Usahawan burung walit
April 21, 2012 by Dudi
Filed under Shoppe Guide
Comments Off
![]() |
Ruby menunjukkan produk keluaran kilangnya.
|
Bagi yang pernah mengenali, pastinya wajah ini tidak asing pada penglihatan mereka. Masakan tidak, wajah milik Rabi’Atul ‘Adawiyah Othman, 30, sering terpapar di media elektronik mahupun media cetak ketika memperagakan fesyen.
Sudah 13 tahun Rabi’Atul ‘Adawiyah atau mesra dengan panggilan Ruby melayari kerjaya sebagai model profesional. Pada masa itu ruang mana yang tidak dimasukinya. Malahan, beliau juga pernah menjadi model bagi pasar raya-pasar raya besar di negara ini.
Dalam kesibukannya mengejar waktu menguruskan perniagaan dan rumah tangga, Ruby yang sempat hadir ke Studio Utusan tetap kelihatan anggun berpakaian tajaan I-Kartini dari KLCC bercerita mengenai kerjaya barunya sebagai seorang usahawan wanita.
Ujar Ruby, beliau menjadi model menerusi sebuah agensi pada tahun 1999, sebelum bergerak sendiri setahun kemudian.
Selepas beberapa tahun berkecimpung sebagai model, Ruby mengambil keputusan untuk meneroka bidang perniagaan bagi memperluaskan skop kerjayanya.
Memegang jawatan sebagai pengarah bagi perniagaan miliknya, alga Prima Sdn. Bhd. iaitu pengilang dan pengeluar produk minuman sarang burung walit dan minuman kolagen sejak empat tahun lalu, Ruby kini sudah boleh berbangga dengan produk keluaran kilangnya yang semakin meningkat.
”Setelah menyedari usia semakin meningkat dan setelah berumahtangga lima tahun yang lepas, saya rasa sudah sampai masanya menceburi bidang yang boleh menjamin masa depan.
”Saya memang sukakan kecantikan. Justeru, produk sarang burung walit ini amat bersesuaian dengan minat saya kerana ia turut membawa rahsia kejelitaan dan kesihatan dalaman,” kata isteri kepada ahli perniagaan, Mohamad Nazari Ahmad itu.
Bahagia dengan kehidupan barunya, Ruby yang mempunyai ketinggian 5 kaki 8 inci itu kini dikurniakan dua cahaya mata berusia lima tahun dan lapan bulan.
Mengakui agak sibuk dengan bidang perniagaan menyebabkan kini dia hanya mengambil sesi modeling sekiranya ada kelapangan. Beliau juga mempunyai agensi modeling sendiri di samping bertindak sebagai pengurus majlis dan menguruskan perniagaan sampingan lain.
”Saya memang sibuk dengan perniagaan, saya melakukan kerja-kerja pemasaran dan banyak bertemu dengan pelanggan di luar. Tambahan pula saya juga merupakan duta alga Prima,” kata Ruby anak kedua daripada lima adik-beradik ini.
Ruby juga berbangga kerana dalam ramai-ramai peniaga yang menghasilkan produk kesihatan berunsurkan sarang burung, hanya terdapat dua pengilang bagi produk ini sahaja di negara ini dan salah satu daripadanya ialah kepunyaan alga Prima sendiri yang terletak di Kulim, Kedah, diseliakan beberapa pekerja.
Justeru dalam tempoh beberapa hari dalam sebulan dia akan berada di kilangnya untuk mempastikan proses mencuci dan menyiapkan sarang burung sehingga menjadi produk kesihatan di kilangnya berjalan lancar mengikut jadual dan permintaan pasaran.
Beliau turut melihat proses awal sarang burung itu dihasilkan, bagaimana ia diambil, dibersihkan, direbus dan kemudian diproses sebagai produk kesihatan.
”Bagi sarang burung mentah, ia akan direbus dan diletakkan gula batu kemudian diminum begitu sahaja untuk mendapatkan khasiat yang unggul,” katanya.
Ruby memberitahu, minuman dan memakan sarang burung telah diamalkan oleh masyarakat Cina yang mengetahui mengenai khasiatnya sejak dulu lagi.
Menurut kajian pakar-pakar pemakanan, sarang burung walit mengandungi Glikoprotein terhasil daripada air liur burung walit yang tinggi dengan protein dan karbohidrat yang berfungsi memberi tenaga, pemulihan organ dalaman dan meningkatkan kadar metabolisme dalam tubuh manusia.
Jelasnya, biarpun masih baru dalam dunia perniagaan, beliau mengutip setiap pengalaman yang ada dan memberikan hanya yang terbaik untuk bidang perniagaan yang diceburinya di samping menimba ilmu daripada insan-insan yang telah lama bergiat dalam bidang ini.
Ruby juga bersyukur biarpun menerima pelbagai kerenah dan jatuh bangun dalam dunia perniagaan ini namun beliau tidak mudah patah semangat. Ruby bersyukur kerana dapat berjuang meneruskan perniagaannya dengan bimbingan rakan kongsinya, Zulkifli Ahmad yang juga abang iparnya.
”Walaupun masih baru dalam perniagaan ini, produk alga Prima mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan. Saya gembira kerana semua orang puas hati dengan produk ini.
