Datuk Rosnani Jamil
Datuk Rosnani Jamil Kunci Bahagia di Tangan Kita!

Disebabkan itu pasangan bahagia ini banyak menghabiskan masa di rumah mereka di Kuala Lumpur. “Inilah rumah Mak. Mak dan Abah memang berhajat menetap di kawasan kampung pada penghujung usia kami. Lebih santai dan damai di sini, berbanding di Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk. Macam-macam boleh buat. Boleh mandi sungai dan bercucuk tanam. Namun hanya pada hujung minggu sahaja Mak pulang ke rumah di Janda Baik ini,” ujar Datuk Rosnani yang lebih mesra dipanggil Mak Nani manakala abah pula merujuk kepada suaminya, Datuk Jamil Sulong.
Mak Nani ialah seorang wanita yang sangat mencintai ilmu sejak muda lagi. Bagi wanita ini, ilmu sangat penting untuk meningkatkan kemahiran diri. Menurut Mak Nani, sejak dia menetap di Singapura lagi, dia sudah giat menimba ilmu terutama bahasa Inggeris.
“Ketika di Singapura dahulu, arena perfileman Melayu dikuasai oleh pengarah filem berbangsa India. Mereka semua menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan pelakon dan tenaga produksi. Ketika hendak memberi arahan kepada pelakon, mereka akan bercakap kepada penolong pengarah dan penolong pengarah akan bercakap kepada kita apa-apa yang pengarah mahu. Jadi, sebagai pelakon, Mak tak puas hati. Mak mahu pengarah bercakap terus kepada Mak supaya mesej itu lebih jelas.
Sebab itulah Mak belajar bahasa Inggeris, supaya Mak lebih faham apa yang pengarah mahu,” jelas Mak Nani yang begitu sesuai dengan watak Hamidah dalam filem Ibu bersama Tan Sri P. Ramlee yang memegang watak pemain trompet bernama Remy. Mak Nani bukan sekadar belajar di dalam negara tetapi juga hingga ke London, United Kingdom. Ketika di sana iaitu pada 1971 hingga 1972, Mak Nani turut berpeluang bertugas secara sambilan di BBC London. Mak Nani membuat program Keluarga Bahagia untuk siaran radio Suara Malaysia. Tugasnya ialah menemu bual pelajar-pelajar Malaysia di London. Bukan sekadar Suara Malaysia sahaja, tetapi Mak Nani juga berpeluang bertugas di Suara Indonesia kerana boleh berbahasa Indonesia.
“Ketika itu Mak belajar di Universiti London Film School selama dua tahun. Di sana Mak belajar asas solekan dan perfileman. Di samping itu Mak belajar bahasa Inggeris juga. Mak memang suka belajar dan kos pendidikan Mak di sana ditanggung oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA). Mak bangga kerana menjadi artis tempatan pertama yang bekerja di BBC London,” ujar Mak Nani lagi yang manis berkebaya jingga pada hari pertemuan kami. Selain itu, Mak Nani juga digalakkan oleh suaminya supaya menambah ilmu seperti alih suara, penyuntingan dan menulis skrip untuk drama, filem atau bangsawan. Semuanya untuk menambah ilmu dan ternyata sehingga kini, Mak Nani boleh melakukan pelbagai tugas dalam bidang seni. Antaranya berlakon filem, berlakon drama radio, menulis skrip, mengarah dan menerbitkan filem.
Pelajaran Amat Penting
Mak Nani bergiat dalam bidang seni bukanlah untuk mengejar glamor sebaliknya kerana minat. Justeru di samping berlakon, Mak Nani tetap mempelajari kemahiran lain demi memperlengkapkan diri untuk menjadi insan lebih baik. Semangat “Mak bahagia dengan anak-anak. Pada usia begini, Mak fikir segalanya sudah Mak peroleh. Hanya satu sahaja yang Mak tak tercapai lagi iaitu melihat anak Mak menjadi seorang doktor. Pernah Mak suruh anak bongsu menjadi doktor. Anak Mak tak bantah tetapi dia kata begini pada Mak; saya boleh belajar dan jadi doktor tapi saya tak suka. Sebagai ibu, Mak redha, dia kini berjaya dengan kerjaya pilihannya,” kata Mak Nani lagi sambil ketawa besar.
Mementingkan Kesihatan
Bertemu dengan Mak Nani membuatkan saya kagum melihat kecergasannya. Pada usia 75 tahun bolehlah dikatakan bahawa dia memiliki kesihatan dan kecergasan yang begitu mantap. Kata Mak Nani, untuk kekal sihat pada usia sekarang, dia banyak dan rajin bergerak. “Kita perlu aktif dan jangan malas bergerak. Pergerakan tubuh adalah sama seperti bersenam yang boleh membuatkan tulang sihat,” kata Mak Nani yang mengalami sedikit kesakitan di kaki, akibat terjatuh di Singapura. Bagi saya, jika wanita lain seusianya jatuh sedemikian rupa, tentu tidak mampu berjalan, tetapi Mak Nani masih mampu berjalan dan kekal cergas. Selain itu, Mak Nani juga menjaga pemakanan dan tidak makan daging lembu serta ayam. Dia lebih suka makan ikan. Mak Nani juga suka makan sayur kampung apatah lagi kebanyakannya ditanam sendiri di sekitar rumah.
“Mak juga ambil makanan tambahan atau supplemen untuk menyihatkan tulang serta menjaga kulit. Nasihat Mak, makanlah sekadar perlu sahaja dan berhenti makan sebelum kenyang. Tubuh Mak yang kecil ini mungkin faktor keturunan kerana keluarga Mak juga bertubuh begini. Selain itu, untuk penjagaan tubuh pula, kita perlu amalkannya sejak muda. Macam Mak, Mak memang kuat berpantang terutama selepas melahirkan anak dahulu. Mak buat jamu sendiri iaitu kunyit ditumbuk dan diperah airnya. Kemudian campurkan madu lebah serta kuning telur. Bagus untuk kesihatan dalaman,” kata Mak Nani memberi petua sihat yang diamalkannya.
Saling Menghormati
Ketika bertemu dengan Mak Nani di rumahnya, sempat bertemu dengan Datuk Jamil Sulong. Beliau agak kurang sihat namun tetap ramah melayan tetamu yang hadir. Kala makan tengah hari, saya sempat melihat Mak Nani melayan suaminya makan. Ternyata pasangan ini cukup bahagia melayari rumah tangga mereka. “Mak dan Abah adalah dua manusia yang cukup berlainan; ibaratnya siang dan malam. Sikap kami berbeza. Mak suka bercampur orang ramai, dan suka berbual. Namun Abah pula lebih suka duduk di rumah dan membaca di perpustakaan mininya di rumah ini.
Bolehlah Mak katakan bahawa kunci kebahagiaan kami ialah kami saling menghormati. Abah hormat ‘gaya’ Mak dan Mak hormat ‘gaya’ Abah,” katanya lagi. Selain itu, Mak Nani juga mengatakan bahawa dia tidak suka menyusahkan suaminya apatah lagi kala suaminya bekerja. Jika dia boleh uruskan sendiri, Mak Nani akan uruskan sendiri kecuali perkara yang terlalu penting atau kecemasan. “Perkara yang paling menyentuh hati Mak mengenai Abah adalah ketika Mak minta ampun kerana Mak hendak menunai umrah dulu. Ketika itu Abah ampunkan Mak dan dia menerima segala kelemahan Mak sebagai isteri. Itulah yang membuat Mak sangat terharu dan Mak anggap Abah sebagai suami yang sempurna di mata Mak,” kata Mak Nani mengenai suaminya.
Mak Nani juga sedih kerana tidak berpeluang bercuti jauh dengan suaminya pada usia begini kerana halangan kesihatan. Datuk Jamil tidak begitu sihat. Kata Mak Nani, pada usia begini sangat seronok jika dapat bersiar-siar untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri. Pun begitu, Mak Nani tetap seronok menghabiskan masa dengan suami di kediaman indah dan damai mereka di Janda Baik.
