Serlah falsafah rekabentuk L-finesse

April 19, 2012 by  
Filed under Permotoran

Comments Off

APABILA jentera itu melakukan debut di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada November tahun lalu, ia nyata mengagumkan pihak media. Sebabnya, rangkaian model GS daripada sayap kenderaan mewah Toyota, Lexus itu dilihat berjaya menetapkan satu tanda aras baharu bagi segmen mewah sedan saiz sederhana.

BAHAGIAN hadapan Lexus GS 350 yang diintegrasikan dengan rekabentuk model konsep LF-GH.


 

Lexus GS diposisikan antara model IS dan LS dengan generasi pertamanya mula diperkenalkan pada tahun 1993. Model GS generasi kedua dan ketiga bagaimanapun tidak dijual secara rasmi di Malaysia. Ini kerana Lexus Malaysia hanya ditubuhkan pada tahun 2007. Sejak itu, ia mula menawarkan model GS bersama varian daripada rangkaian model LS.

Kini, model yang ditunggu-tunggu itu sudah berada di pasaran. Bulan lalu, Lexus Malaysia secara rasminya memperkenalkan rangkaian Lexus GS 2012 yang direka bagi memberikan kemewahan dan prestasi menerajui kelasnya.

Diimport sepenuhnya dari Jepun, Lexus GS bukan sekadar sebuah kereta yang selesa dan mewah. Ia juga mampu menawarkan pemandu dengan pengendalian hebat, tahap keselamatan yang tinggi dan penjimatan bahan api.

Presiden UMW Toyota Motor, Ismet Suki memberitahu, komen-komen positif daripada media tempatan dan antarabangsa membuktikan bahawa Lexus GS telah menepati, malah melangkaui segala jangkaan.

“Lexus GS mewakili prinsip berterusan Lexus iaitu ‘Pursuit of Perfection’. Maksudnya, peningkatan standard dari segi kejituan kualiti, ketelitian dan gaya. Walaupun tidak begitu menonjol, perubahannya cukup bermakna dan nyata. Sekali gus membawa pengalaman Lexus GS ke tahap seterusnya,” kata Ismet.

Demi memenuhi kehendak pelanggan yang berbeza, Lexus Malaysia membawa GS dalam lima varian iaitu GS250, GS250 Luxury, GS350 Luxury, GS250 F SPORT dan GS350 F SPORT. Harga yang ditawarkan bermula daripada RM366,200 hingga RM464,800 bergantung kepada varian.

Harus tahu bahawa jentera tersebut menampilkan falsafah rekabentuk baharu yang dikenali sebagai “L-finesse”. Maka tidak hairanlah jika GS kelihatan lebih canggih dan berani.

Cara untuk mengenalpastinya mudah, lihat sahaja kepada rekaan gril hadapannya. Rekaan gril itu bakal digunakan pada semua model Lexus sebagai simbol identiti keteguhan jenama dan masa depan Lexus.

Selain gayaan L-finesse, Lexus GS diintegrasikan dengan rekabentuk model konsep LF-GH yang mula dipertontonkan kepada umum pada awal tahun 2011. Merupakan evolusi kepada hala tuju rekaan yang dibangunkan untuk model hibrid Lexus CT200h, bahagian hadapannya itu membuatkan Lexus GS dapat dikenal pasti dengan pantas walaupun dilihat sekilas pandang.

Penampilan luarannya juga menandakan pendekatan baharu berkaitan aliran angin tubuhnya yang aerodinamik. Pendek kata, setiap garis pada tubuh Lexus GS membantu mengawal pergerakan kenderaan dan meningkatkan kestabilan pengendaliannya.

Sementara itu, ruang kabin GS juga tidak terkecuali mengalami perubahan besar. Ia menampilkan paparan Electro Multi Vision paling besar yang pertama dalam dunia automotif. Skrin bersaiz 12.3 inci itu cukup untuk menyokong paparan peta, audio, kawalan suhu atau maklumat-maklumat penting lain yang dikehendaki oleh pemandu secara serentak.

Mengulas tentang ruang dalaman, Ismet menjelaskan beberapa teknologi berinovasi tinggi diaplikasikan buat pertama kali pada Lexus GS baharu. Misalnya, tetikus komputer Remote Touch Controller Lexus yang membolehkan pemandu mengendalikan pelbagai sistem tanpa perlu mendepakan tangan untuk menekan butang atau suis.

Berita baik untuk mereka yang gemar mendengar muzik. Untuk varian Luxury dan F SPORT, anda boleh memilih sistem audio yang menawarkan kuasa dan kejelasan tiada tandingan. Sistem audio jenama Mark Levinson hadir bersama 17 unit pembesar suara yang memberikan kualiti bunyi terbaik.

Bercerita tentang prestasi, GS250 dijana oleh unit enjin 2.5-liter V6 yang mampu menjana kuasa sehingga 207hp dan tork maksimum 253Nm. Sementara varian GS350 pula menggunakan enjin 3.5-liter V6 yang sedia menyalurkan kuasa mencecah 306hp dan tork 378Nm.

Kedua-dua enjin dengan Dual VVT-I itu turut menampilkan sistem pancitan bahan api EFI-D4S. Fungsinya adalah untuk mengoptimumkan penghantaran bahan api dan telah ditala untuk meningkatkan kuasa serta menjimatkan minyak.

Buat pertama kalinya dalam enjin Lexus, satu unit Sound Generator telah dipasang untuk menambah tekanan bunyi pada frekuensi tertentu bagi menghasilkan bunyi enjin yang lebih sedap didengar.

Enjin-enjin itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan automatik Super ECT Lexus bernisbah pendek. Kuasa enjin diagih ke roda belakang kenderaan dengan pantas dan lancar. Transmisi itu juga diprogramkan dengan pelbagai mode pemanduan yang boleh dipilih menerusi Drive Mode selector.

Maknanya, selain mode Normal, Lexus GS menawarkan pemanduan menjimatkan atau ECO. Sebaik sahaja mode ECO dipilih, pemetaan pendikit, sistem pemanas tempat duduk pendingin hawa diubah untuk menjimatkan bahan api. Malah lampu meter juga akan bertukar menjadi biru.

Walaupun komuniti Lexus tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan pemilik jenama mewah lain, Lexus sebenarnya sudah mampu membentuk kelompok peminatnya tersendiri. Apa yang diperlukan oleh Lexus adalah masa untuk meyakinkan bahawa produknya tidak kalah dari segi rekabentuk dan teknologi berbanding pesaing-pesaingnyanya.

Lexus Malaysia mula menerima tempahan untuk model GS sejak 1 Februari lalu. Ia mensasarkan untuk menjual sekitar 150 unit Lexus GS sehingga akhir tahun ini.

