Dr Asri: Dua formula selesai isu demo UPSI

January 2, 2012 by  
Filed under Lain Lain Berita

Comments Off

SHAH ALAM, 2 Jan.  - Kerajaan perlu mengadakan satu suruhanjaya bagi menyiasat kontroversi terbaru membabitkan perhimpunan menuntut kebebasan akademik di pekarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) semalam yang bertukar ganas, kata Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Selain itu, pemerhati politik dari Universiti Sains Malaysia ini juga menyarankan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, yang sebelum ini menjadi fokus isu-isu generasi muda dan penuntut universiti, agar mengadakan satu pertemuan antara polis dan mahasisawa yang terbabit dalam perhimpunan bagi mencari jalan penyelesaian.

Asri berkata, beliau telah memberi pendapat itu kepada Saifuddin semalam, beberapa jam selepas insiden di pintu masuk utama Upsi pada awal pagi tahun baru 2012.

“Saya juga telah beri pendapat tadi (semalam) kepada Datuk Saifuddin agar berjumpa dengan ketua operasi polis dan pihak pelajar secara tertutup.

“Siasat. Bawa peguam yang baik untuk bersoal jawab. Mungkin hakikat sebenar dapat ditemui,” kata bekas Mufti Perlis ini dalam satu kenyataannya awal pagi ini.

Laporan media menyebut beberapa pelajar pusat pengajian tinggi tercedera manakala 17 orang ditahan polis. Bagaimanapun kesemua mereka yang ditahan telah dibebaskan petang semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Shukri berkata dakwaan yang tersebar di beberapa blog mengenai kecederaan dua anggota SMM akibat dipukul Pasukan Simpanan Persekutuan adalah tidak benar dan merupakan fitnah.

Bagaimanapun tindakan polis dikritik beberapa pihak.

Peguam-peguam yang mewakili mahasiswa terbabit bercadang mengadakan tindakan undang-undang.

Asri yang kini merupakan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford berkata, bukan semestinya pihak berkuasa bersetuju dengan tuntutan kumpulan mahasiswa yang mengadakan perhimpunan, tetapi mereka tidak wajar diperlakukan sedemikian.

“Jika mahu tahan, tahan dengan prosedur yang betul, bukan pukul. Menindas mereka hanya membangkitkan sentimen kebencian kepada pihak kerajaan yang nanti tidak dapat diubati lagi.

“Kena ingat apa yang berlaku di Tunisia.

Suruhanjaya siasatan perlu dibuat. Saya di UK, diberikan pelbagai maklumat dari pelbagai pihak. Ada yang sokong, ada yang marah,” katanya yang turut mengulas isu ini menerusi Twitter semalam.

Tambah beliau, “saya juga menjemput sekali lagi anggota polis di mana sahaja, membaca surat terbuka saya kepada polis yang saya tulis beberapa bulan lepas.”

“Mungkin ada yang boleh diambil manfaat. Saya sedar polis juga ada tanggungjawab mereka, tapi kena cermat dan teliti,” katanya lagi.

Surat itu disiarkan oleh beberapa portal pertengahan tahun lalu ketika isu perhimpunan Bersih 2.0 hangat diperkatakan.

Sambil berkata beliau terkejut melihat beberapa mahasiswa yang menyertai demonstrasi tercedera, Asri berkata, jika terbukti pihak polis yang memukul mereka, ia sesuatu yang malang bagi negara.

“Apa pun kena siasat siapa yang salah,” kata beliau sambil menambah, “saya berpendapat golongan terpelajar mesti diberi ruang bersuara dengan syarat aman daripada (kejadian) rusuhan.”

“Jika mereka diganggu atau dicederakan, ia petanda kezaliman sesuatu pemerintahan,” katanya lagi.

