Guru pelatih penuhi syarat kursus
May 15, 2012 by Dudi
Filed under Pendidikan
Comments Off
Hampir 100 peratus guru pelatih penuhi syarat kursus. UPSI guna pendekatan berkesan, inovatif jamin graduan berkualiti dan berdaya saing.
HAMPIR 100 peratus daripada 53,000 guru pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang mengikuti kursus dalam satu masa di 27 kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara berjaya menamatkan pengajian.
Rektor IPGM, Datuk Dr Haili Dolhan, berkata daripada jumlah itu, hanya satu peratus daripada mereka gagal menamatkan kursus antaranya disebabkan masalah kesihatan dan disiplin.
Katanya, semua yang menamatkan kursus pula mudah memenuhi pasaran kerjaya berikutan pengambilan pelajar mengikut unjuran keperluan guru setiap lima tahun yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.
Beliau berkata, hampir 100 peratus guru terbabit juga memiliki jiwa pendidik dan meminati profesion keguruan, bukannya golongan yang terpaksa memilih kerjaya berkenaan bagi mengelak menjadi penganggur.
“Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Dengan Kepujian) yang ditawarkan di IPG juga memberi kesan positif hasil penilaian dua kohort yang berjaya menamatkan pengajian.
“Pengajian ini bukan saja diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), malah modul latihannya lebih seimbang melatih generasi muda cemerlang akademik dan pembangunan sahsiah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di IPGM, Cyberjaya, Putrajaya, baru-baru ini.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, berkata kira-kira 96 peratus graduan universiti itu berjaya diserap sebagai tenaga pengajar sebaik menamatkan pengajian.
Katanya, UPSI menggunakan pendekatan berkesan dan inovatif bagi menjamin kualiti graduan supaya lebih berdaya saing dan berupaya mengajar lebih daripada satu subjek.
Mengulas isu berkaitan sistem pendidikan yang terlalu berorientasi peperiksaan, bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik, berkata kaedah berkenaan dikhuatiri menjejaskan usaha kerajaan melahirkan modal insan seimbang akademik dan sahsiah.
Dasar seumpama itu kata beliau, menyebabkan pelajar hanya memikirkan peperiksaan hingga dibebani kerja rumah yang banyak bagi memastikan mereka memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran.
Guru pula katanya, memberikan latihan berterusan itu menyebabkan mereka tidak ada masa beriadah dan mengenepikan aktiviti kokurikulum yang perlu diseimbangi untuk melahirkan generasi muda serba boleh.
Puas uji kemampuan
May 15, 2012 by Ainaa
Filed under Permotoran
Comments Off
AERODINAMIK…pandangan sisi.
SELEPAS pelancaran model pertama, Lexus LS 400 pada 1989, jenama itu memasuki hampir 60 negara di seluruh dunia.
Jentera buatan Jepun itu adalah sebahagian daripada kumpulan Toyota yang dicipta untuk mengisi segmen kenderaan mewah bagi bersaing dengan jenama lain dari Eropah.
PRESTASI…enjin bersesaran 2,499 cc.
MEWAH…ruang kokpit.
SELESA…tempat duduk belakang.
Di negara ini, jenama itu sangat popular dengan model kereta utiliti sukan (SUV) membuatkan ia tidak asing lagi malah kerap kelihatan melata di jalan raya.
Sebagai pelengkap, Lexus Malaysia memperkenalkan model terbaru generasi keempat kereta sedan premiumnya melalui Lexus GS.
GS yang bermaksud ‘Grand Touring Sedan’ itu menawarkan pemanduan yang berprestasi dan menyeronokkan.
Model itu turut menjadi penanda aras dengan menerapkan falsafah reka bentuk baru dipanggil ‘L-finesse’ yang tampil lebih canggih dan berani.
Kenderaan yang dibangunkan lebih empat tahun dengan mengharungi perjalanan sejauh 1.6 juta kilometer (km) dilakukan untuk memantapkan lagi tahap kualiti dan prestasinya.
Kali pertama memandu GS 250 Luxury baru-baru ini, ia memberi satu pengalaman berharga buat penulis untuk menguji satu daripada produk Lexus yang menjadi kebanggaan golongan eksekutif.
Walaupun memandu kurang daripada 30 minit di sekitar Cyberjaya bersama media lain, ia memberi kepuasan untuk menguji kemampuannya.
Sebaik duduk di ruang kokpitnya, ternyata Lexus GS ini sehebat model terkenal dari Eropah.
Logo Lexus yang terpapar pada sterengnya menyerlahkan lagi jenama ini untuk tampak eksklusif.
Papan pemukanya dipadankan skrin paparan ‘Electro Multi Vision’ yang bersaiz 12.3 inci dikatakan paling besar berbanding kenderaan lain selain mampu menyalurkan pelbagai maklumat seperti GPS, sistem audio dan kawalan suhu.
