Protege Fesyen
April 18, 2012 by Ainaa
Filed under Minda Remaja
Comments Off
SEBAIK saja memasuki ruang butik Old Blossom Store Box, di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, kelihatan Nurul Diyana Zainul Ihsan dan Balqeis Mohd. Radzi sedang asyik mendengar penerangan daripada Jezmine Zaidan, pemilik butik tersebut.
Sesekali mereka berdua melihat pakaian yang membaluti patung model dan menyelak buku rujukan. Sekiranya tidak memahami tentang sesuatu perkara itu, mereka pantas bertanya kepada Jezmine untuk keterangan lanjut.
Kemudian, Jezmine membawa mereka ke sudut jahitan yang terletak di bahagian belakang butik untuk mendedahkan proses jahitan.
“Kami perlu menumpukan perhatian dan mempraktikkan ilmu yang diajar oleh Jezmine. Dalam tempoh dua bulan ini, saya berusaha melakukan yang terbaik dan tak boleh ambil sikap sambil lewa bagi mengelakkan rekod buruk. Lagipun saya wajar menjaga nama baik universiti,” jelas Nurul Diyana, yang mesra disapa Diyana kepada Stailo.
Diyana yang merupakan pelajar jurusan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, sedang menjalani latihan praktikal di butik tersebut.
Sambil menjahit selendang, anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu menyifatkan latihan amali antara platform yang terbaik baginya memperbaiki dan memantapkan kemahiran diri. Di sini, dia diajar selok-belok rekaan dan proses jahitan pakaian yang ideal serta mengikut trend semasa.
“Menariknya, saya turut berpeluang mempelajari pengurusan perniagaan sesebuah butik. Saya kagum melihat kesungguhan Jezmine yang sentiasa memikirkan konsep pakaian terbaharu bagi menarik minat pelanggan.

“Dia selalu memberi nasihat supaya kami menjadi pereka fesyen yang kreatif dan tampil dengan idea-idea baharu. Sebelum membuka butik pastikan kita mencari konsep yang lain daripada lain. Selain itu, kami turut didedahkan cara melayan pelanggan, strategi pemasaran dan tabah berpanas hujan berniaga di bazar sebagai salah satu corak mempromosikan jenama,” kata Diyana yang berasal dari Ipoh, Perak.
Meningkatkan kemahiran menjahit
Dalam pada itu, Balqeis 23, memberitahu, pada peringkat awal dia berdebar untuk menjalani latihan praktikal di butik Old Blossom Store Box. Dia bimbang ilmu yang dipelajari di dalam kelas belum mencukupi dan menepati kriteria majikannya, Jezmine.
Namun dengan sokongan keluarga dan pensyarah, Balqeis berazam untuk melakukan yang terbaik sepanjang tempoh latihan praktikal. Akhirnya, anak kelahiran Baling, Kedah itu dapat menarik lepas lega. Kegusaran yang bersarang dalam hatinya beransur sedikit demi sedikit kerana sikap Jezmine yang prihatin dan tidak lokek berkongsi ilmu.
“Saban hari ada saja ilmu baharu daripada Jezmine. Kadangkala teknik jahitan yang sebelum ini dirasakan sukar untuk dilakukan, rupa-rupa ada jalan pintas mempercepatkan proses. Antaranya, proses memotong dan menjahit bahagian lengan, kolar baju dan poket.
“Bayangkan walaupun baru dua minggu menjalani latihan praktikal, saya sudah berasa seronok menjahit dan mereka pakaian. Lagipun majikan saya, turut memberi kebebasan kepada kami berkarya, asalkan bersesuaian dengan koleksi pakaian jenamanya yang berkonsepkan vintaj,” jelas Balqies yang meminati bidang fesyen sejak berusia 13 tahun.
Jelas anak kedua daripada enam orang adik-beradik itu, pekerjaan ibunya sebagai tukang jahit di kampung telah mendorongnya untuk mendalami bidang fesyen pada peringkat yang lebih tinggi. Secara tidak langsung, ilmu yang dikutip daripada pensyarah dan beberapa pereka fesyen tempatan dipanjangkan pula kepada ibunya.
“Dahulu, ibu hanya menerima tempahan baju kurung tetapi kini sebaliknya. Saya menggalakkan ibu supaya berani bereksperimen menghasilkan baju kurung moden, lengan tangan gelembung dan kain duyung. Tak sangka konsep sedemikian mendapat sambutan daripada pelanggan tetapnya,” luah Balqies yang pertama kali menjahit sepasang baju kurung ketika berusia 17 tahun.
Mesra seperti sahabat

Menurut pemilik butik Old Blossom Store Box, Jezmine Zaidan, 28, setakat ini dia sudah bekerjasama dengan empat orang pelatih praktikal. Tiga daripada mereka merupakan penuntut UiTM manakala seorang lagi dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya, Selangor.
“Boleh dikatakan setiap tahun ada saja permohonan penuntut untuk menjalani latihan praktikal di sini. Saya menerima kehadiran mereka kerana ingin berkongsi ilmu yang ada.
“Saya melayan pelatih seperti sahabat bagi mengelakkan rasa kurang selesa sesama kami. Syukur kerana mereka memberi kerjasama yang baik,” jelas Jezmine yang pernah menghasilkan busana buat selebriti tempatan seperti Intan Ladyana dan Shila Amzah.