Rakyat diminta beri perhatian pelbagai pendedahan mengenai Ketua Pembangkang

January 2, 2012 by  
Filed under Lain Lain Berita

Comments Off

KUALA LUMPUR: Majoriti pemimpin yang sebelum ini dianggap sebagai ‘orang kuat’ Datuk Seri Anwar Ibrahim kini yakin rakyat sudah arif tembelang sebenar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang hanya berjuang untuk kepentingan dirinya.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari, berkata sudah tiba masa untuk rakyat memberi perhatian serius kepada pelbagai pendedahan yang dibuat dari semasa ke semasa mengenai Ketua Pembangkang itu termasuk yang terbaru daripada Raja Petra Kamarudin.

“Saya yakin ramai lagi akan setuju dengan kenyataan Raja Petra bahawa beliau (Anwar) sudah tidak lagi relevan dalam politik…, banyak peluang diberikan kepada Anwar tetapi dia tidak menunjukkan prestasi atau khidmat terbaik sebaliknya hanya pandai berpolitik.

“Jangan salahkan rakyat jika mereka menolak pemimpin yang hanya minat politik sebaliknya tidak memberi sebarang sumbangan atau khidmat yang cemerlang,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Kelmarin, Raja Petra berkata Anwar yang berdepan tuduhan liwat, tidak lagi relevan dan kerjaya politiknya akan berkubur jika pembangkang gagal menakluk Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, dengan keadaan pembangkang yang ‘huru-hara’ akibat masalah dalaman dan ketidakupayaan Anwar mempertahankan Selangor, peluang parti itu menang semakin tipis.

Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, berkata sebagai pemimpin yang mendapat mandat daripada rakyat, mereka tidak seharusnya menjadikan Putrajaya sebagai misi utama.
“Sebagai wakil rakyat kita harus bekerja dan menyumbang kepada pembangunan negara bukan setiap masa bercakap mengenai Putrajaya…, apatah lagi kini Raja Petra juga ada membuat pendedahan…, kini rakyat juga sudah tahu mengenai Anwar,” katanya.

Bekas peguam Anwar yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu, Datuk Zulkifli Noordin turut bersetuju dengan Raja Petra bahawa Anwar sudah tidak lagi relevan dan rakyat perlu menolaknya demi masa depan negara.

Bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong, berkata sejak 2004 apabila Anwar bebas dari penjara, PKR beralih menjadi parti yang hanya membela dan memperjuangkan agenda peribadinya malah siri jelajahnya ke seluruh negara bermula hari ini menjelang keputusan bicara kes liwatnya 9 Januari depan, membuktikan dia mempergunakan jentera parti untuk diri.

“Kes liwat adalah masalah peribadinya dan ia bukan isu parti tetapi mengapa perlu Anwar kerahkan seluruh jentera parti. Ini sebab mengapa semakin ramai meninggalkan parti itu.

“Bukti makin jelas ramai keluar PKR selepas Anwar yang melantik dirinya sebagai penasihat PKR, menggunakan kuasa veto dan memasukkan seluruh saudara maranya dalam pelbagai jawatankuasa kerja dan pimpinan pusat.

“Jadi tidak hairan mengapa Raja Petra yang sebelum ini menjadi pendukung Anwar kini turut menolaknya,” katanya.

Macam pernah tenguk saja adengan dan skrip drama ini masa BERSIH 0.2 – Tak malu ke tak ada modal dah ke??

January 2, 2012 by  
Filed under Featured, Lain Lain Berita

Comments Off

anwarandthegeng513“Rasanya macam pernah tengok lakonan begini” itu reaksi orang ramai bila menyaksikan gambar seorang pelajar pro pembangkang terbaring di katil hospital ‘kononnya’ dicederakan polis di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim Sabtu malam.

Di laman-laman sosial macam facebook dan twitter, ramai yang pakat gelak tengok gambar berlakon tak jadi itu, sebab mula-mula macam ‘nazak’ sangat, tapi pada Ahad sekeping gambar lagi nampak ketawa riang.

Memang sah ‘auta’. Sebab sebelum itu riuh puak-puak pembangkang menjerit kat facebook dan twitter kata mahasiswa nazak kena pukul dengan polis. Padahal yang sebenarnya cedera sebab rempuh pintu kaca sebuah klinik masa hendak melarikan diri bagi mengelak ditangkap polis.