Kosongkan almari untuk beramal
INI bukanlah kali pertama jualan amal diadakan oleh Datuk Farida Effendi. Tahun lalu ia diadakan dalam keadaan santai di kediamannya.
IBU dan anak yang berkongsi minat dan gemar membuat kebajikan.
Mengambil kira sambutan yang menggalakkan daripada sahabat dan teman rapat, anak perempuan Farida, Elyna Effendi mencadangkan supaya diadakan jualan amal di satu tempat yang lebih luas dan boleh dikunjungi lebih ramai orang.
Lalu keputusan diambil dan 15 April ini bakal menyaksikan jualan amal oleh Farida, anaknya Elyna dan beberapa lagi selebriti tempatan di Red Carpet Avenue, The Strand, Kota Damansara.
Charity Bazaar Carnival @ The Strand Kota Damansara itu bukan sekadar hari berjual-beli, sebaliknya pelbagai program menarik turut menanti pengunjung.
Bukan sekadar untuk orang dewasa, karnival ini juga bakal menghiburkan kanak-kanak dengan acara seperti lukisan serta hiburan oleh badut.
Farida juga telah berbesar hati ‘mengosongkan’ almari beliau untuk jualan amal itu yang disifatkannya sebagai satu amalan yang dapat memberikan dirinya ketenangan fikiran.
Pada jualan tersebut, Farida akan menjual barangan kesayangan seperti beg tangan, baju kurung, blaus, barang perhiasan rumah dan kasut.
Lebih menarik ia adalah barangan yang masih elok dan berkeadaan seperti baru.
“Rugi kalau tak datang jualan ini kerana barangan ini akan dijual pada harga yang yang amat berpatutan.
“Selain itu dapat juga menyertai banyak aktiviti menarik yang telah saya rangka untuk pengunjung,” kata Farida ketika ditemui di kediamannya, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu Elyna berkata, tujuan mereka uar-uarkan pada umum kerana mahukan penyertaan lebih ramai pengunjung pada hari tersebut.
Ini kerana ia bukan sekadar jualan amal tapi hari untuk setiap ahli keluarga berhibur dengan aktiviti di samping merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.
Semua hasil kutipan daripada jualan itu pula akan disalurkan ke dalam akaun badan kebajikan yang terpilih.
“Kami mahu lebih ramai orang datang. Sebab itu ruangan yang lebih luas dipilih untuk jualan amal ini.
“Bukan hanya saya dan ibu yang akan menjual barangan kesayangan kami, beberapa artis dan selebriti tempatan juga akan turut serta menjual barangan kesayangan mereka pada hari tersebut.
“Antara artis yang telah bersetuju untuk turut serta ialah seperti Jeslina Hashim yang akan menjual aksesorinya, Linda Jasmin dan Que Haidar, Maya Karin dan beberapa lagi artis.
“Lebih menarik 100 peratus hasil jualan ini akan didermakan kepada badan kebajikan. Antara rumah kebajikan yang telah kami kenal pasti ialah Yayasan Anak-Anak Chow Kit, Kiwanis dan Rumah Anak Yatim Darul Hikmah.
“Saya juga terlibat menjual pakaian anak-anak yang masih elok, pakaian dari butik suami saya, buku-buku dan permainan yang semuanya masih dalam keadaan baik,” ujar Elyna yang menemani ibunya sepanjang temu bual tersebut.
Menurutnya lagi, sepanjang jualan amal tersebut, terdapat juga jualan makanan dan minuman yang mana peratusan daripada hasilnya turut disumbangkan untuk kebajikan.
Malah ibunya yang memang hebat dalam dunia masakan tradisional turut akan menjual makanan demi tujuan amal.
“Ibu memang suka memberi layanan kepada tetamunya dan beliau memang seorang yang pandai memasak dan hos yang baik.
“Banyak yang saya belajar daripada beliau termasuklah untuk melakukan seberapa banyak perkara kebaikan agar ia dapat memberi manfaat kepada orang lain pula,” ujarnya yang mengagumi ketabahan ibunya.

Warisan
Ketika ditanya tujuan beliau menganjurkan jualan tersebut kata Elyana: “Sejak kecil lagi ibu sudah mengajar saya agar menjadi seorang yang prihatin dengan nasib orang lain.
“Idea untuk jualan amal ini juga sememangnya idea beliau. Ibu memang selalu mendidik kami adik-beradik untuk memikirkan keperluan orang lain.”
Malah Elyna mengakui ibunya bukanlah jenis yang suka mencanangkan tentang perkara yang dibuat kerana bagi ibunya itu satu tindakan yang tidak baik.
“Selama ini ibu terlibat dengan bermacam aktiviti amal tapi dia memang tidak suka sebarang liputan.
“Untuk jualan kali ini saya telah memaksanya dengan menyatakan bahawa ia sebahagian dari promosi supaya lebih ramai orang dapat datang dan turut serta dengan jualan terbabit.
“Lebih ramai maka lebih meriah dan lebih banyak sumbangan dapat diberikan kepada badan amal yang terpilih.
”Badan amal yang telah kami pilih juga bersetuju bantuan diberikan berbentuk wang berbanding barangan, maka ini adalah cara yang terbaik,” jelas Elyna yang juga akan bersama anak-anaknya Putri Elyca Faiza Casmad, 7, dan Mecael Effendi, 5.
Elyna juga sempat berkongsi perasaan tentang apa yang dilalui bersama ibu kepada anak-anaknya.
“Apa yang diajar ibu saya turunkan kepada anak-anak saya. Sangat seronok apabila melihat anak-anak saya mula menyimpan barangan permainan lama mereka ke dalam kotak dan menyatakan bahawa mereka mahu lakukan ini demi menolong orang yang kurang bernasib baik.
“Inilah antara pendidikan berharga yang kita belajar dari ibu bapa dan seterusnya diturunkan kepada anak-anak pula.
“Zaman sekarang memang mudah untuk spoil anak-anak sebab itu sebagai ibu dan bapa perlu mainkan peranan yang sepatutnya. Saya juga bertuah kerana ibu saya seorang nenek yang begitu mesra dengan empat orang cucunya. Malah beliau sentiasa mengunjungi kami untuk bermain dengan cucu,” ujar Elyna yang mengakui mewarisi sifat ibunya dalam mendidik anak.
Pewaris legasi songket Terengganu
TUMPUAN mata Noriah Ashari seakan-akan enggan berganjak daripada televisyen skrin panel rata sambil mulut mungilnya tidak putus-putus memuji keindahan pelbagai rekaan busana yang dikenakan para permaisuri, kerabat diraja dan orang kenamaan yang hadir pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara, Rabu lalu.
“Afzan, cuba tengok pakaian anakanda puteri Agong, Tengku Soraya dan suaminya itu.
“Baginda puteri menempah songket ungu tersebut di sini.
“Songket coklat yang dikenakan Toh Puan Bendahara Kedah itu juga sama. Ia hasil tenunan Atikah’s Songket.
“Baju songket yang dipakai isteri Tuan Yang Terutama Sabah juga ditempah di sini,” ujar Noriah, 49, penuh teruja.
Perasaan yang menjentik jiwa usahawanita lepasan Diploma Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini bukanlah refleksi bangga kerana hasil tenunan Atikah’s Songket, jenama yang diwarisi daripada arwah ibunya Atikah Mohd. menjadi pilihan kerabat diraja ataupun golongan bangsawan.
Sebaliknya, keterujaan itu menterjemahkan rasa syukur kerana beliau masih berupaya mempertahankan legasi perniagaan Atikah’s Songket.
Dalam pertemuan bersama Noriah di butik Atikah’s Songket di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini, penyambung warisan songket Terengganu ini mengakui, songket memberikan pengaruh yang sangat besar dalam hidupnya.
“Songket sudah sebati dalam hidup saya, mungkin kerana sejak kecil saya melihat ibu menenun dan sering menemaninya menjual songket.
