Selamat Tahun Baru 2012- Sambutan warna warni di Seri Menanti
January 1, 2012 by Dudi
Filed under Berita Terkini, Lain Lain Berita
Comments Off
SERI MENANTI, 1 Jan. – Terbukti Malaysia sebuah Negara yang dikategorikan selamat apabila rakyatnya dapat menyambut kedatangan tahun baru 2012 dalam keadaan aman, makmur dan meriah sekali.
Walaupun sambutan tahun baru sering kali di sambut di pusat-pusat Bandar, tidak terkecuali juga dengan kawasan luar Bandar.
D-Four Entertainment dengan kerjasama Penyelaras Belia DUN Seri Menanti telah memilih Padang Awam Seri Menanti, Kuala Pilah bagi menyambut sambutan tahun baru kali ini dengan warga desa pula.
Menariknya sambutan di DUN Seri Menanti ini ialah kehadiran pengunjung dari luar daerah yang turut memenuhi padang semata-mata mahu merasai perbezaan sambutan kali ini di luar Bandar.
Sementara menunggu detik 12.00 malam, persembahan kebudayaan oleh artis tempatan antaranya Aiman Aziz, Farhad, Adda, Daus, Johan pertandingan karaoke peringkat DUN telah menghiburkan para hadirin.
Adam Tahir dan Nan, DJ terkenal Radio FM Negeri Sembilan turut memeriahkan konsert Karnival 1 Belia ‘Budi Bahasa Budaya Kita’.
ADUN Kawasan Seri Menanti, Dato’ Abd. Samad Ibrahim dan isteri turut serta dalam menyambut kehadiran tahun baru.
Kemuncak sambutan tahun baru ialah persembahan bunga api yang berwarna warni dan berakhir pada pukul 1.30 pagi tadi.
oleh: DudiAziz@n9kini.com
DAP kutuk tindakan meletak kepala khinzir di hadapan masjid
December 31, 2011 by Ainaa
Filed under Berita Terkini
Comments Off
GEORGETOWN: 31 Dis. – Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan kepala khinzir di luar pintu Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya, Johor Baharu.
Beliau berkata mereka yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu perlu diberkas dan diberi hukuman yang setimpal kerana tidak mempunyai sensitiviti agama.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab ini perlu dikutuk oleh semua rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama dan kepercayaan mempunyai hak untuk hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini berhubung insiden sembilan kepala khinzir ditemui di hadapan pintu Masjid Al-Falah semalam.
Karpal yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor mahu pihak polis memberi keutamaan terhadap siasatan kes ini.
“Pada malam menjelang tahun baru ini insiden memalukan seperti ini tidak harus berlaku,” katanya.
Semua inisiatif terus beri faedah dan manfaat kepada rakyat: Muhyiddin
December 31, 2011 by Ainaa
Filed under Berita Terkini
Comments Off
KUALA LUMPUR: 31 Dis. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin semua inisiatif kerajaan di bawah Dasar Transformasi Nasional, yang diumumkan sepanjang 2011, akan terus memberi faedah dan manfaat kepada rakyat.
Sambil menyatakan syukur kerana inisiatif berkenaan disambut baik rakyat, beliau berkata Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan dua tahun lalu sudah menunjukkan hasil positif dalam menambah baik sistem penyampaian kerajaan dan memacu ekonomi negara.
Beliau berkata Program Transformasi Luar Bandar dan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan tahun ini pula diyakini mampu merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar serta antara kaum.
Katanya kesemua ini adalah pelengkap kepada usaha untuk mewujudkan sebuah negara maju, makmur dan sejahtera.
“Jutaan terima kasih kepada anda rakyat Malaysia yang memberikan sokongan padu kepada kerajaan dan bersama-sama kepimpinan negara dalam menjayakan agenda transformasi yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam perutusan Tahun Baru 2012 hari ini.
Muhyiddin berkata selaras dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Najib semasa membentang Belanjawan 2012 sudah menggariskan pelbagai inisiatif dalam membawa hala tuju negara.
Ini termasuk pengenalan Bantuan Rakyat 1Malaysia, Bantuan Persekolahan RM100, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia, yang kesemuanya bertujuan meringankan beban hidup rakyat.
Bagi anggota perkhidmatan awam, Timbalan Perdana Menteri berharap beberapa penambahbaikan yang sudah dipersetujui antara kerajaan dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhubung pelaksanaan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dapat dijadikan bukti komitmen kerajaan dalam membela golongan berkenaan.
