Tambah ‘Kebajikan’ untuk meluaskan saluran bantuan – Menteri Besar
February 19, 2012 by Dudi
Filed under Program Harian Menteri Besar
Comments Off
KUALA SAWAH, 18 Feb – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap ADUN Kawasan Rantau merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Badan Khairat Kematian Khariah Masjid Kuala Sawah Rantau, petang tadi.
Mesyuarat kali ke-31 itu turut di hadiri Tn Hj Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ahli Parlimen Rembau merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Rembau yang di adakan di Perkarangan Masjid Kuala Sawah.
Di majlis yang sama Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan turut menyerahkan van jenazah yang di sumbangkan oleh Bank Rakyat Wilayah Selatan kepada Badan Khairat Kematian Masjid Kuala Sawah untuk kegunaan khariah masjid.
Menteri Besar dan Ahli Parlimen Rembau turut sama menyerahkan sumbangan BR1M Peringkat Kedua DUN Rantau, penyerahan kerusi roda kepada pesakit kritikal, memberi sumbangan kepada anak-anak yatim serta sumbangan kepada pelajar UPSR, PMR, SPM yang berjaya di dalam peperiksaan masing-masing pada tahun 2011 dan penyerahan benih anak pokok dari Jabatan Pertanian Daerah Rembau.
Di dalam ucapan Menteri Besar, beliau mencadangkan agar jawatan kuasa Badan Khairat Kematian Kariah Masjid Kuala Sawah mengubah dan menambah nama persatuan kepada ‘Badan Khairat Kematian dan Kebajikan Khariah Masjid Kuala Sawah’ agar bentuk bantuan dapat di perluaskan.
Menurut Menteri Besar lagi, dengan nama baru ini, lebih banyak saluran bantuan yang melibatkan kebajikan ahli, bantuan pendidikan, aktiviti sukarela dapat di manfaatkan.
Malah ianya juga mampu menarik minat orang ramai menjadi ahli seterusnya tergolong sebagai Kariah Masjid Kuala Sawah.
“Bukan sahaja ahli persatuan akan bertambah, malah orang muda juga berminat menjadi ahli persatuan.” Ujar beliau.
Menyentuh mengenai bantuan BR1M yang sedang di laksanakan oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini, Menteri Besar meminta hadirin agar mensyukuri nikmat kurniaan yang di beri oleh Allah Taala.
Biarpun umum tidak menerima dan memperakui bahawa Kerajaan Persekutuan menampung perbelanjaan harian sebanyak RM27 bilion setahun kepada kehidupan rakyat seperti menanggung kos petrol, minyak masak, gula, perubatan, ayam dan barang harian yang lain.
Tetapi masyarakat gembira dan bersyukur apabila Kerajaan Persekutuan memutuskan memberi sumbangan RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 yang menelan belanja sebanyak RM2.6 bilion.
Kerajaan Negeri turut menyumbangkan sebanyak RM23,850 kepada Badan Khairat Kematian Kariah Masjid Kuala Sawah sebagai tabungan dan belanja pentadbiran.
Tn Hj Nazaruddin, Pengurus Wilayah Selatan Bank Rakyat turut hadir menyaksikan penyerahan van jenazah oleh Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan yang di wakafkan kepada Badan Khairat Kematian dan Kebajikan Khariah Masjid Kuala Sawah.
Oleh : Dudi Aziz
Sambutan Majlis Maulidul Rasul di Masjid Taman Tuanku Jaafar
February 17, 2012 by Dudi
Filed under News1, Program Harian Menteri Besar
Comments Off
SENAWANG, 17 Feb – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Paroi telah di adakan di Masjid Taman Tuanku Jaafar, semalam.
Selepas Solat Maghrib berjemaah, majlis bermula dengan selawat dan zikir ke atas Nabi Muhammad SAW, kemudian disusuli dengan ceramah Maulidur Rasul yang di sampaikan oleh penceramah terkenal Ustaz Dzulkarnain Hamzah, Astro Oasis bertajuk ‘Manusia sebagai Khalifah Bumi.’
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan turut melapangkan masa mendengar ceramah dari Ustaz Dzulkarnain Hamzah dan bersama sama meraikan majlis Maulidul Rasul ini.
