Orang Asli tidak terpengaruh

February 19, 2012 by  
Filed under Berita Terkini

Comments Off

Kebanyakan masyarakat Orang asli yang ditemui ketika menerima baucar Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), di sini, mengakui tidak terpengaruh dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan BR1M adalah wang rasuah kerajaan kepada rakyat.
Orang Asli tidak terpengaruh

Halim Anak Tueh,44, berkata, dia tahu BR1M adalah sumbangan kerajaan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan bukannya rasuah atau mempunyai niat terselindung.

“Desas desus mengatakan BR1M adalah wang untuk merasuah rakyat sama sekali tidak logik dan saya secara peribadi tidak percaya dakwaan berkenaan.

“Saya memohon BR1M untuk menampung pendapatan sedia ada, bagaimanapun saya dimaklumkan bahawa bantuan ini mungkin hanya sekali sahaja dan memerlukan saya untuk terus berusaha menjana ekonomi keluarga,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sementara seorang warga emas, Alos Taat, 76, berkata, kerajaan hari ini sangat komited membantu rakyat tanpa menyisihkan masyarakat Orang Asli.

“Ramai penduduk di sini yang menerima pelbagai bantuan dan yang terbaru bantuan baucar buku serta bantuan persekolahan. Malah, jalan raya sepanjang tujuh kilometer untuk ke sini juga telah dibaiki. Bantuan yang kami terima tidak putus-putus dan ia bantuan berterusan,” katanya.

Difahamkan, seramai 50 penerima baucar BR1M termasuk masyarakat Orang Asli bagi fasa dua dan tiga yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi, Datuk Ismail Taib di perkarangan Balai Komuniti Kampung Bukit Kepong.

Hadir sama Penghulu Mukim Pasir Panjang, Nasir Salim.

Program SKSJ bimbing Orang Asli dapatkan lesen motor

January 30, 2012 by  
Filed under Berita Terkini

Comments Off

GEMAS 30 Jan. – Tumpuan akan terus diberikan kepada masyarakat Orang Asli di negara ini untuk mendapatkan lesen motor kelas B2 menerusi Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (SKSJ).

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad berkata, sejak 2009 hingga kini, seramai 3,500 anggota masyarakat Orang Asli telah menerima faedah daripada program berkenaan dan kini mereka boleh menunggang motosika dengan lebih cekap dan yakin.

“Kita melihat keberkesanan tinggi dalam program ini dan ia akan diteruskan pada masa hadapan, bukan sahaja untuk masyarakat Orang Asli tetapi warga emas,” katanya.

Ismail ditemui pemberita selepas majlis penyampaian lesen dan penutupan program SKSJ Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas di sini, semalam.

5,217 terima baucar buku

January 25, 2012 by  
Filed under Berita Terkini

Comments Off

TELOK KEMANG 25 Jan. – Seramai 5,217 penuntut Politeknik Port Dickson menerima baucar buku RM200 pada majlis penyerahan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) di sini baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Ismail Taib.

Ismail Taib (depan, tiga dari kanan) memegang replika baucar bernilai RM 1,043,400.00 sebagai simbolik agihan kepada para pelajar di Telok Kemang, Negeri Sembilan,baru-baru ini.


Ketika berucap pada majlis berkenaan, Ismail berkata, pemberian baucar itu adalah atas sikap prihatin kerajaan dalam meringankan beban penuntut bagi membolehkan mereka mendapat bahan bacaan untuk tujuan pembelajaran.

“Ini merupakan salah satu usaha dan inisiatif kerajaan kepada golongan mahasiswa kerana ramai antara kita tidak mampu membeli buku atau kelengkapan pengajian,” katanya.

Ismail juga berharap pemberian baucar itu mendorong para mahasiswa meningkatkan usaha mereka untuk berjaya dalam pelajaran.

Bagi Nurul Ain Wahidah Aznan, 21, dia gembira apabila menerima baucar berkenaan dan akan menggunakannya untuk membeli buku-buku rujukan.

Rakannya, Nurul Atiqah Norafandi, 21, pula berkata, pemberian baucar itu tepat pada masanya kerana harga buku terus meningkat dan membebankan mahasiswa.

“Pemberian baucar ini cukup menggembirakan kami dan sudah pasti ia akan digunakan sebaiknya untuk keperluan pengajian,” katanya.

Mohd. Nashruddin Marsidi, 23, pula berkata, bantuan kerajaan itu merupakan rangsangan dan galakan kepada para pelajar memasuki institusi pengajian tinggi.