Belajar daripada sifu
Berbicara bersama pereka fesyen yang semakin meningkat naik, Hazree Wahid, 30, dia menyifatkan sesi latihan praktikal amat penting dalam kalangan penuntut rekaan fesyen.
Namun malangnya, tidak semua pelajar menganggap sesi latihan amali itu penting sebaliknya bagaikan terpaksa melakukannya kerana ingin melengkapkan syarat kelulusan pengajian.
“Saya bercakap berdasarkan pengalaman peribadi sewaktu menuntut di International Fashion Training Centre (IFTC), Kuala Lumpur dalam jurusan rekaan fesyen. Didapati segelintir pelajar mengambil sikap sambil lewa ketika melakukan latihan amali.
“Mereka kurang bereksperimen dan tidak mengambil kesempatan menggali lebih banyak ilmu. Situasi ini merugikan pelajar kerana hakikatnya bukan senang untuk mendampingi sifu profesional,” jelas Hazree yang bersyukur apabila diterima untuk melakukan praktikal di butik Annie Wong Couture pada tahun 2003.
Annie Wong merupakan pengetua IFTC dan perintis pereka fesyen gaun mewah tempatan sekitar tahun 1970-an. Memiliki bakat dan kreativiti yang menakjubkan dalam bidang fesyen telah mendorong Annie untuk berkongsi ilmu bersama individu yang berminat dalam dunia fesyen.
![]() |
HAZREE (kiri) teruja kerana berpeluang bekerja separuh masa dan menjalani latihan praktikal di butik Annie Wong Couture, milik Annie Wong (kanan).
|
Ekoran daripada itu, maka wujudlah IFTC pada tahun 1975 yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor sebelum berpindah ke Bangunan Yayasan Selangor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Jika dihitung saya berkhidmat dengan Annie Wong, hampir setahun. Ini disebabkan saya bukan saja menjalani latihan praktikal, malah turut berkerja separuh masa di sana sehingga tamat pengajian di IFTC.
“Majikan menitikberatkan potongan kain dan ukuran badan pelanggan. Dia ingin memastikan pelanggan kelihatan menawan dan selesa ketika menyarungkan busana rekaannya,” terang Hazree yang pernah terlibat dalam pertunjukan fesyen di Minggu Fesyen Karachi 2010, India dan Minggu Fesyen Paris 2011.
Nur Fatin Liyana aktif berblogger
April 16, 2012 by Ainaa
Filed under Minda Remaja
Comments Off
SEBELUM bertemu secara empat mata dengan Nur Fatin Liyana Asri, penulis sudah terlebih dahulu mengenali serba sedikit tentang karakter gadis ini menerusi blognya, honeykoyuki.blogspot.com.
Blog tersebut ditemui ketika mencari tentang pengalaman belajar di luar negara. Ternyata penceritaan pengalamannya ketika menuntut ilmu dalam bidang kedoktoran di Bandung, Indonesia ada kelainan. Ia menghiburkan.
Susunan ayat begitu ringkas, penggunaan bahasa yang santai dan bersahaja sememangnya membuatkan mata terlekat mahu membaca apa yang disampaikan hingga ke hujung.
Malah penulisannya juga tidak lekang daripada unsur humor yang terbukti menghilangkan tekanan sesiapa sahaja yang membacanya.
Pada sesetengah ekspresi dan persepsi adakalanya bersamaan dengan apa yang dilalui pembaca namun diterjemahkan dengan begitu mudah oleh gadis manis ini.
Justeru tidak hairanlah penulis dan beribu lagi pembaca blog menjadi ‘pengikut’ setia blog bakal doktor ini.
Bayangkan sejak dibuka kepada umum, blog Fatin telah mendapat perhatian kira-kira 500,000 hingga 600,000 pembaca sebulan dan pageview (paparan skrin) sejak tahun 2009 juga telah mencecah ke angka 9.6 juta pembaca!
Kali pertama bersua muka di alam nyata terbukti ada ‘sesuatu’ tentang gadis berkulit cerah ini.
Wajah polos tanpa sebarang solekan, ditambah dengan tutur kata yang lemah lembut, serta sikapnya yang bersopan terbukti dia bukan sahaja disenangi di alam maya malahan di alam nyata.
Ini menguatkan lagi keinginan untuk mengenali sisi lain anak kedua daripada empat beradik ini.
Jika tiada yang istimewa, mana mungkin dia mempunyai ribuan pengikut setia walaupun di alam maya.
Nur Fatin Liyana atau lebih mesra dengan panggilan Fatin, 22, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini sejujurnya mengakui penglibatan dalam dunia blog awalnya hanya semata-mata mahu berkongsi pengalaman belajar di negara orang.
“Pada mulanya saya sekadar mahu menulis diari tapi saya sedar tulisan tangan saya agak buruk. Jadi niat untuk menulis diari terpaksa dilupakan.
“Kemudian salah seorang sahabat karib saya mencadangkan agar saya menulis blog/ Lalu terciptalah blog yang bernama honeykoyuki yang pada mulanya berkisar tentang kehidupan saya sebagai pelajar di perantauan,” ujarnya yang hadir di pejabat Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mula menulis blog pada 5 Januari 2009, dalam tempoh yang singkat dia mampu mengumpul beribu ‘pengikut’ tegar sehingga mampu meraih beberapa anugerah.
Blog diberi nama ala Jepun itu telah dinobatkan sebagai Top 6 Fastest Rising People in Google Zeitgeist Malaysia 2011, Top 5 Blog in Google Zeitgeist Malaysia 2011 dan terbaru Best Celebrity Blog in World Blogger and Social Media Award 2012.
