Kehidupan barzakh para nabi

February 21, 2012 by  
Filed under Ruang Bicara Agama

Comments Off

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
SEBELUM ini kita telah membicarakan tentang hakikat kehidupan alam barzakh yang merupakan alam yang tersendiri. Roh manusia tetap hidup dengan caranya yang tersendiri walaupun sudah berpisah daripada jasad dan menamatkan kehidupan duniawi.

PARA Nabi seperti Nabi Muhammad SAW walaupun sudah wafat tetapi diberi kelebihan oleh Allah antaranya boleh mengetahui siapa yang menziarahi makam baginda. – Gambar hiasan


Jika mereka yang telah mati langsung tidak dapat merasa dan mendengar di manakah kita hendak meletakkan pelbagai nas-nas berkenaan dengan larangan menyakiti mayat dan ahli kubur seperti yang banyak diriwayatkan daripada nabi SAW?

Kehidupan manusia di alam dunia berlegar di antara; melakukan ibadat atau hanya mengikut adat, dalam ketaatan atau kemaksiatan, dalam keadaan melaksanakan kewajipan-kewajipan untuk diri dan ahli keluarganya atau untuk Tuhannya.

Kadang kala dia berkeadaan bersih dan kadang kala dia berkeadaan sebaliknya. Kadang-kadang dia berada di dalam masjid dan kadang-kadang berada di tempat-tempat kotor tanpa dapat dipastikan bagaimanakah kesudahannya!

Kadang-kadang syurga itu jaraknya hanya sehasta daripadanya, tiba-tiba dia berpaling dari syurga itu akibat daripada perbuatannya yang keji, maka jadilah dia daripada kalangan ahli neraka, begitu jugalah apa yang terjadi sebaliknya.

Ada pun kehidupan di alam barzakh, jika dia termasuk daripada kalangan orang yang beriman, maka dia telah melepasi jambatan ujian yang hanya dapat tetap berada di atasnya orang yang bahagia dan berjaya. Setelah itu, dia mendapat pelepasan daripada sebarang pentaklifan.

Maka dia menjadi ruh yang bercahaya-cahaya, putih bersih, tajam pemikiran, bebas berterbangan dan berenang-renang di alam malakut dan alam-alam milik Allah SWT yang lain; yang tiada kemurungan, kesedihan, kebimbangan dan gundah gulana di dalamnya.

Alam ini bukan seperti dunia yang kita diami ini; tiada hamparan tanah, malahan tiada harta kekayaan emas dan perak jauh sekali hasad dan dengki manusia.

Sekiranya dia bukan di kalangan orang-orang yang beriman, maka keadaannya di alam barzakh adalah sebaliknya.

Sesungguhnya para nabi memiliki keistimewaan yang tersendiri di alam barzakh; tanpa ada manusia yang lain memilikinya. Jika ada manusia lain yang memiliki antara keistimewaan tersebut, itu hanyalah penisbahan sahaja; sama pada nama tetapi tidak pada hakikatnya.

Keistimewaan para nabi di alam barzakh terdiri dari dua aspek iaitu pertama, keistimewaan yang wajib bagi para nabi dan yang kedua, kelebihan yang menyempurnakan lagi keistimewaan tersebut.

Kita telah nyatakan sebelum ini bahawa kehidupan di alam barzakh adalah kehidupan yang hakiki. Mayat yang berada di alam kubur dapat mendengar, merasa dan mengetahui apa yang berlaku di dunia; sama ada dia itu seorang mukmin atau kafir.

Malah, kehidupan di dalam kubur dengan mendapat rezeki dan masuknya roh-roh ke dalam syurga bukanlah sesuatu yang dikhususkan kepada orang yang mati syahid sahaja seperti yang dibuktikan oleh dalil-dalil yang kukuh.

Ini adalah perkara yang sahih dan disepakati oleh ulama dan jumhur Ahli Sunnah wal Jamaah.

Daripada sini, perbincangan mengenai kehidupan para nabi (a.s) di alam barzakh adalah perbincangan yang sebenarnya tidak banyak mendatangkan faedah.

Ini kerana perkara ini telah jelas seperti terangnya mentari yang tidak memerlukan sesuatu dalil pun untuk menetapkan kebenarannya.

Bahkan, apa yang lebih tepat adalah kita memperakui bahawa kehidupan para nabi di alam barzakh adalah jauh lebih sempurna dan hebat (daripada kehidupannya di dunia), malahan lebih besar dan mulia daripada kehidupan manusia yang lain di alam barzakh.

Hidup manusia ada darjat

Kehidupan manusia di atas muka bumi ini pun berdasarkan bermacam-macam darjat, makam dan tingkatan yang berbeza.

Perbezaan ini bukan hanya di sudut lahiriah atau zahir tetapi turut berbeza dari sudut komitmen agama.

Ada di antara mereka yang hidup seperti orang yang telah mati. Allah SWT berfirman mengenai mereka: Ada pula di antara mereka seperti yang difirmankan oleh Allah: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Yunus:62)

Ada pula yang hidup dengan suluhan agama, sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara solatnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (al-Mukminun: 10).

Ada yang difirmankan oleh Allah sebagai berikut: Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). (al-Zaariyaat: 16-18)

Sebagaimana kehidupan di dunia, maka begitulah juga kehidupan di alam barzakh yang mempunyai darjat dan kedudukan serta makam yang berbeza-beza, seperti firman Allah: Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka dia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya. (al-Israk: 72).

Adapun bagi para nabi; kehidupan, rezeki, pengetahuan, pendengaran, pemahaman dan perasaan mereka adalah jauh lebih tinggi dan sempurna daripada manusia yang lain.

Ini dapat dibuktikan dengan dalil tentang hak-hak para syuhada sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (ali-’Imraan: 169).

Insya-Allah, di ruang yang akan datang kita akan menghuraikan lebih lanjut khusus tentang hakikat kehidupan para nabi a.s di alam barzakh.

al-Quran Braille berkomputer

February 19, 2012 by  
Filed under Ruang Bicara Agama

Comments Off

KIRA-kira 10 tahun lalu, beliau yang ketika itu merupakan Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, menerima sepucuk surat bertulisan Braille daripada pengirim yang mendakwa dirinya seorang cacat penglihatan kekal yang berasal dari Gaza, Palestin.

DEMI persaudaraan dan menegakkan Islam… Dari kiri Bendahari VPM, Datin Normah Hashim, Dr. Mohammed Shihab, Mah Hassan Omar, Dr. Fayek, Dr. Mahmoud dan sukarelawan Dr. Mohd. Zin Kandar dari Aqsa Syarif Malaysia.


“Saya tidak pasti sama ada dari Gaza atau Tebing Barat, tetapi pemuda ini menulis surat kepada saya merayu supaya pihak kami dapat memberi sumbangan al-Quran versi Braille kerana beliau sangat memerlukannya,” kata Datuk Mah Hassan Omar.

Mah Hassan yang kini Presiden Persatuan Braille Malaysia mengakui amat terkejut dan terharu dengan permintaan yang datang dari jauh itu.

“Mungkin beliau menulis surat kepada saya atas kapasiti saya ketika itu juga merupakan wakil negara ke Pertubuhan World Blind Union dan pemuda itu merupakan antara mangsa kekejaman Israel yang menyebabkan matanya buta kekal,” kata Mah Hassan.

Malangnya ketika itu, tidak ada mana-mana pihak termasuk persatuannya yang mampu dan terlibat dalam pengeluaran mushaf al-Quran Braille.

Namun permintaan pemuda Palestin itu sebenarnya menjadi titik tolak yang membakar dan meniupkan semangat kepada Mah Hassan untuk mula mengusahakan penerbitan dan pengeluaran mushaf al-Quran Braille secara komersial.