Ia juga dilengkapi Pengawal Kawalan Sesentuh seperti tetikus komputer yang terletak pada bahagian konsul tengah sekali gus memudahkan penulis mengendalikan pelbagai sistem tanpa menekan butang atau suis.
Sesuai dengan kenderaan mewah, sistem audionya jenama Mark Levison yang dilengkapi 17 pembesar suara mampu mengeluarkan bunyi mengasyikkan untuk memecahkan kesunyian dan kebosanan memandu.
Kuasa pecutannya sungguh mantap dan sesuai dengan nama singkatannya GS apabila enjin bersesaran 2,499 cc mampu menghamburkan 207 bhp, manakala 253 Nm bagi kuasa kilasnya.
Keistimewaan model ini juga terserlah apabila dipadankan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport yang boleh ditukar dengan menggunakan butangnya.
Paling menyeronokkan pada sesi pandu uji ini, penulis menggunakan mod Sport apabila sistem suspensi dan transmisi ditala untuk pemanduan yang agresif.
Kuasa pecutannya sedikit bertambah untuk memudahkan jarum meter mencapai melebihi tiga angka selain suspensinya sedikit keras bagi memberi pengendalian yang lebih dinamik.
Penulis turut yakin menambahkan kelajuan ketika melalui beberapa selekoh tajam kerana ia memberi ketepatan dan tidak “membuang”.
Sementara itu, jika mahukan pemanduan santai dan menjimatkan minyak, anda boleh menggunakan mod Eco sekali gus sesuai kegunaan dalam bandar atau lebuh raya.
Selepas sesi memandu, penulis merenung seketika melihat reka bentuknya yang tampak dinamik dan gagah.
Pada pandangan hadapan, ia menggambarkan rekaan yang menampilkan imej garang dengan kombinasi lampu berbucu tajam dan jeriji kelihatan unik.
Rekaan terbaru itu yang memaparkan falsafah ‘L-finess’ itu memberi gambaran wajah lebih garang sekali gus menggambarkan identiti keteguhan dan masa depan jenama Lexus.
SPESIFIKASI
LEXUS GS 250 LUXURY
ENJIN
Bersesaran 2,499 cc, enam silinder dengan 24 injap
KUASA MAKSIMUM
207 bhp pada 6,400 rpm
TORK MAKSIMUM
253 Nm pada 4,800 rpm
TRANSMISI
Enam kelajuan automatik
CIRI-CIRI KESELAMATAN
ABS, BA, VSC, TRC dan EBD.
HARGA
RM398,660 atas jalan tanpa insurans.
TAYAR YANG DICADANGKAN
Corak: ContiSportContact 5
Saiz tayar dicadangkan:
235/45R18 98Y
Prestasi mengkagumkan
May 15, 2012 by Ainaa
Filed under Permotoran
Comments Off
Selepas diperkenalkan hampir lima tahun lalu, model pikap pacuan roda itu tampil dengan sentuhan enjin baru apabila dipadankan teknologi pengecas turbo untuk meningkatkan kuasa prestasinya.
Prestasi enjinnya mampu menghamburkan sehingga 89 Ps dan lebih baik berbanding model terdahulu selain didatangkan dengan wajah segar dengan kombinasi rim aloi baru.
Selain bentuk luaran yang bergaya dan sporty, ruang kabin Triton Lite 2.5L Turbo itu dipadankan dengan warna baru dan papan pemukanya dilengkapi sistem audio pelbagai fungsi.
Walaupun bentuknya sedikit besar dan lebar, ia mampu membuat pusingan di laluan sempit dengan jejari 5.7 meter.
Ketinggian ruang kargo yang sedikit rendah turut memudahkan untuk mengangkat barangan.
Ia juga dilengkapi ciri-ciri standard termasuk dilengkapi tingkap berkuasa elektrik, kelajuan sensitif pengilap cermin depan, sistem pusat pengunci pintu dan lampu utama penghidup auto.
Ciri keselamatannya turut ditingkatkan apabila didatangkan dengan Injap Pengesan Pengkadaran Beban (LSPV) di mana ia berfungsi untuk mengedarkan tekanan brek yang tepat.
Triton Lite Turbo boleh ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu perak dan putih yang dijual RM65,997.10 ke atas jalan termasuk insurans.
Cabaran guru alaf baru
May 15, 2012 by Ainaa
Filed under Pendidikan
Comments Off
SAMBUTAN Hari Guru 16 Mei setiap tahun menjadi simbolik pengiktirafan istimewa kepada warga pendidik yang tidak jemu melahirkan insan berjaya dan terbilang.
Sama ada pengetua, pensyarah atau guru semuanya berjasa biarpun zaman sudah menjengah alaf baru dengan pelbagai tanggung jawab yang kian sukar serta mencabar.
