Tiroid jadi masalah

May 15, 2012 by  
Filed under Kesihatan

Comments Off

SIKAP isterinya yang panas baran memeningkan kepala si suami. Setiap kali pulang ke rumah, ada saja yang tidak kena.

Apa yang jelas selepas keguguran empat bulan lalu, keadaan isterinya semakin buruk. Sebagai suami dia makin buntu.

Akhirnya dia membawa isterinya ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Ujian darah yang dilakukan mendapati kandungan tiroid dalam darah isterinya lebih 100 berbanding normal 11 hingga 23.

Doktor memberikan isterinya ubat untuk menurunkan kandungan hormon tiroid di dalam darah.

Tidak lama kemudian, isterinya hamil semula dan melahirkan anak yang comel dan sihat.

Apabila menyebut penyakit tiroid, kita tentu akan terbayangkan bahagian leher yang membengkak dengan tubuh yang kurus dan mata terjojol seperti mata ikan.

Pakar Runding Pembedahan Am Pusat Perubatan Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr. Nanda Kumar Rajendram berkata, mereka yang menghidap penyakit berkaitan dengan tiroid biasanya cepat marah, panas baran dan tidak fokus.

“Kelenjar tiroid secara anatominya terbahagi kepada dua seakan-akan rama-rama dan terletak di bahagian hadapan leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan,” katanya.

Menurut Dr. Nanda, kelenjar tiroid mengeluarkan dua jenis hormon iaitu tiroksin atau T4 dan triiodotiroksin atau T3.

MengawalKedua-dua hormon berkenaan mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi badan yang dipanggil metabolisma.

“Apabila hormon berkenaan meningkat, metabolisma badan juga meningkat dan begitulah sebaliknya akan berlaku jika hormon terbabit dikurangkan.

“Metabolisma yang tinggi menyebabkan pesakit berasa panas, cepat marah dan kurang fokus manakala jika metabolisma rendah, pesakit kurang bermaya sehingga berat badan meningkat,” katanya.

Justeru kelenjar tiroid dengan hormon T3 dan T4 membantu fungsi badan pada kadar yang selamat dan berkesan.

Dr. Nanda berkata, kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid.

Apabila hormon tiroid terlalu banyak, penyakit hipertiroidisma berlaku dan sekiranya hormonnya sedikit, pesakit menghidapi hipotiroidisma.

Menurut Dr. Nanda, penyakit tiroid boleh mempengaruhi hampir kesemua bahagian badan dan ketidakseimbangannya membahayakan kesihatan.

“Sebenarnya penyakit tiroid lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

“Penyakit ini juga boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Rawatan untuk penyakit ini bagaimanapun selamat serta mudah,” katanya.

Menurut Dr. Nanda, terdapat ujian, pemeriksaan dan rungutan pesakit atau orang sekeliling yang boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit tiroid.

“Selain itu pesakit juga mungkin akan menghidap penyakit-penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.

“Leher perlu diperhatikan kerana kelenjar tiroid akan bergerak dengan tindakan menelan. Jika dipegang, boleh dirasai bentuk kelenjar dan juga pergerakannya dengan menelan,” katanya.

Diperiksa kulit dan mata juga boleh diperiksa di samping suhu badan serta berat badan boleh diamati untuk memastikan masalah kelenjar tiroid.

Penyakit hipotiroidisma berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara optimum sehinggakan hormon-hormon tidak dikeluarkan secukupnya.

Selain itu, ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisma.

Biasanya, jelas Dr. Nanda, penyakit hipotiroidisma disebabkan oleh radangan pada kelenjar tiroid, dipanggil tiroiditis.

Penyakit berkenaan juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto iaitu sejenis penyakit autoimun merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid.

Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid bekerja dengan lebih kuat.

Akhirnya, kelenjar tiroid membesar dan dipanggil sebagai benguk. Lama-kelamaan, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.

“Ujian paras darah hormon tiroid akan dilakukan untuk mengesahkan yang anda sememangnya menghidapi hipotiroidisma.

“Sekiranya paras hormon adalah normal, mungkin pesakit mempunyai penyakit lain dan ujian lanjutan mungkin diperlukan,” katanya.