Matlamat utamanya membantu golongan cacat penglihatan seperti pemuda Palestin tersebut.

“Bukan tidak ada al-Quran diterbitkan secara Braille ketika itu tetapi penerbitannya adalah secara manual dan sangat terhad.

“Perlu disalin satu persatu dan ia akan memakan masa sehingga setahun lamanya untuk siap lengkap 30 juzuk,” tambah beliau.

Sehinggalah baru-baru ini sahaja, permintaan pemuda buta dari Palestin itu akhirnya dapat dipenuhi.

Persatuan Braille Malaysia dengan kerjasama Viva Palestina Malaysia (VPM) akhirnya berjaya menyumbang empat naskhah al-Quran versi Braille untuk dibawa ke Gaza, Palestin.

Setiap naskhah bernilai RM240 dan ia disumbangkan kepada Persatuan Islam Jabaliya, Gaza ketika wakil-wakil persatuan penduduk Gaza itu berada di Malaysia, baru-baru ini.

Sumbangan diterima oleh Ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Perundangan Palestin, Dr. Mohammed Shihab. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Persatuan Islam Jabaliya, Dr. Mahmoud Muhammad Alhirthani dan Pensyarah di Universiti Al Aqsa Gaza, Prof. Fayek An Nouk.

Suasana bertukar pilu apabila melihatkan wakil-wakil penduduk Gaza itu sangat gembira dan tidak putus-putus mengucapkan syukur dan bertakbir memuji Allah atas sumbangan yang sangat besar maknanya ini.

Menurut Dr. Mohammed Shihab, sumbangan al-Quran Braille itu umpama mereka mendapat segunung intan.

Katanya, set al-Quran itu akan digunakan sepenuhnya oleh penduduk Palestin terutama mereka yang mengikuti pengajian di Darul Al Quran Al Kareem Wa Sunnah yang mempunyai cawangan di 13 lokasi di seluruh Palestin.

“Terdapat lebih 1,000 pelajar terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mengikuti pengajian di institusi ini.

“Sebahagian daripada mereka adalah cacat penglihatan yang rata-ratanya akibat kekejaman Israel yang menggunakan senjata kimia beracun,” katanya.

Institusi itu kini diterajui oleh seorang tokoh ulama terkenal mempunyai bacaan al-Quran terbaik, Sheikh Dr. Abdul Rahman Jamal.

Ia adalah Darul Quran utama di Palestin bagi melahirkan mereka yang tidak sahaja hafiz al-Quran tetapi para pejuang yang akan membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel.

“Baru-baru ini salah seorang pelajar kami, seawal usia 7 tahun, Usama Abu Wardah berjaya memukau para hadirin dalam satu majlis ujian tahfiz al-Quran di Khartoum, Sudan.

“Beliau bukan setakat hafiz 30 juzuk al-Quran malah mampu melepasi pelbagai ujian tahfiz dan bacaannya diakui baik dan tepat,” jelas Mohammed.

Mendengarkan alunan bacaan surah al-Fatihah dan sedikit daripada surah al-Baqarah oleh Mah Hassan sangat menyedarkan betapa pentingnya al-Quran versi Braille ini kepada golongan cacat penglihatan.

Walaupun mereka dikatakan mampu menghafaz apa juga terutamanya ayat-ayat al-Quran dengan lebih baik dan pantas berbanding mereka yang normal namun versi Braille ini tetap penting buat yang cacat penglihatan.

Pertama, kata Mah Hassan, bukan semua yang cacat penglihatan mampu menghafaz melalui teknik pendengaran, kemampuan untuk menghafaz dengan baik ini sebenarnya, berbeza-beza bagi tiap seseorang itu.

“Keduanya, versi Braille adalah sangat penting bagi menjaga mutu dan ketepatan bacaan terutamanya dari aspek tajwid dan makhraj huruf.

“Sentuhan hujung jari itu pula menjadikan mereka lebih dekat dengan al-Quran untuk mereka mudah merujuk kembali berbanding sekadar mendengar berulang kali,” katanya.

Sejak diciptakan al-Quran Braille yang boleh disimpan dalam data komputer, ini membolehkan mushaf ini diterbitkan secara ulang cetak.

Menurut Mah Hassan, dalam tempoh lapan jam keseluruhan naskhah al-Quran itu boleh dicetak tetapi kosnya agak tinggi.

Ini kerana ia melibatkan kualiti kertas yang bermutu tinggi, mesin cetak Braille yang perlu diimport, kualiti penjilidan khas untuk al-Quran Braille di samping perlu mendapatkan semakan dan pengesahan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bagi meringankan bebanan kepada golongan cacat penglihatan memiliki al-Quran Braille ini, umat Islam diharap memberi sumbangan kepada Persatuan Braille Malaysia bagi membolehkan lebih banyak mushaf-mushaf al-Quran versi Braille ini dapat diterbitkan.

Mah Hassan berkata, pihaknya sentiasa menerima permintaan dari individu, persatuan-persatuan dan sekolah-sekolah pendidikan cacat penglihatan untuk memiliki al-Quran Braille tetapi kebanyakan mereka tidak mampu untuk membelinya.

“Jadi saya sangat berharap masyarakat Islam Malaysia dapat menyumbang bagi membantu golongan cacat penglihatan ini memperolehi al-Quran Braille,” katanya.

Dakwah animasi Nora Ariffin

February 18, 2012 by  
Filed under Ruang Bicara Agama

Comments Off

Hakikatnya, kata Nora atau kini mahu dikenali sebagai Nora Ariffin, dia masih aktif seperti dahulu, menyanyi dan menghiburkan peminat.

Cuma, kini kata Nora, tumpuannya lebih diberikan kepada penerbitan siri animasi Ummi… Ceritalah Kepada Kami (Ummi) yang diterbitkan oleh syarikat yang diusahakan bersama suami tercinta, Johan Nawawi.

Memegang jawatan sebagai Pengarah Hud Hud Media Sdn. Bhd., jelas Nora, penerbitan animasi bersiri itu merupakan dunia barunya dalam menyebarkan dakwah kepada masyarakat.

“Kesibukan saya dengan Ummi menyebabkan saya melupakan seketika dunia nyanyian. Tumpuan saya kini lebih kepada Ummi dan memberi peluang kepada saya untuk meneroka cabang baru dalam dunia seni.

“Setelah hampir dua dekad menjadi seorang penyanyi, kini saya mencuba sesuatu yang baru apabila menyumbangkan suara untuk watak Ummi dalam siri animasi ini.

“Saya cukup seronok dengan dunia baru ini yang tidak hanya memberikan hiburan kosong semata-mata kepada masyarakat. Setidak-tidaknya, ini juga tanggungjawab saya kepada khalayak untuk berkongsi perkara yang baik,” kata Nora yang ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung bicara, juara Bintang HMI 1991 ini menjelaskan dia dan suaminya sudah lama berhasrat untuk menerbitkan animasi berbentuk Islamik yang menerapkan nilai-nilai kekeluargaan.

Ditambah pula dengan statusnya sebagai ibu kepada tiga orang cahaya mata dan begitu dekat dengan keluarga, menyebabkan Nora terfikir untuk menghasilkan Ummi.

Semuanya bermula sekitar dua tahun lalu dan kata Nora, projek animasi Ummi hanya bermula selepas Johan menghasilkan album yang memuatkan lagu-lagu bercorak dakwah dan kerohanian menerusi Voices of Ummi.

“Sebelum menghasilkan Ummi, saya telah membuat penyelidikan dan melihat potensi animasi islamik seperti Ummi ini mampu pergi jauh.

