Bakteria bahaya
IMUNISASI anak-anak adalah benteng pertama melindungi nyawa mereka dari jangkitan pelbagai bakteria berbahaya.
Walaupun Malaysia bertuah kerana program imunisasi yang disediakan Kementerian Kesihatan adalah berpandukan Perluasan Program Imunisasi (EPI) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan diberi percuma kepada bayi dan kanak-kanak, namun masih ada vaksin yang tiada dalam jadual imunisasi kementerian seperti vaksin jangkitan pneumokokal.
Perunding Pediatrik dan Neonatologi Sunway Medical Centre, Dr Khoo Boo Aik menjelaskan, pneumokokal ialah satu kumpulan jangkitan berbahaya yang disebabkan oleh bakterium Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus. Jangkitan bakteria ini boleh mengakibatkan beberapa penyakit lazim seperti jangkitan saluran pernafasan termasuk otitis media (keradangan pada telinga tengah); sinusitis dan jangkitan paru-paru (pneumonia).
Dr Khoo berkata, ia juga boleh menyebabkan sepsis iaitu sejenis jangkitan pada aliran darah dan meningitis (jangkitan pada selaput otak).
“Dalam kata lain, jangkitan ini boleh menyebabkan hilang pendengaran secara kekal, sawan, kelumpuhan, cacat otak, diabiliti dan kematian dalam kes tertentu.
“Malah dianggarkan sejuta kanak-kanak mati setiap tahun akibat pneumokokal di seluruh dunia,” katanya kepada kolum Sihat.
Individu yang termasuk dalam kategori berisiko dijangkiti penyakit ini ialah kumpulan usia seawal bawah lima tahun dan melebihi 65 tahun. Ini kerana sistem imun tubuh yang rendah.
Faktor lain termasuk tidak mempunyai limpa atau tidak berfungsi dengan betul; pernah mendapat rawatan akibat pneumonia; menghidap diabetes; masalah jantung kronik, masalah paru-paru; masalah buah pinggang atau hati; sistem imun yang lemah; mewarisi gangguan immunodeficiency atau menghidap virus human immunodeficiency (HIV) atau acquired immune deficiency syndrome (AIDS) serta implan koklea.
Dr Khoo berkata, antara gejala yang lazim dikesan pada kanak-kanak termasuk batuk berkahak; demam panas; sakit telinga atau lelehan telinga; mudah meragam; menangis berpanjangan; kurang aktif; kelesuan dan nampak sakit.
Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa tidak semua akan mengalami gejala yang dinyatakan ketika diagnosa.
Beliau berkata, pneumokokal didiagnosa secara klinikal iaitu berdasarkan hasil ujian klinikal dan ujian pemeriksaan fizikal. Namun, menurutnya, ada beberapa lagi ujian yang dapat membantu mendapatkan keputusan positif tetapi kadangkala masih gagal untuk dikesan. Ini termasuk x-ray dada, kultur dan sensitiviti (C+S) kahak, (C+S) darah, (C+S) air kencing serta (C+S) cecair cerebrospinal.
Dr Khoo berkata, sekalipun berbahaya dan sukar didiagnosa, penyakit ini boleh dicegah dengan langkah-langkah pencegahan am seperti mengekal penjagaan diri yang baik dan pengambilan makanan berkhasiat bagi membina sistem imun sihat. Bagaimanapun, kaedah paling efektif dalam usaha pencegahan pneumokokal adalah dengan vaksin.
“Vaksin diberi dalam bentuk suntikan di mana jumlah dos yang diperlukan pesakit bergantung pada usia mereka.
Suntikan vaksin ini berfungsi dengan memberi stimulasi pada tubuh untuk menghasilkan antibodi bagi menentang bakteria pneumokokal. Antibodi ini melindungi anda daripada penyakit sekiranya anda dijangkiti bakteria pneumokokal. Ia juga melindungi daripada banyak (tidak semua) jenis bakteria pneumokokal,” katanya.
Beliau berkata, pneumokokal boleh merebak melalui sentuhan antara orang yang sakit atau pembawa bakteria itu pada tekak mereka. Anda juga boleh mendapat pneumokokal pneumonia daripada titisan air melalui pernafasan dari hidung atau mulut orang yang dijangkiti.
Dr Khoo berkata, antara pilihan rawatan adalah antibiotik secara Intravenous bersama ubatan yang melegakan gejala. Bagaimanapun, dunia berhadapan dengan peningkatan jenis bakteria yang kebal antibiotik. Ini menyukarkan proses rawatan jangkitan bakteria serius ini sekali gus pencegahan melalui vaksin adalah cara terbaik sebagai pilihan rawatan.
Beliau berkata, penyakit ini boleh menyebabkan komplikasi serius malah maut selain ibu bapa dan penjaga berdepan kebimbangan yang tidak berkesudahan. Kesan psikologikal yang ditinggalkan penyakit ini mampu terlihat pada ibu bapa dalam bentuk beban kewangan bagi menampung kos rawatan hospital.
“Jangan lupa bahawa doktor adalah penjaga yang bertanggungjawab merawat pesakit sehingga sembuh. Sehubungan itu, doktor sangat menekankan pencegahan menerusi kaedah vaksin.
“Ibu bapa perlu sedar bahawa pneumokokal adalah penyakit yang serius dan membawa maut. Sehubungan itu, mereka perlu sedar bahawa pencegahan terhadapnya boleh dilakukan.
“Sekiranya anak-anak tidak mendapat suntikan vaksin ini, ibu bapa perlu peka dan mengambil perhatian terhadap sebarang gejala yang dialami serta segera berjumpa doktor untuk mengesan dan memberi rawatan segera bagi mengelak komplikasi menjadi bertambah buruk,” katanya.
Dr Khoo berkata, ibu bapa harus sedar pneumokokal adalah penyakit yang serius tetapi boleh dicegah.
Sehubungan itu, berikan suntikan vaksin kepada anak anda kerana melalui vaksin ia terbukti lebih efektif dari segi kos sebagai kaedah memerangi jangkitan termasuk penyakit pneumococcal.
Tindakan pantas selamatkan Amir
DILAHIRKAN sihat dan sempurna pada 27 Jun 2010 di Hospital Sungai Buloh, Muhammad Amir Reza, 2, diberi imunisasi lengkap seperti kanak-kanak lain kecuali pneumococcal dan rotavirus.
Disapa manja sebagai Amir oleh ahli keluarga, anak kedua pasangan Mohd Khairil Reza Atan dan Siti Norbaizura Baharudin adalah bayi cerdik dan cepat belajar berbanding abangnya, Muhammad Aqil Reza, 4.
Namun, Jun lalu, kehidupan Norbaizura dan Khairil tiba-tiba berubah apabila Amir mula demam dan disahkan menghidap pneumokokal meningitis.
“Pada mulanya, saya cuba beri ubat demam dan memantau suhu badannya di rumah. Masuk hari kedua, Amir muntah-muntah setiap kali selepas menyusu badan atau diberi makanan pejal seperti bubur dan biskut.
