Sembunyi kebaikan mampu tingkat keikhlasan diri
April 28, 2012 by Dudi
Filed under Ruang Bicara Agama
Comments Off
ALLAH SWT bersifat Maha Melihat dan Maha Mendengar, sudah pastinya tiada makhluk yang boleh memberi kesan sama ada memberi mudarat atau manfaat. Sejauh mana ketaatan yang diberikan seorang hamba akan sentiasa diketahui walaupun tersembunyi di sebalik tembok yang kukuh.
Sudah semestinya seorang hamba yang benar-benar menuntut keredaan-Nya akan cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan ketaatan melakukan ibadat khususnya pada perkara yang bersifat sunat.
Namun, perkara wajib seperti solat, zakat dan haji, hendaklah dizahirkan kepada umum kerana meninggikan syariat Allah SWT dan menyatakan kekuatan kaum Muslimin menunaikan kehendak agamanya.
Menzahirkan perkara yang wajib juga boleh memberi galakan kepada orang lain melakukan kewajipan kerana semua hamba yang beriman tidak terkecuali daripada menunaikannya sekali gus menghindarkan tohmahan orang lain terhadap kewajipan diabaikan seseorang Muslim.
Jika dirujuk definisi kewajipan membawa maksud menzahirkan dan mengiklankan manakala sunat pula bermaksud tersembunyi serta rahsia. Amalan yang dizahirkan akan melahirkan kegembiraan pelakunya kerana dengan taufik serta inayah Allah SWT kita dapat menunaikan kewajipan itu.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad) dengan rahmat dan kurniaan Allah hendaklah mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 58)
Allah SWT menghargai mereka yang melakukan kebaikan walau dengan apa cara sekalipun. Firman-Nya yang bermaksud: “Jika kamu menampakkan sedekahmu adalah baik, tetapi jika kamu menyembunyikannya adalah lebih baik bagimu dan dosamu akan terhapus kerana Allah Maha Mengetahui segala-galanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 271)
Setelah diturunkan ayat ini, Saidina Ali berkata: “Aku membahagikan sedekah pada empat bahagian, satu dirham pada siang hari, satu dirham lagi pada malamnya dan dirham ketiga aku sedekahkan secara rahsia dan dirham terakhir aku sedekahkan secara terang-terangan sebagai menyahut seruan ayat Allah SWT.”
Hasan Al-Basri menyebut, kebanyakan orang bersetuju bahawa merahsiakan sesuatu kebaikan itu adalah sebaik-baik urusan, tetapi berterang-terangan juga ada kebaikannya.
Hadis diriwayatkan Abu Hurairah menyebut, Baginda SAW meletakkan orang yang bersedekah secara rahsia akan mendapat perlindungan di bawah perlindungan Allah SWT pada hari kiamat. Menunjukkan bahawa bersedekah secara rahsia lebih selamat dan mendapat jaminan Allah SWT.
Orang yang menyembunyikan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya, inilah maqam yang terpuji dalam melakukan ibadat sunat.
Jika dibimbangi keikhlasan akan luntur disebabkan kepujian yang akan diterima atau bagi menjaga keaiban orang yang menerima pemberian, maka hendaklah dirahsiakan sedekah itu.
Bagi nabi, amalan sunat menjadi kewajipan kerana mereka adalah hamba yang dipilih oleh Allah SWT untuk dijadikan ikutan.
Daripada Aishah, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang menjadi kewajipan pada diriku tetapi hanya sunat buat umatku, solat witir, bersiwak dan solat malam.”
Al-Baghawi menyatakan solat malam yang dimaksudkan Baginda SAW ialah solat tahajud. Ia antara amalan sunat yang terkesan kerana dilakukan ketika rahmat Allah SWT turun ke dunia pada sepertiga malam seperti yang diberitakan Baginda SAW.
Berkata Saidina Umar: “Sesiapa yang bersolat malam dalam keadaan sempurna, maka Allah SWT akan memuliakan mereka dengan sembilan perkara dengan lima daripadanya akan dikecapi di dunia dan bakinya di akhirat.
“Pertamanya ialah terpelihara daripada sebarang keburukan, dizahirkan kesan ketaatan pada wajahnya, dikasihi oleh masyarakat, lidahnya akan berkata benar dan bisa menjadi ilmuwan yang bijaksana.
Manakala empat yang diperoleh di akhirat dengan dibangkitkan dari kubur dalam keadaan wajah berseri-seri, dipermudahkan pengurusan hitungan amalannya, bergerak pantas ketika di titian Siratul Mustaqim dan mendapat catatan amalan di sebelah kanan.” (Raudatul Ulama)
Doa orang beriman sering diangkat ke hadrat Allah SWT pada waktu malam khususnya jika ia dipanjatkan secara rahsia. Imam Ahmad bin Hambal (pengasas Mazhab Hambali) dimakbulkan doanya oleh Allah SWT menjadikan sepertiga malam untuk berdoa bagi merahsiakan permintaannya.
Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)
Keistimewaan melaksanakan amalan hasanah pada Jumaat
April 26, 2012 by Dudi
Filed under Ruang Bicara Agama
Comments Off
HARI Jumaat mempunyai banyak keistimewaan yang seharusnya dimanfaatkan dengan melaksanakan amalan hasanah. Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsir Ibnu Katsir mengatakan Jumaat bermaksud berhimpun.
Pada hari Jumaat kaum muslimin dihimpunkan di masjid untuk mendengar khutbah dan mendirikan solat Jumaat dua rakaat.