“Pelanggan ibu pula bermacam-macam, daripada kerabat diraja, pembesar negara, agensi kerajaan, syarikat korporat hinggalah rakyat biasa.
“Kegigihan ibu itulah yang menjadi pencetus semangat untuk kami menyambung dan melebarkan sayap perniagaan yang ditinggalkannya,” ujar anak bongsu daripada lima beradik itu.
Kini, perniagaan Atikah’s Songket semakin berkembang. Dari sebuah kedai di bangunan Mara di Kuala Terengganu, kini ia sudah mempunyai beberapa cawangan, baik di Terengganu mahupun di Kuala Lumpur.
Noriah dan tiga lagi adik-beradiknya menjadi penyambung legasi warisan perniagaan songket Atikah manakala seorang abangnya mengikut jejak bapa mereka sebagai perunding hartanah.
Beliau sendiri sudah hampir 20 tahun berniaga songket di Kuala Lumpur atas jenama Atikah’s Songket.
“Jenama Atikah ada di Terengganu dan Kuala Lumpur. Ia adalah kesinambungan daripada perniagaan arwah ibu. Kami mengekalkan nama yang sama tetapi pemilikan perniagaan adalah milik individu.
“Pada mulanya saya berniaga songket dari rumah sahaja. Selepas 10 tahun, Alhamdulillah, perniagaan semakin maju.
“Sebagai peniaga, saya mahu mempelbagaikan fungsi songket. Selain dijadikan pakaian, saya olah tenunan ini kepada hiasan dinding dan sarung kusyen eksklusif, cenderamata dan material untuk menghasilkan aksesori wanita,” katanya yang sering berkongsi pendapat tentang pemasaran dan pengurusan bersama suaminya, Ku Yahya Kamardin Ku Ahmad, 60-an.
Pertabalan

Tidak hairanlah, selepas dua dekad menjadi ahli songket, jadual ibu kepada tiga anak ini sentiasa padat terutamanya beberapa bulan menjelangnya upacara rasmi di istana seperti istiadat pertabalan, ulang tahun kelahiran sultan dan penganugerahan darjah kebesaran.
Butiknya pasti menjadi tumpuan orang istana dan orang kenamaan yang mahu menempah songket untuk dijadikan busana istimewa pada hari tersebut.
Bukan sekadar itu, beberapa bulan sebelum cuti sekolah bermula, ibu kepada tiga anak ini juga tidak menang tangan menguruskan tempahan bakal mempelai yang ingin mengenakan songket pada hari bersejarah mereka.
Setiap bulan, Noriah perlu pulang ke Kuala Terengganu untuk berjumpa dengan penenun terutamanya apabila mendapat tempahan songket yang memerlukan rekaan eksklusif yang biasanya lebih rumit.
“Tenunan songket yang berkualiti memerlukan masa agak lama untuk dihasilkan.
“Lebih rumit rekaan, lebih panjang masa yang diambil apatah lagi jika rekaan itu memerlukan pengunaan pelbagai warna benang.
“Biasanya, untuk corak tradisional seperti bunga pecah lapan, tampuk manggis, tompok bersema dan kuda laut, ia lebih mudah disiapkan lebih-lebih lagi jika hanya satu atau dua warna yang digunakan.
“Sebagai contoh, sepasang kain untuk lelaki dan wanita memerlukan masa minimum empat bulan untuk disiapkan.
Penyongket
“Untuk kain samping pula, penenun memerlukan masa lebih kurang sebulan untuk menghasilkannya bergantung kepada corak dan warna.
“Tetapi bila ada pelanggan mahukan corak kontemporari seperti corak berpokok yang melibatkan banyak corak dan warna, saya perlu pulang sendiri ke Kuala Terengganu dan berbincang dengan penenun.
“Ini kerana tidak semua penenun tahu menyongket dan tidak semua penyongket tahu menenun,” kata Noriah yang memberitahu, hanya beberapa kampung di Kuala Terengganu yang mengusahakan tenunan songket.
Merungkai kekusutan penulis, beliau menjelaskan, penyongket adalah orang yang mencipta rekaan songket manakala penenun adalah orang yang menenun benang sutera atau benang kapas sehingga menjadi fabrik songket.
Bagaimanapun, Noriah yang juga pemenang Anugerah Jarum Berlian pada tahun 2003 optimis dengan kemampuan dirinya dan 30 penenun yang setia sejak bersama ibunya lagi.
“Saya yakin dengan kualiti tenunan pekerja saya. Masing-masing mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang tenunan.
“Ada yang mahir menyongket dan ada juga yang mahir menenun sahaja. Tetapi ada juga yang mahir kedua-keduanya.
“Seperti saya, mereka juga mewarisi bakat dan kemahiran ini daripada generasi terdahulu.
“Sungguhpun saya lahir sebagai generasi kelima dalam keluarga penenun, sebenarnya saya sendiri tidak mahir menenun. Kalau tenun songket yang gunakan satu dua warna, itu mungkin boleh,” akuinya sambil ketawa kecil.
Yakin dengan potensi songket, Noriah enggan warisan yang dipertahankan sejak lima generasi ini berkubur begitu sahaja.
“Syukur, anak sulung saya, Ku Nor Azrina, 23, menunjukkan minat untuk mendalami industri dan potensi songket. Malah dia kini sedang melanjutkan pengajian di Institut Kraf Negara dalam bidang tenunan.
“Anak kedua pula, Ku Nor Nadia, 22, graduan jurusan pentadbiran perniagaan kini membantu saya menguruskan perniagaan di butik,” katanya yang juga Timbalan Presiden II, Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati).
Wanita Penganyam Mah Meri
HOBI menganyam barangkali kedengaran pelik sekiranya dimiliki oleh masyarakat moden hari ini, tetapi tanpa kebolehan tersebut, anak gadis Orang Asli Mah Meri yang tinggal di Pulau Carey, Banting, Selangor dianggap seakan-akan tidak layak untuk mendirikan rumah tangga.
Begitulah gambaran betapa kuatnya masyarakat Orang Asli Mah Meri berpegang kepada budaya dan kepercayaan yang diturunkan oleh nenek moyang mereka. Apatah lagi, masih ramai susur galur keturunan masyarakat tersebut yang mendiami lima buah kampung di Pulau Carey.
Menurut salah seorang wanita Orang Asli Mah Meri, Julida Anak Uju, 43, wanita Orang Asli tidak dididik secara formal untuk mempelajari kaedah menganyam, sebaliknya mereka meniru apa yang dilakukan ibu mereka sewaktu kecil kerana tertarik dengan hasil-hasil anyaman yang dihasilkan.
“Semasa saya berumur 10 tahun, saya mula bermain-main dengan daun nipah dan mengkuang yang digunakan sebagai bahan utama anyaman.
“Sambil meniru cara emak membuat anyaman, akhirnya saya mahir menganyam dan dapat menghasilkan pelbagai rekaan anyaman. Ia ibarat sambil bermain, sambil belajar,” katanya ketika ditemui di Pusat Kraftangan Kampung Sungai Bumbun, Banting sempena TS Day Out anjuran Tourism Selangor Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Menurut Julida, menganyam adalah salah satu budaya masyarakat Orang Asli Mah Meri yang diturunkan daripada satu generasi ke generasi. Hasil anyaman tersebut banyak digunakan sebagai perhiasan untuk menghadiri majlis perkahwinan, acara-acara kepercayaan dan digunakan dalam persembahan kebudayaan.

“Bagi masyarakat Orang Asli Mah Meri, seorang gadis itu harus pandai menganyam dahulu sebelum berkahwin,” katanya yang gemar menghasilkan anyaman burung, ikan, belangkas, bunga-bunga dan songkok.
Julida memberitahu, hasil kraf tangan wanita Orang Asli Mah Meri dikumpulkan dan dijual di pusat kraf tangan berkenaan atau dijual di kios kraf tangan yang dimiliki oleh ramai masyarakat Orang Asli Mah Meri berdekatan rumah mereka.
