Khidmat bakti pelatih PDK amat disanjung
May 17, 2012 by Ainaa
Filed under Berita Bergambar, Seiring Sejalan
Comments Off
RANTAU, 17 Mei – Seramai 29 ahli Pusat Dalam Komuniti (PDK) menerima elaun yang telah disampaikan oleh Penasihat PDK Pekan Rantau, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Bt Tengku Nujumudin di Pusat PDK, Taman Sri Anggerik, Rantau, pagi tadi.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua PEKERTI Negeri Sembilan, Datin Paezah Bt Ismail, Pegawai Penyelaras PDK Daerah Seremban, En. Ahmad Tajuddin Bin Jamaluddin, Pengerusi PDK Pekan Rantau, Puan Norizan Bt Ibrahim dan Timbalan Pengerusi PDK Pekan Rantau, En. Shamsudin Bin Khamis.
Penasihat PDK Pekan Rantau berkata, Pusat PDK yang diuruskan oleh para pelatih ini banyak memberikan khidmat bakti dan tunjuk ajar kepada anak-anak istimewa dan di sini juga tempat untuk mereka bergaul sesama sendiri.
Tambah beliau lagi, pihak tabika Kemas juga mempunyai tenaga pengajar terlatih untuk memberi tunjuk ajar dalam kerja tangan ataupun kraftangan jika pihak PDK memerlukan khidmat mereka. Ini juga dapat memberi kelainan dalam pembelajaran anak-anak.
Beliau turut bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri untuk melaksanakan sebuah rumah dua tingkat yang akan dijadikan sebagai pusat latihan kesemua PDK dan bangunan itu turut akan menjadi perpustakaan sebagai rujukan kepada kesemua PDK.
Beliau turut menasihati ibubapa supaya sentiasa membawa anak-anak ke Pusat PDK ini dansekaligus ianya menunjukkan bahawa masyarakat prihatin terhadap mereka.
“Pihak AJK ada mencadangkan untuk mengadakan majlis keramaian menyambut kelahiran anak-anak ini, maka kita akan adakan pada tahun ini dan menjemput semua PDK Negeri Sembilan untuk meraikan bersama,” ujar beliau.
Dalam majlis tersebut beliau turut memotong kek bersama-sama anak-anak istimewa sempena meraikan majlis penyampaian elaun tersebut.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan cenderahati kepada para pelatih dan ahli-ahli AJK PDK Pekan Rantau.
Oleh : Ainaa@n9kini.com
Persatuan Pandu Puteri bergerak aktif di Negeri Sembilan
April 27, 2012 by Dudi
Filed under Berita Bergambar, Seiring Sejalan
Comments Off
PAROI, 27 April –Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Pandu Puteri Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2012 berlangsung di Centre Court, Paroi sejak pagi tadi dan berakhir pada sebelah petang telah mendapat penyertaan dari dua puluh buah sekolah di Negeri Sembilan.
Tahun 2012 merupakan tahun kedua pertandingan ini berlangsung dan terdapat peningkatan jumlah penyertaan.
Ianya turut mendapat pujian Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin, Yang di-Pertua, PPPM Cawangan Negeri Sembilan merangkap isteri Menteri Besar Negeri Sembilan juga perintis bagi pertandingan tersebut.
Beliau hadir bagi merasmikan majlis penutup seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Di dalam ucapan beliau, beliau berbesar hati dan berbangga menerajui Pandu Puteri Negeri Sembilan kerana mendapat kerjasama baik jawatankuasa di peringkat Negeri, peringkat sekolah dan ahli-ahlinya.
Menurut beliau, Persatuan Pandu Puteri Negeri Sembilan semakin bergerak aktif di negeri ini dan pencapaian demi pencapaian diperolehi. Ini bermakna, PPPNS semakin popular dan di terima ramai.
“Pertandingan kawad kaki ini misalnya, antara aktiviti yang dapat memupuk semangat kerjasama, disiplin, toleransi, meningkatkan jati diri dan paling penting pembentukan pembawakan pasukan,” tambah beliau.
Beliau turut menyeru agar setiap ahli perlu saling hormat menghormati di antara satu sama lain agar lebih banyak lagi kejayaan di perolehi di masa akan datang.
Terdapat dua kategori pertandingan kawad kaki iaitu kategori Tunas Puteri dan kategori Ranjer bagi merebut Piala pusingan YM Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin.