Hari Jumaat cukup istimewa kerana Allah telah mengatakan tawaran hebat iaitu ganjaran pahala besar terhadap amal ibadah dan amalan hasanah yang dilakukan. Disebabkan besarnya pahala dijanjikan Allah, maka rugilah sesiapa yang mengabaikan kehadiran hari Jumaat tanpa amalan salih dan kebajikan.
Kita sering membaca laporan media yang cukup mengguris hati apabila adanya segelintir anak muda tanpa rasa malu dan segan merempit pada waktu khutbah Jumaat dibacakan dan semasa jemaah menunaikan solat Jumaat.
Malah ada yang mengambil peluang berlumba motosikal selepas saja selesai menunaikan solat. Ini suatu gambaran negatif dan mempamerkan kurang hormat kepada hari Jumaat yang mulia itu. Ada juga yang sengaja mengambil peluang pada hari Jumaat melaksanakan aktiviti luar seperti berkelah hingga mengabaikan solat Jumaat.
Jumaat sebagai penghulu segala hari adalah hari pengampunan yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak meninggalkan seorangpun dalam kalangan orang Islam pada hari Jumaat, melainkan ia pasti diberi-Nya pengampunan.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Jadi, kita sewajarnya memanfaatkan hari Jumaat untuk memperbanyakkan bacaan istighfar memohon keampunan. Rasulullah SAW juga ada memberitahu bahawa pada hari Jumaat ada satu waktu yang begitu eksklusif untuk berdoa kerana amat mustajab.
Abu Hurairah mengatakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pada hari Jumaat itu ada satu saat yang mana sekiranya berkebetulan dalam solat seseorang hamba, lalu dia bermohon kepada Allah, pasti akan diberikan apa yang dimintanya sambil Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan tangan Baginda bagi menggambarkan betapa sekejapnya saat itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita seharusnya berusaha mencari waktu yang dikatakan mustajab berdoa pada hari Jumaat. Meskipun tidak dinyatakan waktu yang tepat, kita tidak wajar memandang remeh ruang dan peluang untuk berdoa.
Seperkara lagi pesanan Rasulullah SAW berkaitan keistimewaan hari Jumaat ialah tawaran Allah menggandakan pahala terhadap sesiapa saja yang melakukan amalan soleh, begitu juga perbuatan mungkar dan dosa, turut digandakan kiraan dosanya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya pada hari Jumaat seluruh makhluk termasuklah jin dan manusia akan berasa gementar, dan pada hari itu juga dilipat gandakan kebajikan dan kejahatan, dan hari yang mana akan berlakunya kiamat.” (Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah)
Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan dilipatgandakan pahala yang dilakukan pada hari Jumaat.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Antara amal ibadah yang sangat dianjurkan pada hari Jumaat ialah membanyakkan bacaan selawat dan menggandakan kerja kebajikan untuk manfaat masyarakat.
Biasanya pada hari Jumaat ada kalangan masyarakat kita mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan. Ini satu kegiatan yang sangat bernilai tinggi dalam Islam kerana selain memelihara kebersihan tanah perkuburan, aktiviti itu mampu mengeratkan ukhuwah.
Sebagai menghormati hari Jumaat yang mulia, sewajarlah kita beramal sebaik yang terdaya untuk memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah selain menjadikannya landasan membina masyarakat bersatu padu menerusi kerja kebajikan serta amalan hasanah.
Nikmat dan kemanisan solat berjemaah
April 24, 2012 by Dudi
Filed under Ruang Bicara Agama
Comments Off
Antara sunnah Rasulullah SAW ialah solat berjemaah di masjid. Bagaimana para suami pada hari ini ingin mempraktikkan sunnah tersebut kerana jika suami solat berjemaah di masjid/surau maka si isteri solat berseorangan di rumah. Jadi, sudah pasti si isteri tidak akan dapat pahala solat berjemaah sekiranya suami berjemaah di masjid atau surau?
Jawapan
Islam tidak pernah menghalang para suami solat di rumah atau mengimamkan solat di rumah bersama anak isteri.
Malahan bagi pendapat saya sewajarnya suami mengasingkan hari-hari tertentu untuk solat berjemaah bersama ahli keluarga.
Ini bukan kerana keluhan suara hati para isteri tetapi peranan menjadi khalifah di rumah adalah dengan mengetuai ahli keluarga dalam melakukan ibadat.
Maka solat adalah talian hayat manusia dengan Allah SWT dan solat berjemaah adalah penyinambungannya.
Maksudnya, kesan daripada solat berjemaah yang dilakukan oleh ahli keluarga pasti membawa keberkatan ibadat dan kehidupan.
Kedudukan hukum solat berjemaah bagi kaum lelaki telah dibincangkan oleh para ulama, terutamanya ulama fiqh.
Nyata di sini pelbagai pendirian yang dinyatakan oleh mereka, yang boleh saya nyatakan di sini secara ringkas. Pada asasnya hukum solat berjemaah bagi kaum lelaki terbahagi kepada empat pendapat Pendapat yang mengatakan solat berjemaah fardu kifayah, pendapat kedua; syarat sah solat. Tidak sah solat sendirian melainkan ada keuzuran.
Manakala pendapat ketiga, sunat muakkad dan pendapat keempat ialah fardu ain dan bukan syarat. Setiap pendapat ini ada dalil yang menjadi asas ulama berhujah dengannya.
