Tahun Kebangkitan Aeril Zafril

February 22, 2012 by  
Filed under Minda Remaja

Comments Off

Wajah yang kerap menghiasi layar perak membuatkan tuan punya diri ini semakin dikenali.

ae

Bermula dengan drama “Kisah Kaisara”,Aeril Zafril megorak langkah mengibarkan lagi syapnya dalam bidang lakonan.Dengan empat filem yang telah dilakonkannya,ternyata Aeril mempunyai bakat yang besar dalam bidang ini.

Wajah pelakon lelaki yang semakin meningkat naik ini semakin dikenali dari semasa ke semasa.Berbekalkan bakat dan wajah yang kacak,Aeril mampu melangkah lebih jauh lagi. Karier lakonannya bermula ketika dia dan adiknya menjalani uji bakat untuk drama “Kisah Kaisara”.

Nasibnya baik apabila dia dan adiknya terpilih untuk menyertai drama tersebut.Pada ketika itu, Aeril langsung tidak pernah terfikir yang dia punya bakat dalam bidang lakonan. Dia melihat dirinya sendiri sebagai orang yang tidak pandai berlakon di dalam drama tersebut.

Tidak lama kemudian, sekali lagi rakannya mengajak Aeril untuk menemaninya menghadiri uji bakat untuk filem “Aku Tak Bodoh“.Setibanya di tempat uji bakat, Aeril terfikir untuk turut sama menyertai uji bakat tersebut.

Daripada uji bakat yang hanyalah sekadar suka-suka, akhirnya Aeril pula yang terpilih untuk berlakon dalam drama tersebut.

Terbaharu
Bercerita tentang perkembangan, Aeril kini sedang sibuk mempromosikan filem terbaharunya yang akan keluar pada bulan Mac ini iaitu fi lem “Cinta Kura-Kura“ dan“7 Petala Langit“.

Dengan watak yang berbeza di dalam kedua-dua fi lem ini, Aeril mampu membuktikan bakat yang ada dalam dirinya. Untuk fi lem “7 Petala Langit“, Aeril membawakan watak lelaki yang matang, berbeza dengan wataknya dalam filem“Cinta Kura-Kura“.

“Dalam filem “Cinta Kura-Kura“, Aeril pegang watak sebagai Adam, seorang yang sangat lurus dan berfikir menggunakan otak kiri. Hubungan Adam dengan Nani lakonan Tiz Zaqyah telah dicemburui oleh seekor kura-kura yang boleh bercakap  bernama Nico. Dalam fi lem ini juga, Adam mempunyai kebolehan untuk berkomunikasi dengan binatang. Ternyata Aeril seronok berlakon di dalam fi lem ini,” ujar Aeril panjang lebar.

Jaga Kebun
Aeril yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini sempat bercerita tentang kebun nanas dan kelapa sawit milik ibu dan bapanya. Sempat ditanya, jika tidak menjadi pelakon, siapakah Aeril Zafril, lantas Aeril terus menjawab yang dia mungkin akan menjadi penjaga kebun tersebut kerana Aeril anak yatim piatu.

Cerita Aeril, dia kehilangan ibu dan bapanya dua tahun lepas setelah kedua-duanya meninggal dunia akibat kanser.“Saya memang terdedah dengan kebun itu sejak berumur 10 tahun lagi. Saya memang biasa dengan kebun itu dan jika saya tidak menjadi pelakon, saya akan menjadi seorang pekebun.

Namun disebabkan saya telah mula menjejakkan kaki dalam industri ini, abang saya menyuruh saya meneruskan kerjaya dan dia sendiri akan berpindah ke Batu Pahat untuk mengusahakan kebun itu,“ terang Aeril.

Watak Versatil
Apabila ditanya tentang watak yang diinginkan,kata Aeril, dia menginginkan watak dalam filem aksi misalnya sebagai pembunuh bersiri. Baginya,watak-watak sebegitu akan menyerlahkan lagi bakat lakonan selain dia sendiri yang ingin menjadi pelakon yang versatil membawakan pelbagai watak.

Bukan itu sahaja, setakat ini anak muda ini telah berlakon dalam empat buah fi lem dan kesemua watak yang dipegangnya itu ialah watak yang berlainan. Bergelar seorang pelakon, sudah tentu Aeril mempunyai idolanya tersendiri iaitu Sidi Oraza dan Nur Fazura. Baginya kedua-dua pelakon ini mempunyai bakat yang cukup istimewa dalam bidang lakonan.

Aeril sendiri mengakui, bakatnya belum lagi terserlah dan dia akan sentiasa berusaha untuk memantapkan lagi lakonannya. Buktinya, Aeril telah tercalon dalam Anugerah Skrin dengan pencalonan Pelakon Pembantu Terbaik dan dalam Anugerah Festival Filem untuk pencalonan Pelakon Harapan.

