Kejutan Siti untuk peminat

May 12, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

Barangkali di mata masyarakat, penyanyi ternama bernama Datuk Siti Nurhaliza ini sudah memiliki segala-galanya – kemasyhuran dan kemewahan selama 17 tahun menakluk dunia seni tempatan dan Nusantara.

Beratus-ratus anugerah dan penjualan album yang memberangsangkan semuanya terpahat kemas dalam direktori seni figura unggul ini.

Pun begitu bagi Siti, sebagai anak seni istilah puas hati tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya.

Selagi apa yang diimpikan dan rancangannya belum dapat direalisasikan, selagi itu Siti dia tidak akan duduk diam.

Kata bekas juara Bintang HMI 1995 itu, dia mempunyai banyak perancangan yang belum tercapai dan salah satunya adalah untuk mengadakan sebuah konsert.

Mungkin impiannya kedengaran mustahil tetapi sebagai penghibur, dia mahu mencipta rekod sendiri dengan menghiburkan masyarakat dengan konsert yang akan berlangsung di jalan raya terkemuka negara.

Mengakui mengambil inspirasi daripada kejayaan konsert terbuka Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad di Chow Kit, Kuala Lumpur lebih dua dekad lalu, tetapi kali ini Siti mahu menampilkan kelainan.

“Memang ini sebuah projek besar. Kertas kerja pun sudah disiapkan dan hanya menunggu mencari penaja sahaja.

“Kalau boleh, saya mahu melakukannya secepat mungkin. Tetapi memandangkan pilihan raya semakin hampir, saya berharap ia akan dapat direalisasikan selepas itu,” kata pemenang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 11 kali itu penuh optimis.

Anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu berkata demikian sewaktu ditemui pada sidang akhbar Istimewa Hari Ibu… Sepetang Bersama Datuk Siti Nurhaliza di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Kali terakhir penyanyi tersohor itu mengadakan konsert solo adalah pada tahun 2009 menerusi Konsert Eksklusif Satu di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Mengenai perkembangan lain pula, seperti mana yang pernah diberitahu sebelum ini, Siti kini sedang mencari bahan terbaik untuk album Melayu terbarunya. Untuk itu katanya, dia mengalu-alukan lagu daripada semua komposer tidak kira baru atau lama untuk menyumbang dalam album terbarunya itu.

Sambil menyatakan kekagumannya kepada lagu Terukir Di Bintang ciptaan dan nyanyian Yuna, Siti mahu album terbaru itu berkonsepkan muzik yang digemari oleh khalayak masa kini.

“Berkemungkinan besar juga album itu nanti hanya memuatkan lima atau enam buah lagu sahaja. Kalau boleh saya mahu kesemuanya adalah karya yang berkualiti dan bagus agar album tersebut dapat dinikmati sebaik mungkin.

“Saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat sebaliknya apa yang saya pentingkan adalah melodi dan lirik yang bagus. Tidak kira komposer muda ataupun senior, semuanya saya alu-alukan,” ujar pemilik vokal lagu Falling In Love dan Jawapan Di Persimpangan ini penuh bersungguh.

Dalam masa yang sama, Siti memberitahu dia akan terlibat dalam sebuah projek album istimewa di mana ia akan dihasilkan dan diterbitkan sepenuhnya oleh karyawan muzik Indonesia.

“Album yang bakal memuatkan 10 buah lagu itu memuatkan beberapa buah lagu lama saya yang diberi nafas baru dan selebihnya adalah lagu baru.

“Teruja juga dengan album ini kerana saya dijanjikan oleh pihak terbabit bahawa penerbitnya adalah Erwin Gutawa,” kata Siti yang kali terakhir muncul dengan album solo Melayu, Tahajjud Cinta sekitar dua tahun lalu.

Selain itu, Siti juga bakal berduet dengan penyanyi dan komposer antarabangsa, Richard Marx selain sedang berusaha mendapatkan khidmat Bruno Mars dan David Foster untuk album Inggeris keduanya kelak.

Peminat dokongan utama

Perbualan seterusnya beralih pula kepada sambutan ulang tahun pembabitannya dalam bidang seni yang ke-17 pada 1 April lalu.

Sambil memanjatkan kesyukuran, Siti menggambarkan usia 17 tahun itu umpama seorang gadis yang dalam proses kematangan sebelum menuju alam dewasa.

Sudah pasti kata isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini, tunjang utama kepada kekuatannya sehingga mampu bertahan sehingga 17 tahun lamanya adalah kerana peminatnya.

Mungkin kedengaran klise, tetapi jelas penyanyi berusia 33 tahun ini, itulah hakikat sebenar yang dia sendiri tidak boleh menafikannya.

“Peminat-peminat saya memang cukup hebat dan mereka sanggup bertungkus-lumus untuk memastikan kejayaan sentiasa berpihak kepada saya. Itu adalah nilai yang cukup tinggi buat seorang penyanyi dan saya amat menghargainya.

“Mereka sentiasa bersama saya sejak awal dan sehingga kini masih setia, tidak pernah jemu menyokong sehinggalah saya sudah berumah tangga. Sebab itu, saya mahu terus melakukan yang terbaik buat mereka,” ujarnya.

Sempat juga Siti berkongsi cerita tentang percutiannya ke Bogor, Indonesia bagi membuat kejutan buat peminatnya di sana pada hari ulang tahun pembabitannya dalam dunia seni ke-17 yang lalu.

Cerita Siti, saban tahun, ahli kelab peminatnya yang digelar SitiZoners akan berkumpul untuk meraikan sambutan ulang tahunnya sesama sendiri walaupun Siti tidak bersama mereka.

Lalu, apabila mereka berhimpun sekali lagi di Bogor, Siti merasakan adalah lebih baik untuk berkumpul sesama mereka.

Dengan bantuan pengurus peribadi yang juga kakak iparnya, Rozi Abdul Razak, Siti ke lokasi percutian tersebut bersama suaminya.

“Pada malam tersebut dalam keadaan gelap kerana Earth Hour, ketika sedang bermain soalan trivia, tanpa mereka sedari, saya duduk sekali bersama mereka.

“Apabila tiba giliran saya dan sebaik sahaja saya bersuara, ternyata mereka cukup terkejut dan terharu dengan kehadiran saya.

“Melihat riak wajah gembira masing-masing, membuatkan saya puas dapat bersama-sama walaupun perjalanan ke sana cukup memenatkan,” katanya yang sempat melibatkan diri dengan pelbagai permainan yang diaturkan pada keesokan harinya.