Preve bukti keunggulan PROTON

April 17, 2012 by  
Filed under Permotoran

Comments Off

Sedan baru tepati kualiti dan piawaian keselamatan antarabangsa

PROTON Preve ditawarkan pada harga RM59,990 hingga RM72,990 seunit.

PROTON Preve ditawarkan pada harga RM59,990 hingga RM72,990 seunit.


PROTON Preve, kereta global pertama keluaran PROTON Holdings Bhd (PROTON), akan menjadi model perintis untuk mengukuhkan kembali penguasaan pasaran pengeluar kereta nasional itu, baik di pasaran tempatan mahupun di luar negara.

 Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata model itu juga akan menjadi perintis kepada perubahan dalam penghasilan setiap model baru PROTON di masa depan.
Produk PROTON memang sudah diterima di peringkat antarabangsa ketika ini. Namun begitu, kita tidak harus berpuas hati. Kita mesti bertindak lebih agresif lagi dalam mengembangkan aktiviti eksport ke luar negara dan menjadi lebih berteknologi maju, terus mampu menawarkan pelanggan kenderaan yang sewajarnya, mampu memperkukuh jualan dan khidmat selepas jualan di peringkat antarabangsa, dan mampu berkembang lebih kukuh sebagai jenama yang memiliki reputasi yang baik, yang dipercayai, diutamakan dan mampu menjadi pengeluar kereta yang kompetitif. – Mohd Khamil

“PROTON Preve adalah bukti akan kemampuan PROTON setakat ini dalam usahanya bersaing pada pelbagai peringkat pasaran global.

“Dengan model ini, apa yang PROTON cuba nyatakan adalah model ini akan menjadi permulaan baru bagi kami, iaitu antara lain memperkenalkan arah baru reka bentuk produk dari segi kualiti dan keselamatan yang mampu bersaing di pelbagai pasaran dunia,” katanya pada majlis pelancaran model itu yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Seri Kembangan, semalam.

Hadir sama Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor: Penasihat PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; dan Pengerusi Eksekutif PROTON, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Syed Zainal berkata, sebagai permulaan, pihaknya memperuntukkan 20 peratus daripada jumlah pengeluaran Preve untuk pasaran eksport.

“Selain pasaran domestik, Preve akan dieksport ke luar negara, dengan Indonesia sebagai destinasi pertamanya pada Julai atau Ogos ini, sebelum memasuki Thailand, Australia, United Kingdom dan Asia Barat,” katanya.

Syed Zainal berkata, Preve dijangka mampu dijual sekitar 4,000 hingga 4,200 unit sebulan dan kini sudah menerima lebih 1,000 unit tempahan sejak mula ditampilkan secara teaser pada Pameran PROTON Power of 1 di Bukit Jalil, bulan lalu.

Sementara itu, Najib berkata, keupayaan untuk mengeluarkan sebuah kereta yang global adalah suatu mercu tanda kejayaan yang amat penting kepada PROTON kerana untuk mencapai tahap piawaian dan standard antarabangsa terbabit, ketelitian dan fokus kepada aspek kualiti tidak boleh dipandang ringan.

“Semuanya harus berada pada tahap global standard. Saya sendiri sangat berbangga dengan keupayaan PROTON dan ini membuktikan bahawa kereta kita juga setaraf atau lebih baik dari kereta berjenama antarabangsa yang lain,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kereta berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata untuk memastikan PROTON dan semua syarikat automotif tempatan dapat bersaing dengan kereta terkemuka dunia, kerajaan menerusi Dasar Automotif Negara (DAN) sudah menggariskan pelbagai insentif bertujuan meningkatkan daya saing industri automotif tempatan bagi jangka panjang.

Katanya, ini termasuk penyediaan pelbagai insentif dan pakej geran dan dana automotif yang komprehensif serta pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan usaha sama strategik dengan rakan dagang utama negara.

“Kerajaan juga sedang mengkaji semula DAN yang akan merangkumi skop yang lebih luas dengan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk syarikat kereta, vendor, institusi kewangan dan pengguna.

“Pembentangan cadangan akhir ini, akan dibentangkan di mesyuarat Kabinet tidak lama lagi,” katanya.

Preve, yang kini boleh didapati di semua bilik pameran Proton Holdings di seluruh negara, ditawarkan dalam tiga varian, iaitu standard eksekutif transmisi manual, standard eksekutif transmisi automatik dan spesifikasi premium transmisi automatik.

Versi standard eksekutif transmisi manual menggunakan enjin 1.6 liter IAFM Continuous Variable Transmission (CVT) lima kelajuan, dan tujuh kelajuan untuk versi automatik, sementara versi spesifikasi premium pula menggunakan enjin 1.6 liter Caj Keberkesanan Minyak (CFE) turbo dengan CVT Protonic tujuh kelajuan.

Model baru itu ditawarkan pada harga RM59,990 seunit bagi versi standard eksekutif transmisi manual, RM62,990 bagi automatik standard eksekutif CVT, dan RM72,990 seunit bagi versi premium.

Semua varian berkenaan ditawarkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer, atau yang mana terdahulu.

Menurut Mohd Khamil berkata, Preve, model bercirikan teknologi paling canggih pertama yang ditawarkan kepada pasaran secara besar-besaran itu, akan membuka lembaran baru buat syarikat kereta nasional itu dalam memasarkan produknya yang menepati semua cita rasa pasaran.

“Produk PROTON memang sudah diterima di peringkat antarabangsa ketika ini. Namun begitu, kita tidak harus berpuas hati. Kita mesti bertindak lebih agresif lagi dalam mengembangkan aktiviti eksport ke luar negara dan menjadi lebih berteknologi maju, terus mampu menawarkan pelanggan kenderaan yang sewajarnya, mampu memperkukuh jualan dan khidmat selepas jualan di peringkat antarabangsa, dan mampu berkembang lebih kukuh sebagai jenama yang memiliki reputasi yang baik, yang dipercayai, diutamakan dan mampu menjadi pengeluar kereta yang kompetitif,” tegasnya.

Preve turut mendapat sentuhan anak syarikat milik penuh PROTON, iaitu Lotus Engineering, khususnya dari segi kawalan pemanduan dan pengendalian, yang mampu bertindak balas dengan baik di selekoh pada kelajuan tinggi.