“Kekerapan Amir muntah amat membimbangkan kerana dia menjadi sangat lemah dan tidak bermaya. Namun, Amir masih berselera untuk makan bubur sehingga habis walaupun dengan mata terpejam,” luah Norbaizura yang selesa disapa Zura kepada kolum Sihat baru-baru ini.
Zura berkata, pada mulanya beliau menyangka dirinya tersalah makan kerana menyusu Amir.
“Maklumlah setiap pemakanan ibu akan memberi kesan kepada anak. Tetapi melihat kepada tanda-tanda awal yang ditunjukkan seperti demam berlarutan dengan kadang-kadang surut; muntah-muntah; tidak memberi tindak balas terhadap sentuhan atau objek yang diberi selain menjadi lemah serta tidak bermaya, saya sedar Amir perlu diberi bantuan profesional dengan segera,” katanya.
Sangkaannya benar belaka, apabila suhu badan Amir meningkat dan terus muntah-muntah, Zura dan suami membawa Amir ke hospital.
Doktor yang memeriksa di wad kecemasan bertanya pelbagai soalan sebelum anaknya dimasukkan ke wad. Di wad, keadaan Amir makin teruk dengan tidak memberi tindak balas kepada rangsangan sentuhan atau objek. Ketika itu, doktor yang merawat mula membincangkan perihal Amir dan langkah seterusnya yang harus diambil. Doktor mencadangkan Amir dipindahkan ke unit jagaan intensif (ICU) untuk dipantau 24 jam.
Kebimbangan Zura akhirnya terjawab apabila Amir disahkan menghidap pneumokokal meningitis.
Zura mengakui pernah mendengar mengenai penyakit itu dari doktor kanak-kanak yang selalu mereka kunjungi.
“Kami tidak sempat melakukan imunisasi kerana kos satu dos suntikan adalah RM300 dan bayi di bawah 12 bulan memerlukan tiga dos ditambah satu dos lagi selepas 12 bulan.
“Selepas doktor mencadangkan prosedur lumbar puncture dan menerangkan kepada kami mengenai penyakit ini, saya mula mencari lebih maklumat di internet,” katanya.
Amir bertuah kerana ibu bapanya pantas bertindak hingga pulih dari pneumokokal meningitis.
Lebih bersyukur lagi, Amir tidak mengalami sebarang komplikasi berbeza daripada pesakit lain yang menghadapi kemungkinan menjadi buta, pekak, cacat dalam otak, tidak dapat berjalan dan sebagainya akibat bakteria merebak teruk ke dalam lapisan otak.
“Mungkin juga kerana kami bersetuju membuat lumbar puncture untuk mengetahui penyakit dan ubat yang sepatutnya untuk merawat Amir, dia berjaya pulih sepenuhnya.
“Kami bersyukur dapat melalui ujian ini dengan penuh reda. Tidak saya nafikan sangat-sangat terganggu, sehingga tidak dapat fokus kepada perkara lain, malah saya mengambil cuti tanpa gaji selama 15 hari untuk menjaganya di hospital.
“Nasib baik Aqil sangat berdikari dan boleh tinggal dengan suami selama saya berada di hospital. Kami juga bernasib baik kerana mengambil kad perubatan dengan sebuah syarikat insuran. Bayangkan saja kos yang mencecah RM17,000 yang perlu kami tanggung tanpa perlindungan insuran,” katanya.
Bagi ibu bapa yang anaknya mengalami komplikasi selepas dijangkiti pneumokokal meningitis, mereka boleh mendapatkan nasihat doktor untuk memulihkan semangat diri dan keluarga. Namun, sayang ketika ini, Malaysia belum ada badan yang boleh membantu termasuk pusat maklumat am pneumokokal yang boleh memberi panduan mengendalikan pesakit.
Sehubungan itu, Zura berkata, sebuah badan khas perlu ditubuhkan bagi membantu pesakit pneumokokal meningitis.
“Kita perlu membentuk badan khas yang boleh memberikan maklumat dan menekankan betapa pentingnya kerajaan memasukkan imunisasi dalam jadual imunisasi kanak-kanak.
“Ini kerana imunisasi terhadap pneumokokal meningitis adalah perlindungan pilihan, jadi ibu bapa kerap memilih untuk tidak mengambil imunisasi ditambah pula harganya yang agak membebankan terutama kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya yang mengajak ibu bapa melayari laman web www.abc4pneumococcal.com dan menandatangani ikrar bagi memasukkan pneumokokal konjugat vaksin dalam Program Imunisasi Malaysia.
INFO
Faktor risiko lain pneumokokal
* Tidak ada limpa atau tidak berfungsi dengan betul
* Pernah mendapat rawatan akibat pneumonia
* Menghidap diabetes
* Masalah jantung kronik
* Masalah paru-paru
* Masalah buah pinggang atau hati
* Sistem imun yang lemah, mewarisi gangguan immunodeficiency atau menghidap virus human immunodeficiency (HIV) atau acquired immune deficiency syndrome (AIDS)
* Implan koklea
Teknologi vs sakit jantung
DI Malaysia, penyakit kardiovaskular adalah penyebab utama kematian. Mengikut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2000 hingga 2005, dianggarkan 20 hingga 25 peratus kematian di hospital kerajaan adalah disebabkan penyakit yang disebabkan gaya hidup ini.
Penyakit jantung koronari yang juga dikenali sebagai penyakit arteri koronari adalah spektrum daripada penyakit angina stabil; angina tak stabil; non-ST segment elevation myocardial infarction (NSTEMI) dan ST elevation myocardial infarction (STEMI).
Pembuluh darah ini berfungsi membekalkan otot-otot jantung dengan oksigen dan zat makanan. Seseorang boleh mendapat penyakit jantung koronari apabila satu atau lebih pembuluh darah ini menjadi sempit. Ini berlaku kerana pemendapan kolesterol dan pembentukan plak yang merangkumi kolesterol dan parut-parut tisu. Sel-sel yang meliputi kolesterol pada dinding pembuluh darah ini menjejaskan aliran darah ke jantung.
Perunding Kanan Perubatan dan Kardiologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Wan Azman Wan Ahmad, menjelaskan Acute Coronary Syndrome (ACS ) atau sindrom koronari akut merujuk kepada sebarang kumpulan gejala yang disebabkan oleh penyempitan atau sekatan pada arteri koronari. ACS biasanya terjadi akibat satu daripada tiga masalah iaitu ST elevation myocardial infarction, non ST elevation myocardial infarction atau unstable angina.
“Kemasukan ke hospital untuk penyakit berkaitan ACS di Unit Jagaan Kardiak (CCU) di Malaysia dianggarkan 47 daripada 100,000 kes. Malah setengah lagi tidak dapat masuk ke CCU kerana tidak semua hospital ada kemudahan.