Pastikan ibu hamil cukup zat besi

May 15, 2012 by  
Filed under Kesihatan

Comments Off

PERNAHKAH anda berasa letih, sakit, terganggu atau lemah semasa mengandung? Jangan abaikan gejala ini dengan menganggapnya sesuatu yang ‘biasa’ semasa hamil.

Tahukah anda bahawa seorang dalam setiap tiga wanita, mengalami masalah ini kerana anemia atau kekurangan zat besi.

Disebabkan masalah kesihatan ini tidak disahkan dan tidak dirawat, ramai ibu dan bayi mengalami kesan kesihatan dalam jangka panjang.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Premitha Damodaran, zat besi adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.

“Wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri semasa hamil dan selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka. Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada normal (< 12-15mg/dl), wanita menghadapi risiko mengalami jenis anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat besi,” ujarnya di bengkel pendidikan bertajuk ‘Kehamilan dan Anemia: Lebih Lazim Daripada Yang Anda Jangka, Panduan Memastikan Ibu Sihat Sejahtera’ anjuran Merck Consumer Healthcare baru-baru ini.

Beliau menjelaskan kekurangan zat besi dalam badan mungkin disebabkan diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan.

KeperluanTambah Dr. Premitha, wanita hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan juga tumbesaran bayi.

Dianggarkan wanita memerlukan kira-kira 50 peratus lebih banyak zat besi semasa hamil, bertambah daripada 15 kepada 27mg/dl sehari.

“Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa simpanan zat besi yang secukupnya. Akibatnya, ia berlanjutan walaupun selepas melahirkan anak,” ujarnya

Wanita yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa bersalin, melahirkan anak beberapa kali dan ibu yang menyusukan bayi akan berisiko kekurangan zat besi.

“Anemia semasa hamil dan selepas melahirkan anak sering dikaitkan dengan tahap kerumitan serius seperti keguguran, kelahiran pramatang, berat lahir rendah dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia,” ujarnya.

Pencegahan Dr. Premitha menasihatkan wanita agar mengubah gaya hidup dan pemakanan.

“Tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi seperti ayam, sayur hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, tembikai, labu, bijan dan tauhu,” katanya.

Dalam kebanyakan kes, doktor akan mengesyorkan pengambilan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.

“Golongan berisiko anemia juga boleh mempertimbangkan pilihan zat besi tambahan dengan salutan perasa untuk melindungi rasa logam,” katanya.

Bagi meningkatkan keberkesanan dan mengurangkan kesan rencatan, ibu-ibu disyorkan agar mengambil zat besi, folat, kuprum dan zink tambahan bersama makanan.

Selain itu, pengambilan vitamin C membantu meningkatkan serapan zat besi manakala teh dan kopi mengurangkan kadar serapan jika diambil satu atau dua jam sebelum mengambil zat besi tambahan.

Dalam kes anemia serius dan mengancam nyawa, wanita mungkin perlu dimasukkan ke hospital, menjalani pemindahan darah dan suntikan zat besi.

“Justeru wanita hendaklah sentiasa memastikan kesihatan darah mereka dengan melakukan ujian darah apabila merancang untuk hamil, semasa hamil sert empat hingga enam minggu selepas melahirkan anak.

“Mereka boleh mengekalkan kecergasan masing-masing dengan mengambil sejumlah zat besi yang secukupnya daripada makanan dan pemakanan tambahan bagi membantu meningkatkan paras hemoglobin darah.

“Jangan lupa mendapatkan bantuan perubatan serta-merta jika menghadapi simptom anemia,” ujar Dr. Premitha.

 

Bersenam sambil menari

May 9, 2012 by  
Filed under Kesihatan

Comments Off

RUTIN senaman yang sama setiap hari adakalanya membuatkan seseorang cepat bosan dan tiada dorongan untuk melakukan latihan fizikal.

Justeru, tidak ada salahnya jika sesekali menukar gerakan senaman untuk menjadikannya lebih menarik.

Terbaru anda mungkin boleh mencuba senaman Zumba yang kini semakin digemari dan diminati ramai.

Senaman yang lebih membawa gerakan tarian ini diperkenalkan oleh pengasasnya, Beto Perez, seorang jurulatih senaman terkenal dari Colombia

Perkataan Zumba berasal dari Sepanyol yang membawa maksud tarian parti dengan gabungan pelbagai rentak muzik.