Elemen budaya
“Suami saya juga terlibat dengan pembuatan produk kraf tangan dan mempunyai kios barangan ukiran patung-patung yang dihasilkan untuk dijual kepada pelanggan terutama pelancong luar yang berkunjung ke perkampungan Orang Asli Mah Meri,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Ketua Anyaman dan Tarian Kampung Sungai Bumbun, Maznah Anak Unyan, 44, memberitahu, terdapat kira-kira 1,000 masyarakat Orang Asli Mah Meri yang mendiami lima buah kampung di Pulau Carey iaitu di Kampung Sungai Bumbun, Kampung Sungai Rambai, Kampung Kepau Laut, Kampung Sungai Judah dan Kampung Sungai Kurau.
“Orang Asli Mah Meri amat mementingkan warisan budaya dan kepercayaan nenek moyang. Walaupun terdapat segelintir Orang Asli Mah Meri yang kini menganut agama Islam dan Kristian, tradisi menganyam dan mengukir merupakan elemen kebudayaan yang sukar dihilangkan.
![]() |
SALAH satu watak dalam persembahan tarian kebudayaan Orang Asli Mah Meri.
|
“Wanitanya amat suka menganyam dan lelaki pula selain menjadi nelayan, bertani dan memburu hasil hutan, kebanyakan mereka mahir mengukir patung, hasil kerja tangan mereka mendapat perhatian dunia dan amat digemari oleh pelancong luar terutamanya dari Eropah,” katanya.
Tarian Jo-oh
Menurut Maznah, hasil anyaman wanita Orang Asli Mah Meri banyak digunakan dalam persembahan kebudayaan terutamanya tarian kebudayaan Jo-oh yang bermaksud makan-makan dan minum.
“Dalam tarian ini, tiga buah lagu dipersembahkah iaitu Moyang Jabus, Shidut dan Hari Moyang yang sering dipersembahkan dalam majlis-majlis perayaan Hari Moyang, selepas menuai atau sekiranya mendapat jemputan daripada orang ramai.
“Lagu Moyang Jabus menceritakan mengenai seekor makhluk yang suka berjalan di belakang, mempunyai lubang hidung yang menghadap ke atas dan takut hujan kerana tidak mahu air hujan masuk ke lubang hidungnya, manakala Shidut bermaksud sesuatu yang tertumpah dan Hari Moyang adalah lagu yang dinyanyikan bagi memperingati nenek moyang dan melambangkan kepercayaan nenek moyang,” jelas Maznah.
Katanya, persembahan tarian Jo-oh memerlukan lima orang penari wanita yang memakai pakaian khas dan perhiasan daun nipah serta mengkuang yang meliliti tubuh serta menghiasi rambut mereka. Tarian itu juga melibatkan seorang penari lelaki yang memakai pakaian sama dan topeng moyang Gunung Ledang yang kelihatan menakutkan tetapi unik.

“Alat muzik yang digunakan pula adalah tuntong (buluh), tambo (gendang) dan tawuk (gong), manakala lagu dinyanyikan dalam bahasa Bersisik iaitu bahasa ibunda Orang Asli Mah Meri,” katanya.
Maznah memberitahu, Hari Moyang adalah hari perayaan Orang Asli Mah Meri seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi masyarakat Islam. Mereka turut menyediakan makanan seperti ketupat dan ayam masak sambal sebagai hidangan istimewa semasa menyambut perayaan itu.
“Perayaan ini disambut mengikut kalendar Cina dan lazimnya diadakan sebualan selepas perayaan Tahun Baru Cina.
“Pada hari berkenaan, upacara sembahyang akan diadakan untuk mendiang ahli keluarga sebelum upacara sembahyang di rumah moyang yang disebut pangga dalam bahasa Bersisik. Ia bukanlah rumah sebenar tetapi sebuah tempat khas di dalam rumah untuk upacara keagamaan bagi menyeru nenek moyang kembali ke rumah,” katanya.
Datin Salmiah tenang dengan Herba
Sejak mendirikan rumah tangga dengan suaminya, wanita VIP ini melayari kehidupannya sebagai seorang suri rumah. Dia selesa dengan tanggungjawab yang digalasnya itu. Dia bukan sahaja dapat menguruskan segala keperluan dan kehendak suami tetapi juga memainkan peranan penting dalam membesarkan lima cahaya matanya.

Setelah 42 tahun berlalu, Datin Salmiah Jaafar terus serasi dengan tugas sebagai isteri dan ibu. Cuma tanggungjawabnya semakin ringan. Seiring dengan anjakan masa, anak-anak yang satu ketika dahulu begitu mendambakan kasih sayang dan perhatian dari ibunya, kini semakin dewasa dan ada di antaranya telah mempunyai keluarga sendiri.
Biarpun begitu, anak kelahiran Taiping, Perak ini canggung jika hanya berehat di rumah. Lalu, jadual hariannya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti. Baginya dengan cara ini, dia dapat memanfaatkan masa lapangnya daripada terbazir begitu sahaja.
“Saya suka berkebun. Seawal pagi saya sudah berada di sekeliling rumah untuk melihat-lihat tanaman saya dan membersihkan kawasan. Jika tidak turun ke taman dan kebun, rasa seperti kekurangan sesuatu. Berada di sini dan melihat tumbuhan hijau, saya rasa seronok, lebih-lebih lagi apabila melihat pokok yang ditanam menjadi. Bagi saya, ia umpama satu terapi, kerana dapat menenangkan fikiran dan menjadikan suasana persekitaran tenteram serta nyaman.
“Terdapat pelbagai jenis tumbuhan yang saya tanam, antaranya pokok bunga hiasan seperti bunga kertas. Bunga kertas senang tumbuh dan tidak memerlukan penjagaan yang sukar. Cuma perlu merapikannya agar kelihatan cantik dan kemas.
“Selain itu, saya menanam pokok herba seperti sabung nyawa, misai kucing, belalai gajah, lamuni biru, mahkota dewa, sirih dan cerita. Pokok-pokok ini banyak khasiatnya. Ada yang menjadi penawar kepada penyakit darah tinggi, kencing manis dan juga kanser.
“Saya pula seorang yang suka memakan herba semenjak kecil lagi dan sudah menjadi amalan pula sekarang ini. Syukurlah, gemar memakan herba ini menyihatkan tubuh badan dan saya sukar jatuh sakit. Bagaimanapun menanam pokok herba ini memerlukan kerajinan. Ini kerana pokok herba tidak tahan lama dan mudah mati. Kebiasaannya, saya akan menanam kembali pokok herba tersebut.
“Bukan itu sahaja, saya juga bercucuk tanam pokok yang banyak kegunaannya dalam masakan seperti pokok bunga kantan, serai, kunyit, daun kesum dan juga cili. Apabila hendak digunakan, tidak perlu lagi membelinya.
Petik sahaja di kebun. Saya juga menanam beberapa pokok seperti nangka, mangga dan cempedak madu. Rajin juga ia berbuah. Berbaloilah untuk makan seisi keluarga dan rasa lebih berpuas hati kerana dapat menikmati hasil tanaman tangan sendiri,” ceritanya.
Suami suka beli, saya suka hias
Dalam pada itu, ujar Datin Salmiah, selain melakukan tugas rutin seperti memasak, dia juga gemar mengemas rumah. Tidak hairanlah kediamannya yang terletak di Subang Jaya ini kemas tersusun dan terjaga rapi.
“Memandangkan waktu bekerja suami tidak menentu, adakala pagi atau petang, saya lebih senang memasak untuk juadah tengah hari lebih awal. Jadi pada waktu petang, saya mempunyai lebih banyak masa terluang. Kebiasaannya, ketika inilah saya mengemas kediaman.
“Saya mudah bosan jika melihat kedudukan perabot yang sama sahaja, jadi saya suka mengalihkan kedudukannya. Jika hari ini, kerusi rehat diletakkan di ruang tamu berdepan pintu masuk, minggu hadapannya saya alihkan pula ke lokasi yang lain. Cara ini, kediaman saya kelihatan berbeza biarpun masih menggunakan perabot dan perhiasan yang sama.
