Rusydi bertubuh kecil, bersemangat waja

February 22, 2012 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

Memiliki ketinggian kira-kira 93 sentimeter, Muhammad Rusydi, tetap rajin mencatat maklumat yang disampaikan guru pakar dalam seminar itu walaupun pandangannya terhalang oleh kawan di kerusi hadapan.

RUSYDI sentiasa ditemani rakannya Muhammad Nor Ikhmal apabila beliau kurang arif tentang pelajaran.RUSYDI sentiasa ditemani rakannya Muhammad Nor Ikhmal apabila beliau kurang arif tentang pelajaran.

KEKURANGAN diri tidak mematahkan semangat murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Nusantara, Gelang Patah, Johor , Muhammad Rusydi Daud mengikuti program bimbingan peperiksaan Klinik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, baru-baru ini.

 Muhammad Rusydi adakalanya terpaksa mendongak, mengintai menerusi celah-celah kepala rakan di hadapan namun tidak memudarkan semangat untuk mengikuti program bermanfaat.
“Saya gembira apabila terpilih mengikuti seminar ini untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mengenai cara belajar dan menjawab soalan yang betul dalam UPSR nanti.

“Ibu bapa turut memberi dorongan supaya mengikuti seminar ini dan saya seronok dapat berkongsi maklumat dengan rakan-rakan dari sekolah lain,” katanya sambil ketawa kecil.

Muhammad Rusydi meminati mata pelajaran Sains, dia sebahagian daripada 250 murid Tahun Enam daripada 12 sekolah yang menyertai Seminar UPSR Program Sekolah Pintar UEM Land dengan kerjasama Unit Pendidikan Berita Harian.

Seminar dua hari itu membincangkan kaedah belajar secara sistematik bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di bawah bimbingan guru pakar Didik.

Rakan Muhammad Rusydi, Muhammad Nor Ikhmal Mohd Norman, berkata walaupun menyedari kekurangan pada diri rakannya fizikal Muhammad Rusydi, namun dia bangga kerana rakannya tidak merendah diri.

Rakannya itu katanya, rajin membuat catatan dalam buku nota mengikuti pengajaran guru sepanjang seminar itu seperti yang dilakukan di dalam kelas.

“Saya senang menemani Muhammad Rusydi kerana dia sentiasa memberi tumpuan dan akan bertanya kepada saya sekiranya kurang jelas mengenai penerangan guru,” katanya.

Bagi Pengurus Komunikasi Korporat, UEM Land, Zuraini Khalil, berkata kelibat Muhammad Rusydi sentiasa menjadi perhatian apabila dia begitu aktif dalam kegiatan luar seperti kem motivasi yang dianjurkan UEM Land itu.

“Dia memang seorang murid yang ligat dan bersemangat membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti,” katanya.

Kerjasama untuk martabatkan sastera

February 21, 2012 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

WALAUPUN agak lembap, dunia sastera tanah air tetap bergerak dalam acuan dan kelompoknya tersendiri.

Ini dapat dilihat apabila pelbagai bentuk majlis hadiah sastera terus diadakan saban tahun. Ada yang dengan sinis berkata, ia sekadar mengambil syarat. Bukan sangat untuk mengangkat martabat sastera itu. Janji ada anugerah.

Sedangkan realitinya bidang sastera terutama karya-karya sastera di negara ini kelihatan sukar untuk berkembang.

Penggiat-penggiat sastera sekadar hidup cukup-cukup makan. Namun dengan adanya pelbagai anugerah ia sedikit sebanyak menyediakan ruang untuk golongan itu bernafas.

Atau setidak-tidaknya menyediakan ruang untuk menonjolkan hasil dan aktiviti sastera di negara ini.

Lagi pula dalam membina tamadun sesebuah negara, sastera dan budaya bergerak seiring.

Perkembangan teknologi dan arus pemodenan yang semakin pesat tidak seharusnya menjadi penghalang untuk meminggir bidang sastera.

Sebab itu penganjuran pelbagai majlis berkaitan sastera seperti Anugerah Sastera Berunsur Islam yang diadakan saban tahun mampu memastikan dunia sastera negara tidak terus terkubur.

Namun ia tetap memerlukan kerjasama pelbagai pihak dalam memartabatkan nilai sastera Melayu bagi memastikan seni warisan bangsa itu dapat terus hidup dan dihayati.

Seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ucapannya pada malan Anugerah Sastera Berunsur Islam Ke-13 di Kuala Lumpur baru-baru ini, kerjasama penting agar tujuan dan segala usaha untuk meningkatkan kualiti sastera dapat dilaksanakan.

