Azean cekal mencari rezeki
KEPERITAN hidup yang dilalui primadona ini tidak pernah meragut semangatnya untuk terus berkhidmat kepada keluarga.

Walaupun masa seharian kini banyak dihabiskan di atas katil, tanggungjawab sebagai pencari rezeki masih digalas pada bahunya demi menampung keperluan hidup sehari-hari.
Menurut Azean Irdawaty, 61, kini dengan kudrat kecil yang dimiliki dia masih menjalankan perniagaan jualan langsung seperti biasa. Walaupun tidak seaktif dulu, Azean atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yan akan tetap meneruskan perniagaan ini selagi termampu.
“Sekarang lebih mudah sebab Kak Yan hanya perlu menjalankan perniagaan jualan langsung ini melalui telefon.Tidak perlu selalu bergerak pun boleh buat bisnes.
“Namun itu juga bergantung kepada kemampuan. Kadang-kala sampai hari tak sihat tu, untuk bercakap juga Kak Yan tak larat,” katanya ketika di temui di kediamannya di Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.
Kekuatan yang dimiliki wanita ini sentiasa menjadi inspirasi mereka di luar sana. Walaupun menjalani rutin harian penuh kepayahan sebagai pesakit barah, ia sedikit pun tidak pernah melunturkan hati wanita ini untuk terus membanting tulang demi eringan beban kewangan yang ditanggung keluarganya.
“Sebenarnya apa yang Kak Yan dapat ini hanya cukup untuk menampung perbelanjaan di rumah sahaja.
“Bagi perbelanjaan perubatan pula Kak Yan akui terpaksa bergantung kepada belas ehsan orang luar. Ini kerana jumlahnya bil perubatan yang terlalu tinggi tidak memungkinkan Kak Yan untuk menjelaskannya. Mana hendak cari duit seorang diri dalam keadaan macam ni,” jelasnya.
Bercerita tentang perkembangan penyakitnya kini, menurut Azean walaupun ada tanda-tanda positif ketumbuhan di tulang belakangnya kini sudah mengecut, namun dia kini terpaksa menanggung satu lagi berita sedih apabila tidak akan dapat meneruskan rawatan kimoterapi yang berjumlah RM9,874 sebulan.
“Memanglah doktor tidak bagi saya berhenti dari meneruskan rawatan ini, namun memandangkan bayaran untuk meneruskan rawatan ini terlalu tinggi Kak Yan terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti menerima rawatan tersebut.
“Malah jika diikutkan juga, bekalan ubat-ubatan seharian juga hanya akan bertahan sehingga hujung bulan ini sahaja. Untuk bulan depan, Kak Yan masih lagi tidak tahu bagaimana untuk mendapatkannya lagi,” jelasnya.
Reda dengan ketentuan yang sudah ditakdirkan ini, menurut wanita besi ini dia tidak pernah membelakangi kuasa Allah. Ini kerana Azean tahu hidup mati bukan bergantung kepada ubat-ubatan yang diambilnya, sebaliknya pada ketentuan Allah semata-mata.
“Kak Yan pernah cakap kepada anak-anak, jika Allah nak panjangkan usia dengan ubat-ubatnya ini maka panjanglah umur Kak Yan.
“Dan sebab itu walaupun tidak mampu meneruskan rawatan dan hanya berserah sahaja kepada takdir, sekurang-kurangnya Kak Yan sudah berpuas hati kerana telah berusaha sebaik boleh untuk mengubati penyakit ini,” katanya.
Tidak terpinggir
Kehadiran ramai rakan artis di dalam memberikan sokongan buat dirinya sentiasa menjadi inspirasi buat wanita ini di dalam meneruskan kehidupannya.
Malah bagi anak seni ini, dia juga sebenarnya tidak pernah merasai dipinggirkan dari dunia seni walaupun sudah lama tidak muncul di dalam di kaca televisyen.
“Ada di antara rakan-rakan artis yang sering melawat Kak Yan , kadangkala terubat rasa pilu di hati melihat kepada keprihatinan mereka.
“Walaupun begitu, Kak Yan tidak pernah kecil hati dengan mana-mana rakan artis lain yang tidak sempat menjenguk. Sebagai seorang artis Kak Yan sendiri tahu jadual anak seni itu macam mana kadang kala kesibukan membataskan mereka dan rasanya bukan niat mereka untuk meminggirkan Kak Yan,” katanya.
Walaupun menghadapai waktu sukar, pelakon ini tidak pernah merasakan ia sebagai penyebab untuk terus meratapi perjalanan takdirnya. Malah bagi pelakon hebat ini dia tahu hanya kekuatan semangat yang mampu menyembuhkan kesedihan yang di tanggung.
“Kak Yan reda dan terima segala yang telah ditentukan. Apa yang penting Kak Yan perlu kuat untuk meneruskan perjuangan selama ini,” katanya.
Kisah Datin Noni Dan Roti
Datin Asma Rahim atau lebih mesra dengan panggilan Datin Noni cukup sebati dalam bidang masakan terutama pembuatan pastri. Demi minatnya yang satu itu jugalah dirinya berusaha membangunkan sebuah kilang roti halal berjenama Roti Imam Sdn Bhd dan kedai kek, The Bakers Hut yang membekalkan keperluan kek dan roti kepada penduduk di sekitar Kuala Lumpur.
Kisah Datin Noni dan roti bermula sekitar usia 35 tahun apabila anak-anaknya cukup gemar menikmati hidangan roti berbanding makanan ruji, nasi.
“Sekitar tahun 70-an dan 80-an bukan mudah mahu mencari kedai roti muslim. Kedai yang ada, kita tak tahu berkaitan halal dan haramnya. Jadi saya belajar membuat roti dengan Haji Azmi di Taman Melawati.
“Setiap hari saya buat roti untuk diberikan kepada anak-anak dan jiran tetangga. Waktu itu saya mahu asah kemahiran membuat roti sebab itulah saya tidak kisah kalau perlu sediakan roti setiap hari.
“Saya bangun awal antara jam 4.30 pagi untuk buat roti. Bila anak-anak telah saya hantar ke sekolah, saya akan angkat bekalan roti dan edarkan kepada para pekerja pejabat.
“Setiap kali van saya datang ramai yang membeli. Tapi tak lama selepas itu, saya dapat sebuah kedai dan memulakan operasi di situ,” tuturnya ketika ditemui di kedai
keknya di Taman Setapak Indah.
Didik Anak Penuh Disiplin
Sungguhpun sibuk mengusahakan perniagaan roti, Datin Noni sebenarnya seorang ibu yang cukup tegas dan penuh disiplin dalam mendidik lima orang anaknya. Anak-anaknya, Siti Azlina, 36, Mohamad Azlan, 32, Mohamad Arif, 31, Siti Amelia, 29 dan Mohamad Anwar, 24 tahun bukan sahaja berjaya dalam akademik malah cemerlang dalam pekerjaannya.