“Jadi secara kasarnya, pesakit yang menderita masalah ini sebenarnya mencecah 100 daripada 100,000 kes. Selain itu, dianggarkan pada 2006, sejumlah 30,000 pesakit yang mengalami ACS dimasukkan ke hospital kerajaan.
“Apa yang menakutkan ialah jika lima pesakit dimasukkan ke hospital kerajaan kerana serangan sakit jantung, seorang akan meninggal dunia. Ini menunjukkan kadar mortaliti adalah sangat tinggi,” katanya kepada Sihat.
Kebanyakan pesakit di Malaysia ada banyak faktor risiko di mana jumlah penghidap hipertensi sangat tinggi. Mengikut rekod, dianggarkan 42 peratus (empat daripada 10 orang) pesakit dewasa berusia lebih 30 tahun mengalami tekanan darah tinggi mengikut Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006. Selain itu paras kolesterol yang tinggi, diabetes, kegemukan, merokok, kurang melakukan senaman, faktor jantina dan proses penuaan adalah antara faktor penyumbang kepada penyakit ini.
Ada tiga jenis rawatan bagi mereka yang mengalami penyakit koronari. Pertama, rawatan melalui ubat-ubatan. Kedua, rawatan melalui pembedahan (pembedahan pintasan saluran darah) dan ketiga, rawatan melalui angioplasti (percutaneous coronary intervension). Rawatan ubat-ubatan bertujuan menghilangkan sakit, memanjangkan hayat dan supaya pesakit mendapat kualiti hidup lebih baik.
Prof Wan Azman yang juga Ketua Divisyen Kardiologi Fakulti Perubatan UM berkata, bagi pesakit jantung koronari jika rawatan ubat-ubatan tidak memadai, percutaneous coronary intervension (PCI) atau lebih dikenali sebagai angioplasti dan pembedahan pintasan saluran darah akan dipertimbangkan bagi memperbaiki penyempitan arteri koronari.
Menurutnya, ini memastikan pengaliran darah normal bagi membekalkan nutrien secukupnya dan mencegah kemerosotan otot kardiak.
Prof Wan Azman berkata, rawatan PCI lebih popular kerana tidak membabitkan pembedahan yang besar. Bagaimanapun ia bergantung kepada kedudukan dan tahap penyempitan atau sekatan pada pembuluh darah pesakit selain keadaan fizikal. Doktor akan menilai risiko bagi setiap pesakit dan mencadangkan terapi atau rawatan terbaik. Biasanya jika 70 peratus atau ke atas arteri koronari tersekat, PCI akan disarankan kepada pesakit. PCI adalah sejenis rawatan pengembangan arteri koronari yang sempit atau tersekat tanpa perlu pembedahan.
Beliau berkata, melalui kaedah ini, kateter akan dimasukkan melalui saluran darah pangkal paha atau saluran darah di lengan. Melalui kateter, satu dawai halus dimasukkan ke bahagian pembuluh darah yang tersumbat. Pada hujung kateter ini, ada belon. Belon akan dikembangkan untuk menolak plak yang menyumbat pembuluh darah. Bagaimanapun, 30 peratus pesakit boleh mengalami penyempitan pembuluh darah semula. Bagi menangani masalah ini, besi gegelung (stent) yang dilapisi ubat-ubatan diperkenalkan.
Ada tiga jenis besi gegelung (stent) yang digunakan dalam prosedur PCI di Malaysia iaitu Bare Metal Stent (BMS), Drug-Eluting Stent (DES) dan Bio-Engineered Stent. Mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri, jenis gegelung besi ini memberikan pilihan dari segi rawatan mengikut keadaan fizikal pesakit.
Walaupun DES dianggap sebagai standard semasa bagi penjagaan pesakit penyakit arteri koronari dan dalam mengurangkan risiko penyempitan semula arteri, namun ia masih boleh melengahkan proses penyembuhan. Kehadiran Combo Dual Therapy Stent sebagai pilihan rawatan terkini menjanjikan kombinasi teknologi penyembuhan dalam masa sama gegelung yang diselaputi sejenis ubat di permukaannya.
Masuk wad sehari
TEKNOLOGI stent atau gegelung logam dalam rawatan Angioplasti atau percutaneous coronary intervention (PCI) membabitkan penyempitan arteri koronari mampu menangani masalah penyempitan semula pembuluh darah (restenosis).
Menurut Prof Wan Azman, berikutan sifat rawatan ini yang tidak membabitkan pembedahan besar, pesakit yang dijadual melalui PCI hanya perlu tinggal sehari atau sekadar berehat di pusat jagaan harian hospital selepas prosedur selesai.
Sejak diperkenalkan di Malaysia pada 1983, PCI digunakan secara meluas dan dimanfaatkan seiring dengan permintaan dan perkembangan teknologi perubatan semasa. Pakar perubatan akan menyarankan pilihan terbaik berdasarkan profil dan keadaan fizikal pesakit. Ada tiga jenis gegelung digunakan di Malaysia iaitu Bare Metal Stent (BMS), Drug Eluting Stent (DES) dan Bio-Engineered Stent (BES).
Bare Metal Stent (BMS) adalah gegelung besi tidak bersalut yang mengembangkan arteri sempit secara serta merta selepas dimasukkan. Ia membolehkan aliran darah kembali seperti sedia kala. Agak ekonomikal dari segi kos, lazimnya pakar perubatan menyarankan preskripsi ubat antiplatelet seperti clopidrogel selama sebulan selepas pembedahan dan aspirin untuk jangka waktu yang lebih lama.
Bagaimanapun, kerana dinding dalam pembuluh mungkin terjejas akibat trauma ketika intervensi koronari, penyempitan semula pembuluh mungkin berlaku.
BMS masih lagi digunakan secara meluas di seluruh dunia. Jenis sekatan adalah pendek dengan diameter pembuluh darah besar (tiga milimeter dan ke atas). Dari segi kos juga, BMS adalah lebih murah daripada DES dan BES. Dalam pada itu, pesakit hanya memerlukan sebulan rawatan ubatan jenis dual antiplatelet therapy (DAPT).
Drug Eluting Stent (DES) adalah gegelung logam disalut ubat pada permukaannya bagi melepaskan kesan ubatan berkenaan ke dinding pembuluh darah sedikit demi sedikit. Ia secara tidak langsung mengurangkan risiko berlakunya penyempitan semula pembuluh darah. Kelebihan gegelung logam ini adalah ia mengurangkan risiko penyempitan semula pembuluh darah secara berkesan.
Bagaimanapun, kelemahan gegelung logam ini adalah ia melengahkan penyembuhan pembuluh darah menyebabkan risiko terbentuknya darah beku meningkat. Pesakit perlu mengikut arahan doktor secara ketat terutama pengambilan DAPT selama tidak lebih daripada 12 bulan.
DES biasanya disarankan pakar perubatan kepada pesakit yang mengalami diabetes. Gegelung jenis ini juga sesuai untuk sekatan yang panjang, kecil dan kompleks. Dari segi jangka panjang pula, penyempitan semula agak rendah. Selain itu pesakit perlu mengambil DAPT selama setahun.