Justeru, beliau mahu anggota perkhidmatan awam berusaha dengan lebih gigih meningkatkan tahap kecekapan dan profesionalisme dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, turut menyatakan penghargaannya kepada guru-guru dan warga pendidikan yang memberikan sepenuh komitmen sehingga keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 mencatat keputusan lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Ini, katanya sekaligus membuktikan bahawa usaha gigih guru-guru dalam melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dan Program Pembangunan Sekolah telah menunjukkan hasil yang membanggakan.
“Terima kasih juga kepada para ibu bapa yang amat mengambil berat tentang pendidikan anak-anak dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan dalam meningkatkan mutu pendidikan,” katanya.
Muhyiddin turut mengajak rakyat memulakan tahun baru dengan terus mengamalkan perpaduan, hormat menghormati antara kaum dan mengukuhkan kerjasama antara satu sama lain, bersesuaian dengan semangat 1Malaysia.
Masyarakat tidak harus memandang mudah perpaduan yang dikecapi kerana tanpa usaha dan persefahaman antara rakyat berbilang kaum dan agama, ia tidak akan tercapai, katanya.
Rakyat juga harus berbangga kerana keistimewaan Malaysia yang berupaya mengekalkan serta mengukuhkan kemerdekaan dan keharmonian di kalangan penduduk pelbagai agama, bangsa dan budaya.
“Marilah kita sama-sama mengukuhkan yang sedia utuh, merapatkan yang renggang dan meningkatkan persefahaman antara satu sama lain kerana sesungguhnya perpaduan dan keamanan yang dibina di atas semangat persefahaman dan penerimaan antara kaum adalah prasyarat utama untuk negara terus berkembang maju,” katanya.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye pula meminta rakyat Malaysia berazam menjadikan negara ini tempat yang lebih selamat, bukan saja daripada pengganas, jenayah dan keganasan tetapi juga tragedi yang terhasil daripada tingkah laku manusia sama ada di jalan raya, kawasan kediaman ataupun di tempat kerja.
“Marilah kita semua berusaha ke arah merealisasikan 1Malaysia 1Komuniti Selamat di mana budaya keselamatan tersemai dalam setiap kehidupan rakyat Malaysia,” katanya dalam perutusan Tahun Baru 2012.
Takrif ‘Komuniti Selamat’ Lee ialah di mana orang ramai hidup, bekerja dan bermain dalam persekitaran yang selamat.
Beliau berkata kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jalan jerlus dan berlopak kerap berlaku kerana kegagalan masyarakat untuk membudayakan penyelenggaraan dan keselamatan sebagai satu cara hidup.
Rekod kemalangan jalan raya di negara ini turut menuntut perhatian segera dengan angka kematian yang mencecah 7,000 kes setiap tahun menggambarkan tahap keselamatan jalan raya yang dahsyat.
Lee berkata program Komuniti Selamat yang berkesan boleh dicapai melalui sinergi inisiatif keselamatan dan kesihatan yang dianjurkan pelbagai pihak termasuk kumpulan-kumpulan masyarakat yang berbeza, syarikat-syarikat tempatan, persatuan, sekolah-sekolah, agensi kerajaan dan kumpulan perkhidmatan lain.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dalam perutusannya pula berharap dengan kedatangan tahun baru, generasi belia di negara ini dapat menjadi aset yang mampu untuk meneruskan kelangsungan negara.
“MBM mahu belia bukan saja dilengkapi dengan pengetahuan serta kemampuan material malah perlu disediakan suatu persekitaran hidup yang sihat,” katanya.
Justeru, katanya tahun ini MBM akan melaksanakan lebih banyak program berbentuk pemupukan kepimpinan, latihan, intervensi dan kesukarelaan dalam usahanya memastikan negara tidak ketandusan golongan pelapis kepimpinan muda bagi persediaan masa depan.
Menteri Pertahanan Minta Tony Pua Kemuka Bukti Dakwaan Mengenai Kapal Selam
December 31, 2011 by Mail
Filed under Berita Terkini
Comments Off
BAGAN DATOH: 31 Dis – Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi “mempelawa” anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua untuk bertemu dan mengemukakan bukti kepada beliau berkenaan dakwaan liar pembelian kapal selam oleh kerajaan.
“Jangan hanya berani bercakap di belakang saja, datang jumpa saya kemukakan semua bukti untuk berbincang.
“Datang bertemu dengan saya bila-bila masa, kemukakan fakta (bukti) mengenai isu pertahanan, jangan keluarkan kenyataan di media dan melakukan pelbagai tuduhan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) kawasan Parlimen Bagan Datoh pada Sabtu.