”Bukan senang untuk bersaing dalam dunia perniagaan namun kini alga Prima telah berjaya dipasarkan di Brunei, Singapura dan China. Dalam sebulan 40,000 botol minuman alga Prima telah dikeluarkan manakala produk botol yang besar mendapat permintaan lebih 800 botol sebulan dan di negara ini dijual di pasar raya-pasar raya terkemuka,” katanya .
Memandangkan sambutan yang menggalakkan, alga Prima, katanya, akan mempertingkatkan jualan dan mempelbagaikan produk lain berasaskan sarang burung dan kolagen tidak lama lagi.
”Setakat ini alga Prima mengambil sarang burung mentah daripada agen. Kilang di Kulim akan bertindak mencuci dan memprosesnya.
”Tidak lama lagi kita bercadang akan mempunyai rumah sarang burung sendiri untuk menternak burung sebelum memprosesnya sendiri selain melakukan penyelidikan untuk mengkomersialkan produk ini lagi.
“Dalam pada itu saya juga bercadang untuk mewujudkan rangkaian kedai-kedai komersial menjual produk sarang burung keluaran alga Prima,” ujarnya.
Sesiapa yang berminat dengan alga Prima boleh menghubungi talian 03-55233648.
Konsep Inggeris LoVe London
April 18, 2012 by Ainaa
Filed under Shoppe Guide
Comments Off
![]() |
HIMPUNAN pakaian Philosophy Men hadir dalam konsep kasual dan santai.
|
JENAMA Graffi Tee, Philosophy Men dan Salabianca meraikan kegemilangan dua acara besar yang sangat jarang berlangsung dalam tahun yang sama.
Seiring dengan ulang tahun Jubli Intan pemerintahan Ratu Elizabeth II dan Sukan Olimpik, Salabianca menunjukkan penghormatan mereka menerusi rekaan bermotif alam semula jadi, sesuai dengan pertunjukan flora dan perarakan kuda Derby.
Dres organza paras betis (tea length), dres musim panas dan baju T dengan corak barang kemas Ratu Britain itu menghasilkan gabungan gaya moden dan klasik.
Pengaruh imej taman botani yang kuat dapat dilihat pada fabrik organza dan net yang digunakan. Penataan tiga dimensi (3D) flora dan fauna pada dres yang dihasilkan jelas menonjolkan semangat taman Inggeris yang menjadi signatur negara tersebut.
Meneliti koleksi Philosophy Men pula, ia lebih menitikberatkan penghargaan terhadap cuti umum Britain di Brighton, Bath dan Gibraltar. Seleksi rekaan dipengaruhi warna langit cerah kebiruan dan ditambat dengan titisan embun asli. Ia disudahkan dengan jalur seperti baju kelasi yang berfungsi sebagai penegas imej.
Unsur humor dan kecerdikan Britain diterapkan ke dalam rekaan Graffi Tee yang mencedok idea daripada karakter James Bond dan Sherlock Holmes. Motif buku-buku popular menghiasi baju T itu menjadi simbolik pengiktirafan kepada penulis-penulis berbakat negara tersebut.
![]() |
GAUN tunic nuansa lembut tampak ceria apabila digayakan bersama sarung kaki warna firus.
|
Sebagai pelengkap tontonan kebudayaan Britain, ketiga-tiga jenama itu juga mengeluarkan baju T LoVe London yang menjadi stail asas Inggeris.
Turut mencuri tumpuan ialah baju T bercorak kuasa muzik pop Britain, kehebatan zoologi dan kartun pengawal Wales bagi menyemarakkan hari-hari si pemakai.
Kesemua rekaan boleh didapati di butik-butik Graffi Tee, Philosophy Men dan Salabianca seluruh negara bermula pertengahan April ini.
Aksesori elektronik pelengkap gaya
April 14, 2012 by Ainaa
Filed under Shoppe Guide
Comments Off
PERSEPSI dahulu bahawa fungsi sebuah kamera hanya untuk mengambil gambar ketika acara istimewa, sudah tidak boleh diguna pakai lagi. Ia selari dengan perkembangan kecanggihan alat elektronik itu.
Semakin hebat ciptaan sesebuah kamera, semakin mudah tugas merakam detik-detik manis. Ia bukan lagi tanggungjawab jurugambar profesional tetapi, sesiapa sahaja yang berkemampuan mampu memiliki kamera.
Tarikan utama sudah pasti ditumpukan kepada pelbagai model kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) yang amat digilai anak muda. Di mana-mana sahaja kita dapat melihat gelagat kumpulan remaja menggantung DSLR di leher mereka.
Adakah mereka benar-benar mengetahui fungsi sebenar DSLR atau sekadar mahu dipandang bergaya?
Penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, 21, menyifatkan fenomena tersebut sebagai satu perkembangan normal namun, menasihatkan anak muda hari ini agar tahu menggunakan sepenuhnya fungsi alatan elektronik mereka.
“Tidak dinafikan trend sebegini telah dilihat sebagai sebahagian gaya peribadi. Aksesori elektronik seperti DSLR mampu menyuntik elemen cool kepada seorang lelaki, membuatkan kelibat mereka mudah mencuri tumpuan ramai.
