‘Doakan rumah tangga kami’

May 18, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

JIKA bukan kerana suami sendiri yang membuka mulut, mengaku rumah tangga mereka kini bagai telur di hujung tanduk, tentunya tiada siapa yang tahu bahawa mahligai pasangan pelakon terkenal, Adi Putra dan Aida Yusof sedang bergelora dilanda badai. Pada zahirnya, pasangan ini kelihatan sangat bahagia.

Tidak terlihat pada pandangan mata kasar yang mengatakan perkahwinan yang dibina sejak tujuh tahun lalu kini di ambang perceraian. Lebih mengejutkan pasangan suami isteri ini sempat mengerjakan umrah bersama-sama, untuk kali kedua.

Namun, ajal maut, jodoh pertemuan semuanya ketentuan Tuhan. Jika sudah tertulis bahawa hanya setakat di sini jodoh mereka, tiada siapa yang dapat menghalang.

Begitupun, walau Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim mengakui rumah tangganya seperti tidak dapat diselamatkan lagi, Aida yang juga seorang penerbit tetap bersikap positif dan tenang, biarpun hatinya kini dilanda gerhana.

Saat dihubungi bagi mendapatkan kenyataannya berhubung pendedahan suaminya itu, seperti disiarkan Hip semalam, walaupun keberatan untuk memberikan ulasan panjang lebar, Aida tetap membayangkan rumah tangganya itu berpotensi untuk kembali pulih seperti sedia kala.

Cuma apa yang diharapkan hanyalah doa daripada semua pihak semoga segala yang keruh, dapat dijernihkan semula.

“Buat masa ini, apa yang boleh saya katakan, doakan yang terbaik buat rumah tangga kami. Insya-Allah semuanya akan baik,” pinta Aida menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan kepada Hip.

Berbanding wanita lain yang pastinya berada dalam keadaan tekanan yang teramat, terutama apabila berdepan dengan situasi yang paling tidak diingini oleh mereka yang bergelar isteri, Aida ternyata dapat melalui saat getir itu dalam keadaan yang cukup tenang, serta tidak mudah mengalah dengan keadaan.

“Alhamdulillah, syukur kami berada dalam keadaan baik-baik saja. Semoga selamanya berada dalam keadaan baik,” katanya yang tidak mudah berputus asa dan sentiasa optimis.

Kelmarin, aktor kelahiran Singapura berusia 31 tahun ini memberitahu, dia sudah pun memfailkan perceraian mereka dan akan ke Mahkamah Syariah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, Isnin depan untuk membicarakan permohonan cerai itu.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Mya Zara ini bagaimanapun enggan menyatakan sebab utama mereka mengambil keputusan untuk berpisah.

Pelakon KL Gangster ini juga menolak andaian bahawa keretakan rumah tangga mereka disebabkan ketiadaan zuriat, mahupun kehadiran orang ketiga.

Aaron terkilan

May 18, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

AARON Aziz menyuarakan rasa terkilan kepada Persatuan SENIMAN Malaysia (SENIMAN) kerana tidak berusaha mempertahankan kontroversi membabitkan dirinya sejak memenangi gelaran Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011) sedangkan dia juga adalah ahli dalam persatuan itu.

Lebih mengecewakan, isu itu meleret-leret kerana selepas status kewarganegaraan dipersoalkan kali ini dia dicabar pula untuk mengemukakan permit kerja sah kerana bekerja dengan syarikat produksi di Malaysia.

Saya rasa lebih tersingkir daripada dilindungi sedangkan saya juga ahli SENIMAN. – Aaron Aziz

Walaupun itu sudah dilihat sebagai agak keterlaluan, Aaron dia masih berdiam diri serta berdiplomasi, malahan sedia menunjukkan permitnya kalau memang diminta berbuat demikian.

Namun, lama kelamaan terdetik dalam hatinya kerana pihak yang banyak mempersoalkan dirinya adalah daripada SENIMAN dan dia juga menjadi ahli berdaftar dengan persatuan itu.

Justeru, dia tertanya-tanya dalam keadaan sekarang, di mana haknya sebagai ahli SENIMAN dan kenapa tidak ada pihak dalam persatuan ini tampil untuk membelanya.

“Saya rasa lebih tersingkir daripada dilindungi sedangkan saya juga ahli SENIMAN,” katanya ringkas kepada wartawan HIP di majlis memeterai perjanjian sebagai duta Yourgurt, di Kuala Lumpur, semalam.

Pelakon itu kemudian bertukar dokumen perjanjian ini dengan Pengurus Besar Yourgurt, Nor Ainna Ibrahim.

Bagaimanapun, Aaron menegaskan apa sekalipun yang berlaku tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus berkerja dan berada dalam dunia seni di negara ini. Malahan, dia juga tidak mahu terus memperbesar-besarkan isu yang dibangkitkan oleh Pemangku Presiden SENIMAN, Zed Zaidi.

“Sebenarnya tiada siapa yang perlu membuktikan apa-apa di sini. Ini bukannya perlawanan bagi membuktikan siapa menang atau kalah. Saya sebenarnya mempunyai banyak lagi benda atau perkara lain yang perlu difikirkan, seperti keluarga dan anak-anak, dan saya rasa tidak penting untuk saya terlalu memikirkan isu berkenaan.

“Saya pun tidak boleh menghentikan Zed Zaidi dari bertindak, kerana dia mempunyai hak untuk berbuat sedemikian. Saya rasa ini semua berpandukan kepada dasar kematangan masing-masing, dan saya tiada masa untuk memikirkan apa yang dia cakap menerusi laman sosial. Biarlah dia ingin memperkata apa sekali pun, dia boleh mencari saya atau berdepan bila-bila masa dia mahu pun,” jelasnya lagi.

Tidak pernah untuk berasa sedih atau marah, Aaron berkata, dia kini amat bersyukur kerana mendapat tawaran tanpa putus dari produksi di Malaysia selain Singapura dan Brunei.

Jadual seni hero Ombak Rindu sememangnya padat hingga hujung tahun. Baru saja dilantik sebagai duta produk makanan, Yourgurt, Aaron akan sibuk menjalani penggambaran untuk beberapa filem, antaranya ialah Dampak danCicak Man 3.