Jurulatih kecergasan di Celebrity Fitness, Alex Phang, 26, berkata, Zumba merupakan satu aktiviti yang sangat menyeronokkan kerana pergerakannya berasaskan tarian dan menggunakan muzik yang membuatkan rasa teruja semasa melakukannya.

“Senaman Zumba memberi kepuasan dan keselesaan kepada para peserta kerana pelbagai rentak dan lagu yang dimainkan semasa senaman dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, senaman itu merupakan salah satu cara yang baik untuk meningkat kecergasan.

Tambahnya, ia berbeza dengan senaman lain kerana menggabungkan konsep tarian dan senaman.

“Menariknya peserta tidak perlu menghafal setiap langkah senaman sebaliknya hanya perlu mengikut rentak muzik yang dimainkan,” katanya.

Beliau mula melibatkan diri dalam senaman Zumba pada tahun 2007 dengan mengikuti kursus sebagai tenaga pengajar di Zumba Education Specialist di Banglore, India.

Seorang lagi jurulatih kecergasan Zumba, Sunny Cheong, 33, mengakui senaman tersebut berbeza dengan senaman-senaman lain.

Malah, semasa melakukannya ia tidak membuatkan diri pengamalnya sedang melakukan senaman tersebut, walaupun hakikatnya satu senaman menyeluruh telah dilakukan.

“Senaman ini sungguh seronok dengan gerakan-gerakan yang begitu dinamik. Di samping membantu meningkatkan stamina, ia juga berupaya menguatkan otot,” ujarnya yang merupakan tenaga pengajar sepenuh masa di Celebrity Fitness sejak tujuh tahun lalu.

Tambahnya, kelas senaman tarian Zumba secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan dan menariknya ia dilakukan secara berkumpulan.

Jadi terdapat banyak ruang untuk berinteraksi, mengeratkan hubungan dan saling memberi motivasi antara satu sama lain.

Seorang penggemar senaman Zumba, Jamalia Zainal, mengakui meminati senaman tersebut selepas mempelajarinya daripada seorang rakan.

“Saya terus jatuh cinta pada senaman ini kerana gerakan-gerakannya yang menarik, mudah dan menyeronokkan.

“Ketika melakukannya kita seolah-olah bukan bersenam sebaliknya menari mengikut rentak muzik yang menghiburkan,” katanya yang meminati tarian tradisional seperti joget dan zapin.

Eksekutif di Open University Malaysia itu, pernah mengikuti kelas di bawah Sunny, kini turut menjadi salah seorang tenaga pengajar separuh masa di Celebrity Fitness.

Sementara itu orang ramai boleh menyertai kelas tarian Zumba yang dianjurkan oleh pusat kecergasan tersebut.

Antara aktiviti senaman Zumba yang disediakan adalah Zumbatomic untuk kanak-kanak yang berusia empat hingga 12 tahun, Zumba Gold pula sesuai untuk warga emas dan juga untuk golongan yang kurang upaya, manakala senaman Zumba Aqua pula dilakukan di kolam renang.

Tip kesihatan jantung mudah alih

May 9, 2012 by  
Filed under Kesihatan

Comments Off

Dr. Mohd Azhari Yakub (kiri), Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Suren Amarasekera semasa melancarkan aplikasi pintar MyHealthy Heart di Kuala Lumpur.

SERANGAN jantung adalah punca utama kematian dalam kehidupan moden. Banyak faktor yang menyumbang kepada penyakit berkenaan terutama melibatkan gaya hidup.

Justeru sebagai salah satu cara memberikan kesedaran mengenai penyakit jantung, peneraju penyedia telekomunikasi bersepadu negara Maxis Berhad (Maxis) bekerjasama dengan pusat perubatan kardiovaskular dan torasik Institut Jantung Negara (IJN) menawarkan perkhidmatan kandungan penjagaan kesihatan melalui teknologi mudah alih.

Melaluinya Maxis menawarkan kandungan kesihatan jantung kepada semua pelanggan yang boleh diakses daripada telefon mudah alih yang mempunyai ciri-ciri khidmat pesanan ringkas (SMS), peranti pintar atau laman web.

Pelanggan Maxis yang berminat untuk menerima tip kesihatan jantung melalui SMS boleh melanggan perkhidmatan tersebut dan menerima tiga SMS seminggu.

