Jadi remaja rasional, bukan emosional

April 2, 2013 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

SENARIO politik negara semakin hangat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Tidak terkecuali, dalam kalangan remaja perbincangan mengenai PRU-13 juga semakin hangat, apatah lagi ramai yang mula bangkit dan sedar kepentingan mengundi demi kesejahteraan negara.

Mereka kini bukan lagi ‘lembu dicucuk hidung’ tetapi sudah begitu celik dengan senario politik negara sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang. Semuanya mempunyai hujah dan justifikasi masing-masing.

Kehangatan ini ditambah lagi dengan pindaan undang-undang sedia ada yang membenarkan anak-anak muda khususnya mahasiswa berpolitik di luar kampus termasuk pada PRU-13 nanti.

Dalam hal ini, pindaan itu jelas menunjukkan kerajaan prihatin terhadap golongan muda dalam mencorakkan masa depan negara.

Namun, dalam keghairahan berpolitik, anak-anak muda perlu bijak ketika mengambil tindakan dengan bersikap rasional dan bukan emosi.

Isu-isu seperti demonstrasi dan menurunkan bendera pemimpin tertentu bukan satu tindakan yang menggambarkan kematangan anak-anak muda sekarang.

Kita mahukan anak-anak muda yang hebat dalam berpidato dan boleh menerima pandangan berbeza dengan hati terbuka. Memberi dan menerima pendapat orang lain adalah salah satu ciri yang perlu ada dalam diri anak-anak muda zaman sekarang.

Anak-anak muda perlu menanamkan sifat rasional dalam diri masing-masing dengan mengakui apa jua perkara yang mendatangkan kebaikan. Apa yang dilihat tidak betul boleh dibangkang tetapi biarlah secara profesional. Ini kerana sesuatu itu mampu mendatangkan keburukan kepada negara, bangsa dan agama jika tersilap langkah.

Akhir kalam, jadilah anak-anak muda yang mempunyai kematangan dalam berhujah, berhemah dan mengambil tindakan. Selamat mengundi kepada semua anak muda!

RAQIB SOFIAN

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Penilaian khas guru cemerlang

March 28, 2013 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

SURUHANJAYA Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sedang melaksanakan Program Penilaian Khas bagi pelantikan tetap graduan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan 2012.

Pengerusi SPP, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang berkata, ia bertujuan melantik bakal guru yang cemerlang dari segi akademik dan ikhtisas tanpa melalui proses temuduga secara konvensional.

Menurutnya, pelantikan secara terus ini adalah bagi mengiktiraf pencapaian akademik dan ikhtisas graduan yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5 dan ke atas, mendapat sekurang-kurangnya keputusan A- dalam Praktikum serta diperaku oleh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“Bilangan graduan tidak melebihi 30 peratus daripada mana-mana IPTA dan IPGM,” katanya dalam kenyataan akhbar baru-baru ini.

Jelas beliau, usaha tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan profesion perguruan dengan melantik calon guru yang terbaik dari segi akademik dan ikhtisas.

Di samping itu, katanya, ia juga selaras dengan matlamat kerajaan merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 iaitu guru dilantik daripada kalangan 30 peratus graduan cemerlang dalam bidang akademik dan ikhtisas untuk menceburi bidang perguruan.

“SPP juga berharap agar usaha ini menjadi penggalak kepada pelajar yang masih di peringkat pengajian agar sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya.

Beliau memberitahu, Program Penilaian Khas dijalankan secara berperingkat di seluruh negara bermula pada 19 Mac lalu di Kuching, Sarawak melibatkan seramai 247 orang manakala penilaian khas kedua berlangsung 21 Mac di Putrajaya.

“Program Penilaian Khas ini melibatkan sejumlah 2,780 orang graduan cemerlang dari IPTA dan IPGM dan bilangan itu berdasarkan permohonan Kementerian Pelajaran agar SPP menemuduga 8,200 graduan IPGM dan IPTA di seluruh negara,” ujar beliau.