Oleh : Dudi Aziz / Gambar : Ismail Othman
Parti akan terus kukuh dengan kerja kuat dan bersatu-padu
February 16, 2012 by Dudi
Filed under Program Harian Menteri Besar
Comments Off
REMBAU, 16 Feb. – “Kita perlu bekerja kuat dan bersatu-padu agar parti terus kukuh,” tegas Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan ketika berucap di Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2012, semalam.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong turut hadir di majlis yang dianjurkan oleh MCA Bahagian Rembau .
Turut menanti kehadiran Menteri Besar di Dewan Serbaguna MCA Jalan Terentang ialah Dato’ Goh Siow Huat, Ketua MCA Bahagian Rembau dan jawatankuasanya.
Menteri Besar menyambung, “Parti akan kuat sekiranya kita terus bersatu padu. Begitu juga, parti akan terus kukuh apabila kita bersama-sama mahu melihat Negara kita terus membangun dan maju untuk mentadbir Negara ini.”
Menurut beliau lagi, negara ini cukup bertuah dengan kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak yang telah membuktikan kewibawaannya walaupun belum cukup sepenggal mentadbir negara namun telah membuktikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di berikan keutamaan.
Barisan Nasional di bawah parti komponen juga dilihat telah pulih dan bekerja kuat untuk meyakinkan rakyat.
Beliau turut menyelar hasrat Pakatan Rakyat yang mahu merampas Negeri Sembilan itu hanyalah mimpi dan igauan mereka sebaliknya Barisan Nasional yakin dengan keupayaan parti untuk kembali menguasai 2/3 kerusi DUN dan Parlimen yang akan dipertandingkan.
Malah beliau menyeru kepada hadirin agar melupakan segala kepentingan diri dan jangan bergaduh sesama sendiri bagi menumpukan segala usaha yang akan membawa kemenangan kepada Barisan Nasional di PRU-13 akan datang.
Apabila Barisan Nasional menang dengan majoriti besar, kerajaan dapat ditubuhkan dengan kukuh seterusnya agenda kerajaan terhadap rakyat dapat disempurnakan dengan lebih berkesan.
Dengan kestabilan politik dan menghormati sosio-budaya kaum negara ini, ia sekaligus menjadikan negara ini sebagai pengeluar seperti Jepun, Korea, Taiwan untuk melabur di Negeri Sembilan dengan yakin.
Menerusi kepercayaan ini juga, kerajaan Negeri Sembilan berjaya memperolehi keuntungan melalui hasil pelaburan iaitu sebanyak RM4.1 bilion pada tahun 2011 dan akan terus berkembang pada tahun 2012 apabila 16 buah syarikat luar negara mahu melabur di Negeri Sembilan.
Oleh : Dudi Aziz / Gambar : Ismail Othman
BR1M bukan satu rasuah – MB
February 15, 2012 by Ainaa
Filed under Program Harian Menteri Besar
Comments Off
SEREMBAN : 15 Feb. - Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan menasihatkan masyarakat di negeri ini untuk berfikir secara rasional agar tidak terkeliru dengan dakwaan yang diputar belit segelintir pihak dalam usaha menjatuhkan kerajaan.
Katanya, masyarakat perlu membuka mata dan bersyukur terhadap keharmonian, kesejahteraan perpaduan serta pembangunan yang dinikmati bersama selama ini.
“Jika mereka mengatakan BR1M merupakan satu rasuah, maka selama ini kerajaan memberi bantuan kebajikan setiap bulan kepada golongan yang memerlukan seperti warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya dan sebagainya turut boleh dispekulasikan sebagai satu rasuah,” tegasnya kepada sidang media ketika mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan telah menyumbangkan sebanyak 26 billion secara tidak langsung dalam bentuk subsidi untuk rakyat namun kerajaan masih berusaha membantu rakyat menerusi Belanjawan 2012 dengan memberi bantuan sebanyak rm500 kepada ketua isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.
Jelasnya, di negeri ini sebanyak 188, 253 borang yang telah diproses dan sebanyak 138,615 borang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) telah diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) . Sementara itu, borang rayuan yang dihantar oleh orang ramai sedang diproses oleh pihak LHDN.
Mengulas lanjut mengenai laporan Polis Di-Raja Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, pada 1 Feb hingga 14 Feb ini sebanyak 23 serbuan di telah dilakukan bagi membanteras judi haram siber dan seramai 24 orang ditangkap manakala sebanyak 485 alatan-alatan seperti komputer telah dirampas.