“Apatah lagi, dalam pasaran animasi tempatan ketika ini, tidak banyak genre sebegini yang diketengahkan untuk tatapan masyarakat.

“Lalu, apabila peluang itu diberikan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) yang membantu dari segi dana dan perkhidmatan, kami tidak menunggu lama untuk menghasilkan animasi ini,” ujar Nora yang cukup terkenal dengan lagu-lagu balada seperti Di Persimpangan Dilema, Dendam Dalam Diam dan Menyemai Cinta Bersamamu ini lagi.

Tetapi kata Nora, dakwah yang ditonjolkan dalam Ummi bukanlah yang begitu ekstrem. Memandangkan sasaran utama animasi ini untuk kanak-kanak, maka, dakwahnya lebih lembut dan mudah dihayati oleh penonton.

Bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan tidak tersasar daripada jalan asalnya, Hud Hud Media menggunakan khidmat dua orang ustaz untuk melancarkan lagi proses penghasilan Ummi.

Tidak hanya bertindak sebagai pencetus idea, sumbangan Nora juga terletak kepada pencarian bahan dan jalan cerita yang ingin diketengahkan dalam setiap episod.

Selain watak Ummi, antara karakter yang ditampilkan dalam siri ini termasuklah Aliff, Ustaz Syakir, Putri, Uncle Maideen, Atan, Hana, Aiman dan watak kucing bernama Jojo.

Apa yang menariknya, Nora juga menampilkan tiga orang anaknya iaitu Mohd. Syakir Iman, Mohd. Syakir Alif dan Putri Nur Dahlia yang turut menyumbangkan suara untuk watak-watak Ustaz Syakir, Alidd dan Putri.

“Untuk menjadikan animasi ini lebih realistik, saya menggunakan suara kanak-kanak untuk watak-watak yang ditampilkan. Sebelum ini, kalau kita lihat ada watak muda yang dilakonkan oleh pelakon berusia.

“Tetapi saya tidak mahu menggunakan konsep sebegitu. Sebaliknya, saya memberi peluang kepada kanak-kanak yang kami pilih daripada sesi uji bakat yang dijalankan.

“Ternyata, bukan mudah untuk mencari bakat yang benar-benar mampu menepati karakter yang ditampilkan. Tetapi, dengan bakat yang kami ada ini, alhamdulillah, semuanya berjalan lancar seperti mana yang kami rancang,” ujar wanita berusia 39 tahun ini yang pernah diangkat sebagai Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik 1995.

Menyentuh tentang perkembangan Ummi pula, pemilik nama penuh Wan Nora Afiza Ariffin ini memberitahu buat masa ini Hud Hud Media sudah pun menyiapkan lapan episod daripada 26 episod untuk musim pertama.

Namun, ketika ditanya kepada Nora mengenai stesen yang akan menayangkan Ummi kelak, wanita peramah ini lebih selesa mengunci rapat mulutnya.

“Semuanya masih dalam perbincangan dan alhamdulillah, nampaknya ada petanda positif daripada stesen televisyen berkenaan yang berminat untuk menayangkan Ummi.

“Tetapi, lebih manis jika stesen televisyen berkenaan yang membuat pengumumannya nanti,” katanya sambil mengukir senyuman manis.

Kelainan yang diterapkan menerusi Ummi juga terletak kepada konsep muzikal yang julung kali diperkenalkan dalam animasi bersiri tempatan.

Untuk itu, jelas Nora, suaminya akan bertindak sebagai komposer dan penggubah lagu dalam menghasilkan lagu-lagu untuk siri animasi itu.

Dalam usaha Hud Hud Media menarik perhatian masyarakat menonton Ummi kelak, Nora memberitahu lagu-lagu baru akan ditampilkan dalam setiap episod.

“Tetapi, semuanya bergantung juga kepada jalan cerita kerana ada lagu-lagu yang akan dimainkan berulang dalam beberapa episod.

“Atas alasan itu, kami akan menerbitkan album runut bunyi Ummi secara bersiri agar lagu-lagu itu dapat dinikmati setiap masa. Sudah pasti sasaran kami adalah golongan kanak-kanak.

“Jika sambutan terhadap Ummi menggalakkan, kami akan menerbitkan musim keduanya dan berkemungkinan besar versi filemnya juga,” jelas Nora penuh optimis yang turut memberitahu Ummi juga mendapat kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sebagai permulaan, Nora dan suaminya bersyukur apabila salah sebuah lagu untuk animasi itu, Pedoman berjaya memenangi Lagu Nasyid Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik Ke-18, tahun lalu.

Malah, penjualan album Voices of Ummi juga cukup menggalakkan apabila sudah terjual melebihi 5,000 salinan dan kini diulang cetak untuk kali kedua.

Sementara itu, Johan yang ditemui pula berkata, pihaknya memang mahu mencari peluang perniagaan dalam usahanya untuk meluaskan pasaran Ummi.

Tidak terhad kepada penerbitan animasi semata-mata, Johan mahu melihat karakter itu berkembang dalam bentuk aplikasi permainan video, barangan kanak-kanak dan pelbagai barangan lain yang dapat mengukuhkan lagi jenama Ummi.

Apa yang penting kata Johan, jika ada pelabur yang berminat ia haruslah dilakukan dalam landasan syariah kerana pelaburan ini bukan hanya untuk di dunia tetapi juga sebagai bekalan di akhirat.

Jelas komposer lagu Jentayu ini lagi, dia berharap dengan pelaburan yang dilakukan untuk Ummi adalah untuk kebaikan semua pihak dalam jangka masa panjang.

Jika ada pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan Hud Hud Media, bolehlah hubungi talian 03-7875 5449 atau emel kepada johan@hudhudmedia.com.

Memperingati tokoh mangsa kekejaman Israel

February 17, 2012 by  
Filed under Ruang Bicara Agama

Comments Off

Sheikh Ahmed Yassin atau nama sebenarnya Sheikh Ahmed Ismail Hassan Yassin adalah nama yang cukup besar dalam perjuangan jihad di jalan Allah. Terutama mempertahankan Palestin – bumi suci ketiga umat Islam. Beliau umpama pahlawan Islam silam.

Hanya 40 hari selepas kematian Sheikh Ahmed Yassin seorang lagi pemimpin pejuang Hamas, Dr. Abdul Aziz Rantisi (kiri) mengikuti jejak mati syahid dibedil roket rejim Yahudi seperti Sheikh Ahmed Yassin.


 

Moga nama besar itu menikmati apa yang dijanjikan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang mati; bahkan mereka itu orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (al-Baqarah: 154)

Sheikh Ahmad Yassin syahid pada 22 Mac 2004, tarikh yang tidak akan dilupakan oleh sesiapa juga terutama rakyat Palestin.

Beliau adalah mangsa pembunuhan paling keji apabila ditembak dengan tiga bedilan roket dari helikopter Apache tentera Israel.

Peristiwa berdarah itu berlaku pada subuh hening sejurus Syeikh Ahmed Yassin keluar dari masjid setelah menunaikan solat Subuh.

Tindakan Israel itu memang cukup kejam kerana pemimpin Palestin itu hanya seorang tua yang lumpuh dan lemah. Pergerakannya hanya menggunakan kerusi roda selain mengalami pelbagai lagi keuzuran. Namun, pada Israel beliau dilihat sebagai ancaman kepada rejim zionis itu dan perlu dihapuskan dengan apa cara sekalipun.

Mengenang kembali peristiwa pembunuhan terkutuk itu, pasti ada yang mengalir air mata. Bagaimanapun, siapakah yang lebih mengalirkan air matanya setiap kali nama tokoh pejuang suci Islam ini disebut-sebut?