Wafa menyinar di Korea

February 21, 2012 by  
Filed under Minda Remaja

Comments Off

ORANGNYA sederhana dan petah berbicara. Dia yang kelihatan ayu tanpa solekan tebal, tersenyum manis dan ramah menjawab soalan demi soalan yang diajukan tanpa sebarang keluhan.

Walaupun baru berusia 17 tahun, gadis kacukan Melayu dan Belanda ini sudah memiliki visinya sendiri. Wafa Johanna de Korte tidak mahu mengejar dunia glamor semata-mata, sebaliknya ingin berjaya dalam pelajaran.

MEMENANGI anugerah berprestij tahunan Asia Model Festival Awards (AMFA) anjuran Akademi Amber Chia tahun lalu, dia lantas mengambil keputusan menceburi dunia model secara serius.

Selepas bergelar juara, kehidupan Wafa berubah daripada model sambilan kepada seorang wanita yang sibuk dengan undangan penggambaran dan peragaan.

“Kenangan paling tidak dapat saya lupakan apabila mewakili Malaysia ke pertandingan AMFA di Korea bulan lalu. Saya seronok dapat berkenalan dengan peserta dari seluruh Asia.

“Antara cabaran besar semasa pertandingan adalah berdepan cuaca yang sangat sejuk. Saya juga menghadapi masalah komunikasi kerana sukar berjumpa dengan orang Korea yang boleh berbahasa Inggeris. Tetapi ia tidak menghalang saya untuk melakukan yang terbaik,” ujarnya yang berjaya memenangi anugerah terbaik Pakaian Tradisonal Wanita AMFA di Korea.

Cita-cita

Walaupun sibuk memenuhi undangan peragaan, Wafa tidak mahu mengetepikan pelajarannya.

Baginya, wanita tanpa ilmu tidak akan berjaya.

“Saya percaya cantik perlu cerdik. Itu yang ibu saya didik sejak kecil lagi. Sebesar manapun saya meminati sesuatu bidang itu, pelajaran tidak akan diabaikan. Selepas ini saya merancang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah komunikasi massa,” katanya yang sangat meminati fesyen moden.

Berkongsi petua kecantikannya, dia bersyukur kerana dianugerahkan kulit yang cantik sejak lahir.

Justeru, Wafa tidak mahu mensia-siakan anugerah tersebut.

Bagi menjaganya, Wafa memastikan dia perlu cukup tidur dan minum banyak air untuk kekal cantik dan segar.

Tebus Baucar Buku 1Malaysia

February 19, 2012 by  
Filed under Minda Remaja

Comments Off

 NURUL Hidayah Zakaria, 25, baru sahaja menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) beberapa minggu lalu.

Justeru, Ekspo Buku 1Malaysia yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur selama enam hari bermula pada 1 Februari lalu dijadikannya medan untuk menebus BB1M.

HARGA RUNTUH. Hari terakhir ekspo ini menyaksikan harga buku cerita dijual serendah RM1 sementara harga buku rujukan ditawarkan diskaun sehingga 70 peratus.


Pelajar Ijazah Dakwah dan Pengurusan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang membeli lebih daripada dua buah buku untuk rujukan pembelajaran memberitahu: “BB1M ini sesungguhnya dapat membantu meringankan beban para pelajar yang masih menuntut yang biasanya tiada sumber kewangan yang cukup.”

Seorang lagi pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Harlina A. Salleh, 25, juga sependapat dengan Nurul Hidayah.

“Sebenarnya kami para pelajar sudah lama menantikan pemberian seperti ini (BB1M) dan apabila ia menjadi kenyataan, sudah pasti kami tak lepaskan peluang memborong buku bacaan termasuk rujukan,” ujarnya yang menghabiskan kira-kira RM150 untuk tujuan itu.

Baru-baru ini, BB1M diberikan kepada semua penuntut di Tingkatan Enam, Matrikulasi, Asasi, Politeknik, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Baget 2012 baru-baru ini.

Tempoh sah laku bermula 1 Januari sehingga 31 Mac ini. Ekspo Buku 1Malaysia yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara bersempena Seminar Buku Antarabangsa dan Anugerah Buku Negara yang disertai puluhan penerbit seluruh negara telah dijadikan medan pesta tebus baucar buku bernilai RM200 untuk para pelajar.

Buku agama

EKSPO buku ini yang dianjurkan oleh Pembangunan Buku Negara ini didominasi oleh buku-buku keagamaan.


Pada ekspo yang berlangsung itu, selain platform untuk BB1M, ia juga adalah lubuk terbaik kepada para pengunjung untuk mendapatkan bahan rujukan keagamaan.

Penerbit-penerbit seperti Sarjana Media Sdn. Bhd., Konsortium Wakaf al-Quran, Sri Saujana Marketing, Telaga Biru Sdn. Bhd. dan banyak lagi dibanjiri para pengunjung.