“Semalam saya baru saja habis penggambaran untuk drama Tanah Kubur arahan Rashid Sibir. Kemudian pada pertengahan bulan depan akan memulakan penggambaran filem aksi iaitu Dampak dan seterusnya Cicak Man 3 serta ada dua lagi filem, satu filem cinta dan satu lagi thriller, yang mana kini masih dalam perbincangan.

“Selain itu, saya juga sedang berbincang dengan sebuah produksi dari Brunei untuk membintangi filem mereka. Saya mendapat banyak tawaran bukannya hanya selepas saya bergelar Bintang Popular tapi sebelum anugerah itu diberikan lagi, saya sudah menerima banyak tawaran.

“Anugerah Bintang Popular itu sebenarnya tidak banyak mengubah saya, kerana saya tetap sama. Selagi saya melakukan kerja dengan ikhlas, semua itu akan datang sendiri,” katanya yang akan berangkat ke Mekah hari ini bagi menunaikan umrah selama 12 hari.

Mengerjakan umrah buat kali kedua, Aaron bersama isterinya, Diyana Halik bukan sekadar melawat Tanah suci Makkah, tetapi turut menyatakan pemergiannya ke sana juga atas dasar kerja kerana akan menjayakan penggambaran drama bersiri 80 episod, Adam dan Hawa.

Bintang masih bersinar

May 17, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

Figura Jaclyn Victor diakui antara bintang yang bersinar menghiasi industri hiburan tanah air.

Bakat dan kebolehannya dalam bidang nyanyian ternyata berjaya memberi suntikan baru dalam industri setanding dengan kualiti penyanyi antarabangsa.

Jika dilihat perjalanan seninya semenjak bergelar juara Malaysian Idol musim pertama, nama penyanyi yang senang di panggil Jac ini tidak pernah sunyi dari industri malah sering mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Namun begitu, penyanyi yang terkenal dengan single pertamanya, ‘Gemilang’ tidak mahu terus berada di kepompong yang sama telah memilih untuk bernaung awal tahun ini di bawah KRU Music bagi mencari kelainan dalam kariernya.

“Setakat ini kerjasama daripada pihak KRU Music amat memuaskan kerana perkembangan yang mereka tunjukkan untuk mempromosikan single pertama ‘Sebelah Jiwaku’ ciptaan Edry Abdul Halim berlaku agak pantas.

“Saya juga bersyukur kerana hasil kerja mereka berjaya memberi kesan positif kepada single yang kini sudah diterima baik oleh pendengar sehingga berjaya menduduki beberapa carta lagu,”katanya.

Mengakui single pertama ‘Sebelah Jiwaku’ antara kelainan yang dibawa bersama syarikat rakaman baru, Jac amat berpuas hati dengan penerimaan pendengar terhadap single itu.

“Sejak awal pembikinan lagu ini dilakukan, saya menyukainya dan ia agak berbeza dengan genre lagu yang pernah saya bawa sebelum ini malah liriknya sangat membina membuatkan saya begitu tertarik,” katanya.

“Saya lega peminat dapat menerima pembaharuan ini dan sentiasa memberi sokongan yang tidak putus untuk saya meneruskan karier ini,”ujarnya.

Debaran Mania

Walaupun kariernya dalam bidang nyanyian sudah berada di kelas yang tersendiri, namun penyanyi yang memiliki vokal mantap ini masih mahu menguji kemampuan bakatnya dengan menyertai program realiti, Mania yang disertai barisan penyanyi hebat yang lain seperti Hafiz, Shila Amzah, Adira dan ramai lagi.

Jac yang berada di bawah empayar biru dikendalikan oleh komposer terkenal, Aubrey Suwito berjaya meneruskan perjuangannya hingga ke peringkat akhir.

“Saya akui minggu ini merupakan minggu yang memberi tekanan kepada saya kerana kedudukan undian berada di tahap rendah. Oleh itu, saya perlu melakukan yang terbaik untuk berjaya dalam pertandingan ini,’ katanya.

Selain perkembangannya dalam persiapan untuk beraksi pada pentas akhir Mania, Jac mengatakan dirinya kini baru sahaja selesai dengan penggambaran video klip untuk single kedua yang merupakan lagu tema untuk filem baru, 29 Februari, arahan Edry Abdul Halim.

Fokus nyanyian

Selain berbakat dalam nyanyian, Jac pernah menyertai bidang lakonan pada tahun 2009, dengan memegang watak penting sebagai Bhavani dalam filem ‘Talentime’.

Ternyata lakonan dalam filem itu membuahkan hasil apabila diberi pengiktirafan pada Festival Filem Malaysia ke-22 sebagai Pelakon Harapan Wanita menerusi filem ‘Talentime’.

Mengenai perkembangan lakonannya, Jac mengakui dirinya amat menyayangi bidang nyanyian berbanding lakonan.

“Buat masa ini, jadual untuk bidang nyanyian terlalu padat dan saya mahu lakukan yang terbaik untuk karier ini kerana ia adalah jiwa saya,” katanya.

Mania pencetus akrab

May 16, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

JIKA sebelum ini mereka hanya jeling-menjeling, bertegur sekadar sebagai rakan artis saja. Namun hanya kerana bertembung menerusi Mania, penyanyi jelita, Atilia dan Alyah kini bagaikan belangkas yang susah untuk dipisahkan. Program realiti itu menyatukan persahabatan mereka.

Malah, pada sesi fotografi yang diatur Isnin lalu, gelagat mereka memang seperti sahabat yang sudah bertahun lamanya kenal. Usik-mengusik, saling berpelukan, bergelak-senda, langsung tidak terlintas bahawa hakikatnya mereka baru sebulan dua bersahabat.

Menceritakan detik bagaimana mereka mula rapat, Atilia yang jelas lebih banyak bercakap berkata, dia amat bersyukur terbabit dalam Mania kerana bukan saja menimba pengalaman malah mendapat seorang sahabat sejati.

“Kalau diimbas kembali, pertama kali saya berkongsi pentas dengan Alyah adalah sewaktu menyertai satu program televisyen iaitu Tiada Lama Tiada Baru. Mulanya, ibu saya yang terlebih dulu rapat dengan Alyah dan pernah memujinya. Namun jujur saya katakan, pada kali pertama melihat Alyah, saya anggap dia seorang yang agak sombong ditambah pula dia jarang bercakap.