Bagi kategori Tunas Puteri, tempat pertama dimenangi oleh SK Wawasan, kedua SK Pedas dan tempat ketiga dimenangi oleh SK Palong 8 (F). Ketua platon terbaik di menangi oleh SK Wawasan.
Bagi kategori Ranjer pula, tempat pertama dimenangi oleh SMJK (C) Chan Wa, kedua SMK Bukit Mewah dan ketiga dimenangi oleh SMK Seri Perpatih. Ketua platon terbaik di menangi oleh SMJK Chan Wa.
Tuan rumah bagi tahun ini ialah SMK Bukit Mewah, Seremban 2.
Turut hadir, Dato’ Zainab Nasir , EXCO Kerajaan Negeri Sembilan dan En Amir Sharifuddin, wakil Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.
Ahli NGO medium penggerak program Sekata
April 18, 2012 by Ainaa
Filed under Seiring Sejalan
Comments Off
SEREMBAN, 18 April – Program Pencegahan Jenayah Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita (Sekata) yang dilancarkan hari ini bertujuan untuk melatih ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai medium penggerak ke arah memastikan kesejahteraan rakyat.
Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) cawangan negeri ini, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin berkata, NGO yang terlatih itu kelak akan menjadi penggerak dalam menyampaikan pendidikan dan kemahiran kekeluargaan kepada mereka yang terpinggir dan berisiko tinggi.
”Inisiatif ini adalah sebahagian usaha NGO untuk menyokong Sekata, di mana akhirnya memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya di sini hari ini.
Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin berkata demikian pada majlis pelancaran Sekata peringkat negeri di Bangunan NCWO, di sini.
Dalam pada itu,Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abd. Rahman menjelaskan, LPPKN telah menyalurkan dana sebanyak RM250,000 kepada NCWO negeri bagi diagih-agihkan kepada NGO-NGO untuk menjalankan pelbagai aktiviti.
”Dalam program Sekata ini, LPPKN telah memilih sembilan NGO negeri ini untuk bekerjasama dengan pemimpin tempatan,” katanya.
Sembilan NGO itu ialah NCWO, Majlis Belia Malaysia cawangan negeri, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Majlis Kanak-Kanak Malaysia, Persatuan Perancang Keluarga, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan, Gabungan Persatuan Keturunan Cina Negeri Sembilan dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia.
Kata beliau, kerjasama yang perlu dilakukan itu hendaklah bersesuaian dengan permasalahan dan keperluan komuniti setempat yang melibatkan komponen pembangunan insan, kesejahteraan sosial, pembangunan kapasiti, penggalakkan perniagaan kecil dan pemantapan pusat keluarga setempat.
Hadir sama, Pengerusi Pelaksana Sekata negeri, Datuk Dermataksiah Abd. Jalil.
Oleh : Ainaa
DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan pekenan mencemar duli dan menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-51 PPPMCNS
April 15, 2012 by Ainaa
Filed under Seiring Sejalan
Comments Off
SEREMBAN, 15 April – DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Penaung diRaja, Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan telah mencemar duli dan menyempurnakan majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-51 Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan Negeri Sembilan sebentar tadi.
Majlis penyempurnakan di adakan di Allson Klana Resort, Seremban turut diiringi Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin, Yang diPertua, PPPM Cawangan Negeri Sembilan merangkap isteri Menteri Besar Negeri Sembilan.
Turut hadir ialah Datin Seri Hajah Zalillah Mohd Taib, Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan Cik S. Jeyadevi, Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan Negeri Sembilan.
Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin merafak sembah dan mengalu-alukan kehadiran Penaung diRaja, Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, di mana kehadiran baginda telah menaikkan semangat dan iltizam perwakilan Pandu Puteri yang bersidang pada hari ini.
Di dalam ucapan beliau, beliau turut mengucapkan tahniah kepada jawatan kuasa Pandu Puteri Negeri kerana hasil kerjasama selama ini, banyak program dan aktiviti dapat dilaksana dan dijayakan.
Beliau turut berbangga dengan pencapaian Pandu Puteri di mana baru-baru ini penganjuran Sambutan Hari Peringatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 yang di adakan pada 26 Februari lalu turut di sokong dan didokong oleh DYMM Tunku Aishah Rohani binti Tengku Besar Mahmud.