Usaha menyebarluaskan sastera perlu menjadi usaha bersama semua pihak terutama dalam memupuk minat di kalangan generasi muda supaya terus memperjuangkan sastera Melayu bukan hanya di persada tanah air tetapi hingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya yakin bahasa tidak pernah menjadi penghalang kepada pensejagatan hasil karya sastera kita, jadi diharapkan agar usaha untuk memartabatkan seni warisan ini mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Di samping itu, kita juga harus menghasilkan sesuatu karya bernilai tinggi yang mampu menarik perhatian pembaca seterusnya mencabar pemikiran,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Shabudin Yahaya.

Pertandingan Sastera Berunsur Islam mula dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Islam sejak tahun 1987 .

Penganjurannya bertujuan menonjolkan karya-karya yang berasaskan Islam demi menggalakkan kesedaran tentang fungsi manusia sebagai hamba dan khalifah Allah.

Semua karya yang dipertandingkan memiliki penceritaan atau plot yang menampilkan aspek keislaman dan ketuhanan selaras dengan pandangan dunia Islam.

Selain untuk mengiktiraf para pengkarya, anugerah itu juga bermatlamat menonjolkan nilai-nilai murni, mulia dan aspek-aspek makruf melalui karya sastera.

Yang paling penting, hanya melalui anugerah seperti para penggiat sastera di negara ini dapat menonjolkan hasil karya mereka kepada masyarakat.

Terdepat setengah karya mereka yang sudah lama berada di pasaran, tetapi tidak mendapat perhatian kerana kurang publisiti ekoran kurangnya tumpuan kepada karya-karya sastera

Bagi tahun ini dua kategori dipertandingkan iaitu cerpen dan kategori baharu iaitu penulisan lirik lagu berunsurkan Islam.

Ia merupakan usaha untuk mempelbagaikan aktiviti sastera di negara ini supaya lebih banyak karya dapat diangkat dan dimartabatkan.

Melalui anugerah seperti itu juga, labih ramai penggiat sastera dapat membabitkan diri dan mengetengahkan hasil karya mereka kepada umum.

Yang paling paling ia bukan sahaja mengangkat kesusasteraan Melayu, tetapi juga menonjolkan nilai Islam.

Malah ia juga membuktikan tumpuan kepada teknologi dan permodenan bukan penghalang untuk mengembangkan aktiviti sastera.

Ia dibuktikan oleh Pegawai Teknologi Maklumat di Kementerian Pelajaran, Marini Azahri, 30, yang diumumkan sebagai johan Pertandingan Hadiah Sastera Berunsurkan Islam bagi kategori lirik lagu.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang sastera, ia bukan penghalang kepada Marini untuk menghasilkan karya berkualiti dan seterusnya diangkat sebagai pemenang.

Menurutnya, dia tidak menyangka memenangi pertandingan tersebut disebabkan tidak mempunyai kepakaran dalam bidang penulisan lirik lagu.

“Saya memang suka menulis sejak dari kecil lagi dan sudah lama aktif dalam bidang penulisan. Kebiasaannya, saya sering menyertai pertandingan penulisan melibatkan cerpen, sajak, puisi dan novel dan ini merupakan kali pertama mengambil bahagian dalam kategori lirik lagu.

“Mungkin pada masa akan datang saya akan cuba untuk menghasilkan lagu pula,” katanya yang dalam proses menghasilkan sebuah novel.

Marini memberitahu, dia mengambil masa selama sebulan bagi menyiapkan keseluruhan lirik lagu tersebut dengan menjalankan kajian secara mendalam.

“Ia mengisahkan tentang perkembangan Islam dari zaman Nabi Muhammad S.A.W hingga ke pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah,” jelasnya.

Sementara itu, bagi kategori cerpen pula, ia dimenangi oleh Zulkifli Hamisan dan membawa pulang wang tunai RM5,000 trofi serta sijil.

Lahir imaginasi terbaik

February 21, 2012 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

APA yang boleh anda jangka dalam kerjaya seni bina? Anda menjadi arkitek untuk khidmat profesional bagi projek pembinaan, terbabit dalam fasa pembangunan, dari perbincangan awal hingga proses pembinaan.

Anda juga memerlukan kemahiran mereka bentuk, kejuruteraan, mengurus, menyelia, dan berkomuni-kasi dengan pelanggan dan pembina, menerangkan idea kepada pelanggan dan kontraktor pembinaan.

Dan, sebagai arkitek, anda mampu menyampaikan visi unik.

Kisah penciptaan Menara Berkembar Petronas oleh Cesar Pelli menonjolkan kemahiran perlu ada untuk menukarkan visi menjadi realiti.