“Bagaimanapun, persepsi itu nyata berubah seratus-peratus kerana selepas sama-sama menyertai Mania, ternyata dia seorang yang banyak cakap juga. Ada satu insiden, saya memang terkenal sebagai artis yang sering membawa makanan di belakang pentas dan suatu hari, Alyah ‘tweet’ saya mengatakan dia sedih kerana saya tidak memberinya nasi goreng.

“Bermula saat itu, kami semakin rapat dan dia juga antara artis yang sentiasa menyokong saya dalam pertandingan itu. Kebetulan pula, Alyah berpindah dan rumah kami betul-betul bertentangan. Tetapi, insiden yang menjadi titik-tolak bagaimana saya boleh mempercayai dia sebagai seorang sahabat sejati adalah ketika tersingkir di Mania.

“Pada malam itu juga Alyah menghubungi saya dan menawarkan untuk mengikutnya ke luar negara bagi meredakan kesedihan. Saya memang tidak berfikir panjang, pada keesokan malamnya juga kami terbang ke Medan dan tinggal selama dua hari di sana. Apabila sudah berdua, kami mula berbual, bercerita dan meluahkan isi hati masing-masing.

“Saat itu, saya mula menyedari sangat serasi dan selesa berkawan dengan Alyah. Dia sememangnya seorang sahabat yang sangat memahami dan boleh dipercayai. Walaupun pada dasarnya, umur saya lebih tua berbanding dia, namun dia sering menganggap dirinya kakak dan sekarang ini hubungan kami sudah seperti adik-beradik,” ujar puteri kepada Salamiah Hassan itu.

Demikian juga yang terjadi kepada Alyah. Dia tidak pernah menyangka akan menjadi rapat dengan Atilia namun itulah sebenarnya antara hikmah di sebalik penyertaannya di Mania.

“Sejak rapat di Mania, Atilia juga banyak memberi kata perangsang kepada saya sewaktu belum disingkirkan. Kalau diikutkan, saya sebenarnya lebih rapat dengan ibunya, namun mengenali Atilia, dia seorang rakan yang sangat baik dan memahami. Atas dasar kepercayaan, biarpun baru rapat dengannya, kami sudah boleh berkongsi banyak perkara, meluahkan pendapat masing-masing dan sering berbual mengenai industri,” ringkas jawapan penyanyi Kisah Hati ini.

Bercerita mengenai Mania, Alyah yang tersingkir pada minggu kelapan, seminggu sebelum penentuan artis mana layak ke final, dia tidak menafikan sedikit terkilan dengan keputusan itu.

“Tujuan utama saya menyertai Mania adalah kerana ingin mendalami serta mempelajari bidang muzik. Saya akui, memang cetek sangat pengetahuan saya mengenai bidang muzik dan berharap dengan platform ini, dapatlah menimba semua ilmu itu. Memandangkan program ini juga ditonton bukan saja di Malaysia, malah Singapura, Indonesia dan Brunei turut mengikutinya, saya mahu tunjukkan bakat yang ada.

“Bukan banyak program di negara ini yang mempertandingkan sesama artis seperti Anugerah Juara Lagu dan adanya Mania ini, saya nampak ruang di situ. Jadi, sepanjang program itu, saya cuba menonjolkan kemampuan yang ada dengan gaya persembahan serta nyanyian terbaik. Banyak juga cakap-cakap mengatakan itu ini tidak kena dengan persembahan saya, namun itulah risiko yang harus ditelan.

“Tersingkir pada minggu kelapan, saya memang tidak terkejut dan anggap itu normal. Sudah lama berkecimpung dan merasai sepak terajang industri, saya anggap bertahan sehingga tahap itu pun sudah cukup membanggakan. Sekurang-kurangnya, matlamat untuk menyertai Mania tercapai juga dalam kira-kira 70 peratus.

“Saya juga cukup bersyukur diletakkan di bawah empayar Aubrey Suwito kerana dia bukan saja seorang produser yang sangat bagus malah kami sudah seperti keluarga. Sewaktu saya disingkirkan, merekalah yang cukup mengambil berat dan memberi kata-kata perangsang untuk menenangkan saya,” katanya.

Bagi Atilia yang tersingkir pada minggu keenam pula menganggap ia satu percubaan terbaik pernah dilakukannya.

“Saya melihat Mania satu platform yang amat bagus untuk mengembangkan lagi muzik saya ke tahap lebih jauh dan itulah sebabnya saya masuk bertanding. Walaupun ada juga hajat yang tidak kesampaian untuk saya tunjukkan dalam program itu, namun saya bangga kerana sehingga ke saat penyingkiran, saya tetap menjadi diri saya.

“Inilah pertandingan pertama menggunakan sistem undian sepenuhnya yang pernah saya sertai. Biarpun gagal meneruskan perjuangan selepas di minggu keenam, saya sangat gembira kerana berjaya mengekalkan stail muzik saya sepanjang pertandingan itu,” ulas penyanyi Kekanda Adinda itu.

TRIVIA ATILIA

  • Mudah tersentuh apabila… menonton babak anak dan ayah di TV.
  • Insan yang paling ingin ditemui… Norah Jones.
  • Tenang bila berada di… tempat di mana saya bebas tanpa dikenali sesiapa.
  • Aset paling berharga dalam hidup… suara.
  • Destinasi yang belum pernah dan ingin dilawati… New York.
  • Lagu kegemaran sekarang… Batu Belah Batu Konkrit (Monoloque feat Azlina Aziz).

    TRIVIA ALYAH

  • Mudah tersentuh apabila… melihat tangisan ibu.
  • Insan yang paling ingin ditemui… Tun Dr Mahathir Mohamad.
  • Tenang bila berada di… tempat percutian.
  • Aset paling berharga dalam hidup… suara.
  • Destinasi yang belum pernah dan ingin dilawati… Venice, Itali.
  • Lagu kegemaran sekarang… Part of Me (Katy Perry)

Eida turun 20 kilo

May 16, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

HAMPIR tidak mengenali Eida Moin yang menjadi pengacara pada majlis pra dengar lagu baru Nurul Huda Abdul Wahab, di Duchess, Jalan Ampang, baru-baru ini.