Selain menawarkan variasi buku yang menepati kehendak masyarakat, harga runtuh yang ditawarkan yang mencecah 70 peratus antara daya tarikan utama menarik perhatian umum.

Impaknya, ada penerbit yang terpaksa membuka dua kaunter pembayaran untuk mengelak barisan yang terlalu panjang.

Pengarah Urusan Sarjana Media, Tajudin Senapi mengakui hakikat itu. Katanya: “Kami membawa kira-kira 2,000 tajuk dan sambutan memang sangat memberangsangkan.

“Yang paling menggembirakan ialah Siri Kisah Permata Anak Cemerlang yang turut memenangi Anugerah Buku Negara 2012 sangat laris.”

Syarikat ENMAC Technology Sdn. Bhd. yang memperkenalkan al-Quran digital berupa E-Book dan Ipod selain ensiklopedia maya Islam menjadi antara eksplorasi menarik di ekspo itu.

Pegawainya, Mohd. Faizal Yusof berkata, E-book yang dihasilkan itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Ia mengandungi 30 juzuk al-Quran yang lengkap dengan audio bacaan oleh tujuh qari ternama dunia. Selain itu, ia didatangkan dalam 36 bahasa terjemahan, waktu solat bagi 5,000 kawasan, 80 doa dan 1,100 hadis terpilih.

“E-book ini membolehkan masyarakat Islam membaca, mendengar, menghafal dan merujuk al-Quran di mana sahaja tanpa batasan waktu,” jelasnya.

Turut menarik minat ramai di tapak gerai kaligrafi milik Muhd. Zulhelmi Muhd. Sobri dan rakannya. Kehebatan gerak tari tangannya menulis nama, ayat al-Quran, hadis dan membuat logo berasaskan tulisan khat memukau hadirin.

Muhd. Zulhelmi hanya mengenakan caj sebanyak RM13 untuk penanda buku, RM7 (poskad) dan tulisan khat bersaiz A4 cuma berharga RM17.

Budaya membaca

TAPAK gerai kaligrafi milik Muhd. Zulhelmi dan rakannya diserbu ramai pengunjung yang mahu mendapatkan sentuhannya.

Dalam pada itu, ketika Majlis Pelancaran Ekspo Buku 1Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu rakyat Malaysia bukan sahaja menanamkan sikap rajin membaca tetapi, mengambil inisiatif mengarang buku.

Katanya, industri buku di negara ini masih jauh dan tidak setanding dengan prestasi yang ditunjukkan oleh negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan mahupun India.

Kajian Olahan Semula Profil Membaca Rakyat Malaysia 2010 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia yang berumur 10 tahun ke atas secara purata membaca sebanyak lapan hingga 12 buku setahun.

Justeru, ujar Mohamed Khaled, rakyat Malaysia hendaklah menyahut saranan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) supaya setiap negara dapat memenuhi penerbitan 0.1 peratus daripada populasi penduduk.

Susulan daripada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM2 juta kepada IPTA bagi membangunkan Program Penerbitan Berimpak Tinggi. Peruntukan itu akan disalurkan kepada Jawatankuasa Timbalan-timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) IPTA yang mengambil bahagian dalam menggalakkan penerbitan buku.

Kecil-Kecil Cili Padi!

February 15, 2012 by  
Filed under Minda Remaja

Comments Off

Muhamad Nazmi Faiz bin Mansor dilahirkan pada 16 Ogos 1994 kepada pasangan Mansor Mustafa dan Normala Nordin yang bekerja sebagai peniaga.

bubu

Nama Panggilan: Nazmi

Umur: 18 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Pendidikan: Sekolah Sukan

Bukit Jalil (2008-2011)

Tinggi: 167 sentimeter

Posisi: Pemain Tengah (Midfielder)

Pasukan: Harimau Muda(Bawah 23)

Nombor Jersi: 21

 

Anak muda yang berasal dari Lembah Keramat Kuala Lumpur ini ialah anak keempat daripada lima orang adik-beradik.Nazmi mempunyai seorang kakak, dua orang abang dan seorang adik.

Nazmi sudah mula bermain bola sepak sejak berusia enam tahun dan sering memaksa bapanya untuk bermain bersama.Menurut Nazmi, seluruh keluarganya turut meminati sukan yang paling popular di dunia ini.

Terkenal dengan kepantasan sewaktu permainannya di sekolah, Nazmi kini bergelar pemain termuda beraksi bagi pasukan Malaysia di pentas antarabangsa.

Zaman PersekolahanWalaupun disifatkan sebagai seorang yang pemalu, Nazmi seorang pelajar yang aktif dalam bidang sukan sejak bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati.

Selain bola sepak, dia turut terbabit secara aktif dalam sukan sepak takraw dan olahraga.Berkesempatan menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Projek Seksyen 11,Nazmi kemudiannya memberikan sepenuh tumpuan kepada bola sepak.