Pelli memiliki Diploma Sen ibina di Argentina dan Sarjana Seni bina di Amerika Syarikat. Dia terkenal kerana imaginasi dan keupayaan menggabungkan gaya dan bahan berbeza untuk mewujudkan penyelesaian reka bentuk asal.

Awal 1990-an, dia menang satu pertandingan antarabangsa untuk mewujudkan satu struktur yang akan mewakili reputasi Malaysia di mata dunia.

Kepekaan mengenai bangunan berprestij di seluruh dunia membantunya mereka bentuk Menara Berkembar 88 tingkat itu.

Namun, konsep awal Pelli dianggap tidak menggambarkan keunikan Malaysia.
Untuk menyelesaikan masalah ini, dia mengkaji semua jenis kesenian Islam dan motif bintang yang biasa digunakan dalam kesenian Melayu-Islam.

Untuk menyelesaikan masalah ruang lantai terhad, dia menambah semi bulatan kepada setiap sudut dalaman. Dan, untuk membuat bangunan tertinggi di dunia, reka bentuk 1,400 kaki itu perlu difikirkan semula selain banyak fakta struktur terpaksa dikira semula dan diuji.

Ini menunjukkan seorang arkitek bukan saja perlu mempunyai imaginasi yang baik, tetapi menyelesaikan masalah dan berfikir secara kritikal.

Arkitek perlu bekerjasama dengan kontraktor pembinaan dan seluruh pasukan.

Semasa pembinaan Menara Berkembar, Pelli dan pasukannya bekerjasama menyelesaikan beberapa isu. Tapak asal didapati tidak sesuai dan kontraktor pembinaan memindahkan tapak berkenaan.

Bahan keluli terlalu mahal, justeru jurutera membuat keputusan menggunakan konkrit bertetulang yang kukuh sebagai bahan binaan utama manakala pakar juruukur dibawa bagi memastikan ketegakan bangunan itu.

Perincian teliti Pelli membuatkan pasukan itu menghasilkan Menara Berkembar Petronas menjadi realiti. Hasilnya, karya seni bina itu sesuatu yang dibanggakan.

Ayuh, mulakan kerjaya Persekitaran Binaan anda di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU).

Anda akan belajar melalui contoh dan pengalaman ke arah perjalanan kerjaya yang ideal. Pelajar di bawah Fakulti Persekitaran Binaan boleh melanjutkan pengajian dalam kursus Diploma Seni bina, Seni Reka Bentuk Dalaman dan Seni bina Landskap.

Kursus-kursus diploma menyediakan asas melahirkan pereka yang mampu mengenal pasti, menyelidik dan menyelesaikan masalah berkaitan fungsi dan kemapanan reka bentuk dengan latihan praktikal.

Pelajar juga mempelajari lakaran bebas, asas kemahiran teknikal dalam reka bentuk dan penggunaan komputer sebagai alat bantu melukis dan melakukan
pembentangan.

Kuasai Imtihan Qabul sebelum ke al-Azhar

February 20, 2012 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

Imtihan Qabul persiapan calon sebelum ke al-Azhar, pelajar Malaysia perlu lulus STAM untuk ke Asia Barat.

Sebahagi an pelajar yang menghadiri majlis penerangan mengenai program pengajian<br />
di Asia Barat, di Kolej Yayasan Sofa Negeri Sembilan.Sebahagi an pelajar yang menghadiri majlis penerangan mengenai program pengajian di Asia Barat, di Kolej Yayasan Sofa Negeri Sembilan.

UJIAN Imtihan Qabul untuk calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dapat mempersiapkan pelajar sebelum melangkah ke Universiti al-Azhar, Mesir.

 Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Na’imah Ishak, berkata maklum balas daripada calon mendapati mereka dapat menguasai bahasa Arab komunikasi dengan baik, persediaan paling penting sebelum ke sana.
Perjanjian mulai 2000 mensyaratkan pelajar Malaysia perlu lulus STAM, berbeza syarat kemasukan universiti lain seperti di Jordan yang boleh menerima lepasan Sijil Pelajaran Malaysia. Na’imah Ishak, Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Malaysia

Katanya, sejak dua tahun lalu, pelajar lepasan STAM perlu menduduki Imtihan Qabul yang diadakan di Institut Sofa, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, ujian berkenaan bertujuan menilai tahap keupayaan pelajar menguasai bahasa berkenaan. Pelajar yang mendapat band rendah atau gagal, masih berpeluang melanjutkan pengajian ke sana jika mereka menduduki peperiksaan berkenaan semula.