Penyerahan BR1M di kawasan DUN di Negeri Sembilan

January 21, 2012 by  
Filed under Berita Terkini

Comments Off

JEMPOL 21 Jan. – BR1M bantu rakyat miskin
Seramai 164 penduduk Ladang Geddes menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Orang Ramai, Ladang Geddes, semalam.

Bantuan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Samsulkahar Mohd. Deli itu merupakan fasa pertama yang disampaikan di DUN Serting.

Salah seorang penerima bantuan, Pitau Kaukhi, 74, memberitahu BR1M membuktikan kerajaan sangat prihatin terhadap kehidupan rakyat susah.

“Saya sangat terharu apabila mengetahui menerima wang RM500. Wang ini akan digunakan bagi membeli ubat bagi penyakit lelah,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Gelai, dekat sini.

SHAMSULKAHAR Mohd. Deli (kiri) menyampaikan baucar BR1M kepada sebahagian penduduk Ladang Geddes di Jempol, kelmarin.


Bagi Lam Ah Nga, 72, bantuan ini sangat di perlukan kerana bakal menyambut perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

“Saya hanya bekerja sebagai penoreh getah. Kini hampir setiap hari hujan lebat. Sebagai penoreh getah pendapatan saya terjejas kerana tidak boleh bekerja pada musim hujan.

“Tangan kiri saya pula sakit, menyebabkan saya tidak boleh melakukan kerja berat.

“Sebelum ini saya sangat risau kerana tiada membuat sebarang persiapan perayaan. Kini saya boleh membuat persediaan apabila menerima bantuan BR1M daripada kerajaan,” katanya lagi.

Seorang lagi penerima, K. Murugaya, 47, berkata, wang tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan membeli barangan dapur.

“Kehidupan kami sangat susah apabila saya tidak bekerja kerana masalah kesihatan. Akibat masalah kewangan kesemua anak saya terpaksa berhenti sekolah.

“Anak sulung saya yang berusia 15 tahun terpaksa bekerja di bengkel kereta. Adiknya, 14 tahun pula menjadi pembantu kedai, manakala anak bongsu saya 11 tahun kini sedang mencari pekerjaan,” jelasnya.

677 warga Pasir Panjang terima BR1M

TELOK KEMANG 21 Jan. – Seramai 677 penduduk di Pasir Panjang masing-masing menerima sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 seorang di Dewan Orang Ramai Pasir Panjang dekat sini, semalam.

Bantuan berkenaan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi yang juga Exco Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ismail Taib.

Ismail berkata, penerima bantuan BR1M diingatkan supaya menggunakan wang berkenaan sebaik mungkin.

“Bantuan ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam meringankan beban rakyat di sebabkan perbelanjaan seisi keluarga semakin meningkat,” katanya.

Ismail berkata, kenaikan harga barangan di pasaran ketika ini bukan disebabkan oleh kerajaan, tetapi kerana peningkatan harga barangan dunia.

“Apa yang dapat kita lihat walaupun harga barangan naik, kerajaan di negara ini sentiasa memikirkan mekanisme terbaik dalam pelbagai bentuk subsidi yang tidak dinikmati oleh negara lain,” ujarnya.

Sementara itu penerima BR1M yang ditemui Utusan Malaysia, Lin Thean Chug, 54, berterima kasih dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani masalah yang ditanggung rakyat.

Orang Asli hargai BR1M

KUALA PILAH 21 Jan. – Masyarakat Orang Asli yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menegaskan bahawa, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat telus membantu rakyat.

Seorang penerima, Salleh Ah Ho, 45 berkata, kerajaan sedia ada terbukti begitu komited membantu rakyat, khususnya masyarakat Orang Asli.

“Bukan sahaja BR1M, baucar buku dan bantuan persekolahan, sebalik banyak lagi yang dibantu seperti perumahan, keperluan hidup dan sebagainya.

“Ini bermakna, bantuan kepada kami tidak pernah terhenti,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menerima bantuan BR1M di sini, hari ini.

Salleh yang merupakan seorang pemandu sebuah jabatan kerajaan berkata, dia berbangga dengan Perdana Menteri kerana amat berjiwa rakyat.

“Dengan bantuan ini, saya dapat membeli keperluan untuk anak-anak yang masih bersekolah dan perbelanjaan harian,” jelasnya.

