Sydney kota festival
May 15, 2012 by Ainaa
Filed under Pelancongan
Comments Off
SEBUT sahaja nama-nama bandar kosmopolitan dalam dunia, bandar Sydney sudah tentu merupakan antara bandar terkenal yang menjadi sebutan ramai.
Sebagai destinasi pelancongan idaman, bandar global dari Australia ini menawarkan pelbagai lokasi percutian yang unik.
Sesuai dengan anugerah yang diterimanya buat kali kedua sebagai ‘World’s Best Festival and Event City’ oleh International Festivals and Events Association (IFEA), Sydney lebih dikenali pengunjung sebagai sebuah destinasi penuh dengan festival dan acara sebagai daya tarikannya.
Tidak kira tahun dan masa yang dipilih pelancong untuk mengunjunginya, bandar raya itu sentiasa dipenuhi dengan pelbagai kemeriahan dan kemuncak acara yang pastinya menyeronokkan.
Selain tarikan tersebut, pengunjung juga berpeluang melawat kawasan pantai Grand Pacific Drive dan South Coast yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan.
Sambil menikmati panorama alam, pengunjung turut berpeluang menerokai Sydney bermula dari Royal National Park yang merupakan taman negara kedua tertua di Australia.
Seterusnya lawati Wollongong yang merupakan bandar raya ketiga terbesar di New South Wales yang menawarkan pelbagai aktiviti pengembaraan, pantai, pusat membeli-belah, restoran, kafe dan tempat penginapan dari hotel antarabangsa bertaraf lima bintang ke penginapan backpacker.
Dari Wollongong, pengunjung boleh ke Kiama yang merupakan destinasi paling ideal buat mereka yang menyukai aktiviti riadah di pantai seperti skydive, belayar, menyelam, memancing dan berkanu.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang bersiar-siar ke butik-butik pakaian yang terletak di sepanjang pantai yang terletak berhampiran Jamberoo seterusnya ke Gerringong, Gerroa, Kiama Blowhole, Illawarra Fly Tree Top Walk, Shoalhaven Heads, Nowra, Jervis Bay, Kangaroo Valley dan Berry.
Cabaran Sungai Kampar
May 13, 2012 by Dudi
Filed under Pelancongan
Comments Off
Sebaik sahaja tiba di My Gopeng Resort, rombongan disambut Pengarahnya, Oii Beng Yeaw dan Pengurus Resort, Shawn Low.
|
PERJALANAN menaiki lori yang mengambil masa kira-kira 20 minit melalui laluan berliku sejauh 10 kilometer menjadi titik mula keseronokan kunjungan ke My Gopeng Resort, Perak pada minggu lalu.
Seramai kira-kira 50 peserta dalam kalangan petugas media dan blogger kelihatan begitu teruja. Bukan sahaja kerana pertama kali menaiki lori dan melalui kawasan perkampungan yang mendamaikan, malah rata-rata peserta begitu berdebar untuk mencuba untuk aktiviti white water rafting atau mengharung jeram
Dari Gaharu Technologies Sdn. Bhd. atau turut dikenali sebagai Gaharu Tea Valley, kesemua peserta dibawa ke My Gopeng Resort menaiki dua buah lori yang diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Kunjungan tersebut adalah bersempena Kembara Cuti-cuti Satu Malaysia (KCC1M) Jom Terokai Perak! anjuran Tourism Perak dan majalah Gaya Travel.
Menurut Beng Yeaw, aktiviti mengharung jeram di My Gopeng Resort menuntut para peserta menyusuri Sungai Kampar sejauh 10 kilometer (km) yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah.
“Paras air ketika ini adalah sederhana dan tidak membahayakan iaitu di paras dua. Lebih tinggi paras air, lebih mencabar sebenarnya,” katanya.
Beng Yeaw memberitahu, sepanjang 10km berkenaan, peserta akan mengharungi 10 hingga 15 gred jeram yang mendebarkan dan kerjasama setiap peserta diperlukan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Perjalanan yang mencabar ini tidak membahayakan peserta sekiranya mereka mematuhi peraturan sebagaimana yang telah diajar oleh jurupandu sungai sebelum aktiviti dimulakan.
“Ia penting bagi memastikan setiap peserta bersedia bertindak terhadap sebarang kemungkinan, daripada cara mendayung dengan betul, latihan terbalik, arahan berkayuh, kaedah menyelamat dan banyak lagi teknik mengikut situasi,” jelasnya.
Jurupandu berpengalaman
PARA peserta aktiviti ekstrem sempat merakamkan gambar kenangan di atas lori.
Menurut Beng Yeaw, jurupandu sungai yang disediakan bagi setiap rakit angin adalah mereka yang berpengalaman luas dalam bidang berkenaan dan pernah melalui aktiviti harung jeram pada paras bahaya.
“Kesemua jurupandu kami yang dibawa khas dari Sabah berpengalaman mengendalikan aktiviti ini pada paras air merbahaya iaitu paras lima.
“Bagaimanapun, sejak My Gopeng Resort ditubuhkan, belum pernah sebarang kemalangan dicatatkan,” katanya yang mahu rekod itu kekal sedemikian.
Sementara itu, Shawn pula memberitahu, setiap peserta yang mengikuti aktiviti arung jeram mestilah meletakkan kepercayaan penuh kepada jurupandu terutama apabila berlaku kejadian seperti rakit terbalik atau hanyut di jeram.
“Peserta juga boleh bertanya apa sahaja mengenai sukan ekstrem ini kepada jurupandu sepanjang aktiviti ini berlangsung.
“Jurupandu akan sentiasa mengutamakan keselamatan peserta dan memastikan peserta bersedia sebelum cabaran diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, sebaik sahaja sesi taklimat dengan para peserta berakhir, peserta dibawa ke lokasi permulaan yang terletak dalam jarak berjalan kaki kira-kira lima minit sahaja.
Peserta yang lengkap dengan jaket dan topi keselamatan dihanyutkan mengikut arus sejauh kira-kira 20 meter terlebih dahulu bagi menguji kepekaan mereka dengan teknik menyelamat menggunakan tali.