“Dalam melakukan aktiviti ini, saya lebih suka melakukan sendiri. Begitu juga dengan kerja rumah yang lain. Jika tidak dapat berbuat sebarang kerja, seperti sakit seluruh badan dan perasaan saya hanya akan tenang apabila dapat melakukan tugas-tugas seperti ini,” tambahnya yang gemar memasak masakan kampung ini.
Menurut katanya lagi, tugas suaminya, Datuk Mohd Razali Ramli sebagai tenaga pengajar bagi melatih juruterbang membawanya ke banyak negara. Istimewanya teman hidup Datin Salmiah ini, kerana dia gemar membeli perabot dan juga perhiasan kediaman dari luar negara.
“Suami suka membeli manakala saya pula suka menghias. Apabila suami ke luar negara, pasti dia tidak pulang dengan tangan kosong. Ada sahaja yang dibelinya. Kebiasaannya suami suka membeli barangan perhiasan seperti pokok kristal, barangan kristal dan juga perak. Seperti pokok kristal, suami membelinya dari Afrika Selatan,” katanya lagi.
Tentunya dengan kerjaya Datuk Mohd Razali sebagai tenaga pengajar dan pernah menjadi juruterbang, Datin Salmiah berkesempatan mengikut suaminya ke luar negara. Antara negara yang pernah dijejakinya ialah Amerika Syarikat, Perancis, Afrika Selatan, China, Australia dan beberapa negara Asia.
“Ada negara tersebut dikunjungi sekadar menemani suami dan ada di antaranya pergi melancong bersama anak-anak. Pernah saya berada di Toulouse, Perancis selama sebulan memandangkan suami bertugas di sana. Tugas saya pula memasak kerana suami sukakan makanan Malaysia.
“Berada di luar negara, saya suka melihat tempat orang. Saya sempat mengikut rombongan setiap minggu ke kampung-kampung yang ada Toulouse. Di sana saya dapat melihat kebudayaan mereka, ladang anggur dan membeli buah-buahan yang segar.
“Ketika berada di Paris pula, saya mengambil peluang tersebut untuk membeli-belah beg tangan. Namun bukanlah beg tangan berjenama terkenal dan mahal harganya. Saya hanya membeli beg tangan yang dijual secara longgok sahaja. Itu sudah memadai kerana saya seorang yang suka hidup sederhana. Paling penting kepada saya ialah kualiti dan ia tahan lama,” katanya.
Didik Anak Berdikari
Menyentuh mengenai cara didikannya dalam membesarkan kelima-lima anaknya, ibu kepada Salehudin, Suhaila, Suzana, Safian dan Safrizan ini tidak lokek berkongsi rahsia.
“Memandangkan kerjaya suami yang kerap ke luar negara, anak-anak lebih rapat dengan saya ketika kecil. Saya begitu menitikberatkan pendidikan. Setiap kali anak-anak pulang dari sekolah, mereka menikmati makan tengah hari. Ketika itulah saya membuka beg sekolah mereka dan melihat jika ada kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru. Selepas itu, saya menemani mereka menyiapkan tugasan.
“Bukan dari segi pendidikan sahaja, sebaliknya saya menanamkan sikap yang baik kepada anak-anak sedari awal lagi. Bak kata orang, melentur buluh biar dari rebungnya. Saya didik mereka agar menghormati orang yang lebih tua dan nilai-nilai murni yang lain. Jika mereka hendak keluar, mereka harus memaklumkan kepada saya tujuan dan destinasinya. Saya pula jenis yang mudah risau mengenai anak-anak. Hinggakan sekarang, mereka yang masih bujang akan memberitahu saya ke mana mereka pergi. Mungkin sudah terbiasa.
“Begitu juga dengan kerja-kerja rumah. Walaupun dahulu saya mempunyai pembantu rumah, tetapi saya mahu anak-anak saya berdikari. Saya menggalakkan mereka menggosok pakaian mahupun mencuci kasut sekolah sendiri. Cara ini mereka tidak terlalu bergantung kepada pembantu rumah. Syukurlah anak-anak kesemuanya berjaya dalam pelajaran dan kehidupan mereka.
“Dua daripada anak saya telahpun mempunyai keluarga sendiri. Sementara yang bujang masih tinggal bersama saya. Bagaimanapun kesibukan mereka dalam kerjaya membataskan kami daripada bertemu selalu. Hanya di hujung minggu, barulah kami dapat berkumpul dan suasana di rumah lebih meriah,” kata nenek kepada empat orang cucu ini.
Tidak sahaja aktiviti di dalam rumah, Datin Salmiah sempat mencuri masanya dengan menyertai kumpulan marhaban Raudhatul Ittihad. Dengan keahlian lebih daripada 20 orang, kumpulan ini aktif memenuhi undangan untuk pelbagai acara.
“Kebanyakan jemputan untuk bermarhaban dan membaca surah Yasin adalah bagi acara perkahwinan, memotong jambul dan khatam al-Quran. Bukan sahaja jemputan di kawasan Subang Jaya tetapi juga hingga ke Bangi dan Ampang. Jika tidak, kami berkumpul di rumah ahli secara bergilir-gilir untuk berlatih marhaban dan bernasyid. Selain itu kumpulan juga turut menganjurkan aktiviti lawatan. Bagaimanapun kehadiran saya bergantung kepada masa lapang saya,” ujar ibu dan isteri penyayang ini.
Norazlina berlapang dada
PEKERJAAN yang dilakukan dengan penuh minat pasti akan menjadi lebih mudah dan pada akhirnya membuahkan hasil cukup manis walaupun pada awalnya perlu berkerja keras.
Prinsip sama jadi pegangan Norazlina Mohd. Arsad, 33, ketika pertama kali mahu membuka butik yang beliau namakan sebagai Jezzemine Couture.
Pernah bekerja di beberapa syarikat telekomunikasi dan terlibat dengan beberapa projek besar yang berkaitan dengan rangkaian kejuruteraan telekomunikasi, tidak menjadi penghalang kepadanya untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Wanita kelahiran Johor Bahru yang juga ibu kepada seorang puteri itu, kini boleh berlapang dada kerana perniagaan butik pengantin yang diusahakan secara bersendirian sejak dua tahun lalu mula membuahkan hasil.
Ternyata langkah ibu muda ini mengambil keputusan berhenti kerja kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian pada anak dan perniagaan yang baru bertapak berbaloi.
Butiknya kini bukan saja semakin dikenali ramai bahkan mula menerima tempahan daripada pelbagai lapisan masyarakat sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Norazlina berkata, sedari awal lagi dia memang mempunyai impian untuk memiliki butik perkahwinannya sendiri.
“Selepas berhenti kerja, saya bermula dengan berniaga dari rumah menjual kain benang kapas dan menerima tempahan jahitan baju secara online.
“Selepas itu, saya mengambil keputusan membuka sendiri butik kerana minat yang mendalam terhadap kecantikan. Tambahan saya tidak mengalami masalah untuk mencari modal ketika itu kerana mempunyai wang simpanan sendiri,” katanya ditemui di butiknya di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Jelas Norazlina, butiknya tidak terhad kepada tempahan dan jualan barangan yang berkaitan perkahwinan sahaja, malah turut menerima jahitan baju kurung dan kebaya.
“Selain itu, pelanggan yang datang ke sini diberi pilihan sama ada ingin menyewa atau menempah baju pengantin mereka.
“Mereka juga diberi pilihan mengubahsuai baju yang disewa jika tidak memenuhi cita rasa dan saiz badan. Sebarang pengubahsuaian akan dikenakan caj tambahan kerana tiada jaminan baju tersebut boleh diguna semula selepas itu oleh butik kami,” katanya.
Tambahnya, rekaan baju pengantin di butiknya lebih berkonsep moden, ringkas dan trendyselain setiap rekaan disesuaikan dengan permintaan pengantin supaya nampak eksklusif.