SPESIFIKASI: Proton Preve

  • Enjin 1.6 liter turbo ringan menghasilkan kuasa sama 2.0 liter enjin biasa
  • 138 kuasa kuda, kilasan 205Nm
  • Sistem butang penghidup enjin untuk Premium
  • Stering kuasa hidrolik
  • Brek ABS dengan EBD
  • Dwi beg udara SRS untuk semua varian dan beg udara sisi untuk Premium saja
  • Dilengkapi dengan sambungan 4G WiFi dan sistem navigasi GPS
  • Sistem audio dengan pemain CD MP3 dengan Bluetooth, USB dan sambung iPod
  • Warna pilihan Blue lagoon, Fire red, Genetic silver, Solid white, Tranquility black, Elegant brown
  • Kesemua varian didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km
  • Tiga varian : Premium (harga dari RM72,990), Eksekutif CVT (harga dari RM62,990), Eksekutif (harga dari RM59,990)

Jelmaan baru Sunny bakal diperkenal

April 16, 2012 by  
Filed under Permotoran

Comments Off

NISSAN Almera yang diedarkan di pasaran Amerika Syarikat bakal diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi.

TAN Chong Motor Holdings Bhd (TCM), pemegang francais, pengedar dan pemasang tunggal kenderaan Nissan di Malaysia, dijangka memperkenalkan versi baru model Nissan Sunny secara pemasangan tempatan (CKD) pada separuh kedua tahun ini.

Sumber berkata, Nissan Sunny, iaitu model yang sudah hampir 15 tahun dihentikan jualannya di Malaysia itu, akan ditampilkan semula dengan nama Almera.

Katanya, model yang pernah menjadi kebanggaan pemiliknya sekitar tahun 80-an dan awal 90-an itu akan menemui pengguna di pasaran tempatan dengan janaan kekuatan enjin 1.5 liter lengkap transmisi Xtronic CVT, sekali gus mampu menjadikan penggunaan bahan api lebih cekap dan ekonomi.

“Disasarkan kepada golongan keluarga berusia lewat 20-an yang inginkan sebuah kereta bersaiz sederhana dengan kombinasi reka bentuk dinamik dan ruang yang luas, Nissan Almera akan mempunyai penampilan lebih segar, selain daripada dijangka mendahului pesaing lain dalam kelasnya dari segi penjimatan minyak.

“Ia bakal diperkenalkan dengan harga cukup berpatutan dalam satu pakej lengkap,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Pengurusan kanan TCM bagaimanapun gagal dihubungi bagi mengulas perkembangan ini.
Pengenalan model CKD itu bakal memeriahkan lagi industri automotif tempatan sepanjang tahun ini di sebalik pelaksanaan garis panduan pinjaman kenderaan lebih ketat oleh Bank Negara Malaysia.

Selain Proton Holdings Bhd yang akan melancarkan kereta global baru pertamanya, iaitu PROTON Preve hari ini, beberapa peserta automotif tempatan lain dijangka turut akan menampilkan barisan model baru serta model yang di naik taraf dengan suntikan ciri elemen yang lebih segar bagi meraih sebahagian penguasaan pasaran automotif tempatan.

Nissan Almera dikatakan mempunyai ruang kaki lebih luas berbanding kebanyakan kereta sedan lain, cukup luas untuk lima penumpang dewasa untuk duduk selesa.

Model yang dilengkapi dengan rekaan dalaman dan luaran yang serba moden dan disasarkan untuk meneruskan legasi Sunny ini, akan menerapkan ciri hiburan terkini dengan sistem bluetooth, paparan sistem navigasi dengan skrin sentuh lima inci dan sambungan iPod/USB.

Penganalisis automotif dari sebuah bank pelaburan tempatan, ketika dihubungi berkata, pengenalan Nissan Almera dijangka akan mengukuhkan lagi penguasaan TCM dalam sektor automotif tempatan.

Katanya, ini berikutan model itu berada dalam landasan terbaik untuk muncul sebagai model jualan paling laris buat kumpulan itu dalam tempoh dua tahun ini.

“Kami difahamkan pihak pengurusan TCM menetapkan sasaran untuk menjual Nissan Almera sekitar 12,000 hingga 15,000 unit setahun, atau kira-kira 1,000 hingga 1,250 unit sebulan.

“Dengan sasaran jualan ini, model berkenaan mudah mengatasi jualan MPV Grand Livina, iaitu model paling laris TCM dengan jualan sekitar 1,000 unit sebulan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, dengan mengandaikan TCM berupaya meraih jualan sekitar 15,000 setahun, kumpulan itu dijangka mudah untuk menguasai penguasaan pasaran dalam kenderaan segmen B sebanyak sembilan peratus.

Penerus DNA Swift

April 14, 2012 by  
Filed under Permotoran

Comments Off

SMA optimis Kizashi mampu menarik minat golongan yang tahu menghargai kepakaran Suzuki.

 

BULAN lalu, pengedar kenderaan jenama Suzuki di Malaysia, Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd. (SMA) menambah produk baharu dalam rangkaian model yang ditawarkannya.

Di pasaran Malaysia, jenama Suzuki cukup dikenali menerusi model kompaknya, Swift. Dibawa masuk sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, Swift kemudian dipasang tempatan (CKD) di kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang berikutan maklum balas positif yang diterimanya.

Populariti Swift banyak berkisar kepada kualiti pengendalian, praktikaliti dan penjimatan minyak yang sememangnya menjadi kepakaran Suzuki. Kini, SMA tidak mahu sekadar berpuas hati dengan Swift. Entiti yang sebelum ini menawarkan model Alto, SX4 Sport Crossover dan Grand Vitara itu kini mahu menguji pasaran lebih kompetitif.

Memposisikan dirinya dalam segmen D, tugas Suzuki Kizashi untuk meyakinkan bakal pembeli untuk memilihnya dan bukan Toyota Camry, Honda Accord, Mazda6 atau Nissan Teana pastinya bukan mudah. Namun, itulah cabaran yang ingin disambut oleh SMA.

Suzuki Kizashi sudah menjengah pasaran-pasaran lain sejak tahun 2009 lagi. Malah berita kehadiran sedan kompak itu bukan cerita baharu. Kelewatan pengenalannya di Malaysia sebenarnya banyak dipengaruhi oleh proses penentuan tanda harga yang wajar diletakkan padanya.

Akhirnya, SMA mengumumkan tawaran dua varian untuk Kizashi. Varian SLDX ditawarkan pada harga RM147,888 seunit. Bagi model Sport pula, ia boleh anda miliki pada harga RM158,888.

Saya memandu uji varian Sport. Sesuai dengan namanya, penampilan Kizashi memang sporty dan kompak. Sekali pandang, ia memang boleh menarik minat mereka yang mahu mencari sedan segmen D dan tidak gemarkan rekaan selamat.

Kizashi menyerlah menerusi rekaan gril hadapan yang lebar. Selain sepasang lampu utama besar. Bahagian belakang pula nampak kemas dengan rekaan spoiler yang diintegrasikan terus pada but dan sepasang lubang ekzos berbentuk tidak konvensional. Rupanya disempurnakan lagi dengan penggunaan rim aloi bersaiz 18 inci yang memenuhi arca rodanya.