Bio-Engineered Stent (BES) terikat dengan antibodi di permukaan gegelung logam. Ini menarik sel endothelial progenitor dalam peredaran darah, mempercepatkan penyembuhan secara semula jadi di permukaan gegelung bagi membentuk endothelium baru selain mengurangkan insiden darah beku dan penyempitan semula pembuluh darah.
Gegelung jenis ini baik dari segi mempercepat penyembuhan secara semula jadi pembuluh darah dan mengurangkan risiko darah beku atau thrombosis secara berkesan. Biasanya pakar akan menyarankan pengambilan DAPT selama hanya sebulan kepada pesakit.
Satu-satunya kebimbangan jenis gegelung ini ialah risiko berlakunya penyempitan semula pembuluh darah dalam masa setahun selepas memasukkan gegelung adalah lebih tinggi berbanding DES.
Profil pesakit yang biasanya disarankan menggunakan gegelung BES ialah mereka yang mengalami Myocardial Infarction akut akibat kehadiran darah beku.
Pesakit juga dijadual untuk menjalani pembedahan selepas PCI. Selain itu, pesakit juga didapati mengalami alahan terhadap Aspirin dan Plavix. Malah mereka yang berisiko mengalami pendarahan juga disarankan jenis gegelung ini selain pesakit yang tidak begitu serasi dengan rawatan jenis ubat-ubatan.
Stigma wanita di usia 40-an
BAGI kebanyakan wanita apabila menjangkau usia 40-an pelbagai stigma mula menguasai diri. Maklumlah pada usia tersebut tanda-tanda penuaan seperti garis halus dan kedutan pada wajah mula kelihatan.
Ramai juga yang mendapati wajah mula menggeleber akibat kehadiran lemak bawah dagu. Pipi pula mula jatuh dan bagi yang mengidap obesiti pula keadaan semakin kronik.
Rawatan untuk melangsingkan tidak lagi berkesan. Malah ramai wanita menganggap memasuki usia 40-an adalah suratan takdir dan diri tidak cantik lagi.
Azimah antara yang tidak terkecuali mengalami senario tersebut. Dia risau kerana tampak tua dan lesu sedangkan suaminya semakin tampan. Wanita itu juga berasa rendah diri selain bimbang suaminya jatuh cinta kepada wanita lain yang lebih muda dan jelita.
Mahu mencari ‘penawar’ Azimah mencari produk kecantikan di pasaran dan jatuh cinta dengan Marissa Young yang kini sememangnya mendapat sambutan hangat.
Marissa Young adalah agen kesihatan semulajadi yang amat senang diserap sistem badan disebabkan keunikan struktur molekulnya yang amat kecil dan telah dipecahkan berjuta-juta kali hasil proses hidrolisis.
Ia bukan produk kalogen biasa di pasaran. Sebaliknya ia merupakan minuman kesihatan lima dalam satu yang dirumus khusus untuk menjaga kecantikan kulit, kesihatan umum, antioksida, menyahtoksin dan pelangsingan.
Marissa Young mengandungi 5,000 miligram (mg) kalogen marin, kuantiti optimum yang diperlukan oleh badan setiap hari.
Menurut kajian, kulit manusia selepas mencapai umur 25 tahun akan mula mengecut pada kadar 1.5 peratus setahun. Pengambilan kalogen berterusan pada 5,000 mg dipercayai dapat melambatkan proses pengecutan kulit yang menjadi punca kedutan pada wajah. Kandungan buah delima yang terdapat di dalamnya membantu merawat dan mengekalkan kecantikan kulit.
Di samping itu Marissa Young juga mengandungi probiotik dan campuran enzim-enzim yang dapat membantu membuang toksin dalam badan secara semulajadi.
Manakala kandungan oligo membantu menjaga kesihatan kolon dan asid sitrik menguraikan asid urik dalam badan. Ia juga sesuai bagi mereka yang mengalami masalah artritis dan sakit belakang.
Marissa Young adalah siri produk Marissa yang turut memasarkan Enzyme Booster HCG, Detox Tea dan Menergy Ice Lemon Tea.
Marissa Esthetik turut menawarkan rawatan penjagaan kecantikan yang bakal memberi kepuasan kepada wanita 40-an.
Bagi yang mengalami masalah kulit kusam boleh mencuba rawatan Microdermabrasion danChemical Peeling untuk merangsang kulit menghasilkan lebih banyak kolagen dan menghilangkan pigmentasi.
Bagi menegangkan kulit muka tanpa pembedahan kaedah Suspension Thread Lift (serdev) bukan saja berkesan malah mudah dan tidak menyakitkan.
Oleh kerana penuaan berkaitan dengan hormon wanita, maka Marissa turut menyediakan terapi hormon bio-identikal untuk merawat masalah kekurangan hormon yang juga menyebabkan kemurungan serta perasaan resah tanpa sebab.
Begitu juga penampilan mata yang menjadi kecil dan berlemak di kawasan kelopak yang sering terjadi kepada wanita berusia 40-an.
Rawatan esthetik boleh meningkatkan kecantikan dan menjaga kesihatan mata.
Kepada yang berminat boleh hubungi 03-87234808 dan 013-2448484. Marissa Esthetik juga akan menganjurkan bengkel kecantikan dan kesihatan percuma pada 28 April ini.
Matahari buat kulit tak cantik?
Musuh utama yang sering ditakuti kaum wanita bagi memperoleh dan mengekalkan kecantikan kulit wajah adalah pancaran matahari.
Pendedahan bagi tempoh lama di bawah pancaran matahari bukan sahaja menjadikan kulit wajah lebih gelap, kurang bersinar dan kasar tetapi juga menyumbang kepada tona kulit yang tidak rata, bertompok serta bintik hitam.
Bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti luar seperti bersukan dan bekerja dalam persekitaran yang sebegitu, berpotensi bagi kulit mengalami perubahan warna yang tidak sekata dan rosak.
Keadaan ini adalah biasa kepada wanita di Asia walaupun sebahagian mereka memakai produk perlindungan seperti SPF sama ada dalam kadar yang tinggi mahupun rendah.
Tidak dinafikan, wanita Asia sangat mementingkan penjagaan kulit mereka terutamanya akibat pendedahan dari sinaran ultra ungu (UV).
Ini terbukti melalui satu kajian yang dilakukan kepada wanita di Singapura yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun apabila 88 peratus daripada mereka menggunakan produk kecantikan yang mempunyai sinaran pencegahan UV selain menggunakan SPF yang tinggi untuk melindungi kulit daripada rosak apabila terdedah kepada sinar matahari.
Sehubungan itu, kajian yang dilakukan oleh produk kecantikan Shiseido mendapati walaupun mereka menggunakan SPF tinggi tetapi tetap berlaku kerosakan dan rekahan pada permukaan kulit kerana pelindungan matahari tidak boleh menyerap secara keseluruhan pada kulit.