Kandungan SMS berkenaan disediakan serta disahkan oleh pakar-pakar di IJN.

Selain itu, pelanggan yang mempunyai telefon pintar boleh mengakses maklumat penting berkaitan kesihatan jantung secara percuma dengan memuat turun aplikasi telefon pintar barumyHealthy Heart.

Mereka yang mempunyai akses web pula boleh mengunjungi portal kesihatanhealth.mylaunchpad.com.my untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan dengan kesihatan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof. Datuk Dr. Mohd. Azhari Yakub berharap perkhidmatan ini akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat Malaysia dalam meningkatkan kesejahteraan dan gaya hidup mereka.

“Perkongsian Maxis dan IJN sangat bermakna kerana kedua-dua pihak mempunyai kekuatan dan pengkhususan yang saling melengkapi,” katanya pada pelancaran kerjasama itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

GembiraKetua Pegawai Operasi Bersama Maxis, Suren J. Amarasekera pula berkata, sebagai peneraju dalam bidang masing-masing, perkongsian kedua-duanya adalah satu padanan yang sesuai.

“Kami saling melengkapi dalam menyediakan pelbagai kandungan kesihatan yang disahkan oleh IJN untuk rakyat Malaysia serta mewujudkan kesedaran awam mengenai penyakit kardiovaskular melalui teknologi dan aplikasi mudah alih,” katanya.

Beliau juga bangga bekerjasama dengan IJN kerana ia satu langkah positif untuk memastikan semua pengguna Maxis mempunyai akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Maxis akan menyumbang 10 peratus daripada hasil yang dijana daripada perkhidmatan SMS berkenaan kepada Yayasan IJN untuk program bantuan pesakit.

Tahun lalu saja, Yayasan IJN membelanjakan RM2 juta untuk membantu pesakit yang kurang bernasib baik.

Puas diet, senam tapi tak kurus?

May 6, 2012 by  
Filed under Kesihatan

Comments Off

SUDAH cuba pelbagai cara untuk kurus tetapi tidak berhasil? Sudah puas bersenam, berpuasa, mengurangkan kalori malah menggunakan teknik laser dan sedut lemak, tetapi hasilnya tidak seperti diharapkan?

Jika segala usaha terbabit tidak memberikan sebarang hasil, maknanya anda berhadapan dengan situasi obesiti degil.

Apabila seseorang dilanda obesiti degil dia selalunya mengalami sindrom montel yang menyebabkan wajah seseorang itu berubah menjadi montel.

Wajah yang comel akan menjadi bulat dan kembang. Dada yang bidang juga turut kembang dan hilang bentuk. Malah sesetengahnya mengalami gynecomastia iaitu pembesaran buah dada tidak terkawal. Buah dada membesar dan melendut tanpa kolagen menyebabkan ia hilang rupa bentuk asal.

Sindrom montel juga menjadikan pinggang seseorang membesar dan ukur lilit belakang meningkat. Kalau diamati bentuk tubuh seseorang tampak seperti lelaki apabila terkena sindrom montel.

Seseorang yang menghidap sindrom montel sering merasakan dirinya tertekan kerana wajah jadi tidak cantik akibat pengumpulan lemak sekeliling muka dan dagu berlapis.

Mereka menyangka perubahan wajah itu boleh di atasi dengan penggunaan mekap yang tebal atau kosmetik yang mahal.

Sebab itu golongan ini sering menjadi mangsa keadaan kerana terpengaruh untuk membeli pelbagai barangan kosmetik demi mengubah penampilan supaya kembali cantik.

Bagi pengamal perubatan estetik, Dr. Rushmini Maris Ismail, beliau sering berhadapan dengan golongan sindrom montel yang datang untuk mendapatkan rawatan wajah.

Apabila ditanya mengapa mereka menitikberatkan kulit muka tetapi membiarkan tubuh kekal gempal, jawapan yang diberikan ialah kecewa kerana segala usaha dan kerja keras untuk menguruskan badan tidak berhasil. Pada mereka itu adalah satu takdir yang menyedihkan.

Anggapan itu salah kerana sindrom montel boleh diatasi dengan terapi bagi membetulkan semula gangguan hormon dan enzim dalam tubuh.

Ia memerlukan rawatan yang lebih daripada sekadar menjaga menjaga makan, minum dan senaman.