Bagaimanapun, dalam latihan cabaran tersebut, terdapat peserta yang menarik diri kerana tidak yakin dengan kebolehan meredah jeram. Kira-kira 20 orang peserta meneruskan aktiviti itu, manakala selebihnya dibawa menaiki lori ke lokasi air terjun berhampiran.
Suka aktiviti air
PAKAIAN yang sesuai dan kelengkapan yang sempurna menjadi syarat utama sukan air ini.
Selepas berjaya menempuh jarak 10km yang paling seronok dan mendebarkan, para peserta harung jeram kembali ke resort kira-kira dua jam kemudian untuk menikmati makan tengah hari yang disediakan pihak resort.
Salah seorang peserta yang juga penulis blog pengembaraan sixthseal.com, Poh Huai Bin, 31, memberitahu, sebab utamanya menyertai KCC1M adalah kerana teruja untuk mengikuti aktiviti harung jeram di My Gopeng Resort.
“Saya sangat menggemari aktiviti sukan air yang mendebarkan. Antara pengalaman saya adalah berkayak di laut di Australia dan berkayak di jeram di Palagus, Sarawak.
“Para jurupandu sungai di sini amat mementingkan keselamatan peserta. Peserta perlu merasai pengalaman dibawa arus deras terlebih dahulu sebagai persediaan mengikuti aktiviti ini,” katanya.
Dalam aktiviti berkenaan katanya, dia duduk di bahagian hadapan rakit dan berasa amat teruja apabila ia bergerak laju mengikut arus.
“Saya juga belajar memusingkan pendayung dengan tangan seperti watak Darth Maul dalam filem Star Wars. Saya belajar melakukannya daripada salah seorang jurupandu sungai.
“Bagaimanapun, saya telah terjatuh sekali tetapi berjaya naik semula ke dalam rakit tanpa bantuan sesiapa. Ia pengalaman yang amat menyeronokkan,” katanya penuh semangat.
TAKLIMAT mengenai aktiviti menyelamat disampaikan oleh jurupandu berpengalaman yang dibawakan khas dari Sabah.
Menarik tentang aktiviti itu katanya, ia sesuai untuk semua lapisan umur termasuk mereka yang tidak tahu berenang.
“Semua peserta memakai jaket keselamatan yang akan memastikan mereka timbul di permukaan air dan tidak akan lemas.
“Aktiviti ini dijalankan pada waktu tengah hari. Saya difahamkan, kalau dilakukan pada waktu petang, arusnya lebih deras dan lebih mencabar,” katanya yang bercadang untuk membawa rakan-rakannya datang ke My Gopeng Resort pada masa akan datang.
Lambaian tiga pulau unik
May 12, 2012 by Ainaa
Filed under Pelancongan
Comments Off

KEDUDUKANNYA yang saling berdekatan dan menawarkan keindahan pantai yang memutih serta dikelilingi lautan membiru menjadi tarikan utama bagi tiga buah pulau iaitu Pulau Manukan, Pulau Mamutik serta Pulau Sapi di perairan Sabah.
Hanya kira-kira 15 minit dari Jeti Jesselton Point, Kota Kinabalu, pengunjung akan disambut oleh ramai operator pelancongan yang menawarkan perkhidmatan jelajah pulau dengan bot, sukan pantai dan rekreasi marin.
Terletak di dalam zon Taman Marin Tunku Abdul Rahman, pelbagai aktiviti gaya hidup pulau bioleh disertai. Selain di tiga buah pulau itu, terdapat juga pilihan pulau lain seperti Pulau Gaya dan Pulau Sulug.
Di Pulau Manukan, walaupun ia kurang popular berbanding Pulau Sapi, ia tetap kaya dengan variasi hidupan marin yang berwarna-warni. Tarikan alam lautan itu mudah ditemui melalui aktiviti snorkeling atau ketika aktiviti memberi ikan makan di jeti pulau.
Ramai pengunjung tidak melepaskan peluang membawa roti kerana ikan-ikan karang di sekitar kawasan tersebut tidak takut untuk mendekati manusia.
Di pulau itu juga, terdapat beberapa gerai makanan yang menjual masakan tempatan dan mi segera untuk mereka yang tidak sempat membawa makanan sendiri.
Kemudahan pengunjung

Meja dan tempat duduk kayu yang selesa turut disediakan di sepanjang pantai bagi kemudahan pengunjung yang datang bagi tujuan perkelahan bersama keluarga atau untuk berehat sebentar selepas penat bermain air.
Sementara itu, Pulau Mamutik juga mempunyai tarikan yang tidak kurang hebatnya. Dahulu, ia kurang popular ekoran kekurangan kemudahan dan kelengkapan aktiviti sukan tetapi kini persediaannya menarik perhatian pengunjung dilihat semakin mendahului Pulau Manukan dan Sapi.
Ruang berehat, tandas, kedai cenderamata dan kafe kecil mudah ditemui di sekitar Pulau Mamutik bagi memenuhi keperluan pengunjung. Uniknya, reka bentuk bangunan dan kemudahan itu kelihatan agak serupa dengan yang terdapat di Pulau Sapi.
Persamaan itu sebenarnya menjadi kelebihan setiap kali tiba musim puncak kerana kesesakan di sesebuah pulau dapat dielakkan dengan adanya tarikan serupa di pulau-pulau berhampiran.
Untuk menghabiskan detik santai, lokasi yang wajib dilawati ialah kafe-kafe berkonsep terbuka. Sambil dibuai bayu laut, harga hidangan yang dikenakan adalah berpatutan dan tidak seperti kebanyakan pulau peranginan yang cenderung mengenakan harga tinggi.
Keindahan pantai juga menjadi pertaruhan di Pulau Mamutik. landskap hijau dari pokok daun hiasan dan pokok sena banyak melatari pemandangan pulau lantas mencipta suasana yang redup dan damai.
Tumpuan utama

Dalam pada itu, Pulau Sapi pula sememangnya menjadi tarikan utama di Taman Marin Tunku Abdul Rahman. Kejernihan airnya seolah-olah tiada tandingan di situ.
Berdasarkan pendapat umum, Pulau Sapi dianggap sebagai pulau terbaik di situ namun keluasannya yang terhad sudah tentu tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang ramai pada satu-satu masa.
