4 warga asing ditahan tentera Sudan
April 29, 2012 by Dudi
Filed under Jejak Usaha MB
Comments Off
KHARTOUM, 29 April : Empat warga asing yang sedang menyiasat sisa pertempuran antara Sudan dan Sudan Selatan ditangkap di kawasan telaga minyak di Heglig, kata jurucakap tentera Khartoum hari ini.
Menurut rakan sekerja kumpulan terbabit, ketika itu mereka berada di wilayah sempadan Sudan Selatan.
Jurucakap tentera, Sawarmi Khaled, berkata mereka yang ditahan adalah warga Britain, Norway, Afrika Selatan dan Sudan Selatan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas empat rakyat asing itu diterbangkan ke Khartoum bagi tujuan siasatan.
“Kami menahan mereka di sempadan Sudan, di kawasan Heglig, dan mereka mengumpul sisa perang yang dipercayai untuk tujuan siasatan,” katanya. – AFP
Peguam hadapi dua tuduhan pecah amanah RM5.07 juta
March 27, 2012 by Mail
Filed under Articles, Jejak Usaha MB
Comments Off
SHAH ALAM:27Mac- Seorang peguam yang pernah didakwa atas tuduhan pecah amanah membabitkan cek RM638,764 Februari lalu, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua lagi pertuduhan pecah amanah membabitkan RM5,071,344.80.
Zainudin Maksom, 40, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.
Peguam itu yang diamanahkan wang RM2,223.075.40 dan RM2,848,269.40 yang mana beliau bertindak sebagai pemegang amanah kepada Syarikat Heveaplast Marketing Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas wang itu.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di dua pejabat firma guamannya terletak di Kajang iaitu di No: 40A, Tingkat 1, Jalan Raja Haroun dan di No: 5, Tingkat 1, Jalan Saga, Taman Sri Saga, Sungai Chua antara 3 November 2008 dan 10 Ogos 2009.
Zainudin didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Aslam membenarkan peguam itu dibebaskan dengan ikat jamin RM250,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan kes.
Mahkamah memerintahkan Zainudin menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan membenarkan permohonan peguam itu untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen 7 di sini untuk dibicarakan bersama satu lagi kes pecah amanah yang dihadapinya.
Timbalan Pendakwa Raya M Puveneswaran mengendalikan pendakwaan sementara Zainudin diwakili peguam Jaspal Singh Mann dan T Santhakumari.
Pada 27 Februari lalu, Zainudin mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM638,764 dan dia dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin. – BERNAMA
Dengki punca anak dilarikan
March 21, 2012 by Ainaa
Filed under Jejak Usaha MB
Comments Off
KUANTAN: 21 Mac – Ibu kepada pelajar Tingkatan Tiga, Siti Nurfatihah Mahadi mengesyaki perasaan dengki dan cemburu menjadi punca anaknya dilarikan dua lelaki dan seorang wanita ketika membeli kad tambah nilai prabayar di premis berhampiran rumah di Taman Tas, Ahad lalu.
Ibu mangsa, Normala Mohd Lazin, 33, berkata beliau dihubungi lelaki berusia 20-an yang juga kenalan anaknya jam 2 pagi semalam, memaklumkan anaknya selamat.
“Saya kenal lelaki terbabit kerana dia pernah datang ke rumah. Dia memaklumkan ada seorang perempuan memberitahunya anak saya selamat dan berada di rumah ibu angkat dipercayai salah seorang individu yang mengambilnya.
“Namun lelaki terbabit enggan memberitahu di mana Siti Nurfatihah berada sekadar memaklumkan anak saya mahu pulang ke rumah hari ini (semalam), tapi sehingga kini anak saya tetap belum pulang,” katanya ketika ditemui, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang Ahad lalu, Siti Nurfatihah, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan, di sini keluar ke sebuah premis yang terletak 100 meter dari rumahnya untuk membeli kad tambah nilai dengan ditemani dua adiknya iaitu Muhammad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aishah, masing-masing berusia 11 tahun sebelum dipercayai diculik suspek menaiki sebuah kereta jenis Honda berwarna ungu.