“Ujian ini seperti ‘International English Language Testing System’ atau ‘Test of English as a Foreign Language’ iaitu ujian kemasukan kepada pelajar yang ingin ke United Kingdom atau Amerika Syarikat.

“Calon akan diuji dengan beberapa kemahiran antaranya, ujian mendengar, membaca dan memahami teks, tatabahasa serta ujian lisan, juga kemahiran asas meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa berkenaan,” katanya.
Na’imah berkata demikian selepas mengumumkan keputusan STAM di Kementerian Pelajaran, di Putrajaya, baru-baru ini.

Mengulas prospek pelajar lepasan STAM, beliau berkata, tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam sudah mengiktiraf STAM sebagai setaraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Katanya, jika pelajar di negara ini mahu ke al-Azhar, mereka perlu menduduki STAM kerana syarat itu sudah termaktub pada perjanjian antara universiti di Asia Barat itu dengan Kementerian Pelajaran lebih 10 tahun lalu.

“Perjanjian mulai 2000 mensyaratkan pelajar Malaysia perlu lulus STAM, berbeza syarat kemasukan universiti lain seperti di Jordan yang boleh menerima lepasan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.

UM johan Debat Diraja

February 19, 2012 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

Pasukan debat Universiti Malaya (UM) membuktikan kejaguhan mereka apabila menjuarai kategori Bahasa Melayu Utama dalam Pertandingan Debat Diraja 2012.

Chan Kheng Fai (kiri), Mohd. Azzairi Roslan, Mohd. Firdaus Abdullah dan Mohd. Asri Abdul Jani bersama piala johan Debat Diraja Kategori Bahasa Melayu di Pulau Pinang, semalam.


 

UM yang dibarisi Mohd. Azzairi Roslan, Chan Keng Fai, Mohd. Firdaus Abdullah dan Mohd. Asri Abdul Jani, kesemuanya penuntut jurusan undang-undang menewaskan pasukan tuan rumah, Universiti Sains Malaysia (USM) dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan Budaya, USM di sini malam tadi.

Dalam pertandingan akhir itu, UM yang bertindak sebagai barisan pembangkang dalam debat bertajuk Dewan Ini Mencadangkan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Dipilih Melalui Pilihan Raya turut menyapu gelaran Pendebat Terbaik menerusi pendebat ketiganya, Mohd. Firdaus.

Menurut Mohd. Firdaus, kemenangan tersebut cukup bermakna selepas tiga tahun mereka tidak pernah melepasi peringkat suku akhir.

“Kami terkejut dengan keputusan ini kerana menjangkakan saingan sengit daripada pendebat tuan rumah, namun bersyukur kerana berjaya menyampaikan hujah dengan baik.

“Ini merupakan kali terakhir kami bertanding sebagai rakan sepasukan kerana selepas ini ada yang akan menamatkan pengajian,” katanya pada sidang akhbar selepas pertandingan.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Turut hadir Pemangku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM), Prof. Adnan Hussein.

Selaku pendebat terbaik, Mohd. Firdaus menerima hadiah tambahan RM1,500.

Sementara itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diwakili Mohd. Shafiq Ahmed Bazari, Maizura Mokhsein, Aina Syazwani Salleh dan Esmail Ebrahim Al Mokhtarn turut menyerlah apabila mengungguli kategori Bahasa Inggeris Utama selepas menewaskan pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mohd. Syafiq turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik.

Mohd. Syafiq berkata, selepas ini mereka akan menumpukan perhatian untuk bersaing dalam pertandingan debat universiti peringkat dunia yang akan berlangsung di Jerman.

“Kami menyasarkan untuk memasuki kelompok 32 pasukan terbaik di Jerman nanti. Sebelum ini pencapaian terbaik kami adalah pada tangga ke-37,” katanya.

UiTM turut mencatat kemenangan berganda apabila pendebat mudanya memenangi kategori bahasa Inggeris Muda dengan sekali lagi menewaskan UIAM.

Begitupun, UIAM tidak pulang dengan tangan kosong apabila menjuarai kategori debat bahasa Arab menewaskan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sementara itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) turut mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kategori Bahasa Melayu Muda.

Peluang jadi ‘saintis’ ISS

February 16, 2012 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

SEMENJAK Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) di wujudkan, masyarakat antarabangsa telah menyaksikan sendiri penyelidikan dan eksperimen saintifik dijalankan di stesen tersebut.

RUANG dalam stesen angkasa antarabangsa (iss) yang menjadi lokasi penyelidikan saintis dari Jepun, Satoshi Furukawa di angkasa lepas dalam program ‘Try Zero G 2” tahun lalu.