Ia merupakan antara pencapaian dalam dunia blog yang tidak pernah sama sekali diduga oleh pelajar tahun empat Ijazah Perubatan, program berkembar antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-Universitas Padjadjaran Bandung (UNPAD) ini.
“Memang tidak pernah terlintas di hati saya untuk bergelar celebrity blogger. Memang tidak pernah menyangka hasil penulisan pertama saya mempunyai ramai pembaca dan tidak pernah termimpi untuk jadi popular.
“Apa yang saya buat cuma menulis dan tiba-tiba ramai pula yang baca blog saya. Bagi saya tidak ada apa yang terlalu istimewa sebab seperti mereka, saya juga orang biasa cuma mungkin mereka suka blog saya kerana ia santai dan ‘sempoi’.
“Bahasa yang saya gunakan juga santai sehingga pembaca boleh merasai dan terkesan dengan apa yang dibaca,” jelasnya.
Melalui blog tersebut, Fatin berkongsi tentang tip fesyen, resipi, tip kesihatan, kehidupan seharian sebagai pelajar dan pengalaman hidupnya yang gemar mengembara.
Perkara paling mengujakan gadis ceria ini sejak aktif menjadi penulis blog ialah berkenalan dengan ramai orang yang sebelum ini tidak pernah dikenalinya.
Dia juga tidak menafikan dengan adanya blog dia sering bertukar pendapat sekali gus menjadikannya manusia yang lebih baik.
“Kadang-kadang apabila sedang mencari isi blog, saya terjumpa nasihat yang bagus jadi saya kongsikan di blog saya dan secara tak langsung saya juga turut mempraktikkannya.
“Sebenarnya blogging juga mengubah personaliti saya. Saya menjadi lebih terbuka, lebih bersabar dan lebih kuat,” ujar Fatin yang turut berbakat dalam bidang masakan dan pembuatan kek.
Ketika ditanya tentang perasaannya bergelar selebriti, Fatin berkata, hatinya bercampur baur antara risau, gementar dan gembira namun jauh di sudut hati masih beranggapan dia tidak layak digelar selebriti.
“Saya rasa saya tetap sama seperti dulu, seorang penulis blog yang hanya menulis tentang apa saja. Namun saya tetap berterima kasih kepada pembaca blog saya yang tidak jemu-jemu memberi sokongan terhadap saya, memberi semangat untuk terus menulis dan menerima penulisan saya seadanya. Kerana adanya merekalah blog saya menjadi terkenal.
“Kehidupan saya tetap sama yang berubahnya cuma saya menjadi semakin dikenali, malah saya juga sering bertegur sapa dengan pembaca blog di jalanan.
“Sejak bergelar celebrity blogger saya juga diberikan peluang untuk menghadiri majlis besar namun saya harus tahu keutamaan saya,” kata Fatin yang turut mudah mendapat tajaan berbentuk pakaian kerana popularitinya itu.
Prinsip asas kejayaan
“Saya hanya akan buat sesuatu yang saya rasa betul. Saya menulis sesuatu yang saya mahu dan bukan kerana disuruh. Saya menjaga isi kandungan blog saya dan saya akan pastikan ia menarik serta bermanfaat.
“Saya tidak mahu sekadar mengemaskini blog tetapi isinya tidak menarik.
“Saya juga meletakkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga terutama ibu bapa kerana mereka penentu kejayaan. Bagi saya, doa dari ibu bapa amat penting untuk menentukan kejayaan
“Selain itu saya juga menjalani hubungan yang baik dengan para doktor (pensyarah) dan semestinya kita dianjurkan untuk menghormati guru kerana mereka yang memberi ilmu kepada kita.
“Saya juga membiasakan diri untuk tidak terlalu mengambil tahu tentang orang lain. Maka atas sebab itulah, tulisan dalam blog saya hanya berkisar tentang kehidupan saya dan saya tidak mahu cari musuh. Siapalah saya untuk mengkritik orang lain,” ujarnya merendah diri.
Fatin yang masih meneruskan latihan kedoktoran di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) juga hanya akan menulis blog pada masa lapangnya sahaja.
Fatin menegaskan dan menasihati penulis blog lain terutama yang terdiri daripada para pelajar agar tahu keutamaan dan tahu juga mengawal diri
“Apabila membuat sesuatu kebaikan, kita mestilah bersungguh-sungguh dan ikhlas,” katanya.
Intan bijak mengatur masa
April 16, 2012 by Ainaa
Filed under Minda Remaja
Comments Off
GADIS yang memiliki raut wajah manja ini begitu petah berbahasa Melayu dan Inggeris ketika membincangkan masa depan dan kerjayanya, membuatkan beliau kelihatan lebih matang daripada usianya.
Sesi fotografi yang diaturkan Khamis lalu di kediamannya yang terletak di Tropicana Golf and Country Resort berjalan lancar tepat seperti masa yang dijanjikan.
Dengan gaya ringkas dan bersahaja, Intan Amalina Datuk Mohd. Sarit, 23, menyerlahkan kecantikan semula jadi tanpa calitan solekan.
Ternyata personaliti Intan yang sederhana dan tampak merendah diri membuatkan orang sekeliling selesa berbicara dengannya.
Tema wanita elegan dan kasual ketika sesi fotografi itu cukup serasi dengan penampilan Intan.