![]() |
ALIF AZIZ tidak menafikan, gabungan aksesori elektronik berjenama mampu menyuntik elemen cool pada seorang jejaka.
|
“Tetapi, alat elektronik bukan untuk bergaya sahaja dan setiap individu yang membuat keputusan membelinya, wajar menguasai setiap fungsi alat tersebut. Jika tidak, ia ibarat berbelanja untuk bermegah tanpa kepentingan terperinci yang amat sia-sia,” jelas Aliff Aziz yang kini taksub pada telefon pintar Samsung Galaxy Note miliknya.
Aura Beats
Selain DSLR, fon kepala (headphone) juga bukan aksesori elektronik baharu yang menjadi peneman gaya kaum Adam. Jika kita menaiki kenderaan awam seperti tren transit aliran ringan (LRT) dan bas, kebanyakan lelaki muda lebih gemar melayan kebosanan dengan mendengar muzik.
Apa yang menangkap perhatian sekeliling ialah fon kepala yang digunakan. Saiz dan warna fon kepala itu pula disesuaikan mengikut cita rasa masing-masing.
Hari ini, fon kepala yang paling ketara mempengaruhi gaya lelaki adalah siri Monster Beats by Dr. Dre.
“Saya amat tertarik dengan fon kepala tersebut. Ia sangat menarik dan paling penting kualiti audio yang kita dengar amat jelas tanpa gangguan bunyi persekitaran,” ujar Aliff Aziz yang sedang berkira-kira untuk membeli fon kepala yang disediakan dalam enam warna yang berbeza itu.
Evolusi fon kepala juga mengalami garis masa yang menarik. Suatu ketika, orang ramai lebih menggemari fon kepala yang lebih kecil kerana ia mudah dibawa dan tidak terlalu menonjol.
Sedikit menghairankan apabila golongan jejaka kembali memilih fon kepala bersaiz besar dan meletakkan yang kecil sebagai pilihan kedua. Aura yang ditonjolkan fon kepala Beats ternyata menghidupkan imej lelaki kontemporari yang tidak tercicir mengikut arus kemodenan.
Menyusuri siar kaki di mana-mana pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur, pandangan anda tidak akan lengkap jika tidak terlihat segelintir remaja yang menghiasi kepala mereka dengan aksesori elektronik tersebut.
Berbeza pula dengan seorang lagi penyanyi tempatan, Alif Satar, 22, yang tidak cenderung memakai fon kepala ketika waktu santai terutama ke tempat tumpuan awam.
“Saya akui, ia merupakan antara aksesori yang mengagumkan dan secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada fesyen. Tetapi, saya menggunakan fon kepala ketika bersukan sahaja.
“Penggunaan aksesori sebegini perlu mengikut kehendak seseorang. Ada yang suka memakainya tidak kira ke mana sahaja mereka pergi dan ada juga yang memilih waktu bersesuaian.

“Ia bergantung pada tujuan masing-masing dan bagi saya, penting untuk mendengar muzik menggunakan fon kepala ketika menjalani latihan di gimnasium dan menunggang motosikal,” jelas Alif Satar yang kini sedang hangat dengan single keduanya berjudul Abdul.
Kepentingan atau keperluan
Kehendak memiliki pelbagai aksesori elektronik mungkin sedikit disalah erti kebanyakan lelaki. Ramai dalam kalangan mereka yang tidak memahami perbezaan antara kepentingan dan keperluan.
Tambah Alif Satar, aksesori elektronik bukan digunakan untuk menunjuk-nunjuk sahaja namun, ia perlu dinilai mengikut spesifikasi keseluruhan alat tersebut.
“Setiap perkara perlu ada had. Begitu juga dengan aksesori elektronik. Ramai remaja menghabiskan duit mereka membeli barangan ini sebab mahu nampak bergaya seperti orang lain.
“Kebanyakan mereka tidak tahu tujuan sebenar dan hal ini membuatkan tanggapan sekeliling berubah pasif kepada barangan itu sendiri sedangkan pada asalnya, ia dicipta atas tujuan perkembangan teknologi,” ujarnya yang mengakui sukar untuk hidup tanpa telefon pintar BlackBerry.
Sementara itu, Aliff Aziz juga mengingatkan anak-anak muda agar bijak berbelanja apabila melibatkan aksesori elektronik.
“Pilih alat elektronik yang dapat memaksimumkan penggunaan anda. Untuk mereka yang suka bergaya dengan alat elektronik, buat pertimbangan pembelian dengan melihat warna dan reka bentuk yang ditawarkan,” tambah Aliff Aziz lagi yang telah melancarkan album baharunya penghujung Mac lalu.
Sepatu merentas zaman
April 12, 2012 by Dudi
Filed under Shoppe Guide
Comments Off
SEPATU CR Exchange menggunakan warna-warna terang dan rona neutral yang klasik. Ia dicipta bukan sahaja untuk melaram ke majlis-majlis tertentu, bahkan sesuai dijadikan kasut harian.
![]() |
Pilih mengikut cita rasa anda sama ada daripada kasut tumit tinggi atau yang bertapak rendah. Setiap perincian yang digunakan pasti menyerikan langkah anda.
Kasut tumit tinggi yang diperbuat menggunakan material kayu, Back to Basics memberikan keselesaan ketika berjalan ibarat sandal. Teknik pembuatan yang teliti dengan tali bersilang melilit pada seluruh kaki menjadikan kaki anda tampak lebih panjang.