Operasi bersepadu ini telah melibatkan pihak-pihak dari PBT, PDRM, JHEAINS, TNB dan pihak-pihak berkaitan. Langkah-langkah drastik ini dilakukan agar dapat mengekangkan dan mengurangkan gejala sosial yang semakin berleluasa.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membocorkan maklumat kerajaan dan tindakan akan diambil dibawah undang-undang.
Terdahulu, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan iaitu kepada ibu tunggal, bantuan persekolahan, bantuan perubatan, bantuan warga emas dan lain-lain.
Oleh : Ainaa@n9kini.com
Muhasabah diri agar Islam tidak diperlekehkan
February 14, 2012 by Ainaa
Filed under Program Harian Menteri Besar
Comments Off
AMPANGAN : 13 Feb. – Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1433H yang diadakan di Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng di sambut secara bersederhana, di sini, hari ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan hadir bagi bersama-sama menyambut Maulidur Rasul dimana ia merupakan perhimpunan umat Islam meraikan kelahiran Nabi Muhammad dan mengingati sejarah perkembangan Islam yang di kembangkan oleh baginda.
Ucap Menteri Besar, rakyat zaman sekarang yang mempunyai agenda tersendiri sanggup mengadai dan melelong agama sendiri sehingga binasanya agama Islam semata-mata demi kepentingan diri sendiri.
Menyedari itu, Menteri Besar menyeru umat Islam di seluruh Negeri Sembilan amnya supaya bersama-sama berganding bahu bersatu tenaga menjaga agama rasmi ini bagi mempertahankan keamanan yang menjadi intipati perpaduan seluruh rakyat.
“Jangan ada orang yang memperlekehkan kita, jangan ada orang yang memperkecilkan kita dan jangan sesekali mengadai maruah agama dan tanah air kita,” tegas beliau.
Katanya, walaupun rakyat sesama manusia ini berlainan pendapat dan pandangan, namun rakyat seharusnya memunasabahkan diri bagi memastikan agama dan negara tidak terus diperlekehkan.
Terdahulu, semua para jemaah berselawat ke atas Nabi dengan ‘Asmaul Husna’.
Majlis turut mengundang penceramah bagi menyampaikan ceramah bertemakan “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” dan di akhir majlis Menteri Besar menyampaikan sumbangan berjumlah RM107,780 kepada Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng.
Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Dato’ Johani Bin Hassan, Setiausaha MAINS, En. Kamal Amran bin Kamarudin.
Oleh : Ainaa@n9kini.com
Foto : Rarra
Demi rakyat, kebajikan di utama dan kegiatan ekonomi di perkasa
February 11, 2012 by Dudi
Filed under Program Harian Menteri Besar
Comments Off
TEMIANG, 11 Feb – Persatuan Kesenian Gui Qing NS yang di pengerusikan oleh En Ng Kim Toe malam tadi menganjurkan Majlis Makan Malam Sempena Tahun Baru Cina 2012 bersama Menteri Besar Negeri Sembilan.
Persatuan yang diwujudkan pada tahun 2009 yang dipengerusikan oleh En Ng Kim Toe bergerak aktif sejak kewujudannya dan banyak membantu aktiviti kemanusiaan melalui kesenian contohnya tarian singa dan tarian naga.
Penganjuran majlis makan malam ini juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi membina bangunan sendiri yang masih kekurangan modal sebanyak RM70 ribu di Kampung Sim, Seremban.
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan hadir menyempurnakan majlis yang di adakan di Dewan Besar Sek. Tinggi Chung Hua, Seremban.
Beliau mengucapkan tahniah kepada persatuan kerana telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM30 ribu hasil dari derma ahli, penjualan meja dan menjual beberapa produk.
Kerajaan Negeri dan MBI turut menyumbang RM40 ribu bagi menampung kos pembinaan banggunan yang akan di gunakan sebagai pusat aktiviti.
Menurutnya lagi, bentuk bantuan ini sebagai menghormati konsep perpaduan dan kebebasan budaya yang di amalkan di Negara ini yang sesuai dengan Gagasan 1 Malaysia Perdana Menteri.