Perselisihan ini bukan satu perselisihan yang bercanggah tetapi perselisihan yang pelbagai. Di sini kita juga berpeluang melihat bagaimana agama Islam memberi pelbagai keadaan dan hukum terhadap kefarduan solat yang ditunaikan secara berjemaah.
Dalam hal ini kita boleh dapati ada yang akan cenderung kepada salah satu pendapat berikut. Ini tidak bermaksud ada yang salah dan ada yang betul, bagi saya semuanya betul.
Sekiranya ada yang berpendapat solat berjemaah sunat kifayah, ia betul berdasarkan kepada dalil-dalil yang dikemukakan, sekiranya ada yang berpendapat syarat sah solat mungkin pendapat ini juga betul berdasarkan cara dalil-dalil solat berjemaah difahami.
Sunat muakkad, ini juga betul. Persoalan yang utama dan tidak yang diperselisihkan oleh ulama ialah kefarduan solat. Yang paling mesti solat. Bila sudah rajin dan menjaga solat, maka hendaklah berusaha solat berjemaah.
Bagi mereka yang telah mendapati nikmat solat pasti tidak akan tinggalkan solat dan bagi mereka yang telah mendapati nikmat dan kemanisan solat berjemaah pasti akan berusaha sedaya upaya solat berjemaah.
Dua pendapat ulama mengenai hukum solat berjemaah
Saya akan kemukakan dua pendapat daripada empat pendapat ulama mengenai hukum solat berjemaah bagi kaum lelaki, kerana ruang yang sangat terhad.
* Pendapat Pertama: Pendapat yang mengatakan solat berjemaah fardu kifayah adalah seperti berikut;
Ini pendapat Imam Syafie, Abu Hanifah, jumhur ulama Syafiiyah terdahulu dan kebanyakan ulama mazhab Hanafi dan Maliki.
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, “Zahir perkataan Syafii, solat berjemaah hukumnya fardu kifayah. Inilah pendapat kebanyakan ulama terdahulu di kalangan ulama Syafiiyah, Hanafiyah serta Malikiyah.” (Fathu al-Bari, jld: 2, hlm: 26) Hujah mereka berdasarkan kepada dalil-dalil berikut;
Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah tiga orang di dalam satu kampung atau kawasan pedalaman, dan mereka tidak pula mendirikan solat melainkan syaitan akan menguasainya. Berjemaahlah kalian. Ini kerana serigala hanya memakan kambing yang sendirian.” (Sunan Abu Daud: 460, Sunan an-Nasaie: 738 dan Musnad Ahmad: 26242 ).
Dalam hadis yang lain baginda bersabda yang bermaksud: Pulanglah kepada keluarga kalian, dirikanlah solat bersama mereka, ajarlah dan perintahkan mereka (untuk solat). Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat. Jika telah masuk waktu solat, hendaklah salah seorang kalian melaungkan azan dan yang paling tua menjadi imam. (Sahih al-Bukhari: 595 dan Muslim: 1080 ).
Sabda baginda dalam hadis yang lain yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat sendirian 27 darjat. (Sahih al-Bukhari: 60).
Dalam hadis ini jelas baginda menyarankan supaya sahabat balik dan bersolat dengan ahli keluarga. Maksudnya ada kalanya harus bagi seorang Muslim solat bersama ahli keluarganya. Lebih-lebih lagi bila anak dan isteri perlukan bimbingan si suami atau ayah dalam membimbing mereka dalam solat.
Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim yang bermaksud: Wahai orang yang beriman selamatkanlah dirimu dan ahli keluargamu daripada seksaan api nereka…(al-Tahrim: 6)
Di dalam mentafsirkan ayat ini para mufassirin (ahli tafsir) berpendapat maksud “menyelamatkan ahli keluarga daripada seksaan api neraka” ialah mengajar mereka solat, baca al-Quran dan batasan halal dan haram.
Mendidik ahli keluarga adalah wajib, ia disepakati ulama. Manakala solat berjemaah masih ada pilihan, tetapi mendidik anak isteri tiada pilihan antara sunat muakkad mahupun fardu kifayah, malahan wajib. Kalau gagal didik akan bertanggungjawab di hadapan Allah SWT kerana keluarga adalah amanah Allah SWT.
Namun lebih afdal lagi kalau boleh sama-sama ahli keluarga ke masjid untuk solat berjemaah, kalau tidak selalu pun jadikanlah sebagai rutin mingguan dan bulanan. Terutamanya membawa mereka ke masjid untuk solat berjemaah dan menghadiri kuliah-kuliah agama.
* Pendapat Kedua: Sunat Muakkad.
Ini pendapat mazhab Hanafi dan Maliki. Imam Ibnu Abdil Barr menisbahkannya kepada kebanyakan ahli fiqh Iraq, Syam dan Hijaz.
Dalil-Dalilnya;
Daripada Ibnu Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat sendirian 27 darjat. (Sahih al-Bukhari, no: 609 ). Sesungguhnya, orang yang mendapat pahala paling besar dalam solat ialah yang paling jauh jalannya, kemudian yang lebih jauh. Orang yang menunggu solat sampai solat bersama imam, lebih besar pahalanya daripada orang yang solat, kemudian tidur. Dalam riwayat Abu Kuraib, (disebutkan): sehingga dia solat bersama imam dalam jemaah. (Sahih Muslim, no: 1064 dan Musnad Ahmad, no: 11380).
Peringatan Nabi layanan kubur selepas jenazah dikebumi
April 22, 2012 by Dudi
Filed under Ruang Bicara Agama
Comments Off
DARIPADA Abu Sa’id katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda SAW pun menegur mereka dengan bersabda: “Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitu maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru, katanya: Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat.
Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau – kepadaku – sekasih-kasih orang yang berjalan atasku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu; Kubur itupun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan berasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam syurga itu). Dan sebaliknya apabila orang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau – kepadaku – adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu. Nabi SAW bersabda lagi: Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya.”
Kata rawi hadis ini: Nabi SAW (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda SAW) memasukkan jari-jari sebelah tangannya di celah jari-jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda SAW bersabda lagi: “Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuknya dan melukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)”
Nabi Ibrahim tidak pernah makan kecuali bersama tetamu
April 21, 2012 by Dudi
Filed under Ruang Bicara Agama
Comments Off
MENGHORMATI dan memuliakan orang lain sesuatu yang dituntut Islam. Ini merangkumi pandangan atau pendapat, cita rasa dan hobi. Semua perlu dihormati kerana manusia adalah ciptaan Allah SWT yang penuh dengan keunikan.
Mereka diciptakan daripada sumber yang sama tetapi mempunyai pandangan, hobi dan cita rasa serta sikap yang berbeza.
Penghormatan juga diberikan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah seperti dilakukan Nabi Ibrahim AS terhadap mereka yang datang dengan khabar gembira daripada kalangan malaikat. Diriwayatkan bahawa Nabi Ibrahim tidak pernah makan kecuali bersama tetamu.
Firman Allah SWT bermaksud yang bermaksud: “Dan para utusan kami datang kepada Ibrahim lalu masing-masing mengucapkan salam dan Ibrahim menghidangkan kambing yang dibakar.” (Surah Hud, ayat 69).
Baginda SAW juga pernah bersabda dengan maksud: “Sesiapa yang beriman dengan Allah SWT hendaklah memuliakan tetamunya.” (Hadis riwayat Muslim)
Begitu juga penghormatan dan kemuliaan yang diberikan kepada nabi, wali dan ulama kerana Al-Quran sendiri meraikan Nabi Zakaria dan Yahya dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya mereka selalu bersegera dalam melakukan kebajikan dan memohon doa dengan penuh pengharapan.
Merekalah orang yang khusyuk kepada Kami.” (Surah al-Anbiya’, ayat 90)
Jika demikian, persoalannya adakah semua penghormatan yang diberikan kepada Baginda SAW serta keluarganya adalah dikira menyembah mereka sehingga ada yang mengharamkan sesiapa berbuat demikian?
Apa yang diketahui, segala penghormatan itu kerana mulianya kedudukan mereka di sisi Allah SWT. Ulama terdahulu juga pernah berbuat demikian, malah ada yang menjadikan ia sebagai satu ibadah Pengarang kitab Fathul Majid, Syekh Muhd Hamid Al-Faqy meletakkan maksud ibadah dan penghormatan dalam maksud yang sama.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Adapun orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya (al-Quran) yang diturunkan kepadanya. Merekalah orang yang beruntung.” (Surah Al-A’raf, ayat 157)
Begitu juga mengunjungi pusara anbiya’ serta orang salih atas tujuan memberi penghormatan dengan membaca al-Quran serta berdoa untuk kesejahteraan semua.
Allah SWT mengangkat martabat serta kedudukan Baginda SAW di sisinya dan diraikan kedudukan ini bagi mereka yang datang selepas kewafatan Baginda SAW. Anugerah inilah yang menjadikan sesiapa yang mentaati Muhammad seolah-olah mentaati Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya.” (Surah An-Nisa’, ayat 59) Dimasukkan nama Baginda SAW di sisi Allah SWT seolah-olah menyatakan bahawa Baginda berhak mendapat penghormatan.
Kesimpulannya, ketaatan kepada Allah SWT dapat dikembangkan dengan memberi perhatian kepada utusan-Nya serta mereka yang hampir kedudukan dengan Allah SWT.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Akulah penghulu sekalian manusia pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)
Khutbah Jumaat: Bencana angkara kerakusan manusia
April 20, 2012 by Dudi
Filed under Ruang Bicara Agama
Comments Off
Elak laksana pembangunan boleh jejas keseimbangan ekologi
SEMPENA sambutan Hari Bumi pada 22 April ini, maka mimbar hari ini memperkatakan khutbah bertajuk ‘Bencana Alam Kewajipan Bermuhasabah’.
Dalam al-Quran, Allah SWT menceritakan banyak tamadun umat manusia dimusnahkan Allah SWT melalui bencana alam, antaranya kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth dengan gempa bumi dan kaum Aad pula dilanda ribut taufan tujuh hari, tujuh malam.
Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum itu adalah kerana hukuman Allah SWT atas kekufuran dan kemungkaran mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 40 bermaksud: “Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”
Peringatan ayat Allah SWT ini menjadi pengajaran bagi kita bahawa kekufuran dan perbuatan maksiat akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah SWT.
Setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai tiga pengajaran berbeza. Pertama: Bagi mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain menjadi peringatan bentuk kasih sayang Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya.
Kedua: Bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa adalah azab dan seksa dari Allah di alam ini yang disebabkan kekufuran dan derhaka terhadap perintah Allah dan rasul-Nya.
Ketiga: Dengan bencana juga, Allah SWT menunjukkan kepada manusia antara orang yang benar keimanannya dan mana yang tidak beriman.
Perlu difahami bahawa bencana alam boleh berlaku disebabkan kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta tergugat.
Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 bermaksud: “Telah berlaku pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
Ayat ini menyatakan bencana alam di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah dan menghargai alam semesta. Tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan membawa manusia ke arah kemusnahan.