Mana taknya, Eida, 33, yang sebelum ini mempunyai berat badan 72 kilogram, kini sudah berkurang kepada 52 kilogram.

Apa rahsianya? Kata Eida dia tidak melalui proses diet yang melulu dan tetap mengambil makan seharian seperti biasa.

“Eida makan seperti biasa tapi elak daripada mengambil karbohidrat berlebihan. Kalau ambil nasi pun sikit saja. Mula-mula ikuti program diet lima bulan lalu, Eida hanya makan makanan stim dan banyakkan minum air kosong.

“Selain diet, Eida juga mengamalkan pemakanan kesihatan nutrisi. Hasilnya, dalam tempoh lima bulan, Eida boleh hilangkan 20 kilogram,” ceritanya.

Bagaimanapun sempat juga dia melahirkan kekecewaan kerana meskipun berat badan sudah menurun, tawaran lakonan masih sukar diperoleh.

“Kita sudah penat menurunkan berat badan, pengarah suruh gemuk balik kalau nak berlakon. Ish, cukup-cukuplah badan nampak macam belon, nanti takut penyakit lain pula datang,” katanya terus terang.

Eida yang pernah bergandingan dengan adiknya, Eddy dalam duo Moin berkata, sekarang ini bukan sahaja berlakon, dia juga aktif menjadi pengacara.

Selalu juga dia diundang menjadi pengacara untuk program hari keluarga badan-badan korporat.

“Dah lama Eida jadi pengacara sebenarnya. Biasalah Eida suka bercakap. Untuk jadi pengacara hari keluarga tidak perlu formal,” ceritanya.

Oleh kerana dia bermula sebagai penyanyi, maka niat untuk meneruskan langkah dalam bidang nyanyian tetap ada tapi Eida hanya menunggu waktu yang sesuai untuk kembali ke dunia seni suara.

“Ada juga orang panggil menyanyi tapi Eida malas sebab tidak ada lagu baru. Kalau untuk satu atau dua lagu, Eida ambil juga.

“Memang ada niat nak buat comeback menyanyi, tapi tak nak tergesa-gesa. Kalau boleh Eida nak bila buat penampilan, biarlah yang menarik,” kata ibu kepada Nur Dhia Dania, 4.

Almy Nadia serah pada Fizz

May 15, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

PERNAH seketika, jiwanya meronta dan bibirnya terus terkunci tidak terkata. Bukan sekadar rasa takut dan bimbang terus ditembak akan persoalan sama, namun lama-kelamaan timbul pula rasa muak.

Soal cintanya bersama aktor popular Fizz Fairuz tidak pernah lekang ditanya setiap kali berdepan media. Namun tidak sekali meletakkan rasa salah itu pada teman wartawan yang ingin berkongsi kisah itu, sebaliknya, kata Almy Nadia Aminuddin Shah, biarlah apa yang tertinggal tanpa tanda tanya itu dibiarkan dulu.

Peliknya, si empunya senyuman manis ini sendiri tidak tahu akan status cintanya apatah lagi ingin bersembang lanjut mengenai kisah itu.

“Saya punya harga diri dan maruah sebagai wanita. Lebih lima tahun mengangkat kisah cinta yang sama, asyik saya saja yang memberi kenyataan. Lantas saya fikirkan biarlah pihak Fizz pula yang bercerita lanjut dan saya hanya menanti jika benar apa yang diperkata. Bukan bosan atau terkilan sebaliknya saya tidak mahu ada pihak bersuara kononnya hanya saya terhegeh-hegeh.

“Keluarga juga sudah mula bising untuk saya tidak lagi mengulas mengenai soal itu kerana apa yang mampu saya ceritakan, semuanya tiada jalan untuk dimulakan. Saya sendiri tidak tahu akan status kami berdua kini. Mungkin kerana saya terlalu sibuk dengan menguruskan pelbagai perkara mengenai pengambilan anak angkat dan Fizz pula penuh dengan jadual lakonannya, jadi biarkan semuanya selesai dulu.

“Bagaimanapun, mengenai isu kononnya Fizz ingin menyunting saya tahun ini dan menanti ibunya pulang dari umrah, saya rasa lebih baik perkara itu ditanya sendiri kepadanya. Bagi pihak saya, lebih manis untuk berdiam diri,” katanya tersenyum.

Sebelum ini sebuah portal hiburan menyiarkan kenyataan Fizz yang sudah pun memasang niat untuk mengahwini Almy pada tahun ini dan perkara itu akan menjadi kenyataan selepas ibunya kembali mengerjakan umrah pada Jun depan bagi menetapkan tarikh pernikahan.

Fizz dan Almy sudah diketahui umum menyemai cinta sejak lima tahun lalu, namun, kisah cinta itu bagai perlahan-lahan senyap dan kemudian hilang dari pentas industri selepas masing-masing tidak lagi dilihat bersama menghadiri majlis rasmi mahupun menghadiri sesi fotografi.

Bagaimanapun, tatkala persoalan adakah mereka putus cinta diajukan sebelum ini, baik Fizz, mahupun Almy, masing-masing menafikannya.

Tambah pelakon jelita berusia 26 tahun ini petang itu, apa yang diharapkan agar kisah cintanya tidak lagi terus membelenggu atau menenggelamkan hasratnya yang ingin kembali mencipta nama kali kedua.

“Saya memang menghilangkan diri selama lebih dua tahun ini kerana menumpukan kepada soal peribadi. Saya banyak menghabiskan masa di kampung di Pulau Pinang dan berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk melakukan beberapa kerja yang tertanggung. Bukanlah hilang itu terus lari daripada dunia lakonan, sebaliknya saya tidak langsung muncul di mana-mana media kerana terlalu sibuk menguruskan perkara lain.

“Namun dalam pada diam itu, saya masih terikat dengan beberapa drama termasuk Cinta Buat Emelda yang baru saja habis ditayangkan di slot Akasia TV3 dan sebuah lagi drama yang kini ditayangkan iaitu Cinta Berkalong Duri di RTM. Kiranya masih ada tawaran yang datang cuma saya tidak lagi aktif untuk melakukan sesi fotografi saja.