Seorang lagi Orang Asli yang menerima bantuan serupa, Mohamad Kamal Achan, 39, berkata, pendapatan yang diperoleh melalui menoreh getah tidak mencukupi menyara keluarga.

Konsep Turun Padang Masih Relevan : Mogan

January 18, 2012 by  
Filed under Berita Terkini

Comments Off

ROMPIN – Seramai 582 penduduk dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tempoh tiga tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, DAtuk VS Mogan berkata, bantuan itu termasuklah kepada golongan ibu tunggal, warga emas dan anak yatim tanpa mengira bangsa.

“Kaum India juga tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan ini. Manakala, bagi sebarang kes melibatkan agensi kerajaan, kita akan cuba bantu dengan memanjangkan hal ini kepada jabatan berkaitan.”

“Bagaimanapun, konsep turun padang masih relevan bagi memastikan tiada penduduk yang tercicir daripada menerima bantuan dan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selesai Majlis Penyerahan Bantuan JKM kepada 45 penerima di Balai Raya Rompin.

Hadir sama, Pegawai JKM, Musatafal Bakri Mohd Yusof.

Sementara itu, Mogan berkata, sebanyak lapan peti undi di DUN Jeram Padang akan dibuka untuk pilihan raya umum akan datang.

“Antara kawasan terlibat termasuklah Ladang Bahau, Taman Jaya, Jelai, Rompin, Palong Satu dan Dua serta Ladang Kelpin.”

“Kita sudah siap sedia menghadapi pilihan raya kali ini dan diharap MIC dapat sokongan penuh daripada kaum India di sini.” Katanya

Selamat Tahun Baru 2012- Sambutan warna warni di Seri Menanti

January 1, 2012 by  
Filed under Berita Terkini, Lain Lain Berita

Comments Off

SERI MENANTI, 1 Jan. – Terbukti Malaysia sebuah Negara yang dikategorikan selamat apabila rakyatnya dapat menyambut kedatangan tahun baru 2012 dalam keadaan aman, makmur dan meriah sekali.

Walaupun sambutan tahun baru sering kali di sambut di pusat-pusat Bandar, tidak terkecuali juga dengan kawasan luar Bandar.

D-Four Entertainment dengan kerjasama Penyelaras Belia DUN Seri Menanti telah memilih Padang Awam Seri Menanti, Kuala Pilah bagi menyambut sambutan tahun baru kali ini dengan warga desa pula.

Menariknya sambutan di DUN Seri Menanti ini ialah kehadiran pengunjung dari luar daerah yang turut memenuhi padang semata-mata mahu merasai perbezaan sambutan kali ini di luar Bandar.

Sementara menunggu detik 12.00 malam, persembahan kebudayaan oleh artis tempatan antaranya Aiman Aziz, Farhad, Adda, Daus, Johan pertandingan karaoke peringkat DUN telah menghiburkan para hadirin.

Adam Tahir dan Nan, DJ terkenal Radio FM Negeri Sembilan turut memeriahkan konsert Karnival 1 Belia ‘Budi Bahasa Budaya Kita’.

ADUN Kawasan Seri Menanti, Dato’ Abd. Samad Ibrahim dan isteri turut serta dalam menyambut kehadiran tahun baru.

Kemuncak sambutan tahun baru ialah persembahan bunga api yang berwarna warni dan berakhir pada pukul 1.30 pagi tadi.

oleh: DudiAziz@n9kini.com

DAP kutuk tindakan meletak kepala khinzir di hadapan masjid

December 31, 2011 by  
Filed under Berita Terkini

Comments Off

GEORGETOWN: 31 Dis. – Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan kepala khinzir di luar pintu Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya, Johor Baharu.

Beliau berkata mereka yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu perlu diberkas dan diberi hukuman yang setimpal kerana tidak mempunyai sensitiviti agama.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab ini perlu dikutuk oleh semua rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama dan kepercayaan mempunyai hak untuk hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini berhubung insiden sembilan kepala khinzir ditemui di hadapan pintu Masjid Al-Falah semalam.

Karpal yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor mahu pihak polis memberi keutamaan terhadap siasatan kes ini.

“Pada malam menjelang tahun baru ini insiden memalukan seperti ini tidak harus berlaku,” katanya.

Semua inisiatif terus beri faedah dan manfaat kepada rakyat: Muhyiddin

December 31, 2011 by  
Filed under Berita Terkini

Comments Off

KUALA LUMPUR: 31 Dis. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin semua inisiatif kerajaan di bawah Dasar Transformasi Nasional, yang diumumkan sepanjang 2011, akan terus memberi faedah dan manfaat kepada rakyat.