Kulitnya yang cerah ditambah dengan tata rias wajah menonjolkan kejelitaan wanita muda ini.
Bijak
Rutinnya sebagai pelajar undang-undang di salah sebuah universiti di London dan Pengarah Eksekutif Mediaglam Sdn. Bhd., tidak menghalangnya melakukan aktiviti santai pada hujung minggu.
Dia gemar membaca untuk meningkatkan pengetahuan.
“Budaya membaca merupakan akar tunjang dalam membentuk kekuatan seseorang individu, malah ia mampu menjadi pemangkin peradaban sesuatu bangsa dan sesebuah negara,” ujarnya.
Justeru, bagi Intan, amalan membaca itu penting untuk meningkatkan pengetahuan mereka sekali gus membina kredibiliti dalam usaha menjadi generasi muda yang dapat memberi sumbangan kepada negara.
Berbicara tentang tugasnya di Media Glam, Intan membantu tugas ibunya, Datuk Dr. Fadzilah Muhammad Ali dan memantau majalah digital terbitan syarikatnya, Eternity.
Tambah Intan, syarikat Media Glam ditubuhkan adalah bertujuan menyedia dan mengedar bahan bacaan terbitan secara elektronik atau digital kepada masyarakat.
“Ini adalah salah satu inisiatif bagi membangunkan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Malaysia. Media Glam melalui laman sesawang, http://www.mediaglam.com., menyediakan akses secara percuma kepada orang ramai untuk membaca serta memuat turun kandungan bahan bacaan dan majalah digital,” katanya.
Perancangan
Ditanya tentang perancangannya selepas ini sama ada memilih bidang perniagaan atau peguam , Intan memberitahu sejak remaja dia bercita-cita menjadi peguam.
Namun, selepas membantu ibunya menguruskan Media Glam, dia berminat pula menguruskan perniagaan.
“Saya memang nak amalkan apa yang saya belajar. Ikutkan saya memang hendak buat kedua-dua bidang ini serentak,” jelasnya.
Kini, segala jadual dalam bidang pelajaran dan peranannya sebagai pengarah eksekutif diatur dengan bijak.
Walaupun masih muda, Intan sebenarnya sudah biasa melihat dan terlibat dalam urusan kerja ibu dan bapanya sejak berusia tiga tahun.
Dia kemudian melangkah setapak demi setapak melalui penglibatan dalam pelbagai kerja amal dan persatuan sejak di bangku sekolah hingga universiti.
Jelas waktu itu, Intan sudah bijak mengatur jadual pembelajarannya dan dia sendiri tidak pernah hanyut.
“Itu yang saya belajar untuk bijak memilih masa dan membuat keputusan. Malah hidup berdikari di London selama enam tahun mengajar saya supaya lebih yakin dan berjiwa kental,” ujarnya.
Nostalgia zaman kanak-kanak
April 12, 2012 by Dudi
Filed under Minda Remaja
Comments Off
MASIH jelas di ingatan Riza Azri Ab. Rahim, 28, saat bapanya membawa dia ke sebuah pasar malam sewaktu baru berusia lima tahun.

Sebuah permainan tin berupa kapal api yang boleh bergerak sendiri di dalam air bila dibakar kertas dalam permainan tersebut menarik perhatian Riza namun tidak berani menyuarakan keinginannya kepada bapanya.
Setelah berpuluh tahun berlalu, Riza bersua dengan permainan tin sedemikian tetapi berupa kenderaan lain seperti kereta polis, van serta motosikal dan demi melepaskan gian semasa kecil, dia mula mengumpulnya.
Minatnya mendalam terhadap permainan antik itu membuatkan dia kini memiliki lebih 30 buah permainan tin.
“Sehingga sekarang saya belum lagi bertemu permainan tin kapal api yang saya lihat semasa kecil. Antara yang berada dalam koleksi saya ialah permainan tin bentuk pelbagai kenderaan, barang-barang dapur malah mesin taip.
“Koleksi permainan tin tertua milik saya ialah sebuah van model New Style Traveling Car yang berusia kira-kira 50 tahun dan kebanyakan koleksi lain berasal dari tahun 1970-an.
Ciri sejarah
“Selain nilai sentimen permainan sewaktu saya kecil, apa yang membuatkan saya minat mengumpulnya kerana sejarah setiap model tersebut,” ujar Riza yang turut mengumpul pelbagai barangan antik lain seperti jam loceng yang mencecah 70 buah.
Cerita Riza, kebanyakan permainan tin ini berasal dari Jepun, China dan Amerika Syarikat bermula 1914 hinggalah penghujung 1980-an ketika kemunculan permainan plastik yang lebih murah buatannya.
Menarik tentang permainan tin ialah walaupun harganya mahal, tetapi ia lebih tahan lama berbanding permainan plastik. Lihat saja koleksinya yang berusia setengah abad, masih dalam kondisi yang baik malah masih boleh berfungsi bila diputarkan kuncinya.
Malangnya penghasilan permainan tin terpaksa dihentikan kerana selain kosnya yang lebih mahal, reka bentuk menggunakan besi agak merbahaya untuk kanak-kanak dan tidak melepasi standard permainan yang diperkenalkan.
“Permainan tin serta barang-barang antik yang lain kebanyakannya saya perolehi dari pasar barang antik malah ada yang saya dapat dari tempat pembuangan barang sampah sekitar kawasan rumah saya.
“Sayang sungguh mereka tidak tahu nilai barangan tersebut serta sejarahnya,” kata Azri yang juga mengusahakan butik sendiri di Taman Tun Dr. Ismail.