“Lantas selepas semuanya selesai kini, saya kembali semula untuk aktif dalam kerjaya lakonan. Justeru, saya berharap agar kisah cinta dan persoalan mengenai hubungan saya dan Fizz tidak terus memburu hingga meletak tujuan asal saya jauh ke belakang,” katanya.

Bintang filem Dunia Baru The Movie ini ditemui di rakaman program baru terbitan TV3, BROS di studio NTV7 di Glenmarie, Shah Alam, selepas lebih dua tahun menyepi diri.

Lantas peluang yang ada diguna sebaik mungkin untuk bertanyakan soal ke mana menghilangnya dia dan apa pula perkembangan dirinya yang terbaru.

Bagai sudah mengagak persoalan yang ingin diajukan, Almy tersenyum dan lekas menunjukkan gambar insan paling bermakna buat dirinya di telefon bimbit yang dipegang.

“Jika ramai yang bertanya ke mana saya selama dua tahun ini, saya sibuk menguruskan buah hati pengarang jantung saya, Nurafrina Darwisyah. Inilah insan paling bermakna buat saya ketika ini,” katanya.

Nurafrina Darwisyah yang kini berusia dua tahun enam bulan adalah anak angkat Almy yang sudah pun diambilnya sejak dalam kandungan lagi. Namun proses pengambilan anak angkat tidaklah semudah yang disangka.

Kata Almy, selama lebih dua tahun ini, dia terpaksa berperang dengan pelbagai prosedur termasuk surat angkat sumpah, surat perjanjian, proses surat beranak dan kini menanti MyKid pula disiapkan.

Namun Almy yang berseri-seri mengukir senyum dan tidak lekang bercerita mengenai puteri kesayangannya itu, Nurafrina Darwisyah adalah anugerah terindah buatnya.

“Sejak dulu lagi saya memang ingin sekali memiliki anak dan alhamdulillah dua tahun lalu saya diberikan rezeki apabila ada pihak yang sudi menyerahkan anaknya kepada saya. Sejak dalam kandungan lagi hingga Nurafrina selamat dilahirkan, saya tidak berhenti menjaganya kerana terlalu seronok untuk mempunyai anak.

“Lantas sepanjang dua tahun ini, saya memang kerap berulang-alik ke kampung untuk menguruskan banyak perkara selain menjaganya. Saya terlalu sayangkan Nurafrina dan dialah yang menjadi teman paling setia ketika ini,” katanya yang mengakui Fizz tahu perkara itu, namun belum sempat menjenguk Nurafrina lagi.

Tambah Almy, Nurafrina bagai satu percaturan apabila menyerupai dirinya baik dari sudut perangai mahupun air mukanya.

“Nurafrina memang banyak berkongsi perangai dengan saya. Malah, minatnya juga lebih kurang saja dengan saya. Memang saya ingin memiliki seorang anak sejak dulu lagi kerana saya sukakan kanak-kanak dan menyifatkan mereka adalah insan terbaik untuk menemani di kala sunyi dan gembira. Saya begitu seronok ketika ini kerana pada tarikh hari lahir saya pada 27 April lalu, dia sah menjadi milik saya.

“Alhamdulillah, semuanya selamat dan kini saya memang meletakkan sepenuh fokus untuk membesarkan Nurafrina,” katanya.

Tak benar isteri berlakon

May 15, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

ANTARA faktor Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011), Aaron Aziz menjadi tumpuan peminat kerana ketampanan wajahnya selain memiliki susuk tubuh yang agak tegap.

Namun, di sisi lain, dia juga memiliki seorang isteri tersayang yang tidak kurang cantiknya iaitu, Diyana Halik, 31.

Tidak dinafikan, di sebalik populariti Aaron selepas memegang gelaran Bintang Paling Popular, Diyana turut terkena tempias populariti apabila wajah jelitanya juga semakin kerap menghiasi akhbar mahupun majalah hiburan.

Tidakkah ada pihak menawarkannya berlakon? Sambil menjeling ke arah isterinya, lelaki itu tersenyum apabila diajukan pertanyaan itu.

“Dia (Diyana) kalau nak memang sudah lama berlakon.

Di Singapura pun saya mengenali Diyana ketika dia bekerja di syarikat produksi, milik bapa saudaranya di sana. Jadi memang tidak ada masalah kalau dia nak cari glamor dengan berlakon,” katanya selepas menerima satu set barangan kemas Rafflesia dalam satu majlis ringkas di ibu negara, semalam.

Aaron menjelaskan, dia memang tidak membenarkan isterinya berlakon dan berasakan tanggungjawab Diyana sebagai isteri yang dianggap besar dan perlu diberikan tumpuan sepenuh masa.

“Sekiranya benar dia ingin berlakon, sudah tentu saya tidak benarkan. Bagi saya watak ibu semula jadi yang dibawanya sekarang pun lebih bermakna buat saya dan anak-anak,” katanya.

Aaron juga mengakui kejayaannya dipilih peminat sebagai Bintang Paling Popular ABPB2011 dilihat bukan kemenangannya seorang.

Ia mungkin sukar dicapai jika tidak disebabkan ada insan setia yang cukup dedikasi mengurus segala karier seninya iaitu isteri tercinta, Diyana.

Oleh itu, amat bertepatan apabila barang kemas tajaan Rafflesia Mandalay bernilai RM250,000 yang dimenangi Aaron sebagai Bintang Paling Popular disarungkan di leher jinjang teman hidupnya itu sebagai tanda terima kasih.

“Memang Diyana insan paling istimewa yang ingin saya hadiahkan barangan kemas pemberian Rafflesia. Selama ini pun kejayaan kerjaya seni saya adalah hasil titik peluh bersama.

“Dia banyak mengurus kerja seni saya baik mendapatkan tawaran berlakon mahupun menguruskan permit kerja. Selain itu dia juga setia menemani ke majlis yang saya hadiri serta lebih mengharukan menjadi ibu yang baik kepada anak-anak kami,” katanya.

Aaron turut mengakui barangan itu menjadi hadiah dengan nilai yang paling mahal pernah diterima sepanjang hidupnya.

“Memang saya terkejut dengan nilai barangan ini, ia menyamai nilai sebuah rumah berharga sederhana dan saya macam tidak percaya ia sekarang berada di leher isteri saya.

