur, selatan dan barat Sabah sebelum sampai ke Stadium Nasional Bukit Jalil, petang tadi dengan diiringi 500 buah konvoi bermotor dan peserta larian bendera UMNO yang diketuai oleh Naib Presiden UMNO, Dato’ Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dato’ Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ sebelum Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyempurnakan upacara menaikkan bendera yang merupakan simbolik perjuangan Melayu.

Di majlis kemuncak,  Presiden UMNO, Timbalan Presiden, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, termasuk Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, turut sama-sama memotong pulut kuning ulangtahun UMNO ke-66.

Bagi memperingati perjuangan dan jasa tokoh Melayu yang berjuang di dalam UMNO, penyampaian Tokoh Melayu Terbilang telah di nobatkan kepada Tan Sri Arshad Ayub dan Khalidah Adibah Amin.

Arshad, 84, yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), terharu dan bersyukur menerima anugerah itu.

Beliau berharap orang Melayu tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit kerana UMNO sudah banyak berkorban masa dan tenaga untuk kepentingan rakyat dan negara.

Arshad masih aktif sebagai seorang pentadbir, khususnya dalam dunia korporat dan pendidikan, dan antara pelopor dalam pembangunan UiTM serta menjadi pengarah pertamanya pada 1967 hingga 1975.

Khalidah Adibah, 76, pula diiktiraf Tokoh Melayu Terbilang UMNO kerana sumbangan beliau terhadap ketamadunan ilmu persuratan, kesusasteraan dan bahasa.

Anak kepada pejuang kemerdekaan Tan Sri Zainon Sulaiman atau Ibu Zain itu amat prihatin dalam mengangkat latar hidup masyarakat ke dunia penulisan.

Turut hadir, bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamed  berserta isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Ahli UMNO dari Negeri Sembilan yang ditemui wartawan N9kini menyatakan, sambutan daripada Negeri Sembilan amat baik dan menggalakan. Ketika sambutan masih berlangsung, terdapat rombongan bas yang baru sampai untuk mendengar amanat Presiden. Mereka tidak masuk ke dalam stadium, tetapi mendengarnya di layar besar yang di sediakan di luar stadium.

Oleh : Dudi Aziz / Photo : Ismail Othman

MB umum harga runtuh ‘townhouse’ Kampung Abok, Rahang

May 9, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

SEREMBAN, 09 Mei – Seramai 100 orang penduduk asal Kampung Abok, Rahang yang terlibat dengan projek pembinaan jalan raya lingkaran tengah Seremban-Rahang menerima tawaran harga runtuh pemilikan townhouse setelah melalui proses perundingan dua hala antara Kerajaan Negeri dan penduduk asal, petang tadi.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menawarkan harga untuk seunit rumah bernilai RM72,000 tetapi masih terdapat kekangan kemampuan di kalangan mereka.

Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar hadir di Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Peserta Rumah Mampu Milik (RMM) Berkualiti, Kampung Abok, Rahang, di Allson Klana Resort, Seremban bagi mengumumkan harga yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Kerajaan menawarkan harga iaitu RM50,000 seunit atau RM191 sebulan di tingkat atas manakala di tingkat bawah pula harga yang di tawarkan ialah RM198 sebulan atau RM52,000 seunit.

Tawaran ini mempunyai dua kaedah pemilikan iaitu membeli secara terus atau melalui sewa-beli. Bagi mereka yang membeli secara terus tidak dibenarkan menjual dalam tempoh sepuluh tahun, manakala secara sewa-beli pula tidak dibenarkan menyewa rumah mereka dalam tempoh 25 tahun dan sekiranya ini berlaku, tindakan tegas akan diambil.

Menurut Menteri Besar, tawaran ini sangat istimewa kerana kerajaan mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat dan mahu melihat keluarga yang berbilang bangsa ini berkumpul sebagai sebuah keluarga yang besar dan bahagia di dalam satu kawasan yang cantik dan permai.

Townhouse yang berkeluasan 1000 ekar ini mempunyai kemudahan 3 bilik tidur, 2 bilik air, ruang tamu, dapur yang selesa di samping kemudahan tempat letak kereta dan ianya akan memberikan kepuasan maksimum kepada mereka di samping harga runtuh yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri memberi kejutan kepada mereka.

Menteri Besar turut menjelaskan, sebanyak 150 unit townhouse di bina dengan kos keseluruhan  berjumlah RM19 juta dan Kerajaan Persekutuan memberi geran pembinaan sebanyak RM10 juta, sementara Kerajaan Negeri menanggung sebanyak RM6 juta kepada SPNB.

Tambah beliau, “sebanyak 50 unit lagi akan di jual mengikut harga pasaran di mana ianya akan menampung kos pembinaan sebenar dan dari segi kos memang tidak menguntungkan, tetapi dari segi kehidupan dan kesejahteraan rakyat, ia memberi satu kesan jangka panjang yang baik kepada penduduk asal di sini.”