Mahukan penampilan klasik? Jangan ragu-ragu untuk menyarungkan sepatu Naturally Neutral yang direka dengan pilihan warna bumi. Rona krim dan perang merupakan warna yang sesuai digabung dengan apa jua busana dan menjimatkan masa anda berfikir memilih sepatu yang sesuai.

Sekiranya perincian tali menjadi perhatian pertama anda, cuba kasut Classic with a Twist yang mempunyai tali berpintal sebagai penata utama. Selain menjanjikan keselesaan maksimum, ia turut didatangkan dalam tiga warna asas iaitu hitam, putih dan kuning air (beige).
Bead Beautiful pula padan untuk wanita yang berjiwa ranggi. Perincian manik-manik segi empat halus yang menghiasi tali yang melingkari bahagian belakang sepatu itu menonjolkan karakter riang si pemakai. Merah dan hitam menjadi tema warna untuk kasut bertapak rendah tersebut.

Untuk kaum Hawa yang menggemari penampilan campuran kasual dan sedikit lasak, sepatu Cut-out Cute adalah pilihan tepat. Penegasan kasut ini terletak pada motif potongan berbentuk segi tiga yang menghiasi keseluruhan kasut bertapak rendah. Ia membuatkan anda kelihatan santai tetapi masih elegan dan comel.
Levi’s baru untuk wanita
April 9, 2012 by Ainaa
Filed under Shoppe Guide
Comments Off
ISTIMEWA untuk wanita yang gemar mengenakan jean, musim bunga ini Levi’s memperkenalkan Levi’s Curve ID yang direka khusus bagi menyerlahkan ciri-ciri kewanitaan.
Sudah tentu yang ditampilkan kali ini ialah ankle skinny dengan potongan lurus sendat paras buku lali.
Ditambah lagi dengan pilihan warna lebih segar yang pastinya memeriahkan lagi sesi santai hujung minggu bersama rakan-rakan.
Levi’s Curve ID merupakan keluaran khas yang menggunakan revolusi sistem padanan berdasarkan kepada bentuk, bukannya saiz.
Menurut kajian global yang dijalankan oleh Levi Strauss & Co., seluar jean menduduki tempat ketiga iaitu selepas baju mandi dan pakaian dalam senarai pakaian yang paling dijauhi wanita ketika mereka mengambil keputusan untuk membeli-belah.
“Levi’s Curve ID adalah seluar jean sebenar bagi kami kerana kami percaya seluar jean harus direka sepadan dengan wanita, dan bukannya wanita yang harus padan dengan rekaan seluar jean,” jelas Anitha Narayanan, Pengarah Komersial untuk Levi Strauss Malaysia.
Saiz Levi’s Curve ID direka mengikut kesesuaian bentuk badan wanita tidak kira sama ada mereka bersaiz 24 atau 29 inci.
Dan untuk kempen Levi’s Curve ID musim ini telah dijayakan oleh Viviane Sessen, seorang jurugambar wanita kelahiran Belanda yang mana hasil kerjanya baru-baru ini dipamerkan di pameran New Photography 2011 MoMA.
Gaya fotografi Viviane yang mengadunkan fiksyen dan bukan fiksyen membolehkannya menangkap dan mengabadikan emosi yang sebenar.
Levi’s menggunakan sepenuhnya bakat unik yang dimiliki oleh Viviane dan memberi penekanan pada aspek warna dalam hasil kerjanya untuk menyerlahkan keunikan koleksiankle skinny Levi’s Curve ID ini.
Inovasi dari warna sunset coral, snorkel blue, buck wheat dan denim hingga ke authentically crafted dan worn looks ini memang menjanjikan kelainan.
Harga runcit untuk seluar ini bermula daripada RM209 ke atas.
Sistem Padanan
Tidak seperti jenama denim yang lain, Levi’s Curve ID menggunakan satu sistem padanan unik yang memberi fokus pada kadar ukuran dan bentuk badan wanita, bukannya pada saiz badannya.
Para pereka Levi’s telah menjalankan kajian imbas tubuh ke atas lebih daripada 60,000 orang wanita bagi mengembangkan padanan khas berdasarkan kepada perbezaan antara ukuran pinggul dan bahagian punggung wanita.
Hasil kajian mendapati lebih jelas perbezaannya, lebih lengkung potongan badannya.
Levi’s Curve ID boleh didapati di kedai-kedai bermula dari Mac lalu. Setiap kedai menyediakan pakar-pakar padanan yang terlatih untuk mengukur tubuh wanita, mengenal pasti Levi’s Curve ID mereka dan membantu mereka mendapatkan seluar jean yang bersesuaian dengan bentuk badan serta gaya yang menjadi pilihan.
Wanita juga dapat mengenal pasti potongan yang paling sesuai bagi mereka, melihat galeri foto wanita memperagakan potongan dan mempelajari dengan lebih lanjut tentang sains di sebalik ‘Bentuk bukan Saiz’ Levi’s Curve ID dengan melayari bilik persalinan digital interaktif di levi.com.my atau laman Facebook Levi’s di facebook.com/#!/Levis.
Gempal bergaya
April 4, 2012 by Ainaa
Filed under Shoppe Guide
Comments Off
SETIAP wanita ingin tampil cantik dan menarik. Salah satu aspek yang sering diperhatikan dalam penampilan adalah bentuk tubuh badan.