Rawatannya memerlukan peningkatan dalam enzim dan metabolik. Bagi memahami bagaimana sindrom montel terjadi sila fahami analogi ini. Seseorang yang mempunyai masalah kencing manis misalnya disebabkan tidak mampu memecahkan gula.

Maka gula akan kekal sebagai gula dalam darah. Seseorang yang mengalami gout misalnya tidak mampu memecahkan protein maka protein akan menjadi asid urik dalam darahnya.

Sindrom montel pula di sebabkan oleh seseorang itu tidak mampu memecahkan lemak kepada tenaga. Justeru, ia merupakan satu penyakit.

Ia boleh dikategorikan sama seperti penyakit metabolik yang lain seperti kencing manis dan gout kerana ia memerlukan rawatan dan perubahan gaya hidup yang spesifik.

Seseorang yang obes merasa letih lesu dan kurang bermaya. Dia juga mudah marah, gelisah dan berasa rendah diri.

Mood mereka kerap berubah-rubah di sebabkan turun naik paras hormon metabolik. Apabila paras hormon meningkat, mereka berasa tenang dan gembira. Tetapi apabila paras hormon merosot pula mereka merasa murung dan gelisah.

Mereka ini turut mengalami masalah perubahan pada nada dan kotak suara.

Jika dahulu suara mereka halus dan merdu kini nada suara menjadi rendah. Seorang sahabat yang dulunya gemar menyanyi kini tidak mahu lagi menyumbangkan suara di majlis keramaian.

Sindrom montel telah meragut kebolehannya menyanyi.

Seorang lagi sahabat diganggu oleh pertumbuhan bulu roma yang menyerupai janggut dan misai.

Sindrom montel menyebabkan hormon wanita menjadi rendah. Mereka yang menderita sindrom ini juga juga kerap kencing.

Setiap kali selepas makan mereka akan ke tandas manakala usus menjadi lemah dan pembuangan najis tidak lancar.

Mereka juga sering mengadu bau badan yang kuat akibat dari hadirnya hormon testosterone yang berlebihan.

Pergerakan dan daya pemikiran penderita sindrom montel adalah perlahan. Ini menjadikan setiap pekerjaan yang dilakukan menjadi lambat.

Mereka juga tidak tahan dengan bunyi bising dan sering mahu menyendiri.

Masalah gatal gatal kulit juga sering terjadi terutama pada waktu malam bagi pengidap sindrom ini. Kulit menjadi kasar dan mata mengecil. Kerap kali mereka kehilangan bulu mata dan kening di mana kening menjadi nipis.

Salah satu penyelesaian bagi mengatasi sindrom ini ialah dengan pengambilan bahan protein semulajadi phospohotidyl serine.

Ia merupakan suplemen yang mampu mengurangkan hormon cortisol yang menjadi penyebab sindrom montel.

Phosphatidylserine ialah sejenis lemak yang di namakan phospholipid yang merupakan komponen dinding sel manusia. Otak terbina rata-ratanya dari kelompok ini.

Menurut Journal of The International Society of Sports Nutrition para penyelidik mengatakan phosphatidylserine membantu para ahli sukan supaya cepat segar selepas sesuatu pertandingan sukan lasak. Ia juga meningkatkan daya ingatan seseorang.

Suplemen lain yang berkesan ialah mineral magnesium, hromium dan selenium. Mineral seperti ini wujud dalam makanan seperti tiram, sayur hijau mentah dan cendawan.

Justeru adalah penting untuk mengambil makanan mentah seperti ulam bagi pengidap sindrom montel.

Rawatan obesiti bukan semata-mata mengurangkan makan dan bersenam. Apabila sudah obes, sel-sel lemak mengeluarkan banyak estrogen yang merosakkan hormon dalam tubuh membawa kepada sindrom montel. Ia memerlukan rawatan khusus.

Salah satunya ialah melalui enzim terapi estetik. Ia merupakan rawatan terbaik kerana mengambil kira semua aspek yang menyumbang kepada sindrom tersebut.

Bagi mereka yang berhadapan dengan masalah obesiti degil dan sindrom montel ini boleh mengunjungi bengkel kecantikan dan kesihatan percuma Marissa Esthetic Semenyih pada 28 April dan 10 Mei, Marissa Esthetic Bangi (15 Mei) dan Marissa Esthetic Melaka (20 Mei).