Justeru, sekiranya ingin berkunjung ke situ, dapatkan maklumat trafik daripada operator-operator pelancongan yang banyak terdapat di jeti.
Pada waktu siang di Pulau Sapi, aktiviti pantai seperti snorkeling menjadi tarikan utamanya. Kontur pantainya yang landai untuk aktiviti renang menambahkan kelebihannya sebagai salah sebuah lokasi pantai tercantik di rantau ini.
Begitupun, variasi kehidupan marinnya tidak ‘semeriah’ Pulau Manukan. Justeru, ramai pengunjung yang datang ke Pulau Sapi adalah untuk menikmati aktiviti yang lebih relaks seperti berjemur di tepian pantaidan menyaksikan keajaiban suasana ketika matahari terbenam.
Terdapat juga kumpulan pelancong yang berkunjung ke sini sekadar untuk mengadakan aktiviti barbeku bersama keluarga dan rakan-rakan. Semua pakej barbeku yang seronok dan menyelerakan turut disediakan oleh operator pelancongan.
Tarikan semula jadi Victoria
May 9, 2012 by Ainaa
Filed under Pelancongan
Comments Off
Bagi mereka yang ingin berkunjung ke lokasi ini, musim bunga merupakan masa terbaik buat anda mengunjunginya.
Dengan latar belakang yang menakjubkan dan persekitaran semula jadi yang memukau pandangan, Victoria menawarkan pakej percutian idaman kepada setiap pengunjung.
Selain menikmati pemandangan indah dari atas belon udara, tarikan yang terdapat di sana bukan sekadar aktiviti pelancongan samata-mata kerana pengunjung berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi sambil menerokai pelbagai kawasan menarik yang terdapat di kawasan tersebut.
Apa kata ubah kunjungan anda kali ini dari lokasi bandar serba mewah ke lokasi hijau dipenuhi dengan aktiviti dikelilingi suasana damai.
Jika anda ke Melbourne, apa kata anda melawat Yarra Valley, Dandenong dan Ranges yang terkenal dengan keindahan alam.
Saksikan sendiri keindahan hutan menghijau, tanah ladang beralun dan tumbuh-tumbuhan menjalar yang bertukar warna mengikut musim di Yarra Valley.
Puas menikmati panorama di sana, pengunjung boleh memandu ke Black Spur antara Healesville dan Marysville.
Di sana terletaknya sebuah lokasi dipenuhi pokok-pokok pain, air terjun dan lokasi pemerhati dari dek yang dibina khas buat pelawat menikmati suasana menyegarkan.
Lokasi pantai juga merupakan antara tarikan utama yang terdapat di Victoria dan pengunjung berpeluang mengunjungi Pulau Phillip.
Di sana, pengunjung berpeluang melihat keindahan formasi gua dan batu-batu bersaiz luar biasa.
Mercu tanda semula jadi dan formasi di pulau itu kesemuanya terhasil daripada gelora ombak semula jadi sehingga salah satu kawasan tumpuan ramai iaitu Pyramid Rock membentuk tiang-tiang seperti piramid di atas platform berbatu granit.
Setiap waktu senja di Pulau Phillip merupakan acara yang ditunggu-tunggu ramai kerana pada waktu tersebut, pengunjung berpeluang menyaksikan perarakan penguin yang muncul dari laut dan membuat lubang dalam pasir.
Pulau ini juga merupakan habitat buat sejumlah kelompok spesies beruang koala dan koloni anjing laut yang tinggal di Seal Rock yang terletak di hujung bahagian barat pulau dari bulan Oktober hingga Disember.
Selain itu, pelbagai jenis burung boleh dilihat seperti shearwater yang terbang untuk pulang ke sarangnya dari Cape Woolamai atau spesies burung air di Rhyll Inlet.
Selain itu, Forrest Caves pula bakal membawa pengunjung melihat hakisan gua yang dibentuk berjuta-juta tahun dahulu manakala Cape Woolamai pula menawarkan panorama formasi batu Pinnacles.
Tarikan-tarikan indah di Great Ocean Road dan Twelve Apostles pula menawarkan lokasi pemandangan pantai paling menarik di Australia.
Pengunjung berpeluang berjalan sambil ditemani pemandangan indah dari hutan Maits Rest Melba Gully yang terletak dalam Otways berdekatan dengan Lavers Hill yang dipenuhi dengan pokok-pokok berlumut purba.
Memasuki Otway pula, pengunjung berpeluang untuk singgah ke lokasi air terjun yang banyak terdapat dalam kawasan lembah Otway Ranges.
Antaranya seperti Air Terjun Erskine yang merupakan destinasi paling ideal untuk aktiviti berkhemah dan berkelah.
Sambil meredah denai belantara, perjalanan hutan bakal membawa pengunjung ke Tasik Elizabeth dari Lorne dan Apollo Bay.
Bagi tujuan berehat, pengunjung boleh singgah ke Kafe Otway Fly Treetop Walk yang merupakan elevated walk terpanjang dan tertinggi di dunia.
Ia dibina pada ketinggian 25 meter dari paras laut dengan panjang lebih 600 meter. Secara keseluruhan, pengunjung perlu bergerak sejauh 1.9 kilometer dari Pusat Pelancongan dan ia hanya mengambil masa kira-kira 45 minit atau sejam untuk melawat keseluruhan kawasannya.
Jika anda memilih untuk mengunjungi Great Ocean Road, tarikan paling terkenal yang terdapat di sana adalah Twelve Apostles.
Lokasi ini terkenal dengan pemandangan matahari terbit dan terbenam. Selain itu pengunjung juga berpeluang ke pantai melalui anak tangga Gibson Steps dan Loch Ard Gorge.
Great Ocean Walk telah direka oleh Taman Victoria dan kawasan ini sesuai untuk bersiar-siar.
Lokasi tapak perkhemahan yang terdapat di sana perlu ditempah terlebih dahulu sebelum anda mengunjungi lokasi ini.
Dua kilometer dari timur Victoria merupakan kawasan sempadan bahagian selatan Australia. Di sana terletaknya kawasan yang dikenali sebagai Cape Bridgewater dan Gua Princess Margaret Rose.