Selain itu, Normala berkata, dalam perbualan telefon hampir dua jam, beliau turut meminta lelaki terbabit untuk memujuk pihak yang mengambil Siti Nurfatihah memulangkan anaknya semula.
“Mungkin kerana dengki menjadi punca anak saya dilarikan, malah lelaki terbabit berkata perempuan yang mengetahui di mana anak saya berada marah apabila kes ini tersebar selain menjadi kes polis.
“Saya mengesyaki ada pakatan antara lelaki ini dan perempuan terbabit yang seakan-akan menyembunyikan sesuatu sehingga enggan memaklumkan di mana Siti Nurfatihah berada,” katanya.
“Kami sekeluarga sangat tertekan dan runsing memikirkan bagaimana keadaan Siti Nurfatihah,” katanya.
Suri rumah terbabit menolak andaian sesetengah pihak yang mendakwa anaknya sengaja melarikan diri mengikut teman lelaki dan bukan diculik.
“Saya sangat rapat dengannya dan tahu sikapnya malah setahu saya, Siti Nurfatihah tiada teman lelaki cuma dia ramah dan mempunyai ramai kenalan,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi berkata siasatan berhubung kejadian berkenaan masih diteruskan, termasuk mengambil keterangan lanjut dua adik mangsa yang juga individu terakhir dilihat berada bersama mangsa sebelum kejadian.
Maut dirempuh ketika cat jalan
March 21, 2012 by Ainaa
Filed under Jejak Usaha MB
Comments Off
SENAWANG: 21 Mac – “Saya terdengar bunyi dentuman kuat dan terkejut melihat mangsa sudah tidak bernyawa,” kata Mohd Amin Ali, 51, saksi kejadian kemalangan membabitkan seorang lelaki yang terbunuh akibat dirempuh sebuah lori ketika mengecat garisan putih jalan di Kilometer 248, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, mangsa, Muhammad Azlizan Adam, 23, maut dalam keadaan menyayat hati apabila tangan dan kaki kirinya putus dirempuh sebuah lori lima tan.
Menurut Mohd Amin, ketika kejadian dia sedang menurunkan barang daripada lorinya untuk kerja mengecat jalan sementara seorang lagi pekerja memegang bendera keselamatan.
“Kami sudah meletakkan kon keselamatan hampir dua kilometer supaya pemandu di lebuh raya menyedari terdapat kerja penyelenggaraan di hadapan.
“Bagaimanapun, saya tidak tahu mana silapnya, tiba-tiba sebuah lori masuk ke laluan kon dan merempuh mangsa yang sedang tekun mengecat garisan putih itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.
Mohd Amin berkata, dia yang sudah menganggap mangsa seperti anak kandung sendiri, tidak menyangka arwah meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati.
“Saya tidak dapat melupakan saat melihat arwah terpelanting jauh dan maut serta-merta di tempat kejadian.
“Arwah rapat dan tinggal bersama keluarga saya di Bukit Katil, Melaka, saya reda dengan pemergiannya kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.
Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki berusia 40-an hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh mangsa yang mengecat jalan.“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang memulakan kerja mengecat garisan putih dan datang sebuah lori dari arah Seremban menghala ke selatan hilang kawalan dan melanggar mangsa yang berada di tepi laluan hingga tercampak beberapa meter ke bahu jalan,” katanya.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. “Pemandu lori ditahan polis untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
BN ambil langkah bijaksana
March 18, 2012 by Ainaa
Filed under Jejak Usaha MB
Comments Off
JASIN: 18 Mac – Keberanian kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) mengambil langkah bijaksana dalam melaksanakan pelbagai bentuk dasar untuk pembangunan membawa negara ini ke tahap yang ada pada hari ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

MUHYIDDIN bersama Mohd Ali (tiga dari kanan) bersalaman dengan orang ramai pada majlis jamuan rakyat 1Malaysia di Taman Maju Jaya, Jasin, semalam.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan negara yang kini hanya lapan tahun saja lagi untuk mencapai status negara maju menjelang 2020, adalah hasil kepemimpinan kerajaan yang menyusun secara terancang dan melaksanakan pembangunan secara berkesan.
“Ia tidak mungkin terjadi begitu saja, seolah-olah yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek. Ia tidak menjadi begitu tanpa ada usaha, tanpa ada kesungguhan, tanpa ada kesediaan dan perancangan.