“Saya tidak pernah menerima hadiah semahal ini dan secara tidak langsung ia menjadi barangan paling mahal berada dalam rumah saya.

“Apa pun saya tidak akan menjual barang ini dan akan menjaga ia dengan baik dan mungkin saya tidak akan menyimpannya di rumah,” katanya.

Hadir sama pada sesi penyerahan barangan itu, Pengarah Rafflesia Pearl Centre, Winnie Sin dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH2011 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar.

Beraksi ghairah: Nora Danish dikritik!

May 13, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

HAMPIR dua minggu berada di Tanah Suci bagi mengerjakan umrah, akhirnya aktres jelita, Nora Danish selamat tiba di tanah air, 10 Mei lalu.

Beraksi ghairah: Nora Danish dikritik!
Nora Danish

Rasanya ramai yang mencari Nora kerana sepanjang pemergiannya di Tanah Suci, gambar pelakon drama Tentang Dhiya ini beraksi seksi di sebuah majalah menjadi perbualan hangat.

Penampilan Nora mengejutkan peminatnya kerana biarpun sering tampil dengan imej seksi, namun Nora kelihatan lebih ‘berani’ dalam majalah itu.

Zass cuba menghubungi Nora bagi mendapatkan kenyataannya berkenaan perkara itu tetapi gagal. Mungkin Nora masih mahu berehat selepas pulang ke tanah air.

Apa pun, sama-samalah kita tunggu Nora memberikan kenyataannya dalam masa terdekat.

Cuba pelbagai watak

May 13, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

MEMILIKI kecantikan unik hasil perkahwinan campur dianggap satu kelebihan buat dua dara jelita ini, Diana Danielle Danny Beeson, 21, dan Siti Saleha Mohd Baharum, 22, untuk mencipta nama dalam bidang seni.

Buktinya, nama Diana mula menambat hati peminat apabila muncul dalam drama bersiri Airmata Maria. Populariti diraih membolehkan pelakon berdarah Melayu-Amerika ini beraksi di layar perak.

Dalam tempoh lima tahun pembabitannya dalam seni, Diana membintangi 10 filem antaranya Maut, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Magika, …Dalam Botol, Azazil dan Hanyut.

Perkara sama turut dilalui Saleha. Selepas drama bersiri dibintangi, Nora Elena bersama Aaron Aziz mendapat sambutan, adik kepada penyanyi utama kumpulan Bunkface, Sam ini mula menjadi buruan penerbit filem.

Antara karya layar lebar dibintangi termasuklah Zombie KL, Pak Pong, Bravo dan Kerat 14. Kini pelakon berdarah kacukan Inggeris-Melayu ini sedang menanti penggambaran filem terbarunya, Cinta Manis.

Perkembangan kerjaya dua aktres ini membuktikan penerimaan umum terhadap mereka semakin baik, tidak seperti dulu apabila rata-rata pelakon berdarah kacukan atau lebih popular dengan gelaran ‘mat saleh’ sering merungut tawaran untuk mereka tidak banyak dan watak diberi agak terhad.

Ditemui di sesi fotografi khas bersama Selebriti Metro Ahad, Saleha akui kenyataan itu. Katanya, setakat ini watak ditawarkan kepadanya banyak yang pelbagai dan ini memberinya lebih peluang untuk menonjolkan bakatnya.

“Waktu mula-mula membintangi drama 5 Jingga, saya akui agak payah untuk menyesuaikan diri terutama dari sudut pertuturan. Bagaimanapun, saya beruntung kerana watak dipegang memang menggambarkan saya anak kacukan Inggeris. Selepas itu, saya mula belajar dan memperbaiki segala kelemahan.

“Pada saya, Nora Elena banyak mengubah persepsi umum mengenai diri saya dan juga kemampuan dalam lakonan. Ini kerana watak Nora Elena itu sendiri mengubah saya tidak kelihatan seperti anak orang putih dan lakonan saya sendiri langsung tidak nampak ‘mat saleh’.

“Saya yakin apabila seorang pelakon berdarah kacukan itu mampu membuktikannya dengan bakat, soal tawaran kurang dan watak terhad tidak lagi timbul,” katanya.

Diana pula yakin seorang pelakon itu hanya akan bertahan dengan bakat kerana kecantikan dimiliki tidak akan kekal. Katanya, tidak kira pelakon berdarah kacukan atau tidak, tapi kalau kerjaya lakonan stereotaip ia tidak akan membawanya ke mana-mana.

“Setiap kali berlakon, saya pastikan watak dibawa berbeza agar penonton menilai sendiri. Syukur sepanjang pembabitan saya dalam bidang lakonan seawal usia 16 tahun, pelbagai watak sudah ditawarkan. Saya gembira kerana orang tidak melihat saya dari sudut fizikal semata-mata tetapi bakat dalam menzahirkan setiap watak,” katanya.

Pelakon yang kini hangat menjalin cinta dengan aktor Farid Kamil turut menegaskan, sekiranya bakat ditampilkan tinggi dalam setiap karya dilakukan, kecantikan itu akan terserlah.

Katanya, Meryl Streep yang menang Aktres Terbaik di Anugerah Academy sebanyak tiga kali yang juga idolanya, sangat dikagumi kerana lakonannya walaupun tidak cantik berbanding aktres Hollywood lainnya.

“Sebagai pelakon kacukan, saya akui masih janggal sekiranya diberi peranan gadis kampung. Bagi saya ia bukan saja tidak sesuai dengan penampilan malah saya kurang mahir dengan gaya hidup luar bandar.

“Memanglah untuk mengubah wajah saya menjadi gadis kampung boleh dilakukan dengan teknik solekan, tetapi untuk memaparkan corak hidup gadis desa itu yang perlu saya dalami.

“Bimbang sekiranya ia tidak kena gaya boleh mengundang rasa sensitif.
Begitupun, pada saya ia satu cabaran dan sebagai pelakon, sekiranya diberi watak sedemikian, saya akan berusaha untuk mendalaminya agar lakonan benar-benar hidup,” katanya.