Bagi ke sana, pengunjung boleh memilih pakej lawatan dari Sungai Glenelg melalui kawasan gaung batu kapur sejauh 15 kilometer.
Pengunjung juga berpeluang melihat kehebatan stalagtit, stalagmit, helictites dan formasi batu kapur lain yang menakjubkan.
Kepada pelawat yang ingin menikmati percutian kembara yang lebih mencabar dengan pelbagai aktiviti rekreasi bolehlah ke Grampian Victoria.
Kawasan ini menawarkan pelbagai aktiviti berbentuk pengembaraan dalam sebuah taman negara yang sentiasa dipenuhi dengan hidupan liar.
Untuk ke sana, pengunjung hanya perlu memandu selama tiga jam dari Melbourne.
Keindahan alam yang terdapat di Grampian National Park ini dibina lengkap dengan laluan pejalan kaki, kawasan air terjun, dek pemerhati hidupan liar termasuk kawasan pergunungan Arapiles yang terkenal di seluruh dunia.
Temui 1,000 spesies bunga-bunga liar di sana dan 24 daripadanya hanya boleh ditemui di Grampian dan 12 bunga liar lain pula hanya boleh dijumpai di Little Desert.
Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sana termasuk memancing atau menyusuri sungai dan tasik dengan perahu yang disediakan.
Taman negara ini juga dijadikan sebagai tempat perlindungan kepada hampir 45 peratus spesies burung yang terdapat di Victoria termasuk pelbagai spesies reptilia dan mamalia seperti kanggaru dan bandicoots.
Pelawat juga berpeluang belajar mengenai budaya tempatan di Taman Negara dan Pusat Kebudayaan Brambuk.
Antara tarikan utama yang terdapat di sana adalah menyaksikan koleksi masyarakat peribumi seperti lukisan dan tapak perumahan Orang Asli di Billimina, Gulgurri, Manja dan Ngamadjidi.
Teruja budaya kaum Mahmeri
May 5, 2012 by Ainaa
Filed under Pelancongan
Comments Off
TERLETAK di antara Klang dan Sepang, serta persisiran Selat Melaka, daerah Kuala Langat sangat kaya dengan nilai sejarah dan sarat dengan kepelbagaian budaya yang mampu menjadi aset pelancongan.
Berkeluasan hampir 87,000 hektar, satu daripada tempat tarikan di negeri Selangor, Kuala Langat mempunyai keunikannya yang tersendiri sehingga mampu memukau siapa sahaja yang berkunjung di daerah itu.
Siapa sangka di daerah Kuala Langat berdirinya sebuah istana yang menggabungkan tiga budaya dalam ukiran dan pembinaannya.
Malah, pelancong pasti teruja melihat budaya pribumi Orang Asli Kaum Mahmeri yang terletak di Pulau Carey.
Baru-baru ini, penulis bersama 40 pelancong dan pengamal media bersama Tourism Selangor berpeluang membongkar seribu satu rahsia di daerah Kuala Langat.

MAKLUMAT...Muzium Insitu Jugra menempatkan khazanah warisan seperti struktur binaan penjara, kesan tapak cari gali dan hasil arkeologi di Jugra serta susur galur kesultanan Selangor.
Destinasi pertama penulis ialah Pulau Carey yang menempatkan hampir 1,000 Orang Asli kaum Mahmeri di kawasan berkenaan.
Sampai sahaja di perkampungan Orang Asli di situ, kami disambut Ketua Kumpulan Tarian dan Anyaman, Maznah Unyan berusia 44 tahun.
Kami disambut dengan penuh senyuman dan dipersembahkan dengan tarian yang menjadi nadi dan budaya kaum Mahmeri itu.
Rata-rata pengunjung teruja dan terhibur dengan tarian yang dipersembahkan.
Tidak kurang dalam kalangan pengunjung yang menari mengikut rentak muzik yang dialunkan.
Terdapat tiga tarian yang dipersembahkan iaitu tarian Jabosh, Sidut dan Hari Monyang.
Maznah berkata, pada masa dahulu tarian itu dipersembahkan untuk menghalau kuasa jahat, mengubati pesakit dan ketika musim menuai.
Namun, seiring dengan arus kemodenan, kini tarian itu hanya dipersembahkan di hari keramaian dan majlis istimewa termasuk dipersembahkan kepada pengunjung yang datang ke kampung itu.
Selain itu, keunikan budaya kaum asli Mahmeri ialah anak gadis mereka perlu tahu teknik anyaman dan diwajibkan mempelajari teknik itu.
“Anak gadis di sini perlu tahu untuk menganyam kerana ia adalah warisan turun temurun nenek monyang kami. Selagi belum menguasai teknik anyaman, mereka tidak dibenarkan untuk berkahwin.
“Jadi kebanyakan wanita di kampung kami pakar menganyam terutama perhiasan dalam acara keagamaan, keramaian dan persembahan tarian,” katanya.
Jika golongan wanita memonopoli teknik anyaman, lelaki kaum asli Mahmeri pula pakar dalam teknik ukiran kayu.
Antara pengukir kayu yang popular di kampung itu ialah Samri Abdul Rahman yang berusia 37 tahun.
Berpengalaman hampir 16 tahun dalam bidang yang diceburi, tidak hairanlah apabila hasil seni ukirannya itu diiktiraf Karangkraf Malaysia sebagai antara yang terbaik dan unik.
Samri berkata, dia pernah mendapat tempahan khas dari pelancong Perancis yang meminati hasil seninya.
“Saya menggunakan kayu mirehbatu kerana warna kayu yang merah secara semulajadi. Selain itu kayu ini juga tahan dan mudah untuk diukir,” katanya.
Selepas puas menyelami budaya dan seni halus Orang Asli Mahmeri, kami bertolak ke Muzium Insitu Jugra.
Bangunan yang dibina di sekitar tahun 1878 itu ialah bekas Rumah Pasung ketika zaman pemerintahan Sultan Sir Abdul Samad.
Setelah bangunan itu tidak digunakan sejak 1929, hasil kebijaksanaan Kurator, Mohamad Aris Sahid mengambil keputusan melakukan kerja konservasi bangunan itu yang bermula Februari 2002 lalu.