Sudah tentu mereka yang menyimpan kenangan sama-sama berjuang dengan Sheikh Ahmed Yassin.

Salah seorang daripada mereka ialah Ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Perundangan Palestin (PLC) – bertindak sebagai Pihak Berkuasa Palestin yang mempunyai 132 ahli yang dipilih dari Tebing Barat dan Gaza – Dr. Mohammed Shihab, 55.

Ketika ditemui Mega dalam kunjungannya ke Malaysia, baru-baru ini, Kelihatan wajah yang sayu apabila Mohammed diajukan mengenai hubungan dengan Sheikh Ahmed Yassin – pemimpin yang pengaruhnya sangat kuat terhadap seluruh umat Islam sehingga kini.

Dr. Mohammed adalah antara yang paling awal direkrut dalam satu gerakan jihad pertama, iaitu Hamas yang ditubuhkan oleh Sheikh Ahmed Yassin di Palestin untuk menentang rejim Israel.

“Saya dan allahyarham Sheikh (Ahmed Yassin) sama-sama berjuang. Cuma sudah rezeki dan takdir Allah, almarhum lebih dahulu masuk ke syurga Allah,” ujarnya.

Ini membuktikan Mohammed bukan calang-calang tokoh politik. Beliau sungguh bertuah kerana mempunyai kenangan yang hidup dan berjuang bersama-sama Sheikh Ahmed Yassin.

Dr. Mohammed berada di ibu negara sempena Festival Filem Palestin Kuala Lumpur (KLPFF) 2012 selama tiga hari yang berakhir pada 6 Februari lalu.

Festival itu telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mohammed yang berasal dari Bandar Gaza, Palestin ditemani dua lagi rakyat Gaza, iaitu Dr. Mahmoud Mohamad Alhirthani dan Dr. Fayik An Naouk yang kedua-duanya merupakan pensyarah di Universiti Al Aqsa, Gaza.

Dr. Mahmoud juga adalah Naib Pengerusi Persatuan Islam Jabalia Palestin bertindak sebagai penterjemah sepanjang mereka berada di Malaysia.

Menurutnya, Allah sahaja yang tahu azabnya tekanan perasaan yang mereka alami dalam hidup bagai di neraka dunia akibat 1,001 perbuatan kejam rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Tetapi semua tekanan dan air mata yang berlinang dengan sendirinya akan terhapus apabila kita berada dekat dengan almarhum Sheikh.

“Duduk bersama beliau dan mendengar nasihat serta pujukan beliau bagaikan seorang bapa yang memujuk anak-anaknya yang dalam kesedihan itu,” katanya.

Begitulah pentingnya peranan seorang pemimpin, apatah lagi seorang ulama, guru, seorang ayah seperti Sheikh Ahmed Yassin.

Sekalipun hanya berada dekat dengannya mampu membuatkan orang di sekeliling rasa tenteram dan selamat.

Namun mengimbas kembali sejarah perjuangan para pejuang muda Hamas itu, Mohammed berkata, sekembalinya dari Mesir setelah tamat pengajian dalam bidang farmasi, beliau terus menganggotai Gerakan Islam (Hamas).

“Bukan sahaja saya, malah ramai lagi yang pulang belajar dari Mesir, England dan lain-lain negara di dunia setelah bergelar doktor perubatan, pensyarah, peguam dan lain-lain jawatan terus menganggotai Hamas dengan Sheikh Ahmed Yassin sebagai mentor kami.

“Tugas utama kami ketika itu mengumpul senjata sebanyak mungkin bagi memperkuatkan lagi gerakan menentang Israel,” katanya.

Dilatih mengguna senjata

Walaupun serba kekurangan termasuk kesukaran mendapat bekalan senjata api, ia tidak melemahkan semangat juang para anggota Hamas.

Berbekalkan senjata yang ada, mereka giat berlatih dan mempelajari taktik-taktik peperangan melalui bekas anggota tentera Palestin yang pernah menganggotai gerakan pembebasan Palestin sebelum ini.

Sehinggalah ketika berlakunya detik dan tarikh hitam yang meragut nyawa pemimpin kesayangan, Sheikh Ahmed Yassin, Dr. Mohammed tidak berada di tempat kejadian.

Ketika itu, beliau berada di rumah. Berita itu diterima dengan hati yang remuk dan kesedihan yang tidak boleh diungkap melalui kata-kata.

Pemergian Allahyarham amat dirasai kerana beliau sangat akrab malah hubungan silaturrahim itu terjalin sebelum terbentuknya Hamas.

Sehinggakan Sheikh Ahmad Yassin ditahan dan dihukum penjara selama 13 tahun oleh Israel, Dr. Mohammed adalah satu-satunya individu yang mendapat kepercayaan sepasukan peguam untuk bertemu dan berbincang dengan Sheikh Ahmad Yassin di penjara.

“Para peguam meminta saya memujuk Sheikh Ahmed Yassin supaya bersetuju dengan usaha-usaha untuk membebaskan beliau daripada meringkuk dalam penjara.

“Beliau sudah tua dan dalam keadaan yang sangat lemah dan uzur. Maka adalah sangat zalim untuk orang yang dalam keadaan seperti ini dipenjara lalu pihak peguam merancang menjadikan keuzuran Sheikh Ahmed Yassin untuk layak menjalani rawatan dan berubat di luar negara.

“Mereka hendak memindahkan Sheikh ke mana-mana negara luar agar beliau tidak perlu ditahan dan dipenjara,” katanya.

Lalu Dr. Mohammed menemui Sheikh Ahmed Yassin dipenjara yang akhirnya menyaksikan beliau keluar dari penjara itu dengan muka yang kecewa dan hampa.

“Sheikh menolak bulat-bulat cadangan pihak peguam itu. Beliau enggan keluar dari penjara walau apa pun yang bakal terjadi dan saya sememangnya gagal walaupun puas memujuknya.

“Saya katakan beliau masih boleh memimpin para pengikutnya walaupun berada di luar negara sebagaimana kebanyakan para pemimpin dan pejuang Palestin sebelum ini,” katanya.

Sheikh Ahmed Yassin dengan tegas memberitahu beliau tidak akan sesekali meninggalkan Palestin, apatah lagi meninggalkan orang yang dipimpinnya.

“Bukan namanya seorang pemimpin yang sanggup meninggalkan rakyatnya ketika dirinya sangat diperlukan dan walaupun dipenjara namun saya tetap ingin berada bersama-sama dengan kamu semua di sini, di tanah air kita ini!

“Tidak akan saya tinggalkan kamu sekalipun kita sudah terpisah jasad dan nyawa,” katanya.

Demikianlah antara kata-kata yang tegas diungkapkan oleh Sheikh Ahmed Yassin kepada Mohammed.

Aisha Bhutta, Mualaf yang Berhasil Mengislamkan Keluarga dan 30 Temannya

February 16, 2012 by  
Filed under Ruang Bicara Agama

Comments Off

 Aisha Bhutta, yang juga dikenal sebagai Debbie Rogers, duduk dengan tenang di sofa di ruang depan rumah petak besarnya di Cowcaddens, Glasgow Skotlandia. Dinding rumahnya digantung dengan kutipan dari ayat Alquran, sebuah jam khusus untuk mengingatkan keluarganya waktu shalat dan poster Kota Suci Mekkah.

Mata biru Aisha penuh dengan keceriaan, dia tersenyum dengan cahaya keimanan yang ia miliki. Wajahnya yang merupakan wajah gadis Skotlandia yang kuat – ia masih tetap memiliki cita rasa humor – meskipun wajahnya tetap ditutupi dengan jilbab.