Bengkel tersebut akan mendedahkan peserta dengan cara pemakanan yang mudah dan penting bagi melawan sindrom montel.

Mereka yang berminat boleh hubungi 03-87234808 dan 013-2448484 atau layari www.marissa-esthetic.com.

Sihat bersama tali skip

May 3, 2012 by  
Filed under Kesihatan

Comments Off

BILA kali terakhir anda bersenam dengan menggunakan tali skip? Jangan sesekali pandang remeh pada tali skip. Walaupun murah, ia mampu membakar lebih banyak kalori daripada yang anda fikirkan.

Skip merupakan cara senaman yang efisien bagi menguatkan tulang.

 

Tahukah anda, melompat menggunakan tali skip merupakan antara senaman yang dapat mengurangkan berat badan dengan efektif.

Sebanyak 70 hingga 110 kalori akan dibakar dalam satu sesi menggunakan tali skip selama 10 minit manakala 1,000 kalori terbakar jika melakukannya selama sejam.

Senaman tali skip membantu memperbaiki sistem kardiovaskular, memberikan stamina, fleksibiliti dan membina sistem koordinasi dengan lebih baik dan berkesan menerusi gabungan minda dan kemahiran secara serentak.

Ia juga cara senaman berkesan bagi menguatkan tulang, otot paha, pinggul dan betis selain meningkatkan paras kalsium sekali gus membantu mencegah osteoporosis.

Berikut tip ketika melakukan senaman menggunakan tali skip.

Tip Panca

* Lakukan aktiviti regangan dan pergerakan memanaskan badan sebelum memulakan senaman.

* Pegang kedua-dua hujung tali di antara ketiak dan siku lalu pijak ia bagi memastikan ukuran yang sesuai. Sekiranya berlebihan, simpul tali mengikut kesesuaian.

* Digalakkan melompat hingga ketinggian tidak melebihi 30 sentimeter.

* Sertakan muzik.

* Bagi menguatkan otot kaki, selalu melompat dengan menjengketkan kedua-dua belah kaki dan melompat setempat.

* Tukar cara melompat daripada sebelah kaki, kedua-dua belah kaki, skip, berlari-lari anak atau mengangkat lutut setiap 30 saat bagi mengelakkan penat atau bosan.

* Jika penat, perlahankan pusingan tali dan pastikan tumit kaki diletakkan ke lantai sebelum melompat semula.

* Lakukan aktiviti regangan menyejukkan badan bagi memastikan tiada kecederaan berlaku.

Menangani tekanan

May 1, 2012 by  
Filed under Kesihatan

Comments Off

FENOMENA stres atau tekanan bukanlah perkara baru yang terjadi dalam masyarakat. Stres amat berkait rapat dengan gaya hidup, perwatakan seseorang, faktor keluarga, tekanan pekerjaan dan kejutan budaya.

Penawar kepada masalah tekanan ialah dengan banyak bersabar. – Gambar hiasan

 

Sekiranya tekanan gagal dikawal, ia akan memberikan kesan yang negatif kepada kesihatan emosi, mental dan fizikal. Orang yang tidak mampu mengawal tekanan, ditambah pula dengan iman yang kurang akan cenderung untuk berputus asa dan kecewa.

Akhirnya terjadilah kes kemurungan yang berpanjangan, sakit mental, bunuh diri dan sebagainya.

Dalam Islam, tekanan adalah ujian daripada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah menguji seseorang itu dengan perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, nyawa dan hasil-mahsul yang tidak menjadi dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. (al-Baqarah:155)

Apabila kita berada dalam keadaan tertekan, terdapat tanda-tanda yang mungkin akan berlaku seperti sakit kepala, letih, mudah marah, cepat terlupa dan sebagainya.

Antara kesemua faktor-faktor berlakunya tekanan, faktor yang paling banyak berlaku ialah tekanan di tempat kerja.

Ini kerana, pada kebiasaannya masyarakat lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja berbanding di rumah. Sehinggakan sewaktu berada di rumah sekalipun masih memikirkan tentang kerja di pejabat.

Akhirnya, kita perlu sedar dan faham bahawa setiap kali kita berdepan dengan masalah, maka setiap kali itulah dosa kita diampunkan. Rasulullah SAW bersabda: “Kesedihan atau malapetaka yang menimpa seseorang Muslim merupakan kafarah kepada dosa yang dilakukan.”