Kerakusan manusia mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan.
Malangnya berdasarkan kepada pemerhatian, ada sesetengah pihak melihatnya sebagai satu kebijaksanaan melalui penggunaan teknologi moden dan kreativiti akal manusia sedangkan ia sebenarnya hanya satu kebodohan yang boleh menyumbang kepada bencana dan kemusnahan alam.
Ini kerana hubung kait antara manusia dengan alam sangat rapat sekali kerana ia saling perlu memerlukan.
Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengurus serta mengurangkan kesan bencana alam perlu dilakukan.
Di negara kita, Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah agensi kerajaan bertanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar. Fungsi utamanya adalah untuk mencegah, menghapus, mengawal dan membaiki alam sekeliling agar senantiasa terpelihara melalui penguatkuasaan dan program kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat. Namun segala usaha itu perlu diperkukuhkan melalui sokongan dan kerjasama padu semua pihak.
Menjadi kewajipan semua pihak memastikan bumi yang kita duduki ini terus selamat. Sebarang rancangan pembangunan dan kegiatan sosio ekonomi masyarakat mestilah tidak merosakkan ekologi alam sekitar.
Elakkan daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah tidak terkawal. Berusahalah untuk menghindari diri dan tempat tinggal daripada sebarang bencana dengan menunai segala perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.
Justeru, marilah kita bersama bersatu hati di bawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan demi agama, bangsa dan negara.
Mimbar yakin jika semua manusia kembali kepada matlamat kehidupan yang sebenar maka bumi yang kita diami ini akan kembali aman dan tenang serta tiada lagi kegelisahan, ketakutan dan kebimbangan.
Marilah sama-sama kita mengurus bumi Allah SWT ini dengan rasa bertanggungjawab, beramanah, jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara.
Ingatlah anugerah Allah SWT ini akan menjadi rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama juga boleh menjadi bala bencana serta azab. Dengan itu seharusnya umat Islam mengambil manfaat dan menambahkan ketakwaan atas kebesaran kejadian Allah ini. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah al-Araf ayat 97-98 bermaksud:
“Patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?”.
Ilmu, amalan baik boleh hindari penyakit hati
April 19, 2012 by Dudi
Filed under Ruang Bicara Agama
Comments Off
HATI, ibu segala anggota pada badan yang menjadi tunjang utama kepada setiap tindakan serta perlakuan manusia. Namun, hati memerlukan penjagaan dan pemeliharaan sebaiknya kerana ia senang diserang segala jenis penyakit berbahaya jika tidak dijaga.
Pelbagai penyakit kronik berkaitan hati seperti radang hati, barah, bengkak hati mahupun hepatitis, ramai tidak menyedari ada penyakit hati yang lebih kronik iaitu penyakit batin yang tidak mampu dilihat mata kasar melainkan dirasai sendiri oleh penderita.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dalam diri manusia ada seketul daging, jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota lahir manusia. Dan jika seketul daging itu rosak, maka seluruh anggota lahir manusia itu akan rosak. Itulah dia hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Meskipun natijah penyakit hasad ditanggung sendiri oleh penderita, jika tidak dikikis dikhuatiri boleh memberi kesan buruk dan menjejaskan perpaduan serta keharmonian hidup bermasyarakat. Kita dianjurkan berusaha menghindari diri daripada dijangkiti penyakit hasad.
Allah SWT melarang hamba-Nya mempunyai perasaan hasad serta sifat keji lain seperti mengumpat dan memfitnah seperti firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu dosa dan jangan kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan jangan setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Hujraat, ayat 12)
Sering kali masyarakat Melayu dikaitkan dengan perasaan hasad dengki. Dikatakan orang Melayu tidak boleh maju kerana jika maju, ada saja orang yang akan berdengki. Benar atau tidak bukan persoalannya kerana ia mungkin hanya persepsi hasil penelitian suasana persekitaran.
Rentetan itu ada melihat hasad sebagai pengalaman biasa yang dilalui dalam hubungan manusia dalam setiap budaya, malah ada mendakwa ia fenomena tertentu sesuatu budaya.
Berbanding budaya masyarakat Arab, walaupun mereka dikenali dengan sikap agak kasar, dalam soal penyakit hati ini mereka terlalu menjaganya, tiada perasaan hasad sebaliknya hanya persaingan untuk menjadi lebih baik.
Oleh itu, tidak kira siapa kita, ahli politik, pelajar, pendidik mahupun ilmuwan, penyakit ini akan tetap berjangkit dan terus membarah jika hati empunya diri tidak dijaga serta dididik. Bukan salah hati dan bukan salah pangkat atau darjat yang dipegang, tetapi kerana terlalu ikutkan nafsu hati tidak terjaga.
Kata pepatah, ‘ikutkan hati mati, ikutkan nafsu lesu’. Maka menjadi tanggungjawab kita menjaga kebaikan dan kesucian hati daripada terkena sebarang kotoran atau penyakit. Penyakit hati jika tidak dibendung boleh membawa kepada kehancuran agama, bangsa dan negara.
Hanya dua cara dapat mengubati penyakit hati iaitu ilmu dan amal. Ilmu yang bermanfaat mampu mengubati penyakit hasad apabila kita tahu bahaya hasad terhadap diri, baik dari segi agama mahupun dunianya.
Ubat kedua adalah amal perbuatan dengan memperbanyakkan melakukan perbuatan baik yang boleh mendidik hati ke arah kebaikan.