Kejadian di UPSI yang kononnya untuk mendesak AUKU dimansuhkan memang sudah dijangka sebagai sebahagian dari rancangan nak buat gamat menjelang keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini.

Bagi yang ikut perkembangan politik dua tiga tahun terakhir ini, memang kenal sangat gaya pembangkang mencipta isu, mereka akan bermula dengan secara sengaja langgar undang-undang, kemudian apabila tindakan diambil pihak berkuasa, mereka berlakon jadi mangsa dan akhirnya pakat-pakat tuduh kerajaan zalim.

Ramai yang tentu dapat imbas kembali semasa demo Bersih tidak lama dulu bilamana Anwar terlantar macam teruk sangat di hospital kerana terkena gas pemedih mata di KL Sentral.

Sebab itu ada yang ketawa mendengar kisah drama di UPSI yang dianggap sebagai modus operandi ‘ yang macam pernah tengok’.

Kisahnya bermula apabila sekumpulan mahasiswa yang  diketahui ‘cukup mesra’ dengan Anwar serta PKR buat satu perhimpunan haram di luar pagar universiti tersebut.

Lebih 70 orang yang terdiri mahasiswa dari beberapa universiti sekitar Lembah Klang bukan sahaja tidak mahu bersurai bila diarahkan polis, bahkan ada di antara mereka sampai baring di tengah jalan semata-mata untuk menarik perhatian.

Menurut Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan dakwaan yang tersebar di beberapa blog mengenai kecederaan dua individu akibat dipukul Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) adalah tidak benar dan merupakan fitnah.

“Semasa perhimpunan itu, tiada anggota FRU dipanggil bertugas… hanya anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Tanjung Malim sahaja, dan ternyata blog berkenaan cuba membuat fitnah.

“Malah semasa menyuraikan perhimpunan haram itu, anggota kami tidak menggunakan sebarang kekerasan malah bertindak dengan sangat berhemah,” katanya pada sidang akhbar di Tanjung Malim pada Ahad.

Beliau berkata kecederaan anggota kumpulan mahasiswa itu adalah disebabkan rempuhan yang mereka lakukan sendiri, dan bukan dipukul polis seperti didakwa.

klinikMohd Shukri berkata pada awalnya, polis cuba menasihati kumpulan itu dan memberi masa selama 30 minit untuk bersurai, namun mereka tidak menghiraukannya malah bertindak lebih agresif.

“Mereka kemudian mara dan berbaring di atas jalan raya, mengganggu lalu lintas… polis terpaksa bertindak demi keselamatan awam menghalang perlakuan berkenaan, namun ia masih dilakukan dengan berhemah.

“Mereka terus lari lalu merempuh pula klinik berdekatan sehingga berlaku kerosakan pada premis itu dan kemudian polis menahan 17 penuntut pada masa tersebut,” katanya.

Jelasnya lagi, pihak berkuasa percaya kejadian itu didalangi pihak ‘tertentu’ berdasarkan cara pelajar tersebut ‘melawan’ arahan polis dengan agresif sekali.

“Saya percaya pastinya pihak tertentu di sebalik penganjuran perhimpunan itu, kita melihat cara pelajar agresif dalam ucapan, cara mereka bertindak… hingga sanggup tidur di atas jalan yang saya anggap keterlaluan hingga menyebabkan polis terpaksa buat tangkapan.,” ujarnya.

Salah seorang yang ditahan adalah Adam Adli, budak UPSI yang sebelum ini nak berlagak hero bikin panas apabila menurunkan bendera gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan  PWTC.

Menurut Mohd Shukri tiga laporan polis diterima Ahadi, iaitu satu laporan daripada seorang penuntut perhimpunan berkenaan yang melihat rakannya dipukul polis, manakala seorang lagi membuat laporan mengenai kecederaannya akibat rempuhan di klinik dan satu daripada pekerja klinik berkenaan yang dirempuh.

Katanya, perhimpunan itu adalah haram kerana tidak mempunyai permit manakala SMM merupakan sebuah persatuan yang tidak berdaftar.

Mohd Shukri juga menyeru semua penuntut agar tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti perhimpunan haram serta tidak sewenang-wenangnya memfitnah PDRM tanpa usul periksa kerana pihaknya akan bertindak tegas demi menjaga ketenteraman awam.