Bagi Woi Kwe Lan yang ditemui wartawan N9kini, beliau teruja dan gembira dengan harga runtuh yang diumumkan Menteri Besar dan tidak sabar untuk menandatangani surat tawaran tersebut seterusnya menduduki kediaman yang cantik. Menurutnya, harga yang perlu di bayar tidak sampai RM200 dan ini tidak membebankan.

Oleh : Dudi Aziz

Durian runtuh Felda seluruh negara

May 8, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

NILAI, 08 Mei – Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini telah mengumumkan durian runtuh untuk peneroka berjumlah 1.689 bilion ringgit untuk diagihkan kepada 112, 635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan menyifatkan pemberian durian runtuh kepada peneroka Felda seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri  sesuatu yang di luar jangkaan.

Jelas beliau, warga Felda seharusnya berterima kasih dan mengenang jasa Perdana Menteri yang jelas beliau begitu mengiktiraf peranan dan sumbangan peneroka dalam pembangunan negara.

“Ramai yang penerimanya dari Negeri Sembilan dan Alhamdulillah, saya bagi pihak rakyat Negeri Sembilan terutamanya dan khususnya warga Felda Negeri Sembilan mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita, inilah merupakan sesuatu yang dijanjikan oleh beliau, dan hari ini beliau telah pun dapat menterjemahkan janji tersebut,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) di Bursa Malaysia, juga pasti akan memberi banyak manfaat dan faedah kepada para peneroka.

Menteri Besar berkata demikian sewaktu ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pra-Universiti dan Karnival Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mohd Said, Nilai, petang tadi.

Dalam majlis tersebut beliau turut menandatangani plak perasmian Pusat Pra-Universiti dan Pelancaran Buku Alatan Tangan BTV.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan untuk tabung PIBG dan menyampaikan hadiah kecemerlangan akademik SPM dan STPM.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Dato’ Abdul Halim Bin Abdul Razak dan Pengetua Cemerlang SMK Dato’ Mohd Said, Puan Hajah Aziza Bt Abdul Aziz.

Oleh : Ainaa@n9kini.com

Eco Edutourism,destinasi pelancongan ‘Hutan Dalam Bandar’ di PD

May 7, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

PORT DICKSON, 07 Mei – “Pusat Pelancongan Pendidikan (Eco Edutourism) Pengurusan Hutan Tropika, Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson berkeluasan 1,280 hektar bakal menjadi destinasi pelancongan ‘Hutan Dalam Bandar’ di Negeri Sembilan tidak lama lagi.” Ujar Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan ketika melakukan lawatan kerjanya di sini, pagi tadi.

Pembangunan pusat pelancongan ini berada di bawah Projek Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan Malaysia, Rancangan Malaysia ke-9 (2006 -2010) bagi menambah produk pelancongan Negara. Secara tidak langsung ianya berada di dalam jagaan Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Jabatan Perhutanan Negeri dan Jabatan Pelancongan Negeri.

Pusat ini kelak bukan sahaja dikenali sebagai hutan lipur, tetapi ianya sebagai pusat penyelidikan flora dan fauna bagi mereka yang mencintai alam semula jadi. Selain itu, ianya juga boleh dijadikan tempat latihan berkumpulan bagi syarikat-syarikat yang berminat melatih kakitangan mereka di sini.

Di dalam media ringkas, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar berpuas hati dengan insfrastuktur dan kemudahan yang terdapat di pusat ini selain memiliki ciri-ciri yang unik.

Insfrastruktur dan kemudahan yang di maksudkan ialah, pejabat pentadbiran, bilik taklimat, perpustakaan, bilik VIP, asrama lelaki dan perempuan, pusat interpretasi maklumat, ruangan VIP, tempat letak kereta, bekalan elektrik dan air serta talian telekomunikasi.

Cadangan daripada Jabatan Hutan Negeri untuk mempelbagaikan kemudahan pelancongan seperti mendirikan Skyway setinggi 30meter dari aras bumi turut dipertimbangkan Kerajaan Negeri, di mana pelancong boleh melihat pemandangan hutan dan bandar dari puncak pokok.

Menurut beliau, hutan lipur di Negeri Sembilan kebanyakannya terletak di tanah lembah, tetapi pusat Eco Edu ini berada di hutan tanah pamah yang menjadikan ianya satu lokasi yang unik untuk diterokai.

“Hotel di sekitar Port Dickson turut digalakkan menambah pakej lawatan ke lokasi ini bagi tujuan memperkenalkan produk baru pelancongan di samping mempergiatkan aktiviti ekonomi di sini.” Tambah beliau.