 

Terbaru, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) diberi peluang oleh Agensi Penerokaan Angkasa Jepun (JAXA) untuk menawarkan program khas kepada orang ramai yang berminat mencadangkan pelbagai jenis eksperimen untuk dilaksanakan di ISS.

Dinamakan sebagai program Try Zero G 2 ia merupakan sebuah program pendidikan di ISS yang dilaksanakan oleh JAXA bertujuan menunjukkan perbezaan antara fenomena sains antara sifar graviti (0G) dan graviti (1G) di bumi.

Menurut Pegawai Sains Angkasa, Jong Tze Kian, program tersebut telah mula diadakan sejak tahun lepas. Namun agak kurang sambutan berikutan tempoh yang diberikan oleh JAXA untuk memilih serta menghantar cadangan eksperimen tersebut agak terhad.

“Tahun ini merupakan kali kedua ia diadakan. Justeru kami mengharapkan lebih banyak idea berkenaan eksperimen dapat ditonjolkan oleh rakyat Malaysia sekali gus berjaya dipilih untuk dilaksanakan di sana (ISS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Planetarium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelasnya, program tersebut bermula dari idea yang dikemukakan oleh peserta kepada pihak Angkasa yang kemudiannya akan ditapis dan yang terbaik akan dipilih.

“Kita akan pilih antara lima hingga lapan idea terbaik daripada seluruh idea yang diterima. Idea tersebut akan dihantar ke JAXA sebelum ia dilaksanakan di ISS,” ujarnya.

Tambah beliau, tahun lepas sebanyak dua idea eksperimen telah diterima oleh JAXA untuk dilaksanakan di ISS.

“Ia merupakan satu kebanggaan buat kita kerana bukan mudah untuk menentukan eksperimen yang boleh dilakukan di ISS.

“Hal demikian kerana di ISS terdapat peraturan yang tersendiri yang mana tidak semua jenis eksperimen dapat dilaksanakan,” katanya.

Di ISS, angkasawan JAXA, Hoshiide akan menjalankan aktiviti dan eskperimen terpilih berdasarkan prosedur yang akan dicadangkan dalam misinya di Modul Eksperimen Jepun pada tahun ini.

Bagi pertandingan atau program ini, Angkasa menggalakkan penyertaan daripada golongan pelajar dan guru-guru sekolah.

Ini kerana, jika cadangan eksperimen tersebut berjaya diterima dan dilaksanakan di ISS ia boleh digunakan untuk tujuan pembelajaran disekolah-sekolah.

Aktiviti eksperimen di ISS tersebut akan dirakam dengan menggunakan kamera video berdefinisi tinggi (HD) dan akan diedarkan ke sekolah-sekolah sebagai salah satu medium pembelajaran.

Namun, untuk menyertai pertandingan ini, peserta yang ingin mengutarakan idea perlulah memenuhi syarat-syarat penggunaan alatan tertentu.

Ia berikutan keterbatasan pergerakan serta peralatan yang boleh digunakan di ISS kerana tertakluk dengan isu keselamatan stesen tersebut.

Antara peraturan yang dikenakan adalah, idea atau eksperimen yang telah dilaksanakan tidak akan diterima, aktiviti atau eksperimen dijalankan dalam Modul Kajian Jepun iaitu Kibo.

Seterusnya, masa eksperimen tidak terlalu lama iaitu tidak melebihi 10 minit dan arahannya juga ringkas agar memudahkan kanak-kanak memahaminya.

Terakhir, eksperimen perlu dilaksanakan dengan menggunakan alatan yang dibenarkan atau yang terdapat di ISS sahaja seperti yoyo, pita pengukur tidak melebihi dua meter, kertas origami, gelang getah, pemberat (besi, aluminium, kayu, palstik) dan pelbagai lagi.

Semua aktiviti yang berjaya dipilih akan diadakan di ISS dan dirakam bagi tujuan pembelajaran. Video tersebut akan di hantar kepada Angkasa.

Malah, beberapa idea juga boleh diterima daripada satu permohonan dan tarikh tutup bagi program ini adalah pada 24 Februari ini.

Setiap peserta yang berjaya akan menerima sijil penghargaan serta hadiah daripada JAXA serta pihak Angkasa.

Untuk memohon peserta boleh mendapatkan borang melalui online di www.angkasa.gov.my/tryzerog/ atau hubungi sekretariat Try Zero G 2 di talian 03-22734303, 03-22735484.

UMS Links, UTHM jalin kerjasama

February 15, 2012 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

 Universiti Malaysia Sabah Link Holdings Sdn. Bhd. (UMS Link) dan Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk memantapkan kecemerlangan pendidikan kedua-dua universiti berkenaan.