Aris Sahid berkata, kerja-kerja konservasi mengikut garis panduan konservasi bangunan dan monumen lama iaitu Venice Charter (1964), Australian Burra Charter (1979) dan ICOMOS Burra Charter (1980).
“Segala hal berkaitan khazanah warisan seperti struktur binaan penjara, kesan tapak cari gali dan hasil jumpaan arkeolegi dipamerkan di muzium ini,” katanya.
Destinasi terakhir lawatan kami ialah Istana Alaedin atau lebih dikenali dengan Istana Bandar.
Terletak di Jugra, seni bina istana itu menggabungkan ciri-ciri seni bina Islam dari India dan Timur Tengah serta Cina.
Istana yang dibina sekitar 1905 itu didirikan oleh pemerintahan kelima kesultanan Selangor iaitu, Sultan Alaedin Suleiman Shah.
Bahan binaan yang digunakan seperti kayu cengal, dan batu mamar. Sultan Alaeddin pernah bersemayam di Istana itu sehingga 33 tahun sehingga baginda mangkat.
Malah, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Sultan Almarhum Hishammuddin Alam Shah yang menjadi Sultan Selangor sehingga hari ini diputerakan di istana itu.
Panggilan suite privasi
May 3, 2012 by Ainaa
Filed under Pelancongan
Comments Off
BAGI mereka yang berkunjung ke Shah Alam, Selangor baik untuk bercuti, berjalan-jalan atau mempunyai urusan perniagaan, soal penginapan bukanlah sesuatu yang perlu dirunsingkan.
Sesuai dengan statusnya sebagai sebuah bandar raya, Shah Alam sentiasa mengalu-alukan kehadiran tetamu dengan menjanjikan pelbagai lokasi penginapan bertaraf tiga hingga lima bintang.
Namun, bagi pengunjung yang mahukan suasana penginapan mewah dan eksklusif, Hotel Grand BlueWave yang terletak di Persiaran Perbandaran, Seksyen 14 mungkin boleh menjadi pilihan terbaik.
Terletak dalam kawasan komersial yang strategik, hotel itu kini berwajah baharu selepas beroperasi sejak 12 tahun lalu.
Justeru, tidak hairanlah ramai yang kagum dengan sentuhan dekorasinya yang menggabungkan paduan moden dan kontemporari.
Secara umumnya, hotel itu menyediakan lebih 341 ruang kamar pelbagai pilihan yang terdiri daripada 280 bilik deluxe, 59 suite, sebuah suite eksekutif dan sebuah suite presiden bermula dari aras lima hingga 19.

Berlatarbelakangkan panorama dan landskap indah di sekitar bandar raya, setiap bilik dibahagikan kepada tiga kelompok yang berbeza iaitu aras kumpulan, aras korporat dan aras BlueWave Club.
Menariknya, setiap aras dibezakan daripada tema, perincian hiasan dalaman dan susun atur perabot yang dihias indah.
Setiap suite dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung. Antaranya, televisyen satelit, panggilan dail terus antarabangsa, peti sejuk mini, akses Internet berkelajuan tinggi, kemudahan membuat kopi dan teh.
Gastronomi BlueWave
Sementara itu, bagi yang inginkan suasana mewah dan privasi, suite presiden di tingkat 19 boleh menjadi pilihan. Menawarkan perabot bercita rasa tinggi, suite itu lengkap dengan kemudahan jakuzi, bilik mesyuarat, ruang tamu, bilik makan dan pantri.
Bagi yang ingin menjamu selera terdapat pelbagai pilihan restoran dan kafe yang menjanjikan hidangan yang lazat dan menyelerakan.
Jika ingin menikmati hidangan tradisional tempatan dan antarabangsa, Semarak Cafe pasti menepati cita rasa pengunjung.
Di samping itu, jangan lupa rasai keenakan aneka hidangan Kantonis dan Szechuan di Restoran Tung Yuen yang terletak di tingkat satu. Bagi yang ingin mengubah selera bolehlah ke Restoran Agehan yang menyajikan hidangan tradisonal Jepun.
![]() |
BERSTATUS lima bintang, Hotel Grand BlueWave menjanjikan keselesaan maksimum kepada pengunjung.
|
Jika sekadar mahu bersantai sambil menikmati hidangan ringan dan pencuci mulut, Borak-Borak mungkin adalah jawapannya.
Selain untuk menginap, Hotel Grand BlueWave juga sesuai untuk majlis-majlis korporat dan mesyuarat.
Dewan Perdana yang dilengkapi peralatan audio dan visual berserta teknologi canggih pula mampu memuatkan antara 500 hingga 1,000 pengunjung.
Tidak sekadar itu sahaja, pengunjung boleh mencuba pelbagai kemudahan dan aktiviti riadah yang disediakan di resort itu seperti gimnasium dan kolam renang yang terletak di tingkat empat.
Mahu membelai tubuh, jangan lupa singgah ke Pusat Terapi dan Kecantikan Bioherbal Dr. Azimuth di tingkat yang sama.
Ia menawarkan perkhidmatan rawatan muka, sauna serta urutan yang dikendalikan pakar terapi bertauliah.
Romantis di Sibu Island Resort
May 1, 2012 by Ainaa
Filed under Pelancongan
Comments Off
![]() |
SESEKALI percutian yang sunyi dan tanpa gangguan amat didambakan oleh sesiapa sahaja yang sudah jenuh meredah kesibukan dan hiruk-pikuk kota. Lebih-lebih lagi sekiranya berpeluang untuk menghirup udara segar yang jarang dinikmati di tengah-tengah hutan konkrit.
Rancanglah percutian dan berkunjunglah ke Sibu Island Resort yang terletak 13 kilometer perjalanan menaiki bot dari jeti Tanjung Leman, Mersing, Johor.
Sebelum itu, jangan biarkan perut terlalu kosong atau terlalu kenyang sebelum menaiki feri dari Mersing kerana bimbang nanti kalau ada yang mudah berasa tidak selesa dan mabuk laut dalam perjalanan selama kira-kira 30 minit itu.
Selain barangan cenderamata, Jeti Tanjung Leman menawarkan pelbagai gerai makanan dan juga sebuah restoran makanan segera yang boleh dikunjungi untuk mngealas perut sementara menanti waktu menaiki feri.