Akuinya, sewaktu anak-anak masih kecil, dia memberi penekanan akademik serta menerapkan disiplin yang tinggi kepada anak-anak. Jadual waktu yang disediakan cukup ketat dan perlu dipatuhi oleh anak-anak tanpa mempersoalkannya.
Setiap malam anak-anak dilarang menonton televisyen, sebaliknya belajar di dalam bilik. Manakala lampu bilik akan ditutup pada jam 10 malam. Sekitar jam 7 malam mereka telah berkumpul untuk makan malam.
“Saya ajar anak-anak saya agar hormati orang tua, adik-beradik dan keluarga. Jika bukan mereka yang akan lakukan siapa lagi. Kalau ada kenduri kahwin di rumah saudara mara, saya akan maklumkan dan pastikan mereka sediakan ruang untuk menghadiri majlis itu dan kami akan pergi bersama-sama.
“Begitu juga dengan percutian keluarga. Kami akan pilih satu tarikh dan jika ada di antara anak-anak yang tak boleh pergi, percutian keluarga akan ditunda dan kami akan cari tarikh lain sampai semua orang boleh pergi. Setiap minggu atau bulan pula anak-anak wajib berkumpul di rumah saya yang mereka namakan sebagai HQ.
“Saya tak pernah larang anak saya berkawan dengan sesiapa pun. Malah waktu mereka kecil, jika mereka mahu ke rumah teman, saya akan hantarkan dan akan tunggu anak saya kadangkala sampai dua jam di depan rumah kawannya.
“Bila mereka sudah ada pasangan, saya minta mereka bawa berjumpa dengan saya. Saya akan terangkan satu persatu tentang cara saya, Alhamdulillah, pasangannya itu boleh terima,” ulas isteri kepada Dato’ Ahmed Tauzan Abdul Ghani.
Cabaran Besarkan Anak Lelaki
Datin Noni tidak menafikan dirinya juga berhadapan cabaran yang cukup hebat dalam membesarkan anak-anaknya terutama anak-anak lelaki. Namun, dirinya mempunyai cara didikan tersendiri yang boleh dijadikan panduan berguna kepada pembaca.
“ Waktu anak-anak meningkat remaja iaitu dalam tingkatan satu dan dua memang besar cabarannya. Mereka ibarat layang-layang, apabila hampir terbabas, saya tarik talinya sedikit demi sedikit.
“Dalam pada itu, setiap malam saya akan sediakan air Yasin untuk anak-anak saya. Ini amalan yang saya buat sejak mereka masih kecil. Kadangkala bila tiada air ini, anak-anak pula bertanya kenapa tiada.
Selalunya selepas asar saya akan baca al-Quran dan saya percaya doa ibu pasti ada keberkatannya.
“Bila anak-anak sudah berkeluarga pun saya layan mereka sama rata. Kalau saya belikan baju untuk anak-anak, menantu pun saya belikan juga,” tambahnya mesra. Dirinya juga cukup bersyukur kerana tenaga dan masa yang telah digunakan untuk membesarkan anak-anak tidak sia-sia.
Walaupun jika difikirkan apa yang diusahakan itu tidaklah sebesar mana, namun ia memberi kesan kepada anak-anaknya. Dirinya cukup gembira, walaupun telah beranak cucu, anak-anak sentiasa prihatin dan menggembirakan hatinya.
Masih Ligat
Datin Noni sebenarnya seorang yang cukup ligat dan tidak betah duduk diam tanpa melakukan apa-apa pekerjaan. Setiap hari, wanita aktif ini akan masuk tidur seawal 9.30 malam. Walaupun ketika itu ada anak-anak mahupun cucu-cucu di rumah, dia akan meninggalkan mereka membuat aktiviti masing-masing.
Pada jam 4.30 pagi dia sudah bangun untuk menunaikan solat sunat dan wajib. Sebelum ke kedai kek, Datin Noni akan ambil masa untuk berlari-lari anak di sekitar perumahannya.
Rutin hariannya itu sudah pun diketahui anak-anak malah jiran tetangganya. Dedikasinya terhadap keluarga cukup tinggi sekali. Sebagai ibu, setiap anak-anak membesar dengan air tangan dan penat lelahnya. Dia cukup prihatin terhadap keperluan anak-anak sehinggakan mereka tidak pernah sekalipun menaiki bas sekolah. Datin Noni juga akan turun padang untuk menghantar mereka ke sekolah mahupun mengikuti aktiviti luar sekolah.
Atas dasar itulah, dalam usia 63 tahun Datin Noni masih sihat dan mampu menunaikan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan nenek kepada suami serta anak cucunya. Menjaga pemakanan cukup dititikberatkan dalam melayari bahtera kehidupan.
Sungguhpun bergelar suri rumah, wanita ini aktif bersama Persatuan STAR Ladies iaitu persatuan yang tubuhkan untuk isteri-isteri bekas penuntut Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). Bersama persatuan ini dia berpeluang untuk mengikuti aktiviti persatuan dan saling berbincang untuk memantapkan hala tuju persatuan itu.
Mengimbas kisah cinta antara dirinya dan suami, kata Datin Noni ia bermula apabila dia berhijrah di Kuala Lumpur. Ketika itu dia menetap di rumah ibu angkatnya di Kuala Lumpur. Di situlah dia telah berkenalan dengan suaminya yang ketika itu sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Ekonomi di Universiti Malaya.
“Waktu mula-mula jumpa, saya anggap dia macam kawan biasa. Tiada pun niat untuk memilih dirinya sebagai suami saya. Lama kelamaan, hubungan itu menjadi lebih serasi dan sikap tanggungjawab dan ambil beratnya itu telah menawan hati saya.
“Tapi yang paling saya berkenan adalah sikap penyabarnya, jauh berbeza dengan saya yang agak tegas. Kami juga pernah mengadakan sambutan ulang tahun perkahwinan ke-25 dan memori itu diabadikan di dalam akhbar dan majalah,” tuturnya sambil menunjukkan keratan akhbar mengenai sambutan ulang tahun perkahwinannya itu.
Anak Kedua Tunjuk Minat
Menurut Datin Noni anak keduanya, Mohamad Azlan telah diberikan kepercayaan untuk mengusahakan perniagaan kedai kek miliknya. Bersesuaian dengan kemahiran akademiknya dalam bidang pembuatan roti dan pengalamannya bekerja di luar negara dalam bidang berkaitan.
“Awalnya saya latih anak perempuan sulung untuk meneruskan perniagaan kedai kek, tapi anak kedua pula yang menunjukkan minat yang mendalam. Saya tidak halang walaupun dirinya seorang lelaki.