Bagi seorang gadis Kristen yang baik untuk masuk Islam dan menikah dengan seorang Muslim adalah sesuatu yang luar biasa cukup. Namun lebih dari itu, ia juga telah mengislamkan orang tuanya, sebagian besar sisa keluarganya dan setidaknya 30 teman dan tetangganya. Subhanallah.

Keluarganya adalah penganut Kristen yang keras di mana mereka secara teratur menghadiri pertemuan Salvation Army. Ketika semua remaja lainnya di Inggris mencium poster George Michael untuk mengucapkan selamat malam, Debbie Rogers alias Aisha punya foto Yesus di dinding kamarnya. Namun ia menemukan bahwa Kekristenan tidak cukup, ada terlalu banyak pertanyaan yang belum terjawab dan dia merasa tidak puas dengan kekurangan struktur disiplin untuk keyakinannya itu.”Masih ada yang membuat saya ragu untuk mematuhi daripada hanya melakukan doa ketika saya merasa seperti itu.”

Aisha pertama kali melihat calon suaminya, Muhammad Bhutta, ketika dia masih berusia 10 tahun dan merupakan pelanggan tetap di toko, yang dijalankan oleh keluarganya. Dia sering melihat pria itu secara sembunyi-sembunyi, sewaktu melakukan shalat. “Ada kepuasan dan kedamaian dalam apa yang dia lakukan. Dia bilang dia seorang Muslim. Saya berkata: Apa itu seorang Muslim?

 

Kemudian dengan bantuan Mohammad Bhutta ia mulai mencari lebih dalam tentang Islam. Pada usia 17 tahun, ia telah membaca seluruh Alquran dalam bahasa Arab. “Semua yang saya baca”, katanya, “Semuanya bisa diterima.”

Dia membuat keputusan untuk masuk Islam pada usia 16 tahun. “Ketika saya mengucapkan kalimat syahadat, rasanya seperti beban besar saya telah terlempar. Saya merasa seperti bayi yang baru lahir. “

Masuk Islamnya dirinya tidak serta merta orang tua Muhammad Bhutta setuju mereka untuk menikah.

Namun, orang tua Muhammad menentang mereka menikah. Mereka melihat dirinya sebagai seorang wanita Barat yang akan memimpin putra sulung mereka dengan kesesatan dan memberikan nama keluarga yang buruk, ayah Muhammad percaya, dirinya “musuh terbesar.”

Namun demikian, pasangan ini tetap menikah di masjid setempat. Aisha memakai baju yang dijahit oleh ibu Muhammad dan saudaranya yang menyelinap ke upacara perkawinan melawan keinginan ayahnya yang menolak untuk hadir.

Nenek Muhammad-lah yang membuka jalan bagi sebuah ikatan pernikahannya. Neneknya tiba dari Pakistan di mana perkawinan ras campuran bahkan sangat tabu, dan bersikeras untuk bertemu Aisha. Dia begitu terkesan oleh fakta bahwa Aisha telah belajar Alquran dan bahasa Punjabi dan dia yakin, perlahan-lahan, Aisha akan menjadi salah satu anggota keluarga.

Orang tua Aisha, Michael dan Marjory Rogers, meskipun tidak menghadiri pernikahan itu, lebih peduli dengan pakaian putri mereka yang sekarang dipakainya (tradisional shalwaar kameez) dan apa yang tetangga mereka pikirkan. Enam tahun kemudian, Aisha memulai misi untuk mengislamkan mereka dan seluruh keluarganya, serta adiknya. “Suami saya dan saya mendakwahkan Islam kepada ibu dan ayah saya, memberitahu mereka tentang Islam dan mereka melihat perubahan dalam diri saya sejak memeluk Islam.

Ibunya segera mengikuti jejaknya. Marjory Rogers mengubah namanya menjadi Sumayyah dan menjadi seorang Muslimah yang taat. Dia memakai jilbab dan melakukan shalat tepat pada waktunya dan tidak ada yang penting baginya, kecuali hubungan dengan Allah.

Ayah Aisyah terbukti lebih sulit untuk diajak masuk Islam, sehingga ia meminta bantuan ibunya yang baru saja masuk Islam (yang telah meninggal karena kanker).

“Ibu saya dan saya kemudian berbicara kepada ayah saya tentang Islam dan kami duduk di sofa di dapur pada satu hari dan ayahnya berkata: “Apa kata-kata yang Anda katakan ketika Anda menjadi seorang Muslim? Saya dan ibu saya hanya terkejut. “Tiga tahun kemudian, saudara Aisha mengucapkan syahadat melalui telepon – maka istri dan anak-anaknya menyusul, diikuti oleh putra kakaknya.

Hal ini tidak berhenti di situ. Keluarganya telah masuk Islam, Aisha mengalihkan perhatiannya untuk warga Cowcaddens. Setiap Senin selama 13 tahun terakhir, Aisha telah mengadakan kelas pelajaran Islam untuk wanita Skotlandia. Sejauh ini ia telah membantu orang masuk Islam lebih dari 30 orang. Para perempuan yag masuk Islam ditangannya berasal dari latar belakang yang berbeda-beda. Trudy, seorang dosen di Universitas Glasgow dan mantan Katolik, menghadiri kelas Aisha justru awalnya secara murni karena ia ditugaskan untuk melakukan penelitian.

Tapi setelah enam bulan mengikuti kelas pelajaran Islam yang Aishah bikin dia memutuskan untuk masuk Islam, dan memutuskan bahwa agama Kristen itu penuh dengan “inkonsistensi logis”.

“Saya tahu dia mulai terpengaruh oleh pembicaraan saya”, Aisha mengatakan.

Suaminya, Muhammad Bhutta, tampaknya tidak begitu terdorong untuk mengislamkan pemuda Skotlandia untuk menajdi saudara muslim. Dia kadang-kadang membantu di restoran keluarga, tetapi tujuan utamanya dalam hidup adalah untuk memastikan lima anak-anaknya tumbuh sebagai Muslim yag baik.

Putri tertuanya, Safia, hampir 14 tahun, juga mengikuti jejak ibunya mendakwahkan Islam. menolak untuk tempat merekrut dirinya. Suatu hari Safia bertemu dengan seorang wanita di jalan dan membantu membawa belanjaannya, wanita itu kemudian menghadiri kelas Aisyah dan sekarang menjadi seorang Muslim.

“Saya bisa jujur mengatakan saya tidak pernah menyesal”, Aisha mengatakan masuk Islamnya dirinya. “Setiap pernikahan memiliki pasang surut dan kadang-kadang Anda perlu sesuatu untuk menarik Anda keluar dari kesulitan apapun. Tapi Nabi Muhammad berkata: “Setiap kesulitan ada kemudahan.” Jadi, ketika Anda akan melalui tahapan yang sulit, Anda bekerja untuk itu kemudahan akan datang. “

Muhammad suaminya lebih romantis: “Saya merasa kami sudah saling kenal selama berabad-abad dan seakan-akan tak pernah menjadi bagian dari yang lain. Menurut Islam, Anda tidak hanya mitra seumur hidup, Anda bisa menjadi mitra di surga juga, selama-lamanya. Ini sesuatu hal yang indah, anda tahu itu.”

sumber: eramuslim.com dan Utusan Online

Jauhi dosa zina

February 15, 2012 by  
Filed under Ruang Bicara Agama

Comments Off

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

SETIAP kali menjelangnya Hari Valentine atau Hari Kekasih, kita akan dihidangkan dengan berita-berita tangkapan khalwat yang menghiasi dada akhbar dan kaca televisyen.

Serbuan pihak jabatan agama dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam terhadap hotel-hotel, rumah tumpangan dan pusat hiburan tidak pernah diinsafi oleh segelintir masyarakat termasuklah yang beragama Islam. Semuanya kerana mahu meneruskan aktiviti maksiat dengan alasan meraikan Hari Kekasih bersama insan tercinta.