Namun sekolah yang terletak di Shah Alam itu hanyalah persinggahan sementara sebelum terpilih melanjutkanpengajian di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ketika berusia 14 tahun, sekali gus membuka lebih ruang untuk dia mengembangkan lagi bakatnya.Wakil Negara Debut permainan pertama Nazmi ialah ketika perlawanan Malaysia menentang Thailand dengan kemenangan dua berbalas satu.

Dia mula mendapat perhatian di pertengahan November tahun lepas semasa berlangsungnya temasya Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia. Anak muda ini telah mencatatkan rekod peribadinya apabila berjaya menjaringkan gol antarabangsa pertama ketika perlawanan menentang Bahrain bagi kelayakan Olimpik London 2012 meskipun Malaysia tewas dengan mata dua berbalas tiga.

Jurulatih pasukan Harimau Muda, Ong Kim Swee menyifatkan pengeluaran Nazmi semasa detik separuh perlawanan merupakan antara penyumbang kekalahan tersebut.

Pengorbanan Dan PencapaianKecekalan pelajar SSBJ ini jelas kelihatan apabila dia bertekad menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang sepatutnya diduduki pada 14 November tahun lalu kerana berhasrat mahu mengharumkan nama Malaysia. Pengorbanan pemain yang memakai jersi nombor 21 ini berbaloi apabila skuad di bawah 23 tahun negara berjaya meraih emas selepas menewaskan Indonesia.

Selain berjaya memenangi sejurus mempertahankan pingat emas ketika temasya dwitahunan di Indonesia, antara pencapaian yang pernah diraihnya ialah muncul juara bagi kejohanan B-17 Liga Kementerian Pelajaran Malaysia dan dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan ketika berusia 15 tahun.

Berikutan aksi cemerlang yang ditonjolkannya telah melayakkan Nazmi diserap ke skuad Harimau Muda (B) dalam kancah Liga Perdana selepas beraksi cemerlang dalam saingan Piala Presiden bersama SSBJ (B) tahun sebelumnya.

Sumber : Majalah Remaja

9X program untuk belia

February 14, 2012 by  
Filed under Minda Remaja

Comments Off

SEJAJAR dengan komitmen saluran TV9 yang mengetengahkan kreativiti di kalangan remaja dan belia, sebuah slot telah dilancarkan khusus bagi tontonan remaja dan belia dalam lingkungan usia antara 19 hingga 29 tahun bagi memberi ruang untuk golongan tersebut melempiaskan idea mereka.

Slot yang diberi nama 9X menjanjikan kelainan serta pengisian yang lebih menarik menggunakan formula yang bersesuaian dengan cita rasa sasaran penonton saluran TV9 yang lebih muda.

Slot tersebut akan menemui penonton TV9 bermula 20 Februari ini pada setiap hari Isnin hingga Rabu pukul 10.30 malam. Antara program menarik yang diselitkan dalam slot ini adalah seperti Aizat Gegar NZ, Teenwolf, Pulau, Soundcheck, 9X Mix Tape dan banyak lagi.

Menurut Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin berkata, 9X bakal menjanjikan kelainan dari segi konsep dan juga barisan program yang disiarkan juga akan hadir dalam pelbagai genre.

Idea 9X hadir melalui hasil pertemuan dengan golongan belia dalam acara padang TV9 sekitar tahun 2011. Melihatkan jumlah belia yang mempunyai idea kreatif, imaginatif yang di luar jangkaan, 9X dicipta sebagai medium untuk mereka meluah dan mengembangkan bakat terpendam yang ada dalam pelbagai bidang.

“Kami berpegang teguh kepada tiga perkara iaitu untuk terus menyuntik elemen baharu di dalam semua usaha kami untuk terus memberikan kelainan serta untuk terus menjadi sumber inspirasi kepada penonton kami.

“Menyedari bahawa adanya keserasian di antara nilai-nilai kami dan komuniti remaja masa kini, ianya menaikkan semangat kami untuk memainkan peranan dalam menyediakan platfom bagi mereka untuk mengekspresikan diri di samping menjadikan ia sebagai aspirasi kepada yang lain,” tutur Sherina ketika mengadakan pelancaran 9X di Yayasan Seni, Kuala Lumpur.

Tambahnya lagi, 9X bukan sahaja akan menjadi tapak permulaan kepada para remaja untuk berkarya dan berkongsi kreativiti, malah TV9 turut memberi sokongan serta menggalakkan para belia untuk menceburkan diri dalam bidang produksi yang seterusnya akan disiarkan di saluran TV9 untuk tontonan semua.

Selain itu, program menarik seperti ini adalah satu tujuan untuk menaikkan rating saluran TV9 yang berada di tempat kedua di bawah saluran TV3 dengan perkongsian peratusan sebanyak lapan peratus.