“Lagipun ramai chef hebat dan terkenal terdiri dari orang lelaki. Saya sokong minatnya dan memberi kepercayaan kepadanya untuk memajukan apa yang kami usahakan ini. Kedai ini pun telah diubah sedikit agar nampak lebih moden dan menepati cita rasa terkini,” ulas yang turut menyalurkan derma kepada beberapa rumah anak-anak yatim. Baginya tidak salah berkongsi rezeki yang dimiliki dengan insan-insan yang kurang bernasib baik.
Cara Amber bahagi masa
KEDIAMAN tiga tingkat yang terletak di pinggir ibu kota ini menggambarkan personaliti pemiliknya sebagai seorang model ternama.
Setiap ruang mendapat sentuhan hiasan yang selari dengan gaya hidup glamornya.
Tidak keterlaluan dikatakan aktres dan model antarabangsa, Amber Chia bijak memilih hiasan rumahnya agar nampak mewah tetapi sederhana.
“Apa yang anda lihat di dalam rumah ini sebenarnya lambang personaliti saya. Saya juga memilih dua gabungan konsep ini dalam fesyen seharian saya,” katanya.
Garapan warna hitam dan putih yang menjadi warna kegemaran Amber diadun rapi bersama rona mewah emas, merah dan kuning.
Hiasan bunga tulip menjadi pilihan utama Amber untuk menata rias dinding polos ruang makannya. Baginya, bunga itu menjadi simbol dirinya yang mahu tampil sebagai wanita yang lembut dan seksi.
“Bunga itu adalah diri saya. Semuanya adalah hasil idea saya kerana saya mahu tetamu yang datang ke rumah ini tahu ia ialah Amber,” katanya yang telah mendiami rumah ini hampir dua tahun.
Selain pemilihan konsep hiasan, Amber juga menitikberatkan pemilihan ruang seperti halaman rumahnya.
Terdapat taman ringkas yang membolehkannya memelihara binatang peliharaannya. Selain dapat menyedut udara luar, Amber selesa berehat sambil melihat pemandangan hijau.
Luas
Ruang tamu adalah tempat rehat utama Amber dan keluarganya. Justeru, dia mahukan perabot yang sesuai dari segi warna, penampilan dan yang paling penting, keselesaan.
Sofa empuk pilihannya mengisi ruang tamu selain hiasan gambar pada dinding yang mencerminkan kerjayanya sebagai model. Potret bersaiz besar itu ditempah khas untuk menghiasi dinding ruang tamu.
Dalam diam-diam, Amber juga minat mengumpul pelbagai bekas minuman Coca-Cola.
“Ramai rakan yang memesan bekas minuman ini setiap kali saya melancong ke luar negara. Sebab itu, saya juga akan membelinya untuk diri saya sendiri. Di sudut ringkas ini saya akan meletakkannya,” jelas Amber.
Dipelawa ke bilik tidurnya, Amber tidak cuak menunjukkan keluasan ruang beradunya yang menggabungkan dua bilik menjadi satu – bertujuan memuatkan ruang khas bagi barangan peribadi dan persalinan yang besar.
Singgah di bilik beradu jelitawan ini, mata tertancap pada koleksi pakaiannya yang tersusun rapi di balik kaca telus pandang.
Katil berjenama pilihannya pula bagai memanggil-manggil untuk berbaring merehatkan badan dan minda.
Kenangan Roslinda Samsu
![]() |
PELEKAT peti sejuk bermagnet kini menjadi buruan baru Roslinda.
|
MENJEJAKKAN kaki ke Paris dan menyaksikan sendiri Menara Eiffel sememangnya menjadi impian ramai, termasuk ratu lompat bergalah negara, Roslinda Samsu.
Walaupun telah memijak tanah kota cinta itu, Roslinda terpaksa menyimpan saja hasratnya kerana persinggahannya hanya untuk transit sebelum ke Jerman, menghadiri pertandingan di sana pada 2010.
Bagi melepaskan gian, Roslinda segera mendapatkan rantai kunci berupa Menara Eiffel ketika di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris, sebagai tanda kenangan sambil menambahkan koleksinya yang kini mencecah lebih 60 utas.
“Ia antara koleksi kegemaran dan saya menyimpan hasrat untuk ke sana sekali lagi suatu hari nanti bagi menyaksikan sendiri menara itu.
“Selain rantai kunci, saya juga mengumpul pelekat peti sejuk bermagnet kerana keunikan bentuknya yang mewakili setiap tempat.
“Koleksi tersebut sebagai tanda kenangan saya pernah menjejak kaki di sana dan ada juga yang dihadiahkan oleh rakan-rakan yang berkunjung ke negara lain,” ujarnya yang menjadi juara empat kali berturut-turut bagi acara lompat bergalah pada Sukan Sea sejak 2005 hingga 2011.
Ceritanya lagi, dia kini lebih gemar mengumpul pelekat peti sejuk bermagnet yang sudah berjumlah lebih 30 biji kerana coraknya yang menarik selain mencantikkan lagi ruang dapurnya.
Selain rantai kunci dan pelekat peti sejuk bermagnet, anak jati Kuala Nerang, Kedah ini turut mengumpul pin kolar hasil pertukaran dengan atlet-atlet negara lain.
Cerita Roslinda, kesemuanya dikumpul sejak awal 2001 dan dia masih mengingati kisah setiap koleksinya itu.
“Setiap atlet yang mewakili negara akan dibekalkan dengan kolar pin yang melambangkan Malaysia untuk ditukar dengan atlet-atlet lain yang kita temui sewaktu menyertai temasya tersebut.
“Pin kolar berbentuk obor ini saya dapat ketika menyertai Olimpik Beijing pada 2008 dan ia antara kegemaran saya kerana bentuknya yang ringkas dan lain daripada koleksi yang saya pernah ada,” cerita atlet berbintang Gemini itu sambil menunjukkan pin kolar tersebut.
Roslinda kini sibuk menjalani latihan untuk Kejohanan Lompat Bergalah Taiwan yang bermula pada 19 Mac ini.
Momen bahagia Susan
SUSAN TAN PEI YEEN. Selain daripada saudara, rakan terdekat atau individu-individu yang pernah berurusan dengannya, mungin nama ini agak asing bagi kebanyakan orang.
|
Mungkin juga mereka yang tidak mengenali si empunya nama itu akan bereaksi berbeza saat disebutkan pula nama-nama artis antarabangsa seperti Justin Bieber, Westlife, Whitesnake, Avril Lavinge, Paramore, Air Supply, Pitbull dan Kenny G. Tidak hairan juga jika ada dalam kalangan mereka itu teruja dan histeria, lebih-lebih lagi jika artis kesayangan mereka itu membuat persembahan konsert di Malaysia.
Susan ialah individu yang bertanggungjawab membawa masuk artis-artis antarabangsa yang disebutkan itu untuk mengadakan persembahan di negara ini.