Malangnya, di tengah kelelahan golongan terbabit mendidik anak bangsa, masih ramai yang mempertikaikan kredibiliti dan integriti guru hingga mencemarkan imej mereka.
Pelbagai permintaan dan desakan diutarakan dengan alasan, guru perlu bersedia dan mengubah anjakan paradigma sejajar perubahan dunia pendidikan global zaman millennium.
Justeru, persediaan apakah yang perlu ada bagi golongan terbabit mengharungi dunia pendidikan era baru?
Pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohmad Noor Mohmad Taib, berkata, guru zaman millennium perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan mental serta fizikal bagi mengemudi masa depan dunia pendidikan.
Beliau berkata, itulah cabaran utama yang perlu diperkukuhkan terlebih dulu sebagai persediaan berdepan pelbagai kerenah tidak terjangka dunia pendidikan global.
“Sebagai guru alaf baru, kerenah bukan saja merangkumi aspek pematuhan tugas dan dasar malah mengawal selia pelajar selain memastikan standard ditetapkan tercapai.
“Aspek itu bukan mudah kerana penanda arasnya sentiasa berubah selain menguji sejauh mana ketahanan guru.
“Ia bukan saja memerlukan ketahanan fizikal, lebih penting kekuatan emosi bagi mengelak tekanan. Guru zaman ini harus menyediakan perisai untuk menghadapi segala kemungkinan itu lebih awal,” katanya.
Tahun ini, tema ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’ menggambarkan betapa besarnya tanggungjawab dan peranan guru menjana transformasi pendidikan selari tuntutan semasa.
Bagaimanapun, imej guru yang tinggi di mata masyarakat kini juga terpalit dengan isu luar jangkaan.
Apatah lagi dengan kuasa kian terbatas menyebabkan ada menganggap guru hari ini sekadar menjalankan tugasan semata-mata tanpa sokongan komitmen tinggi.
Beliau berkata, biar apapun tohmahan dilemparkan, guru perlu meletakkan rasa tanggungjawab di tangga tertinggi selain memperlengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran.
“Ini membolehkan mereka berfungsi sebagai pencetus, pembentuk, pengajar dan pendidik kepada anak bangsa. Bukankah mereka antara idola yang baik dan sering menjadi rujukan?
“Guru perlu sentiasa bersikap profesional, berusaha dan sabar menangani keadaan.
“Kebijaksanaan dalam berfikir dan menentukan tindakan perlu kerana masyarakat masa kini sangat peka,” katanya.

Guru, katanya ada pelbagai kategori. Pertama, memang mahu menjadi guru dan mampu memberikan komitmen diri yang baik terhadap tugasan. Mereka puas jika melihat pelajar berjaya dan tidak mengharapkan balasan.
“Kedua, bercita-cita menjadi guru pada peringkat awal namun tidak bertahan kerana gagal mengikut rentak dan ketiga menjadikan profesion ini sebagai pilihan terakhir,” katanya.
Pendapatan guru di negara ini juga, akuinya, tidak setimpal dan kurang mendapat pengiktirafan seperti kerjaya lain berbanding guru di negara maju.
“Ini juga salah satu sebab mengapa ada kurang bermotivasi menjadi guru dan melaksanakannya kerana terpaksa. Berbeza di luar negara, mereka bertindak profesional kerana kerjaya itu memang profesional.
“Bagaimanapun jangan jadikan ia alasan bertugas sambil lewa. Guru pemegang amanah, justeru laksanakan dengan jujur dan ikhlas,” katanya.
Guru juga, akuinya, tidak boleh membandingkan kegemilangan zaman pendidikan dulu dan masa kini.
Menurutnya, setiap ruang masa mempunyai ciri latar dan pengisian peristiwa serta cabaran berbeza.
“ Justeru tidak adil mengatakan zaman pendidikan dulu lebih baik berbanding sekarang. Setiap tempoh ada perbezaannya dan ia dilaksanakan mengikut kesesuaian.
“Cabaran dunia pendidikan sentiasa wujud. Yang berbeza ialah bentuk cabaran perlu dihadapi.
“Setiap cabaran itu pula memerlukan formula dan pendekatan berbeza. Di sinilah guru memerlukan paradigma pemikiran yang sentiasa berkembang sekali gus membantu pelajar berjaya,” katanya.
Mantan pengetua SMK Alor Janggus (SMKAJ), Kedah, Datuk Harun Mohd Hashim, bersetuju peranan guru hari ini semakin mencabar dan memerlukan kudrat tinggi untuk melaksanakan setiap tugas.
Menurutnya, guru pada zaman ini terlalu terikat dengan peraturan sebaliknya dulu diberi kuasa penuh melaksanakan peranan tanpa campur tangan masyarakat juga ibu bapa.
“Masyarakat dan ibu bapa dulu sangat padu membantu guru melaksanakan tanggungjawab. Mereka prihatin sekali gus memudahkan proses pendidikan dijalankan.