Ketika banyak pengeluar kenderaan mengamalkan proses pengecilan saiz enjin (downsizing), Suzuki nampaknya mengekalkan komposisi enjin besarnya itu. Tindakan tersebut dibuat mungkin kerana persaingan sekelasnya yang lain turut memiliki enjin bersesaran sama.

Enjin itu mampu menjana kuasa mencecah 180hp @ 6,500rpm dan tork puncak 230Nm @ 4,000rpm. Angka itu sudah boleh menceritakan keseronokan memandu Kizashi yang tidak pernah kekurangan kuasa.

ANDA pasti tidak kecewa jika memandu Kizashi menghampiri selekoh pada kelajuan tinggi.

 

Tekan sahaja pedal minyak, kuasa dihantar terus ke roda hadapan tanpa banyak cerita. Sekiranya pedal ditekan keras, anda akan dapat mendengar enjin aspirasi biasa (NA) itu mengaum dan tubuhnya meluncur pantas.

Kuasa enjin tersebut diagih melalui kotak gear CVT (Continuous Variable Transmission) enam kelajuan. Saya boleh katakan bahawa operasinya lancar dan responsnya pantas, terutama jika kedudukan gear diubah secara manual menggunakan paddle shifter. Disebabkan oleh kuasanya itu, jangan terkejut jika anda ketagih untuk bermain dengan paddle shifter lebih kerap.

Markah penuh Kizashi adalah ketika ia mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Suzuki nyata meneruskan DNA pengendalian cemerlang daripada model kompaknya kepada Kizashi. Olengan tubuhnya minimum dan meyakinkan.

Berada di dalam Kizashi, anda boleh mengharapkan pemanduan yang selesa. Walaupun suspensi sport itu membuatkannya sepuluh milimeter lebih rendah, ia tetap dapat menyerap ketidaksempurnaan jalan raya dengan baik.

Sudah menjadi kebiasaan Suzuki, kabin sedan itu dihampar dengan material berwarna hitam. Dari papan pemuka, panel sisi dan tempat duduknya, warna hitam menjadikan ruang dalaman itu rasa premium.

Papan pemukanya juga tidak semak dengan butang-butang kawalan. Sebaliknya, butang-butangnya disusun kemas untuk memudahkan pemandu mengawal suhu kabin dan memilih saluran radio yang hendak didengarnya.

Kizashi hadir bersama ciri butang start/stop. Pemandu hanya perlu menekan butang tersebut untuk menghidupkan enjin tanpa perlu memasukkan kunci ke dalam mana-mana slot.

Mungkin terlalu awal untuk menilai prestasi Kizashi di pasaran tempatan. Apa yang pasti, Kizashi bukan untuk mereka yang gemarkan sedan terlalu besar. Tetapi ia boleh memuaskan ekspektasi mereka yang mahukan jentera kompak padat kuasa bersama kualiti pengendalian di luar jangkaan.

Beetle lumba RWB

April 12, 2012 by  
Filed under Permotoran

Comments Off

JIKA ditanya model apakah yang patut dijadikan ikon dunia pemotoran, jawapan saya sudah semestinya Volkswagen Beetle.

SPOILER jenis ‘duck tail’ yang menyerlahkan identiti RWB.


Kereta rakyat yang merupakan ilham Adolf Hitler dan direalisasikan oleh legenda pemotoran Jerman, Dr. Ferdinand Porsche adalah bukti bahawa kejuruteraan yang ringkas mampu muncul sebagai satu hasil reka cipta ikonik di seluruh dunia.

Walaupun ia hasil daripada idea seorang diktator gila, namun kita harus berterima kasih kepada Hitler kerana telah melahirkan Volkswagen Beetle ke dunia. Bayangkan kereta yang dicipta sebelum perang dunia kedua itu terus dihasilkan sehingga ke awal abad ke-21 di Mexico sebelum produksinya di sana ditutup buat selama-lamanya!

Volkswagen Beetle mempunyai pengikut yang cukup ramai di Malaysia dan acara Bug Fest menjadi medan pertemuan peminat-peminat Beetle dalam negara. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa model itu jugalah yang menjadi pemangkin kepada industri modifikasi tempatan.

Buktinya, sekitar tahun 1980-an ramai pemilik Beetle yang berjaya mengubahsuai kereta mereka menjadi sebuah Porsche. Malah Beetle yang jadi Rolls-Royce pun ada!

Memandangkan rekabentuk kereta itu dihasilkan oleh orang yang sama mereka bentuk Porsche 911, maka tidak hairanlah kedua-dua kereta tersebut mempunyai bentuk yang hampir sama. Kedudukan enjin di belakang juga dikongsi bersama, termasuklah penggunaan enjin jenis boxer sejukan udara yang cukup unik dan tidak pernah digunakan pada kereta lain.

Rauh Welt Begriff

Jadi, andainya anda seorang peminat Porsche 911 tetapi hanya mempunyai sebuah Beetle, jangan risau, itulah kereta yang cukup sesuai dijadikan bahan projek. Kami amat bertuah berjumpa dengan Ojan, iaitu pemilik Beetle yang cukup unik ini.

Projek Beetle itu bukanlah bertujuan mengubah 100 peratus bentuk Beetle kepada sebuah Porsche, tetapi untuk menjadi model pertama yang mengikut gaya modifikasi Rauh Welt Begriff.

Saya faham, ramai yang tidak kenal apa itu Rauh Welt Begriff atau RWB. RWB ialah sebuah syarikat talaan kereta Porsche 911 yang berpangkalan di Jepun. Ia merupakan syarikat talaan JDM (Japan Domestic Market) untuk kereta buatan Jerman. Kereta-kereta rekaan mereka adalah untuk tujuan perlumbaan. Antara trademark rekaan mereka ialah kit badan jenis lebar.

Sebelum memulakan projek, Ojan telah berhubung dengan wakil syarikat RWB bagi mengetengahkan ideanya dan meminta kebenaran untuk menggunakan nama RWB bagi rekaannya. Apa yang mengejutkan, wakil syarikat RWB amat menggemari ideanya dan memberikan Ojan kebenaran untuk menggunakan nama RWB untuk Beetlenya (kira macam iklan percumalah bagi RWB).


Jadi apa yang telah Ojan lakukan ke atas Beetle miliknya? Kereta itu dari segi modifikasi sebenarnya agak ringkas. Tetapi hasil kerjanya cukup teliti dan mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan. Beetle tersebut adalah keluaran tahun 1970-an yang mempunyai rekabentuk lampu depan dan belakang yang sedikit berbeza dari model tahun 1960-an.

Badan dan kerangka kereta ditanggalkan sepenuhnya, sebelum dipulih semula bagi menggantikan mana-mana komponen yang telah berkarat. Enjin asalnya hanya bersesaran 1,100cc (enjin paling kecil) dan Ojan telah menggantikannya dengan enjin 1,600cc.