Kesemua 17 penuntut yang ditahan berusia antara 19 dan 24 tahun disiasat mengikut Seksyen 186, 145 dan 147 Kanun Keseksaan serta Seksyen 27(5) Akta Polis. Namun dibebaskan kemudian dengan jaminan polis petang tadi setelah diambil keterang

Selamat Tahun Baru 2012- Sambutan warna warni di Seri Menanti

January 1, 2012 by  
Filed under Berita Terkini, Lain Lain Berita

Comments Off

SERI MENANTI, 1 Jan. – Terbukti Malaysia sebuah Negara yang dikategorikan selamat apabila rakyatnya dapat menyambut kedatangan tahun baru 2012 dalam keadaan aman, makmur dan meriah sekali.

Walaupun sambutan tahun baru sering kali di sambut di pusat-pusat Bandar, tidak terkecuali juga dengan kawasan luar Bandar.

D-Four Entertainment dengan kerjasama Penyelaras Belia DUN Seri Menanti telah memilih Padang Awam Seri Menanti, Kuala Pilah bagi menyambut sambutan tahun baru kali ini dengan warga desa pula.

Menariknya sambutan di DUN Seri Menanti ini ialah kehadiran pengunjung dari luar daerah yang turut memenuhi padang semata-mata mahu merasai perbezaan sambutan kali ini di luar Bandar.

Sementara menunggu detik 12.00 malam, persembahan kebudayaan oleh artis tempatan antaranya Aiman Aziz, Farhad, Adda, Daus, Johan pertandingan karaoke peringkat DUN telah menghiburkan para hadirin.

Adam Tahir dan Nan, DJ terkenal Radio FM Negeri Sembilan turut memeriahkan konsert Karnival 1 Belia ‘Budi Bahasa Budaya Kita’.

ADUN Kawasan Seri Menanti, Dato’ Abd. Samad Ibrahim dan isteri turut serta dalam menyambut kehadiran tahun baru.

Kemuncak sambutan tahun baru ialah persembahan bunga api yang berwarna warni dan berakhir pada pukul 1.30 pagi tadi.

oleh: DudiAziz@n9kini.com

Rakyat Malaysia Diseru Realisasikan Masa Depan Lebih Baik Untuk Negara

December 31, 2011 by  
Filed under Lain Lain Berita

Comments Off

KUALA LUMPUR: 31 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi merealisasikan masa depan yang lebih baik untuk negara.

Najib berkata kejayaan bagi negara bukanlah sekadar mimpi, sebaliknya akan dapat dirangkul sekiranya semua pihak sanggup merancang dengan teliti dan bekerja keras bagi mencapainya.

“Tidak ada yang mustahil jika kita mampu mengimpikannya, sesungguhnya hari-hari yang terbaik kita masih berada di hadapan kita bukannya sudah tinggal dalam lipatan sejarah,” katanya dalam perutusan Selamat tahun Baru 2012 yang disiarkan dalam blog www.1Malaysia.com.my pada Sabtu.

Najib menyimpulkan 2011 merupakan tahun yang amat monumental kepada negara kerana ia telah menyaksikan lengkapnya “roll out” inisiatif dasar kerajaan di bawah payung Dasar Transformasi Nasional (DTN) (2011-2020) dan pengenalan siri keempat Rangka Rancangan Jangka Panjang Negara (RRJP) semenjak ia mula diperkenalkan pada tahun 1971.

DTN yang merupakan komponen terakhir dalam usaha merealisasikan Wawasan Kebangsaan untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, bermula dengan pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) diikuti Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta pelancaran Model Baru Ekonomi (NEM), Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Kesemua inisiatif dasar ini bukanlah sekadar pengumuman kosong mahupun tidak berpijak pada bumi yang nyata kerana jika dilaksanakan dengan betul dan mengikut jadual akan menyaksikan kemunculan sebuah Malaysia Baru”.