Anak kelahiran Kluang, Johor yang sudah 10 tahun menjadi promoter konsert itu memberitahu, dia bersama rakan kongsinya, James Siva, 63, menubuhkan syarikat sendiri iaitu JS Concert Production kira-kira sedekad lalu.
Kepada Pesona, wanita berusia 37 tahun itu berkongsi pengalaman tugasnya sebagai promoter konsert. Dia seringkali menjalankan kontrak dengan artis-artis antarabangsa dan berurusan dengan syarikat-syarikat di Amerika Syarikat untuk membawa nama-nama besar dunia hiburan untuk mendekati peminat mereka di negara ini.
Kedengaran seolah-olah tugasnya penuh glamor kerana dapat berada di samping artis-artis bertaraf superstar, namun di sebalik ‘keseronokan’ itu, Susan menjelaskan bahawa ia bukan semudah yang disangka.
“Sebelum melibatkan diri dalam bidang ini, saya sentiasa terlibat dalam pengurusan acara walaupun saya merupakan graduan undang-undang daripada sebuah universiti di United Kingdom.
“Saya tidak pernah menjadi seorang peguam kerana amat meminati bidang yang saya ceburi kini. Mungkin ia bertitik tolak daripada penglibatan saya dengan syarikat pengurusan acara selepas tamat pengajian ijazah,” katanya yang mendapati dirinya lebih menonjol dalam bidang pengurusan acara dan konsert berbanding bidang perundangan.
Menurut Susan, kerjaya sebagai promoter konsert sangat menarik minatnya kerana ruang lingkup kerja itu tidak membosankan selain tidak menghadapi tugasan yang sama setiap hari.
Tambahnya, promoter konsert turut melibatkan kerja-kerja remeh seperti menyediakan kertas kerja, membuat akaun, menguruskan artis, menyediakan penginapan untuk artis serta krew dan berdepan dengan orang ramai.
SUSAN dan suaminya, Hermeet bergilir-gilir menjaga anak-anak jika salah seorang daripada mereka sibuk.
Merasai tempias glamor artis sepanjang konsert berlangsung cuma dianggap sebagai bonus.
“Saya tidak terlintas langsung tentang kerjaya sebagai promoter konsert ketika di bangku sekolah dahulu. Sewaktu kecil, saya bercita-cita untuk menjadi peguam dan doktor kerana itu impian ramai ibu bapa kerana ia dianggap pilihan terbaik.
“Namun, ia tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya mula serius dalam bidang ini selepas menyedari bahawa saya seronok melakukannya. Lalu saya menubuhkan syarikat sendiri dan bertemu dengan James,” ujarnya sambil memberitahu bahawa James umpama sifu bagi dirinya kerana mempunyai pengalaman luas dalam bidang itu.
Ambil hati
Bagi Susan, pengalaman sangat penting untuk menguruskan bidang yang diceburinya. Jika tidak, seseorang itu akan berhadapan dengan masa-masa yang sukar.
Ditanya sama ada sukar atau tidak untuk menguruskan artis-artis luar negara, Susan memberitahu, kebiasaannya artis-artis yang dibawa masuk tiada masalah. Cuma pihaknya perlu mengambil hati pengurus artis tersebut yang kadangkala sangat protective terhadap artis jagaan mereka.
“Ramai yang tidak faham bagaimana bekerja dengan artis. Ada yang minta berjumpa artis untuk mendapatkan autograf dan bergambar namun, kami tidak dapat penuhi semua permintaan berikutan keadaan artis yang kepenatan akibat jadual yang padat.
“Sebagai promoter juga, kita mewakili Malaysia dan berikan mereka layanan yang terbaik supaya mereka akan kembali semula ke sini untuk mengadakan konsert pada masa akan datang,” katanya yang turut dibantu oleh suami tercinta, Hermeet Singh, 38, jika ada persembahan konsert.
Walaupun sibuk dan penat menguruskan konsert artis-artis antarabangsa, Susan tidak pernah menyesal atau terfikir untuk berhenti daripada tugas itu kerana resam tanggungjawab itu sudah sebati dalam jiwanya.
“Saya tidak menyesal berkecimpung dalam bidang ini walaupun memiliki ijazah udang-undang kerana kerja ini sangat menarik.
“Rakan-rakan lain ada yang cemburu dengan kehidupan saya yang bagi mereka jauh lebih menarik berbanding kehidupan mereka yang perlu masuk kerja pukul 8 pagi,” selorohnya yang berpegang kepada moto ‘orang lain boleh, saya pun boleh!’.
Sungguhpun diburu kesibukan apabila tiba musim konsert, ibu kepada, Sophia An Lynn Kaur, 6, Hallie En Ya Kaur, 3 dan Keeve Ryu Jie Singh, 1, itu tetap mahukan buah hati pengarang jantungnya berada di sisinya.
Anak kedua daripada empat beradik itu menyifatkan waktu kerja fleksibel membolehkannya meluangkan banyak masa dengan anak-anak.
Pejabat di rumah
“Oleh kerana tidak mahu berpisah dengan anak-anak, saya membuat pejabat kecil di rumah. Jadi, setiap pagi apabila anak-anak bangun, mereka akan duduk di sebelah saya untuk melukis dan mewarna sambil saya pula menjalankan tugas-tugas saya,” ceritanya yang terbiasa membawa Hallie ke dalam mesyuarat.
KERJAYA sebagai promoter konsert membolehkan Susan berjumpa dengan artis-artis antarabangsa dan berpeluang menguruskan mereka sepanjang tempoh konsert diadakan.
Apabila sibuk menguruskan artis dan konsert yang berlangsung, Susan akan ‘berkampung’ di hotel dan membawa bersama anak-anaknya. Kata Susan, naluri keibuannya terusik andai sehari tidak menatap wajah comel cahaya matanya.
Jika ada urusan yang tidak dapat dielakkan dan memerlukannya berjauhan dengan anak-anak, Susan akan meminta ibunya memantau anak-anaknya yang berada di bawah jagaan pembantu rumah.
“Suami saya bekerja dengan syarikat multinasional dan jadual kerjanya juga fleksibel. Jadi, jika saya sibuk, dia pasti ada dengan anak-anak. Paling tidak pun, salah seorang daripada kami akan berada bersama mereka. Jika tiada, ibu saya akan menjenguk mereka.
“Jika ada masa terluang saya akan pergi bercuti bersama keluarga di lokasi yang tidak terlalu jauh,” ujarnya yang suka membeli-belah sambil membawa anak-anak untuk menghilangkan stres dan mendapatkan urutan dan rawatan muka.
Waktu bersama keluarga
Ditanya mengenai pendapatnya terhadap wanita yang terlalu fokuskan kerjaya sehingga tidak memperuntukkan masa kualiti untuk anak-anak, Susan memberitahu bahawa dia tiada hak untuk menilai dan menghakimi orang lain kerana mereka pastinya mempunyai sebab-sebab tertentu.