Beg ranggi untuk remaja
April 4, 2012 by Ainaa
Filed under Minda Remaja
Comments Off
BERBICARA mengenai dunia fesyen, golongan yang paling peka ialah remaja. Mereka dilihat sebagai golongan yang begitu menjaga penampilan selain ingin kelihatan cantik sepanjang masa.
Tanpa mengira lelaki mahupun perempuan, realitinya hari ini industri fesyen dipelopori oleh remaja.
Untuk itu, pengusaha fesyen di negara ini sentiasa tampil dengan pelbagai reka bentuk terkini termasuklah aksesori.
Jenama Alfio Raldo antara jenama fesyen tanah air yang tidak ketinggalan tampil dengan pelbagai reka bentuk yang cantik dan menawan untuk digayakan remaja selain memenuhi keinginan mereka.
Tampil dengan warna-warna ceria seperti merah, merah jambu, oren, firus dan hijau, Alfio Raldo Collections amat elegan serta menakjubkan.
Setiap koleksi beg, dompet dan kasut merupakan rekaan eksklusif tanpa ada duanya yang juga sesuai untuk digayakan pada semua majlis dan acara.
Bagi koleksi beg, ia didatangkan dengan tali panjang dan pendek untuk kesesuaian gaya tersendiri.
Sementara itu, dompet dan beg kecil dihasilkan daripada pelbagai warna dan reka bentuk.
Juga tidak dilupakan koleksi kasut yang mempunyai gaya potongan yang elegan dan menawan dengan rekaan kasual, tumit tinggi, berbaji, sniker, selipar dan banyak lagi.
Yang pasti, koleksi terbaru ini menjanjikan sesuatu yang segar, ranggi dan bertenaga buat remaja yang gilakan fesyen.
RUZIMI tekad bantu golongan OKU
April 2, 2012 by Dudi
Filed under Minda Remaja
Comments Off
iMi Creative sedia khidmat motivasi galak pelajar istimewa lanjut pelajaran
KECACATAN pada bahagian kaki sejak dilahirkan sehingga terpaksa memakai kerusi roda tidak mematahkan semangat Ruzimi Mohamed, 27, untuk menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bagi membolehkannya berkhidmat kepada golongan senasib dengannya.
Beliau yang juga Ketua Eksekutif syarikat menggunakan moto membawa penyelesaian inovatif’ berkata, mereka bertekad menceburi bidang keusahawanan menerusi pemasaran kerusi roda elektrik yang bukan saja dapat membantu pelajar OKU malah mampu menjana pendapatan yang kemudian digunakan untuk membela nasib golongan terbabit.
Katanya, syarikat itu turut menyediakan perkhidmatan perundingan OKU serta motivasi untuk pelajar sekolah dan universiti terutama dalam kalangan golongan istimewa terbabit.
Beliau berkata, pada masa sama iMI Creative menguruskan program berkaitan ehwal universiti, pengiklanan, menyediakan perkhidmatan penyajian makanan serta menawarkan tempahan baju dan jaket bersulam yang berkualiti dengan harga berpatutan.
“Kami kini mengumpul dana RM34,000 menerusi pengiklanan dua hingga tiga syarikat yang biarpun nampak mudah tetapi memanfaatkan golongan OKU,” katanya kepada Berita Harian selepas mengetuai iMi Creative menjuarai Cabaran DiGi Untuk Perubahan Ke-3 di Taman Perindustrian Subang Hi-Tech, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Pasukan iMi Creative yang mencalonkan projek membantu pelajar OKU membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000. Pasukan itu turut dianggotai Sharifah Azni Syed Nizar, Maizatul Afzan Mohd Yahya, Ahmad Izzuddin Mohd Nor dan Muhammad Izuddin Ahmad.
Pasukan Sonar Tribal dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) muncul naib juara dan menerima RM5,000; ketiga, Change mewakili Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), manakala Jokers (Universiti Sains Malaysia) menerima Anugerah Khas DiGizen’s (RM1,000).
Hadiah disampaikan oleh Ketua Unit Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Syahira Hamidon mewakili Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Hadir sama, Ketua Pegawai Pemasaran DiGi Telecommunications Sdn Bhd, Albern Murty dan Ketua Hal-Ehwal Korporat konglomerat itu merangkap Ketua Pengadil cabaran berkenaan, Zaiton Idrus.
Sebanyak 117 pasukan mewakili 23 universiti menyertai cabaran berkenaan termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kolej Shahputra Kuantan.
Bina keyakinan diri remaja
March 31, 2012 by Ainaa
Filed under Minda Remaja
Comments Off
PARA remaja dalam hidupnya sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Cabaran ini tidak sahaja sifatnya budaya dan pemikiran, tetapi juga gaya hidup. Asas yang sangat penting menjadi benteng kekuatan remaja ialah masalah keyakinan diri.
Keyakinan diri ini akan dimiliki oleh remaja sekiranya golongan itu tahu dengan jelas siapa diri mereka sebenarnya dan merasakan dia ada bakat serta potensi untuk berhadapan dengan sesuatu. Ia tidak hanya bergantung kepada orang lain atau menciplak terhadap apa yang terjadi.
Keyakinan diri menjadi sempadan, sama ada kita remaja mempunyai daya mandiri yang tinggi supaya sesuatu yang dihadapi dapat difikirkan dengan bijaksana.