Menteri Besar turut menyentuh fokus utama Kerajaan Negeri yang akan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan mengalakkan pertumbuhan ekonomi agar rakyat Negeri mendapat kebaikan daripadanya.
Beliau turut mengajak rakyat yang berbilang bangsa agar sentiasa tolong menolong, menghindari fitnah dan hidup dalam keadaan harmoni.
Turut hadir Senator Dato’ Dr Yap Chai Thiam, Pengerusi Perhubungan MCA Negeri Sembilan dan Dato’ VS Mogan, EXCO Kerajaan Negeri.
Oleh : Dudi Aziz
Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang & Pingat Kali Ke-2
February 9, 2012 by Dudi
Filed under News1, Program Harian Menteri Besar
Comments Off
SERI MENANTI, 09 Feb. – Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang & Pingat Kali ke-2 Sempena Hari Keputeraan D.Y.M.M Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan , Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ke-64 tahun berlangsung pagi tadi.
Istiadat pengurniaan ini berlangsung di Balai Rong Sari Istana Besar Seri Menanti dan D.Y.M.M. Tuanku Muhriz sendiri pekenan mengurniakan pingat kebesaran tersebut.
Mengetuai Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kali Ke-2 ialah Tuan Abdul Halim Abdul Razak iaitu Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (D.B.N.S) yang memberi gelaran Dato’ kepada beliau.
Dato’ Abdul Halim Abdul Razak merupakan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan dan jasa beliau sangat besar terutamanya di dalam sektor pendidikan. Beliau pernah menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khas Hari Kualiti Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Turut menerima pingat D.B.N.S ialah Dr. Gun Suk Chyn, Pakar Perubatan Rheumatologi, HTJ, Prof. Mahmood Nazar Mohamed, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Tn. Hj Mohd Salim Shariff, Timbalan Menteri Pelajaran.
Tn Raihan Sharif, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, Puan Rosni Abdul Malek, Pengarah NADI, ICU, JPM Kebangsaan, Tuan S. Rajandran a/l Sinnaiah, Aktivis Masyarakat dan Ir. Hj Zainal Hj Bachik turut di anugerahkan pingat yang sama.
Pada hari pengurniaan ini seramai sepuluh orang menerima pingat Darjah Setia Negeri Sembilan (D.N.S), tiga orang penerima Darjah Pekerti Terpilih (D.P.T) dan tiga puluh tiga menerima pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (A.N.S).
Seramai 85 orang penerima Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (P.M.C), 156 orang penerima pingat Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K), sepuluh orang penerima Pingat Khidmat Lama (P.K.L) sementara seorang penerima Pingat Bentara Tuanku Muhriz (B.T.M).
Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kali Ke-3 akan disempurnakan oleh D.Y.M.M Tuanku Muhriz pada 28 Februari 2012.
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan dan isteri turut menyaksikan Istiadat Pengurniaan ini.
Oleh : Dudi Aziz
Kelab Warga Emas bakal ditubuhkan
February 9, 2012 by Ainaa
Filed under Program Harian Menteri Besar
Comments Off
SEREMBAN : 8 Feb. – Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan menegaskan bahawa beliau akan tetap mewujudkan kempen “Sayangi Warga Emas” di Negeri Sembilan di bawah dasar Keselamatan Jaringan Sosial.
Jelas beliau, kebelakangan ini, kerajaan dapat mengesan banyak isu dan kes-kes dimana ibubapa terbiar kerana anak-anak sibuk mengejar kemewahan sehingga lupa mengalas tanggungjawab hakiki untuk menjaga ibubapa.
“Buat masa sekarang, kerajaan sedang merancang kaedah-kaedah yang lebih efisyen untuk menjalankan dan menjayakan kempen ini,” kata beliau dalam Sidang Media Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.
Maka, kerajaan cuba untuk membantu dengan memberi bantuan kepada golongan masyarakat yang kian terbiar terutamanya golongan orang tua tetapi anak-anak semakin tidak mengendahkan ibubapa mereka dengan meletakkan tanggungjawab tersebut kepada kerajaan.
Beliau menyeru agar setiap KRT dan JKKK di seluruh Negeri Sembilan menubuhkan kelab warga emas di setiap lokasi dan taman-taman perumahan. Dengan adanya kelab ini, golongan warga emas dapat mengisi masa terluang mereka dengan aktiviti-aktiviti dan program-program yang sihat.