“Jika sebelum ini slot Skrin di TV9 pada pukul 8.30 malam mendapat kutipan penonton seramai 700,000 orang. Namun, kini kami telah dapat mencecah sehingga 1 juta penonton. Dan jujur, kami agak berbangga dengan pencapaian tersebut walaupun saluran TV9 hanya dapat bersaluran di Semenanjung Malaysia sahaja,” jelas Sherina teruja.

Bagi belia yang ingin mengetengahkan idea-idea mereka dalam slot ini, TV9 sangat terbuka untuk menerima kertas cadangan dan idea dari sesiapa sahaja. Namun, kelainan dari segi konsep dan idea diperlukan supaya ia tidak kelihatan sama dengan konsep atau program yang sedia ada.

Remaja tinggi diiktiraf

February 13, 2012 by  
Filed under Minda Remaja

Comments Off

Kisah remaja tinggi luar biasa yang pernah dipaparkan media pada awal November tahun lalu, diiktiraf sebagai remaja tertinggi di negara ini oleh Malaysia Book Of Record (MBOR).
remaja-tinggi-2

Sheikh Akmal Sheikh Imam, 16, berkata, pengiktirafan yang diterima itu amat membanggakan dirinya dan keluarga.

Beliau yang ditawarkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil berkata, bukan semua orang berpeluang menerima pengiktirafan tersebut.

“Saya tidak pernah malu dengan ketinggian luar biasa ini, malah ia menjadi perangsang kepada saya terus berjaya dalam hidup.

“Saya juga bersyukur kerana ibu bapa saya sentiasa mengambil berat dan menyokong apa yang saya lakukan, sehinggalah saya di iktiraf oleh MBOR,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Pangsapuri Cempaka, di sini, semalam.

Sementara itu bapanya, Sheikh Imam Mohammad, 47, berkata, selepas seminggu kisah anaknya tersiar di Sinar Harian dan beberapa akhbar lain, dia menerima panggilan telefon daripada pihak MBOR supaya datang ke ibu pejabat di Kuala Lumpur, untuk menerima
pengiktirafan.

Katanya, sehingga hari ini, tiada seorang pun dapat menewaskan ketinggian anak bongsunya itu yang memiliki ketinggian 204 sentimeter.

“Apa pun gelaran dan pengiktirafan diterima oleh Sheikh Akmal, cuma satu yang saya harapkan iaitu kesihatannya baik dan memuaskan.

“Saya mahu lihat dia sentiasa sihat dan dapat menikmati kehidupan di dunia ini dengan sepuas-puasnya,” katanya.

Clarins ceriakan rumah anak yatim

February 8, 2012 by  
Filed under Minda Remaja

Comments Off

KANAK-KANAK dari tiga buah rumah anak yatim, Rumah KIDS, Klang, Rumah Shalom, Puchong, Selangor dan Sanctuary Care Centre, Setapak, Kuala Lumpur tidak lekang dengan senyuman apabila menerima kunjungan kakitangan Clarins sempena kempen amal anjuran produk tersebut.

SETIAP penghuni rumah anak yatim menerima bekas pensel yang dihiasi dengan gambar pelbagai jenis haiwan.

Pelbagai aktiviti menyeronokkan diadakan dan semua penghuni rumah kebajikan tersebut ternyata gembira apabila kakitangan Clarins meluangkan masa bersama-sama mereka.

Tidak lupa, kanak-kanak itu juga diberikan set alat tulis dan bekas pensel Clarins We Care setiap seorang.

Menerusi kempen berkenaan, Clarins menyumbangkan RM35,000 kepada ketiga-tiga buah rumah anak yatim tersebut. Ia merupakan hasil kutipan sepanjang kempen itu yang berlangsung dari 1 November sehingga 31 Disember lalu.

Saban tahun Clarins menerajui usaha murni itu bertujuan memperbaiki kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Berpegang kepada iltizam bahawa projek amal itu mampu memupuk dan membina generasi lebih cemerlang, ia juga diharapkan dapat memberi sinar kepada mereka menempuh masa depan yang penuh liku.

Pengurus Besar Clarins, Tan Seong Teck berkata, Clarins We Care merupakan saluran bantuan buat kanak-kanak yang memerlukan sokongan dan galakan pendidikan.

“Walaupun sumbangan kami tidak terlalu besar namun, ia sedikit sebanyak dapat meluaskan pengetahuan dan meningkatkan kemahiran mereka terhadap pendidikan.

“Kami percaya, pendidikan adalah bekalan untuk mencorakkan masa depan mereka agar lebih terjamin. Clarins berusaha mendekati sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan selaras dengan falsafah kami iaitu menjadikan kehidupan lebih indah,” jelasnya.

Sebelum kunjungan itu diadakan, kempen pengumpulan dana menyaksikan Clarins berusaha keras menjual bekas pensel yang diperbuat menggunakan bahan mesra alam dan dihiasi gambar pelbagai haiwan yang menarik.

Pemilihan penjualan bekas pensel itu dibuat berdasarkan faedah dan pelajaran yang boleh didapati kanak-kanak tentang kebaikan kitar semula.