Ulama berpandangan, penyakit hasad mampu diubati dengan menghayati prinsip akidah, berusaha melawan kehendak nafsu yang mengganas, bertaubat kepada Allah SWT serta berdoa supaya dilenyapkan sifat hasad dalam kehidupan seharian.
Penulis ialah pelajar Bahasa Arab dan Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Islam tegah guna kekerasan, bertindak luar batasan
April 18, 2012 by Dudi
Filed under Ruang Bicara Agama
Comments Off
Ulama sepakat haram cedera tertuduh, pengakuan dibuat secara paksa boleh terbatal
ISLAM memandang berat perkara mungkar dan kesalahan khususnya berbentuk jenayah. Usaha membendungnya dengan langkah pencegahan dan pemulihan dapat dilaksanakan selain penguatkuasaan undang-undang untuk membentuk negara dan masyarakat yang aman tenteram.
Pun begitu, kita berasa sedih kerana dalam keghairahan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam itu, ada segelintir yang bertindak di luar batas etika dibenarkan Islam terhadap seseorang yang disyaki bersalah.
Ada yang dibelasah terlebih dulu sehingga cedera parah sebelum dihantar ke balai polis untuk tindakan lanjut pihak berkenaan. Malah ada didera dan diikat di khalayak ramai, supaya wajah si pesalah disyaki dapat dipertontonkan. Apakah ini tindakan yang betul dan dibenarkan agama?
Ada juga pihak menggunakan kekerasan ketika soal siasat dijalankan untuk mencetuskan rasa ketakutan supaya tertuduh membuat pengakuan bersalah. Meneliti aspek ini ada baiknya kita tinjau pandangan empat mazhab.
Ulama keempat-empat mazhab bersepakat bahawa pengakuan disebabkan paksaan tidak boleh dijadikan asas dalam menjatuhkan sebarang hukuman.
Ulama Mazhab Syafii, Imam Al-Imrani menyatakan, “Tidak diterima pengakuan orang dipaksa. Ini berdasarkan kepada pernyataan Rasulullah SAW yang maksudnya: “Dingkat (dimaafkan) untuk umatku kesalahan, lupa dan apa yang dipaksakan kepadanya.”
Orang yang dipaksa sebenarnya tidak termasuk dalam golongan mukalaf. Pendapat beliau dapat kita jadikan wakil kepada pandangan mazhab Syafii dalam menegah atau melarang penggunaan cara paksa ke atas yang dituduh.
Sementara itu, ulama Mazhab Hanafi, Imam Al-Kasani memberitahu, kerelaan salah satu aspek yang menentukan sesuatu pengakuan itu dikirakan sah atau tidak. Dengan itu, sebarang pengakuan dikeluarkan secara paksaan kami berpandangan ia tidak sah. Pendapat beliau ini diperincikan secara mendalam dalam kitab Badai’i As Shana’I.
Begitu juga fatwa yang dikeluarkan kalangan ulama Mazhab Maliki yang turut memperakui sebarang tindakan berbentuk paksaan ke atas tertuduh supaya mengaku bersalah adalah haram.
Mengupas isu ini, Qadgi Sahnun berkata, “Masalah hukum pihak yang mengaku selepas diancam, sama ada dengan ikatan, dipenjara, serta dipukul, tidak berlaku hadd.
Malah Imam Malik pernah melafazkan, “Tidak dibolehkan kepada seseorang itu hukuman hadd, kecuali dia mengaku hal itu dengan rasa tenang dan tanpa rasa takut.”
Menurut mazhab Maliki, unsur memaksa berbuat pengakuan bersalah juga dihukumkan tidak sah untuk membolehkan sebarang hukuman dijatuhkan.
Akhir sekali, ulama terkenal Mazhab Hanbali, Ibnu Qadamah berkata, “Kalau seseorang lelaki dipukul supaya dia mengaku berzina, maka tidak wajib atasnya hadd, dan tidak boleh diputuskan yang dia berzina.”
Justeru, dalam aspek melakukan tindakan kekerasan seperti memukul atau mencederakan seseorang tertuduh supaya membuat pengakuan bersalah sudah disepakati ulama sebagai haram dan sebarang pengakuan terbatal.
Begitulah Islam menjaga kepentingan umatnya kerana berkemungkinan besar ada dituduh tidak melakukan apa yang disyaki. Mungkin kita hanya bersangka buruk disebabkan gaya mencurigakan baik dari segi penampilan, tingkah laku atau mungkin secara kebetulan berada di lokasi kejadian.
Malah, apabila sudah disahkan seseorang itu didapati benar-benar berbuat jenayah sekalipun, kita tidak dibenarkan menghukum sendiri secara melulu, mengikut emosi sehinggakan si pesalah itu tercedera.
Serahkan kepada pihak berwajib seperti polis untuk menetapkan tindakan susulan. Orang awam tidak boleh bertindak sebagai hakim dalam menentukan keputusan dan tidak boleh bertindak sebagai tukang hukum terhadap seseorang yang bersalah.
Kisah Hatib bin Abi Balta’ah yang mengutuskan surat kepada kaum keluarganya di Makkah sebelum Perang Hunain seharusnya dijadikan panduan. Beliau dikatakan ada mengutuskan surat pemberitahuan kepada ahli keluarganya di Makkah melalui seorang wanita bahawa Rasulullah SAW akan menyerang kota Makkah.