Enggan cerita soal peribadi

BERTEMU Saleha, ternyata gadis yang mewarisi darah Inggeris dari sebelah ibunya ini peramah dan mudah didekati. Tanyalah apa saja soalan pasti akan dijawabnya dengan penuh jujur. Kata pelajar Inti College dalam jurusan komunikasi ini dia tidak mahu berbohong kerana enggan dituduh hipokrit.

Begitupun tegasnya, kejujuran diberikan ada hadnya selagi ia tidak melanggar batas peribadi dan perkara itu akan dimaklum lebih awal agar semua pihak memahami.

“Saya tahu sebagai artis, memang saya hak masyarakat dan peminat ingin tahu, tetapi tidak semua boleh saya kongsi. Cukuplah saya katakan sekadar mereka tahu siapa saya. Contohnya, saya akui sudah mempunyai teman lelaki. Tidak mahu menyorok perkara benar kerana bimbang kelak ada yang nampak kami berdua, ia menjadi gosip yang kurang enak didengar.

“Apabila saya beritahu sudah punya teman lelaki, diharap umum faham apabila terserempak dengan kami. Tapi cukup sekadar itu dan saya tidak akan bercerita lebih siapa kekasih saya, apa namanya atau kerja di mana. Pada saya, ia terlalu peribadi dan tidak mahu privasinya pula diganggu gugat.

“Begitu juga dengan hal peribadi, selama ini saya selalu berterus-terang bahawa kedua ibu bapa bercerai dan kami dibesarkan oleh ayah. Cukup setakat itu saja yang umum perlu tahu, janganlah sampai mahu bertemu ahli keluarga dan bertanya. Atau ada yang mahu datang ke rumah mahu mengadakan sesi fotografi.

Pada saya, ia sesuatu cukup peribadi dan tidak seharusnya membabitkan ahli keluarga lain,” katanya yang mahu cerita membabitkan kerjaya seninya saja ­diketengahkan.

Kesibukan dengan kuliah menyebabkan Saleha kini mengurangkan aktiviti lakonan sebaliknya sedang merancang untuk memberi tumpuan kepada lakonan filem dan model untuk iklan beberapa produk. Terbaru, Saleha baru saja memperbaharui kontrak sebagai bintang Enchaunter dan menandatangani kontrak sebagai duta Palmolive.

Sebagai pendatang baru, Saleha mengakui bertuah kerana digandingkan dengan pelakon berpengalaman dalam setiap drama dan filem seperti Aaron, Fauzi Nawawi, Adi Putra dan Remy. Walaupun usianya dengan mereka jauh berbeza, peluang yang datang digunakan untuk memantapkan lakonan dan waktu sama menimba ilmu sebanyak mungkin daripada mereka.

Ibu tidak halang hubungan Diana dan Farid

PELBAGAI cerita kurang enak membabitkan Diana dan Farid timbul kebelakangan ini. Ada cerita mengatakan pelakon utama filem Azazil arahan Kabir Bhatia itu lari dari rumah gara-gara ibunya tidak setuju dengan hubungan mereka. Ibunya juga dikatakan banyak mengongkong Diana, sampaikan ada pihak media mahu merakamkan gambar mereka berdua tidak dibenarkan.

Bertemu gadis berperwatakan manja ini, Diana menjelaskan semua perkara berlaku tidak ada kena mengena dengan ibunya. Malah hubungannya dengan Farid masih intim dan ibunya tidak pernah menghalang apatah lagi mencampuri urusan mereka berdua.

“Cerita yang mengatakan ibu menghalang dan tidak membenarkan kami bergambar berdua juga tidak benar. Ia memang datang dari saya sendiri. Tindakan ini saya ambil kerana berasakan kurang manis apabila hubungan cinta kami digembar-gemburkan. Lainlah jika kami sudah berkahwin.

“Perkara ini juga sudah saya jelaskan kepada Farid dan dia memahami. Kami tidak bergaduh dan jauh sekali sudah memutuskan hubungan. Cuma pada saya, cukuplah peminat tahu yang kami bercinta tetapi tidaklah selalu muncul di media, takut nanti lama-lama orang meluat.

“Pada saya hubungan kami biarlah menjadi sesuatu yang privasi untuk kami.
Kalau ia turut dijadikan paparan umum, sudahnya apa lagi yang tinggal untuk kami berdua,” katanya.

Memandangkan Farid kini aktif mengarah filem, tidakkah Diana mahu bekerja dengan buah hatinya itu seperti apa yang dilakukan Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani sebelum ini.

Kata Diana, dia tidak akan mencampuradukkan hal peribadi dan kerja. Akuinya, kalau orang bercinta agak susah kerja bersama.

“Saya kenal diri saya dan waktu sama saya cukup kenal dengan Farid. Dia orangnya sangat tegas di lokasi. Bimbang nanti kalau dia tegur, saya akan terasa kerana saya memang agak sensitif.

“Kalau perkara begini berlaku akan menimbulkan rasa kurang senang kepada orang lain. Pada saya, sebagai kekasih yang sama-sama menceburi bidang ini, kami faham situasi sebenar bekerja. Tidak mahu pula kerana kerja, hubungan kami berantakan.

“Begitupun, sebagai orang yang rapat dengan Farid, saya selalu menyokongnya dari belakang. Kalau keluar sesekali kami akan berbincang dan bertukar-tukar fikiran mengenai apa saja karya yang ingin kami lakukan. Rasanya perkara seperti ini lebih sihat untuk hubungan kami berdua,” katanya.

Hanez baru mencari tapak

May 12, 2012 by  
Filed under Hiburan

Comments Off

ANGKA ‘8’, bilang orang Cina ‘banyak ong!’. Lapan tahun, bagi pelakon cantik, Hanez Suraya Abdul Aziz, 27, adalah saat paling mengujakan dalam hidupnya apabila kehadiran di persada lakonan makin mendapat perhatian.

Lama menanti saat itu, namun tidak pula bersarang rasa kesal di hati Hanez meskipun terpaksa mendaki tangga populariti secara perlahan-lahan.

Bertemu Hanez secara empat mata baru-baru ini, tiada kurangnya dia berbanding jelitawan-jelitawan yang menghiasi skrin televisyen jika diukur daripada segi paras. Namun, mengapa terpaksa dia mengambil masa lama untuk menyerlah? Sedangkan ada juga pelakon wanita berwajah cantik namun lakonan suam-suam kuku, lebih popular.