Malaysia Baru menurut Najib merupakan sebuah negara yang bukan sahaja maju daripada segi ekonomi dengan kemakmuran yang dikongsi setiap strata dan segmen rakyat tetapi juga sebuah watan dengan tradisi demokrasi serta perbezaan pendapat yang membina dan membugar.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan tetap komited dengan program islah dan pembaharuan dalam semua bidang dan aspek kehidupan bernegara kerana inilah kehendak dan aspirasi rakyat yang mahukan kehidupan yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.

“Inilah usaha demi generasi masa depan Malaysia yang berhak membesar dalam suasana harapan bukannya kemuraman. Kita tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang mahu menggagalkan matlamat mulia ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan percaya untuk membina sebuah Malaysia yang baru, negara tidak boleh terus terperangkap dengan bebanan sejarah lampau. Atas dasar itu, kata Najib, di bawah PTP bagi mengimbangkan Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Negara misalnya, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memansuhkan tiga proklamasi darurat yang berkuatkuasa semenjak lebih empat dekad yang lalu.

Dengan semangat yang sama, kerajaan juga telah mengumumkan pemansuhan beberapa Akta yang berkaitan Keselamatan dan Ketenteraman Awam seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan Seksyen 27 Akta Polis yang telah digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang menjamin kebebasan individu untuk berhimpun secara aman seperti yang diperuntukkan undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan, katanya.

“Usaha ini akan diteruskan dalam sesi Parlimen seterusnya pada tahun 2012 bagi memansuhkan ISA dan membentang rang undang-undang baru yang akan menggantikannya serta meminda AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan,” katanya.

Beliau berkata melalui bajet rakyat 2012 yang baru diluluskan Parlimen, kerajaan hari ini juga telah meneruskan tradisi negara berkebajikan yang telah menjadi amalan kerajaan yang memerintah semenjak merdeka lagi.

“Kita tidak pernah melupakan nasib warga luar bandar mahupun warga bandar, golongan berpendapatan rendah mahupun kelas pertengahan serta mereka yang berpendapatan tinggi, kita akan sentiasa membela untung nasib seluruh rakyat Malaysia dan akan terus prihatin terhadap denyut nadi dan aspirasi mereka,” katanya. - BERNAMA

Mesej ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ sempena sambutan tahun baru

December 31, 2011 by  
Filed under Lain Lain Berita

Comments Off

 SERI MENANTI, 31 Dis. – Sempena menyambut Tahun Baru 2012, Penyelaras Belia DUN Seri Menanti dengan kerjasama D-Four Entertainment telah menganjurkan Karnival 1 Belia dengan tema ‘Budi Bahasa Budaya Kita’.

Karnival 1 Belia yang dianjurkan dengan konsep santai ini akan memberi manfaat kepada masyarakat khususnya di DUN Seri Menanti di mana pelbagai peringkat umur berkumpul pada hari ini di Padang Awam Seri Menanti.

Antara kelebihan lain karnival ini ialah memberi manfaat kepada golongan belia berkaitan pentingnya budi bahasa, adab sopan, menjaga tingkah laku di samping menghormati orang tua.

Pelbagai aktiviti yang di atur pada hari ini antaranya Sukaneka Rakyat 3 Peringkat Umur dan Pertandingan Karaoke DUN Seri Menanti yang berakhir tengah hari tadi.

Karnival ini akan bersambung pada pukul 3.00 petang ini dengan Pertandingan Akhir Karaoke dan Sukaneka Peringkat JKKK DUN Seri Menanti pula.

Malam ini merupakan acara kemuncak Karnival dengan Persembahan Kebudayaan Belia DUN Seri Menanti, Gimik Pelancaran Single Album Aiman Aziz dan Konsert Bersama Artis Tempatan antaranya Adda, Daus AF, Aiman dan Farhad (Kamilah Bintang Astro) dan persembahan bunga api tepat jam 12 malam.

Karnival seumpama ini mendapat sokongan padu dari Dato’ Abd Samad Ibrahim, ADUN Kawasan Seri Menanti merangkap Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan.