Haiwan yang terpilih menghiasi bekas pensel itu ialah gajah, harimau dan orang utan. Menariknya, setiap haiwan itu membawa mesej tersendiri yang juga menjadi informasi berguna buat kanak-kanak.

Gajah menjadi simbol agar kita sentiasa berjimat dalam penggunaan air, harimau pula diletakkan sebagai pengantara penjimatan tenaga, manakala orang utan menjadi lambang kepentingan kitar semula.

Selain memberikan sumbangan berbentuk alat tulis, Clarins turut menggunakan dana yang berjaya diraih bagi melengkapkan perpustakaan ketiga-tiga rumah anak yatim berkenaan dengan meja, kerusi, rak buku, alat bantuan pelajaran, buku-buku dan komputer.

Misi merubah remaja bermasalah

February 6, 2012 by  
Filed under Minda Remaja

Comments Off

ASTRO Ria banyak menerbitkan program realiti televisyen (TV) yang bukan sahaja berteraskan dunia hiburan semata-mata, sebaliknya turut membabitkan khidmat sosial bagi membantu meningkatkan lagi nilai-nilai positif dalam masyarakat.

Terbaru saluran TV berbayar itu misalnya, akan menyiarkan rancangan berjudul Misi 12 iaitu sebuah rancangan realiti yang bertujuan merubah masa depan dan sikap 12 remaja bermasalah yang menjadi peserta dalam rancangan yang bakal disiarkan mulai 7 Februari ini.

Menurut Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, antara peserta yang ditonjolkan dalam Misi 12 merupakan minah rempit yang akan dibentuk oleh sembilan pembimbing daripada pelbagai bidang kerjaya untuk dikongsi bersama-sama para penonton.

Misi 12 menampilkan 12 peserta yang telah kami pilih daripada sesi ujibakat pada tahun lalu. Mereka ini terdiri daripada mereka mempunyai masalah sosial dan kurang berjaya dalam kehidupan masing-masing. Contohnya, ada di antara mereka yang gagal dalam pelajaran.

“Tidak kurang juga yang pernah menjadi minah rempit. Jadi, melalui rancangan ini, kami akan membimbing mereka supaya berubah sikap dan menjadi lebih cemerlang dalam bidang yang akan mereka ceburi selepas itu nanti,” katanya kepada Hits sewaktu ditemui baru-baru ini.

Pada pertemuan selepas pelancaran Misi 12 di Eco-Resort, Hulu Yam, Selangor itu, Nizam berharap agar rancangan seumpama itu boleh memberi iktibar kepada para penonton agar berusaha menjadi manusia yang lebih baik dan mencari kejayaan dalam hidup dalam apa juga kerjaya.

Justeru, kata Nizam, pihaknya telah memilih tiga ikon yang berjaya dalam kerjaya masing-masing untuk 12 peserta Misi 12 sepanjang tujuh minggu mereka terbabit dalam rancangan yang disiarkan di Astro Ria setiap Selasa mulai 7 Februari ini pukul 9 malam.

Tiga ikon yang akan berkongsi kejayaan mereka itu kepada 12 peserta terbabit ialah Pengurus Besar Mercedez Benz Malaysia, Datuk Soke Clement Soo, Pengurus Tayangan Unggul Sdn. Bhd., Gayatri Su-Lin Pillai,Pengarah Coffe Scene Sdn. Bhd. (Bangi Kopitiam), Ooi Kim Chong dan Kid Search.

“Rancangan seperti ini bukan sahaja memberi motivasi kepada para peserta tetapi secara tidak langsung ia juga mampu memberi perangsang kepada para penonton bagi berkongsi tips serta kejayaan tiga ikon terbabit dalam membentuk sikap mereka agar lebih positif,” ujarnya.

Selain tiga ikon itu, Misi 12 turut menyediakan enam pembimbing yang terdiri daripada Dr. Deleila Hatun (kelas ekonomi), Dr. Tengku Ismadi (motivasi), Nur Syuhada Ridzuan (kelas bahasa Inggeris), Muhammad Faisal Ahmad (pengucapan awam) dan Imam Muda Aran (kelas agama).

Penerbit Eksekutif Misi 12, Ismadi Ismail berkata, pemilihan para peserta itu yang diadakan pada satu sesi ujibakat pada 31 Disember lalu mengambil kira latarbelakang mereka serta matlamat mereka dalam usaha untuk mengubah sikap dan nasib mereka agar lebih baik.

“12 peserta itu akan dibahagikan kepada tiga kumpulan di mana semua ikon dan tenaga pengajar akan membimbing mereka dalam pelbagai aspek seperti motivasi, kerohanian dan pengurusan kewangan. Kami akan lihat kecenderungan dan perubahan sikap mereka.