Bagi melindungi kulit mereka daripada terdedah dengan sinaran UV pada setiap inci, syarikat penjagaan wajah dan kecantikan terkemuka dari Jepun yang sudah diasaskan lebih 137 tahun lalu, Shiseido Co. Ltd. (Shiseido) memperkenalkan produk terbarunya, Shiseido Perfect UV Protector SPF50+PA+++ yang sesuai digunakan untuk keseluruhan badan dan muka.
Penyelidik produk penjagaan kulit & pusat kajian Shiseido, Yousuke Ikebe berkata, produk ini adalah bersifat kalis air dan lembut apabila diusap pada permukaan kulit.
“Ia sangat berkesan untuk melindungi permukaan kulit badan dan muka daripada pancaran matahari yang tinggi dan menyebabkan berlaku kerosakan pada kulit,”katanya yang berpengalaman bekerja bersama Shiseido selama 9 tahun.
Tambahnya, produk ini dicipta menggunakan teknologi tinggi dan bahan-bahan yang digunakan sangat berkesan untuk melindungi kulit daripada sinaran UV.
“Teknologi SuperVeil-UV 360 antara teknologi yang digunakan dalam produk ini sangat berkesan melindungi seluruh badan dan wajah dari sinaran matahari.
“Produk ini juga adalah gabungan thiotaurine dan ekstrak daun jambu mawar yang berperanan melindungi kerosakan kulit yang berpunca daripada keadaan persekitaran yang tercemar.
“Produk ini mempunyai kelebihan kerana boleh dijadikan sebagai asas solekan yang boleh bertahan lama sebelum memakai bedak asas,”katanya.
Katanya, secara purata, wanita yang memakai SPF untuk melindungi kulit mereka agar tidak terdedah kepada sinaran UV perlu memakainya kembali dalam tempoh dua jam selepas itu.
Menurut Yousuke , sebelum produk ini dipasarkan, Shiseido sudah menjalankan kaji selidik kepada beberapa atlet sukan yang sentiasa berjemur di bawah pancaran matahari yang menggunakan produk itu bagi mengetahui sejauh mana ia bertindak dan berkesan.
Bukan penyakit orang tua
ARTRITIS sentiasa dikaitkan dengan mereka yang sudah berumur. Tetapi, ramai yang tidak sedar artritis boleh menyerang pada semua peringkat umur termasuk golongan muda dan kanak-kanak.
Sakit sendi lutut
Tanda-tanda awal biasanya menunjukkan sendi jari yang kaku dan bengkok, kekejangan pada sendi kaki atau bengkak serta benjolan pada sendi tangan.
Namun, orang ramai sering mengabaikan simptom tersebut.
Ini kerana sakit sendi sering dikaitkan dengan proses penuaan.
Hakikatnya, tanggapan ini harus diperbetulkan.
Pakar Ortopedik dan Pembedahan Tulang, Dr. John Ooi Tzen Chuong memberitahu, artritis boleh berlaku pada segenap lapisan masyarakat seperti kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.
“Artritis adalah satu terma perubatan yang merujuk kepada keradangan pada bahagian sendi. Sendi boleh menjadi merah, bengkak, kejang, panas, sangat sakit dan tidak boleh bergerak,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Perubatan Pakar Sri Kota, Klang, Selangor baru-baru ini.
Tambah Dr. John, artritis merupakan satu kumpulan penyakit sendi yang boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu osteoartritis, reumatoid artritis, septic artritis (jangkitan kuman) dan reactive artritis (sementara).
“Sakit sendi mungkin kekal atau berulang dengan terjadinya kelembutan pada sendi. Sakit tersebut boleh menyerang sendi siku, bahu, lutut dan tangan,” katanya.
Dr. John memberitahu, artritis pada lutut, kesakitan yang dialami pesakit seolah-olah tiada rasa sokongan dalam kaki. Manakala sesetengah kes berlaku apabila jangkauan pergerakan yang terhad terutamanya pada bahu dan lengan.
Keadaan ini menyebabkan pesakit sukar untuk menggerakkan sendi dan mengalami kehilangan kekuatan atau tenaga pada otot yang dijangkiti.
Justeru, pesakit perlu berjumpa doktor untuk diagnosis.
Bagi golongan muda, mereka sering diserang reactive artritis yang bersifat sementara dan akan sembuh.
Sementara itu, kanak-kanak yang menghidap juvenile reumatoid artritis memerlukan rawatan jangka masa panjang.
“Jika tidak dirawat, ia akan menyebabkan kerosakan sendi dan kesakitan,” katanya.
Bersenam untuk sihat
DENGAN proses urbanisasi, perkembangan teknologi yang pesat dan gaya hidup semakin sedentari, aktiviti fizikal atau senaman di luar menjadi semakin berkurangan dalam kehidupan kita. Kita mesti sedar bahawa aktiviti fizikal memainkan peranan penting dalam kesihatan dan kesejahteraan kita termasuk anak-anak.
Secara keseluruhannya, bersenam memberi manfaat besar dari segi fizikal, psikologi, sosial dan kesihatan kepada semua orang. Justeru, melakukan aktiviti fizikal secara kerap sangat penting untuk gaya hidup sihat.
“Jika anda tidak pasti bagaimana untuk menjadi aktif, mula dengan perlahan. Meningkatkan tahap aktiviti secara beransur-ansur penting supaya anda tidak terdedah kepada risiko kecederaan pada otot, ligamen dan sendi ataupun serangan jantung, apabila anda menjadi lebih aktif daripada biasa secara tiba-tiba”, nasihat Dr. Mahenderan Appukutty, Ahli Majlis Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).
“Jika anda atau ahli keluarga mengalami masalah kesihatan kronik seperti artritis, diabetes, penyakit jantung, asma, atau gout, dapatkan nasihat doktor untuk mengetahui sama ada keadaan anda akan mengehadkan keupayaan anda untuk aktif. Kemudian, bincang dengan doktor atau pelatih fizikal yang diiktiraf tentang rancangan aktiviti fizikal yang sesuai. Apa yang penting jangan menjadi tidak aktif langsung. Melakukan senaman aerobik berintensiti sederhana baik untuk kesihatan, walaupun hanya 30 minit seminggu”, tambah Dr Tee E Siong, Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).
Manfaat Aktiviti Fizikal
“Dr Tee berkongsi beberapa lagi manfaat aktiviti fizikal. Bersenam dan aktiviti fizikal membantu pencegahan osteoporosis dan penyakit kronik seperti diabetes, penyakit kardiovaskular, sindrom metabolik dan kanser-kanser tertentu.
- Bersenam dan aktiviti fizikal juga memainkan peranan penting dalam memperbaiki status kesihatan, meningkatkan kecergasan serta membantu mengawal dan melawan penyakit.
- Mereka yang dilaporkan mempunyai tahap aktiviti fizikal dan kecergasan tinggi mengalami pengurangan risiko kematian sebanyak 20 hingga 35 peratus.