“Semua ini tidak akan berlaku secara semula jadi tanpa pemimpin BN yang berani untuk berpandangan jauh melaksanakan perancangan secara berkesan, berdasarkan visi dan misi yang ditetapkan,” katanya pada majlis jamuan rakyat peringkat negeri di Taman Maju, di sini, semalam.
Majlis itu dihadiri kira-kira 10,000 penduduk pelbagai peringkat usia dan lapisan kaum.
Hadir sama isterinya, Puan Sri Norainee Abd Rahman; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah.
Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan kira-kira RM4 juta bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan di daerah ini antaranya membina Sekolah Rendah Agama Taman Maju bernilai RM1.2 juta dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Jasin Lalang, RM3.5 juta.
Selain itu, membina tempat wuduk Masjid Taman Maju; menaiktaraf padang perhimpunan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak dan menaik taraf dewan bola keranjang Taman Maju, masing-masing bernilai RM150,000.
Tidak ketinggalan menaik taraf dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Syah dan membina pusat penyembelihan ayam di Bemban masing-masing berjumlah RM200,000.
Muhyiddin berkata, sesebuah kerajaan yang mempunyai kepemimpinan berilmu dan bervisi mampu untuk melihat perancangan negara bukan hanya untuk hari ini tetapi bagi tempoh 50 atau 100 tahun akan datang.
Sehubungan itu, Muhyiddin mahu rakyat negeri ini memastikan BN terus mencapai kemenangan pada pilihan raya umum akan datang kerana dengan cara itu lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan.
“Jika rakyat tersilap langkah dengan memilih pembangkang, ia seolah-olah menggambarkan rakyat menolak rezeki yang sudah terbentang di depan mata.
“Pilihan raya semakin hampir, jadi kita mahu mengajak rakyat berfikir sebaiknya dengan cara matang dan tidak meletakkan emosi mendahului akal ketika mengundi,” katanya.
Terdahulu, sejurus tiba di negeri ini jam 9 pagi semalam, Muhyiddin mengadakan pertemuan khas dengan Mohd Ali di kediaman rasminya di Seri Bendahara, sebelum disusuli dengan perbincangan tertutup bersama Badan Perhubungan UMNO Melaka yang dipercayai ada kaitan dengan persiapan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Sejarah tercipta
February 13, 2012 by Mail
Filed under Jejak Usaha MB, Sukan
Comments Off
RATU pecut negara, Fatehah Mustapa mencipta sejarah dalam sukan lumba basikal tanah air.
Dia muncul pelumba wanita pertama memenangi pingat emas dalam acara keirin pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 yang berakhir di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Sorakan padu penyokong Malaysia yang memenuhi velodrom tersebut berjaya menyuntik semangat pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu untuk melakukan henjutan bertenaga pada 50 meter terakhir sekali gus mengejutkan pelumba pilihan, Lee Wai Sze dari Hong Kong.
Fatehah, 23, memenangi emas acara tersebut dengan catatan masa 11.672 saat menewaskan pelumba China, Xu Yulei di tempat kedua dan Wai Sze di tempat ketiga.
Pelumba yang berpangkalan di Melbourne, Australia itu juga menyumbang pingat perak dalam acara pecut wanita elit dan gangsa dalam 500m ujian masa wanita elit.
“Sudah tentu saya gembira dengan kejayaan ini dan berasa sangat puas kerana berjaya menebus kehampaan dalam acara pecut dua hari lepas,” kata Fatehah semalam.
“Saya hadiahkan pingat emas ini kepada ibu dan bapa saya serta John (Beasley, jurulatih) yang banyak memberi tunjuk ajar dan memberi bimbingan kepada saya.
“Emas ini juga ditujukan kepada semua penyokong Malaysia yang hadir di velodrom ini kerana sorakan dan sokongan padu mereka telah banyak menyuntik semangat saya,” katanya.
Menurut Fatehah, strateginya untuk berada di belakang pelumba Hong Kong, Wai Sze nyata berhasil kerana pelumba yang mendahului perlumbaan tersebut semalam, Xu Yulei lebih memberi tumpuan kepada Wai Sze dan memberi kelebihan kepadanya untuk menyerang secara mengejut.