Selain, memilih jalan keluar yang baik supaya kebuntuan dan cabaran yang dihadapi tidak menjadikan remaja orang yang sentiasa dalam keadaan tertekan dan putus asa.
Keyakinan membolehkan remaja melakukan sesuatu dan menghadapi apa jua dengan yakin. Keyakinan bahawa akal yang Allah berikan mampu menjadikan remaja untuk berfikir dengan baik.
Kalbu yang Allah kurniakan membolehkan remaja mengawal perimbangan emosi dengan baik dan daya yang Allah anugerahi boleh menjadikan remaja sentiasa ingin melakukan amal yang bermanfaat.
Bayangkan kalau keyakinan diri tidak ada pada remaja, ia mudah menjadi pak turut terhadap pandangan orang lain. Sentiasa bergantung kepada pertimbangan orang lain dalam membuat keputusan.
Selalu mengambil sikap serba salah dan tidak menentu. Merasa diri serba tidak kena dan akhirnya mudah menerima pendapat orang lain tanpa ada soal jawab dan kritik untuk menilai. Keadaan remaja seperti ini boleh meletakkan dirinya dalam keadaan yang tidak menyumbang.
Keyakinan diri kepada remaja perlu dibina dengan ilmu dan latihan. Ia tidak boleh datang dengan sendiri. Asas ilmu menjadi sangat penting supaya ilmu mempedoman remaja berfikir dan mampu membuat keputusan bijaksana.
Apabila remaja tidak memiliki pemikiran yang kritis dan analitis, ia mudah dipengaruhi oleh emosi. Remaja sebegini akan bersikap reaktif yang didorong oleh persepsi yang selalunya salah dan ia sangat bahaya apabila ia menjadi dewasa nanti.
Keyakinan diri ini amat perlu bagi remaja supaya remaja belajar menghargai bakat yang ada padanya. Kalau orang lain boleh melakukannya, para remaja harus yakin bahawa dia juga boleh melakukan perkara yang sama.
Dengan syarat para remaja harus ada ilmu, bersikap terbuka terhadap idea-idea yang baik daripada orang lain, ada kemampuan membezakan yang baik dengan yang buruk dan cuba menjadi contoh yang terbaik kepada orang lain.
Ini boleh dilakukan sekiranya para remaja suka berbincang, bertukar-tukar pandangan, sedia dikritik dan mampu mengkritik secara membina, tahu di mana kekuatan dan kelemahan diri dan melakukan sesuatu mengikut upaya dan kebolehan yang ada dan bersedia untuk menyumbang ke arah kebaikan di mana yang perlu.
Keyakinan diri remaja ini perlu dibina sejak dari awal umur lagi supaya zaman remaja dan dewasanya nanti sudah mempunyai asas yang kukuh dan bakal membentuk jati diri contoh terhadap orang lain.
Bayangkan apabila dewasa nanti remaja ingin berumahtangga, keyakinan diri boleh menjadikannya pasangan yang matang dan dewasa dan bakal membina rumah tangga yang terhindar daripada krisis dan konflik.
Dr. Seow kongsi cerita zon perang
March 30, 2012 by Dudi
Filed under Minda Remaja
Comments Off
REMAJA hari ini dilihat sebagai generasi yang terdorong untuk memiliki peralatan canggih, menggayakan fesyen terkini dan memiliki wang yang banyak.
Dr. Winson Cheow (duduk tengah) bersama sebahagian daripada penuntut Universiti Malaya ketika berkongsi pengalamannya di negara-negara yang sedang menghadapi peperangan, baru-baru ini.
Keinginan tersebut secara tidak langsung menjadikan mereka generasi materialistik yang kurang mengambil berat dan kurang prihatin terhadap masyarakat sekeliling.
Begitupun, tidak semua remaja begitu. Bagi Dr. Winson Seow, 26, beliau memilih untuk menjalani kehidupan dengan penuh kasih sayang dan keprihatinan.
Beliau yang merupakan sukarelawan SOS Antarabangsa adalah seorang doktor bedah trauma dan bertugas dalam kawasan yang diancam peperangan.
Baginya, dapat meneruskan hidup setiap detik di kawasan peperangan adalah suatu keajaiban yang dianggap mustahil.
“Sebagai doktor tentera, ganjaran yang paling bernilai bukanlah berbentuk wang ringgit tetapi harga sebuah senyuman pada wajah.
“Secara tidak langsung ia dapat menyatakan bahawa saya telah melakukan sesuatu untuk mereka meneruskan kehidupan dan perubahan dalam hidup dengan lebih baik,” kata yang berasal dari Melaka.
Setakat ini, Dr. Seow telah berkhidmat di India, Afghanistan, Nicaragua, Somalia, Haiti, Kenya, Libya dan Senegal sejak dua tahun lalu malah penghujung bulan ini, beliau dijangka terbang semula ke Somalia untuk mencurahkan bakti.
“Saat paling bermakna ialah apabila saya dapat menyelamatkan seorang bayi bersama ibunya dan menamakan bayinya sempena nama saya,” katanya ketika berkongsi pengalamannya ketika di zon peperangan bersama 300 penuntut Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tujuan dia berkongsi pengalaman berkenaan adalah untuk menggalakkan para penuntut berkongsi kasih sayang dan sikap prihatin kepada masyakarat
Beliau yang meneruskan kegiatannya secara senyap dan perseorangan telah menabur bakti tanpa mengira batasan dan baru-baru ini telah bertemu dengan Pengarah Urusan Julie’s, Su Chin Hock, syarikat yang telah melancarkan program Share the Love tahun lalu.