Sementara itu, katanya, bagi Program Penilaian Khas di Putrajaya, bilangan graduan cemerlang yang dinilai melibatkan seramai 560 orang.

Zulkurnain memberitahu, bagi Program Penilaian Khas seterusnya diadakan mengikut taburan calon yang paling ramai seperti 28 Mac ini di Johor Bharu, Ipoh (2 April), Sungai Petani (4 April), Kota Bharu (8 April), Kuantan ((11 April) manakala yang terakhir diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 17 April depan.

“Pada akhir penilaian graduan yang layak akan terus diserahkan surat pelantikan oleh SPP manakala baki 5,033 graduan perlu melalui temuduga biasa yang dilaksanakan bermula 19 Februari hingga 28 Mac ini,” katanya

Tingkat fokus dalam pembelajaran

March 15, 2013 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

Pengaktifan otak tengah berupaya menguatkan memori murid dan membolehkan mereka lebih fokus dalam pelajaran.

Pengarah NHA Management And Consultant, Dr. Norlee Hazaniza Ahmad berkata, antara faedah lain setelah otak tengah diaktifkan termasuklah murid akan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, mampu mengawal emosi lebih baik, mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan kefahaman yang cepat.

”Menerusi program ini, murid diberi teknik pengaktifan otak tengah melibatkan fokus pendengaran dan penglihatan, kecekapan mewarna dan ujian IQ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat kursus Pengaktifan Otak Tengah (KPOT) anjuran syarikatnya dan Mind Secret Enterprise di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kursus dua hari yang disokong oleh Unit Pendidikan Utusan Malaysia itu memfokuskan kepada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun dengan modul pembelajaran mempraktikkan kegunaan dan mengaktifkan otak tengah dalam pembelajaran harian.

Kanak-kanak yang mengikuti kursus itu diberi latihan mengikut kaedah sains, psikologi, alam sekitar dan kaunseling termasuk latihan mewarna dengan mata ditutup bertujuan meningkatkan perhatian dan lebih fokus.

Demi mencapai hasrat itu, Zaihan Hasan Ali, 33, dan Azini Amin, 30, merupakan sebahagian daripada ibu bapa yang memilih KPOT untuk memastikan anak mereka menguasai pembelajaran dengan baik dan tidak ketinggalan ketika mengikuti pelajaran dalam bilik darjah.

Malah, pasangan itu tidak keberatan memperuntukkan sejumlah perbelanjaan menghantar anak mereka, Adam Zafran Haikal, 7, menyertai kursus tersebut.

Ketika ditemui pada akhir sesi kursus tersebut, Zaihan berkata, dia berasa terdapat perubahan pada tingkah-laku Adam terutama dari aspek tahap tumpuannya ketika diminta menyelesaikan tugasan mewarna.

“Saya dapati Adam lebih fokus dan serius dalam mengikuti arahan latihan yang diberikan oleh petugas, apa yang penting, Adam kelihatan fokus.

“Selepas dia menjalani kursus ini, diharapkan penguasaannya dalam pembelajaran ketika di bilik darjah akan meningkat malah lebih baik berbanding sebelumnya,” kata Zaihan.

Dalam kursus itu juga turut diadakan persembahan murid tahun enam, Rania Riza Rifayani Hassan, dan murid tahun dua, Wazif Hanizam, yang mempamerkan hasil pencapaian mereka setelah mengikuti kursus pengaktifan otak tengah selama dua hari.

Rania Riza berupaya membaca dan menilai huruf serta nombor yang terpapar pada wang kertas RM10 termasuk tulisan pada muka surat belakang sebuah buku novel dengan mata tertutup.

“Saya mampu membaca huruf dan nombor pada wang kertas tersebut dengan hanya memfokus pada bau warna melalui otak tengah,” jelasnya.

Dalam pada itu, kursus KPOT akan diadakan pada 23 dan 24 Mac serta pada 30 dan 31 Mac ini untuk peserta sekitar Lembah Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program KPOT atau berhasrat membuat tempahan program, boleh hubungi Norlee di talian 03-42854821\016-6066675 atau Husna (019-2016866).

« Previous PageNext Page »