Kemudian Rasulullah SAW mendapat perkhabaran dari langit mengenai perbuatan Hatib itu lalu Baginda mengutuskan Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwam mengejar wanita itu dan berjaya memintasnya ketika dia berada lebih kurang 12 kilometer untuk memasuki kota Makkah.
Lantas Ali Abi Talib meminta wanita itu turun dari kenderaannya dan kemudian memeriksa kenderaannya dengan rapi. Kemudian kata Ali kepada wanita itu, “Tunjukkan tulisan itu atau kami akan memeriksamu!” Melihat betapa seriusnya dua orang sahabat Rasulullah SAW itu, wanita itupun menyerahkan surat Hatib itu kepada Ali.
Dalam peristiwa ini pemeriksaan itu dibenarkan dan Ali tidak menggunakan kaedah berbentuk kekerasan terhadap wanita berkenaan. Jadi, dalam usaha membendung jenayah, penggunaan kekerasan sangat ditegah terutama memaksa tertuduh mengaku bersalah.
Memang membanteras maksiat dan jenayah itu wajib kita lakukan, tetapi Islam menetapkan aturan yang kondusif dalam menjayakannya tanpa penggunaan emosi melulu dan sarat dengan unsur prasangka buruk.
Umat taat kepada pemerintah dijamin ganjaran pahala
April 17, 2012 by Dudi
Filed under Ruang Bicara Agama
Comments Off
MASYARAKAT Islam negara ini mempunyai pandangan tersendiri terhadap raja. Rakyat bukan saja meyakini institusi raja sebagai pelindung agama, bahkan menjadi payung pelindung rakyat keseluruhannya.
Betapa rapatnya hubungan rakyat dengan raja dapat dikesan dalam ungkapan bernilai iaitu ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’. Manifestasi itu menggambarkan sayang dan kasihnya rakyat terhadap institusi raja yang sudah dipertahankan lebih dari enam dekad lalu.
Kita sering diingatkan sebaik-baik pemerintah ialah orang yang kita kasihi dan pemerintah pula mengasihi sekalian hambanya. Justeru, rakyat akan sentiasa mendoakan untuk kesejahteraan pemerintah, manakala pemerintah mendoakan kebahagiaan rakyatnya.
Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wajib atasmu itu mendengar dengan patuh serta mentaati baik engkau dalam keadaan sukar ataupun lapang, juga baik engkau dalam keadaan rela menerima perintah itu ataupun dalam keadaan membencinya dan juga dalam hal yang mengalahkan kepentingan dirimu sendiri.” (Hadis riwayat Muslim)
Sejarah merakamkan dalam tinta emasnya bahawa Raja-Raja Melayu bukan hanya simbol negara, malah terbukti memainkan peranan penting bagi memastikan kestabilan politik di samping istiqamah mempertahankan agama.
Bagi tujuan mengukuhkan kedudukan agama dan perpaduan rakyat, maka ketaatan rakyat terhadap pemerintah adalah dituntut.
Daripada Anas, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dengarlah olehmu semua dengan patuh dan taatlah pula, sekalipun yang digunakan yakni yang diangkat sebagai pemegang pemerintahan atasmu semua seorang hamba sahaya keturunan Habsyi, orang berkulit hitam, yang di kepalanya itu seolah-olah ada bintik-bintik hitam kecil.” (Hadis riwayat Bukhari)
Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wajib atasmu itu mendengar dengan patuh serta mentaati baik engkau dalam keadaan sukar ataupun lapang, juga baik engkau dalam keadaan rela menerima perintah itu ataupun dalam keadaan membencinya dan juga dalam hal yang mengalahkan kepentingan dirimu sendiri.” (Hadis riwayat Muslim)
Menumpahkan taat setia kepada Raja-Raja Melayu tidak harus menjadi medan perdebatan untuk dipersoalkan. Malah, rakyat diseru berpadu sebagai benteng melindungi institusi Raja-Raja Melayu, dalam apa juga keadaan seperti tersurat dalam Perlembagaan Negara.
Tugas dan tanggungjawab Raja-Raja Melayu mempertahankan agama Islam di Malaysia termaktub dalam sumpah Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta untuk menjalankan keadilan pemerintahan mengikut undang-undang dan perlembagaan negeri di samping berikrar memelihara kesucian Islam.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu akan diperintah oleh pemerintah selepas aku; yang baik akan memerintah kamu dengan kebaikannya dan yang tidak baik akan memerintah kamu dengan keburukannya, maka hendaklah kamu dengar dan taat kepada mereka pada setiap perintah yang sesuai dengan kebenaran; jika mereka melakukan kebaikan, maka kebaikan itu bagi kamu dan bagi mereka; tetapi jika mereka melakukan kejahatan, maka kamu akan beroleh kebaikan, tetapi mereka akan menerima akibat kejahatan yang mereka lakukan.” (Hadis ini disebut Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniah daripada riwayat Abu Hurairah)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa mentaatiku bererti ia mentaati Allah. Sesiapa menderhakaiku, maka ia sudah menderhakai Allah. Sesiapa mentaati amirku bererti ia taat kepadaku dan sesiapa menderhakai amirku bererti ia menderhakaiku.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap orang Islam di Malaysia mempertahan dan memelihara institusi raja kita. Sebarang serangan atau usaha yang boleh menggugat peranan dan kedudukan institusi raja mesti ditentang.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa melepaskan ketaatan dari pemimpin, dia akan berjumpa dengan Allah pada hari kiamat tanpa punya hujah (alasan).” (Hadis riwayat Muslim)
Tokoh pemikir, IbnTaimiyah, berkata taat kepada Allah dan Rasul-Nya wajib bagi setiap Muslim, taat kepada penguasa (pemerintah) adalah penguat ketaatan kepada Allah. Sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulnya dengan menjalankan ketaatan kepada penguasanya, pahalanya dijamin Allah.