Ahmad Zahid mengulas dakwaan Pua bahawa kapal tempur pesisir pantai (LCS)telah meningkat berbilion ringgit sebaik saja tender pembinaan enam LCS diberi kepada Boustead Naval Shipyard (BNS).
Sebelum ini, Menteri Pertahanan itu menjemput Pua untuk menaiki kapal selam di Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA 11), tetapi Pua menolak. - BERNAMA
Peneroka Bersyukur Bonus Insentif Produktiviti
December 31, 2011 by Mail
Filed under Berita Terkini
Comments Off
MARAN: 31 Dis – Pemberian bonus insentif produktiviti kepada para peneroka dilihat sebagai satu hadiah bermakna kepada warga peneroka dalam persiapan untuk sesi persekolahan anak-anak mereka.
Bagi lebih 15,000 peneroka di Felda Wilayah Jengka, bonus berkenaan dilihat dapat meringankan beban dalam menyediakan persiapan persekolahan anak-anak menjelang tahun baru ini.
Timbalan Pengerusi Gabungan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar berkata kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperlihatkan komitmen dan keikhlasan untuk membantu masyarakat peneroka.
“Bonus insentif RM400 hingga RM1,200 yang dinikmati warga Felda membuktikan situasi sebenar bahawa kerajaan tidak mengabaikan kebajikan golongan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Pada 23 Dis lepas, Perdana Menteri mengumumkan Felda akan membayar bonus insentif produktiviti antara RM400 dan RM1,200 kepada peneroka tanah rancangan itu pada tahun ini, kadar yang sama seperti tahun lepas.
Pembayaran bonus insentif berjumlah RM102.6 juta itu yang bergantung kepada penghantaran hasil, melibatkan 95,949 daripada 112,635 peneroka Felda bagi menghargai sumbangan mereka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara serta insentif menghantar hasil melalui Felda.
Bagi Ketua Peneroka Felda Jengka 18, Samad Samah, 59, pemberian itu sangat bermakna kepada ketua isi rumah dalam persiapan keperluan persekolahan anak-anak tahun depan.
Katanya warga peneroka perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri yang telah berusaha untuk memakmur negara serta rakyat.
Ketua Peneroka Felda Kota Gelanggi 1, Abdul Rahman Ghani, 48, pula berkata masyarakat peneroka Felda perlu rasional sekiranya mahu menyokong pihak pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu lagi sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat.
Ketua Peneroka Felda Jengka 3, Zainuddin Jantan, 58, berkata pemberian bonus itu merupakan satu rahmat bagi warga peneroka untuk menampung perbelanjaan mereka.
“Tohmahan pembangkang bahawa kerajaan tidak menjaga kebajikan adalah tidak benar sama sekali,” katanya. - BERNAMA
Dua laporan polis bantah demonstrasi bebaskan Anwar
December 31, 2011 by Mail
Filed under Berita Terkini
Comments Off
KUNAK 31 Dis. – Dua persatuan suku kaum di sini hari ini membuat laporan polis berhubung rancangan pihak tertentu mengadakan demonstrasi “Kempen Bebaskan Anwar 901” di ibu negara pada 9 Januari ini.
Laporan pertama dibuat oleh Abdul Sabur Wahid, 49, mewakili beberapa suku kaum Suluk dan Ketua Bahagian Persatuan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PRBMM).
Laporan kedua pula dibuat oleh Zahari Lorong. Kedua-dua laporan itu dibuat di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak di sini.
Ketika laporan dibuat para penyokong persatuan membawa sepanduk antara lain tertulis, ”Kami Cintakan Keamanan dan Kedamaian, Bukan Rusuhan, Jangan Persendakan Sistem Kehakiman Negara, Kami Tidak Perlukan Pemimpin Tidak Bermoral, Kami Bantah Perhimpunan Bebaskan Datuk Seri Anwar”.
Abdul Sabur berkata, beliau dan beberapa rakan lain meminta pihak berkuasa menyiasat dan sekiranya benar perlu menghalang serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara tersebut.
Penghakiman kes Anwar akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari ini. – BERNAMA
DPPIM mahu Khazanah Nasional pantau kegiatan Iskandar Investment
December 31, 2011 by Dudi
Filed under Berita Terkini
Comments Off
JOHOR BAHARU, 31 Dis. : Dewan Perniagaan dan Perindustrian Iskandar Malaysia (DPPIM) meminta Khazanah Nasional Berhad memantau dengan lebih telus setiap kegiatan anak syarikatnya, Iskandar Investment Berhad (IIB).