“Selalunya kami akan menasihati pelanggan dari segi pemilihan warna dan rekaan pakaian kerana kedua-dua elemen ini penting agar pengantin nampak cantik dan selesa ketika di hari persandingan.
“Sebelum membuat sesuatu rekaan pakaian, beliau akan membuat kajian dahulu mengenai latar belakang pasangan pengantin dan tempat majlis tersebut berlangsung,” katanya.
Katanya, antara perkhidmatan perkahwinan yang ditawarkan oleh butiknya termasuk pakej perkahwinan, terdiri dari baju pengantin, pelamin, hiasan meja makan beradab, penyediaan dewan dan solekan.
Tambahnya, penglibatan dalam banyak promosi, pameran dan majlis perkahwinan yang diadakan ketika ini adalah satu langkah terbaik untuk menonjol dan memperkenalkan butiknya kepada orang ramai.
“Cara ini memberi peluang kepada kami membina kepercayaan dan meluaskan lagi perniagaan melalui perkhidmatan yang dipamerkan kepada mereka.
“Apabila mereka berpuas hati dan tertarik, sekurang-kurangnya mereka akan menjadikan butik kami sebagai rujukan untuk membuat tempahan pada masa akan datang,” katanya.
Norazlina mengakui, setiap perniagaan mempunyai cabaran dan persaingan tetapi kedua-dua aspek itu tetap penting kepada sesebuah perniagaan bagi memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan.
“Setakat ini tiada masalah mendapatkan pelanggan pelanggan kerana sasaran butik ini untuk golongan pertengahan yang inginkan rekaan eksklusif pada harga yang berpatutan,” katanya yang merancang untuk membuka beberapa cawangan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.
Spa rawatan kecantikan muslimah
Dalam Islam, menjaga kesihatan sesuatu yang dituntut manakala memelihara aurat merupakan satu kewajipan. Sesetengah orang mungkin sukar mencari titik pertemuan bagi kedua-dua fakta ini.
Berbeza pula di mata Zamzana Mohd. Arifin, yang melihatnya sebagai jalan penyelesaian untuk sebilangan wanita yang gemar berkunjung ke spa atau pusat rawatan kecantikan dan pada masa yang sama mementingkan aspek penjagaan aurat.
Mengasaskan Suri Permai Spa, wanita ini beriltizam untuk menjadikan spanya memenuhi kedua-dua kriteria tersebut.
Spa yang memasuki usia dua tahun pembukaannya itu, menawarkan rawatan kecantikan khusus kepada muslimah tanpa mengira kira peringkat umur adalah contoh pusat rawatan yang mementingkan aspek penjagaan aurat.
Menurut, Zamzana 40, semua kemudahan dan persekitaran yang terdapat di situ mampu memberi kepuasan dan keselesaan kepada pelanggan tanpa ragu-ragu memikirkan kemungkinan aurat terdedah.
“Ruang untuk melakukan rawatan di sini sangat tertutup di mana pelanggan yang sedang dirawat sahaja dibenarkan masuk.
“Begitupun jika ada pelanggan yang membawa suami bersama ketika sesi rawatan, mereka tidak perlu risau kerana terdapat tempat menunggu khas disediakan,” katanya.
Zamzana berkata, niatnya membuka spa khusus untuk muslimah bukanlah untuk mencapai keuntungan semata-mata tetapi salah satu cara untuk beribadah dan memelihara syariat Allah.
“Wanita yang mengambil berat tentang aurat sangat mementingkan aspek ini. Walaupun mereka ingin cantik dan sihat tetapi batas-batas sebagai muslimah masih terpelihara.
“Spa ini sangat mengalu-alukan wanita yang bertudung untuk membuat rawatan kecantikan. Pada masa yang sama mereka yang tidak bertudung juga mempunyai pilihan sendiri untuk memilih rawatan yang sesuai,” katanya.
Bagi Zamzana, wanita yang bertudung tidak semestinya perlu mengabaikan kesihatan dan kecantikan diri.
Malah masa untuk diri sendiri juga perlu diperuntukan walaupun sibuk bekerja dan menguruskan rumah tangga.
Katanya, selain menawarkan rawatan untuk bakal pengantin dari hujung rambut hingga hujung kaki, mereka juga menyediakan khidmat urutan selepas bersalin dan urutan ibu mengandung.
“Rawatan spa yang dilakukan sebelum berkahwin baik untuk kepada pengantin perempuan sebelum
mereka melangkah ke alam perkahwinan.
“Selain dapat membersih dan merawat sebelum melangkah hari bahagia, mandi bunga yang selalu diamalkan juga dapat memberikan ketenangan dan kesegaran,” katanya.
Terdapat empat pakej rawatan di Suri Permai Spa iaitu rawatan Beautiful Bride, Ultimate Bride, Radiance Bride dan Bridal Shower Party.
“Kesemua pakej ini bergantung kepada permintaan pelanggan dan bajet. Selalunya kami menerima tempahan untuk membuat rawatan sekurang- kurangnya seminggu sebelum itu.
“Terdapat juga perkhidmatan menggunting dan mencuci rambut untuk pelanggan muslimah,” katanya.
Beliau berkata, jaminan keselesaan juga diberikan dari saat pertama pelanggan melangkah masuk ke spanya.
Wangian dan pancuran air terjun yang terdapat di situ memberikan ketenangan dan kesegaran kepada pengunjung.
Spa Suri Permai juga merupakan salah satu penaja bagi Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia Musim Ketiga dengan penajaan spa bagi pemenang peraduan ini.
Sebarang maklumat lanjut mengenai spa yang terletak di Platinium Walk Setapak ini boleh hubungi talian 03-41431070 / 017 2010919 atau lawati facebook www.facebook.com/suripermai.
Pereka fesyen tetap cita-cita Fyza Kadir
NAMUN apabila rezeki menyapa di bidang lakonan, Norhafiezzah A. Kadir atau lebih selesa dikenali sebagai Fyza Kadir mula mengorak langkah untuk dikenali sebagai seorang anak seni pula.
Walaupun tahu keputusan itu bakal mengubah seluruh perjalanan hidupnya namun, dia percaya menjadi pelakon bakal membantu cita-citanya untuk dikenali sebagai seorang pereka fesyen suatu hari nanti.
“Dari kecil saya sudah meminati bidang rekaan fesyen, melalui majalah-majalah fesyen terkenal saya mula berjinak-jinak melukis rekaan baju saya sendiri.
“Bagaimanapun apabila ditawarkan syarikat produksi Metrowealth Pictures (MIG) untuk berada di bawah mereka sebagai pelakon, saya mula memikirkan ini langkah permulaan mencipta nama di dalam bidang seni sekali gus membantu saya untuk dikenali sebagai pereka fesyen kelak,” kata pelakon yang berasal dari Johor Bharu ini.
Mempunyai pengalaman bekerja di dalam bidang rekaan fesyen sebelum ini Fyza berkata, dia juga bercita-cita mahu mereka pakaian dengan labelnya sendiri.
“Saya merupakan pemegang diploma dalam bidang fesyen, di mana melalui pengajian saya banyak didedahkan dengan pelbagai ilmu fesyen semasa.
“Jika diizinkan suatu hari nanti saya juga mahu mempunyai butik dengan label saya sendiri,” katanya.
Mempunyai darah kacukan Melayu dan Malbari, Fyza turut menyangkal dakwaan mengenai kewujudan artis baru sepertinya yang hanya bersandarkan wajah cantik semata-mata.
Sebaliknya dia menegaskan bahawa khalayak kini sudah bijak untuk menilai bakat seseorang.
“Mereka bebas untuk memberi pendapat, bagaimanapun saya percaya dengan kemajuan kini penonton kita juga semakin bijak untuk menilai bakat yang dimiliki saya.
“Bagaimanapun saya akui bahawa saya masih baru dan masih lagi dalam proses pembelajaran yang memerlukan bimbingan untuk memantapkan tahap lakonan saya,” katanya jujur.