Pada sidang akhbar itu juga, Siti telah dikejutkan dengan kehadiran 17 peminatnya yang menghadiahkan penyanyi kesayangan mereka itu dengan dua biji kek istimewa sambil diiringi lagu popular Siti, Seindah Biasa.

Tetap ada tawaran

May 10, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

SELEPAS berkahwin dan dikurniakan seorang anak, Suci Hanania Malika, Haryati Hamzah atau Yatt mula terfikir untuk berhijrah menjadi isteri dan ibu yang baik buat cahaya matanya itu. Dia ingin mendidik anaknya menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan agama.

Bagaimana perkara yang sering mengganggu fikirannya, bagaimana dia mahu mendidik anaknya itu sedangkan dia sendiri tidak berubah dan masih mendedahkan aurat. Memang benar sejak remaja Yatt suka membaca buku agama, tetapi hatinya belum cukup kuat untuk merubah penampilan diri apatah lagi apabila dia terkenangkan jika dia bertudung, masih adakah produser dan pengarah yang ingin mengambilnya berlakon.

“Saya memang mahu bertudung, tetapi tidak betul-betul yakin untuk melakukannya, malah saya bimbangkan kerjaya seni saya yang mungkin akan terjejas dek kerana perubahan itu. Ada saja kengkangan untuk melakukan kebaikan.

“Bagaimanapun kalau sudah sampai masanya untuk kita berubah, ia sebenarnya tidaklah begitu sukar dan ada saja jalan ke arah itu. Irma (Irma Hasmie) yang terlebih dulu berhijrah mengajak saya pergi ke kelas agama yang diadakan setiap Isnin di Wangsa Melawati, Hulu Kelang yang dibuka oleh syarikat penerbitan buku, Must Read Sdn Bhd.

“Kelas itu diadakan secara percuma oleh Must Read sebagai salah satu daripada sumbangan mereka kepada masyarakat. Daripada November tahun lepas, kalau ada kelapangan setiap Isnin saya ke kelas itu bersama Irma. Setiap minggu mereka mengundang ustaz berbeza yang pakar dalam bidang masing-masing. Kalau kelas itu tidak dapat diadakan pada Isnin, ia akan digantikan pada Khamis.

“Kebanyakannya yang memberi ceramah adalah ustaz dan ustazah yang muncul dalam pelbagai program agama terbitan TV Alhijrah. Mereka diperkenalkan oleh Irma yang juga pengacara program Assalamulaikum terbitan TV sama. Kami sedang berusaha untuk menjemput ustaz Don memberikan ceramah.

“Di sana diadakan kelas mengaji al-Quran, belajar tauhid dan feqah serta pelbagai kelas lain bagi memberi pemahaman yang lebih mendalam terhadap agama Islam.

“Irma tahu saya jenis yang suka dengan aktiviti keagamaan dan saya antara pelajar yang terawal mengikut kelas itu. Sekarang bilangannya sudah bertambah termasuklah pengacara Wanita Hari Ini (TV3) Teh Syuhadah, Farah Ashikin, Siti Nordiana, Diana Amir, Fazli Zainal dan Heliza Helmi. Ketika itu mereka semua sudah bertudung, tinggal saya saja yang belum bertudung.

“Seronok kerana ramai kawan-kawan belajar sama yang tujuannya hanya satu mohon petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT. Sejak saya mengikuti kelas itu saya tidak bimbang apa-apa lagi dan saya semakin faham ke mana tujuan hidup kita. Hidup, mati dan rezeki setiap manusia Allah SWT yang tentukan,” katanya.

Sebulan lalu, selepas Yatt balik dari kelas, dia mengerjakan solat Maghrib dan terus melakukan solat taubat. Dalam doanya yang panjang, Yatt teringatkan dosanya terhadap Allah SWT terutama dosa tidak menutup aurat.

“Meleleh air mata mengingatkan dosa saya selama ini. Sejak ada anak saya perlu menambahkan ilmu dan menunjukkan teladan yang baik kepada anak. Bukan tak ingat nak bertudung, tetapi saya takut tak boleh bekerja (berlakon) lagi dan tak boleh lagi pegang pelbagai watak.

“Tetapi selepas saya melakukan solat taubat pada malam itu, ia merubah seluruh hidup dan pemikiran saya. Pada rakaat terakhir, saya sujud lama di atas sejadah dan perasaan rasa lain macam. Hati saya tiba-tiba sangat aman. Selepas saya memberi salam, saya nekad untuk berubah masa itu juga kerana saya sudah benar-benar yakin dengan ketentuan Allah SWT.

“Suami ada suruh saya bertudung, tetapi dia tidaklah memaksa dan apabila saya menyuarakan hasrat untuk berhijrah, dia orang yang paling gembira. Saya berbangga kerana dapat mengurangkan dosa suami apabila isteri ingkar perintah agama.

“Jangkaan saya juga meleset kerana tawaran berlakon tetap ada. Bagaimanapun mana yang tidak sesuai dengan penampilan baru ini, saya akan tolak cara baik kerana ada juga pengarah yang ingat waktu babak di rumah saya boleh buka rambut sedikit. Saya tak marah kerana mereka kurang jelas dengan hukum menutup aurat.

“Jika saya tak dapat terima tawaran berlakon, saya anggap itu bukan rezeki. Saya tetapkan hati serta ikhlas berubah kerana Allah SWT,” katanya.

Selepas berhijrah Yatt juga dipanggil muncul dalam forum agama dan dia membuat penampilan pertama bersama Irma pada pelancaran buku Biografi Agung Rasulullah SAW karangan Rusydi Ramli Al Jauhari pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012, baru-baru ini.

“Apabila dipanggil bercakap pada forum agama saya lebih suka menceritakan kisah hidup sendiri. Saya bukanlah ustazah malah saya kena banyak belajar lagi,” katanya.

Yatt baru saja selesai penggambaran drama 26 episod berjudul Baitul Rahmat yang akan disiarkan pada Ramadan ini di TV1. Ketika dia mula-mula berlakon drama itu dia belum bertudung dan hanya betul-betul bertudung pada pertengahan penggambaran.

“Sebelum ini pun saya banyak membawa watak bertudung dan karektor yang paling berkesan di hati selepas berlakon dalam drama Lagenda Ular Emas, dua tahun lalu. Karektor saya sebagai Raudhah terbawa-bawa sehingga ke luar lokasi,” katanya.

David Teo mohon maaf

May 10, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

PENERBIT filem dari MIG Movie Production, David Teo memohon secara terbuka kepada seluruh keluarga dan sahabat handai Allahyarham Bob Kuman atau Husni Mohd Rawi di atas kenyataannya yang menyinggung mereka kerana menyebut perkataan ‘sedekah’.