 

Baharuddin Mohamed (kiri) mewakili UTHM dan Roselina Ahmad Saufi (kanan) mewakili UMS Link menandatangani MoU sambil disaksikan oleh Noh Dalimin, Sufri Mohd. Zin dan K.Y Mustafa di Kota Kinabalu, baru-baru ini.


 

Menerusi perjanjian itu, UMS Link dan UTHM akan saling melengkapi sumber-sumber kekuatan sedia ada bagi membangunkan kepakaran dalam pelbagai bidang yang ditawarkan di universiti tersebut.

Pada majlis itu, UMS Link diwakili Pengarah Urusan Kumpulan UMS Link, Prof. Dr. Roselina Ahmad Saufi manakala Pengarah Urusan UTHM Holdings, Dr. Baharuddin Mohamed mewakili UTHM.

Ia turut disaksikan oleh Naib Canselor Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin, Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Sufri Mohd. Zin dan Pengerusi Kumpulan, UMS Link Holdings Sdn. Bhd., Datuk K.Y Mustafa.

Ketika ditemui baru-baru ini, Roselina berkata, UMS Link memiliki kekuatan dalam bidang Sains Sosial dan Sains Tulen seperti biologi dan marin manakala UTHM mempunyai kepakaran dalam bidang Sains Komputer dan Kejuruteraan.

”Kita mahu menggabungkan kekuatan untuk mengatasi kelemahan dalam bidang masing-masing. Kesimpulan tersebut diperoleh setelah melakukan tinjauan terhadap semua universiti di Malaysia,” katanya.

Roselina berkata, gabungan kedua-dua universiti itu mampu memberikan keyakinan untuk meneroka potensi-potensi dalam bidang lain yang boleh dikembangkan.

”Sebagai contoh, UTHM boleh belajar dari UMS Link yang sudah jauh berada di hadapan dalam menarik kemasukan pelajar antarabangsa. Begitu juga sebaliknya, UTHM boleh menawarkan lebih banyak kemasukan pelajar dari Sabah dalam bidang kejuruteraan,” ujarnya.

Sementara itu, Badaruddin berkata, adalah penting untuk menubuhkan syarikat dalam universiti kerana ia akan membantu menjana pendapatan di samping dapat melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

”Dalam menjana pendapatan kepada universiti, kerajaan mensasarkan bahawa peratusan peruntukan kerajaan dapat dikurangkan memandangkan sekarang ini kebanyakan universiti bergantung 90 peratus peruntukan daripada kerajaan dan hanya 10 peratus dapat ditampung dari yuran pengajian.

”Kita yakin, apa pun kerjasama antara dua universiti sudah pasti dapat membuka peluang yang lebih baik untuk mengoptimumkan kegiatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan audit negara yang dibentangkan di Parlimen tahun lalu, UTHM Holdings dan UMS Link adalah antara syarikat-syarikat IPTA yang berjaya mendapat keuntungan.

Cabaran Mahasiswa OKU

February 14, 2012 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

Walaupun hidup penuh cabaran, mahasiswa OKU UM cukup cekal dan tegar melalui dunia pengajian tinggi yang sering kali dilabelkan sebagai ‘destinasi’ pelbagai tugasan serta peperiksaan yang membebankan.

Bagi mereka, kekurangan itu bukan bermakna untuk berpeluk tubuh atau perlu dikasihani semata-mata sebaliknya menjadi pendorong dan azimat paling berharga dalam menggenggam segulung ijazah.

“Jika kami tidak berusaha, ibarat mengemis simpati orang lain. Ini lebih menjatuhkan maruah golongan OKU keseluruhannya di mata masyarakat.

“Sudahlah tidak sempurna, jika peluang diberikan tidak digunakan sepenuhnya, apalah nanti nasib dan masa depan kami. Biarlah tidak cukup anggota, sekurang-kurangnya ada pelajaran,” kata mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu, Faiq Adnan.

Dia dan rakan senasib tidak pernah menjadikan keadaan serba kekurangan itu sebagai alasan untuk memperoleh terlalu banyak keistimewaan biarpun sebenarnya perlu dibantu dalam beberapa aspek.

Menurut anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini, sama seperti mahasiswa lain dia berjalan kaki ke bilik kuliah, membuat tugasan mahupun mentelaah di perpustakaan atau ruang khas disediakan di kolej.

“Saya tidak mahu kerana kekurangan ini menjadikan saya terlalu dimanjakan atau tidak mampu berdikari. Selagi boleh, saya berusaha melakukannya biarpun dalam keadaan payah.