Enjin boxer itu tidak banyak diubah suai, cuma sebuah takal (pulley) utama boleh laras dan perangkap pelincir Cusco dipasang. Sistem ekzos enjin turut dirombak semula dengan sistem ekzos custom yang merangkumi bahagian ekstraktor, paip dan peredam bunyi.

Sistem gantungan Beetle itu pula menggunakan penyerap hentak custom buatan Titan yang memberikannya tahap kerendahan yang diperlukan. Pada masa yang sama menawarkan pengendalian lebih baik. Brek gelendong pada roda hadapan ditukar dengan brek cakera bagi memberikan sedikit kelebihan ketika membrek. Rim aloi 16 inci dengan tayar BF Goodrich menjadi pilihan Ojan bagi memberikan Beetle gaya retro moden yang dikehendakinya.

Inspirasi daripada RWB nampak jelas pada pemilihan kit badan dan warnanya. Seperti yang saya katakan sebelum ni, Beetle itu tidak cuba menjadi sebuah Porsche, tetapi ingin menjadi sebuah Beetle yang RWB boleh berbangga dengannya.

Ojan telah menambah spoiler lips di bahagian hadapan yang diinspirasikan dari rekaan RWB. Spoiler itu dipadankan dengan rekaan spoiler jenis “duck tail” pada bonet belakang yang sememangnya mengikut identiti rekaan RWB untuk kereta Porsche.

Memandangkan RWB menghasilkan kereta untuk tujuan perlumbaan, Ojan mengambil idea tersebut dengan memasang klip bonet ala perlumbaan dan lampu hadapan menggunakan tint berwarna kuning. Warna pilihan Ojan ialah hitam atau matte black yang menyempurnakan lagi gaya sebuah kereta rekaan RWB.

Ruang dalaman Beetle itu adalah bahagian yang paling menarik. Sebabnya, Ojan telah melakukan sendiri kerja-kerja fabrikasi papan pemuka yang mengambil rekabentuk papan pemuka sebuah Porsche 911. Dengan menggunakan gentian kaca dan fabrik, dia merombak semula bahagian papan pemuka asal Beetle dan menghasilkan satu kerja seni yang menarik.

PAPAN pemuka yang mengambil inspirasi model Porsche 911.


Meter-meter asal kereta tidak lagi digunakan. Sebaliknya diganti dengan meter-meter Auto Gauge dan JASMA yang berinspirasikan kepada perlumbaan. Stereng asalnya diganti dengan stereng Elevo Racing jenis deep dish, manakala pedal-pedal asal Beetle ini ditukar dengan pedal OMP.

Selari dengan imej kereta lumba, tempat duduk asal Beetle diganti dengan tempat duduk bucket bersama tali keledar perlumbaan dari Takata. Tidak ada pendingin hawa atau sistem audio di dalam kereta itu, malah tempat duduk belakang pun sudah dibuang! Cuma yang kurang hanyalah roll cage yang akan melengkapkan gaya sebuah kereta trek sebenar.

Ford B-MAX: MPV Kompak AS

April 11, 2012 by  
Filed under Permotoran

Comments Off

KEMELESETAN ekonomi global sebenarnya satu kejutan daripada tidur untuk beberapa pengeluar kereta. Apabila berdepan masalah, mereka sedar daripada lena dan kembali bangkit. Masa itu barulah eksekutif-eksekutif tinggi sedar yang strategi digunakan selama ini adalah salah dan merapu.

B-MAX tampil dengan rekabentuk luaran yang kemas dan tidak membosankan.


 

Sindrom syok sendiri memang dipegang oleh firma-firma berjaya atau yakin mereka sudah berada di landasan yang betul. Sudahnya, apabila sambutan pasaran merudum atau ramai bakal pembeli beralih ke jenama lain, barulah strategi diubah.

Ford sebagai syarikat pertama yang menghasilkan kereta dengan skala besar juga tidak dapat lari daripada situasi sama. Perhatikan contoh ini. Model Ranger adalah pembuka jalan kepada populariti trak pikap di Malaysia. Tidak pernah terfikir pada masa itu, trak pikap akan berjaya sebagai kenderaan dwikegunaan sama ada untuk kerja atau famili.

Namun Ford berjaya menerokanya. Berikutan sambutan yang hangat, pengeluar-pengeluar lain mengeluarkan trak pikap masing-masing. Dilawan hebat oleh Mitsubishi Storm dan kini carta trak pikap paling laris dipegang oleh Toyota Hilux.

Pada waktu itu, entah kenapa Ford mengambil masa yang begitu lama untuk menghasilkan model pengganti. Mujur kini mereka sudah sedar dan Ford bakal melancarkan Ranger serba baharu tidak lama lagi.

Fenomena Ford kini kembali. Jika diperhatikan di jalan-jalan raya sudah banyak Ford Fiesta diselangi barisan-barisan jenama popular lain seperti Proton, Perodua, Toyota dan Honda.

Bukan setakat itu, di kawasan rumah saya sendiri sudah ada pusat jualan dan servis Ford. Ini petunjuk makmurnya bisnes Ford sekarang. Mereka telah berjaya mengeluarkan produk yang betul, untuk pasaran yang betul dan pada masa yang betul.

Berbeza dengan pengeluar daripada Amerika Syarikat (AS) lain yang lazimnya tampil dengan kereta-kereta besar berenjin V, Ford sudah biasa mengeluarkan kereta mengikut citarasa global. Itulah sifir tepat untuk terus kekal dalam survival bisnes automotif. Terkini di United Kingdom (UK), Ford memperkenalkan B-MAX, sebuah MPV kompak dengan sesaran enjin 1.4 liter.

Dengan B-MAX, Ford nampak bangga dengan inovasi pintu gelongsornya yang unik. Pada sebelah sisi, B-MAX tidak mempunyai tiang tengah. Ciri itu membolehkan ruang untuk akses penumpang menjadi lebih luas.

Apa yang Ford lakukan adalah menggabungkan struktur tiang tersebut pada pintu hadapan dan sisi, berbanding binaan tradisional iaitu tiang pada badan kenderaan. Hasilnya, bukaan ruang akses penumpang lebih besar iaitu 1.5 meter lebar.

Keluasan tersebut membolehkan penumpang memasuki tempat duduk belakang dengan mudah. Selain senang untuk memuat dan menurunkan barang-barang.

Pintu gelongsor pada kedua-dua belah sisi itu juga sangat berguna di jalan yang sibuk dan ruang parkir yang sempit. Sebabnya, penumpang tidak perlu menguak pintu. Paling menarik, pemandu dan penumpang hadapan boleh memasuki ruangnya tanpa perlu membuka pintu hadapan.