Tetapi kalau taat kepada penguasa dalam hal-hal yang menguntungkan saja, bila diberi hal yang memenuhi kepentingannya ia taat dan sebaliknya jika tidak diberi dia tidak akan taat, orang seperti itu pada hari akhirat tidak punya bahagian (pahala).
Khutbah Jumaat: Seri Paduka tonggak perpaduan ummah
April 13, 2012 by Dudi
Filed under Ruang Bicara Agama
Comments Off
Sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan lambang kedaulatan negara
SEMPENA pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada kelmarin, tajuk khutbah hari ini ialah ‘Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tonggak Perpaduan Ummah’.
Al-Imam al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam As-Sultaniah wawilayatu ad-Diniyah dalam menghuraikan tugas dan tanggungjawab khalifah, menggariskan beberapa dasar wajib dipikul dan dilaksanakan pemimpin sesuai dengan kedudukan masing-masing.
Antara ialah, yang pertama: Memelihara Din al-Islam, mengenai asasnya yang tetap dan juga perkara disepakati ulama. Kedua: Melaksanakan hukum di antara pihak bertelagah serta menyelesaikan setiap perselisihan yang timbul.
Ketiga: Melindungi kehormatan wanita supaya masyarakat terus hidup aman damai. Keempat: Menjalankan setiap hukum dan perintah yang Allah SWT amanahkan kepada manusia agar hak Allah tidak diabaikan dan dapat pula melindungi hak manusia dari kerosakan dan kemusnahan.
Sebagai umat Islam di Malaysia, kita bersyukur kerana struktur kepimpinan negara kita dalam keadaan stabil dan jauh lebih baik daripada sesetengah negara umat Islam lain yang sentiasa bergolak dan sebahagiannya huru-hara.
Sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan yang menjadi tonggak kepada kekuatan dan perpaduan ummah amat sebati dalam kalangan rakyat di negara ini. Raja Berperlembagaan bukan saja menjadi lambang sebuah negara berdaulat, bebas dan merdeka tetapi ia juga lambang perpaduan rakyat berbilang kaum.
Justeru berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan bahawa di negara kita, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pemerintah tertinggi, sebagai Ketua Negara dan Baginda juga sebagai Ketua Agama Islam.
Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bukanlah satu jawatan diwarisi turun temurun. Dalam Perlembagaan Persekutuan, urusan pemilihan dan pelantikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terletak pada keputusan Majlis Raja-Raja yang ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.
Justeru pemilihan baginda sebagai ketua negara dan agama menuntut kepada penyempurnaan tanggungjawab yang amat besar. Ini terkandung di dalam lafaz sumpah jawatan baginda – “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” yang dapat dirungkaikan dalam lima kata kunci iaitu undang-undang, perlembagaan negeri, agama Islam, adil dan aman.
Sebagai Ketua Negara, baginda hendaklah melaksanakan pemerintahan dengan berlaku adil kepada semua rakyat tanpa memandang status seseorang. Usaha mewujudkan keadilan kepada manusia sejagat adalah sebahagian sifat ketakwaan.
Firman Allah dalam surah al-Maaidah ayat 8 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.”
Secara tersirat, pengekalan institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan Melayu Islam di tanah air sebagai warisan bangsa. Institusi ini sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia.
Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini, terdapat pihak tertentu cuba memecah-belahkan ummah, menuntut kebebasan secara melampau melanggari cara tabii manusia, mempertikaikan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan menyokong musuh Islam.
Persoalan besar timbul ialah mengapa keadaan ini berlaku? Berdasarkan pemerhatian, keadaan ini berlaku kerana terdapat umat Islam sendiri sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama serta bangsa kerana kepentingan diri dan ideologi masing-masing serta ada yang sanggup bersubahat dengan pihak tertentu untuk mempertikaikannya atas alasan mempertahankan hak asasi pihak lain.
Oleh itu, umat Islam perlu sedar, mereka yang menyokong pihak memusuhi umat Islam sebenarnya meletakkan dirinya sebagai musuh Islam, ini disebabkan pengaruh musuh Islam yang mampu mengawal pemikiran dan tindakan mereka demi untuk mendapat apa yang diingini.
Jika umat Islam hilang integriti, hilang maruah dan diperalatkan pihak lain, maka akhirnya umat Islam akan menerima nasib malang lagi hina di negara sendiri. Justeru, bagi mengekalkan keadaan dan suasana ini, umat Islam perlu bersatu padu mendokong dan menjunjung institusi Raja Berperlembagaan.
Maka, menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda sebagai pemerintah negara. Umat Islam diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah seperti firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59 bermaksud: “Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan taatlah kamu kepada Ulil-Amri dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Akhir sekali, bersempena pertabalan Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni AlMarhum Sultan Badalishah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, marilah kita merafak sembah, menjunjung kasih taat setia kepada baginda sepanjang takhta pemerintahan.
Marilah kita mendoakan semoga Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta kerabat baginda sentiasa di bawah payung rahmat Ilahi, diteguh keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan.
Semoga baginda dikurniakan taufik dan hidayah serta kekuatan untuk meneruskan pemerintahan negara. Kita doakan juga agar Negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran.
Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan di kalangan mereka semoga sentiasa hidup aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.
