Bentuk tubuh yang kurus, ramping, langsing dan ideal menjadikan penampilan lebih berkeyakinan apatah lagi ketika menggayakan fesyen yang digemari.
Namun, tidak semua wanita yang memiliki bentuk tubuh yang ideal. Bagaimana bagi mereka yang bertubuh gempal dan tidak langsing? Adakah mereka ini tidak boleh kelihatan bergaya dan tampil menarik?
Jika anda tergolong di kalangan mereka yang bertubuh besar, ia tidak haus dilihat sebagai satu kekurangan.
Apa kata tingkatkan diri dengan lebih bergaya untuk ke pejabat dengan koleksi Ms Read’s SS 12.
Koleksi Ms Read yang dikhususkan untuk mereka yang bersaiz L, XL, XXL dan sebagainya, memberi nafas baru dalam berfesyen apabila seolah-olah ia menjadi penyuntik antidot yang sempurna daripada rasa lesu untuk ke pejabat pada pagi hari.
Ekspresikan diri dengan demure dres, skirt pensel, jaket, baju kemeja untuk memberikan anda penampilan profesional.
Ada orang berkata, seseorang itu perlu berpakaian sebagaimana jawatan yang disandang dan untuk itu, koleksi Ms Read mempunyai segalanya untuk anda.
Pelbagai pilihan warna lembut kebiruan, warna-warna tanah, tidak bercorak dan polos, menyelaputi diri dan pakaian anda pada musim ini.
Fikirkan mengenai pakaian yang selesa dan mudah dipakai ringan, lembut, berfabrik sempurna untuk blaus, maxi dan baju pendek beropol.
Ms Read juga buat pertama kalinya memperkenalkan baju panjang atau dres labuh.
Digandingkan secara kasual atau bergaya sahaja dengannya, pastinya ia padan dengan semua orang.
Percayalah apabila ia dipakai, susah bagi anda untuk menanggalkannya. Koleksi Musim panas 2012 berharga antara RM99 ke RM259 sahaja.
Bagi mereka yang berada di luar negara, msreadshop.com menawarkan penghantaran percuma ke Singapura, Brunei, New Zealand, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia. Kini koleksi musim bunga/panas 2012 boleh didapati di pusat-pusat membeli-belah terkenal di negara ini atau anda boleh melayari www.msreadshop.com atau www.zalora.com.my.
Gaya musim bunga FCUK
April 2, 2012 by Ainaa
Filed under Shoppe Guide
Comments Off
ANTARANYA seperti jenama French Connection Time yang telah dikenali di seluruh dunia menerusi siri keluaran FCUK yang cukup popular.
Menampilkan jam tangan bersaiz sederhana yang mudah dikenakan dengan apa jua fesyen, ia menepati kehendak ramai pada masa kini.
Kedatangan musim bunga ini disambut meriah dengan koleksi terkini yang bakal menyesuaikan fesyen bergaya sempurna untuk keluar pada waktu malam atau sekadar dipadankan dengan pakaian kerja seharian.
Sehingga kini, jenama dari FCUK tidak pernah berhenti untuk mewujudkan keserasian peribadi buat wanita mahu pun lelaki.
Jam tangan French Connection boleh didapati di One Utama Shopping Centre, Isetan (Suria KLCC dan The Gardens Mid Valley), Parkson (Gurney Plaza, Suria KLCC, One Utama, Sunway Piramid, The Mall dan Pavilion), Robinsons (The Gardens Mid Valley), Tangs (Empire Shopping Gallery dan di semua kedai jam tangan City. Chain.
Ilham sebuah cerita klasik
March 31, 2012 by Ainaa
Filed under Shoppe Guide
Comments Off
PAKAIAN lazimnya melambangkan perwatakan dan keyakinan seseorang wanita. Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya wanita lebih mementingkan kualiti, jenis kain dan reka bentuk pakaian mereka.
Begitu juga dengan himpunan pakaian jenama tempatan, Cacac (disebut “kaka” bermaksud persaudaraan wanita, seperti ditakrifkan dalam perkataan Melayu, kakak) yang tampil dengan rekaan bercirikan kelembutan yang begitu menawan kali ini.
Koleksi terbabit lahir daripada ilham sebuah cerita klasik, The Secret Garden yang mengisahkan seorang kanak-kanak perempuan nyaris kehilangan harapan dalam hidupnya tetapi kecantikan alam semula jadi dan persahabatan memulihkan kembali semangatnya.
Jenama tempatan hasil rekaan selebriti antarabangsa, Lee Sinje yang dilahirkan dan dibesarkan di Kedah, Malaysia, ini ingin menyampaikan fesyen mewah yang mampu dimiliki semua.
“Tema kali ini menggunakan warna bertenaga dan cerah untuk memaparkan elemen harapan dan kemampuan golongan wanita moden yang sering sibuk dalam mengendalikan kehidupan harian mereka.
“Warna seperti ungu, merah fuchsia, hijau mauve, corak bunga-bungaan, mustard kuning, ungu cerah dan biru langit diketengahkan dalam koleksi ini,” kata pereka yang juga pemilik dan pengurus jenamanya, Lee Sinje.