Osbon juara MLM raih wang tunai RM350,000

December 31, 2011 by  
Filed under Lain Lain Berita

Comments Off

SHAH ALAM 31 Dis. – Kumpulan paling popular dalam Maharaja Lawak Mega (MLM), Osbon yang dianggotai oleh Os dan Abon menepati ramalan ramai apabila muncul juara sekali gus merangkul hadiah wang tunai RM350,000 pada final pertandingan itu di Stadium Melawati di sini malam tadi.

Mereka mengetepikan saingan terdekat iaitu kumpulan Boboi yang muncul naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM250,000 diikuti set meraih tempat ketiga dengan membawa pulang RM150,000.

Pada pertandingan peringkat separuh akhir di Johor Bahru, Johor pada 23 Disember lalu, Osbon dan Boboi mendahului semua peserta dengan masing-masing mendapat 72 markah diikuti Saehu (59), Syok (58) dan Pi Mai (49).

Sementara itu, kumpulan Syok menjadi pemenang keempat dengan meraih hadiah RM50,000 pada pertandingan yang disiarkan melalui saluran Astro Warna.

Pertandingan itu mengadili para pemenangnya menerusi 70 markah daripada para pengkritiknya manakala 30 markah lagi diperolehi menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton di rumah.

Tiga pengkritik tetap MLM ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan Zainal Abidin Hassan manakala pengkritik jemputan pada final pertandingan itu ialah pelakon Aaron Aziz.

Selain Osbon dan Boboi, MLM turut disaingi oleh dua lagi kumpulan iaitu SYOK yang dianggotai oleh Suhaimi, Ifa Raziah dan Arif Sudin dan Saehu (Eko, Bocil dan Vicha).

Nik Aziz ambil sikap membisu

December 31, 2011 by  
Filed under Lain Lain Berita

Comments Off

Enggan ulas kenyataan Hasan Ali sangkal mohon maaf di rumah MB

KOTA BHARU: 31 Dis – Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mengambil sikap berdiam diri berhubung kenyataan EXCO Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang menyangkal memohon maaf kepada pucuk pimpinan PAS ketika mengadakan pertemuan bersama kepemimpinan tertinggi parti itu, baru-baru ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan ketika ditanya mengenai Dr Hasan, sebaliknya hanya memberi isyarat tidak mahu memberi sebarang ulasan perkara itu selepas mengadakan kuliah Jumaat di sini, semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Dr Hasan menafikan beliau memohon maaf kepada pucuk pimpinan PAS mengenai kritikan terhadap dasar parti itu pada pertemuan bersama kepemimpinan tertinggi parti di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10, di sini, baru-baru ini.

Penafian itu sekali gus menolak kenyataan Nik Aziz bahawa Dr Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu mengemukakan permohonan maaf kepada pucuk pimpinan parti.

Dr Hasan dilaporkan berkata, soal beliau turun ke Kota Bharu untuk memohon maaf kepada pucuk pimpinan seperti dilaporkan media adalah tidak benar sama sekali.

Pertemuan di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan itu dihadiri Dr Hasan; Nik Aziz, bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Sementara itu, Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, sudah tiba masanya untuk Nik Aziz melepaskan jawatan parti atau bersara daripada politik kerana tidak lagi mampu membuat penilaian tepat terhadap isu berbangkit.

“Terbaru dalam kes Datuk Dr Hasan Ali. Dia tak minta maaf pun, tapi Nik Aziz kata dia minta maaf. Orang cakap lain dia faham lain. Jadi macam mana nak memimpin lagi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

“Sudah tiba masa untuk Nik Aziz berundur kerana keadaannya sekarang yang semakin uzur dan tidak lagi mampu mentadbir dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Dusuki Ahmad, apabila timbul sesuatu isu seperti ini, jelas ada pihak yang bercakap benar dan ada pihak yang berbohong.

“Namun melihat kepada rekod Nik Aziz sebelum ini beliau sering membuat keputusan yang lebih mengutamakan politik diri, mengatasi perkara lain termasuk aspek yang menyentuh soal kepercayaan dan iktikad,” katanya.