“Tiada seorangpun ibu yang tidak sayangkan anak-anaknya. Anak-anak ini membesar sekelip mata. Suatu hari nanti anda akan sedar bahawa mereka tiada bersama anda lagi kerana punya kehidupan sendiri.
“Sama seperti keluarga saya, kakak dan adik semuanya di Amerika Syarikat dan Kanada. Kali terakhir kami duduk makan tengah hari bersama adalah pada hari perkahwinan saya pada tahun 2001. Sukar untuk kami berjumpa semula,” katanya sebak menahan juraian air mata.
Susan menekankan, waktu bersama keluarga amat penting. Dia dan suami tidak mahu melepaskan momen-momen indah menyaksikan anak-anak mereka membesar. Pada masa yang sama, suaminya memberikan sokongan untuknya terus maju dalam kerjayanya.
SUSAN tidak menafikan bahawa dia turut sama berkongsi tempias glamor artis yang datang ke Malaysia untuk mengadakan konsert.
“Ini adalah bisnes kami bersama. Dia sentiasa bersama saya. Kerja keras kami pada hari ini adalah untuk anak-anak,” ujarnya.
Kini, Susan bahagia di samping anak-anak yang comel hasil perkahwinan dengan suaminya yang berketurunan Singh.
“Keluarga saya semuanya kahwin campur. Begitu juga dengan keluarga suami saya. Kakak saya berkahwin dengan orang putih, adik saya berkahwin dengan wanita Jepun, adik ipar saya berkahwin dengan lelaki Melayu dan seorang lagi berkahwin dengan orang Punjabi.
“Jika sesekali berkumpul bersama, tidak tahu nak cakap keluarga apa sebab semuanya campur,” ujar Susan tersenyum.
Gapai impian di awan biru
DI sebalik hiruk-pikuk ruang pelepasan domestik dan antarabangsa Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang, ratusan krew penerbangan sudah mula bersiap sedia.
Rambut siap didandan, wajah disolek rapi dan bergegas membuat persediaan sebelum menyambut penumpang menaiki pesawat.
Bagi krew penerbangan yang bertugas, inilah waktu yang amat menguji kesabaran, ketahanan emosi dan mental mereka. Bayangkan berada di dalam pesawat dengan situasi yang sama untuk sepanjang hari.
Inilah rutin yang perlu dilalui pramugari penerbangan (FA) Irnawati Japar Samijan Osir Leong, 32, setiap hari. Namun FA dari Sabah ini tidak pernah merungut kerana kerjaya terbang di awan biru menjadi impiannya sejak kecil.
Cabaran
“Selama sembilan tahun bersama AirAsia, pelbagai cabaran saya lalui. Penumpang biasanya tidak susah untuk di jaga malah saya sangat suka berjumpa dengan orang yang berlainan setiap hari.
“Cuma kadang kala apabila penerbangan terlewat, ada yang marah. Pada masa inilah FA harus mengunakan sepenuhnya kemahiran untuk menenangkan penumpang.
“Jika saya hadapi situasi ini, saya akan setia mendengar keluhan atau kemarahan penumpang dan cuba meletakkan diri saya di tempat mereka waktu itu. Insya-Allah kita dapat menyelesaikan masalah itu,” katanya sambil tersenyum.
Selain kerjaya impiannya, Irnawati juga mengusahakan pusat kecantikan secara kecil-kecilan sebagai mengisi hobinya pada masa lapang.
Dia juga dalam proses membuka butik pakaian.
“Walaupun sibuk dengan kerjaya, saya akan mengambil cuti panjang pada pertengahan dan hujung tahun untuk bersama keluarga,”ujarnya.
Cara Nora rehatkan badan
Datuk Paduka Toh Puan Seri Diraja Noor Aini Abdullah tidak menyedari mempunyai penyakit tekanan darah tinggi sehinggalah beliau berjumpa doktor kerana sering sakit kepala.
“Ketika itulah, doktor memberitahu saya mempunyai penyakit darah tinggi dengan kadar tekanan melebihi 120 dan mempunyai risiko strok jika lambat mendapatkan rawatan.
“Memang doktor sangat risau tentang keadaan saya. Kemudian saya diberikan ubat,” katanya yang hanya menyedari menghidap penyakit itu hujung tahun lalu.
Noor Aini atau mesra dipanggil Nora cuba sedaya upaya melibatkan diri dalam aktiviti fizikal supaya kekal sihat di sebalik rutin sibuk yang dilalui beliau.
Namun, apabila jatuh sakit, Nora terpaksa menghentikan rutin fizikal sementara waktu.
Kebanyakan waktunya hanya dihabiskan untuk berehat. Tambahan pula, Nora sering mengalami sakit belakang.
“Pada waktu itulah saya diperkenalkan dengan sauna infra merah jauh (far infra red – FIR) Zazen oleh Yasotha.
“Sebelum ini, saya ada mengikuti sesi bersauna menggunakan sauna FIR tetapi tidak memilikinya di rumah mahupun melakukan sauna sekerap sekarang,” katanya merujuk kepada rutin sauna secara aktif diikutinya sejak tiga bulan yang lalu.
Memikirkan yang beliau nyaris tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan anaknya sendiri pada November lalu kerana faktor kesihatan, Nora amat bersyukur kerana kesihatannya kini pulih dengan izin-Nya.
“Malah ramai yang memuji wajah saya kini lebih segar,” ujar duta Zazen FIR ini.
Keseimbangan
Sejak memiliki FIR di rumah, Nora lebih rajin menggunakannya dengan rutin tiga kali seminggu, 30 minit setiap kali.
Beliau dapat merasakan banyak perbezaan khususnya dari segi penyakit yang dialaminya.
“Darah tinggi saya menurun. Saya juga ada mengalami masalah lain seperti otot tegang, sakit belakang dan tekanan. Kini, semua itu bertambah baik. Ia bukan mengubati penyakit tetapi ia memberikan masa kepada badan untuk berehat dan mencapai keseimbangan.
“Justeru badan kita mendapat peluang untuk membetulkan sistem,” katanya yang sangat mengambil berat terhadap penjagaan kesihatan.
Nora menambah, seseorang yang mengalami perpeluhan ketika berehat dalam sauna selama 30 minit juga menyamai aktiviti berlari sejauh enam hingga sembilan batu.
Apabila dilakukan dengan kerap, ia membantu kulit membuang toksin untuk awet muda.
Mandi bunga
Berkongsi rahsia kecantikannya, Nora mengamalkan petua mandi bunga.
Tidak ketinggalan, perunding etika dan protokol ini mengamalkan pemakanan sihat dan sederhana untuk mengelakkan kemudaratan.
Tidak seperti wanita lain yang mungkin banyak menghabiskan masa di pusat gim atau kecantikan, Nora menjadikan ibadat solat sebagai senaman hariannya.
Baginya, solat itu sendiri merupakan aktiviti fizikal semula jadi.