*Peningkatan dalam kecergasan fizikal mengurangkan risiko kematian pramatang dan sebaliknya, kurang kecergasan akan meningkatkannya.
” Mereka yang aktif menunjukkan 30 hingga 40 peratus pengurangan risiko menghidapi kanser kolon, manakala wanita aktif mengalami 20 hingga 30 peratus pengurangan risiko menghidapi kanser payu dara berbanding wanita yang tidak aktif.
Berikut merupakan panduan untuk membantu anda dan keluarga mengamalkan gaya hidup yang aktif.
- Pilih menaiki tangga berbanding lif atau eskalator di pejabat, pusat membeli-belah dan sebagainya.
- Pilih berjalan ke kedai, surau atau tempat sembahyang yang berdekatan, daripada memandu kereta.
- Lakukan kerja-kerja rumah, seperti menyapu dan mengelap lantai.
- Jika boleh, berjalan kaki ke tempat destinasi anda.
- Melakukan aktiviti berkebun, seperti menyusun pasu bunga atau menjaga dan menyiram tanaman anda.
Bukan penyakit orang tua

ARTRITIS sentiasa dikaitkan dengan mereka yang sudah berumur. Tetapi, ramai yang tidak sedar artritis boleh menyerang pada semua peringkat umur termasuk golongan muda dan kanak-kanak.
Tanda-tanda awal biasanya menunjukkan sendi jari yang kaku dan bengkok, kekejangan pada sendi kaki atau bengkak serta benjolan pada sendi tangan.
Namun, orang ramai sering mengabaikan simptom tersebut.
Ini kerana sakit sendi sering dikaitkan dengan proses penuaan.
Hakikatnya, tanggapan ini harus diperbetulkan.
Pakar Ortopedik dan Pembedahan Tulang, Dr. John Ooi Tzen Chuong memberitahu, artritis boleh berlaku pada segenap lapisan masyarakat seperti kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.
“Artritis adalah satu terma perubatan yang merujuk kepada keradangan pada bahagian sendi. Sendi boleh menjadi merah, bengkak, kejang, panas, sangat sakit dan tidak boleh bergerak,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Perubatan Pakar Sri Kota, Klang, Selangor baru-baru ini.
Tambah Dr. John, artritis merupakan satu kumpulan penyakit sendi yang boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu osteoartritis, reumatoid artritis, septic artritis (jangkitan kuman) dan reactive artritis (sementara).
“Sakit sendi mungkin kekal atau berulang dengan terjadinya kelembutan pada sendi. Sakit tersebut boleh menyerang sendi siku, bahu, lutut dan tangan,” katanya.
Dr. John memberitahu, artritis pada lutut, kesakitan yang dialami pesakit seolah-olah tiada rasa sokongan dalam kaki. Manakala sesetengah kes berlaku apabila jangkauan pergerakan yang terhad terutamanya pada bahu dan lengan.
Keadaan ini menyebabkan pesakit sukar untuk menggerakkan sendi dan mengalami kehilangan kekuatan atau tenaga pada otot yang dijangkiti.
Justeru, pesakit perlu berjumpa doktor untuk diagnosis.
Bagi golongan muda, mereka sering diserang reactive artritis yang bersifat sementara dan akan sembuh.
Sementara itu, kanak-kanak yang menghidap juvenile reumatoid artritis memerlukan rawatan jangka masa panjang.
“Jika tidak dirawat, ia akan menyebabkan kerosakan sendi dan kesakitan,” katanya.
Terapi untuk si kecil istimewa
![]() |
Mohd. Izham ISmail, 33, membantu anaknya, Izz Raimi Halim, 6, bergerak dengan menggunakan alat bantuan pergerakan beroda.
|
SEBAIK sahaja kaki melangkah masuk ke taman asuhan harian untuk kanak-kanak istimewa, Tasputra Perkim (Tasputra) di Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur, hati menjadi sebak dan pilu di saat melihat anak-anak kecil seawal usia dua tahun menjalani fisioterapi.
Perasaan tersebut timbul kerana mengenangkan nasib mereka yang tidak mampu menguruskan diri sendiri apatah lagi untuk bertutur.
Rata-rata kanak-kanak istimewa yang ditempatkan di pusat jagaan itu mengalami masalah serebrum palsi (CP), hiperaktif dan Sindrom Down.
Mereka sebenar permata hati yang perlu ditatang dengan penuh kasih sayang kerana secara tidak langsung ia boleh membantu mereka memperoleh perkembangan sewajarnya.
Selain itu, mereka juga memerlukan urutan atau rawatan terapi untuk memperbaiki keadaan diri.
Di Kuala Lumpur, bagi ibu bapa yang kebuntuan dan tidak menemui tempat yang sesuai untuk menempatkan anak-anak istimewa mereka, Tasputra merupakan tempat yang tepat.
Ini kerana selain membantu menjaga anak-anak pasangan yang bekerja, ia turut menawarkan pelbagai terapi dalam usaha memberi sinar baru kepada anak-anak istimewa itu.
Menurut Pengerusinya, Elahe Norman, Tasputra tidak seperti pusat jagaan harian lain kerana selain memberikan perkhidmatan penjagaan harian, pihaknya turut menyediakan pelbagai jenis terapi yang dilakukan oleh ahli fisioterapi yang terlatih.
“Pusat ini merupakan pusat jagaan harian untuk kanak-kanak yang mengalami pelbagai jenis kecacatan dengan dibantu seramai 30 orang kakitangan yang terlatih.
“Di sini, apa yang diberikan adalah sebahagian daripada usaha kami untuk melihat mereka ini (kanak-kanak istimewa) sekurang-kurangnya ada perubahan walaupun sedikit.
“Yang pasti, penubuhan Tasputra adalah untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di premis tersebut, baru-baru ini.
Tambah beliau, setiap kanak-kanak istimewa memerlukan terapi serta latihan yang berbeza dan kedua-duanya merupakan sebahagian daripada rawatan untuk membantu mereka meningkatkan kesihatan mental dan juga fizikal.
Untuk itu, pihaknya menyediakan tujuh jenis terapi selain memberikan rawatan fisioterapi dan juga urutan.
Matlamatnya cuma satu, ia adalah untuk mengajar mereka kemahiran asas harian supaya boleh berdikari kelak selain dapat mengesan potensi dalam diri kanak-kanak istimewa tersebut.
Dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 7.30 pagi hingga 5 petang, Tasputra turut menawarkan yuran yang berpatutan dengan segala keperluan untuk mereka menjalani terapi disediakan.
Bukan itu sahaja, menurut Elahe, Tasputra turut menyediakan kenderaan untuk mengambil kanak-kanak tersebut di rumah dan menghantar mereka ke klinik bagi mendapatkan rawatan tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Dengan perkhidmatan tersebut, ia tidak memerlukan ibu bapa mengambil cuti semata-mata mahu membawa anak mereka ke klinik berjumpa dengan doktor.