Sambil menyatakan syukur kerana inisiatif berkenaan disambut baik rakyat, beliau berkata Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan dua tahun lalu sudah menunjukkan hasil positif dalam menambah baik sistem penyampaian kerajaan dan memacu ekonomi negara.

Beliau berkata Program Transformasi Luar Bandar dan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan tahun ini pula diyakini mampu merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar serta antara kaum.

Katanya kesemua ini adalah pelengkap kepada usaha untuk mewujudkan sebuah negara maju, makmur dan sejahtera.

“Jutaan terima kasih kepada anda rakyat Malaysia yang memberikan sokongan padu kepada kerajaan dan bersama-sama kepimpinan negara dalam menjayakan agenda transformasi yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam perutusan Tahun Baru 2012 hari ini.

Muhyiddin berkata selaras dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Najib semasa membentang Belanjawan 2012 sudah menggariskan pelbagai inisiatif dalam membawa hala tuju negara.

Ini termasuk pengenalan Bantuan Rakyat 1Malaysia, Bantuan Persekolahan RM100, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia, yang kesemuanya bertujuan meringankan beban hidup rakyat.
Bagi anggota perkhidmatan awam, Timbalan Perdana Menteri berharap beberapa penambahbaikan yang sudah dipersetujui antara kerajaan dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berhubung pelaksanaan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dapat dijadikan bukti komitmen kerajaan dalam membela golongan berkenaan.

Justeru, beliau mahu anggota perkhidmatan awam berusaha dengan lebih gigih meningkatkan tahap kecekapan dan profesionalisme dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, turut menyatakan penghargaannya kepada guru-guru dan warga pendidikan yang memberikan sepenuh komitmen sehingga keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 mencatat keputusan lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Ini, katanya sekaligus membuktikan bahawa usaha gigih guru-guru dalam melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dan Program Pembangunan Sekolah telah menunjukkan hasil yang membanggakan.

“Terima kasih juga kepada para ibu bapa yang amat mengambil berat tentang pendidikan anak-anak dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan dalam meningkatkan mutu pendidikan,” katanya.

Muhyiddin turut mengajak rakyat memulakan tahun baru dengan terus mengamalkan perpaduan, hormat menghormati antara kaum dan mengukuhkan kerjasama antara satu sama lain, bersesuaian dengan semangat 1Malaysia.

Masyarakat tidak harus memandang mudah perpaduan yang dikecapi kerana tanpa usaha dan persefahaman antara rakyat berbilang kaum dan agama, ia tidak akan tercapai, katanya.

Rakyat juga harus berbangga kerana keistimewaan Malaysia yang berupaya mengekalkan serta mengukuhkan kemerdekaan dan keharmonian di kalangan penduduk pelbagai agama, bangsa dan budaya.

“Marilah kita sama-sama mengukuhkan yang sedia utuh, merapatkan yang renggang dan meningkatkan persefahaman antara satu sama lain kerana sesungguhnya perpaduan dan keamanan yang dibina di atas semangat persefahaman dan penerimaan antara kaum adalah prasyarat utama untuk negara terus berkembang maju,” katanya.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye pula meminta rakyat Malaysia berazam menjadikan negara ini tempat yang lebih selamat, bukan saja daripada pengganas, jenayah dan keganasan tetapi juga tragedi yang terhasil daripada tingkah laku manusia sama ada di jalan raya, kawasan kediaman ataupun di tempat kerja.

“Marilah kita semua berusaha ke arah merealisasikan 1Malaysia 1Komuniti Selamat di mana budaya keselamatan tersemai dalam setiap kehidupan rakyat Malaysia,” katanya dalam perutusan Tahun Baru 2012.

Takrif ‘Komuniti Selamat’ Lee ialah di mana orang ramai hidup, bekerja dan bermain dalam persekitaran yang selamat.

Beliau berkata kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jalan jerlus dan berlopak kerap berlaku kerana kegagalan masyarakat untuk membudayakan penyelenggaraan dan keselamatan sebagai satu cara hidup.

Rekod kemalangan jalan raya di negara ini turut menuntut perhatian segera dengan angka kematian yang mencecah 7,000 kes setiap tahun menggambarkan tahap keselamatan jalan raya yang dahsyat.