Tambahan RM20 juta

December 31, 2011 by  
Filed under Lain Lain Berita

Comments Off

PETALING JAYA: 31 Dis -  Kerajaan tanggung RM147j kos mansuh yuran.
Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukkan tambahan RM20 juta untuk membekal peralatan dan kemudahan bagi kegunaan pelajar apabila sesi persekolahan 2012 bermula minggu depan.
MUHYIDDIN  melihat kandungan buku teks ketika  mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Petaling Jaya, semalam.MUHYIDDIN melihat kandungan buku teks ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Petaling Jaya, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peruntukan tambahan itu membabitkan penyediaan 122,846 kerusi, 122,675 meja dan 24.4 juta buku teks.

“Bersesuaian dengan program Satu Murid, Satu Kerusi, Satu Meja dan Satu Set Buku Teks, kerajaan menyediakan peruntukan melengkapkan sekolah dengan pelbagai peralatan untuk keselesaan.

“Langkah ini antara usaha yang dilakukan untuk memastikan musim persekolahan tahun depan berjalan lancar,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun musim tengkujuh ketika ini menyebabkan peralatan untuk tiga sekolah di Pulau Tioman tidak dapat diserahkan mengikut jadual.

Beliau juga memaklumkan seramai 449,475 murid akan memasuki kelas Tahun Satu di seluruh negara, minggu depan, manakala seramai 437,475 pelajar akan menyambung pelajaran ke Tingkatan Satu di sekolah menengah.

Selain itu, katanya, sebanyak 26 sekolah rendah baru dibina dan 12 daripadanya akan beroperasi mulai Januari 2012, manakala bagi sekolah menengah, 25 sekolah baru dibina dengan empat daripadanya dapat digunakan bulan depan.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kerajaan menanggung RM147 juta kos pemansuhan yuran persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa supaya tidak ada sesiapa yang ketinggalan dalam pelajaran.

“Sebenarnya tidak ada yuran… bayaran hakiki tidak perlu dibayar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan memohon mendapatkan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan program sekolah.

“Tetapi, jangan kenakan apa-apa lagi,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dan pembabitan ibu bapa dalam kegiatan sekolah anak mereka dapat membantu mewujudkan sekolah cemerlang.

“Di banyak negara dilawati, yang menyambut saya dulu bukannya guru, tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya mereka beritahu ‘kami datang ke sini untuk bantu sekolah kerana anak kami belajar di sekolah ini’,” katanya.

UPSI tiada asas dakwa saya: Adam Adli

December 30, 2011 by  
Filed under Lain Lain Berita

Comments Off

ALOR SETAR, 30 Dis. – Mahasiswa kontroversi, Adam Adli Abdul Halim mendakwa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak mempunyai asas kukuh untuk mendakwanya atas dua pertuduhan yang dikeluarkan universiti itu.
Adam Adli

“Saya sudah berbincang dengan beberapa pihak termasuk peguam dan pakar dalam Perlembagaan yang berpendapat, UPSI tidak ada asas untuk dakwa saya.

Saya akan kemukakan surat kepada Upsi supaya gugurkan dakwaan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) memulakan siri jelajah negara, menyerahkan memorandum dan tuntutan Kebebasan Akademik kepada Kerajaan Negeri.

Memorandum diserah­kan oleh Pengerusi Bebas, Muhammad Safwan Anang kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, di pekara­ngan Wisma Darul Aman.

Adam Adli berkata, pihak universiti telah menghantar surat panggilan hadir perbicaraan pada 9 Januari depan, berhubung kes membabitkan dirinya yang didakwa mencemar nama baik UPSI dan ancam ketenteraman awam.

“Dua pertuduhan itu tidak berasas, apa maksud saya cemar nama baik Upsi, sedangkan saya tidak lakukan jenayah atau ditahan polis. Malah setakat ini, polis tidak ambil keterangan daripada saya,” katanya.

Aktivis pelajar yang juga penuntut Upsi ini dikatakan bertindak menurunkan bendera wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Ibu Pejabat Umno sewaktu demonstrasi 17 Disember lalu.

Ketika memorandum diserahkan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Adam Adli dikatakan berbuat demikian secara spontan.

Sumber : Sinar Harian

Next Page »