Manakala pada 5 April lalu pula, Dato’ Seri Hajah Rosmah Mansor turut hadir bagi merasmikan Kempen Bersama Memelihara Alam Sekitar peringkat Negeri Sembilan.
Antara kejayaan lain hasil kerjasama semua pihak ialah, PPPMCNS telah berjaya mengumpulkan bantuan kewangan bagi membantu mangsa tsunami Jepun tahun lalu sebanyak RM100,000 yang turut di sempurnakan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan.
Turut membanggakan apabila PPPMCNS turut memenangi 5 anugerah di Majlis Anugerah Kategori kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Johan dalam pertandingan Kawad Kaki kategori NGO anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan di samping Johan kategori Pandu Puteri Remaja Pertandingan Pengucapan Awam Bahasa Inggeris piala pusingan Dato’ Seri Hajah Rosmah Mansor dan Naib Johan Pandu Puteri kategori Renjer.
Katanya lagi, persidangan ke-51 ini akan menjadi medium kelangsungan dan kerancakan program Pandu Puteri untuk tahun ke 2012 dan mengharapkan lebih banyak kejayaan lagi dapat di capai hasil kerjasama semua.
Oleh : Dudi Aziz
Lawatan Ziarah Kebajikan Ke Rumah Pesakit Derita Saraf
April 13, 2012 by Ainaa
Filed under Seiring Sejalan
Comments Off
RASAH : 13 April – Ketabahan Abil Fikri Ahmad, 43, yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga isteri, Fauziah Muhamad, 38, yang hanya mampu terlantar akibat diserang kerosakan otak semakin mendapat perhatian apabila menerima kunjungan Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Sembilan (PEKERTI) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO).
Lawatan yang diketuai Yang Dipertuanya yang juga isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin bersama 30 ahlinya termasuk NCWO meluangkan masa menziarahi pasangan suami isteri berkenaan di Taman Sri Putih, Rasah.
“Sebagai badan amal, kami tergerak merasai sama nasib di tanggung oleh pasangan ini yang perlu diberi perhatian terutama suaminya yang berhenti kerja menjaga isterinya.
“Diharap dengan kunjungan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban dan menguatkan semangat Abil Fikri untuk menjaga isteri yang baru dikahwini tiga tahun lalu,” katanya.
Selain wang tunai, Raja Datin Seri Hajah Salbiah turut menyumbangkan barangan keperluan seperti lampin pakai buang.
Sementara itu, Abil berkata, dia sekeluarga amat terharu di atas keprihatinan yang diberikan dan tidak menyangka akan menerima kunjungan itu.
“Diharap semua pihak dapat mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga,” katanya.
Oleh : Ainaa
‘Bersama Kita Memelihara Alam Sekitar’ tema Kempen Pandu Puteri turun padang
April 5, 2012 by Ainaa
Filed under Seiring Sejalan
Comments Off
SEREMBAN, 05 April – “Bagi melahirkan generasi yang cintakan alam sekitar, kesedaran haruslah dipupuk di peringkat awal lagi ibarat ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya,” ujar Dato’ Seri Hajah Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri merangkap Yang di-Pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
“Saya turut berasa bangga kerana Pandu Puteri Negeri Sembilan telah memperkenalkan satu program dalam usaha membangunkan kesedaran dan mengerakkan anggota masyarakat dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dengan cara turun padang,” tambah beliau lagi.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan kerana telah dianugerahkan ‘The Olave Award’.
Beliau hadir bagi menyempurnakan kempen ‘Bersama Kita Memelihara Alam Sekitar’ dan Pandu Puteri Turun Padang bertempat di perkarangan Bangunan Pandu Puteri Negeri Sembilan, petang tadi.
Turut mengiringi kehadiran Dato’ Seri Rosmah Mansor ialah, D.Y.A.M Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Timbalan Yang di-Pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, dan Datin Seri Hajah Zalillah Mohd Tain, Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumudin, mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran Dato’ Seri Hajah Rosmah Mansor di dalam majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Pandu Puteri Cawangan Negeri Sembilan dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan.
“Peranan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan di dalam isu menyayangi bumi telah mendapat pengiktirafan di dalam negara dan luar negara . Namun usaha ini bukanlah mudah seperti yang di sangka kerana ianya memerlukan masa dan pengorbanan,” ujar Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.