Sejurus tiba di jeti Sibu Island Resort, kedatangan pengunjung pasti disapa kakitangannya yang mesra dan peramah. Sambil mengheret beg ke kaunter pendaftaran penginapan, mata pasti tertancap ke arah hamparan pasir pantai yang putih dan padang rumput luas namun diredupkan landskap pokok yang ditanam rapi.
Rusa dan merak
Rusa dan burung merak pula kelihatan bebas bergerak, sama ada bersendiri atau dalam kumpulannya. Ibarat sudah terbiasa dengan kehadiran manusia, haiwan-haiwan ternakan ini tidak pula lari ketakutan biarpun didekati kumpulan tetamu yang ingin bergambar.
Menurut Pengurus Residen Sibu Island Resort, Ab. Latiff Sahat, pengunjung boleh memberi makanan kepada haiwan-haiwan itu secara terus di atas tapak tangan. Makanan kegemaran haiwan tersebut seperti roti boleh dibeli di kedai cenderamata yang turut disediakan berdekatan.

“Haiwan-haiwan ini sekiranya didekati dengan mesra, ia tidak akan lari sebaliknya akan mendekati tetamu yang ingin memberikan mereka makanan tanpa rasa takut,” katanya.
Ab. Latiff memberitahu, Sibu Island Resort telah mengalami pengubahsuaian besar-besaran sejak dua tahun lalu membabitkan kesemua 121 unit bilik penginapan, ruang legar dan persekitaran resort yang kesemuanya menelan kos sebanyak RM26 juta.
“Kami turut membaik pulih kawasan pesisiran pantai dan membina loji penyahgaraman air laut. Justeru, air bersih yang digunakan di sini termasuk air minuman adalah diproses sendiri melalui loji ini.
“Pengubahsuaian penuh dan persekitaran yang ditawarkan menjadikan Sibu Island Resort ini destinasi percutian yang cukup eksklusif di negara ini. Ia ibarat mengikuti percutian ke pulau persendirian yang tenang dan mendamaikan,” katanya mengenai pulau percutian seluas 26 hektar itu.
Tidak dinafikan, pengubahsuaian yang dilakukan telah berjaya membentuk imej baharu Sibu Island Resort yang kelihatan mewah tetapi berpatutan untuk dikunjungi. Lebih istimewa, Sibu Island Resort menawarkan pelbagai pakej penginapan mengikut bajet percutian masing-masing.
Menurut Ab. Latiff, tetamu boleh memilih menginapan di bilik Superior dan Deluxe ataupun ke unit suite Serindit, Layang-Layang, Honeymoon atau Raja Udang bergantung kepada jumlah tetamu dan bajet masing-masing.

“Semua bilik penginapan mempunyai keistimewaan masing-masing. Sebahagian bilik penginapan dibina menghadap pantai, manakala sebahagian lagi menghadap persekitaran resort. Setiap satunya menerima sentuhan rekaan berasaskan kayu yang berciri moden.
“Bagi mereka yang memilih untuk berbulan madu di sini, Honeymoon Suites sudah semestinya menawarkan pemandangan terbaik malah bilik dihias dengan elemen romantik sebelum menerima ketibaan tetamu,” katanya.
Sukan lasak
Sekiranya sudah puas menikmati keindahan alam semula jadi atau merehatkan diri di bawah selimut yang selesa, pilihan aktiviti sukan ekstrem yang disediakan pasti dapat memenuhi jadual percutian bersama keluarga dan teman-teman.
Menurut Ab. Latiff, Sibu Island Resort menawarkan pelbagai kemudahan sukan lasak bertaraf dunia antaranya aktiviti terbang keluang (flying fox), memanah dan memanjat menara setinggi 24 meter yang menjadi tarikan dan pilihan ramai tetamu yang datang berkunjung.
“Sekiranya lebih meminati aktiviti snorkeling, pulau-pulau berhampiran menawarkan lokasi menarik untuk tujuan tersebut. Kemudahan dan perkhidmatan berkaitan snorkeling turut disediakan pihak resort.
“Selain itu, mereka yang datang berkumpulan boleh mencuba aktiviti berkayak, perahu layar, Banana Boat dan pelampung terbang Flying Fish yang pasti mendebarkan dan mencabar terutama bagi mereka yang pertama kali mencubanya,” katanya.
Tambah Ab. Latiff, selain aktiviti membabitkan pantai, Sibu Island Resort turut mempunyai hamparan hutan di bahagian belakangnya yang sedia menanti si penggemar aktiviti treking.

“Melalui aktiviti ini yang akan ditemani jurupandu, pengunjung berpeluang mengenali pelbagai tumbuhan hutan dan spesies burung.
“Kaki pancing pula boleh membawa alat pancing masing-masing atau menyewa peralatan di kedai berkaitan,” jelasnya.
Sesudah puas mencuba pelbagai aktiviti ekstrem, tubuh yang letih amat sesuai dibawa ke Holistic Spa. Pusat yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari itu memanjakan tetamunya dengan pelbagai rawatan seperti urutan tradisional Sibu, urutan Swedish, urutan bahu, leher dan belakang dan skrub badan herba.
Sup tulang rawan
Dalam pada itu, keperluan menjamu selera tidak sesekali diabaikan pihak resort. Di Lumba Lumba Coffee House yang mampu memuatkan 100 tetamu pada satu-satu masa, selera tetamunya disambut dengan kelazatan hidangan ala carte dan bufet daripada menu-menu Asia dan antarabangsa.
Selain Lumba Lumba yang dibuka seawal pukul 7 pagi hingga 11.30 malam setiap hari, Suji Lounge pula mampu memuatkan 30 orang tetamu dengan rangkaian menu makanan dan minuman yang khusus.
Menurut Sous Chef Kanan, Budi Ali, hidangan istimewa yang disediakan di kafe berkenaan ialah sup tulang rawan yang menjadi menu signatur. Ia bagaimanapun, hanya disediakan pada hari-hari tertentu.
“Sup tulang rawan boleh dinikmati di sini pada hari-hari perayaan utama, istimewa buat mereka yang memilih untuk meraikannya di resort ini.