Setakat ini, seramai 50 orang kanak-kanak istimewa dihantar setiap hari oleh ibu bapa masing-masing untuk menerima rawatan di pusat tersebut.
Terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, India, Cina dan beberapa kanak-kanak dari Thailand, Indonesia dan Nigeria, Tasputra sebenarnya mampu menampung sehingga 52 orang kanak-kanak istimewa pada satu-satu masa.
Sementara itu, didorong oleh kepercayaan yang kuat bahawa setiap kanak-kanak istimewa berhak mendapat peluang untuk hidup, belajar dan berjata Procter & Gamble (P&G) sekali lagi berkerjasama dengan Giant dan Guardian melancarkan kempen meraih dana di seluruh negara melalui program The Gift of Learning.
Kempen selama dua bulan itu bertujuan meraih dana sebanyak RM150,000 bagi lapan pusat jagaan kanak-kanak istimewa di seluruh negara.
Para pelanggan yang ingin turut serta dalam kempen tersebut cuma perlu membeli produk P&G di semua cawangan Giant dan Guardian yang mengambil bahagian di seluruh negara mulai 23 Mac lalu sehingga 3 Mei 2012.
Menurut Ketua Pegawai Eksukutif Negara, P&G Malaysia dan Singapura , Ellie Xie, sokongan yang menakjubkan daripada rakyat Malaysia dalam membantu kanak-kanak istimewa itu merupakan sebab mengapa P&G masih komited memperjuangkan matlamat itu selama 12 tahun di bawah program tanggungjawab sosial korporat mereka.
“Kami amat terharu dengan sambutan yang kami terima apabila kempen ini dilancarkan buat pertama kalinya pada tahun lepas.
“Misi kami adalah untuk menyediakan terapi percuma dan latihan kepada lebih ramai kanak-kanak istimewa,” katanya semasa pelancaran kempen tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dua gelas susu sehari
Kajian Pemakanan Dewasa Malaysia yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan mendapati penduduk negara ini mengambil tidak sampai suku gelas susu pun sehari.
Secara tepatnya mengikut laporan yang disediakan dan diketuai Pengerusi Pusat Kajian Sains Jagaan Kesihatan dan Setiausaha Kehormat Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Prof. Dr. Norimah A. Karim, jumlah yang diambil oleh rakyat Malaysia adalah purata 1/5 gelas susu sehari.
“Ini amat kurang jika dibandingkan dengan Saranan Panduan Diet yang memerlukan individu dewasa minum sekurang-kurangnya dua gelas susu sehari.
“Malah satu kajian dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan murid sekolah rendah kurang minum susu dan hanya 20 peratus yang meminumnya setiap hari,” katanya.
Mengapa tidak minum susu? Macam-macam alasan diberikan. Ada yang tidak gemar rasanya, ada pula tidak suka baunya. Paling tidak munasabah, ada yang beranggapan minum susu hanya untuk bayi.
“Pokoknya, minum susu bukan budaya masyarakat kita,” kata Dr. Norimah.
Kebiasaannya seorang ibu menyusukan bayinya sehingga berusia dua tahun dan selepas itu ramai yang tidak memberikan bayi mereka susu lagi.
Memang diakui susu ibu adalah pakej makanan lengkap yang bersih, berkhasiat dan selamat selain mengandungi banyak nutrien yang diperlukan oleh badan terutama bayi.
Namun beliau mengingatkan, tempoh dua tahun pertama usia kanak-kanak menyusu dengan ibu sahaja tidak mencukupi.
“Kanak-kanak yang sedang membesar perlu minum susu untuk menjadikan mereka lebih aktif, tulang lebih kuat di samping membantu perkembangan fizikal dan mental,” ujarnya.
Sepatutnya jelas beliau, selepas bercerai susu ibu, bayi perlu diberikan susu dalam botol atau cawan bergantung kepada umur cerai susu.
Jika tidak dibiasakan minum susu pada peringkat kanak-kanak, lebih sukar untuk mereka mempunyai tabiat minum susu apabila dewasa.
Kini terdapat banyak jenis susu di pasaran seperti susu segar, susu yang diproses pada suhu tinggi (UHT), susu steril, susu pasteur, susu tepung selain susu yang diperkayakan dengan pelbagai nutrien.
“Susu dengan pelbagai tambahan nutrien seperti untuk kecerdasan otak dan kecergasan menjadikan harganya semakin mahal berbanding susu biasa,” katanya.
Sebenarnya, kata Dr. Norimah, susu biasa sudah mencukupi untuk tumbesaran kanak-kanak kerana khasiat atau nutrien boleh didapati dalam pelbagai jenis makanan asalkan diambil secara sederhana, seimbang dan pelbagai.
Mengenai ramai yang tidak suka susu kerana rasa dan baunya, beliau menggalakkan mereka menambah perisa coklat atau malta mengikut citarasa.
“Kebanyakan kanak-kanak sukakan perasa coklat tetapi jangan tambah gula,” katanya.
Dr. Norimah berkata, susu memang unik kerana ia makanan sempurna sebab itulah ia menjadi makanan awal bagi manusia.
“Jadi selepas bercerai susu, kanak-kanak boleh diberikan susu dalam pelbagai bentuk seperti kastard, puding atau susu kocak.
“Sebagai ibu, kita patut mempelbagaikan susu mengikut citarasa anak kita seperti menambah pada bijirin sarapan pagi,” katanya.
Baginya, tidak ada alasan untuk tidak mengambil susu hanya kerana kurang gemarkan rasa atau baunya kerana khasiat susu juga boleh diperoleh daripada yogurt atau aiskrim.
Lebih tinggi Seelok-eloknya jelas Dr. Norimah, ibu bapa perlu minum susu bersama anak-anak.
“Seperti yang diketahui umum, susu kaya dengan kalsium. Kanak-kanak perlu minum susu kerana kalsium penting untuk pembentukan tulang dan gigi. Protein dan pelbagai vitamin yang terkandung di dalamnya pula membantu pembesaran dan kesihatan.
“Justeru susu amat penting dalam proses pertumbuhan kanak-kanak. Biasanya kanak-kanak yang minum susu lebih tinggi daripada ibu bapa mereka,” ujarnya.
Menjadi harapan Dr. Norimah, ibu bapa di Malaysia mengetahui kebaikan susu lalu mendidik anak mereka untuk terus minum susu sehingga dewasa.
Pengambilan susu bergantung kepada usia. Jika kanak-kanak memerlukan susu sekurang-kurangnya dua gelas sehari, orang dewasa pula perlu minum sehingga tiga gelas sehari.
Bagi wanita, katanya, susu penting untuk mengelakkan kehilangan kepadatan tulang.
Nasihatnya kepada wanita yang enggan minum susu kerana kononnya takut gemuk, mereka boleh mengambil susu skim tidak berlemak atau susu rendah lemak dengan separuh lemak. Bagaimanapun, menurutnya, susu kurang lemak bermakna kurang Vitamin A dan D.