Dalam kenyataannya yang dikirimkan kepada semua media menerusi e-mel, beliau menjelaskan, jauh dalam lubuk hatinya memang tidak ada niat langsung untuk menghina atau menyakitkan hati mana-mana kerana Bob Kuman dianggap sahabat baiknya.

Berikut adalah kandungan e-mel daripada David Teo;

“Salam takziah saya buat seluruh keluarga dan sahabat handai Bob Kuman (Husni Mohd Rawi).

Pemergian Bob sememangnya satu kehilangan buat industri hiburan Malaysia. Saya sendiri terkejut apabila mendengar berita pemergiannya, namun kita sebagai manusia harus reda dengan segala ketentuan Tuhan.

Allahyarham sebelum ini banyak terbabit dalam produksi saya dan dia sangat komited dengan segala kerja yang dilakukannya. Saya juga sangat menghormatinya sebagai sahabat dan rakan kerja.

Pada kesempatan ini, saya dari lubuk hati yang dalam memohon maaf daripada keluarga Allahyarham sekiranya ada kata-kata atau tindakan saya yang menyinggung perasaan mereka. Bukanlah niat saya untuk mencetuskan sebarang isu atau kontroversi.
Saya sedar kata-kata saya dalam rancangan Melodi bertarikh 22 April 2012 saya ada menyebut mengenai sumbangan yang saya beri di Hospital Tawakal pada tahun 2010 semasa Bob sakit.

Dalam kenyataan itu, saya ada menyebut “jika Bob Kuman perlukan sumbangan lebih, saya boleh sedekah”. Di sini saya ingin menjelaskan bahawa kenyataan ini dikeluarkan semasa Bob Kuman hidup, bukannya selepas meninggal dunia.

Penggunaan perkataan ‘sedekah’ yang saya maksudkan adalah ‘derma atau sumbangan’.

Apa yang saya faham, ‘sedekah’ bukanlah sesuatu yang hina. Selalu kita dengar ‘senyum adalah satu sedekah’ dan ‘sedekahkan al-Fatihah’ jika ada orang meninggal dunia. Saya anggap perkataan ini sesuatu yang suci, tetapi mungkin saya tersalah tafsir.

Saya sedar kata-kata saya ini telah menyinggung perasaan keluarga dan sebilangan masyarakat terutama peminat dan penyokong Bob Kuman. Percayalah, demi Tuhan saya langsung tidak terlintas niat di hati untuk menyakitkan hati mana-mana pihak sedangkan Bob Kuman saya anggap sebagai sahabat baik saya.

Saya sekali lagi memohon maaf di atas keterlanjuran kata-kata saya. Saya bukanlah insan sempurna yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan.
Pengalaman ini akan saya jadikan pedoman untuk menempuh hari-hari yang mendatang dengan lebih berhati-hati.

Kepada semua rakan artis dan peminat, sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham di sana. Diharapkan permohonan maaf ikhlas ini dapat diterima dengan hati yang ikhlas juga.

‘Cara dia kurang manis’

PELAWAK terkenal, Saiful Apek, yang juga rakan baik Allayharham Bob Kuman, menganggap permohonan maaf melalui e-mel sebagai tidak bermakna dan tindakan kurang manis oleh produser popular, David Teo.

Katanya, sebagaimana lantangnya penerbit terbabit menyebut mengenai sumbangan yang diberikan kepada Allahyarham di Hospital Tawakal pada 2010 sebagai sedekah, seperti disiarkan Melodi siaran 22 April lalu, sepatutnya permohonan maaf itu dilakukan menggunakan kaedah sama (media elektronik).

“Susah saya mahu cakap soal ini. Bukan saya tidak terima permohonan maafnya, tetapi saya mahu dia memohon maaf secara terbuka, bukan menerusi e-mel yang kita tidak dapat lihat sama ada dia sendiri yang tulis atau sebaliknya. Bagi pihak saya, saya sudah memaafkannya, tetapi bagi orang lain, dia patut minta maaf dengan cara yang betul.

“Sepatutnya, bagaimana dia menggunakan media elektronik untuk mengeluarkan kenyataan sedekah itu, begitulah caranya untuk dia memohon maaf secara terbuka kepada ahli keluarga Allahyarham, seperti ibu, isteri, adik-beradik dan kenalan Bob yang terguris dengan kenyataannya yang cukup keras itu.

“Masa dia mengutuk Allahyarham, boleh pula menggunakan saluran televisyen. Kenapa tidak memohon maaf dengan cara yang sama? Ia lebih afdal apabila menggunakan media elektronik. Saya rasa, bukan saya saja yang berpendapat begini, orang lain juga pasti bersetuju kerana ia kurang manis. Lagipun, David sudah biasa buat filem Melayu, tentunya dia sudah arif dengan adat Melayu,” katanya.

Mengenai kemungkinan David salah mentafsir frasa sedekah, Apek berkata, David tidak menggunakan perkataan memberi sedekah sememangnya mulia, tetapi perkataan seolah-olah meminta sedekah, seperti yang ditujukan kepada Allahyarham, yang dilihat mengguris hati.

Katanya, jika sebelum ini David boleh menggunakan perkataan seperti sumbangan mahupun sagu hati, kenapa pada ketika itu dia memilih perkataan sedekah pula?

“Saya pelik kerana selama ini David terkenal dengan perkataan sagu hati dan sumbangan, tetapi kenapa untuk Allahyarham, sebanyak dua kali dia menggunakan perkataan sedekah,” tegasnya.

Katanya lagi, dia mengakui ada segelintir pihak mengatakan dia seperti meneguk di air yang keruh berhubung soal itu, dengan alasan kononnya mahu membalas dendam terhadap persengketaan bersama David selama ini. Bagaimanapun Apek menafikan perkara itu sekeras-kerasnya.

“Tanggungjawab saya sebagai rakan baik adalah meminta David mohon maaf secara terbuka kepada keluarga Allahyarham. Selepas selesai permohonan maaf terbuka David nanti, saya mahu menjalankan amanah Allahyarham kepada saya pula, membabitkan diri saya sendiri.

“Ramai yang salah faham kerana ingat saya mahu menjalankan amanah yang membabitkan Allahyarham. Tidak, ia satu tanggungjawab yang diamanahkan Allahyarham kepada saya kerana hanya dia tahu semua cerita antara saya dan David. Saya tidak menggunakan isu ini untuk balas dendam kepada David. Ia amanah membabitkan hak saya dan sebenarnya bukan saya seorang saja, tetapi ramai lagi yang harus menuntut hak sama.