“Selain sup tulang rawan, hidangan istimewa yang digemari oleh tetamu ialah udang goreng tepung yang mempunyai rasa istimewa yang tidak akan ditemui di tempat lain,” jelasnya.
Keistimewaan menu lazim berkenaan terletak pada keenakan salutan tepungnya yang garing dan memiliki rasa seumpama salutan tepung ayam goreng di rangkaian restoran makanan segera popular.
Selain itu katanya, hidangan barbeku yang diadakan pada malam-malam tertentu amat digemari lebih-lebih lagi apabila para tetamu dihiburkan dengan persembahan band live yang dibawakan khas dari Filipina.
“Kumpulan ini juga akan menghiburkan para tetamu yang mengikuti aktiviti kem unggun api yang lazimnya bermula selepas makan malam berakhir,” terangnya.
Bukit Fraser syurga pemerhati burung
April 29, 2012 by Ainaa
Filed under Pelancongan
Comments Off
MEMERHATI burung merupakan kegiatan masa lapang yang mudah dinikmati oleh orang ramai tidak kira usia.
Berbekalkan hanya sebuah binokular, pakaian yang sesuai bagi meredah belantara dan kasut getah memudahkan golongan ‘Birder’ memerhati sang unggas dari jarak yang lebih dekat.
Kaedah menggunakan sistem jam memudahkan si pemerhati burung ini menyesuaikan keselesaan mengikut kemampuan mata mereka menerusi lensa teropong.
Biasanya, selepas mendengar kicauan burung, si pemerhati akan menggunakan bahasa isyarat sistem jam seperti “atas pokok itu pukul 12, pukul 6, tengah pukul 9 atau pukul 3″ sebelum memfokuskan binokular yang dibawa.
Selepas puas melihat haiwan berwarna-warni ini, Birder akan mencatatkan nama burung berkenaan diatas sebuah diari peribadi ataupun mengambil gambar burung tersebut sebelum ia hilang dari pandangan mata kasar.
Dari catatan tersebut dan gambar yang telah diambil memudahkan pemerhati burung pengenal pasti burung tersebut pada masa akan datang.
Antara catatan yang sering dicatitkan dalam nota kecil itu seperti spesis burung, tarikh, habitat, lokasi atau sekadar mencatatkan sebanyak mungkin butiran mengenai burung yang telah dilihat.
Sebaik yang mungkin, pemerhati burung akan mengawal pergerakan mereka tanpa sebarang bunyi bising bagi mengelakkan burung yang telah dikesan terbang ke lokasi lain.
Oleh yang demikian, apabila sebut sahaja Bukit Fraser, destinasi pelancongan ini pastinya digemari ramai lebih-lebih lagi buat si pemerhati burung dan pencinta alam.
Menurut sejarah, resort kolonial British lama ini telah ditemui oleh Louise James Fraser yang berasal dari Scotland pada 1890.
Dari kawasan lombong bijih timah dan emas, kini Bukit Fraser lebih dikenali ramai sebagai kawasan eko-pelancongan yang semakin dikunjungi ramai sekaligus menjadikan destinasi tersebut sebagai bandar asli British terakhir di Malaysia.
Terkenal dengan jolokan nama sebagai Little England, kebanyakan daripada bangunan-bangunan lama yang terdapat disana masih dikekalkan sehingga ke hari ini.
Buat mereka yang pertama kali melawat ke sana, pasti tertanya-tanya apa tarikan yang terdapat di Bukit Fraser selain berpeluang lari dari kesibukan kota raya.
Bersuhu sederhana dari 18 hingga 21 celsius membolehkan pengunjung menikmati udara segar dikelilingi kawasan hijau.
Bagi penulis, memerhati burung hijrah merupakan aktiviti kemuncak yang boleh dilakukan pengunjung kerana di sini terdapat lebih daripada 250 spesis burung telah dikenal pasti.
Untuk mereka yang gemar melakukan aktiviti meredah hutan, terdapat lapan trek semulajadi boleh diterokai di sana.
Antaranya seperti Hemmant Trail, Bishop’s Trail, Pine Tree Trail, Maxwell Trail, Mager Trail, Kindersley Trail, Rompin Trail dan Abu Suradi Trails.
Di tengah pusat bandar Bukit Fraser, terdapat sebuah menara jam lama yang dijadikan ikon lokasi ini.
Pengunjung pastinya tidak akan melepaskan peluang bergambar di menara jam itu sebagai tanda kenangan.
Air Terjun Telaga
Jika pengunjung bergerak lima kilometer dari pusat bandar Fraser, para pelawat boleh mengunjungi kawasan Air Terjun Jeriau.
Kawasan perkelahan ini yang dipulihara oleh majlis perbandaran tempatan menjadikan kawasan ini lokasi strategik untuk meluahkan masa bersama keluarga.
Di sekeliling kawasan air terjun tersebut, pengunjung berpeluang menikmati keindahan panorama hutan tropika subur.
Selain Air Terjun Jeriau, 15 kilometer dari lokasi itu masih terdapat sebuah lagi kawasan pelancongan unik yang dipanggil dengan nama Air Terjun Telaga yang lebih cantik jika dibandingkan dengan Air Terjun Jeriau.
Bagi mereka yang berminat untuk melihat keindahan flora dan fauna yang terdapat di sekitar Bukit Fraser bolehlah mencuba menerokai kawasan ini dengan melakukan aktiviti memerhati burung.
Rhinoceros hornbill, mountain tailorbird, mountain imperial pigeon, silver eared mesia, long tailed sibia dan chestnut capped thrush merupakan antara spesis burung yang mudah dilihat di Bukit Fraser.
Maka tidak hairanlah mengapa acara Fraser’s Hill International Bird Race mendapat sambutan setiap tahun sehingga pernah salah seorang daripada pemenang acara itu berjaya mengenal pasti, melihat dan mencatitkan 70 spesis burung dalam masa 24 jam.
Bandar pelancongan tentera
April 28, 2012 by Dudi
Filed under Pelancongan
Comments Off
Port Dickson jadi bandar pelancongan tentera.