ECOnetic Technology

Selain itu, B-MAX turut menawarkan penggunaan minyak yang efisien melalui ECOnetic Technology. Para pembeli B-MAX mempunyai beberapa opsyen enjin. Antaranya ialah enjin tiga silinder Ford EcoBoost.

PINTU sisi unik yang membuatkan B-Max berbeza dengan MPV kompak lain di pasaran.


Enjin tersebut boleh didapati dengan dua kuasa output sama ada 100PS atau 120PS. Enjin petrol lain yang ditawarkan ialah 1.4 liter Duratec berkuasa 90PS dan 1.6 liter Duratec berkuasa 105PS. Ia dipadankan dengan transmisi Powershift Ford enam kelajuan automatik dengan teknologi klac berkembar termaju.

Bagi mereka yang mahukan enjin diesel, Ford menawarkan dua versi enjin Duratorq TDCi. Versi pertama ialah 1.6 liter berkuasa 95PS. Sementara versi kedua pula ialah 1.5 liter berkuasa 75PS. Aneh bunyinya MPV kompak begini ditawarkan enjin diesel.

Tetapi begitulah trendnya di Eropah, mereka lebih gemar enjin diesel. Pastinya ia lebih menjimatkan dan bersih berbanding enjin diesel di pasaran tempatan. Teknologi enjin diesel dunia sebenarnya telah maju. Malangnya, senario pasaran dan undang-undang negara tidak memberi pemahaman sebenar mengenai hakikat itu.

Pakej ECOnetic Technology Ford pula didatangkan standard pada semua varian B-MAX. Antara peralatannya ialah stereng berkuasa elektrik (EPS) yang menggunakan kurang kuasa berbanding sistem hidraulik.

Peralatan lain ialah Gear Shift Indicator yang memberi isyarat untuk menukar gear pada masa yang paling efisien. Sistem informasi pemandu iatu Ford Eco Mode pula dapat membantu pemandu untuk memandu dengan cara lebih ekonomikal. B-MAX turut dilengkapi dengan Smart Regenerative Charging yang dapat mengecas semula bateri pada poin paling ekonomikal dalam kitaran operasi enjin.

Kesan kemelesatan ekonomi global bukan setakat mempengaruhi cara bisnes pengeluar automotif. Malah memberi kesan kepada pengguna. Mereka kini tidak mewah berbelanja dan lebih berhati-hati jika hendak mengeluarkan wang.

Kereta yang tidak efisien perlu diganti. Salah satu caranya adalah dengan mengecilkan sesaran enjin (downsizing). Hendak tergelak pun ada apabila Ford yang berasal dari AS dan mewah dengan minyak kini memberi fokus kepada kereta kompak dan enjin kecil. Tetapi itulah hakikatnya, syarikat yang syok sendiri dan hanya fikir dirinya sendiri sahaja yang betul lebih cepat untuk bungkus, dalam erti kata lain, bankrap. – Newspress

Misi kuasai industri automotif dunia

April 8, 2012 by  
Filed under Permotoran

Comments Off

JENAMA Volkswagen (VW) kini melanda pasaran automotif di seluruh dunia bagaikan wabak yang amat sukar diubati. Di mana sahaja pasaran yang dimasukinya, kenderaan jenama tersebut diterima baik. Ini sekali gus membuatkan pesaing lain terpaksa memikirkan strategi terbaik untuk mengekang penguasaannya.


Penerimaan positif terhadap kereta VW didokong oleh beberapa faktor. Paling utama pastinya teknologi enjin dan transmisi di samping model-model malar segar keluarannya seperti Beetle dan Golf, varian yang memenuhi kehendak pelanggan serta rekabentuk futuristik jentera terkininya.

Selepas sukses di Eropah, VW kini menumpukan perhatiannya ke pasaran Asia yang pesat membangun. China dan India menjadi lokasi seterusnya buat VW mengembangkan pengaruhnya.

Malaysia nampaknya tidak terkecuali menerima tempias. Bukan sahaja jumlah kenderaan VW kian bertambah di atas jalan raya, malah program pemasangan tempatan (CKD) VW bersama pihak DRB-Hicom membuktikan VW tidak mahu sekadar menjadi jenama Eropah sampingan di pasaran tempatan.

Sepuluh jentera

Misi untuk menjadi peneraju industri automotif dunia adalah berpaksikan kepada Strategi 2018 yang disusun oleh VW. Dalam strategi yang diilhamkan pada tahun 2008 itu, VW dengan jelas menyatakan bahawa ia akan melabur sebanyak AS$82 bilion (RM250 bilion) untuk kilang-kilang pemasangannya, peralatan dan hartanah untuk tempoh lima tahun akan datang.

FIRMA rekabentuk Italdesign Giugiaro mempamerkan kemahiran mereka menerusi model Brivido Concept.

Sekali dengar, matlamat itu seolah-olah tidak jauh berbeza dengan syarikat automotif gergasi yang lain misalnya Toyota atau GM. Namun, VW menegaskan bahawa misi tersebut mahu dicapai menerusi pengenalan model-model baharu, di samping terus membangunkan jentera hibrid dan elektrik.

“Volkswagen AG akan menjadi pengeluar nombor satu melalui pengenalan model-model baharu, menarik dan berkualiti tinggi,” kata Pengerusi Majlis Kerja Kumpulan Volkswagen, Bernd Osterloh.

Itu bukan cakap-cakap kosong. Buktinya, baru-baru ini VW memperkenalkan sepuluh jentera kepada dunia. Sepuluh jentera yang dimaksudkan ialah Audi A3, roadster paling laju di dunia, Bugatti Veyron 16.4 Grand Sport Vitesse, trak pikap Amarok Canyon, Porsche Boxster serba baharu, Skoda Citigo versi lima pintu, SUV Cross Coupé dengan sistem TDI plug-in Hybrid, Lamborghini Aventador Jota, SEAT Toledo Concept, SUV mewah penuh kuasa Bentley EXP9 dan kereta sport empat pintu Brivido Concept yang dihasilkan oleh pihak Italdesign Giugiaro.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Volkswagen AG, Profesor Dr. Martin Winterkorn memberitahu, Geneva 2012 menandakan bermulanya penstrukturan semula asas ekologikal syarikat tersebut.

“Kami bermatlamat menjadikan Volkswagen sebagai peneraju dalam aspek ekologikal. Justeru, kami akan mengurangkan kadar pengeluaran emisi kenderaan sebanyak 30 peratus dalam tempoh 2006 hingga 2015.

“Hasilnya, emisi kenderaan keluaran Volkswagen pada tahun 2015 akan mencapai tahap di bawah 120gram CO2 bagi setiap kilometer buat pertama kalinya. Malah, setiap generasi baharu kenderaan secara puratanya adalah sepuluh hingga 15 peratus lebih cekap berbanding model sebelumnya,” kata Winterkorn.