Presidennya, Mohd Salikon Sarpin dalam satu kenyataan, berkata pihaknya terkejut di atas pendedahan tentang penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang dilakukan sebahagian kecil pegawai IIB.
“Tindakan sebahagian kecil pegawai IIB itu diumpamakan ‘harapkan pagar, pagar makan padi,” katanya dan menambah, DPPIM bersetuju dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.
“Segala keuntungan atau penjimatan hasil daripada pembangunan di Iskandar Malaysia diharap dapat disalurkan untuk pembangunan masyarakat sekeliling, usahawan dan yang lain.
“Impak daripada limpahan ekonomi tentunya amat diharapkan dan dapat dirasai oleh masyarakat setempat,” katanya. – BERNAMA
Rakyat diminta realisasikan masa depan lebih baik untuk negara
December 31, 2011 by Dudi
Filed under Berita Terkini
Comments Off
KUALA LUMPUR, 31 Dis : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi merealisasikan masa depan yang lebih baik untuk negara.
Najib berkata, kejayaan bagi negara bukanlah sekadar mimpi, sebaliknya akan dapat dirangkul sekiranya semua pihak sanggup merancang dengan teliti dan bekerja keras bagi mencapainya.
DTN yang merupakan komponen terakhir dalam usaha merealisasikan Wawasan Kebangsaan untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, bermula dengan pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) diikuti Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta pelancaran Model Baru Ekonomi (NEM), Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Kesemua inisiatif dasar ini bukanlah sekadar pengumuman kosong mahupun tidak berpijak pada bumi yang nyata kerana jika dilaksanakan dengan betul dan mengikut jadual akan menyaksikan kemunculan sebuah Malaysia Baru”.
Malaysia Baru menurut Najib ialah sebuah negara yang bukan sahaja maju daripada segi ekonomi dengan kemakmuran yang dikongsi setiap strata dan segmen rakyat tetapi juga sebuah watan dengan tradisi demokrasi serta perbezaan pendapat yang membina dan membugar.
Perdana Menteri juga berkata kerajaan tetap komited dengan program islah dan pembaharuan dalam semua bidang dan aspek kehidupan bernegara kerana inilah kehendak dan aspirasi rakyat yang mahukan kehidupan yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.
“Inilah usaha demi generasi masa depan Malaysia yang berhak membesar dalam suasana harapan bukannya kemuraman. Kita tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang mahu menggagalkan matlamat mulia ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan percaya untuk membina sebuah Malaysia yang baru, negara tidak boleh terus terperangkap dengan bebanan sejarah lampau.
Atas dasar itu, kata Najib, di bawah PTP bagi mengimbangkan Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Negara misalnya, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memansuhkan tiga proklamasi darurat yang berkuatkuasa semenjak lebih empat dekad yang lalu.
Dengan semangat yang sama, kerajaan juga mengumumkan pemansuhan beberapa Akta yang berkaitan Keselamatan dan Ketenteraman Awam seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan Seksyen 27 Akta Polis yang telah digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang menjamin kebebasan individu untuk berhimpun secara aman seperti yang diperuntukkan undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan, katanya.
“Usaha ini akan diteruskan dalam sesi Parlimen seterusnya pada 2012 bagi memansuhkan ISA dan membentang rang undang-undang baru yang akan menggantikannya serta meminda AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan,” katanya.
Beliau berkata, melalui bajet rakyat 2012 yang baru diluluskan Parlimen, kerajaan hari ini juga meneruskan tradisi negara berkebajikan yang menjadi amalan kerajaan yang memerintah semenjak merdeka lagi.
“Kita tidak pernah melupakan nasib warga luar bandar mahupun warga bandar, golongan berpendapatan rendah mahupun kelas pertengahan serta mereka yang berpendapatan tinggi, kita akan sentiasa membela untung nasib seluruh rakyat Malaysia dan akan terus prihatin terhadap denyut nadi dan aspirasi mereka,” katanya. – BERNAMA
18 keluarga rugi ribuan ringgit
December 31, 2011 by Dudi
Filed under Berita Terkini
Comments Off
NAIN Ali menunjukkan barangan elektriknya yang rosak berpunca dari aliran arus elektrik berlebihan di Kampung Merbau 9, Pedas, Rembau, semalam. – UTUSAN/Abd. Razak Aid
REMBAU 31 Dis. – Sebanyak 18 keluarga di Kampung Merbau 9, Pedas dekat sini terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit selepas peralatan elektrik mereka mengalami kerosakan dipercayai akibat arus elektrik berlebihan yang berlaku 25 Disember lalu.