Port Dickson yang diisytiharkan Bandar Tentera Darat pada 2009 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukan saja menjadi lokasi tumpuan tentera, malah akan berubah menjadi bandar pelancongan bercirikan tentera sepenuhnya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelbagai program diaturkan dan akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan bagi mengembalikan nostalgia kewujudan institusi Tentera Darat, di sini sejak 79 tahun lalu.
“Kita juga akan mewujudkan penginapan ala tentera di berek tentera atau ‘barrack stay’ bagi membolehkan orang ramai merasai sendiri kehidupan sebagai anggota tentera,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci Bandar Tentera Darat di PUSASDA, di sini, semalam.
Kunci itu diserahkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Zahid sebelum diserahkan kepada Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin.
Ahmad Zahid berkata, pelbagai infrastruktur akan dinaik taraf di bandar ini, termasuk mendirikan Kolej Tentera Darat dengan kos RM75 juta bagi menggantikan kolej yang sebelum ini di Johor.
Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri akan memastikan bandar itu mempunyai ciri ketenteraan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan ia terus menjadi tarikan pelancong selain sebagai pusat peranginan negara.
“Semua kawasan di sini, termasuk gerai akan dibuat bercirikan tentera selaras dengan nama Bandar Tentera Darat. Menerusi fasa pertama, kita membina pintu gerbang bercirikan ketenteraan, manakala fasa kedua dan seterusnya akan menyusul,” katanya.
Jambatan gantung Gunung Stong
April 27, 2012 by Ainaa
Filed under Pelancongan
Comments Off
Terkenal dengan keunikan yang tersendiri, negeri ini amat menarik untuk diterokai kerana selain kaya dengan sejarah, ‘negeri kijang’ ini banyak menyimpan khazanah alam semula jadi seperti kawasan hutan dan pergunungan.
Kelantan menawarkan pelbagai tempat menarik untuk aktiviti berkelah dan beriadah bersama keluarga lengkap dengan keistimewaan air terjun yang membuatkan kita tidak perlu berfikir panjang untuk bersantai.
Kawasan air terjunnya menjanjikan suasana kedamaian yang bakal meninggalkan kenangan manis kepada setiap pengunjungnya.
Kebanyakan kawasan air terjun yang terdapat di sana terletak dalam jajahan Pasir Puteh (35 kilometer dari Kota Bharu) seperti Jeram Pasu yang terletak di Kampung Padang Pak Amat.
Lokasi itu mudah dikunjungi secara berkenderaan sehingga sampai ke destinasi tersebut.
Air Terjun Jeram Pasu boleh dikatakan sebagai lokasi paling popular kerana airnya yang jernih, sejuk serta nyaman, pastinya memuaskan kunjungan anda.
Selain itu, Jeram Lenang juga merupakan satu lagi destinasi air terjun kegemaran orang tempatan.
Hutan lipur air terjunnya sesuai dijadikan destinasi ideal untuk aktiviti berkelah, berehat, berkhemah serta sesuai untuk aktiviti merentas hutan.
Setelah mengunjungi lokasi tersebut, jika anda menggunakan Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang, kunjungan anda tidak lengkap jika tidak singgah ke Lata Beringin yang terkenal dengan ketinggian air terjunnya setinggi 120 meter.
Menyusuri sungai dan merentas hutan
Pengunjung yang gemar menikmati keindahan panorama hijau pastinya tersenyum puas jika berpeluang menyusuri Sungai Kelantan sambil menyaksikan hutan hujan tropika yang masih belum dicemari.
Sambil itu, kita akan dihiburkan dengan bunyi kicauan burung, unggas dan suasana alam semula jadi sepanjang menyusuri sungai.
Pengunjung boleh melihat aktiviti kehidupan masyarakat yang tinggal berhampiran sungai ketika sedang menjalani kehidupan seharian mereka.
Anda boleh menyusuri sungai dari Jeti Kuala Krai dengan menaiki bot selama dua jam ke Dabong.
Dari lokasi tersebut, beberapa jalan lain boleh digunakan sama ada dengan menaiki keretapi untuk kembali ke Kota Bharu atau terus ke Jelawang untuk memulakan pengembaraan merentas hutan.
Anda boleh bermalam dalam suasana mendamaikan sambil ditemani alam semula jadi dengan hanya menggunakan khemah ataupun menyewa rumah rehat yang disediakan.
Jangan ketinggalan untuk mengunjungi Air Terjun Jelawang yang hanya mengambil masa selama sejam setengah selepas merentasi kawasan hutan belantara yang dipenuhi dengan pelbagai spesies flora dan fauna.
Jalan alternatif lain yang boleh dilalui ialah dengan menempuh perjalanan selama dua jam setengah dari Dabong ke Gua Musang.
Di sini, terletaknya Air Terjun Lata Beringin yang menakjubkan.
Suasana sekeliling yang damai pastinya menjanjikan kepuasan setelah peserta berhempas pulas mendaki.
Gua Musang merupakan salah satu pusat rekreasi Taman Negara yang dianggap sebagai antara kawasan hutan hujan tertua di dunia.
Anda berpeluang melakukan aktiviti berakit serta melawat gua-gua yang terdapat di sana seperti Gua Cha, Gua Gelap, Gua Keris dan Gua Ikan.
Bagi yang ingin mendaki, bolehlah menuju ke Tapak Perkhemahan Kem Baha yang mampu memberikan seribu satu pengalaman yang sangat mencabar kemampuan kerana pengunjung terlebih dahulu perlu mendaki di sepanjang laluan tepi air terjun sebelum tiba di tapak perkhemahan tersebut.
Dari tapak perkhemahan tersebut, pengunjung boleh meneruskan pendakian ke puncak Gunung Stong ataupun Gunung Ayam.
Gunung Stong setinggi 1,433 meter terletak kira-kira 300 kilometer dari Kota Bharu dan digambarkan sebagai lokasi eko-pelancongan terkenal di Malaysia kerana mengalir di kawasan itu adalah air terjun Jelawang setinggi 303 meter yang didakwa sebagai tertinggi di Asia Tenggara.
Menariknya air terjun Jelawang yang mengalir di atas bongkah batu besar di kaki Gunung Stong ini mampu dilihat dari jarak lebih lima kilometer dan menawarkan ‘jakuzi’ semula jadi.
