“Kekurangan kemudahan bukan alasan guru mendidik pelajar menjadi insan baik dan berdisiplin. Mereka berjaya hasil didikan guru manakala hubungan juga mesra.
“Kini sudah berbeza dan menyedihkan. Guru, pelajar dan masyarakat saling bercakaran hingga menyukarkan usaha melahirkan produk cemerlang, produktif kemahiran serta jadi diri,” katanya.
Manakala mantan pengetua SK Datuk Wan Muhammad Saman (SKDWMS) Alor Star, Kedah, Abdul Aziz Zainol, berkata tanggungjawab guru zaman millennium sangat mencabar kerana turut terpaksa memikul beban sampingan.
“Dulu guru hanya mengajar dan memantau masalah pelajar, tapi hari ini terpaksa berdepan permintaan lain seperti kerja perkeranian, kursus dan sebagainya.
“Justeru tumpuan terhadap tanggungjawab hakiki akan terjejas sekali gus memberi ruang pelajar bertindak sesuka hati. Ini lari dari konsep pendidikan dan tanggungjawab guru.
“Sekali gus semakin menyukarkan usaha menjadi guru yang baik dan berkaliber,” katanya.
Tiroid jadi masalah
SIKAP isterinya yang panas baran memeningkan kepala si suami. Setiap kali pulang ke rumah, ada saja yang tidak kena.
Apa yang jelas selepas keguguran empat bulan lalu, keadaan isterinya semakin buruk. Sebagai suami dia makin buntu.
Akhirnya dia membawa isterinya ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Ujian darah yang dilakukan mendapati kandungan tiroid dalam darah isterinya lebih 100 berbanding normal 11 hingga 23.
Doktor memberikan isterinya ubat untuk menurunkan kandungan hormon tiroid di dalam darah.
Tidak lama kemudian, isterinya hamil semula dan melahirkan anak yang comel dan sihat.
Apabila menyebut penyakit tiroid, kita tentu akan terbayangkan bahagian leher yang membengkak dengan tubuh yang kurus dan mata terjojol seperti mata ikan.
Pakar Runding Pembedahan Am Pusat Perubatan Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr. Nanda Kumar Rajendram berkata, mereka yang menghidap penyakit berkaitan dengan tiroid biasanya cepat marah, panas baran dan tidak fokus.
“Kelenjar tiroid secara anatominya terbahagi kepada dua seakan-akan rama-rama dan terletak di bahagian hadapan leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan,” katanya.
Menurut Dr. Nanda, kelenjar tiroid mengeluarkan dua jenis hormon iaitu tiroksin atau T4 dan triiodotiroksin atau T3.
MengawalKedua-dua hormon berkenaan mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi badan yang dipanggil metabolisma.
“Apabila hormon berkenaan meningkat, metabolisma badan juga meningkat dan begitulah sebaliknya akan berlaku jika hormon terbabit dikurangkan.
“Metabolisma yang tinggi menyebabkan pesakit berasa panas, cepat marah dan kurang fokus manakala jika metabolisma rendah, pesakit kurang bermaya sehingga berat badan meningkat,” katanya.
Justeru kelenjar tiroid dengan hormon T3 dan T4 membantu fungsi badan pada kadar yang selamat dan berkesan.
Dr. Nanda berkata, kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid.
Apabila hormon tiroid terlalu banyak, penyakit hipertiroidisma berlaku dan sekiranya hormonnya sedikit, pesakit menghidapi hipotiroidisma.
Menurut Dr. Nanda, penyakit tiroid boleh mempengaruhi hampir kesemua bahagian badan dan ketidakseimbangannya membahayakan kesihatan.
“Sebenarnya penyakit tiroid lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.
“Penyakit ini juga boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Rawatan untuk penyakit ini bagaimanapun selamat serta mudah,” katanya.
Menurut Dr. Nanda, terdapat ujian, pemeriksaan dan rungutan pesakit atau orang sekeliling yang boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit tiroid.
“Selain itu pesakit juga mungkin akan menghidap penyakit-penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.
“Leher perlu diperhatikan kerana kelenjar tiroid akan bergerak dengan tindakan menelan. Jika dipegang, boleh dirasai bentuk kelenjar dan juga pergerakannya dengan menelan,” katanya.
Diperiksa kulit dan mata juga boleh diperiksa di samping suhu badan serta berat badan boleh diamati untuk memastikan masalah kelenjar tiroid.
Penyakit hipotiroidisma berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara optimum sehinggakan hormon-hormon tidak dikeluarkan secukupnya.
Selain itu, ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisma.
Biasanya, jelas Dr. Nanda, penyakit hipotiroidisma disebabkan oleh radangan pada kelenjar tiroid, dipanggil tiroiditis.
Penyakit berkenaan juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto iaitu sejenis penyakit autoimun merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid.
Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid bekerja dengan lebih kuat.
Akhirnya, kelenjar tiroid membesar dan dipanggil sebagai benguk. Lama-kelamaan, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.
“Ujian paras darah hormon tiroid akan dilakukan untuk mengesahkan yang anda sememangnya menghidapi hipotiroidisma.
“Sekiranya paras hormon adalah normal, mungkin pesakit mempunyai penyakit lain dan ujian lanjutan mungkin diperlukan,” katanya.
Pastikan ibu hamil cukup zat besi
PERNAHKAH anda berasa letih, sakit, terganggu atau lemah semasa mengandung? Jangan abaikan gejala ini dengan menganggapnya sesuatu yang ‘biasa’ semasa hamil.
Tahukah anda bahawa seorang dalam setiap tiga wanita, mengalami masalah ini kerana anemia atau kekurangan zat besi.
Disebabkan masalah kesihatan ini tidak disahkan dan tidak dirawat, ramai ibu dan bayi mengalami kesan kesihatan dalam jangka panjang.
Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Premitha Damodaran, zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.
“Wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri semasa hamil dan selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka. Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada normal (< 12-15mg/dl), wanita menghadapi risiko mengalami jenis anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat besi,” ujarnya di bengkel pendidikan bertajuk ‘Kehamilan dan Anemia: Lebih Lazim Daripada Yang Anda Jangka, Panduan Memastikan Ibu Sihat Sejahtera’ anjuran Merck Consumer Healthcare baru-baru ini.
Beliau menjelaskan kekurangan zat besi dalam badan mungkin disebabkan diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan.
KeperluanTambah Dr. Premitha, wanita hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan juga tumbesaran bayi.
Dianggarkan wanita memerlukan kira-kira 50 peratus lebih banyak zat besi semasa hamil, bertambah daripada 15 kepada 27mg/dl sehari.
“Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa simpanan zat besi yang secukupnya. Akibatnya, ia berlanjutan walaupun selepas melahirkan anak,” ujarnya
Wanita yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa bersalin, melahirkan anak beberapa kali dan ibu yang menyusukan bayi akan berisiko kekurangan zat besi.
“Anemia semasa hamil dan selepas melahirkan anak sering dikaitkan dengan tahap kerumitan serius seperti keguguran, kelahiran pramatang, berat lahir rendah dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia,” ujarnya.
Pencegahan Dr. Premitha menasihatkan wanita agar mengubah gaya hidup dan pemakanan.
“Tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi seperti ayam, sayur hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, tembikai, labu, bijan dan tauhu,” katanya.
Dalam kebanyakan kes, doktor akan mengesyorkan pengambilan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.
“Golongan berisiko anemia juga boleh mempertimbangkan pilihan zat besi tambahan dengan salutan perasa untuk melindungi rasa logam,” katanya.
Bagi meningkatkan keberkesanan dan mengurangkan kesan rencatan, ibu-ibu disyorkan agar mengambil zat besi, folat, kuprum dan zink tambahan bersama makanan.
Selain itu, pengambilan vitamin C membantu meningkatkan serapan zat besi manakala teh dan kopi mengurangkan kadar serapan jika diambil satu atau dua jam sebelum mengambil zat besi tambahan.
Dalam kes anemia serius dan mengancam nyawa, wanita mungkin perlu dimasukkan ke hospital, menjalani pemindahan darah dan suntikan zat besi.
“Justeru wanita hendaklah sentiasa memastikan kesihatan darah mereka dengan melakukan ujian darah apabila merancang untuk hamil, semasa hamil sert empat hingga enam minggu selepas melahirkan anak.
“Mereka boleh mengekalkan kecergasan masing-masing dengan mengambil sejumlah zat besi yang secukupnya daripada makanan dan pemakanan tambahan bagi membantu meningkatkan paras hemoglobin darah.
“Jangan lupa mendapatkan bantuan perubatan serta-merta jika menghadapi simptom anemia,” ujar Dr. Premitha.
Reem bina dua kerjaya
May 15, 2012 by Ainaa
Filed under Minda Remaja
Comments Off
“Mengimbangi antara dua pekerjaan, satu dalam dunia korporat dan satu lagi dalam bidang media boleh dikatakan agak memenatkan. Saya perlu saksama dalam pengurusan masa dan ada kalanya perlu mengorbankan kebanyakan masa bersama keluarga dan kawan-kawan untuk memenuhi tuntutan kerja.
“Namun, saya mencintai apa yang saya lakukan dalam kedua-dua industri ini dan apabila melihat kembali kepada apa yang telah saya capai, ia amat memuaskan,” katanya yang memiliki Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dan Penyiaran dari Universiti Murdoch, Perth, Australia.
Tambah Reem, dalam bidang penyiaran, salah satu cabaran besarnya untuk sentiasa mendapatkan maklumat yang tepat dan menyebut nama-nama individu tertentu dengan betul.