Bakal muncul dengan filem Nongkrong bersama pelakon hebat Shaheizy Sam, Fyza berkata, dia sangat bersyukur kerana diberi peluang berlakon dalam filem komedi seram itu.
Malah katanya, walaupun berlakon di samping pelakon terkenal seperti Shaheizy Sam, dia langsung tidak menghadapi masalah.
“Saya sangat bertuah untuk berada di dalam MIG kerana banyak diberi peluang besar seperti ini.
“Berlakon di samping pelakon seperti Sam banyak mengajar saya untuk belajar mengenai lakonan dan saya juga sangat bersyukur pelakon lain juga banyak membantu memandangkan saya masih baru,” katanya yang akan turut berlakon dalam filem Kisah Paling Gangster.
Mengharapkan perjalanan kariernya akan disokong peminat, Fyza berkata, dia percaya bakat merupakan penentu karier lakonan seorang pelakon. Oleh itu, untuk terus meraih kedudukan selesa seorang pelakon, dia akan berusaha memperbaiki penyampaian lakonannya.
“Saya mahu lama di dalam bidang ini dan untuk itu tiada apa yang lebih penting daripada usaha saya di dalam memantapkan bakat lakonan saya.
“Saya harap penonton di luar sana akan terus memberi sokongan kepada saya menempa nama di dalam dunia hiburan ini,” katanya mengharap.
34 Tahun Pertahankan Cinta
Melancong Dan Memasak Kepuasan Datin Wan Zaiton

Jauh perjalanan luas pemandangan. Berpegang kepada prinsip itu wanita ini menjadikan aktiviti melancong sebagai salah satu cara bagi dirinya untuk merehatkan diri setelah sibuk menguruskan keluarga dan kehidupan seharian.
Namun melancong bukan perkara baru dalam kehidupan Datin Wan Zaiton binti Wan Hitam Minatnya kepada aktiviti ini mula berputik selepas dia mengikut suaminya, Dato’ Haji Abdul Rahman bin Haji Daud melanjutkan pengajiannya dalam peringkat sarjana di Belgium.
“Selama dua tahun saya menemani suami belajar, banyak destinasi menarik di Belgium dan negara-negara Eropah yang sempat kami kunjungi. Setiap destinasi ini memberikan pengalaman yang memang tidak dapat dilupakan. Betullah kata orang melancong itu boleh meluaskan pandangan,” ujar Datin Wan Zaiton.
Sambungnya selepas suaminya kembali semula ke Malaysia, setiap kali punya masa aktiviti melancong adalah antara agenda yang mesti dilakukan bersama-sama.
“Kami berdua memang suka melancong. Walau mempunyai minat yang sama tetapi aktiviti-aktiviti yang dilakukan ketika melancong berlainan. Suami saya suka melawat tempat bersejarah. Dia suka melawat muzium dan tempat seumpamanya.
“Saya pula lain. Setiap kali melancong sudah pasti aktiviti membeli-belah menjadi pilihan. Saya akui, rugi kalau tidak membeli-belah ketika melancong,” tuturnya mesra. Tambah Datin Wan Zaiton selalunya jika melancong ke negara-negara yang mata wangnya agak rendah, pasti banyak barangan yang dibeli. Antara yang wajib katanya baju, kasut, beg dan aksesori perhiasan. Malah ada juga perabot rumah yang dibeli ketika melancong.
“Mungkin ada yang fikir saya suka boros. Tetapi sebenarnya tidak. Sebelum melancong kami sudah mengumpul duit terlebih dahulu. Kami sudah bajet apa yang hendak dibeli. Oleh itu tidak salah apabila kita menghabiskan wang yang disimpan untuk kepuasan kita sendiri,” ujar Datin Wan Zaiton yang akan melancong bersama kawan-kawan rapat yang berkongsi minat yang sama.
Guna Kalkulator
Dalam pada itu kata Datin Wan Zaiton dia tidak memilih negara yang ingin dilawati. Kadangkala ada negara yang dikunjungi itu tidak pernah dirancang untuk dikunjungi pun.
“Saya masih ingat satu peristiwa ini. Seorang rakan mengajak saya dan beberapa orang kawan ke Hadyai, Thailand. Tujuannya adalah untuk melawat seorang kawan kami yang sakit di sana. Berbekalkan wang 10 ribu Baht saya pun mengikutnya.
“Wang yang dibawa ini adalah untuk perbelanjaan membayar wang hotel, pengangkutan dan makanan ketika berada di sana. Entah mengapa, tiba-tiba selepas melawat kawan yang sakit itu, kami terus mengambil keputusan untuk melawat Chai Buri, sebuah tempat yang terletak di negara Thailand juga.
“Tanpa perancangan kami boleh saja pergi. Nasib baik pergi bersama kawan-kawan. Boleh juga pinjam duit mereka untuk membeli-belah,” katanya sambil tertawa.
Ceritanya setiap kali membeli-belah selalunya ada saja peristiwa lucu berlaku terutama apabila mahu membeli daripada peniaga yang tidak tahu berbahasa Inggeris.
“Saya masih ingat lagi ketika membeli barang di negara seperti di China dan Vietnam. Setiap kali berhadapan dengan peniaga yang tidak tahu berbahasa Inggeris, cara kami berurus niaga adalah menggunakan kalkulator.
“Setiap kali hendak membeli, sudah pasti kita akan menawar harga yang murah. Oleh itu setiap kali kami berurus niaga, kami akan menekan harga yang kami mahu di atas kalkulator. Lama juga proses tawar-menawar itu.
“Tetapi selalunya saya akan dapat harga yang diinginkan. Seronok kalau mengingatkan pengalaman itu,” kata Datin Wan Zaiton yang menyifatkan Dubai adalah destinasi yang paling seronok untuk dikunjungi.
34 Tahun Pertahankan Cinta
Melancong hanya sekadar aktiviti sampingan Datin Wan Zaiton. Semenjak dia mendirikan rumah tangga bersama Dato’ Haji Abdul Rahman, menguruskan rumah tangga dan keluarga adalah keutamaan dirinya.
Tatkala diberitahu usia perkahwinannya sudah menjangkau 34 tahun, penulis terpanggil untuk mengetahui rahsia dia mempertahankannya.
“Sebenarnya kami hanya bercinta selepas berkahwin. Itulah kenyataannya. Cuma apa yang boleh saya katakan adalah pasangan suami-isteri perlu ada sikap ‘give and take’. Suka duka dalam rumah tangga memang ada. Tetapi jika kita bertolak ansur dalam setiap perkara, sudah pasti keharmonian itu dapat dipupuk ,” ujar ibu kepada Dr. Rozlin, Mohd Khairul Izwan dan Syazrina ini
Cerita Datin Wan Zaiton, selepas berkahwin dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Walau sudah bergelar suri rumah, tanggungjawabnya sebagai isteri kepada pegawai pertanian Felcra pada ketika itu, membuatkan rutinnya agak sibuk. Dia akan menemani suami melawat ke kawasan-kawasan yang dipertanggungjawab untuk menjaganya.
“Saya masih ingat lagi ketika suami ditugaskan di Sarawak pada tahun 80-an, sempatlah saya merasa pengalaman hidup di sana. Saya merasa naik bot panjang untuk melawat ke kawasan perkampungan orang Iban.
“Pada masa itu saya dan anak sulung yang masih kecil mengikut suami ke sana. Mulanya takut juga berada dalam bot panjang itu kerana air sungai boleh keluar masuk dalam bot.
“Kami pula pergi ketika hampir malam. Tetapi disebabkan mahu melihat juga kawasan itu saya beranikan diri. Setelah sampai ke perkampungan kaum Iban itu rasa seronok pula,” ceritanya. Tambah Datin Wan Zaiton lagi, selepas suaminya bersara sebagai C.E.O Felcra Berhad kira-kira lima tahun lalu, kehidupannya kini sudah berbeza. Dia bebas melakukan aktiviti yang disukai.