Lee berkata program Komuniti Selamat yang berkesan boleh dicapai melalui sinergi inisiatif keselamatan dan kesihatan yang dianjurkan pelbagai pihak termasuk kumpulan-kumpulan masyarakat yang berbeza, syarikat-syarikat tempatan, persatuan, sekolah-sekolah, agensi kerajaan dan kumpulan perkhidmatan lain.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dalam perutusannya pula berharap dengan kedatangan tahun baru, generasi belia di negara ini dapat menjadi aset yang mampu untuk meneruskan kelangsungan negara.

“MBM mahu belia bukan saja dilengkapi dengan pengetahuan serta kemampuan material malah perlu disediakan suatu persekitaran hidup yang sihat,” katanya.

Justeru, katanya tahun ini MBM akan melaksanakan lebih banyak program berbentuk pemupukan kepimpinan, latihan, intervensi dan kesukarelaan dalam usahanya memastikan negara tidak ketandusan golongan pelapis kepimpinan muda bagi persediaan masa depan.

Menteri Pertahanan Minta Tony Pua Kemuka Bukti Dakwaan Mengenai Kapal Selam

December 31, 2011 by  
Filed under Berita Terkini

Comments Off

BAGAN DATOH: 31 Dis – Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi “mempelawa” anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua untuk bertemu dan mengemukakan bukti kepada beliau berkenaan dakwaan liar pembelian kapal selam oleh kerajaan.

“Jangan hanya berani bercakap di belakang saja, datang jumpa saya kemukakan semua bukti untuk berbincang.

“Datang bertemu dengan saya bila-bila masa, kemukakan fakta (bukti) mengenai isu pertahanan, jangan keluarkan kenyataan di media dan melakukan pelbagai tuduhan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) kawasan Parlimen Bagan Datoh pada Sabtu.

Ahmad Zahid mengulas dakwaan Pua bahawa kapal tempur pesisir pantai (LCS)telah meningkat berbilion ringgit sebaik saja tender pembinaan enam LCS diberi kepada Boustead Naval Shipyard (BNS).

Sebelum ini, Menteri Pertahanan itu menjemput Pua untuk menaiki kapal selam di Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA 11), tetapi Pua menolak. - BERNAMA

Peneroka Bersyukur Bonus Insentif Produktiviti

December 31, 2011 by  
Filed under Berita Terkini

Comments Off

MARAN: 31 Dis – Pemberian bonus insentif produktiviti kepada para peneroka dilihat sebagai satu hadiah bermakna kepada warga peneroka dalam persiapan untuk sesi persekolahan anak-anak mereka.

Bagi lebih 15,000 peneroka di Felda Wilayah Jengka, bonus berkenaan dilihat dapat meringankan beban dalam menyediakan persiapan persekolahan anak-anak menjelang tahun baru ini.

Timbalan Pengerusi Gabungan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar berkata kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperlihatkan komitmen dan keikhlasan untuk membantu masyarakat peneroka.

“Bonus insentif RM400 hingga RM1,200 yang dinikmati warga Felda membuktikan situasi sebenar bahawa kerajaan tidak mengabaikan kebajikan golongan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Pada 23 Dis lepas, Perdana Menteri mengumumkan Felda akan membayar bonus insentif produktiviti antara RM400 dan RM1,200 kepada peneroka tanah rancangan itu pada tahun ini, kadar yang sama seperti tahun lepas.

Pembayaran bonus insentif berjumlah RM102.6 juta itu yang bergantung kepada penghantaran hasil, melibatkan 95,949 daripada 112,635 peneroka Felda bagi menghargai sumbangan mereka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara serta insentif menghantar hasil melalui Felda.

Bagi Ketua Peneroka Felda Jengka 18, Samad Samah, 59, pemberian itu sangat bermakna kepada ketua isi rumah dalam persiapan keperluan persekolahan anak-anak tahun depan.

Katanya warga peneroka perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri yang telah berusaha untuk memakmur negara serta rakyat.

Ketua Peneroka Felda Kota Gelanggi 1, Abdul Rahman Ghani, 48, pula berkata masyarakat peneroka Felda perlu rasional sekiranya mahu menyokong pihak pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu lagi sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat.

Ketua Peneroka Felda Jengka 3, Zainuddin Jantan, 58, berkata pemberian bonus itu merupakan satu rahmat bagi warga peneroka untuk menampung perbelanjaan mereka.

“Tohmahan pembangkang bahawa kerajaan tidak menjaga kebajikan adalah tidak benar sama sekali,” katanya. - BERNAMA

Next Page »