Sebagai pengacara, Reem juga perlu sentiasa kelihatan kemas walaupun ketika hari-hari yang dia rasakan tidak begitu baik.
Justeru, Reem tidak pernah mengabaikan penjagaan kecantikan dan kesihatan.
“Saya banyak minum air, lakukan senaman berkala dan tidur yang cukup. Untuk penjagaan rambut, tiada yang luar biasa, hanya syampu dan bersihkan rambut setiap hari dan memotong rambut setiap empat hingga enam minggu agar ia sihat dan kekal menarik,” ujarnya yang meminati gaya mendiang aktres Audrey Hepburn dan fesyen diperagakan model Kate Moss.
Jika ada kelapangan di hujung minggu, Reem akan cuba ke gim untuk latihan sirkit TRX.
Reem juga meluangkan masa bermain futsal pada setiap Rabu walaupun sibuk dengan jadual pengacaraan Football Overload dan Barclays Premier League Matchday Shows.
Sydney kota festival
May 15, 2012 by Ainaa
Filed under Pelancongan
Comments Off
SEBUT sahaja nama-nama bandar kosmopolitan dalam dunia, bandar Sydney sudah tentu merupakan antara bandar terkenal yang menjadi sebutan ramai.
Sebagai destinasi pelancongan idaman, bandar global dari Australia ini menawarkan pelbagai lokasi percutian yang unik.
Sesuai dengan anugerah yang diterimanya buat kali kedua sebagai ‘World’s Best Festival and Event City’ oleh International Festivals and Events Association (IFEA), Sydney lebih dikenali pengunjung sebagai sebuah destinasi penuh dengan festival dan acara sebagai daya tarikannya.
Tidak kira tahun dan masa yang dipilih pelancong untuk mengunjunginya, bandar raya itu sentiasa dipenuhi dengan pelbagai kemeriahan dan kemuncak acara yang pastinya menyeronokkan.
Selain tarikan tersebut, pengunjung juga berpeluang melawat kawasan pantai Grand Pacific Drive dan South Coast yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan.
Sambil menikmati panorama alam, pengunjung turut berpeluang menerokai Sydney bermula dari Royal National Park yang merupakan taman negara kedua tertua di Australia.
Seterusnya lawati Wollongong yang merupakan bandar raya ketiga terbesar di New South Wales yang menawarkan pelbagai aktiviti pengembaraan, pantai, pusat membeli-belah, restoran, kafe dan tempat penginapan dari hotel antarabangsa bertaraf lima bintang ke penginapan backpacker.
Dari Wollongong, pengunjung boleh ke Kiama yang merupakan destinasi paling ideal buat mereka yang menyukai aktiviti riadah di pantai seperti skydive, belayar, menyelam, memancing dan berkanu.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang bersiar-siar ke butik-butik pakaian yang terletak di sepanjang pantai yang terletak berhampiran Jamberoo seterusnya ke Gerringong, Gerroa, Kiama Blowhole, Illawarra Fly Tree Top Walk, Shoalhaven Heads, Nowra, Jervis Bay, Kangaroo Valley dan Berry.
Aura positif bunga
May 15, 2012 by Ainaa
Filed under Shoppe Guide
Comments Off
Bunga sering dikaitkan dengan kecantikan wajah dan tubuh dalam kalangan masyarakat Melayu. Difahamkan sebelum hadirnya himpunan produk kosmetik di pasaran tempatan, masyarakat Melayu lebih cenderung menjaga kecantikan diri dengan bunga-bungaan.
Mereka menyifatkan bunga-bungaan membantu mewangikan badan, menaik seri wajah dan mengembalikan aura positif seseorang. Selain itu bunga juga dipercayai mampu meningkatkan kecerdasan minda, mengurangkan tekanan perasaan dan menyuntik emosi ceria.
Lazimnya, bunga ros merah, cempaka, kenanga, harum sundal malam, kekwa dan bunga raya kerap menjadi pilihan sewaktu melakukan amalan kecantikan seperti mandi bunga, mencuci rambut dan membersihkan wajah.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Rutgers, Universiti New Jersey, Amerika Syarikat (AS), orang ramai pada hari ini bukan saja terdedah pada persekitaran yang kotor malah mudah tertekan dek tugasan harian yang padat.
Para penyelidik mendapati, salah satu cara untuk menghilangkan kepenatan dan meredakan stres adalah dengan menggunakan bunga. Selain menabur kelopak bunga ros merah di dalam tab mandi bersama titisan aroma terapi, meletakkan jambangan bunga hidup di ruang tamu mahupun di sudut kamar dapat membantu melegakan tekanan.
Amalan merendam kaki di dalam bekas berisi air suam dan taburan bunga turut membantu memberi ketenangan kepada pengamalnya.