“Untuk menjawab soalan itu saya tidak punya jawapan. Mungkin rezeki saya baru sekarang ada. Pun begitu, sepanjang lapan tahun meski tidak begitu dikenali, Alhamdulillah ada saja ‘kerja’ saya terima, cuma watak yang diberikan tidaklah besar.

“Terus-terang saya tidak kesal atau berasa kecewa. Bahkan sangat bersyukur, disebabkan tidak naik secara mendadak membuatkan saya sentiasa berazam untuk menjaga kualiti lakonan dan memberi persembahan yang terbaik supaya suatu hari orang pandang bakat saya.

“Erti mengalah atau berputus asa tidak pernah wujud dalam kamus kehidupan saya. Nyata usaha serta kesabaran selama ini suatu penantian yang berbaloi,” katanya.
Diperkenalkan menerusi filem Bicara Hati arahan Datin Rosnani Jamil pada 2004, Hanez adalah pelakon seangkatan Nur Fazura dan Sheera Iskandar.

Berbanding dua nama itu yang sudah menempah kedudukan selesa, sebaliknya Hanez baru hendak mencari tapak. Apakah, pernah dia dihambat cemburu terhadap mereka?

“Saya tidak pernah cemburu malah menjadikan mereka inspirasi dan kalau hendak tahu, Fazura adalah salah seorang pelakon kegemaran saya,” katanya.

Akui pelakon tinggi lampai bermata bundar ini, dia harus berterima kasih kepada pengarah dan produser yang memberi kepercayaan kepadanya membawa watak antagonis.

“Saya perasan orang mula mengenali saya bila saya melakonkan watak antagonis. Bertitik-tolak daripada drama Exora yang disiarkan pada 2009, sedikit demi sedikit orang mula mengenali saya. Mungkin watak antagonis mudah diingati, kerana ia lebih dominan.

“Namun, ada cabarannya apabila terlalu kerap membawakan watak jahat. Saya harus mempelbagaikan karakter jahat itu kerana jahat ada macam-macam. Jahat terang-terangan, jahat dalam diam, kejam dan macam-macam lagi.

“Kesemua itu perlu disuntik emosi yang betul,” katanya mengagumi keberkesanan Jasmin Hamid dan Sheila Rusly melakonkan watak antagonis.

Bertahun di sogok watak sama, akhirnya Hanez mampu menarik nafas lega apabila kebelakangan ini dia mula diberi kepercayaan membawakan watak baik sebagaimana Adila, yang dipersembahkan menerusi drama 3 Janji yang bersiaran di slot Lestary, setiap Selasa jam 9.00 malam di TV3.

Drama diterajui oleh Liyana Jasmay dan Shahrizal Jaszle serta turut menampilkan Shah Iskandar, Ana Dahlia dan Idzham Ismail itu mengisahkan Dalia yang kehilangan teman lelakinya, Khursyi yang meninggal dunia.

Bagaikan kehilangan sesuatu dalam dirinya, Dalia pasrah tetapi cuba menguatkan diri untuk meneruskan hidupnya. Dalia reda dengan pemergian Khursyi dan sentiasa teringat kepada tiga janji yang pernah dilafazkan oleh Khursyi.

“Dalam 3 Janji saya pegang watak maksu kepada Dalia. Sebelum ini saya sering kali juga bawa watak mak-mak tetapi menjadi ibu kepada anak tiri yang jauh lebih tua daripada saya.

“Terbaru, saya membintangi drama Suri arahan Emy Sufian. Drama itu akan ditayangkan menerusi slot Azalea, TV3 tidak lama lagi. Saya sendiri memegang watak sebagai Suri dan permainan karakter itu sangat berbeza dengan drama-drama yang pernah dijayakan sebelum ini.

“Jujur, saya tidak pernah menyangka memperoleh peluang ini, memegang watak utama untuk drama terbitan TV3. Saya terharu kerana pihak stesen itu memberi kepercayaan kepada saya. Kisah Suri ini ada sedikit persamaan dengan Bawang Putih Bawang Merah.

“Suri mempunyai musuh sejak di bangku sekolah iaitu Kira (lakonan Izreen Azminda) dan konflik di antara mereka menjadi tambah rumit apabila ibu bapa mereka berkahwin. Apa yang menyeronokkan bekerja dengan Izreen, kami sudah lama mengenali satu sama lain.

“Malah, kami berdua sama-sama ingin memanfaatkan peluang diberikan TV3 dengan memberi persembahan lakonan yang baik. Justeru kami kerap berlatih untuk memastikan setiap babak yang kami lakonan meninggalkan impak kepada penonton,” katanya pernah membintangi Bunga April yang diterajui Tasha Shila.

Semekar namanya tatkala kini, semakin kecil ruang ‘privasi’ Hanez apabila kisah percintaannya dengan penyanyi berbakat besar, Awi Rafael, mula heboh. Tersipu-sipu malu sebaik mendengar nama Awi, Hanez tidak mengiyakan atau menidakkan gosip berkenaan.

“Kami masih dalam peringkat mengenal hati budi masing-masing. Kami berkenalan sewaktu sama-sama mengikuti Jom Heboh di mana saya mempromosikan drama dan Awi pula adalah barisan artis yang membuat persembahan konsert.

“Terus-terang saya tidak pernah meminati Awie tetapi sangat sukakan lagunya, Bila Aku Jatuh Cinta. Hendak dijadikan cerita pada malam konsert kami bertemu di belakang pentas, ambil gambar dan dia bercerita yang dia sedang mencari model untuk klip video lagu terbarunya.

“Kami bertukar nombor telefon dan dua hari kemudian kami berjumpa untuk berbincang mengenai klip video kerana dia berminat untuk menggunakan saya sebagai model. Keesokan hari-hari selepas itu, perbualan tidak lagi berhubung soal kerja tapi seperti mahu mengajak saya ‘dating’.

“Itulah kata orang tua-tua, kalau tidak suka seseorang itu jangan cakap sebarangan. Nah! ‘ambik’ sekarang saya pula yang dah suka dengan dia…. (hahahaha). Awi lelaki paling romantis yang pernah saya jumpa setakat ini,” katanya bersambung ketawa.

Next Page »