Program tersebut menggalakkan masyarakat agar lebih prihatin dan mengambil berat antara satu sama lain dan ia bukanlah satu kempen dalam tempoh masa yang terhad.
Apa yang diharapkan, melalui program tersebut masyarakat terus menyatakan kasih sayang dan rasa penghargaan setiap hari antara satu sama lain.
Kata Dr. Seow, setiap tindakan dan belaian kasih sayang sekecil manapun pasti akan dapat mengubah masyarakat menjadi lebih terbuka dan penyayang.
Gaya remaja Skechers
March 29, 2012 by Ainaa
Filed under Minda Remaja
Comments Off
BERGAYA dengan kasut berjenama memang idaman setiap remaja. Bukan kerana gah dengan kasut yang mahal, tetapi mengambil kira aspek dari segi keselesaan, ketahanan, rekaan bentuk dan warna yang menarik.
Sebagaimana pepatah Melayu, alah membeli menang memaki, koleksi terbaru kasut kegemaran remaja Skechers bakal menggamit penggemar jenama itu.
Koleksi diberi nama Skechers GOrun itu turut menampilkan artis antarabangsa, Sammi Cheng sebagai dutanya bagi rantau ASEAN.
Skechers yang berasal dari slanga masyarakat di selatan California, Amerika Syarikat bermaksud remaja aktif dan bertenaga, menghasilkan ciptaan serta reka bentuk yang kreatif untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Menurut Pengarah Urusan Skechers SARL, Marvin Bernstein, sejak diperkenalkan enam tahun lalu jenama tersebut telah meraih pelbagai hadiah termasuk Anugerah Jenama Asia Pasifik 2012.
“Kami ingin memperkenalkan jenama terbaik Skechers GOrun ini di Malaysia selain meluaskan lagi francaisnya di dunia. Di peringkat antarabangsa kasut ini terdapat 150 negara melalui 10 buah anak syarikat,” katanya pada pelancaran koleksi terbaru itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Skechers Hong Kong dan Asia Tenggara, Vincent Leungberkata, koleksi terbaru itu di reka khas bagi mereka yang minat bersukan dan mempunyai fokus dalam kesihatan mereka.
“Kami cuba menggabungkan fesyen dan teknologi yang boleh membantu si pemakai menangani kehidupan harian dalam rutin kecergasan yang pelbagai.
“Koleksi ini melalui tiga tahun penyelidikan dan kami telah bekerjasama dengan pelari profesional, Meb Keflezighi. Bentuk dan rekaannya menunjukkan kasut ini sesuai untuk bersukan, ia fleksibel, responsif, ringan dan memiliki permukaan yang sama rata,” katanya.
Kasut yang mempunyai ciri-ciri yang dinamik itu menampilkan pelbagai tarikan seperti membantu menghalang bau dan kegelinciran.
Kelebihan warna-warna terang seperti biru, merah dan kuning membuatkan ia menjadi kegilaan golongan remaja yang mahu sentiasa tampil santai dan selesa.
Remaja perlu motivasi
March 26, 2012 by Ainaa
Filed under Minda Remaja
Comments Off
KEHIDUPAN remaja penuh pancaroba. Ada juga yang mengatakan kehidupan remaja penuh warna-warni. Bagaimanapun, remaja perlukan bimbingan dan motivasi untuk terus meningkatkan kejayaan dalam pelajaran demi mengejar cita-cita yang diimpikan.
Kebanyakan remaja lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun sering terperangkap dengan angan-angan, cinta dan khayalan. Manakala remaja perempuan pula sering terperangkap dengan masalah cinta dan kematangan. Mereka yang terlibat dengan masalah ini tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.
Dalam tempoh usia ini juga kebanyakan remaja mudah terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang menjerumuskan mereka ke arah keburukan. Bermula dengan berkenal-kenalan melalui perbualan telefon dan facebook, akhirnya mereka mudah terikut dengan pengaruh kawan dan terbabit dengan pergaulan bebas serta gejala sosial.
Justeru, remaja perlu mengekalkan dan mengawal minat mereka ke arah perkara yang bermanfaat dan lebih baik untuk diri dan keluarga. Melalui minat bermanfaat yang dipupuk sejak kecil seseorang itu dapat mengembangkan minat dan kecenderungan hingga dewasa. Minat yang baik seperti membaca, melukis dan bermain alat muzik dikatakan dapat mengisi kekosongan dan menghaluskan jiwa.
Kajian ahli psikologi pendidikan H W Bernard dalam bukunya Psychology of Learning (1965), menyatakan remaja perlu mendapat sentuhan motivasi iaitu proses ke arah membangkitkan, mengekalkan dan mengawal minat.
Oleh itu, melalui motivasi sebagai suatu desakan yang menjadikan manusia mengubah sikap, minat atau kegiatannya ke arah kebaikan. Ia dapat menghindarkan seseorang remaja terjebak dalam perkara tidak baik dan tidak mendatangkan faedah. Sebagai contoh, bidang sukan dan permainan dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.
Menurut pakar pendidikan Sharifah Alwiah Alsagof, motivasi juga dikatakan sebagai perangsang tindakan terhadap sesuatu tujuan yang dulunya hanya terdapat sedikit atau tiada minat terhadap tujuan tersebut menjadi bertambah minat. Oleh itu, motivasi penting ke arah mencapai suatu matlamat tertentu, termasuk mengubah sikap, minat dan tingkah laku seseorang.