“Sebenarnya, sebelum meninggal, Allahyarham berpesan kepada saya untuk menuntut hak saya membabitkan soal bayaran yang tidak dilunaskan David. Saya berlakon percuma saja untuk filem Lady Boss dan Anak Mami The Movie. Hati mana tidak sakit setiap kali melihat tayangan filem itu di kaca televisyen, sedangkan sudah enam tahun saya tidak menerima bayaran?

“Selama ini, saya hanya diamkan saja kerana mengikut saluran yang betul, iaitu mahkamah. Kini tiba masanya saya menuntut hak seperti yang diamanahkan rakan baik saya,” katanya yang akan mengadakan sidang media tergempar dalam masa terdekat membabitkan haknya itu.

Cabaran menjiwai watak Uji

May 9, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

MELAKONKAN watak Uji ketika zaman remaja dalam filem Untuk 3 Hari arahan Afdlin Shauki adalah peluang keemasan buat pelakon muda Ainul Aishah menimba ilmu dengan pengarah yang menjadi idolanya, sepanjang enam tahun berkecimpung dalam bidang seni tanah air.

Lebih bermakna, Ainul berpeluang bekerja dengan barisan pelakon berkaliber iaitu Vanidah Imran (watak utama Uji dewasa), Rashidi Ishak dan Fauziah Ahmad Daud (emak Uji) dalam filem diadaptasi daripada novel popular Ahadiat Akashah.

Tidak ketinggalan, penampilan Zizan Raja Lawak yang melakonkan watak Shidee ketika zaman remaja.

Walaupun watak pembantu dan membabitkan sebanyak sepuluh babak, pemilik nama sebenar Ainul Aishah Azizon mengakui sangat teruja bekerjasama dengan semua idolanya dalam bidang seni.

“Secara peribadi, saya seronok berlakon dalam filem ini kerana dapat bekerja dengan pengarah yang cukup dihormati dalam bidang seni iaitu Afdlin dan produser filem terkenal yang menerbitkan filem Ombak Rindu, Sharad Sharan dari Tarantella Pictures Sdn Bhd.

“Walaupun tidak baca novel berkenaan tetapi kami banyak berbincang siang dan malam dengan pengarah dan barisan pelakon utama filem ini untuk menjiwai watak diserahkan dengan baik,” katanya.

Ainul berkata, watak Uji memberi cabaran besar buatnya sebagai pelakon muda. Bagaimana cabaran itu dilakukan sebaik mungkin mengikut kehendak skrip dan pengarah.

“Cabaran paling besar ialah ketika menjiwai watak Uji yang banyak melatah dalam filem ini. Pada peringkat awal, saya beritahu Afdlin tidak boleh buat babak melatah itu dengan ‘natural’ tapi beliau berjaya meyakinkan saya untuk buat babak itu seperti dikehendaki ceritanya.

“Saya akui Afdlin pengarah yang selamba tetapi garang ketika di lokasi, namun saya tetap ingin bekerjasama dengannya dalam filem ini. Bukan saja Afdlin, saya turut berasa gementar bekerja dengan seorang lagi idola dalam bidang seni iaitu Kak Fauziah (Ogy) yang menjadi emak Uji dalam filem ini.

“Walaupun hanya terbabit satu babak saja dengan Kak Ogy, saya tidak dapat sembunyikan perasaan gementar itu. Tapi, kita akan buat babak itu sebaik mungkin apabila kita takut buat silap dengan artis senior yang dihormati sepertinya.

“Bagaimanapun, penggambaran filem ini sudah selesai awal tahun lalu tapi produser belum putuskan lagi bila tarikh tayangan filem ini di pawagam tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, selepas tamat kontrak tiga tahun dengan syarikat pengurusan bakat Aquila Emas Sdn Bhd bermula April lalu, Ainul juga merancang untuk bergerak sendiri menguruskan karier seninya.

“Saya putuskan untuk tidak sambung kontrak dengan Aquila Emas kerana sudah memperlahankan aktiviti seni kerana ingin fokus pada bisnes keluarga.

“Saya keluar dari Aquila Emas bukan kerana ada masalah dengan pihak mereka sebaliknya ingin memperlahankan aktiviti seni buat masa ini. Saya percaya, kini sudah cukup ilmu dalam bidang seni untuk bergerak sendiri menguruskan karier seni.

“Jika saya merancang untuk aktif semula dalam bidang seni, saya berhasrat mencari seorang pengurus baru untuk menguruskan karier seni dan bukan bernaung di bawah pengurusan bakat lagi seperti dulu,” katanya.

Ditanya sama ada dia tidak berasa rugi meninggalkan karier seni ketika tawaran berlakon mencurah, Ainul menegaskan, bidang bisnes adalah sebagai jaminan masa depannya.

“Kalau artis lain kejar glamor dan populariti, saya pula sebaliknya tak ada apa lagi yang nak dikejar pun dalam bidang seni. Saya memperlahankan aktiviti seni bermula April tahun lepas dan sudah dua tahun tidak aktif berlakon,” katanya.

Namun Ainul berkata, dia akan mempertimbangkan tawaran buat projek telefilem jika skrip yang ditawarkan menarik.

“Saya terikat dengan bisnes sebab itu saya terpaksa buat projek yang tidak ambil masa yang panjang. Buat masa ini, saya banyak dapat tawaran buat projek drama bersiri tetapi saya terpaksa menolaknya kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen,” katanya.

Kali terakhir, Ainul berlakon ialah dalam telefilem 696 Kilometer dan filem terakhir lakonannya pula ialah Histeria arahan James Lee.

TRIVIA AINUL

  • Kali terakhir anda menangis?
    Bila dapat tahu kanak-kanak mangsa culik, Nayati Shamelin Moodliar sudah kembali ke pangkuan keluarga.
  • Tabiat pelik diri sendiri?
    Sukar tidur malam, obses dengan Blackberry dan i-Phone
  • Hadiah paling mahal pemberian kekasih?
    Kasih sayang
  • Aktor Hollywood yang menjadi idola?
    Johnny Depp
  • Kereta mewah idaman?
    Porsche
  • Aset yang nak dibeli?
    Bangunan untuk empayar bisnes
  • Destinasi percutian idaman?
    Maldives

Artis eksklusif

May 9, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

FILEM Ombak Rindu melonjakkan nama Maya Karin meskipun wajahnya dianggap jarang menghiasi filem tempatan. Bukan filem saja, dia juga memang sukar dilihat membintangi drama atau telefilem baru yang disiarkan oleh mana-mana stesen TV.

Kalaupun ada yang pernah melihatnya, itu adalah drama atau filem yang disiar ulangannya. Bukan terbitan terbaru. Ini menjadikan Maya dianggap meletakkan dirinya sebagai sangat eksklusif.