Oleh itu, apabila kita menghadapi tekanan, perbanyakkanlah bersolat dan bersabar. Firman Allah SWT yang bermaksud: Mintalah pertolongan dengan Allah dengan sabar dan mengerjakan sembahyang. (al-Baqarah: 153)

Tekanan yang dialami oleh setiap individu adalah berbeza, oleh itu sebagai seorang Muslim haruslah menerima ujian tersebut dengan hati yang tabah dan reda. Mudah-mudahan, berkat kesabaran kita, Allah SWT akan menggantikan dengan keberkatan hidup dan kebaikan yang lain.

Daya tahan kardiovaskular

April 27, 2012 by  
Filed under Kesihatan

Comments Off

NAMPAKNYA berat badan saya semakin berkurang selepas melakukan senaman kardiovaskular,” ujar seorang wanita kepada rakannya sebaik sahaja melangkah keluar pintu gimnasium.

Adakah keadaan ini bersifat kekal?

Mungkin ramai yang kurang faham tentang perbezaan serta keberkesanan senaman kardiovaskular (kardio) atau senaman otot.

Kedua-dua senaman ini memerlukan tenaga yang diperolehi daripada proses pembakaran makanan yang berlaku di dalam badan.

Secara teorinya, anda akan mendapati berat badan anda menurun selepas melakukan senaman kardio.

Masalahnya, anda tidak tahu adakah keadaan ini disebabkan kehilangan lemak, otot atau air.

Jika berat badan anda menurun disebabkan kehilangan otot atau air, ini bermakna , anda ‘tertipu’ kerana kehilangan berat ini hanya bersifat sementara.

Sekiranya anda berhenti melakukan aktiviti senaman ini, berat badan anda akan meningkat naik dengan cepat.

Justeru, sebelum melakukan sesuatu senaman, sebaik-baiknya dapatkan nasihat pakar kecergasan bertauliah. Dengan ini, anda boleh menyesuaikan matlamat anda bersenam mengikut jenis senaman yang tepat.

KecergasanSecara amnya, kecergasan kardio berkait dengan daya tahan kardiovaskular, kecergasan respiratori dan aerobik. Ia adalah aspek kecergasan dan asas kepada sebarang aktiviti fizikal. Senaman ini juga boleh mengurangkan risiko individu daripada penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung, hipokinetik atau kematian awal.

Komponen dalam kardiovaskular terdiri daripada jantung, paru-paru, salur darah, darah dan otot. Apabila anda mempunyai sistem kardiovaskular yang cergas, anda boleh meningkatkan daya tahan dan produktiviti dalam melakukan sebarang tugas.

Alahan penyebab ekzema

April 27, 2012 by  
Filed under Kesihatan

Comments Off

Menggaru menyebabkan komplikasi pada ekzema.

RENGSA pada kulit bayi biasanya akan menyebabkan bayi meragam manakala ibu bapa pula tidak selesa. Kerengsaan kulit yang berlaku ini dinamakan ekzema iaitu keadaan kulit yang kering dan gatal.

Pakar Kanak-kanak Pusat Perubatan Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr. Eric Lee Kim Hor berkata, ekzema biasanya menyerang bayi yang berusia kurang dua tahun.

“Lazimnya ia beransur-ansur sembuh menjelang usia belasan tahun tetapi ada yang berterusan sehingga dewasa. Sebenarnya ekzema tidak dapat dipulihkan tetapi boleh dikawal dengan rawatan yang sesuai,” katanya kepada Pancasihat di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau menjelaskan ekzema terbahagi kepada dua iaitu atopik dan dermatitis sentuhan. Atopik biasanya berlaku pada bayi yang berusia bawah dua tahun dan akan hilang menjelang remaja.

Dermatitis sentuhan pula biasanya disebabkan oleh alahan bahan kimia yang disentuh seperti pencuci.

Kesan ekzema atopik dan dermatitis sentuhan adalah sama iaitu kulit kering, gatal, merah, merekah dan kadangkala mengeluarkan cecair serta berdarah.

Dr. Eric berkata, biasanya pipi, tangan, muka, leher, siku, belakang lutut dan belakang siku mudah diserang ekzema.