“Sekarang ini, banyak masa saya dihabiskan untuk mencari ilmu-ilmu agama. Pada usia yang meningkat, inilah masa yang sesuai untuk kita buat perkara yang kita tidak sempat buat ketika masa muda dahulu.”
Daripada Telur Goreng Ke Nasi Beriani
Sewaktu pertemuan antara penulis dan Datin Wan Zaiton berlangsung, suaminya turut ada di sisi. Melihatkan kemesraan pasangan suami-isteri ini sudah pasti ada yang mencemburui mereka. Ketika ditanya apa yang membuatkan dia begitu menyayangi isterinya, kata Dato’ Haji Abdul Rahman salah satunya adalah kerana masakan isterinya.
“Isteri saya memang suka memasak. Dahulu ketika saya masih bekerja, setiap kali waktu tengah hari saya akan balik makan di rumah. Kalau waktu hari raya, isteri saya akan masak macam-macam hidangan. Sate, nasi beriani, rendang dan pelbagai jenis kuih-muih sudah pasti akan dihidangkan kepada kami.
“Memang jauh beza kemahiran memasaknya ketika kami baru berkahwin dengan sekarang ini. Dahulu waktu baru berkahwin, isteri saya hanya boleh memasak telur goreng. Tetapi kini dia sudah pandai, masakannya pula memang sedap,” ujarnya sambil diperhatikan oleh isteri yang menguntum senyuman.
Menurut Datin Wan Zaiton, memasak juga menjadi kegemarannya. Malah ketika semua ahli keluarganya berada di rumah, dia pasti akan menjamu mereka dengan air tangannya.
“Saya gembira setiap kali memasak. Tambah gembira apabila makanan yang dihidangkan itu dimakan sehingga habis. Itu bermakna makanan itu sedap,” ungkapnya mengakhiri bicara.
Usahawan burung walit berjaya
Bagi yang pernah mengenali, pastinya wajah ini tidak asing pada penglihatan mereka. Masakan tidak, wajah milik Rabi’Atul ‘Adawiyah Othman, 30, sering terpapar di media elektronik mahupun media cetak ketika memperagakan fesyen.
Sudah 13 tahun Rabi’Atul ‘Adawiyah atau mesra dengan panggilan Ruby melayari kerjaya sebagai model profesional. Pada masa itu ruang mana yang tidak dimasukinya. Malahan, beliau juga pernah menjadi model bagi pasar raya-pasar raya besar di negara ini.
Dalam kesibukannya mengejar waktu menguruskan perniagaan dan rumah tangga, Ruby yang sempat hadir ke Studio Utusan tetap kelihatan anggun berpakaian tajaan I-Kartini dari KLCC bercerita mengenai kerjaya barunya sebagai seorang usahawan wanita.
Ujar Ruby, beliau menjadi model menerusi sebuah agensi pada tahun 1999, sebelum bergerak sendiri setahun kemudian.
Selepas beberapa tahun berkecimpung sebagai model, Ruby mengambil keputusan untuk meneroka bidang perniagaan bagi memperluaskan skop kerjayanya.
Memegang jawatan sebagai pengarah bagi perniagaan miliknya, alga Prima Sdn. Bhd. iaitu pengilang dan pengeluar produk minuman sarang burung walit dan minuman kolagen sejak empat tahun lalu, Ruby kini sudah boleh berbangga dengan produk keluaran kilangnya yang semakin meningkat.
”Setelah menyedari usia semakin meningkat dan setelah berumahtangga lima tahun yang lepas, saya rasa sudah sampai masanya menceburi bidang yang boleh menjamin masa depan.
”Saya memang sukakan kecantikan. Justeru, produk sarang burung walit ini amat bersesuaian dengan minat saya kerana ia turut membawa rahsia kejelitaan dan kesihatan dalaman,” kata isteri kepada ahli perniagaan, Mohamad Nazari Ahmad itu.
Bahagia dengan kehidupan barunya, Ruby yang mempunyai ketinggian 5 kaki 8 inci itu kini dikurniakan dua cahaya mata berusia lima tahun dan lapan bulan.
Mengakui agak sibuk dengan bidang perniagaan menyebabkan kini dia hanya mengambil sesi modeling sekiranya ada kelapangan. Beliau juga mempunyai agensi modeling sendiri di samping bertindak sebagai pengurus majlis dan menguruskan perniagaan sampingan lain.
”Saya memang sibuk dengan perniagaan, saya melakukan kerja-kerja pemasaran dan banyak bertemu dengan pelanggan di luar. Tambahan pula saya juga merupakan duta alga Prima,” kata Ruby anak kedua daripada lima adik-beradik ini.
Ruby juga berbangga kerana dalam ramai-ramai peniaga yang menghasilkan produk kesihatan berunsurkan sarang burung, hanya terdapat dua pengilang bagi produk ini sahaja di negara ini dan salah satu daripadanya ialah kepunyaan alga Prima sendiri yang terletak di Kulim, Kedah, diseliakan beberapa pekerja.
Justeru dalam tempoh beberapa hari dalam sebulan dia akan berada di kilangnya untuk mempastikan proses mencuci dan menyiapkan sarang burung sehingga menjadi produk kesihatan di kilangnya berjalan lancar mengikut jadual dan permintaan pasaran.
Beliau turut melihat proses awal sarang burung itu dihasilkan, bagaimana ia diambil, dibersihkan, direbus dan kemudian diproses sebagai produk kesihatan.
”Bagi sarang burung mentah, ia akan direbus dan diletakkan gula batu kemudian diminum begitu sahaja untuk mendapatkan khasiat yang unggul,” katanya.
Ruby memberitahu, minuman dan memakan sarang burung telah diamalkan oleh masyarakat Cina yang mengetahui mengenai khasiatnya sejak dulu lagi.
Menurut kajian pakar-pakar pemakanan, sarang burung walit mengandungi Glikoprotein terhasil daripada air liur burung walit yang tinggi dengan protein dan karbohidrat yang berfungsi memberi tenaga, pemulihan organ dalaman dan meningkatkan kadar metabolisme dalam tubuh manusia.
Jelasnya, biarpun masih baru dalam dunia perniagaan, beliau mengutip setiap pengalaman yang ada dan memberikan hanya yang terbaik untuk bidang perniagaan yang diceburinya di samping menimba ilmu daripada insan-insan yang telah lama bergiat dalam bidang ini.
Ruby juga bersyukur biarpun menerima pelbagai kerenah dan jatuh bangun dalam dunia perniagaan ini namun beliau tidak mudah patah semangat. Ruby bersyukur kerana dapat berjuang meneruskan perniagaannya dengan bimbingan rakan kongsinya, Zulkifli Ahmad yang juga abang iparnya.
”Walaupun masih baru dalam perniagaan ini, produk alga Prima mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan. Saya gembira kerana semua orang puas hati dengan produk ini.
”Bukan senang untuk bersaing dalam dunia perniagaan namun kini alga Prima telah berjaya dipasarkan di Brunei, Singapura dan China. Dalam sebulan 40,000 botol minuman alga Prima telah dikeluarkan manakala produk botol yang besar mendapat permintaan lebih 800 botol sebulan dan di negara ini dijual di pasar raya-pasar raya terkemuka,” katanya .
Memandangkan sambutan yang menggalakkan, alga Prima, katanya, akan mempertingkatkan jualan dan mempelbagaikan produk lain berasaskan sarang burung dan kolagen tidak lama lagi.
”Setakat ini alga Prima mengambil sarang burung mentah daripada agen. Kilang di Kulim akan bertindak mencuci dan memprosesnya.
”Tidak lama lagi kita bercadang akan mempunyai rumah sarang burung sendiri untuk menternak burung sebelum memprosesnya sendiri selain melakukan penyelidikan untuk mengkomersialkan produk ini lagi.
“Dalam pada itu saya juga bercadang untuk mewujudkan rangkaian kedai-kedai komersial menjual produk sarang burung keluaran alga Prima,” ujarnya.
Sesiapa yang berminat dengan alga Prima boleh menghubungi talian 03-55233648.




