Mereka mendakwa pengaliran tenaga elektrik berlebihan yang menyebabkan berlaku litar pintas dan merosakkan pelbagai barangan elektrik seperti televisyen, penghawa dingin, mesin basuh, peti sejuk, kipas angin, radio dan lampu itu berlaku kira-kira pukul 3 petang.
Wakil penduduk, Haziah Muhamad, 40 memberitahu, semasa kejadian, dia berada di rumah sebelum menyedari kipas dan lampu rumahnya berdengung dan berputar dengan lebih laju daripada biasa.
‘‘Saya telah mengadu hal ini kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai perkara itu beberapa kali sebelum beberapa kakitangannya datang untuk memeriksa aliran elektrik beberapa buah rumah yang terlibat.
‘‘Namun, maklum balas yang kami terima agak kurang menyakinkan dan mereka meminta supaya kami membuat tuntutan ganti rugi dengan membeli barangan elektrik berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Haziah juga dimaklumkan beberapa buah barangan elektrik di beberapa kediaman berdekatan turut mengalami masalah serupa dan lebih mengejutkan beberapa buah peti televisyen dilaporkan terbakar dan meletup.
Seorang peniaga, Nain Ali, 54, pula menjelaskan, dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM2,000 ekoran kerosakan peralatan elektrik seperti peti sejuk, kipas angin dan televisyen.
Berikutan kejadian itu, dia bingung kerana terpaksa menanggung kerugian apatah lagi untuk meneruskan perniagaan gerai makanan yang dijalankan sejak sepuluh tahun lalu.
‘‘Sebelum ini kejadian seperti ini tidak pernah berlaku dan inilah kali pertama yang menyebabkan saya terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.
‘‘Malah, saya hanya menyediakan makanan yang termampu sahaja untuk dihidangkan kepada orang ramai yang datang ke kedai saya selepas kejadian ini,” katanya.
Nain juga berharap, pihak bertanggungjawab dapat memberikan penjelasan mengenai kejadian berkenaan selain memberikan pampasan berikutan kejadian berkenaan yang disifatkannya tidak sepatutnya berlaku.
Kerajaan akan terus perkasakan program kebajikan rakyat
December 31, 2011 by Dudi
Filed under Berita Terkini
Comments Off
![]() |
ABDUL Latif Sidek (kiri) dan Mariam Solam (duduk) melihat Adnan Abu Hassan menampal plak pada rumah mereka yang sudah dibaik pulih selepas Program Mesra Gen-Y Kuala Pilah Bersama GiatMara di Kampung Bukit, Kuala Pilah, kelmarin.
|
KUALA PILAH 31 Dis. – Kerajaan sentiasa prihatin dan sensitif dengan kehendak serta keperluan rakyat dan akan terus memperkasakan program kebajikan rakyat yang telah dilakukan sejak negara merdeka.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pilah, Adnan Abu Hassan berkata, program seperti membaik pulih rumah penduduk kampung adalah antara usaha dibuat oleh kerajaan yang mencerminkan kesungguhannya dalam menjaga kebajikan rakyat.
Beliau berkata, kerajaan berharap, melalui program seperti itu akan membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih baik yang menjadi keutamaan para pemimpin negara.
“Dari semasa ke semasa, kerajaan sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan merangka dan melaksanakan pelbagai program,” katanya ketika berucap merasmikan Program Mesra Gen-Y Kuala Pilah Bersama GiatMara di Kampung Bukit, dekat sini semalam.
Turut hadir, Pengurus GiatMara negeri, Kamil Amat.
Seramai 100 orang pelatih dari lapan GiatMara di seluruh negeri ini menjadi anak angkat kepada 50 keluarga di lima kampung di sekitar Dewan Undangan Negeri Pilah dalam program selama dua hari itu bermula hari ini.
Selain membaik pulih rumah yang rosak, para pelatih berkenaan juga menyertai gotong royong, sukaneka dan khidmat masyarakat seperti menyelenggara motosikal dan menggunting rambut penduduk kampung secara percuma.
Turut menjayakan program itu ialah 30 ahli kelab Combat 4×4 Kuala Pilah.
Adnan turut meluangkan masa menampal plak pada empat buah rumah yang sudah dibaik pulih dalam program tersebut.
Program baik pulih rumah itu melibatkan penggantian bumbung, lantai, struktur rumah yang rosak dan tandas yang dibuat melalui peruntukan Program Bantuan Rumah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah 2011.





















