“Cuma kelebihannya kami ada sukarelawan yang sudi membantu membacakan buku dan menerangkannya dengan lebih terperinci. Jadi mudahlah sikit proses pembelajaran itu.

“Malah UM juga menyediakan kemudahan komputer khas yang membantu kami membuat tugasan. Selebihnya, kami juga seperti mahasiswa biasa yang terpaksa bergelut dengan kekangan waktu, tugasan dan kehidupan kampus,” katanya yang mengalami cacat penglihatan sejak lahir.

Sementara rakannya, Muhamad Nadhir Abdul Nasir, berkata walaupun sukar pada awal kemasukannya untuk menyesuaikan diri, dia bertuah kerana dapat melalui dengan cekal hasil sokongan padu keluarga, rakan dan pensyarah.

Akuinya, situasi kampus tidak sama di sekolah, justeru menggantungkan pengharapan pada orang lain untuk menghulurkan bantuan, tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

“Di sini (kampus), segala-galanya perlu dilakukan dengan kudrat sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Mulanya memanglah sukar sebab orang seperti kami ini terpaksa melalui proses penyesuaian diri yang rumit.

“Kalau mahasiswa normal juga berdepan masalah, apatah lagi kami yang serba kekurangan ini. Bagaimanapun, saya boleh menyesuaikan diri apatah lagi ramai yang sudi menghulurkan bantuan.

“Mulanya rasa malu juga kerana selalu meminta bantuan dan rasa tersisih, namun syukurlah perasaan itu tidak lama. Rakan dan pensyarah memang banyak membantu meringankan bebanan. Kami perlu tahu membawa diri,” katanya yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi.

Bercerita mengenai cabaran terbesar terpaksa dilalui, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran, Nur Aisyatul Radhiah Alidaniah, berkata antara yang paling sukar adalah ketika pembelajaran di bilik kuliah atau tutorial.

“Bagi yang sempurna, tentulah tidak sukar untuk menyalin nota tapi kami yang tidak nampak ini, ia satu kesukaran mencabar emosi.

“Kami hanya boleh mendengar dan tidak boleh menulis. Apabila sesi pembelajaran tamat, kami bergegas mencari rakan yang boleh membantu dan jika sudi mudahlah tapi kami pun faham, mereka juga ada tanggungjawab perlu dilaksanakan.

“Justeru pandai-pandailah kami untuk ‘memujuk’ atau mencari alternatif lain.
Paling penting, tugasan siap dan kami faham mengenai apa yang diajar,” katanya mengakui kebanyakan OKU sangat sensitif dan sentiasa merasakan diri menjadi bebanan orang lain.

Dia berkata, perasaan itu memang tidak boleh dielakkan kerana perlu mencari dan mengharapkan bantuan hingga ada kalanya terbit rasa malu pada diri sendiri.

“Sebab itu, kami sering berjumpa untuk memotivasikan diri antara satu sama lain supaya tidak terlalu bergantung harap. Apa yang boleh dilakukan, kami buat sehabis daya untuk tidak menyusahkan rakan.

“Jika sudah tidak mampu saja, kami minta bantuan orang lain. Ini juga sebagai satu ‘isyarat’ supaya kami tidak dilabelkan terlalu meminta-minta,” katanya.

Mengakui hubungan mereka amat rapat, dia berkata dalam kalangan mahasiswa OKU saling membantu dan menyokong antara satu sama lain.

“Apabila berjumpa, kami berbincang pelbagai topik semasa mahu pun peribadi. Hubungan erat menjadikan kami seperti adik-beradik.

“Mungkin kerana senasib, kami lebih mudah memahami dan menerima kekurangan masing-masing biarpun rakan tidak pernah menyisihkan kehadiran kami dalam kalangan mereka.

“Di kampus, kebergantungan dan keyakinan terhadap diri sendiri adalah paling utama untuk menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang,” katanya.

Menjadi salah satu institusi pengajian tinggi awam negara yang menyediakan kemudahan lengkap bagi OKU, UM dilihat sebagai antara harapan terbaik golongan berkenaan memperoleh pendidikan tertinggi serta membina masa depan.

Pengetua Kolej Kediaman Ketujuh UM yang menempatkan kolej mahasiswa OKU, Profesor Madya Dr Rohana Jani berkata, tidak perlu gusar atau mempertikaikan kemampuan golongan terbabit untuk berjaya kerana mereka lebih cekal mengharungi dugaan.

Menurutnya, ini terbukti apabila mereka berusaha melaksana atau terbabit dalam aktiviti anjuran kolej selain tidak suka dipinggirkan atas alasan tidak ‘berupaya’.