Kainnya terdiri daripada kapas, rayon, sifon sutera dan sutera organza digunakan untuk menghasilkan tekstur yang romantik dan elegan manakala kain bersifat ringan ini sesuai untuk wanita moden.
Sasaran usia pemakai pula wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun dengan pilihan daripada pakaian koktel, kasual serta pakaian yang sesuai dengan cuaca panas.
Menerusi pengalamannya sebagai selebriti dan kini seorang isteri, Lee Sinje percaya wanita moden bukan saja mampu mengurus kerjaya dan keluarganya tetapi berupaya untuk memulakan kerjaya baru mereka atau mengejar impian tanpa risaukan umur masing-masing.
“Ia bagaikan satu impian yang menjadi kenyataan ketika memulakan kerjaya saya dalam industri fesyen. Ramai yang memberikan nasihat bahawa perniagaan ini berisiko. Sehingga kini, saya tidak pernah menyesal kerana memperoleh pelbagai pengalaman dari segi pemasaran, rekaan juga penghasilan pakaian.
“Saya meninggalkan kampung sejak berumur 19 tahun untuk mengejar kerjaya lakonan di Taiwan dan Hong Kong. Namun saya juga ingin pulang ke Malaysia untuk menyumbang sesuatu.
“Malaysia masih kampung saya dan amat gembira jika dapat berkongsi kejayaan dan kebanggaan saya dengan semua “kakak”. Justeru, jenama fesyen ini satu permulaan yang baik,” tambah Lee Sinje.
Koleksi baru Cacac bertemakan The Secret Garden ini akan dipaparkan di Parkson Pavilion, Parkson Gurney Drive dan Sunway Giza mulai April hingga Julai 2012.
Harga koleksi baru boleh didapati antara RM50 hingga RM500. Untuk maklumat lanjut, layari www.mycacac.com.
Semakin kecil semakin canggih
March 30, 2012 by Dudi
Filed under Shoppe Guide
Comments Off
SEPANJANG memegang jawatan Pengetua Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, Terengganu, Rohaya Ibrahim, 55, sudah masak dengan masalah kehadiran murid ke sekolah.
|
Bilangan pelajarnya tidak terlalu ramai, tetapi masalah tersebut saban tahun semakin meruncing. Dia menganggap, barangkali teknik pembelajaran yang membosankan menyebabkan perkara itu berlaku.
Namun, sejak kerajaan Terengganu memberikan e-book kepada pelajar di situ lama-kelamaan, Rohaya sudah melihat impaknya.
“Dahulu, terdapat pelajar yang hanya datang ke sekolah dua atau tiga hari seminggu. Kini, pelajar tersebut sudah hadir kelas setiap hari,” kata Rohaya ketika ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Rohaya berpendapat, ia mungkin disebabkan e-book lebih interaktif yang terbukti berbeza dengan teknik pembelajaran zaman dahulu.
Paling menyenangkan mengenai e-book yang menggunakan cip pemprosesan Intel itu adalah kesemua buku teks daripada darjah satu hingga enam boleh dimuatkan dalam peranti seberat 1.2 kilogram.
Para pelajar dapat mengulang kaji pelajaran pada bila-bila masa tanpa mengira sukatan yang dikehendaki. Menurut Guru Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu, Ahmad Suhaimi Said, e-book pelajar turut dilengkapi dengan perisian rangkaian integrasi.
“Intel Mythware E-Learning menjadikan semua e-book para pelajar sebagai satu rangkaian yang boleh dipantau oleh guru.
“Learning Management System (LMS) pula membolehkan guru memberi tugasan seperti latihan kerja rumah melalui e-mel sahaja,” terang Suhaimi.
Seperti yang diungkap oleh Pengurus Intel Malaysia, Prakash Mallya, teknologi telah mempengaruhi setiap kehidupan manusia. Perkembangan teknologi juga turut memberi kesan kepada golongan selebriti.
Penerbit rancangan TV3, Aidid Marcello Azahari menggambarkan cara bekerja dahulu sangat lambat. Apabila ada rakaman di luar negara, bahan visual hanya boleh diproses selepas tiba di tanah air.
Kini, segalanya dalam bentuk digital dan boleh diproses serta-merta di lokasi selepas penggambaran.
Dalam bidang muzik pula, deejay Vandal dari Kanada mengakui pemuzik zaman sekarang amat beruntung. Ujarnya, kini, sebuah komposisi lagu boleh digubah dalam tempoh 15 minit sahaja.
“Dengan memuat turun sebuah perisian ke dalam komputer kemudian terbit sebuah lagu. Anda hanya perlu tukar kepada format MP3 dan muat naik ke dalam iTunes.
“Dalam sekelip mata, anda boleh membuat kekayaan,” katanya.
Perubahan gaya hidup kini yang menyaksikan setiap sudut kehidupan manusia pasti berkait rapat dengan penggunaan komputer.
PENGGUNAAN komputer riba menjadi trend masyarakat hari ini.
Evolusi
Bermula pada tahun 1971, Intel memperkenalkan cip mikropemproses bergelar The 4004 yang hanya memiliki kelajuan 108 kilohertz.
Ketika itu saiznya 10 mikrometer atau 0.00001 meter dengan bilangan transistor sebanyak 2,300 buah.
Sejak itu, Intel terus-menerus mematuhi Hukum Moore dengan hampir setiap tahun memperkenalkan cip mikropemproses terbaharu dengan kenaikan kelajuan 2.2 gigahertz pada tahun lalu.