Batasan agama dan pertimbangan dosa-pahala diketepikan demi menyemai cinta bersulam nafsu. Bukan sahaja sambutan Hari Kekasih ini boleh menjejaskan akidah umat Islam, ia turut mengundang kepada gejala yang tidak sihat seperti perzinaan.

Para ulama secara sepakat telah meletakkan zina sebagai dosa besar. Ia berlaku apabila seseorang itu melakukan persetubuhan tanpa ikatan perkahwinan yang sah.

Zina adalah sebuah dosa yang keji dan tercela sehingga disediakan hukuman berat kepada pelakunya di dunia dan akhirat.

Berkata Imam Ibnu Hajar Al-Haytami: “Zina mempunyai beberapa martabat. Berzina dengan wanita ajnabi yang tidak bersuami dikira sebagai dosa besar. Dosa tersebut dikira lebih besar lagi sekiranya dilakukan dengan wanita ajnabi yang telah mempunyai suami.

“Lebih besar daripada itu apabila seorang berzina dengan mahramnya sendiri. Perbuatan zina seorang yang pernah berkahwin lebih keji dari orang belum pernah berkahwin berdalilkan hukuman had yang berbeza antara keduanya.

“Zina yang dilakukan oleh orang tua lebih keji dari zina yang dilakukan oleh orang muda kerana akalnya lebih sempurna. Zina yang dilakukan oleh orang merdeka dan orang alim lebih keji daripada zina yang dilakukan oleh seorang hamba dan orang yang jahil.” (rujuk Az-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair).

Hikmah di sebalik pengharaman zina adalah terlalu banyak. Antaranya ia boleh merosakkan hubungan kekeluargaan. Tidak ada orang yang mempunyai fikiran yang waras sanggup membiarkan ahli keluarganya berzina dengan orang lain.

Seorang yang melakukan hubungan zina juga akan hilang rasa bahagia berumahtangga kerana dia akan lebih berminat berpeleseran di luar berbanding dalam kediamannya sendiri.

Zina yang dilakukan bakal membiakkan pelbagai penyakit bahaya seperti sifilis dan Aids yang membawa kepada kematian. Zina juga membawa kepada lahirnya anak-anak yang tidak berbapa.

Statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini mendedahkan jumlah anak tidak sah taraf kini mencecah 234,647 orang dalam tempoh empat tahun (2006-2010).

Jumlah itu membabitkan 80,979 atau 34.5 peratus ibu beragama Islam dan mewakili sembilan peratus daripada keseluruhan 2,481,276 kelahiran dalam tempoh berkenaan. Bahkan, anak-anak tidak berdosa ini menerima nasib malang apabila dibuang dengan hina. Semuanya ini untuk menutup aib akibat perbuatan terkutuk berzina.

Justeru, Allah SWT memberikan amaran supaya menjauhi zina melalui firman-Nya yang bermaksud: Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk. (al-Israk: 32)

Dalam ayat di atas, Allah SWT bukan sahaja mengharamkan perzinaan, bahkan Dia juga mengharamkan semua perkara yang boleh menyebabkan berlakunya perzinaan sama ada daripada segi perkataan, perbuatan dan sebagainya.

Justeru, kita hendaklah menjaga batasan aurat ketika berada bersama dengan rakan-taulan dan ahli keluarga. Percampuran lelaki dan perempuan dalam majlis-majlis perlu diberikan perhatian agar tidak menimbulkan gejala yang tidak sihat.

Pakaian yang dipakai tidak boleh menampakkan susuk tubuh yang mungkin boleh menarik perhatian dan mengganggu perasaan orang lain.

Majikan juga perlu berperanan memberi kesedaran dan bertindak dengan tegas kepada kakitangannya termasuklah dalam menangani gangguan seksual di tempat kerja.

Mereka yang terjerumus dalam lembah perzinaan perlu bertaubat dengan segera. Tinggalkan dosa yang lalu dan mulakan hidup baru yang bersih dan suci dari segala bentuk maksiat. Allah SWT tetap membuka pintu keampunan-Nya terhadap mereka yang benar-benar bertaubat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Furqan: 68-70)

Alam barzakh menurut Ibnu Taimiyyah

February 14, 2012 by  
Filed under Ruang Bicara Agama

Comments Off

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Kita menyambung kalam tentang hakikat alam barzakh yang menjadi punca salah faham sesetengah kelompok dalam beberapa isu. Sekali lagi kita memetik pandangan tokoh yang sering menjadi rujukan aliran yang kontroversi iaitu Ibnu Taimiyyah.

Ibnu Qayyim murid Ibnu Taimiyyah, memuatkan dalam kitab al-Ruh penjelasan-penjelasan yang lengkap. Juga dinaqalkan fatwa penting Ibnu Taimiyyah seperti yang disebut dalam al-Fatawa al-Kubra.

Ibnu Taimiyyah ditanya mengenai orang hidup yang pergi menziarahi orang yang telah mati. Adakah mereka mengetahui tentang ziarah orang yang hidup? Adakah si mati mengetahui sesiapa yang mati selepasnya di kalangan kaum kerabatnya atau orang yang lain?

Maka beliau menjawab: “Segala puji bagi Allah. Ya, sebenarnya banyak athar yang menerangkan mengenai pertemuan dan pertanyaan mereka serta penayangan amalan orang-orang yang hidup kepada mereka yang telah mati.”

Antaranya kata beliau, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu al Mubarak, daripada Abu Ayyub al-Ansori. Beliau berkata: “Apabila nyawa seseorang Mukmin itu dicabut, maka hamba-hamba Allah yang telah mendapat rahmat (yang telah mati dahulu) bertemu dengannya seperti mana bertemunya orang yang datang membawa berita gembira di dunia ini.

“Maka mereka bersegera datang kepadanya dan bertanyakan khabar, lalu berkata sebahagian daripada mereka kepada yang lain: “Tunggulah saudaramu itu berehat dahulu, kerana dia sebenarnya dalam kesusahan yang amat (kesan kesakitan Sakarat al Maut).”

Berkata Abu Ayyub lagi: “(Selepas dia berehat) mereka bersegera datang kepadanya semula dan bertanya kepadanya, Apakah yang telah dilakukan oleh si lelaki itu?” dan “Apakah yang telah dilakukan oleh si perempuan itu, adakah dia telah berkahwin?”

Adapun mengenai si mati mengetahui orang hidup, yang datang menziarahinya dan memberi salam ke atasnya, maka telah disebut dalam hadith Ibnu Abbas r.a, beliau berkata: “Telah bersabda Rasulullah SAW tidaklah seseorang itu melalui kubur saudaranya yang Mukmin yang pernah dikenalinya di dunia, kemudian dia memberi salam kepadanya, melainkan saudaranya itu (yang telah mati) mengenalinya dan menjawab salamnya.”

Ibnu Mubarak berkata: “Hadis ini telah thabit daripada Nabi SAW dan disahihkan oleh Abdul Haq, pengarang Kitab al-Ahkam“. (Majmu’ Fatawa Ibnu Taimiyyah, 24:331)

Dalam bahagian lain pula, Sheikh Ibnu Taimiyyah ditanya: “Adakah si mati mendengar pertuturan orang yang menziarahinya dan melihat orang itu? Adakah rohnya kembali ke dalam jasadnya pada ketika itu, ataupun berlegar-legar di atas kuburnya pada waktu itu dan waktu yang lain? Adakah rohnya berkumpul bersama roh-roh ahli keluarga dan kaum kerabatnya yang mati sebelumnya?”