Beliau turut menyarankan kepada badan-badan NGO, kuil-kuil, gereja-gereja, tokong-tokong dan lain-lain agar dapat bersama-sama menyambut saranan kerajaan negeri bagi menjayakan kempen kesedaran menyayangi warga emas dan sekaligus mencapai matlamat kerajaan negeri dalam mengutamakan rakyat.
Mengulas lanjut mengenai lawatan rasmi sehari Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak di Negeri Sembilan iaitu pada hari Jumaat ini bersamaan 10 Februari 2012, beliau berkata bahawa setiap aturcara program sudah ditetapkan, dimana Perdana Menteri akan mengadap Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada pagi hari tersebut.
Seterusnya, Menteri Besar turut menjelaskan bahawa program penyerahan surat tawaran membeli rumah yang sepatutnya disampaikan oleh Perdana Menteri akan dipinda dengan Majlis Penyerahan Projek oleh SPNB kepada kerajaan negeri dan pada masa tersebut Perdana Menteri akan menamakan projek perumahan itu dan akan melawat rumah-rumah contoh.
Kemudian, Perdana Menteri akan menjamu selera makan tengahari bersama kepimpinan Barisan Nasional iaitu UMNO, MIC, MCA, Pemuda, Wanita, Puteri, Gerakan, dan KIMMA di Hotel Royal Bintang, Seremban. Seterusnya, Perdana Menteri akan menunaikan solat Jumaat berjemaah di Masjid Sikamat.
Pada sebelah petangnya pula, Perdana Menteri akan menghadiri Majlis Perdana Gayong Malaysia-Sedunia 2012 yang akan menghimpunkan 12 buah negara di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS).
Menurut beliau, Perdana Menteri telah bersetuju untuk membuat lawatan rasmi sekali lagi di Negeri Sembilan iaitu pada 24 Mac ini di mana setiap program yang diadakan akan lebih teliti bermula dari pagi hingga malam termasuk di bandar dan luar bandar.
Oleh : Ainaa@n9kini.com
Kerajaan membuka ruang untuk berunding
February 9, 2012 by Ainaa
Filed under News1, Program Harian Menteri Besar
Comments Off
SEREMBAN : 8 Feb. – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan menjelaskan bahawa beliau akan membuka ruang untuk berbincang dengan 99 buah keluarga yang terlibat dengan projek perumahan rumah kos sederhana di Kg. Abok, Rahang agar semua penduduk mendapat pembelaan daripada kerajaan.
“Disebabkan terdapat pelbagai pandangan dan cadangan yang dikemukakan, kerajaan akan cuba mencapai satu jalan penyelesaian demi kepentingan rakyat,” kata beliau kepada media selepas majlis perjumpaan bersama peserta Rumah Mampu Milik (RMM) Kg. Abok, Rahang di Allson Klana Resort, dekat sini, hari ini.
Menurut Menteri Besar, pada tahun 2009, kerajaan telah merancang untuk membina rumah kos rendah iaitu rumah flat dimana kerajaan akan memberi keutamaan kepada penduduk disana.
Namun, secara keseluruhannya kerajaan Negeri Sembilan telah mengubah dasar dimana rumah kos rendah akan dikurangkan kerana tidak sesuai didiami oleh penduduk.
Oleh yang demikian, kerajaan telah membina rumah kos sederhana yang selesa dan sesuai untuk didiami oleh penduduk.
Jelas beliau, kos keseluruhan projek pembinaan rumah yang diusahakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) tersebut mencecah sehingga 19.8 juta, dengan itu, kerajaan pusat telah memberi sumbangan sebanyak 10 juta dan selebihnya 9.8 juta di tanggung oleh kerajaan negeri.
“Hasrat kerajaan untuk membantu rakyat dengan memberi potongan harga istimewa iaitu harga seunit rumah bernilai RM72,000 dan jika hendak dibandingkan dengan harga pasaran amat jauh berbeza dengan harga yang menjangkau sehingga RM125,000 – RM130,000.
Keluasan seunit rumah ini amat luas dan selesa iaitu 24x60kaki persegi dan ini adalah kawasan premium dimana terdapat banyak kemudahan seperti jalan raya yang menghubungkan lebuhraya dan jalan pintas ke pusat bandar, hospital, pusat membeli-belah dan sebagainya,” jelas beliau.