JENTERA sport Lamborghini Aventador Jota yang sememangnya memukau sesiapa sahaja.


Platform MQB

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengurusan Volkswagen AG, Ulrich Hackenberg menerangkan bagaimana platform Modular Transverse Toolkit (MQB) binaan VW akan mampu merevolusikan industri automotif dunia.

Secara ringkasnya, MQB ialah kit pemasangan atau platform yang sangat fleksibel. Komponen matriks itu dicipta bagi membolehkan VW mereka bentuk model-model berpacuan roda, enjin dan gandar hadapan dengan menggunakan set komponen yang sama.

Biarpun begitu, platform itu cukup fleksibel sehingga membolehkan model-model tertentu memiliki tapak roda, trek dan dimensi luaran yang berbeza.

Maka, kenderaan dapat dihasilkan dengan lebih efisien dan kos efektif. Kenderaan yang dijangka dibina di atas MQB terdiri daripada model-model mini dan kereta keluarga yang besar, sekali gus menggantikan generasi model sedia ada.

“Berdasarkan kepada MQB, teknologi bercekapan tinggi Volkswagen boleh dijadikan sebagai ciri standard pada semua model-model baharu pada masa akan datang. Pencapaian penting pada tahun ini ialah pengenalan model Audi A3 dan Golf Mark VII baharu,” jelas Hackenberg.

Hackenberg juga mengumumkan bahawa 2013 adalah tahun ‘e-mobility’ buat VW. Inisiatif itu dimulakan dengan model e-up! sebelum diikuti oleh jentera elektrik sepenuhnya atau hibrid daripada jenama-jenama di bawah VW.

SUV konsep Cross Coupe ini menggunakan sistem TDI plug-in hybrid.

Andai dikira, VW hanya mempunyai kurang enam tahun untuk merealisasikan segala perancangannya itu. Namun, jika dilihat kepada kemampuan kewangan, kepakaran, teknologi dan sumber manusia, tidak ada apa yang mustahil untuk dicapainya.

Ranger Rover Evoque Convertible

April 6, 2012 by  
Filed under Permotoran

Comments Off

LAND ROVER telah memperkenalkan kepada umum model konsep Range Rover Evoque Convertible pada Geneva Motor Show 2012 lalu.

MODEL ini dilihat cuba meneroka pasaran SUV convertible premium.

 

Model tersebut dijangka meneroka potensi SUV convertible premium pertama di dunia. Kereta konsep itu dibina di atas model Evoque Coupe yang mendapat sambutan hangat, selain meneruskan tradisi Land Rover yang gemar mencipta segmen pasaran baharu.

Jentera tersebut dipamerkan untuk menilai reaksi dan menilai potensi adakah ia bakal menjadi satu produk baharu buat Land Rover.

Ia dibangunkan oleh pasukan Rekabentuk Land Rover yang diketuai pengarahnya, Gerry McGovern.

Model konsep itu menampilkan sistem bumbung lembut yang boleh dilipat sepenuhnya menggunakan Roll Over Protection System [ROPS].

“Evoque memberi idea untuk mencipta sebuah convertible. Ia bukanlah satu rekabentuk convertible tradisional. Sebaliknya, kami mengambil kira bentuk dan garis sedia ada pada Evoque demi mengekalkan keunikannya,” kata McGovern. – Newspress

Ace 115 pengubah persepsi Modenas

April 4, 2012 by  
Filed under Permotoran

Comments Off

SESI tunggang uji motosikal kali ini diadakan di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC) di Air Keroh, Melaka. Litar sepanjang 1.7 kilometer (km) menjadi lokasi sekumpulan pengamal media menguji jentera terbaharu keluaran Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas).

Diberi nama Ace 115, jentera empat kelajuan dengan enjin bersesaran 120cc itu mempunyai keunikan tersendiri. Ia memiliki rupa paras seperti sebuah skuter. Kegunaan utamanya adalah untuk tunggangan harian dalam bandar dengan jarak di antara 30km hingga 100km.

Sejurus tiba di litar MIMC sekitar pukul 9.30 pagi, taklimat ringkas berhubung soal keselamatan diberikan. Kami kemudian menyarung baju pelindung, sarung tangan dan pad pelindung lutut sebelum duduk di atas pelana Ace 115.

Motor itu terasa sedikit tinggi kerana dilengkapi rim aloi berukuran 16 inci. Kami diberi peluang terlebih dahulu untuk melayan litar sebelum ujian sebenar diadakan. Tunggangan pertama membabitkan tiga pusingan. Pusingan pertama sudah membuktikan kemampuan kuasa tork Ace 115.

Daya pikapnya cukup responsif ketika melepasi beberapa selekoh tajam di litar. Penukaran gear dua hingga empat juga lancar walaupun dilakukan secara spontan pada kelajuan lebih 80km sejam (km/j).

Kesan gegaran enjin pada tapak kaki tidak ketara sewaktu jarum meter laju mencecah paras 100km/j. Enjin Ace 115 sama seperti yang dipasang pada model Kriss 120. Pendek kata, ia masih buatan Kawasaki.

Berbekalkan berat kering sebanyak 100 kilogram, underbone dengan kerangka segi empat itu masih mudah dikemudi ke kiri atau kanan. Hendal Ace 115 lebih pendek dan ringan kalau dibandingkan dengan model Kriss 120.

LAMPU latar belakang meter laju berwarna biru membantu mengurangkan keletihan mata sewaktu tunggangan malam.

 

Keseronokan tunggangan banyak berkait dengan aplikasi sistem suspensi jenis tunggal belakang (monoshock). Suspensi dengan kecondongan kira-kira 30 darjah itu memberi kestabilan yang bagus dan tidak membuai. Bagi memastikan cengkaman lebih baik, Modenas menggunakan tayar jenis IRC NR pada kedua-dua roda Ace 115.

Material polipropilena

Motosikal Modenas itu dilengkapi tangki berkapasiti 5.3 liter, paling besar dalam kelasnya. Setiap tangki penuh dikatakan mampu mencepai jarak perjalanan sehingga 250km pada kelajuan purata tunggangan 80km/j. Lebih spesifik, setiap liter menawarkan jarak sejauh 46.1km.

Sepanjang 15 pusingan di litar, kelajuan maksimum yang berjaya diperah hampir adalah 100km/j. Mengikut data kelajuan maksimum menerusi ujian kejuruteraan Modenas, angka sebenar ialah 86.9km/j. Mungkin meter Ace 115 jenis ringan.

Ace 115 dibangunkan untuk kegunaan dalam bandar. Sasaran pelanggannya adalah golongan muda berusia 16 hingga 24 tahun. Motosikal itu untuk keseronokan tunggangan dan bukannya jentera berprestasi. Jadi, kelajuan maksimum yang diberikan sebenarnya sudah cukup.