Nasihatnya pada wanita lain, supaya menjaga kesihatan sebelum sakit datang.
“Kita perlu mencari waktu untuk merehatkan badan dan memeliharanya. Kita kena ingat mencegah adalah lebih baik daripada merawat,” ujarnya.
Wanita di sebalik kelajuan ERL
KUALA LUMPUR merupakan salah satu daripada 17 bandar raya di dunia yang menawarkan pengangkutan rel udara, iaitu perkhidmatan tren khusus di antara lapangan terbang dan pusat bandar raya.
Di antara bandar lain di dunia yang turut mempunyai perkhidmatan ini ialah Hong Kong, Sydney, Moscow, Heathrow, Gatwick, Stenstead (UK), Stockholm, Oslo, Itali, Narita, Bangkok dan Delhi.
Perkhidmatan yang dikenali sebagai KLIA Expres dan KLIA Transit ini dibina, dikendali dan dikawal selia oleh Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL).
Semenjak bermulanya operasi pada bulan April 2002, perkhidmatan tren ini telah berjaya mengekalkan rekod kebolehsediaan tepat pada waktu yang cemerlang dan bertaraf dunia pada tahap 99.7 peratus.
Express Rail Link (ERL) ialah operator perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, tren laju yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan Stesen Sentral Kuala Lumpur.
Perjalanan tanpa henti menaiki KLIA Ekspres mengambil masa selama 28 minit sahaja dengan kelajuan maksimum 160 kilometer sejam dengan kekerapan perkhidmatan setiap 15 minit pada waktu puncak dan 20 minit di luar waktu puncak.
ERL telah menerima pengiktirafan antarabangsa untuk perkhidmatan KLIA Ekspres VIP Service (Best Customer Service Award) sewaktu majlis Global AirRail Awards 2011 yang julung kalinya diadakan di Riga, Latvia manakala Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd. Noor pula dianugerahkan Personality of the Year Award.
ERL juga telah menerima sijil ISO9001:2008 Quality Management System untuk kepuasan pengguna baru-baru ini sebagai pengesahan terhadap komitmen syarikat untuk mempertingkatkan mutu kerja dan perkhidmatan.
Bertemu dengan Noormah baru-baru ini di pejabatnya di Stesen KL Sentral, beliau telah berkongsi pengalaman dan kejayaannya menjadi orang penting dalam ERL.
Wanita kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan dan dibesarkan di Kuala Lumpur ini sebelum menyertai ERL pernah bekerja sebagai Pengurus selama lebih dua tahun dengan Projek Usahasama Transit Ringan Automatik Sdn. Bhd. (PUTRA) pada pertengahan tahun 1997.
Pada bulan Oktober tahun yang sama, Noormah menyertai ERL dan dilantik sebagai Pengurus Besar selama 10 tahun. Bagaimanapun selepas sedekad bersama ERL, Noormah meletakkan jawatan bagi menumpukan perhatian kepada bidang perniagaan kafe yang amat diminatinya.
Pun begitu, khidmatnya masih diperlukan dan beliau dilantik sebagai Penasihat kepada ERL apabila Ketua Pegawai Eksekutif sebelum beliau bersara. Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ERL pada bulan Jun 2009.
”Sejak dari mula saya menyertai ERL, saya telah membangunkan bahagian kewangan, jadi saya telah biasa dengan pengurusan syarikat. Setelah memegang jawatan CEO, tugas utama saya masa itu ialah meneliti kewangan syarikat. Pada masa yang sama, dunia menghadapi krisis kewangan namun saya berupaya mendapatkan bantuan kewangan projek ERL.
”Pengalaman selama 10 tahun bersama CEO terdahulu banyak membantu dan memberikan lebih keyakinan untuk saya meneruskan amanah dan kepercayaan yang diberikan.
”Sebagai CEO, saya sedar saya memikul satu tanggungjawab yang berat, iaitu membuat pelan perniagaan, hala tuju pada kakitangan juga pada masa depan syarikat.
”Syarikat sudah lama bertapak, jadi saya harus membuat kajian mengenai kewangan syarikat. Kebetulan semasa saya menyertai ERL sebagai CEO, dunia dilanda krisis kewangan dan prestasi syarikat menurun. Banyak kerja yang perlu dibuat bagi menaikkan semula prestasi syarikat.
”Bagaimanapun saya mendapat kerjasama baik daripada kakitangan kerana mereka telah biasa bekerja dengan saya. Pada masa yang sama saya perlu memberikan motivasi kepada mereka,” kata Normah yang memiliki Diploma Perakaunan daripada Universiti Teknologi Mara (UITM) dan melanjutkan pengajian hingga mendapat Ijazah dan menjadi ahli dengan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), United Kingdom.
Sebagai seorang wanita, tidakkah tugas yang dipertanggungjawabkan kepada beliau terlalu berat, kata Noormah, beliau sentiasa bersikap positif terhadap tugasnya dan tidak menganggap ia sebagai sesuatu yang membebankan.
Ujar Noormah, beliau menganggap masalah sebagai cabaran dan mengamalkan kerja sebagai satu kumpulan serta melakukan kerja bersama-sama pegawai dan kakitangan tidak kira lelaki dan wanita.
”Saya tidak menghadapi masalah dengan pegawai dan kakitangan lelaki dan saya cuba melihat dan menilai pandangan mereka. Sebagai ketua, kita jangan terlalu menghalang pendapat mereka. Walaupun kita mempunyai pendapat dan pandangan sendiri namun kita jangan menolak mentah-mentah pendapat mereka.
”Saya selalu memberi nasihat kepada kakitangan bahawa kita kena jujur, tulus dan ikhlas semasa menjalankan tugas. Jangan mengharapkan sesuatu kerana jika kita jujur, ganjaran akan datang secara sendiri.
”Daripada 130 orang kakitangan, 85 adalah staf khidmat pelanggan dan pegawai tiket. Saya tekankan pada mereka bahawa mereka adalah lambang ERL. Jika perkhidmatan kita bagus, orang akan naik tren kita. Untuk pengetahuan, daripada segi khidmat tren, kita adalah bertaraf dunia.
”Empat kali setahun saya membuat kajian khidmat pelanggan bagi mengetahui pandangan pelanggan serta kumpulan pelanggan yang banyak menggunakan tren dan mendapati pelanggan luar negara lebih ramai menggunakan tren ini. Mereka selesa dengan tren ini.
”Berbanding dengan orang tempatan, mereka merasakan tambang sebanyak RM35 itu mahal namun ada juga yang berpendapat harga tersebut munasabah.
‘Saya berterima kasih kerana mendapat sokongan daripada ahli lembaga pengarah dan pengerusi. Apa yang penting dalam menjalankan tugas, saya mendapat kepercayaan daripada ahli lembaga pengarah.