“Kajian saintifik juga menunjukkan bunga-bungaan yang terdiri daripada pelbagai jenis, warna dan bau merangsang emosi ceria. Bahkan, mereka yang sentiasa dikelilingi dengan bunga lebih sihat, gembira dan tenang,” jelas Profesor Psikologi, Jeannette Haviland-Jones di Rutgers, Universiti New Jersey.
Sehubungan itu, menyedari keistimewaan yang diperoleh daripada bunga, jenama kecantikan L’occitane melancarkan produk terbaharu berasaskan bunga immortelle.
Produk penjagaan wajah
Selepas menjalani penyelidikan intensif selama 11 tahun, L’occitane menemui immortelle iaitu sejenis bunga tidak mudah layu yang diambil dari Corsica, Perancis dan bunga daisy putih (bellis peennis) yang sensitif pada cahaya.
![]() |
BUNGA yang disematkan pada sanggul mampu menaikkan seri seseorang wanita.
|
Kedua-dua bunga berkenaan digabungkan dalam menghasilkan produk pencerahan koleksi Immortelle Brightening.
Produk yang terdiri daripada serum, krim pelembap, penyegar, krim pelindung sinaran ultra ungu dan losen tangan itu bertindak menghilangkan bintik hitam, mengurangkan kedutan dan mencerahkan kulit wajah.
Brightening Essence L’occitane misalnya merupakan serum pekat yang membantu mengatasi masalah pigmentasi agar wajah berseri dan awet muda. Sementara itu, Brightening Moisture Cream L’occitane yang bertekstur gel krim berfungsi untuk meratakan warna dan mencerahkan kulit wajah.
Produk Immortelle L’occitane yang sudah berada di pasaran pada 12 Mei lalu dijual pada harga antara RM102 hingga RM218.
Sematan bunga
Sementara itu, peranan bunga bukan saja ideal untuk produk kecantikan malah ia boleh digunakan sebagai penyeri rambut.
Bagi wanita yang ingin kelihatan manis dan anggun, boleh menggunakan beberapa kuntum bunga ros, bunga raya ataupun bunga kekwa hidup untuk disematkan pada lilitan sanggul di kepala.

Jika inginkan gambaran yang lebih jelas, tiru saja cara yang dipraktikkan oleh pelakon jelita, Rozita Che Wan, sewaktu majlis pelancaran produk Safi Rania Gold.
Solekan kelopak bunga
Kepada wanita yang sukar untuk memilih warna pembayang mata ataupun warna gincu, barangkali warna-warna bunga dapat membantu. Antaranya warna ungu (bunga orkid), merah (bunga ros merah) atau kuning (bunga matahari). Secara tidak langsung konsep solekan warna bunga menyuntik rias wajah yang ceria.
Dres motif flora
Dalam pada itu, salah satu tip untuk tampil ceria dan funky adalah dengan menyarungkan pakaian motif flora yang berwarna-warni. Namun apabila menggayakan busana bunga pastikan anda memadankan ia bersama sepatu, aksesori atau beg tangan polos. Ini bagi mengelakkan penampilan tampak sarat.
Aura Pemimpin Wanita
PADA bulan November dua tahun lalu, pejuang demokrasi yang dianggap srikandi Myanmar, Aung San Suu Kyi, 67, tersenyum gembira apabila disambut oleh jutaan penyokong setianya. Dia akhirnya dibebaskan dari perintah tahanan rumah di Yangon selepas dipenjara sekitar tahun 1990.
Nampaknya, semangat dan usaha Suu Kyi dalam memperjuangkan sistem demokrasi di tanah airnya tidak pernah luntur meskipun aktiviti berkenaan pernah tergendala seketika gara-gara meringkuk di dalam penjara.
Kini pengasas parti Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang memiliki sifat suka berterus-terang itu meneruskan perjuangan demokrasi yang masih belum selesai.
Menarik tentang Suu Kyi yang turut dikenali sebagai The Lady, bukan jiwa kentalnya sahaja yang dipuji malah tata rias dan penampilannya turut menjadi topik hangat dalam kebanyakan blog serta majalah. Ramai pemerhati menyifatkan penerima Nobel Keamanan itu sentiasa tampil anggun dalam persalinan tradisional Myanmar, longyi, selain bersanggul dan dihiasi sematan bunga di kepala.
Longyi merupakan sejenis kain sarung yang diperbuat daripada kapas atau sutera yang panjangnya dari pinggang hingga ke buku lali. Kostum tradisi turun-temurun berkenaan merupakan pakaian wajib dalam kalangan pelajar sekolah-sekolah, universiti dan kebanyakan tempat pekerjaan.
Longyi yang didatangkan dalam variasi warna lembut dan terang itu turut menjadi pilihan golongan lelaki tempatan yang masih berpegang teguh pada adat resam dan budaya. Namun malangnya, pada tahun 2010, Myanmar pernah dihimpit konflik pemakaian apabila kelompok wanita muda di kawasan bandar enggan dan malu untuk menggayakan longyi.