Material yang menyalut kerangkanya banyak diperbuat daripada polipropilena. Kelebihannya, ia sukar pecah jika anda terjatuh atau terlibat dalam kemalangan. Sementara baki komponen pada Ace 115 diperbuat daripada bahan ABS.

SISTEM suspensi tunggal dengan kecondongan kira-kira 30 darjah memberi kestabilan tunggangan.

 

Tunggangan di litar berbeza dengan realiti dalam bandar. Untuk berlaku adil, saya meminjam semula Ace 115 untuk mengetahui karakter sebenarnya dalam persekitaran bandar.

Ia nyata lebih mudah untuk mengharung kesesakan lalu lintas. Ini kerana hendalnya lebih pendek, manakala sistem penyerap hentak tunggal belakang itu tetap stabil ketika melanggar lubang-lubang di jalan raya.

Pencahayaan menerusi lampu hadapan pada bahagian tengah jentera disifatkan sebagai memuaskan. Kelipan lampu isyarat membelok juga ternyata mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain.

Kekurangan pada Ace 115 yang dikenal pasti ialah cermin sisinya. Ia agak kecil untuk melihat keadaan trafik dibelakang sewaktu menunggang. Namun, masalah itu boleh diatasi dengan menukar saiz cermin sisi yang berpatutan.

Modenas membuktikan komitmen untuk kembali bangkit dan memberi saingan menerusi Ace 115. Mereka mahu berdiri sama tinggi dengan kapcai jenama Jepun dalam pasaran tempatan. Tidak keterlaluan jika saya sifatkan Ace 115 sebagai ejen pengubah persepsi jenama Modenas.

Pandu Uji: Imej mewah, sporty

April 3, 2012 by  
Filed under Permotoran

Comments Off

MANTAP...Kia Forte Koup.

ARAH tuju pengeluar automotif Korea, Kia yang lebih mengutamakan rekaan terkini ternyata membuahkan hasil apabila mengeluarkan beberapa model terbaru dengan menggabungkan bentuk sporty dan moden.

Ia seolah-olah memberi nafas baru kepada syarikat itu untuk menawarkan kenderaan dengan mendahului pesaing lain terutama pengeluar kenderaan negara jiran, Jepun.

  • FotoSPORTY…pandangan belakang.
  • FotoGARANG…lampu berbucu tajam.
  • FotoMENARIK…papan pemuka.
  • FotoPADAT…enjin 2 liter menghamburkan kuasa maksimum 156 PS.
  • FotoBESAR…rim 17 inci.
  • FotoLUAS…ruang kabin.
  • FotoUNIK…bumbung matahari.
  • FotoLUAS…ruang but.

Malah, sejak kebelakangan ini, Kia tampak berani apabila tampil dengan pelbagai segmen kenderaan berbentuk mantap dan bergaya.

Di negara ini, produk Kia kian diterima masyarakat setempat apabila banyak modelnya kelihatan di jalan raya bermula seperti Rio, Forte, Sportage, Optima, dan Sorento.

Bagaimanapun, model coupe yang diserap pada Kia Forte melalui varian Forte Koup tampak sporty apabila tampil dengan dua pintu, cocok bagi anak-anak muda yang mahukan kelainan.

Forte Koup yang diperkenalkan tahun lalu melalui pengedar rasminya Naza Kia Malaysia, dipertontonkan buat pertama kali di Pameran Auto Antarabangsa New York, 2008.

Kali pertama melihatnya, penulis teruja dengan reka bentuk model ini kerana ia tampak berbeza tetapi masih menawarkan ruang yang selesa kepada penggunanya.

Walaupun menerapkan rekaan sporty, model ini masih sesuai untuk digunakan mereka yang sudah berkeluarga apabila masih mewarisi bentuk ‘abangnya’ iaitu kenderaan sedan, Kia Forte.

Cermin tingkap tanpa bingkai pada pintunya tampak unik dan anggun selain dipadankan rim aloi 17 inci untuk kelihatan tegap.

Secara keseluruhan bentuk hadapan dengan padanan jeriji yang besar dan lebar pada bamparnya ternyata tampak garang.

Meskipun pintu dua, model ini tidak mengecewakan keselesaan penumpang belakang kerana memberi kelegaan bahagian kaki bagi ketinggian melebihi 1.6 meter.

Ruang kabin dengan kerusi ala ‘bucket’ yang dibaluti kulit memberi sokongan secara optimum kepada pemandu bagi setiap perjalanan.

Papan pemuka dengan kombinasi dua warna yang menggunakan material lembut memberi imej mewah dan sporty sekali gus membuatkan penulis terpegun sebaik saja memasuki ruang kabinnya.

Bumbung mataharinya juga memberi kelebihan kepada model ini untuk pemanduan santai bagi menikmati tiupan angin sepanjang perjalanan.

Ternyata penulis tidak perlu menunggu lama untuk menyesuaikan dengan kenderaan ini apabila setiap ruang kokpit membabitkan tempat duduk memberi keselesaan ketika pemanduan.

Sebaik menghidupkan enjinnya dengan menggunakan butang, jentera ini memberi kuasa yang cukup meyakinkan untuk pemanduan agresif.

Enjin 2.0 liter DOHC CVVT THETA II ini bersama transmisi enam kelajuan automatik dapat menghamburkan kuasa maksimum 156 PS.

Kuasa kilas 192.2 Nm pada 4,300 rpm pada jentera ini ternyata memberi pecutan di lebuh raya mahu pun di dalam bandar.

Jika inginkan lebih kawalan, penulis hanya menggunakan sama ada pedal penukar gear di stereng untuk mendapatkan kuasa yang lebih tinggi.

Sistem suspensi topang MacPherson pada bahagian hadapan ternyata memberi keyakinan dalam pengendalian laluan berselekoh sama ada pemanduan biasa atau agresif.

Malah, penumpang tidak perlu bimbang dengan hentakan yang terlalu kuat kerana suspensinya dapat menyerap dengan baik sekali gus memberi keselesaan sepanjang perjalanan.

Ia juga dilengkapi sistem keselamatan terkini apabila dilengkapi Program Kestabilan Elektronik (ESP), enam beg udara dan pengesan belakang untuk memasuki tempat letak kereta.

SPESIFIKASI:

KIA FORTE KOUP

ENJIN: 2.0 Liter DOHC MPI CVVT THETA II
KUASA MAKSIMUM: 156 PS pada 6,200 rpm
TORK MAKSIMUM: 194.2 Nm pada 4,300 rpm
TRANSMISI: Automatik enam kelajuan

CIRI-CIRI KESELAMATAN: Beg udara berkembar hadapan, sisi dan bidai, ABS serta ESP

HARGA: RM115,800.

TAYAR YANG DICADANGKAN:

  • Corak: ContiMax Contact MC5

« Previous PageNext Page »