“Sebelum perlumbaan, John ada beri arahan supaya mengekori belakang Wai Sze kerana dia paling kuat dalam acara ini dan ternyata strategi itu berhasil kerana pelumba China terpaksa memberi tumpuan kepada pelumba Hong Kong itu.
“Jadi, ia satu kelebihan buat saya untuk melakukan serangan mengejut dan terus membuat henjutan sekuat hati sehingga ke garisan penamat,” kata Fatehah.
Fatehah kini hampir pasti beraksi di pentas Sukan Olimpik 2012 London kerana selepas kejayaan ini menyaksikan dia berada di tempat kedua dalam pungutan pelumba Asia di belakang pelumba China.
Selepas ini dia akan menyertai siri Trek Piala Dunia Klasik di London, 17 hingga 18 Februari ini bagi mengumpul mata ke Olimpik.
Najib tiba di Perlis untuk lawatan singkat
January 27, 2012 by Dudi
Filed under Jejak Usaha MB
Comments Off
KANGAR 27 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak tiba hari ini untuk lawatan singkat ke Perlis. Ketibaan beliau pada pukul 10.15 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu dan kepimpinan negeri serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional.
Pasar sehari Behor Lateh yang menjadi tumpuan pengunjung setiap Jumaat dan Ahad menjadi lokasi pertama dilawati Perdana Menteri. Beliau mengunjungi gerai-gerai jualan di pasar sehari yang lebih dikenali penduduk tempatan sebagai “nat” itu dan bermesra dengan peniaga dan pengunjungnya.
Najib turut mengambil kesempatan bersarapan di sebuah gerai di pasar sehari itu, dan dihidangkan dengan laksa, roti jala, pulut udang dan serabai yang merupakan makanan popular di Perlis.
Selepas melawat pasar sehari yang dikendalikan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan B-1 MADA Kayang itu, beliau dijadual bertemu peladang seluruh Perlis di Dewan Serbaguna Simpang Empat dekat sini pada majlis tinjauan mesra rakyat.
Perdana Menteri akan menunaikan solat fardu Jumaat di Masjid Bongor Kudong, Simpang Empat sebelum mengakhiri jadual lawatannya dengan bertemu masyarakat Felda seluruh Perlis di Felda Chuping dekat sini. — BERNAMA
6 kanak-kanak maut tong sampah meletup
January 7, 2012 by Dudi
Filed under Articles, Jejak Usaha MB
Comments Off
KABUL 7 Jan. – Sekurang-kurangnya enam kanak-kanak dan seorang lelaki terbunuh apabila sebutir bom disembunyikan di dalam tong sampah meletup di wilayah selatan Uruzgan, Afghanistan, semalam.
Jurucakap polis, Fardi Ayel berkata, letupan itu berlaku di bandar Tirin Kot kira-kira pada pukul 3 petang (6.30 petang waktu Malaysia).
Tambahnya, empat kanak-kanak lain yang sedang bermain berhampiran tempat kejadian itu turut tercedera. – AFP
‘Idealisme Belia Ke Arah Inovasi’
December 14, 2011 by Ainaa
Filed under Featured, Jejak Usaha MB, Program Harian Menteri Besar
Comments Off
SEREMBAN, 14 Dis. – ‘Idealisme Belia Ke Arah Inovasi’merupakan tema bagi konvensyen transformasi belia Negeri Sembilan yang diadakan di Klana Resort, Seremban petang tadi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, hadir bagi penutupan konvensyen tersebut.
Majlis ini dianjurkan oleh Majlis Belia Negeri Sembilan serta kerjasama dari Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus.
Seramai 225 peserta yang menyertai konvensyen ini terdiri dari sektor swasta, syarikat-syarikat, perkhidmatan awam, yang bekerja sendiri dan sektor awam. Konvensyen ini telah diadakan selama 3 hari iaitu pada 12 Disember 2011 sehingga 14 Disember 2011 di sini.
Di majlis penutupan ini pihak belia menyuarakan untuk memohon sedikit sumbangan daripada Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan bagi mempermudahkan pihak belia untuk bergerak dan mengembangkan lagi aktiviti golongan belia.