Hukum Moore adalah trend jangka panjang yang mengatakan bilangan transistor yang diletakkan dalam susunan litar boleh berganda untuk setiap dua tahun.
2 Generation Intel Core memiliki saiz hanya 32 nanometer atau 0.000000032 meter dengan bilangan transistor sebanyak 995 juta.
Pereka bentuk Unit Pemprosesan Pusat (CPU) Intel Pulau Pinang, Ko Ah Kim berkata, di Intel, mereka sentiasa berusaha membuat kajian bagi menghasilkan sebuah cip mikropemproses yang kecil dan laju.
“Semakin kecil saiz cip, semakin kehadapan teknologi yang digunakan,” ujar Ah Kim kepada pemberita Kosmo!
Ketika Intel memperkenalkan 2 Generation Intel Core kepada pasaran dunia pengkomputeran, para jurutera dan pereka sedang berhempas-pulas mereka bentuk cip mikropemproses bersaiz 22 nanometer (0.000000022 meter) pada tahun 2011.
Menjelang sinar tahun 2012 pula, pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Intel sudah bertungkus-lumus mereka cip bersaiz 14 nanometer (0.000000014 meter) di makmal mereka.
Kajian cip 14 nanometer masih lagi dijalankan sehingga ia dapat direalisasi.
Intel pernah mengalami musim merudum lebih kurang lapan tahun lalu apabila pesaing mereka, Advanced Micro Devices (AMD) memiliki apa yang tiada oleh mereka iaitu kuasa.
Sejak penubuhan Intel, setiap rekaan mereka hanya memberi penumpuan pada frekuensi dan kecekapan prestasi sesebuah cip berbanding AMD yang turut fokus pada kuasa cip.
TEKNOLOGI banyak mempengaruhi perkembangan kehidupan manusia hari ini.
Buatan Malaysia
Rombakan besar-besaran dilakukan oleh pihak Intel terutama dalam pasukan R&D dengan memberi fokus pada ketiga-tiga ciri tersebut.
Hasilnya, selepas tahun 2005 Intel mampu mengeluarkan cip mikropemproses hampir setiap tahun. Selain itu, cara dan etika kerja adalah faktor penting Intel mampu melakukan perkara tersebut.
“Kami bekerja berdasarkan projek yang diberikan. Terdapat banyak pasukan dari seluruh dunia yang bersaing untuk menyiapkan sesuatu projek,” kata Ah Kim.
Tambah lelaki yang berusia 40-an itu, Intel mempraktikkan amalan perkilangan empat aliran pembuatan produk yang dilakukan dalam satu masa.
Produk dan tahap mungkin berbeza atau sama, tetapi empat aliran pembuatan mesti berjalan serentak.
Selepas 40 tahun Intel berada di Malaysia, mereka kini memiliki pekerja seramai 10,000, orang manakala 2,000 orang daripadanya termasuk dalam pasukan R&D.
Kata Pengarah Intel Architecture, Intel Malaysia, Chris Kelly, pasukan penyelidik dan pereka di Malaysia telah beroperasi mereka bentuk CPU sejak 10 tahun lalu.
Kilang Intel di Malaysia melakukan kerjasama dengan semua kilang Intel lain di seluruh dunia bagi menghasilkan cip pemprosesan berkualiti.
“Setiap produk akhir Intel di seluruh dunia ada jejak rakyat Malaysia,” kata Kelly lagi.
Peranti kreatif mudah alih
March 29, 2012 by Ainaa
Filed under Shoppe Guide
Comments Off
DALAM era pemodenan yang dikecapi hari ini, pelbagai peranti dan aplikasi canggih dibangunkan untuk menawarkan kemudahan kepada manusia sejagat.
Kecanggihan teknologi yang ditonjolkan peranti dan aplikasi tersebut bukan sahaja membantu dalam melancarkan kehidupan seharian orang ramai malah memberi sinar baharu kepada pengkarya seni.
Terbaharu, syarikat gergasi Samsung yang memperkenalkan Galaxy Note memberi pilihan terbaharu kepada pengkarya seni untuk menghasilkan karya mereka dengan lebih mudah dan pantas.
Dijana sistem operasi Android 2.3 Gingerbread, peranti itu dilengkapi paparan skrin 13.5 sentimeter (sm) Super Amoled definisi tinggi (HD) yang membolehkan pelukis karikatur menghasilkan lukisan mereka tanpa menggunakan kertas ataupun kanvas.
Pelukis karikatur, Nordin Yusoff, 45, berkata, perkembangan teknologi terutamanya yang ditonjolkan dalam peranti telefon pintar seperti Samsung Galaxy Note dapat membantu pengkarya seni.
“Dengan menggunakan S Memo dan pen stylus (S Pen) yang terdapat di dalam peranti ini, saya dapat menghasilkan lukisan karikatur di mana-mana sahaja.
“Paparan skrin yang luas dan jelas turut membantu dalam ketelitian karya karikatur secara digital,” katanya ketika ditemui Kosmo! semasa mengadakan Samsung Galaxy Note Studio di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Nordin menambah, peranti berkenaan membenarkan dia memilih pelbagai jenis pen, berus, pensil dan pen marker mengikut kesesuaian karya yang ingin dihasilkan.