Itu memang diakui dan ia juga adalah strategi Maya untuk dirinya dilihat sebagai artis eksklusif.

Formula yang digunakan itu membuahkan hasil sehingga merangkul kembali gelaran Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang pernah digenggamnya tiga tahun lalu.

Mengakui dirinya sememangnya eksklusif, dia menganggap itu adalah formula yang digunanya sejak 10 tahun lalu dan hanya memilih watak bersesuaian serta memenuhi cita rasanya saja.

“Saya memang macam ini, sudah eksklusif dan disebabkan formula itu, saya menjadi. Saya sangat seronok dengan peluang besar yang diberikan dalam industri kita walaupun industri ini kecil saja.

“Bagi saya, kalau menang jangan terlalu gembira dan kalau kalah jangan terlalu bersedih kerana kita akan menghadapi keadaan jatuh bangun dalam industri ini,” katanya yang pernah diangkat sebagai Pelakon Filem Wanita Popular pada 2005 dan 2008.

Bukan dirinya yang diletakkan sebagai eksklusif sebaliknya Maya meletakkan bakat yang dimilikinya ke tahap itu supaya orang melihatnya berdasarkan bakat.

Tindakannya itu bukan saja memperlihatkan mutu lakonannya lebih baik, bahkan memberi peluang untuk menguasai pelbagai watak dengan penceritaan berbeza.

“Saya tidak perlu risau soal menang atau kalah kerana setiap tahun ada turun naik. Saya tahu peminat akan mengundi kerana itu membuktikan peminat nampak bakat yang saya miliki. Mereka memilih bukan kerana baju atau muka cantik tetapi bakat yang pelbagai. Saya memang cerewet dalam memilih watak dan jalan cerita kena kuat baru saya terima,” katanya.

Jika dulu Maya amat dikenali dalam karya arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba, sejak kebelakangan ini dia lebih memberi laluan kepada pengarah, Osman Ali kerana merasakan karyanya lebih sesuai dengan dirinya.

Menganggap Osman sebagai pengarah hebat selepas kemunculan pertamanya dalam filem Anak Halal, dia akan meneliti setiap tawaran yang datang daripada pengarah filem Ombak Rindu itu.

“Bukan semua tawarannya saya terima, ada juga saya tolak sebab komitmen dengan filem lain. Saya tidak mahu menerima tawaran yang jalan ceritanya hampir sama atau mencuri idea daripada filem lain kerana saya mahukan skrip yang asli.

“Dalam pemilihan watak, saya lebih mengikut naluri bukan memilih pengarah.
Macam watak saya dalam filem Duyung, orang tidak menyangka saya terima tawaran ini tetapi menerimanya itu kerana naluri saya ia sebuah kisah menarik, walaupun jalan ceritanya kelakar,” katanya yang baru selesai penggambaran filem Lagenda Budak Setan 3.

Mengimpikan watak lasak seperti puteri pahlawan, Maya mahu mempelbagai wataknya seperti di dalam filemnya sebelum ini, Cun, Pisau Cukur dan Duyung.

Jika diberi peluang beraksi semula di dalam filem yang pernah dibintanginya, Maya memilih untuk kembali mencorakkan watak Bella dalam filem Pisau Cukur kerana merasakan lakonannya belum cukup memuaskan.

“Saya jarang dapat watak kuat, jadi kalau boleh nak watak seperti pahlawan wanita dan mahukan perubahan dalam watak yang lasak. Secara peribadi, saya nak buat lebih baik lagi dalam filem itu,” katanya.

Profesional Yana – Pierre

May 7, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

PERNAH menjalinkan hubungan cinta selama lebih tiga tahun, keserasian Yana Samsuddin dan Pierre Andre kelihatan sangat secocok ketika digandingkan semula dalam filem 3 Temujanji. Namun, Yana dan Pierre mengakui bahawa pada mulanya, mereka agak kekok ketika ingin ‘bercinta’ semula dalam filem tersebut.

Bagaimanapun, sebagai seorang aktor dan aktres, mereka memilih untuk bersikap profesional dan mengetepikan kisah peribadi untuk memberikan yang terbaik terhadap lakonan masing-masing.

“Sewaktu kami berlakon filem ini, saya dan Yana telah setahun tidak berjumpa atau berlakon bersama. Jadi, bila jumpa semula, tidak dinafikan memang kami berdua terasa kekok dan memikirkan bagaimana untuk tidak kelihatan kekok dalam filem.

“Akhirnya kami mengambil jalan untuk bersikap profesional. Kami banyak berbincang mengenai watak dan karakter dalam filem ini. Mungkin juga dengan mengingati semula masa gembira kami dulu telah membuatkan keserasian itu timbul semula,” ujar Pierre mengenai ‘penyatuan’ semula dia dan bekas kekasihnya itu.

Dalam nada bersahaja dan bergurau, Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre menambah, jika tiada keserasian, maka tidak bercintalah mereka sebelum ini. Katanya juga, keserasian itu telah ada sejak dulu, namun perlu dicari semula kerana ia telah lama hilang selepas mereka putus cinta.

PIERRE dan Yana sekali lagi akan berlakon sama dalam filem romantik yang berjudul Strawberry Cinta.

 

Begitu jua pengakuan yang dibuat oleh Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin ketika ditebak persoalan yang sama dengan bekas kekasihnya itu. Kekok merupakan perkara pertama yang berlegar dalam mindanya ketika ditawarkan berlakon dalam filem tersebut.

“Walaupun dahulu kami pernah mempunyai hubungan istimewa, tapi selepas itu masing-masing tidak bertegur atau berlakon bersama selama setahun. Kemudian, secara tiba-tiba digandingkan dalam satu filem dan sebagai pasangan kekasih. Semestinya perasaan begitu (kekok) timbul.

“Tapi, Alhamdulillah, dia sangat membantu. Semasa kami melakukan sesi lampas otak, dia juga banyak bercerita serta semasa penggambaran pula, kami banyak berbincang bersama untuk hilangkan rasa kekok itu,” tutur aktres tersebut.

Tambah wanita berusia 27 tahun ini lagi, sebagai seorang pelakon, bersikap profesional walaupun mereka pernah mempunyai masa silam yang barangkali masih melekat dalam hati adalah bonus buat mereka untuk menjadi anak seni yang baik.

Doa Pierre

“Tiada masalah berlakon dengan dia kerana saya rasa bergandingan bersama Yana adalah gandingan paling senang berbanding pelakon yang lain,” itu kata-kata jujur yang keluar dari mulut jejaka berusia 27 tahun ini mengenai Yana.