“Tiada peserta yang akan disingkirkan dan mereka akan menyertainya selama tujuh minggu. Selepas itu, kami akan mengumumkan hadiah yang akan mereka terima berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan selepas berakhirnya tempoh tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Ooi Kim Chong yang mewakili ikon dalam Misi 12 berkata, dia akan mencurahkan pengalamannya dalam bidang pengurusan kepada para peserta terbabit agar sedikit sebanyak memberi motivasi untuk lebih berjaya dalam kerjaya yang mereka ceburi pada masa depan.

“Saya akan berkongsi pengalaman dan penat lelah dalam bidang yang saya ceburi ini. Walaupun cuma tujuh minggu sahaja, tetapi kalau para peserta memberi tumpuan dan bersungguh-sungguh menimba pengetahuan mereka boleh berubah secara konsisten.

“Selain mencipta kerjaya dalam bidang pengurusan, saya juga mempunyai kepakaran dalam seni mempertahankan diri tae-kwon do di mana jika para peserta terbabit berminat, saya juga akan berkongsi kebolehan dalam bidang ini,” katanya bersungguh-sungguh.

12 peserta yang ditampilkan dalam Misi 12 ialah Mohamad Shafwan Abdul Saleem, 19, Muhammad Subky Halib, 23, Nur Syukree Arrif Sazali, 19, Muhammad Indera Mulia Muhammad, 24, Mohammad Anaz Mat Lasim, 22, Mohd. Hazmin Zamri, 19, Raja Mohd Azlan Raja Jafar, 23, Nor Ain Amin Nudin, 19, Fatin Azira Rohaizad, 21, Nur Atiqah Sarimbi, 23, Syahirah Saad, 22 dan Nadia Rahmat, 23.

Iena refleksi Ida

February 5, 2012 by  
Filed under Minda Remaja

Comments Off

UMPAMA melihat ke dalam cermin, pasangan kembar yang juga model sambilan ini seolah-olah tiada bezanya. Sesiapa juga yang terpandang mereka, pasti akan menoleh sekali lagi dan merenung lama wajah jelita pemilik nama Aiman Sakinah Mansor dan Aiman Saiyidah Mansor, 23.

“Kami sudah biasa dengan renungan sedemikian. Lebih-lebih lagi ketika kecil bapa kami sering menggayakan kami dengan pakaian yang sama.

“Sekarang pabila besar, masing-masing mencipta identiti sendiri dengan fesyen serta minat yang berbeza tetapi renungan `pelik’ itu masih kami terima,” ujar Saiyidah yang mesra dipanggil Ida.

Mungkin kerana keunikan itu, telah membawa tuah kepada mereka sehingga memenangi pertandingan pencarian model sebuah butik dan kini mula menjadi pilihan media elektronik dan percetakan.

Ibu bapa menyokong sepenuhnya kerjaya pilihan anak dara berdua ini kerana menaruh sepenuh kepercayaan yang mereka pandai menjaga diri masing-masing.

Umpama belangkas, kedua-duanya sentiasa sekelas sehinggalah menuntut di Kolej PTPL. Adik beradik kembar ini pernah mengelirukan rakan-rakan kelas ketika di sekolah menengah dengan meniru gaya percakapan masing-masing.

Malah, sehingga sekarang rakan-rakan mereka masih keliru yang mana satu Iena dan Ida walaupun telah bertahun-tahun mengenali mereka.

Cerita Sakinah atau Iena yang tua lima minit daripada Ida, paling lama mereka berdua pernah berpisah selama seminggu saja iaitu ketika Ida dimasukkan ke dalam wad kerana menghidap demam denggi.

“Istimewanya, Ida boleh tahu kalau saya menghubunginya walaupun menggunakan telefon orang lain. Mungkin itulah kuatnya aura pasangan kembar,” ujar Iena yang gembira mempunyai seorang teman yang boleh berkongsi segala rasa.

Guna wang tabung beli jersi

February 4, 2012 by  
Filed under Minda Remaja

Comments Off

Minat mengumpul jersi Manchester United (MU) tercetus sejak menonton perlawanan pasukan itu di kaca televisyen sembilan tahun yang lalu. Lantas ingin mendapatkan jersi kesukaannya itu, Saiful Zamil Mohd Azmi (Saiful), mula mengumpul duit untuk membeli jersi berkenaan.
Guna wang tabung beli jersi

Memandangkan pada masa itu dia masih berada di peringkat sekolah menengah, maka wang tabung yang menjadi simpanannya selama tiga minggu digunakan untuk membeli jersi MU yang berharga RM30 pada masa itu.

Sejak berjaya membeli jersi, Saiful mula fanatik terhadap barangan itu. Setiap kali dia singgah ke kedai yang menjual koleksi jersi dari pelbagai pasukan, pastinya satu jersi dibeli untuk dijadikan koleksi peribadinya.

Ketika penulis bertanyakan bilangan jersi yang ada dalam simpanan Saiful pada masa kini, dengan tersenyum dia memberitahu jersinya kini sudah menjangkau lebih 46 helai.