Menteri Besar Negeri Sembilan memberitahu bahawa belia perlu uruskan diri sendiri dan percaya pada diri sendiri untuk membentuk jati diri yang jauh lebih baik serta golongan belia haruslah kreatif agar kreativiti terhasil.
“Jika golongan belia mempunyai tekad serta keyakinan yang tinggi golongan belia boleh membuat sesuatu yang mampu dicapai oleh mereka,” ujarnya lagi.
Kini lebih 50% golongan belia yang ada dan akan menjadi golongan yang lebih besar pada masa akan datang.
Selain itu, Menteri Besar Negeri Sembilan juga melancarkan program baru belia iaitu N9 Youth TV yang akan bermula Januari tahun hadapan. Di dalam N9 Youth TV ini terdapat beberapa elemen yang menarik seperti dokumentari, berita serta informasi untuk tontonan umum.
Turut hadir Dato Abdul Samad bin Ibrahim Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Wan Mohd Fazami Azwandy bin Mohd Razali Presiden Majlis Belia Sukan Negeri Sembilan dan Encik Shamlan bin Zabaai Pengarah Biro Tatanegara.
Oleh : Rarra
Foto : Ainaa
Kerajaan Negeri pantas menyelesaikan kemelut pengangkutan Awam
November 22, 2011 by Dudi
Filed under Jejak Usaha MB, Program Harian Menteri Besar
SEREMBAN, 22 Nov. – Hari ini Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Yang Ke-12 di Wisma Negeri diteruskan lagi.
Semalam, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, menteri besar Negeri Sembilan telah membentangkan belanjawan yang bertemakan ‘Kesejahteraan Rakyat dan Pembangunan Negeri’, di mana Rang Undang-undang Perbekalan 2012 telah menjuruskan kepada semua aspek kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.
Penekanan menteri besar terhadap kesejahteraan rakyat telah merangkumi pembangunan insfrastruktur seimbang di Bandar dan luar Bandar, melengkapkan kemudahan asas bekalan air, elektrik, jaringan telekomunikasi dan ameniti sosial.
Pemantapan Dasar Jaringan Keselamatan Sosial (DJKS), meningkatkan keperihatinan terhadap keperluan dan permasalahan rakyat, meningkatkan produktiviti sektor perkhidmatan dan pertanian dan memantapkan perkhidmatan pengangkutan bas awam juga, menjadi fokus utama Kerajaan Negeri.
Hari ini, ADUN Lobak, Loke Siew Fook (DAP) yang mengetuai Pakatan Rakyat dalam ucapan balas membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012, mempersoalkan keberkesanan kepimpinan Kerajaan Negeri oleh Barisan Nasional kerana tidak peka dengan rintihan dan keluhan dari seluruh rakyat Negeri Sembilan berkaitan dengan pengurusan sistem pengangkutan bas henti-henti.
Beliau membangkitkan isu ini apabila pengurusan Cityliner memberhentikan perkhidmatan perjalanan bas henti-henti di seluruh Negara, empat hari lalu.
Walau pun ini menyulitkan orang awam seluruh Negara, namun beliau menuduh Kerajaan Negeri tidak peka terhadap permasalahan ini dan kesan daripada itu, mendapat rungutan di kalangan orang awam.
Menjawab soalan isu yang di bangkitkan oleh ADUN Lobak itu, menteri besar Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan merangkap ADUN Rantau menjawab, Negeri Sembilan menjadi negeri pertama yang menyelesaikan kemelut konflik ini apabila telah menandatangani MOU penyelesaian dengan Cityliner semalam.
Menurut menteri besar lagi, Kerajaan Negeri memang mengambil kira kepentingan awam dan adalah tidak benar tuduhan daripada ADUN Lobak, Loke Siew Fook.
Beliau juga menjelaskan, MOU yang ditanda tangani semalam merupakan langkah awal bagi Cityliner memulihkan perkhidmatannya di daerah-daerah Negeri Sembilan sehingga 31 Januari 2012.
Selepas dari tarikh itu, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan formula baru agar masalah perkhidmatan bas henti-henti ini dapat meneruskan perkhidmatannya di Negeri Sembilan.






