Terdahulu, Menteri Besar turut menjelaskan bahawa program penyerahan surat tawaran membeli rumah yang sepatutnya disampaikan oleh Perdana Menteri dalam lawatan rasmi di Negeri Sembilan pada 10 Februari ini akan dipinda dengan Majlis Penyerahan Projek oleh SPNB kepada kerajaan negeri dan pada masa tersebut Perdana Menteri akan menamakan projek perumahan itu dan akan melawat rumah-rumah contoh.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan dan Pengarah Urusan SPNB, Dato’ Dr. Sr. Kamarul Rashdan Haji Salleh.
Oleh : Ainaa@n9kini.com
‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’, tema Maulidur Rasul 2012
February 5, 2012 by Dudi
Filed under Program Harian Menteri Besar
Comments Off
SEREMBAN, 05 Feb – Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri, Negeri Sembilan di sambut secara bersederhana pagi tadi.
Majlis sambutan berlangsung di Dewan Besar Majlis Perbandaran Seremban dan di hadiri empat ribu orang dari seluruh daerah Negeri Sembilan.
D.Y.M.M Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pekenan mencemar duli menyempurnakan sambutan dwi tahunan ini sempena memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W yang di sambut pada 12 Rabiul awal setiap tahun.
Turut mengiringi D.Y.M.M Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, permaisuri baginda D.Y.M.M Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta putera baginda Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al’Abidin Tuanku Muhriz.
Di dalam titah baginda, baginda menerangkan bahawa Majlis Maulidur Rasul yang di sambut ini adalah sebagai tanda terima kasih dan sayang kita kepada Nabi Muhammad kerana sebagai umatnya, kita wajib taat.
Selain itu, Sambutan Maulidur Rasul yang di sambut setiap tahun merupakan faktor penting mengukur kualiti iman individu Islam terhadap agama Islam.
Jelas baginda lagi, kita wajib meraikan insan yang menjadi kekasih Allah dan menginsafi bahawa insan yang hidup di dunia ini menumpang kasih sayang Allah Taala.
Tema ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’, juga bertepatan dengan ajaran agama dan masyarakat adalah di galakkan mengutamakan kecemerlangan bangsa, mengutamakan agama serta mencintai tanahair agar Negara terus aman dan sejahtera.
Umat Islam di negeri ini di nasihatkankan agar sentiasa bersatu padu dan mengamalkan sikap Wasatiyah.
Di dalam ucapan Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, sambutan kali ini merupakan perhimpunan umat Islam meraikan kelahiran Nabi Muhammad dan mengingati sejarah perkembangan Islam yang di kembangkan oleh baginda.
Menurut beliau, Rasulullah merupakan perintis kecemerlangan umat Islam dan pelbagai perkembangan syiar Islam berjaya di zamannya. Namun, peredaran zaman berlaku dan terdapat juga umat yang mungkar.
Perkara ini tercetus oleh sikap manusia sendiri di mana ada kumpulan yang menuruti ajaran Rasulullah dan ada kumpulan yang ingkar.
Oleh itu, dengan sambutan Maulidur Rasul 1433H, rakyat perlu menjadikan Sirah Perjuangan Nabi sebagai panduan hidup dan perlu yakin dengannya.
Sebelum itu majlis di mulakan dengan bacaan potongan ayat al-Quran sura al-‘Ankabut ayat 38 -46 oleh En Mohamad Husaini Mahmud, Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri bagi tahun 2008 dan 2010.
Ceramah Khas Maulidur Rasul bertajuk Kelebihan Wasatiyah turut di sampaikan oleh Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin Al-Maliki.
Hadir sama Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Gani.
Turut hadir isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Hjh Salbiah Tuanku Nujumuddin.
Oleh : Dudi Aziz / Gambar : Ismail


































































































































































































