Menurut beliau yang juga, isteri Menteri Besar merangkap Yang di-Pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, usaha yang dijalankan persatuan terhadap penglibatan aktiviti khidmat cemerlang dalam mempromosikan kempen kitar semula di taman-taman perumahan mendapat kerjasama baik dan amat mengalakkan.
Sementara itu, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memberi galakan dan menyokong daya usaha murni yang dilakukan oleh pelbagai persatuan dan NGO di dalam apa sahaja aktiviti kesedaran yang melibatkan pemeliharaan alam sekitar.
“Usaha-usaha untuk mewujudkan kesedaran mengenai peranan semua pihak untuk menyelamatkan alam sekitar dan bumi adalah sangat penting di saat dunia menghadapi masalah suhu dunia yang tidak menentu,” kata beliau.
Beliau turut menambah, “laporan akhbar melaporkan orang Negeri Sembilan membuang sampah beribu tan metrik setiap tahun yang dianggarkan 2-3%. Jika ini berlarutan, pusat pelupusan sampah dijangkakan tidak dapat menampung pemanasan global yang sedang berlaku sekarang.”
“Malah, menyedari hakikat ini, Negeri Sembilan juga menjadi negeri pertama menangani permasalah ini dengan mewujudkan sistem pengendalian tenaga diperbaharui yang terbesar di Asia Tenggara,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Menteri Besar dan Yang di-Pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan turut mengiringi Dato’ Seri Hajah Rosmah Mansor melawat tapak pameran alam sekitar seperti kitar semula, guna semula dan kurangkan bahan buangan.
Oleh : Dudi Aziz
Semua pihak perlu lalui proses keterbukaan – MB
March 30, 2012 by Ainaa
Filed under Program Harian Menteri Besar, Seiring Sejalan
Comments Off
SEREMBAN : 30 Mac – Keprihatinan Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (PEKERTI) terhadap keadaan sekitar untuk terus menjadi pendokong kepada usaha-usaha kerajaan dalam kerja-kerja kebajikan di Negeri Sembilan adalah amat memberangsangkan.
Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Penasihat PEKERTI, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan berkata, peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) amat penting dalam usaha bersama-sama kerajaan bagi memastikan dasar-dasar kesejahteraan dapat dikecapi dan dinikmati oleh masyarakat.
Semua pihak termasuklah parti-parti politik, kerajaan, badan-badan NGO dan yang berkaitan hendaklah melalui satu proses keterbukaan supaya dapat menjadi penghubung kepada masyarakat dan memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh badan-badan NGO dapat merangkumi masyarakat umum supaya mereka mendapat faedah secara keseluruhannya.
“Hari ini kita lihat PEKERTI dapat merealisasikan dan menjayakan dasar-dasar kerajaan mensejahterakan masyarakat terutamanya dalam usaha menjayakan dasar jaringan keselamatan sosial di mana penstrukturan semula masyarakat di Negeri Sembilan ini dapat dijalankan dengan baik,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat agung PEKERTI Negeri Sembilan Ke-31 yang diadakan di Dewan PEKERTI, pagi tadi.
Menurut Yang Dipertua PEKERTI Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Bt Tengku Nujumudin, aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh PEKERTI sepanjang tahun merupakan aktiviti yang lebih menjurus kepada agenda kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan masyarakat serta pembangunan modal insan.
Ujar beliau, “program-program gabungan bersama antara PEKERTI, NCWO, PUSPANITA dan lain-lain jelas menunjukkan bahawa kesatuan dan perpaduan yang terjalin akan dapat memastikan agenda serta hasrat kerajaan khususnya dalam usaha untuk memperluaskan aktiviti kebajikan dan pendidikan tercapai.”
Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan pelajar cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM dan SPTM kepada anak-anak yatim daerah Seremban, Rembau, Jelebu dan Port Dickson beserta anak-anak PEKERTI Negeri Sembilan.
Selain itu, sumbangan cek turut disampaikan kepada 40 buah Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh daerah Negeri Sembilan dan dianggarkan berjumlah lebih daripada RM60,000.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Razak Bin Mansor, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan dan Timbalan Yang Dipertua PEKERTI Negeri Sembilan, Datin Hajah Paezah Bt Ismail.
Oleh : Ainaa@n9kini.com
Golongan OKU teristimewa, tidak terpinggir lagi – Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin
March 3, 2012 by Dudi
Filed under Berita Bergambar, Seiring Sejalan
Comments Off
TANJONG IPOH, 02 Mac – PDK Seri Menanti hari ini menerima kunjungan tetamu kehormat, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Yang diPertua PEKERTI Negeri Sembilan.
Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin telah merasmikan Pusat Pemulihan Dalam Kumpulan (PDK) yang ke-40 di Negeri Sembilan dan yang keempat di daerah Kuala Pilah.
PDK Seri Menanti telah mula beroperasi sejak 23 Mac 2011 dengan jumlah pelatih seramai sembilan orang yang di bimbing oleh dua orang tenaga pengajar dan seorang penyelia.
Raja Datin Seri Hajah Salbiah mengucapkan tahniah kepada ADUN Kawasan Seri Menanti, Dato’ Abdul Samad Ibrahim kerana berjaya mewujudkan Pusat PDK Seri Menanti.
Malah beliau juga turut berterima kasih kepada jawatan kuasa PDK kerana melantik dan memberi tanggungjawab ini kepada ahli PEKERTI sebagai penasihat PDK Seri Menanti iaitu, Datin Sufaezah Yed, isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Seri Menanti.
Di dalam ucapan, beliau juga menjelaskan bahawa PEKERTI di Negeri Sembilan terdiri daripada isteri-isteri wakil rakyat dan menyokong dasar kerajaan, serta mengutamakan kebajikan dan pendidikan pelatih OKU dan mesej ini sering kali disampaikan melalui program-program kesejahteraan yang melibatkan pelatih OKU.
Tambah beliau lagi, golongan OKU ketika ini sudah mendapat tempat di dalam masyarakat berbanding dahulu di mana ada keluarga yang malu dan menyorokkan anak-anak OKU mereka di rumah.
Sama seperti mereka yang normal, kini golongan OKU tidak lagi terpinggir untuk menimba ilmu dan boleh mengasah bakat terpendam kerana sudah ada program khas diadakan untuk mereka seperti bakat nyanyian OKU serta kemahiran kraftangan yang boleh di pasarkan.
Isteri Menteri Besar turut berharap PDK Seri Menanti dapat memberikan khidmat terbaik kepada pelatih-pelatih yang memerlukan bimbingan seterusnya merupakan hasrat PEKERTI di mana mahu melihat pelatih-pelatih OKU ini berjaya di dalam kehidupan mereka kelak.
Selain PDK Seri Menanti, terdapat tiga buah PDK telah ditubuhkan di daerah Kuala Pilah iaitu PDK Juasseh, PDK Kuala Pilah dan PDK Felda Kepis.
Turut hadir, Tn Hj Abdullah Hanafi, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Dato’ Norhayati Omar, Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan dan Puan Ainolazian Mohd Noor, Ketua Puteri UMNO Kuala Pilah, Tn Hj Zainuddin Adam, Pengerusi JKKK Taman Pemarak.
Oleh : Dudi Aziz
Pentingnya komitmen masyarakat terhadap usaha menyelamatkan alam sekitar
February 26, 2012 by Ainaa
Filed under Berita Bergambar, Seiring Sejalan
Comments Off
SEREMBAN:26 Feb. – ‘Global Warning’ yang sedang melanda di negara kita semakin berleluasa dari semasa ke semasa.
Oleh yang demikian, Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) telah mengadakan satu majlis sambutan hari peringatan sedunia Pandu Puteri Peringkat Kebangsaan 2012 di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS),hari ini.
Dengan bertemakan ‘Kita Boleh Menyelamatkan Bumi Kita’ itu sekaligus dapat membantu mengatasi mala petaka atau perubahan cuaca ini.
Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud merangkap Penaung Diraja PPPM Cawangan Negeri Sembilan, turut berkenan mencemar duli untuk merasmikan majlis ini dan baginda juga berkenan untuk melepaskan ‘flag off’ bagi perarakan lebih kurang 3000 orang di sekitar Dewan MPS, Seremban.
Turut berkenan mencemar duli ialah Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nor Mahani Bt Raja Haji Shahar Shah selaku Timbalan Yang Dipertua PPPM.
Menurut Yang Dipertua PPPM Cawangan Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin,majlis ini diadakan bagi mewujudkan kesedaran kepada komuniti sekeliling tentang betapa pentingnya dalam menyelamatkan bumi khususnya alam sekitar daripada terancam dan tercemar.
“Program ini juga dapat mewujudkan silaturrahim, kemesraan dan kesefahaman terutamanya di kalangan ahli-ahli PPPM,” ujar beliau.