Sesetengah ahli psikologi mengklasifikasikan motivasi kepada motivasi fisiologi (misalnya, keperluan asas manusia seperti makanan, minuman, seks dan sebagainya) dan motivasi sosial (misalnya, berharap mendapat reputasi dan keuntungan). Ia terbahagi kepada dua iaitu motivasi asas yang bersifat semula jadi dan motivasi dibentuk daripada pembelajaran.
Kajian menunjukkan bahawa keperluan sosial manusia meliputi keperluan mencapai kecemerlangan, pergaulan sosial, autonomi, pemeliharaan dan perlindungan, mempengaruhi dan mengawal orang lain, menunjukkan kebaikan, peraturan dan kekemasan dalam sistem organisasi, hiburan, rekreasi dan keselesaan yang memerlukan motivasi.
Di sebalik kejayaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih ada pelajar yang kurang cemerlang dan merosot keputusannya. Sepatutnya, sekolah sudah dapat mengenal pasti kumpulan ini. Kalangan pelajar dari sekolah yang pencapaiannya kurang cemerlang, kurang baik dan tidak memuaskan seharusnya diberikan motivasi.
Justeru, pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan SPM, diberi kaunseling dan motivasi. Mereka yang berjaya juga seharusnya memberikan semangat, kata-kata rangsangan, motivasi serta kaedah belajar yang berkesan dan bergaul dengan mereka yang kurang cemerlang.
Ahli keluarga dan saudara-mara pelajar yang kurang cemerlang juga wajar memberikan kata-kata semangat dan rangsangan kepada mereka supaya terus berusaha untuk mencapai kejayaan. Dorongan dan kata-kata motivasi dapat meningkatkan semangat mereka dalam pelajaran. Kegagalan dalam peperiksaan bukan bermakna berakhirnya suatu kehidupan. Banyak mereka yang gagal dalam peperiksaan berjaya mencipta masa depan dalam bidang lain seperti bidang perniagaan.
Kata-kata motivasi dapat membangkitkan semula semangat dan bangkit daripada kegagalan untuk mencipta kejayaan yang baru. Napoleon Hill pernah berkata, apabila anda mempersoalkan kegagalan, sama dengan anda mengundang kegagalan dan apabila anda mempersoalkan kejayaan bererti anda akan mengundang kejayaan pula.
Menurut pandangan Babara Cartland, janganlah anda menyesali kegagalan yang anda alami dengan menuduh orang lain, tetapi akui dengan sungguh-sungguh kegagalan itu adalah akibat perbuatan anda sendiri. Sebagai motivasi Robert H Schuller menyatakan, kegagalan tidak bererti kita mensia-siakan hidup, tetapi bererti kita perlu mulai lagi dengan cara lain dan lebih giat serta penuh kesabaran.
Begitulah cara mengatasi kegagalan dalam kehidupan. Kebijaksanaan lebih banyak belajar daripada kegagalan bukan daripada kejayaan. Kegagalan juga mengajar kita untuk mencapai kejayaan seterusnya.
Setiap remaja memerlukan motivasi dalam mencapai cita-cita terutama mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Selain itu, remaja juga mempunyai semangat yang kuat, usaha gigih, tenaga yang mampu untuk bersaing dalam dunia globalisasi bagi menentukan kejayaan seterusnya. Minat yang mendalam dalam sesuatu bidang boleh diasaskan dan dicetuskan melalui motivasi berterusan.
Kebanyakan pelajar yang gagal dalam pelajaran adalah disebabkan hilang fokus dan minat ke arah pelajaran. Beberapa faktor yang menyebabkan hal ini berlaku antaranya kurang motivasi daripada ibu bapa, keluarga, rakan sebaya, guru-guru dan persekitaran yang tidak menggalakkan.
Melalui motivasi iaitu proses dalaman menimbulkan perubahan tingkah laku seseorang. Sekiranya perubahan tingkah laku itu yang ditimbulkan oleh motivasi berpusat pada suatu aktiviti dan aktiviti itu dapat menghasilkan kepuasan, seseorang individu akan meneruskan aktiviti tersebut secara berulang-ulang seperti pembacaan, penulisan dan reka cipta.
Dalam konteks pendidikan, naluri ingin tahu merupakan motivasi. Oleh itu melalui naluri ingin tahu menjadi penggerak penting yang amat bernilai untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Naluri ingin tahu dalam diri kanak-kanak lahir secara semula jadi dan harus dipupuk hingga dewasa.
Motivasi berlandaskan naluri ingin tahu adalah ditimbulkan daripada rangsangan dalam persekitaran. Sikap, harapan dan aspirasi seseorang pula mempengaruhi motivasinya. Strategi pengajaran dan pembelajaran juga penting untuk mewujudkan motivasi. Kesediaan belajar banyak bergantung pada motivasi yang sesuai dan penting untuk menggerakkan pembelajaran.
Lantaran itu, Islam juga menggalakkan motivasi dalam melaksanakan setiap ibadah. Melalui rangsangan dan semangat yang gigih, ibadah dapat dilakukan dengan baik dan sempurna serta berterusan. Kesabaran ibu bapa juga penting dalam melaksanakan penerusan motivasi dalam diri seseorang anak berkaitan dengan pelajaran dan ibadah. Oleh itu, motivasi penting dalam kehidupan untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.





