“Zahirnya memang nampak mereka serba kekurangan dan seperti memerlukan bantuan tapi jika sudah mengenali, pasti terbit rasa kagum. Mereka mahu melakukannya sendiri selain tidak pernah mahu mengasingkan diri.

“Segala aktiviti kolej dan pengurusan keperluan diri dilakukan atas inisiatif sendiri. Biarpun serba kekurangan, semangat berdikari tidak pernah luntur menjadikan mereka insan terpilih yang cukup istimewa,” katanya.

Lonjak pendidikan Islam di Johor

February 13, 2012 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Asia e-Universiti (AeU) bagi meningkatkan pendidikan Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pertambahan bilangan institusi yang terlibat dalam kerjasama tersebut akan memantapkan organisasi sesebuah institusi dalam meningkat dan memperluaskan skop pengajian Islam.

Beliau berkata, pemeteraian memorandum tersebut diharapkan memberi impak positif kepada semua pihak khasnya penuntut, kakitangan serta ahli-ahli akademik sekali gus meningkatkan prestasi masing-masing.

“Persetujuan antara Marsah dan AeU telah termeterai kira-kira sebulan yang lalu. Kali ini kita mengukuhkan lagi jalinan kerjasama dengan UTM pula. Diharapkan ia dapat memberi impak positif dalam pembangunan pendidikan Islam di negeri ini,” katanya.

MoU tersebut dimeterai oleh Zainal Abidin bagi pihak Marsah, manakala UTM diwakili oleh Dekan Fakulti Tamadun Islam, Prof. Madya Azmi Shah Suratman dan AeU diwakili oleh Timbalan Presidennya, Prof. Dr. Hairudin Harun.

Dalam pada itu, Zainal Abidin turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan kekangan masa sebagai alasan untuk tidak meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Malah sasaran dan hala tuju setiap perancangan itu katanya, perlu ditetapkan dari awal bagi memudahkan ia tercapai dan memberi kesan positif dalam tempoh jangka masa panjang.

“Kita perlu ada perancangan jangka panjang supaya sasaran tidak tersasar dan memudahkan kita merancang strategi bagi mencapainya.

“Harus diingat supaya setiap individu perlu mempersiapkan diri dengan ilmu agama yang kukuh untuk menghadapi cabaran termasuk kepesatan dunia teknologi maklumat dan komunikasi kini,” katanya.

Pelancongan pendidikan sangat membantu

February 11, 2012 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

FARRAH Nabila, pelajar tahun enam SK Seri Duyong beramah mesra dengan salah seorang pelajar dari Chiang Mai, Thailand di Duyong, Melaka, baru-baru ini.

Pelancongan pendidikan beri kesan positif. Sektor pelancongan berasaskan pendidikan yang dimulakan sejak 2009 semakin menampakkan kesan positif apabila berjaya menarik kedatangan 10 rombongan pelancong membabitkan pelajar sekolah dari Singapura tahun ini.

Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan negeri, Jeffri Munir berkata, program itu bukan sahaja membentuk sahsiah diri tetapi membolehkan pertukaran budaya dan idea dilakukan antara pelajar dari negara terlibat.

“Sehingga kini, kita telah menerima dua lawatan dari sekolah luar negara dan kebanyakannya dari Thailand, Singapura dan Indonesia.

“Mac ini ada satu lagi lawatan dari Sekolah Rendah Casuarina, Singapura dan ia diikuti lawatan sembilan kumpulan pelajar lain,” katanya kepada pemberita selepas menerima rombongan pelajar, guru dan ibu bapa dari Sekolah Anubaan Chiang Mai, Thailand di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong, Kampung Permatang Duyong di sini semalam.

Hadir sama Guru Besar sekolah berkenaan, Mohd. Ali Yusop.

Selain disambut dengan paluan kompang, rombongan seramai 30 orang itu diceriakan persembahan silat dan nyanyian lagu Dondang Sayang sebelum dibawa melawat sekitar sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, wakil rombongan itu yang juga Penolong Ketua Guru Bahasa Inggeris Sekolah Anubaan, Chutarut Dethwongye berkata, menerusi lawatan tersebut pihaknya bertukar pandangan tentang sistem pendidikan kedua-dua negara.

Turut menarik perhatian rombongan ialah konsep ‘Go Green’ yang diterapkan pelajar SK Seri Duyong yang merupakan Johan Go Green Melaka Bandaraya Bersejarah tahun lalu.

Sekolah Anubaan yang kini berusia 76 tahun mempunyai seramai 120 orang guru dan 2,100 orang pelajar.

Next Page »