Selain itu, Pierre juga tidak teragak-agak membuat pengakuan bahawa dia masih menyayangi Yana. Akan tetapi, perasaan sayang itu bukan seperti sayang buat kekasih, namun Pierre kini menganggap Yana seperti keluarganya sendiri.

“Saya tidak menghalang jika ada jodoh kami, dan saya juga tidak akan menghalang jika kami tiada jodoh. Ini kerana, bagi saya perhubungan saya dan Yana sebelum ini cukup baik. Saya akan mendoakan yang terbaik buat Yana selepas ini termasuk soal siapa yang bakal menjadi kekasih atau suaminya.

“Saya memang mahu yang terbaik buat dirinya dan semoga dia berbahagia tidak kira dalam perhubungan, masa depan mahupun karier,” jelas Pierre tidak menyembunyikan perasaannya.

Yana tidak kisah

Keserasian merupakan sesuatu yang amat penting agar watak yang dilakonkan berjaya menambat hati penonton yang menonton. Bagi Yana, hubungan istimewa dia dan Pierre dianggap sebagai satu kelebihan kerana melalui pengalaman tersebut, ramai yang memuji keserasian mereka.

YANA mengaku rezekinya sebagai pelakon semakin murah. Tahun ini, dia bakal muncul dengan tujuh buah filem.

 

“Ramai juga yang bercakap memang keserasian saya dengan Pierre dalam 3 Temujanji itu jelas kelihatan. Namun, saya juga mendapat respons yang baik daripada orang ramai tentang keserasian saya dan Sam dalam filem Bini-biniku Gangster,” beritahu Yana mengenai keserasian bersama pelakon yang pernah menjadi heronya.

Selepas ini, Yana dan Pierre akan kembali ‘berjodoh’ untuk dua buah naskhah lagi. Ia termasuk sebuah filem romantik yang berjudul Strawberry Cinta, yang mana Yana menjadi seorang wanita Korea dan Pierre pula sebagai pemandu pelancong.

Hadiah paling sempurna

May 7, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

MERENUNG pada wajah dan penampilannya yang agak ‘funky’, sesiapa pun pasti tidak menyangka jejaka berusia 27 tahun ini sedang menghitung masa untuk bergelar ayah.

Cukup ‘stylo’ dan lagaknya juga masih keremajaan, bagaimana agaknya Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran Tomok ini akan mengubah dirinya dengan gelaran baru yang besar tanggung jawabnya itu?

Bertemunya pada satu sesi fotografi, di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini, dari jauh kelihatan raut wajah Tomok berseri-seri menandakan keseronokan hidupnya ketika ini. Pada masa sama, sesekali terpancar juga rasa gusar dan berkali-kali juga dia membelek telefon bimbitnya, mungkin sedang risaukan seseorang yang ditinggalkan lama.

Mana tidaknya, demi menghadiri sesi fotografi, sang isteri yang tengah sarat menjaga kandungannya pula sedang duduk keseorangan di rumah.

Hal itu tentulah sudah cukup untuk membuatkan Tomok jadi tidak keruan walaupun hanya keluar rumah sebentar. Selepas menempuh detik indah sewaktu diijabkabulkan sebagai suami isteri dengan Rahayu Abas pada 1 Julai lalu, kini tiba saatnya untuk menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam keluarga mereka.

“Tiada apa yang boleh menggambarkan perasaan saya pada saat ini. Apatah lagi buat pertama kali menjadi seorang ayah, saya sangat teruja dan tidak sabar-sabar untuk merasai pengalaman ini. Sedar tidak sedar, rupanya tidak lama lagi saya akan beralih ke fasa baru iaitu berkeluarga dan menimang anak.

“Bagaimanapun, perasaan gementar itu memang tidak dinafikan tetap ada memikirkan selepas ini tanggungjawab saya akan menjadi lebih berat. Setakat ini, saya dan isteri sudah ada beberapa nama untuk anak kami nanti namun belum memilih yang paling sesuai lagi. Syukurlah, tidak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku kepada isteri saya dan malah sepanjang proses dia mengandung juga OK,” jelasnya gembira.

Dalam pada menantikan momen yang indah itu, juara program realiti One In A Million 3 yang juga vokalis New Boyz ini sudah tidak sabar menantikan filem futuristik lakonannya, Mantera, ditayangkan pada 17 Mei nanti.

“Pertama kali diberikan watak utama dalam filem sulung pula, pastinya saya berdebar menantikan bagaimana hasilnya serta penerimaan penonton terhadap filem ini. Ini adalah antara perkara terindah terjadi kepada saya dan semestinya mengangkat karier seni saya ke satu tahap yang lebih tinggi lagi, lari dari bidang nyanyian.

“Ketika mendapat tawaran ini kira-kira tiga tahun lalu, saya melihat ia satu peluang yang besar untuk mengembangkan lagi sayap dalam bidang seni walaupun pada dasarnya saya seorang penyanyi. Namun saya gagahkan untuk pergi uji bakat dan tidak sangka diterima malah diberikan watak utama pula.

“Pengalaman yang saya timba benar-benar hebat kerana bukan saja berpeluang merantau ke Dubai untuk penggambaran, saya juga dapat berjumpa dengan pelakon-pelakon di sana yang terbabit dalam filem ini. Selain itu, dikelilingi tenaga produksi yang cukup mantap, tidak pernah sekalipun diri ini rasa tersisih walaupun masih hijau dalam lapangan ini. Mereka pasti akan memberi tunjuk ajar dan dari situlah saya memperbaiki sedikit demi sedikit lakonan saya.

“Antara sebab saya memilih untuk menerima tawaran itu juga adalah kerana konsep dan jalan cerita yang ditonjolkan dalam filem ini sangat berlainan dengan filem tempatan lain. Mengetengahkan elemen sains fiksyen, walaupun Mantera banyak menggunakan teknik Imej Janaan Berkomputer (CGI) serta unsur robotik, ia tampak berkesan,” katanya.

Pertama kali mencuba bidang ini, mungkin terlalu awal untuk Tomok menghasilkan lakonan yang cukup berkesan dan semestinya perlu bermula daripada bawah. Akuinya, sebaik menerima untuk menjayakan filem itu, dia mengambil serius tanggung jawab besar itu lantas memberikan tumpuan sepenuhnya bagai menjiwai karakternya.

“Saya membawakan watak seorang pelajar kolej, Azman, yang sangat obses dengan dunia permainan terutamanya robotik. Untuk menjiwai watak itu, saya kemudian tidak menunggu lama dan menonton kembali filem-filem berciri futuristik ini termasuklah Transformers, G.I. Joe dan Ironman. Mujur juga sebelum penggambaran dijalankan, kami diberikan kelas lakonan terlebih dulu untuk pendedahan sebelum ke set sebenar Mantera.