”Setakat ini saya tidak menghadapi apa-apa masalah. Bagi saya tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.
”Selain itu pengalaman terdahulu saya dengan syarikat memudahkan saya kerana saya bukan orang baru. Selain itu kebolehan menyeluruh dalam kewangan turut membantu,” ujar Noormah yang mempunyai seramai 130 orang kakitangan.
Noormah berkata, cabaran paling hebat yang dihadapinya adalah faktor global yang di luar kawalan.
Jelas beliau, bisnes perkhidmatan ERL melibatkan penumpang kapal terbang seluruh dunia yang bergerak daripada lapangan terbang ke KL Sentral. Penumpang bergantung pada situasi global dan sensitif pada ekonomi global.
Jika dunia katanya, menghadapi masalah seperti SARS atau kemerosotan ekonomi, penerbangan turut terjejas dan memberikan kesan kepada khidmat ERL dan syarikat.
Bagaimanapun menurut Noormah, beliau gembira kerana daripada segi prestasi dunia, pencapaian ERL Malaysia dianggap terbaik dan dihormati.
Mengenai perancangan tahun ini, Noormah berkata, perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan dilanjutkan ke KLIA2 bagi memenuhi keperluan pasaran penerbangan tambang murah.
Sebagai operator kedua-dua perkhidmatan tersebut, ERL bersedia memastikan sambungan yang lancar ke terminal penerbangan kos rendah ini bila ia dibuka pada bulan April 2013 nanti.
”Matlamat projek ini ialah untuk menyambung landasan tren ERL yang sedia ada daripada Bangunan Terminal Utama KLIA1 ke Kompleks Bersepadu di KLIA2 yang sedang dalam pembinaan. Sambungan sepanjang 2.14 kilometer ini akan memintas ke stesen baru ERL di KLIA2 berhampiran sempadan landasan lapangan terbang nombor dua yang ada sekarang.
”Kompleks bersepadu ini nanti akan menempatkan semua pengangkutan awam termasuk perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit. Projek ini mengambil masa selama 15 setengah bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir Oktober tahun ini.
”Sambungan landasan ERL ke KLIA2 ini bakal memanfaatkan penumpang dari arah Kuala Lumpur (melalui Stesen Sentral Kuala Lumpur), Cheras dan Ampang (melalui Stesen Bandar Tasik Selatan), Putrajaya dan Cyberjaya serta Salak Tinggi,” ujar Noormah lagi.
Capai hasrat ke awan biru
SEWAKTU kecil Zarina Anis, 39, sentiasa berangan-angan untuk terbang di awan biru dari satu tempat ke satu tempat yang dianggapnya amat menyeronokkan dan pengangkutan yang paling dikaguminya tentulah kapal terbang.
Baginya, sebagai anak kampung dari keluarga yang sederhana dapat menaiki kapal terbang ketika itu seolah-olah satu perkara yang amat berprestij baginya sehinggakan dia bercita-cita untuk menaikinya satu hari nanti.
Setelah habis alam persekolahan dia merealisasikan impiannya dengan bekerja di sebuah syarikat pelancongan di kampungnya di Kuala Lipis, Pahang.
Biarpun hanya menjadi seorang kerani yang menguruskan soal tiket penerbangan bagi para pelancong yang mendapatkan khidmat agensinya namun impian Zarina untuk menaiki kapal terbang tidak pernah luput dari ingatan.
Dan, impian itu termakbul apabila Zarina yang mengumpul duitnya sendiri dapat menaiki kapal terbang buat kali pertamanya hanya ke destinasi dari Kuantan ke Kuala Lumpur dua tahun selepas bekerja di syarikat itu.
”Pengalaman menaiki kapal terbang amat bermakna buat saya. Sehingga sekarang saya menyimpan keratan tiket itu sebagai kenangan buat saya,” ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.
Setelah beberapa buah agensi pelancongan disertainya dan pada tahun 2010, Zarina yang telah masak dengan pengalaman selama 16 tahun dalam bidang pelancongan akhirnya membuka sebuah syarikat pelancongan sendiri yang dinamakan Tetra Travel & Tours Sdn. Bhd.
Syarikat pelancongannya yang terletak di Jalan Putra Square 2, Malay Town, Kuantan, Pahang merupakan satu kebanggaan buat dirinya yang terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan halangan sebelum dapat menubuhkan syarikat berkenaan.
Kini memegang status Pengarah di syarikatnya, Zarina sendiri mengetuai pelancong yang ingin bergerak secara berkumpulan berkunjung ke serata dunia.
”Banyak negara yang saya sudah kunjungi, Alhamdulillah impian saya untuk melancong sebagai hobi sejak dahulu lagi dan menaiki kapal terbang terlaksana.
”Biarpun membuka syarikat, saya sendiri pada awal pembukaan syarikat ini menguruskan soal tiket penerbangan kepada pelancong yang ingin berlanggan dengan syarikat ini. Paling banyak saya pernah membawa 80 orang pelancong kumpulan orang kenamaan di Pahang ke Jordan,” katanya yang mempunyai sembilan orang kakitangan setakat ini.
Jelas anak sulung daripada tujuh adik-beradik ini, biarpun pelbagai cabaran yang diperoleh sepanjang pembabitannya dalam bidang ini seperti ditipu pelanggan, namun semua itu dianggap asam garam perjalanan kerjayanya dalam bidang pelancongan.
Kata Zarina, tidak ramai yang membuka syarikat pelancongan daripada kalangan orang Melayu. malah di kalangan itu juga tidak ramai daripada mereka wanita. justeru Zarina merupakan antara mereka yang berani memecah tradisi untuk menjalankan perniagaan berbentuk pelancongan.
”Biarpun persaingan banyak dalam bidang ini apa yang penting apabila kita dapat memberikan perkhidmatan dengan sebaiknya, pelancong akan sanggup mendapatkan perkhidmatan daripada kita lagi apabila mereka berpuas hati.
”Setakat ini semua pelanggan sentiasa mengatakan mereka amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang syarikat saya tawarkan,” katanya.
Berstatus ibu tunggal dan mempunyai tiga orang anak, Ayu Qistina, 13, Afiq Qushairy, 12 dan Aadib Qayyum, 10 tahun, Zarina sentiasa mendapat sokongan ibunya, Rahmah Nong, 60, dan bapanya Anis Singgi, 70. malah dia beranggapan bapanya adalah penggalaknya yang utama sehingga dia berjaya seperti sekarang.
Selain menjadi pengusaha syarikat pelancongan, Zarina juga memiliki calet resortnya sendiri, dinamakan Pok Der Chalet di Teluk Cempedak, Pahang, selain van untuk digunakan sebagaicity tour, melakukan pakej umrah, tempahan hotel dan kereta sewa, pakej pelancongan domestik, tawaran pelancongan secara berkumpulan dalam negara dan sebagainya.