“Saya gembira apabila berjaya dapatkan jersi kesukaan terutamanya jersi MU. Walaupun ada antara jersi berkenaan menjangkau harga hingga RM100 ke atas, saya sanggup beli.

“Apa yang penting, apabila orang lain tanya sama ada saya sudah memiliki atau tidak jersi terbaru di pasaran, sekurang-kurangnya jawapan yang akan diberikan adalah ya,” ujar Saiful bersungguh-sungguh.

Dia begitu tertarik dengan pasukan MU yang menampilkan warna merah sebagai trademark pasukan sekali gus menjadikannya sebagai warna untuk jersi mereka.

“Merah melambangkan keberanian dalam berhadapan apa jua cabaran. Sama seperti saya yang gemarkan warna itu dan mahu menjadi seorang yang berani dan yakin dalam melakukan sebarang perkara.

“Sebab itu apabila saya pakai jersi MU, semangat keberanian dalam diri tiba-tiba hadir,” katanya yang kini berusia 24 tahun.

Kumpul koleksi sejak 2003

Saiful berkata, permulaan dia membabitkan diri dengan hobi mengumpul jersi adalah pada tahun 2003.

Sejak itu, banyak jersi lambang pasukan luar menjadi simpanannya. Antaranya jersi England, Brazil, Sepanyol, Jerman dan Itali.

Dia juga turut memiliki jersi kelab ternama antaranya Barcelona, Real Madrid, Inter Milan, Manchester City, Liverpool, Chelsea dan Arsenal.

Juga tidak ketinggalan turut mengumpul jersi pasukan bola sepak dari negeri Pahang, Selangor dan jersi bola sepak Malaysia iaitu Harimau Malaya dan Harimau Muda.

Menurut mahasiswa tahun akhir jurusan Pentadbiran Kesihatan dari Universiti Teknologi Malaysia, Shah Alam, Selangor itu, segala koleksi kesayangannya disimpan rapi di asrama selebihnya tersusun cantik di rumahnya di negeri Pahang.

Tambahnya lagi, jersi-jersi berkenaan bukan sekadar dijadikan hiasan di dalam almari sebaliknya akan dipakai setiap hari sama ada untuk menghadiri kuliah, bersiar-siar bersama rakan mahupun berada di dalam bilik.
“Ramai tak percaya bila saya katakan tiap-tiap hari saya akan mengenakan jersi untuk pergi kuliah.

“Sampaikan bila ingin ke pusat membeli belah untuk membeli barangan keperluan, saya akan tetap menggayakan jersi terutamanya jersi MU.

“Sebenarnya saya banyak baju lain, tetapi saya lebih gemar pakai jersi. Keyakinan lebih terserlah apabila memakainya. Tak kisah apa yang rakan mahu katakan, penting saya selesa,” akuinya.

Jersi original

Memakai jersi bersaiz M, Saiful memberitahu, kebanyakan jersi miliknya adalah original.

“Namun, saya tidak kisah untuk mendapatkan yang tidak ‘ori’ kerana keselesaan memakai jersi menjadi keutamaan,” katanya yang mencapai kepuasan hati bila berjaya mendapatkan jersi asli.

Cerita Saiful lagi, ke semua jersi itu dibeli di mana saja antaranya di kompleks beli belah mahupun tapak karnival.

“Tetapi kini, zaman sudah berubah. Saya lebih gemar membelinya menggunakan perkhidmatan atas talian. Cara ini lebih mudah dan menjimatkan,” katanya.

Saiful berkata, jersi miliknya sering kali menjadi pilihan rakan untuk dipinjam.

“Sepanjang rakan meminjam jersi, saya tidak berhadapan sebarang masalah sama ada jersi koyak atau rosak.

“Lagipun, mereka yang meminjamnya adalah terdiri rakan rapat sahaja. Saya memang percayakan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai cara penjagaan kesemua jersinya itu, Saiful berkata, segalanya amat dititikberatkan.

“Saya tidak pernah hantar pakaian ke dobi. Lebih senang basuh sendiri tetapi dengan berhati-hati.

“Kepuasan berganda apabila melihat jersi sentiasa bersih dan cantik,” ujarnya.

Berkongsi hobi

Anak sulung dari dua beradik ini memberitahu, adiknya, Mohd Shafwan Mohd Azmi turut teruja untuk memiliki jersi sama seperti dirinya.

“Satu hari dia melihat koleksi jersi di dalam bilik saya. Tiba-tiba timbul minat yang sama apabila melihat semua jersi itu cantik dan menarik.

“Pernah dia suakan kegilaannya mahu mengumpul jersi pada mak dan ayah. Alhamdulillah, mereka turut sokong.

Namun, nasihat turut dibekalkan kepada kami supaya tidak terlalu boros berbelanja hanya kerana mahu mendapatkan jersi kesayangan,” akhiri Saiful.

Next Page »