“Membawakan watak superhero atau adiwira amat mencabar namun saya cukup puas hati dapat melakukannya. Saya sangat berharap penonton akan suka dan sudah berikan yang terbaik untuk menjayakan filem ini. Apa-apa juga kritikan yang diberikan selepas ini, saya bersedia untuk menerimanya. Ia akan ditayangkan di pawagam pada 17 Mei, jatuh pula pada hari lahir saya.

“Kiranya, bulan Mei adalah bulan yang paling bermakna untuk saya kerana bukan isteri dijadualkan melahirkan anak pada bulan ini, malah filem sulung lakonan saya juga turut ditayangkan. Inilah antara hadiah hari lahir paling ditunggu-tunggu,” ujarnya.

Mengakui bidang nyanyian masih lagi menjadi keutamaannya, Tomok bagaimanapun tidak teragak-agak untuk meneruskan pembabitan dalam bidang lakonan selepas ini. Apabila peluang sudah terbentang luas, inilah masanya untuk memperluaskan skop kerjaya seninya dan tidak mahu tertumpu dalam bidang nyanyian semata-mata.

TRIVIA TOMOK

  • Lagu yang paling disukai sekarang… 
    Terukir Di Bintang (Yuna).
  • Kuasa luar biasa yang diinginkan… 
    Terbang seperti Ironman.
  • Insan yang paling ingin ditemui… 
    Tun Dr Mahathir Mohamad.
  • Tabiat buruk sukar dikikis… 
    Liat bangun tidur.
  • Saat paling menyentuh dalam hidup… 
    Menjuarai One In A Million 3 (OIAM). 

Serah pada takdir

May 5, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

Siapa sangka, perbualan di lokasi penggambaran, ‘Antara Kita’ awal Januari lalu, menjadi titik tolak terjalinnya persahabatan di antara aktres, Anne Ngasri dan penyanyi dari Singapura yang terkenal menerusi lagu Sayang Sayang, Aliff Aziz.

Tidak menafikan mahupun mengiakan hubungan mesra yang terjalin, Anne dan Aliff lebih senang menyerahkan kepada takdir sejauh mana perjalanan hubungan mereka.

Namun, dari karakter bersahaja mereka, terlihat wajah bahagia yang mula melingkari kehidupan dua figura ini.

“Alhamdulillah, hubungan kami berjalan dengan lancar dan kami menyerahkan kepada takdir serta jodoh yang ditentukan kepada Allah SWT.

“Namun buat masa ini, kami sama-sama meletakkan karier sebagai fokus utama dan kami berharap tiada pihak yang memberi tekanan untuk mengetahui bila kami akan menamatkan zaman bujang.

“Bagi kami ruang yang sewajarnya dan bila tiba masa sesuai, barulah kami bersedia untuk bercakap lebih dari itu,” kata Aliff mengenai hubungannya dengan aktres berusia 28 tahun itu.

Manakala Anne berkata, dia seboleh-bolehnya enggan lagi ‘menjaja’ cerita mengenai hubungannya dengan Aliff kerana bimbang peminat dan masyarakat akan muak dengan cerita mengenai hubungan mereka.

“Sejujurnya, saya enggan terus memperkatakan tentang hubungan kami. Saya bimbang ada yang tersalah tafsir dan menganggap kami sengaja menunjuk-nunjuk kepada umum.

“Sebelum ini, saya mendedahkan kepada umum sebab orang nak tahu. Bila masyarakat dah sedia maklum, jadi saya rasa tidak perlulah untuk saya terus-terusan memperkatakan tentang hubungan ini. Kalau boleh, biarlah ada hadnya,” jelasnya.

Doa yang terbaik – Anne

Anne berkata, keputusan untuk tidak lagi memperkatakan tentang hubungan ini bukan kerana hubungan mereka berantakan tetapi khuatir jika ada pihak yang mendoakan perkara tidak baik.

Katanya, dia juga perlu memikirkan perasaan anak-anaknya dan bimbang akan memalukan mereka pada masa akan datang.

“Saya bimbang nanti bila orang menyampah, orang akan mendoakan perkara yang tidak baik. Jadi, biar kami jalani hubungan ini dengan cara kami dan dalam masa yang sama, kami harap orang akan doakan yang terbaik.

“Lagi pula, saya bukan lagi membawa nama saya seorang, saya kini membawa nama dan maruah tiga anak saya di belakang saya. Jadi, saya perlu fikirkan perasaan mereka juga bila ada pihak yang mungkin akan mengata ibu mereka nanti,” katanya.

Malah, kata Anne, apa yang penting, hubungannya dengan Aliff sudah mendapat restu keluarga dan anak-anaknya juga menerima Aliff seadanya.

“Buat masa ini, keluarga tidak ada masalah dengan Aliff dan mereka menerima hubungan kami. Anak-anak juga begitu, mereka memanggil Aliff dengan panggilan ‘daddy’,” katanya.

Bukan merajuk

Menyentuh mengenai perkembangan terkininya, Anne berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Opah dan Cinta Vilog.

Namun, di sebalik itu, ada beberapa pihak mengatakan, Anne kini jarang muncul di kaca televisyen kerana merajuk setelah beberapa pihak mempertikaikan keikhlasannya bertudung.

“Saya rasa tidak ada sebab untuk saya merajuk. Malah, ia juga isu lama yang tak perlu lagi untuk diperkatakan. Sebenarnya saya masih aktif, cuma saya jarang muncul di media massa.

“Malah, ada kalanya, saya juga memenuhi beberapa undangan mengacarakan majlis korporat. Jadi, cakap-cakap orang yang mengatakan saya merajuk tidak benar,” katanya yang kini turut sibuk menguruskan perniagaan yang masih dirahsiakan.

Selain berlakon dan mengacara, Anne juga baru sahaja menyambung kontrak sebagai duta produk Alima dan Frozen Food selama setahun lagi.

Anne banyak ubah hidup saya – Aliff

Jika selama ini, dia dikenali sebagai lelaki romeo, namun segalanya berubah setelah dia mengenali wanita bernama Nasriah Ngasri atau Anne.

Menurut Alif, Anne banyak mengubah hidupnya dan mengajar tentang norma-norma hidup seorang manusia yang baik.

“Sejak saya kenal dengan dia, dia banyak mengubah dan mengajar saya untuk ke arah yang lebih baik. Malah, saya juga banyak mengubah tabiat buruk saya yang tidak elok sebelum ini.

“Jika ada masa terluang, saya lebih senang duduk di rumah dan berlatih menyanyi dan sebagainya,” katanya.