Maka beliau menjawab: “Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Ya! Mayat itu mendengar semuanya, seperti yang telah thabit di dalam Sohihain (Bukhari dan Muslim), daripada Nabi SAW, baginda SAW bersabda: Mayat mendengar bunyi sepatu mereka yang hidup ketika mereka beredar dari kubur.

Kemudian beliau menyebut beberapa hadis lain yang sehubungan dengan makna itu. Setelah itu, beliau berkata: “Dalil-dalil ini dan yang sama dengannya, menerangkan kepada kita bahawa mayat mendengar seluruh pertuturan orang yang hidup.”

Tidaklah semestinya mayat itu sentiasa mendengar pertuturan yang diucap, tetapi mereka mendengarnya pada suatu ketika dan tidak pada masa yang lain.

Keadaannya sama seperti yang berlaku kepada orang yang hidup. Kadang kala mereka mendengar pertuturan orang yang hidup. Kadang-kadang mereka juga tidak mendengar apa yang dipertuturkan kepada mereka kerana suatu penghalang yang menghalangnya.

Pendengaran itu adalah pendengaran pengetahuan (hanya bertujuan memberikan maklumat) yang tidak menghasilkan sebarang balasan.

Ia juga bukannya pendengaran yang dinafikan melalui firman Allah SWT: Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaran-ajaranmu. (al-Naml: 80)

Makna pendengaran yang dikehendaki daripada ayat ini adalah penerimaan dan menjunjung perintah.

Sesungguhnya Allah SWT mengumpamakan orang kafir seperti mayat yang tidak dapat menjawab seruan orang yang menyerunya dan juga seperti binatang-binatang yang mendengar suara-suara akan tetapi tidak memahami maknanya.

Sekalipun mayat boleh mendengar pertuturan orang yang hidup dan memahami maknanya. Tetapi mereka tidak boleh menjawab seruan orang yang menyeru dan tidak boleh melaksanakan perkara yang disuruh dan yang dilarang.

Maka tidak ada manfaat perintah dan larangan bagi mereka. Begitu juga dengan keadaan orang kafir. Mereka tidak langsung memberikan reaksi (tidak langsung mendapat manfaat dengan suatu suruhan dan larangan) apabila disuruh mahupun dilarang daripada melakukan sesuatu, walaupun dia mendengar pertuturan itu dan memahami maknanya.

Ia sebagaimana maksud firman Allah SWT di dalam al-Quran: Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Dia menjadikan mereka dapat mendengar. (al-Anfaal: 23)

Sumber : Utusan Online

Bagaimana Menambah Nikmat Allah

February 13, 2012 by  
Filed under Ruang Bicara Agama

Comments Off

Nikmat itu terbahagi tiga:

1. Nikmat yang dikecapi dan disedari oleh hamba.

2. Nikmat mendatang yang diidamkan oleh hamba.

3. Nikmat yang dikecapi oleh hamba tetapi tidak disedarinya.

Apabila Allah ingin menyempurnakan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya, Dia akan mengenalkan (kepada hamba tersebut) nikmat yang dikecapinya sekarang kepada hamba tersebut dan mengurniakan kepadanya sifat syukur.

Syukur itu akan mengikat nikmat tersebut agar tidak hilang. Sesungguhnya nikmat hilang dengan perlakuan maksiat dan diikat dengan ketaatan.

Kemudian Allah akan menunjukkannya jalan amal agar dia mendapat nikmat yang dinantikan.

Kemudian Allah akan menunjukkan kepadanya jalan mati (yang tidak bersambung kepada amal) dan menjauhkannya dari jalan itu. Allah akan menunjukkannya cara agar dia menjauhi jalan itu.

Apabila dia menyempurnakan semua itu, Allah akan memperkenalkannya terhadap nikmat yang dikecapinya sekarang tetapi tidak beliau menyedarinya.

Diceritakan bahawa seorang Badwi masuk menemui Harun ar-Rasyid lalu berkata: “Wahai Amirul Mu’minin. Moga-moga Allah mengekalkan nikmatmu sekarang dengan kamu sentiasa mensyukurinya. Moga-moga Allah mengurniakan nikmat yang kamu harapkan dengan kamu bersangka baik terhadap-Nya dan sentiasa mentaati-Nya. Moga-moga Allah akan mengenalkanmu kepada nikmat yang kamu kecapi sekarang tetapi kamu tidak mengetahuinya agar kamu mensyukurinya.” -Ibnul Qayyim al-Jauzi

Ketua negara Islam kena kuasai semua bidang

February 12, 2012 by  
Filed under Ruang Bicara Agama

Comments Off

Tugas kepemimpinan kini semakin kompleks yang memerlukan pemimpin negara Islam tidak hanya memiliki ilmu kerohanian tetapi pengetahuan serta kemahiran dalam pelbagai bidang untuk membolehkan mereka mempertahankan keselamatan dan kesejahteraan umat seperti disyariatkan agama.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pemimpin umat harus memiliki kedua-dua cabang ilmu pengetahuan berkenaan kerana Islam tidak hanya terbatas kepada kerohanian tetapi adalah gaya hidup meliputi keseluruhan aktiviti manusia dengan berpandukan al-Quran serta hadis.

“Pemimpin hari ini tidak memadai sekadar mampu membuat petikan daripada al-Quran serta hadis dan memberikan penterjemahannya, tetapi mesti berilmu pengetahuan dalam bidang lain supaya memahami keperluan berkaitan yang akan memberi sumbangan penting kepada keselamatan, kesejahteraan, kestabilan, keamanan, kemakmuran dan kebajikan umat.

“Pemimpin tidak dapat menerajui umat dan negara dengan baik kerana hanya menumpu kepada salah satu cabang berkenaan, terutama dalam keadaan dunia yang huru-hara kini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Kepemimpinan dan Perubahan Sosial dalam Dunia Islam: Prospek dan Cabaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.

Sebagai contoh, Dr Mahathir berkata, pemimpin harus memastikan keselamatan rakyat dipertahankan dengan kemahiran ketenteraan dan keupayaan mencipta senjata canggih terbaru yang memerlukan kemajuan penyelidikan dan pembangunan serta penggemblengan ilmu dalam pelbagai bidang saintifik.

Akibat tiada keupayaan menghasilkan senjata berikutan tidak memiliki ilmu diperlukan, katanya, ada negara Islam kini lemah dan tidak berupaya mempertahankan diri sehingga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar membeli senjata pada kualiti tidak setanding daripada pihak lain.

Dalam konteks ini, Dr Mahathir berkata, umat Islam memerlukan sistem pendidikan bagus yang mendedahkan mereka kepada semua bidang ilmu pengetahuan mencakupi kedua-dua cabang keagamaan dan juga bukan kerohanian, bagi melahirkan pemimpin sedemikian.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara peranan pertama terpenting perlu dilakukan pemimpin ialah mewujudkan peluang pekerjaan untuk memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat, seperti dilakukan kerajaan negara ini sejak merdeka.

Dakwah Nabi Nuh penuh cabaran

February 11, 2012 by  
Filed under Ruang Bicara Agama

Comments Off

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

 

Cabaran dan tentangan dalam kerja dakwah adalah sunnatullah yang turut berlaku pada para nabi sebelum kita. – Gambar hiasan

FIRMAN Allah SWT: Nuh berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka telah menderhakaiku dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka, Dan melakukan tipu-daya yang amat besar.