Pendek kata, apa sahaja yang bersangkutan dengan pelancongan, Zarina boleh menguruskannya.
Lebih daripada itu menurut Zarina, dia merasakan bidang pelancongan mampu memberikan satu pulangan yang lumayan dan tidak lama lagi dia bercadang untuk membuka cawangan syarikatnya untuk beroperasi di semua negara.
”Tambahan sekarang trend para ibu bapa yang akan membawa keluarga dan anak-anak mereka bercuti setiap tahun menjelang hujung tahun atau setiap tahun.
”Jadi sekiranya anda ingin pergi bercuti jangan gusar, syarikat pelancongan ini akan menguruskannya untuk anda biarpun anda berada di negeri lain,” katanya.
Tetra Travel & Tours Sdn. Bhd. boleh dihubungi di talian 09-517 3711/12/13 atau 09-517 3717 untuk pertanyaan lanjut dan laman webnya ialah www.tetratraveltours.com.
Irmawati pakar Sains
PADA usia sembilan tahun lagi, Pengarah Pusat Sains Negara (PSN), Prof. Madya Dr. Irmawati Ramli, 41, mengakui beliau suka mengamati keadaan sekeliling menyebabkan dirinya diselubungi pelbagai persoalan.
Pada usia itu, beliau sering kali tertanya-tanya bagaimana berlakunya kejadian air pasang dan surut, cuaca laut yang diingin pada waktu pagi bertukar kepada terik dan bagaimana daun inai yang hijau boleh menghasilkan warna kemerahan di jari.
“Sejak kecil, saya suka memerhati alam sekitar. Seingat saya, perubahan angin pantai yang berlaku menyebabkan saya terfikir panjang bagaimana ia boleh berlaku. Untuk mendapatkan jawapan, kesemua persoalan itu akan diajukan kepada kedua-dua ibu bapa,” ungkap anak jati, Kuala Sungai Baru, Melaka itu.
Bertitik tolak dari situ, minat terhadap alam sekitar semakin mekar dalam dirinya sehinggakan beliau memilih aliran Sains sebaik tamat tingkatan tiga. Dua tahun kemudian beliau akhirnya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Berbicara lanjut mengenai dirinya selepas tamat SPM, beliau mengikuti program Matrikulasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) selama dua tahun (1988-1990) dan seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah (1991-1994) dalam program pengkhususan Sains Kimia di universiti yang sama.

Dengan berbekalkan keputusan cemerlang, akhirnya beliau dilantik menjadi pembantu penyelidik pada tahun 1994. Selepas setahun berkhidmat, beliau dihantar ke Universiti Manchaster, United Kingdom dan pulang ke UPM sebagai seorang pensyarah.
Bagaimanapun, hampir 10 tahun menjadi pensyarah di UPM rezeki ibu kepada seorang cahaya mata itu datang bergolek apabila pada tahun 2009 beliau mendapat kepercayaan untuk bergelar Pengarah PSN.
Sudah dua tahun berlalu namun, beliau mengakui jauh di sudut hatinya, beliau tetap merindui kajian-kajian di UPM.
Bagaimanapun, Irmawati tidak menjadikan ia sebagai satu halangan besar sebaliknya masih meneruskan kajian-kajian lain bahkan, masih menjadi penyelia kepada dua pelajar di peringkat doktor falsafah dan sembilan pelajar sarjana yang mengikuti pengajian di UPM.
“Dalam tempoh seminggu, saya akan memperuntukkan satu hari untuk pelajar-pelajar berkenaan. Jika saya tidak dapat hadir ke UPM, mereka akan datang ke pejabat untuk berbincang mengenai pengajian dan perkembangan kajian mereka,” ujarnya,
Dalam pada itu, meskipun terikat dengan jadual kerja yang padat, beliau amat bersyukur kerana suami dan anak memahami tugasnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengalaman manis sepanjang bertugas di PSN, beliau mengakui bermalam selama empat hari tiga malam bersama penduduk rumah panjang di Bintulu, Sarawak pada tahun lalu antara pengalaman tidak akan dapat dirasai jika bergelar pensyarah.
“Setakat ini, saya belum pernah tinggal bersama komuniti tersebut. Apabila mendapat peluang ini, saya sangat teruja kerana dapat bergaul dengan mereka selain melihat keunikan budaya mereka dengan lebih dekat,”ujarnya lagi.

Dunia sains
Ketika ditanya mengenai tahap pengetahuan masyarakat di pedalaman terhadap sains, beliau mengakui meskipun mereka tinggal di kawasan pedalaman, ia tidak bermakna mereka tidak mengenal dunia sains cuma golongan tersebut tidak melihat secara langsung mengenai aplikasi kesan sains terhadap kehidupan.
“Sebagai contoh pembangunan Projek Hidroelektrik Bakun yang dijalankan di sana. Mereka menentang habis-habisan projek itu memandangkan terpaksa berpindah ke kawasan lain namun, mereka tidak sedar projek tersebut sebenarnya memberi manfaat kepada mereka juga,” ujarnya.
Mengakui tidak terkecuali daripada cabaran, Irmawati juga seperti insan-insan lain turut melalui detik sukar dalam kerjayanya.
Dalam memastikan semua program PSN berjaya, beliau perlu menyusun semula aktiviti dan melakukan pelbagai transformasi menyeluruh tidak sahaja berkaitan jabatan tetapi juga minda kakitangan.
“Saya mempunyai tanggungjawab yang besar memandangkan PSN telah lama ditubuhkan dan untuk merangka sesuatu aktiviti baharu bukanlah satu tugas mudah di mana idea-idea mengenai program itu perlulah mendapat kata sepakat daripada semua pihak,” jelasnya.
Biarpun baru dua tahun mengepalai PSN, beliau dilihat berjaya melakukan pembaharuan dalam aktiviti-aktiviti yang ingin dijalankan.
Kalau tidak mana mungkin jumlah pengunjung PSN boleh meningkat berlipat kali ganda. Pada tahun 2010, PSN menerima 280,000 pengunjung, manakala pada tahun lalu kira-kira 1.1 juta pengunjung menjejak kaki ke PSM.
Bercerita lanjut mengenai program yang telah menarik perhatian orang ramai, Irmawati mengakui kejayaan pihaknya menghimpunkan 32 dinosaur antara yang meninggalkan kesan kepada pengunjung.
“Mereka teruja apabila dinasour itu lengkap dengan kesan suara.

“Pameran yang diadakan itu sekurang-kurangnya berjaya mengetepikan persepsi negatif orang ramai bahawa PSN merupakan sebuah pusat yang diselubungi dengan elemen-elemen yang membosankan,” katanya.
Peningkatan itu juga disumbangkan oleh galeri-galeri baharu seperti Kids Discovery Place!, Energy World dan Kidz World serta taman Science Wonderland yang diwujudkan PSN.


