Bagi mereka yang alahan terhadap laktosa pula, beliau menyarankan mereka mengambil susu kacang soya – namun khasiatnya tidak sama!
Definisi gigi sihat
MEMILIKI kesihatan tubuh badan yang baik adalah satu anugerah tidak ternilai. Jika badan sihat, segala urusan terutama dalam mencari rezeki, melakukan ibadah dan beberapa perkara lain boleh dilakukan dengan sebaik mungkin menggunakan tulang empat kerat yang dikurniakan.
Seperti juga salah satu anggota badan yang perlu dijaga ini, tanpanya kita tidak akan kelihatan menarik dan malu untuk berhadapan dengan orang ramai.
Gigi yang sihat dan kuat amat penting kerana ia berfungsi untuk membolehkan kita mengunyah dan menghancurkan makanan. Selain itu, gigi yang bersih dan tidak rosak menampilkan imej yang positif untuk individu.
Apakah definisi sebenar gigi yang sihat?
Menurut Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) serta pensyarah kanan Jabatan Prostodontik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Muzafar Hamirudin, gigi yang sihat tidak semestinya berwarna putih bersih manakala gigi yang berwarna kekuningan itu pula diklasifikasikan gigi tidak sihat.
“Selagi gigi kita boleh berfungsi dengan elok, tidak mempunyai kerosakan yang mengakibatkan kesakitan gigi dan boleh mengunyah dengan baik, ia adalah definisi gigi sihat cuma ia juga perlu bersih. Maksud saya dengan bersih, ia harus digosok dan melakukan flos supaya bakteria hilang dan tiada plak gigi.
“Warna gigi itu bergantung kepada seseorang individu. Lain orang lain warna giginya kerana ia memang sebegitu walaupun tidak dinafikan faktor pemakanan ada mempengaruhi perubahan warna gigi. Tetapi jangan nilai kebersihan gigi individu itu berdasarkan warna gigi kerana kadang-kadang walaupun ia berwarna kuning, gigi itu juga sihat. Nasihat saya, jangan mudah salah sangka,” katanya.
Selain itu, Dr Muzafar turut memberitahu, tidak menjadi sebarang masalah untuk kita makan apa jua jenis makanan sama ada tinggi kandungan gulanya mahupun tidak asalkan ia harus disusuli dengan rutin menggosok gigi yang efektif.
Menggosok gigi dengan efektif bermaksud ia kena menggunakan teknik yang betul seperti pilih berus gigi yang kepalanya kecil, pastikan berusnya lembut dan guna pada kedudukan berus 45 darjah serta boleh mencapai sehingga ruang belakang gigi supaya memudahkan pergerakan semasa menggosok.
Penggunaan flos juga salah satu langkah yang bijak. Flos boleh diibaratkan seperti seutas tali yang dapat membersihkan sisa makanan yang terperangkap di celah gigi untuk menghalang pembentukan bakteria dalam mulut.
Selepas itu, anda juga boleh menggunakan bahan kumuran yang boleh membantu menghapuskan bakteria tersembunyi.
Jangan memberus dengan kuat kerana ini akan menyebabkan gigi anda boleh terhakis terutama pada leher gigi dan menyebabkan gigi menjadi sensitif. Plak yang anda bersihkan setiap hari pula adalah lembut saja jadi anda tidak memerlukan berus yang keras untuk menghilangkannya.
“Sebaik-baiknya, anda harus memberus gigi sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam kerana kekerapan anda menggosok gigi tidak menentukan tahap kebersihan gigi jika caranya tidak betul.
“Terdapat pelbagai jenis ubat gigi yang berada di pasaran sekarang yang mempunyai pelbagai fungsi. Nasihat saya, anda boleh gunakan kebanyakan ubat gigi yang mempunyai fluorida bagi membantu memelihara ketahanan gigi.
“Ini kerana fluorida adalah sejenis bahan mineral menghalang kerosakan gigi dengan menguatkan lapisan enamel gigi dan menyebabkan ia lebih tahan kepada serangan asid yang dihasilkan oleh bakteria,” katanya.
Jika kita terlalu mengabaikan penjagaan kesihatan mulut, antara penyakit yang boleh dihidapi selain kerosakan gigi (karies gigi) adalah penyakit gusi, nafas berbau dan lebih buruk lagi, kanser mulut serta penyakit jantung.
Kerosakan gigi terjadi hasil tindak balas antara plak dan gula yang menghasilkan toksin. Akibat tindak balas berkenaan, permukaan luar gigi yang dikenali sebagai enamel akan retak dan menyebabkan gigi berlubang serta karies gigi.
Bakteria yang terdapat di dalam mulut pula akan menukarkan gula kepada kanji dalam makanan kepada asid yang akan menghakis gigi secara perlahan-lahan.
Bakteria dan plak terkumpul yang tidak dapat dibersihkan melalui amalan memberus gigi akan terperangkap. Faktor ini yang membuatkan seseorang itu berisiko untuk mendapat kanser mulut atau penyakit jantung kerana kesihatan tubuh badan saling berkait rapat daripada semua aspek.
Tabiat merokok dan minum minuman beralkohol turut tergolong antara punca yang menyumbang kepada kerosakan gigi.
Tidak dilupakan, anda perlu berjumpa doktor gigi untuk membuat pemeriksaan secara berkala. Ibu bapa juga boleh mula membawa anak-anak melakukan pemeriksaan seawal selepas anak mereka tumbuh gigi yang pertama. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat.
Sementara itu, jenama peneraju produk pergigian yang diyakini, Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd (Colgate), sering tampil dengan produk terbaik mereka seperti ubat gigi Colgate Sensitive Pro-Relief dan berus gigi 360 darjah antibakteria yang menitikberatkan keperluan pengguna.
Syarikat ini juga turut bekerjasama dengan MDA mengadakan Kempen Bulan Kesihatan Mulut 2012 yang sudah memasuki tahun kesembilan penganjurannya.
Tujuan kempen yang bertemakan ‘Misi Kami: Kaviti Sifar’ adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai terutama seisi keluarga mengenai kepentingan penjagaan kesihatan oral. Di samping itu, ia menggalakkan orang ramai yang tidak pernah membuat pemeriksaan gigi seumur hidup melawat sekali ke mana-mana klinik gigi yang ditetapkan dalam kempen itu.
Aktiviti kempen tahun ini juga selari dengan misi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu ‘Mulakan Awal, Mulut Sihat, Hidup Lebih Sihat’.
Menerusi kempen ini, ia membolehkan orang ramai membuat pemeriksaan gigi percuma di 772 klinik gigi yang terbabit di seluruh negara.
Dr Muzafar berkata, kempen pendidikan Bulan Kesihatan Mulut berguna untuk menanamkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia terhadap pentingnya penjagaan dan kebersihan mulut.



