Lelaki yang lebih dikenali dengan nama Ambo itu berkata, dia juga boleh melaras saiz dan ketebalan garisan yang digunakan semasa melukis sekali gus memudahkan lagi proses lorekan.
“Teknologi yang ditawarkan peranti ini turut membenarkan pelukis-pelukis memilih warna pilihan mereka.
“Selain daripada itu, saya boleh mewarnakan latar belakang dengan lebih pantas kerana tidak perlu menggunakan pelbagai jenis berus,” katanya.
Ambo menjelaskan, penelitian dapat dilakukan dengan menggunakan peranti tersebut apabila ia didatangkan bersama ciri pinch dan zoom (untuk mengecil atau membesarkan pandangan gambar).
Sebagai pelangkap kepada semua fungsi tersebut, terdapat pelbagai pilihan efek yang boleh dipilih bagi menyerlahkan warna dan hasil akhir lukisan.
Kelebihan
Dia memberitahu, penggunaan teknologi dalam menghasilkan karikatur dapat membantu apabila melakukan kesilapan. Sebagai contoh dia berkata, hanya perlu menekan buat asal (undo) untuk memastikan kesilapan tersebut hilang sekelip mata.
![]() |
PAPARAN skrin yang luas dan jelas membantu pelukis karikatur menghasilkan karya dengan baik.
|
“Berbanding kaedah konvensional, ia akan memakan masa yang lebih panjang untuk membaiki kesilapan pada karikatur tersebut. Bagaimanapun, saya masih berasa kekok semasa menggunakan peranti ini dan perlu membiasakan diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pelukis karikatur, Olyhairy Othman, 28, memberitahu, dia merasakan Galaxy Note dapat memberi kebebasan kepada pelukis seperti dirinya.
“Saya banyak bergerak untuk menghasilkan karikatur terutamanya apabila menghadiri acara-acara umum ataupun persendirian.
“Justeru, pengenalan peranti yang mempunyai teknologi seperti ini membolehkan pelukis karikatur seperti kami memanfaatkan kemudahan yang membantu melancarkan kerja,” ujarnya.
Dia yang mempunyai pengalaman selama hampir lima tahun melukis karikatur menambah, gajet berkenaan juga memberi nilai tambah kepadanya.
Sebagai contoh, hasil akhir boleh dipindahkan terus kepada pelanggan dengan menggunakan teknologi Bluetooth.
Setelah itu, pelanggannya boleh mencetak hasil lukisan tersebut pada bila-bila masa sahaja.
Bagi seorang lagi seniman berbakat, Ramza Hurin, 42, telefon pintar berkenaan dapat membantu menjimatkan kos menghasilkan karya karikatur.
Dia menambah, penggunaan peranti berkenaan dapat membantu dari segi pembelian bahan dan peralatan seperti warna, berus dan pen.
“Kita juga tidak perlu menggunakan ataupun menukar kertas apabila berlaku kesilapan.
“Menilai dari sudut yang lebih luas, kelebihan itu sekali gus dapat membantu memulihara alam sekitar yang diancam perubahan iklim global,” katanya.
Kebebasan berkarya
Sementara itu, Pengarah Urusan Samsung Malaysia Electronics, Kwon Jae Hoon, berkata, telefon pintar Galaxy Note memberi kebebasan artistik kepada pengguna.
“Peranti ini seumpama buku nota kertas tetapi dilengkapi teknologi dan perkhidmatan ditawarkan telefon pintar Samsung.
“Ia membenarkan pengguna menyunting, menghasilkan karya dan berkongsi idea dengan mudah serta pantas,” ujarnya.

Jae Hoon memberitahu, S Pen yang didatangkan bersama Galaxy Note mempunyai fungsi terkini untuk memberikan pengalaman baharu kepada pengguna.
Tambahnya, pengguna boleh menggunakan pen digital tersebut untuk melakar dan menghasilkan karya dengan bebas.
Selain daripada membantu penggiat dunia seni, Samsung turut menjalin kerjasama kreatif dengan penyanyi terkenal tanah air Yunalis Zarai atau Yuna dalam The Sparkle Project.
Projek berkenaan akan memperlihatkan pembikinan video muzik pertama menggunakan peranti Samsung Galaxy Note sempena judul lagu terbaharu Yuna iaitu Sparkle.
“Saya tidak sabar untuk melihat video muzik yang bakal dirakam sepenuhnya menggunakan peranti berkenaan.
“Pada masa sama, saya berasa amat teruja dan ingin melihat bagaimana mereka menghasilkan video muzik ini,” kata penyanyi berusia 24 tahun itu.
Yuna memberitahu, Galaxy Note merupakan peranti yang serba lengkap dan membenarkan meneroka dunia kreatif.
Katanya, ia seumpama membawa 10 peranti dalam satu apabila boleh mendengar muzik, menonton video, merakam imej, melayari Internet dan pelbagai lagi tugasan.
“Selain daripada itu, ia yang dilengkapi S Pen yang membenarkan pengguna melukis, menyunting imej daripada laman web dan melukis pada video.
“Dengan reka bentuk yang nipis dan ringan, ia memudahkan saya membawa peranti ini terutamanya ketika mengembara,” ulasnya.
