Selain daripada kedudukan yang strategik, di mana ianya terletak 29km dari pusat Bandar Seremban, 12km dari Bandar Port Dickson, 70km dari Kuala Lumpur dan 40km dari KLIA.

Beliau sempat melawat lokasi pokok jelutong setinggi 50meter, pokok tertua berusia 200 tahun di hutan ini yang turut menjadi tarikan pelancong. Diameter pokok ini akan membesar setiap tahun di mana pada tahun 2011 diameternya berukuran 188cm dan telah bertambah menjadi 190cm di awal tahun 2012.

Turut hadir, Dato’ Mohd Razi Mohamad Kail, Pengerusi Jawankuasa Bertindak Warisan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

Oleh : Dudi Aziz / Foto : Ismail Othman

Matlamat pemimpin UMNO, mewaris sebuah parti yang kuat untuk anak bangsa

May 6, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

TANJUNG AGAS, 06 Mei – YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menerima bendera UMNO dari YAB Dato’ Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka di Dataran Tanjung Agas, sempadan Melaka-Negeri Sembilan, petang tadi.

Majlis penyerahan bendera UMNO itu bersempena dengan Larian Bendera UMNO Peringkat Kebangsaan Sempena Ulangtahun UMNO ke-66 yang akan di sambut pada 11 Mei 2012, di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, di dalam ucapannya menyeru ahli-ahli UMNO, agar sentiasa mengeratkan silaturrahim dan sentiasa bersatu padu di dalam memperjuangkan agenda bangsa Melayu, kerana tanpa kekuatan di kalangan ahlinya, boleh jadi bangsa lain akan mengambil kesempatan di atas kelemahan tersebut.

Larian bendera UMNO Sempena Ulangtahun UMNO ke-66 misalnya, secara simbolik telah menaikkan semangat juang yang kental dikalangan ahlinya dalam masa yang sama ia turut memperkasakan parti ke peringkat yang lebih stabil.

“Dengan kekuatan dan kestabilan yang diperjuangkan oleh pemimpin sejak dulu sehingga kini, matlamat pemimpin UMNO dan harapan ahli UMNO ialah mewariskan sebuah parti yang kuat untuk kesinambungan generasi di masa akan datang.” Tambah beliau.

Larian Bendera UMNO Sempena Ulangtahun UMNO ke-66 Peringkat Negeri Sembilan telah bermula pagi tadi di bahagian-bahagian dengan iringan konvoi bermotosikal sebanyak lima ratus buah motosikal.

Terdahulu, larian bendera UMNO ini telah melalui Negeri Johor dan melalui sempadan Negeri Melaka dan hari ini, kontinjen membawa bendera UMNO melalui sempadan Negeri Sembilan pula sebelum kontinjen meneruskan ke Negeri Selangor.

Di Negeri Sembilan, 7 Mei, trek laluan bagi kontinjen membawa bendera UMNO ini akan bermula seawal pukul 7.00 pagi di Tanjung Agas menuju ke Pusat Khidmat Barisan Nasional Bagan Pinang. Dari Bagan Pinang kontinjen akan meneruskan larian menuju ke Kg Saga dan melalui Pekan Rantau  seterusnya menuju ke bulatan Mambau sebelum ke Dataran Senawang pada sebelah malamnya.

Sementara, pada 8 Mei pula, larian bendera UMNO akan bersambung  seawal pukul 7.00 pagi dari Dataran Senawang menuju ke Pusat Khidmat Barisan Nasional DUN Ampangan sebelum meneruskan larian ke Masjid Pantai melalui Jalan Jelebu sehingga ke trek terakhir  Padang Sekolah Kg Machang, sempadan Negeri Sembilan – Selangor pada sebelah petang.

Di mana, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di jadualkan akan menyerahkan bendera UMNO kepada UMNO Perhubungan Negeri Selangor pula.

Turut menyertai larian ini ialah Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Naib Presiden UMNO Malaysia merangkap Menteri Dalam Negeri dan Dato Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka.

Turut hadir, Dato’ Seri Utama Tan Sri Hj Mohd Isa Dato’ Hj Mohd Samad, Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tn Hj Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Dato’ Idris Haron, Pengerusi Jawatankuasa larian bendera UMNO Peringkat Negeri Melaka.

Krew : Dudi / Ismail / Putra

Ucapan terima kasih buat Rakan Facebook

May 4, 2012 by  
Filed under News1

Comments Off

Assalamualaikum dan salam sejahtera, Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan2 FB yg telah menghantar ucapan tahniah sempena hari ulang tahun saya pada 2 Mei tempoh hari. Tanda ingatan saudara saudari tersebut amat saya hargai. Salam hurmat dan salam 1Malaysia.

Sumber : Facebook YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan

Next Page »