Dan mereka berkata: Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwwa’, yaghuts, ya’uq dan nasr. Dan sesudahnya mereka menyesatkan kebanyakan (manusia); dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kesesatan. (Nuh: 21-24)

Mukadimah

Allah SWT menceritakan tentang Nabi Nuh a.d bahawa baginda mengaku kepada Tuhan Yang Maha Esa Mengetahui dan tidak tersembunyi satu zarah pun dari pengetahuan-Nya bahawa setelah menggunakan segala media dan cara yang kadang-kadang merangkumi dorongan, peringatan dan sebagainya, kaumnya tetap melakukan pendustaan dan penderhakaan dan mengikut hamba-hamba dunia yang lalai terhadap perintah Tuhan, bahkan terpedaya dengan harta dan anak.

Mereka mengatakan: “Janganlah kita meninggalkan tuhan-tuhan yang disembah oleh kita dan sesuatu yang disembah oleh nenek moyang kita terdahulu.”

Tidak menghairankan jika berhala-berhala itu telah menyesatkan ramai manusia sehingga berdoalah Nabi Nuh a.s kepada Tuhannya agar ditimpa kecelakaan ke atas mereka: “Ya Tuhanku! Hinakanlah kaum yang zalim itu, dan janganlah Engkau tambah mereka selain kesesatan.”

Firman Allah SWT: Nuh berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka telah menderhakaiku dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka.

Al-Mawardi memetik pendapat ahli tafsir yang berkata: Bahawa Nabi Nuh a.s. hidup selama 950 tahun berdakwah kepada kaumnya sedangkan mereka berterusan dengan kufur dan derhaka.

Seterusnya Ibn Abbas berkata: Nabi Nuh mengharapkan agar anak yang lahir daripada bapa mengikut agamanya. Tetapi malangnya sehingga sampai kurun ke-7, mereka masih berdegil.

Akhirnya Nabi Nuh berdoa kepada Allah dan berlakulah taufan serta bah besar. Nabi Nuh hidup selepas taufan selama 60 tahun sehingga membiaklah keturunan manusia.

Al-Hasan berkata: Kaum Nuh bercucuk tanam dua kali sebulan.

Berkenaan ayat ini seolah-olah menggambarkan kepada kita betapa peritnya menyampaikan risalah Allah lebih-lebih lagi kepada penentangnya secara terang-terangan mengingkari dan memusuhinya.

Dengan sebab itu tidak hairan bila dibaca sirah dan sejarah para nabi dan rasul yang menghadapi pelbagai tribulasi sehingga ada yang terbunuh dipukul, didera, di azab dan diseksa.

Tidak kurang pula yang terpaksa berhijrah untuk mempertahankan agamanya serta meninggikan syiar agama Islam.

Firman Allah SWT: Dan melakukan tipu daya yang amat besar.

Iaitu tipu daya yang begitu dahsyat dan kalimah yang digunakan menggambarkan amat besar jenayah maksiat mereka.

Ada dua pendapat:

n Apa yang mereka sekutukannya dengan Allah daripada isteri dan juga anak seperti pendapat al-Kalbi.

n Ucapan pemimpin mereka terhadap pengikut mereka menggesa supaya tidak meninggalkan tuhan-tuhan seperti wuddan dan suwa’. Inilah pendapat Muqatil.

Sifat manusia apatah lagi yang berada di lembah maksiat amat mudah melakukan dosa. Justeru, keperluan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah dengan istighfar serta menginsafi dosa-dosa yang lalu seterusnya menjadikan muhasabah sebagai keperluan utama dalam hidup sudah pasti membuahkan natijah yang baik dan dapat mencapai mardhatillah.

Al-Maraghi berkata: Mereka mengadakan tipu daya yang besar sehingga mereka sanggup memperdayakan agama dan memalingkan manusia daripadanya dengan pelbagai cara serta bercita-cita mencelakakan Nabi Nuh a.s.

Firman Allah SWT: Dan mereka berkata: Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwwa’, yaghuts, ya’uq dan nasr.

Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Ibn al-Mundhir dan Ibn Mardawayh, daripada Ibn Abbas yang berkata: Berhala-berhala ini kemudiannya menjadi berhala-berhala yang disembah oleh bangsa Arab.

Wadd berhala yang disembah oleh Bani Kalb, Suwa’ berhala Bani Hudail, Yaguth berhala Bani Ghutayf yang tinggal di kawasan pinggiran Saba’, Ya’uq berhala Bani Hamdan dan nasr berhala Bani Himyar Ali Dhu’l Killa.

Berhala-berhala sembahan orang Arab

 Sementara itu, terdapat berhala-berhala lain yang disembah oleh beberapa kaum:

Lata: Berhala Bani Thaqif di Taif.

‘Uzza: Berhala Bani Sulaym, Ghatafan dan Jusham.

Manat: Berhala Khuza’ah di Qudayd.

Isaf: Berhala penduduk Mekah.

Na’ilah: Berhala penduduk Mekah.

Hubal: Berhala penduduk Mekah dan ia merupakan berhala yang paling dimuliakan oleh mereka. Oleh sebab itu, ia diletakkan di atas Kaabah.

Berhala-berhala yang disebutkan di atas bukanlah berhala yang menjadi sembahan mereka tetapi maksud di sini adalah mereka mengambil nama-nama ini untuk dijadikan sebagai nama-nama berhala mereka. (lihat Tafsir Ibn Kathir 8/302)

Syed Qutub berkata: Itulah tuhan besar yang terus disembah pada zaman jahiliah selepas mereka hingga zaman kerasulan Muhammad SAW. Demikianlah pemimpin yang sesat dan menyesatkan itu membina pelbagai berhala dalam rupa bentuk dan pelbagai nama mengikut kecintaan dan kegilaan yang wujud dalam masyarakat jahiliah.

Mereka mengumpulkan pengikut dan berbangga dengan berhala mereka serta terus berada dalam kesesatan.

Firman Allah SWT: Dan sesudahnya mereka menyesatkan kebanyakan (manusia); dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kesesatan.

Ibn al-Jauzi berkata: Ada dua tafsiran ulama:

n Berhala-berhala telah menyesatkan ramai manusia dengan menyembahnya.

n Pembesar mereka telah menyesatkan ramai manusia.

Al-Mawardi berkata: Berkenaan dengan orang zalim menjadi bertambah sesat ada dua tafsiran:

n Kecuali dengan azab. Inilah pendapat Ibn Bahr.

n Kecuali fitnah dengan harta dan anak.

Ibn Kathir berkata: Iaitu semua berhala yang mereka sembah telah banyak menyesatkan orang ramai.

Sembahan berhala itu masih lagi berlanjutan sehingga zaman sekarang ini seperti terdapat di negeri Arab dan selain Arab serta seluruh lapisan manusia.

Syed Qutub berkata: Sebagaimana yang dilakukan oleh setiap pemimpin yang sesat meminta orang ramai menyembah berhala seperti batu, tokoh dan ideologi semuanya mempunyai tujuan yang sama iaitu menghalang dakwah Allah SWT dan menjauhkan orang ramai dan para pendakwah dengan pelbagai tipu daya yang besar.

Penutup

Di sini terdetiklah dalam hati Nabi Nuh a.s. untuk berdoa kepada Allah SWT: “Dan janganlah Engkau tambahkan sesuatu kepada orang-orang yang zalim selain kesesatan.”

Itulah doa yang terbit daripada hati rasul yang berjuang sekian lama, menderita sekian banyak dan berusaha dengan segala cara dan akhirnya sedar tiada kebajikan dalam hati manusia yang zalim, pelampau dan degil.

Kisah ini sedikit sebanyak mengajar kita betapa pendakwah sentiasa menghadapi pelbagai tribulasi dan ujian dalam menyampaikan risalah Allah SWT.

Justeru, sewajarnya sentiasa bergantung kepada Allah, solat, berdoa, beriltizam dan membina jaringan hubungan ukhuwah Islamiah sesama pendakwah dan juga mereka yang mempunyai kuasa dan ilmu.

Next Page »