Mereka menyifatkan kostum tradisional yang dipakai bersama blaus mini paras pinggang itu ketinggalan zaman dan tidak ideal dipakai pada zaman moden. Lebih menyedihkan, sebahagian besar wanita sanggup mengetepikan aspek moral dan budaya dek terlalu obses pada item fesyen moden. Mereka mula mengagung-agungkan seluar jean potongan sendat, baju T, kardigan dan skirt pendek paras paha.
Namun begitu, situasi ‘buruk’ berkenaan semakin surut gara-gara inisiatif Suu Kyi yang sentiasa mengangkat taraf longyi pada tahap yang tinggi. Buktinya, ibu kepada dua cahaya mata itu terus bangga memakai blaus yang dipanggil anyi bersama longyi acap kali menghadiri mesyuarat, berkempen mahupun bertemu dengan para pemimpin dari luar negara.
Kembali popular
Menurut seorang tukang jahit bernama Rangoon dari butik Sanchaung Township, hari

“Selain fabrik pilihan, mereka turut membawa foto Suu Kyi, yang sopan memakai kostum tradisional. Ada yang memilih bahagian leher potongan bulat, ada juga menambah perincian seperti butang dan sulaman bunga di dada blaus.
“Bukan itu saja. Sesetengah wanita menyukai lengan panjang, ada pula yang selesa lengan pendek dan potongan tiga suku. Semua konsep jahitan dan rekaan fesyen ini selalu digayakan oleh Suu Kyi,” tambahnya.
Sementara itu, artikel daripada majalah Irrawady, memaparkan tindakan golongan wanita hari ini yang turut meniru gaya Suu Kyi, dengan mencalit gincu nipis dan menyemat bunga di sanggul.
Keseluruhan pesona Suu Kyi itu kini disaksikan masyarakat dunia melalui filem The Lady yang dilakonkan oleh Michelle Yeoh.
Jaket rona ceria
Jika Suu Kyi lebih selesa dengan kostum tradisional Myanmar, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, pula sentiasa berimej korporat dan ceria dalam persalinan jaket serta blaus warna terang.
Wanita yang mengetuai Parti Pheu Thai (Untuk Rakyat Thai) itu gemar memakai skirt ataupun seluar panjang rona hitam yang ideal disuai dan padan dengan blaus pelbagai warna.
Malah, Yingluck yang memiliki rambut lebat berwarna coklat gelap keperangan itu juga gemar bereksperimen dengan seleksi blaus bermacam-macam potongan seperti stail kimono dan sulaman. Ini termasuklah memilih blaus yang dihiasi ropol, reben dan kolar potongan Mandarin ala ceongsam.
“Bergelar pemimpin bukan mudah kerana saya perlu menjaga negara, rakyat dan juga penampilan diri. Justeru, saya selalu memilih pakaian konsep feminin dan sesuai dengan gaya korporat,” tutur Yingluck yang turut menyatakan minat terhadap kasut tinggi, tapak rata ala balet dan but jenama Burberry.
Jalinan tocang Tymoshenko

Mantan Perdana Menteri Ukraine, Yulia Tymoshenko, 52, pernah diangkat sebagai Ratu Cantik sebenar dalam kalangan rakyat tempatan. Memiliki kulit wajah yang mulus, aplikasi maskara dan gincu bibir rona coklat antara faktor yang menyumbang pada kecantikan Tymoshenko.
Namun, penampilan utama yang sering mencuri tumpuan ramai adalah jalinan tocang rambutnya yang dililit kemas di atas kepala. Bahkan, lilitan tocang itu membuatkan Tymoshenko seperti memakai mahkota khas.
“Saya tidak gemarkan pembedahan kosmetik dan mencucuk wajah kerana ia tidak kekal lama serta menyakitkan. Menata rias secara natural lebih baik untuk tampil menawan dan anggun,” jelas Tymoshenko yang kini sedang menjalani hukuman penjara penjara selama tujuh tahun atas tuduhan salah guna kuasa berhubung pembelian gas dengan Rusia pada 2009 yang dikendalikannya.
Sut putih Gillard
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Julia Gillard, juga tidak lekang daripada menjadi subjek lensa kamera media dan paparazi. Pemimpin Australia yang berkuasa pada bulan Oktober 2010 itu, kerap dilihat menyarungkan sut rona putih dalam kebanyakan acara dan aktiviti.
Penampilannya itu pernah menghiasi sebuah majalah fesyen negara itu dan beliau disifatkan begitu sinonim dengan warna putih. Selain itu, wanita yang gemar tersenyum itu turut dikenali dengan potongan rambut bertingkat dan stail rambut bob.






