Sementara itu, ucap Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datin Seri Hajah Zalillah Mohd Taib, majlis ini merupakan satu peristiwa dalam sejarah di mana buat pertama kali sambutan hari peringatan sedunia diraikan oleh ribuan ahli pandu puteri dari seluruh negeri kecuali Sabah dan Sarawak.
Kata beliau,”pelbagai aktiviti lain seperti gotong-royong, pengedarkan risalah, pengedaran beg plastik kepada orang ramai dan lain-lain juga dapat menimbulkan kesedaran dan komitmen masyarakat terhadap usaha menyelamatkan alam sekitar.”
Dalam majlis tersebut turut diadakan penyerahan kutipan dari setiap negeri kepada PPPM Cawangan Negeri Sembilan hasil dari menjual bahan-bahan buangan.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua PPPM Cawangan Negeri Sembilan, Datin Faezah Bt Ismail dan Ketua Pesuruhjaya PPPM Cawangan Negeri Sembilan, Cik Jeyadhevi Subramaniam.
Oleh : Ainaa / Foto : Mas
Jalinan perkongsian pintar mencerminkan satu permuafakatan
February 4, 2012 by Ainaa
Filed under Berita Bergambar, Seiring Sejalan
Comments Off
MAMBAU : 4 Feb. - Hari Sukaneka Perpaduan dan Anugerah Kecemerlangan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Blok Rantau 2012 telah diadakan di Perkarangan Masjid Al-Hidayah Taman Angsamas pada jam lapan pagi tadi.
Program ini telah menghimpunkan hampir 300 orang ahli yang terdiri daripada 6 buah pusat iaitu Pusat Budi Aiman (Kg. Kuala Sawah), Pusat Budi Mulia (Kg. Bemban), Pusat Hawani (Taman Angsamas), Pusat Nur Qasidah (Rantau), Pusat Al-Taqwa (Lukut) dan Pusat An-Najmi (Kg. Bukit Pelanduk).
Terdapat pelbagai acara sukan dan pertandingan yang disediakan oleh pihak AIM iaitu senamrobik, pertandingan bawa bola pingpong dalam sudu bagi kategori kanak-kanak, lari ikat kaki berpasangan, kelim karipap spontan, pertandingan gubahan dan masakan, gerai kreatif dan lain-lain.
Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin.
Menurut Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin, beliau difahamkan bahawa Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah sebuah agensi yang melaksanakan program kewangan mikro yang berfokuskan pembasmian kemiskinan dan turut menyediakan pinjaman yang berkonsepkan islam tiada cagaran, tiada penjamin, tiada faedah, dan tiada tindakan undang-undang.
“Ini merupakan jalinan perkongsian pintar yang melibatkan semua pihak agar dapat mengurangkan kos dan melancarkan perjalanan program.
Selain itu, program yang dilestarikan oleh ibubapa, kanak-kanak, remaja, jiran tetangga ini jelas mencerminkan satu permuafakatan yang amat kukuh dan sekaligus dapat merapatkan silaturrahim, mengeratkan perpaduan,semangat bekerjasama dan kekeluargaan,” jelas beliau.
Beliau berharap agar rakyat menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin yang sentiasa berusaha untuk mensejahterakan rakyat.
Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin turut menyampaikan sumbangan yang telah diluluskan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan iaitu sebanyak RM5,700 untuk peruntukan pelancaran program yang dianjurkan hari ini.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua PEKERTI, Datin Hajah Paezah Binti Ismail, Pengurus AIM Wilayah Selatan, En. Zuhairi Bin Fadzil, Ketua Pusat Hawani Taman Angsamas merangkap Ketua Blok Rantau, Puan Norrisam Binti Suhut.
Oleh : Ainaa@n9kini.com
















































































































































































































