Namun, apabila menyentuh tentang perancangan masa depannya, sama ada Aliff mahu berhijrah ke Malaysia sama seperti Aaron Aziz, jejaka berusia 21 tahun ini lebih selesa untuk tidak memberi komen tentang perkara itu.

“Bagi saya, ia masih terlalu awal untuk saya perkatakan tentang perkara ini. Selain itu, saya rasa isu ini sangat sensitif untuk saya perkatakan,” katanya.

Selain bakal melancarkan album ketiganya minggu depan, Aliff juga turut sibuk dengan bidang lakonan di negara ini dan kini sedang menjalani penggambaran Cinta Vilog.

Elak kontroversi

Menyentuh mengenai kontroversi yang sering mengiringi kariernya sebelum ini, Aliff mengakui kesilapannya sebelum ini dan seboleh-bolehnya enggan melalui apa-apa lagi kontroversi selepas ini.

“Saya tidak salahkan mana-mana pihak bila mereka memperkatakan tentang perkara negatif yang pernah berlaku kepada saya.

“Tapi ingin saya tegaskan, hal-hal kontroversi itu tidak pernah saya fikirkan akan menjadi perkara yang besar.

“Cuma selepas ini, saya akan pastikan tidak lagi terlibat dengan hal yang boleh memburukkan nama saya,” katanya.

Awal janji bahagiakan Scha

May 5, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

Pelakon dan pengacara, Awal Ashaari, sah menjadi suami kepada Scha Alyahya, selepas sekali lafaz di depan bapa pengantin perempuan, Syed Mahadzir Syed Kechik Alyahya di Hotel Pullman, malam tadi.

Scha, yang juga Wajah Eksklusif Astro, anggun dengan persalinan putih polos rekaan Syaiful Baharim menerima mas kahwin RM2,050 selain hantaran tujuh dulang dan membalasnya sembilan dulang. Majlis itu turut disaksikan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Putrajaya, Mohd Salman Idrus.

Majlis yang bertemakan tradisional itu turut dilangsungkan dengan majlis berinai. Pasangan sama cantik dan sepadan itu menggayakan rekaan busana paduan warna hitam dan hijau zamrud rekaan Rizman Ruzaini berkolaborasi dengan Atiqah’s Songket.
Awal, 31, dan Scha, 29, yang berkenalan hampir tiga tahun agak bertuah apabila majlis bersejarah itu mendapat tajaan syarikat fotografi Candidsyndrome.com, videografi CST Production, kadkahwinku.com, Hotel Pullman, Jakel dan Ginvera Marketing Sdn Bhd.

Awal berkata, beliau bersyukur perancangan perkahwinan itu berjalan lancar dan bertuah kerana ada pihak yang sudi menaja sekali gus memeriahkan hari bersejarah itu.

“Bagaimanapun, kami masih mengeluarkan bajet sendiri untuk tempahan dewan, hidangan makanan dan perancang perkahwinan.

“Tanggungjawab baru juga sudah digalas saya dan ia satu fasa permulaan baru buat kami. Insya-Allah, saya akan cuba menjadi suami yang terbaik buat Scha.

“Saya yakin kami mampu melengkapi satu sama lain. Saya berjanji untuk sentiasa membahagiakan Scha, ” katanya.

Esok, pasangan itu akan diraikan dalam majlis resepsi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan menggayakan konsep serta rekaan Kotemporari Melayu hasil rekaan Syaiful Baharim dengan kerjasama Jakel.

Moga damailah di sana

May 4, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

SIAPA sangka hasrat mahu ‘pergi jauh’ yang disuarakan Bob Kuman atau nama sebenarnya, Husni Mohd Rawi, 40, secara gurauan, rupa-rupanya membawa maksud lebih mendalam iaitu hendak meninggalkan dunia ini buat selamalamanya.

pix_gal0

 

Vokalis Search, Amy, yang juga antara rakan baik Bob, amat terkilan apabila permintaan untuk mendapatkan MP3 Search tidak dapat ditunaikan.

“Dia ada meminta MP3, tetapi sampai sekarang saya belum berpeluang memberikannya. Memang terkilan sangat. Kadang-kadang saya ada hubungi dia. Waktu sakit, dia boleh bergurau lagi.

“Malah baru-baru ini dalam perbualan di telefon, dia meluahkan perasaan nak pergi jauh. Tak sangka, perkara yang saya sangka gurauan ialah petanda dia hendak meninggal dunia,” katanya yang ditemui di rumah keluarga Allahyarham, semalam.

Pelawak, pelakon dan penyanyi itu meninggal dunia di rumahnya, di Seksyen 11, Kota Damansara, Petaling Jaya, jam 4.38 petang, semalam, berikutan komplikasi jantung, darah tinggi dan paru-paru berair.

Adik Allahyarham, Syahrin Madzmin, berkata Bob meninggal dalam tidur berikutan komplikasi penyakit yang dihadapi dan keadaan itu disedari isterinya yang cuba mengejutkannya.

Teman rapat Allahyarham, Mazlan Ahmad, berkata pemergian Bob memang amat mengejutkan.

“Saya terkejut mendengar berita Bob meninggal dunia sebab sebelum ini saya hanya mendengar khabar angin yang sengaja disebarkan pihak tertentu. Apabila ada yang mengesahkannya, saya sedih sangat sebab saya sudah lama kenal Bob.

“Dia memang kawan yang pandai ambil hati,” katanya yang pernah sama-sama berlakon dengan Allahyarham dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak arahan Ahmad Idham.

Suasana pilu menyelubungi kediaman Allahyarham, malah emak, Khatijah Yasin, 69, dan isteri Allahyarham, Norma Othman, 29, enggan ditemubual. Turut tidak dapat menahan kesedihan ialah rakan artis yang paling akrab dengannya, Saiful Apek.

Antara yang menziarah ialah Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Harun Salim Bachik; Pemangku Timbalan Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, Datuk Hattan, Adlin Aman Ramlie, Enot, Aqasha, Azlee dan Wahid Senario.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Kota Damansara Seksyen 5, di sini untuk diuruskan sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Sawah, Negeri Sembilan, selepas solat Isyak.

Difahamkan, jenazah dijangka dikebumikan selewat-lewatnya pagi ini di Tanah Perkuburan Kampung Sega Hulu Kuala Sawah, Negeri Sembilan di atas permintaan keluarga.

Terdahulu, Allahyarham terlantar di kediamannya berikutan masalah kesihatan dihadapi sejak beberapa tahun lalu hingga terpaksa menggunakan bantuan oksigen. Pada 21 April lalu, khabar angin bertebaran mengatakan dirinya meninggal dunia, namun dinafikan empunya diri.

« Previous PageNext Page »