“Ini kerana penghalang kulit tidak berfungsi sebaik mungkin. Dalam hal ini, kulit bayi lebih senang diserang infeksi dan alergi yang boleh membuat keadaan lebih teruk,” katanya.

Sistem imun badan penghidap ekzema mengecam protein sebagai berbahaya dan membentuk antibodi menyebabkan badan bertindakbalas dengan mengeluarkan histamin yang menyebabkan rengsa pada kulit.

Masalah bertambah teruk jika sel mast (sel yang mengeluarkan histamin dan menyebabkan kegatalan teruk) bertindakbalas dengan protein alergen dan mengeluarkan histamin yang menyebabkan kegatalan dan radangan kulit.

Ia berlaku apabila sel kulit amat sensitif terhadap kehadiran alergen atau benda asing.

Punca Sehingga kini, kata Dr. Eric, punca sebenar ekzema tidak diketahui tetapi ia biasa dikaitkan dengan alahan kepada susu formula, sabun, makanan laut, air berklorin tinggi dan telur.

Ia juga boleh berlaku jika ada rengsa kulit disebabkan oleh bahan kimia seperti mandian buih, syampu, serbuk cuci dan pelembut fabrik.

Biasanya bayi ekzema yang alah atau alergi terhadap susu formula dinasihatkan agar bertukar kepada susu hipoalergenik.

“Ekzema pada bayi berlaku jika ibu atau bapa mempunyai masalah kulit yang sama selain asma dan demam alergi,” katanya.

Kanak-kanak yang menghidapi ekzema atopik boleh mendapat dermatitis sentuhan dan didapati reaksi alergi boleh merebak dan menjangkiti tempat lain.

Ekzema amat sulit dihindari kerana bayi akan menggaru dan menyebabkan infeksi hingga boleh mengganggu tidurnya.

KomplikasiDr. Eric berkata, ekzema boleh menjadi satu komplikasi jika berlaku infeksi kulit yang digaru sehingga melecet. Jika berlaku infeksi, ekzema mungkin berdarah dan bernanah lantas memerlukan antibiotik untuk merawatnya.

Beliau berkongsi kes seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang terpaksa dimasukkan ke wad dipercayai kerana menggaru sehingga menyebabkan komplikasi.

“Mungkin dia mengalami kegatalan yang teruk,” katanya.

Hasil pemeriksaan katanya, pesakit berkenaan didapati mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai ekzema.

“Ibunya mempunyai ekzema yang agak serius di bahagian leher dan lengan tetapi enggan mendapatkan rawatan lanjut.

“Biasanya jika ibu mempunyai alergi, 40 peratus anak akan menghidapinya dan jika ibubapa mengalaminya, peluang untuk mewarisi penyakit ini anak adalah 60 peratus,” katanya.

Rawatan Rawatan ekzema bergantung kepada tahap keseriusannya.

Jika bayi mempunyai ekzema ringan, mungkin cukup dengan sapuan losen atau krim.

“Kulit yang kering akan menyebabkan keadaan ekzema lebih teruk, oleh itu gunakan losen berasaskan lemak untuk melembapkan kulit seperti Ceramide,” nasihatnya.

Beliau mengingatkan, kanak-kanak dengan ekzema perlu menyapu krim atau losen pelembab beberapa kali sehari untuk mencegah kulit menjadi kering.

Biasanya krim steroid pada dos yang amat rendah juga disyorkan bagi bayi yang menghidap ekzema atopik teruk dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun ramai ibubapa enggan menggunakan steroid pada bayi kerana kesan sampingannya.

“Justeru gunakan krim steroid pada kepekatan yang betul, gunakan secara minimum pada kulit tidak lebih daripada dua kali sehari dan jangan lupa untuk sapukan lebih banyak losen,” katanya.

Selain itu, pil antihistamin kadangkala diberikan jika kulit terlalu gatal sehingga mengganggu tidur. Biasanya pil berkenaan diambil waktu malam atau mengikut nasihat doktor kerana menyebabkan mengantuk.

Cara mengelakkan ekzema l Menyusu badan untuk tempoh sekurang-kurangnya empat bulan boleh membantu melindungi daripada ekzema dan alergi. Kementerian Kesihatan mengesyorkan penyusuan badan secara eksklusif selama enam bulan.

- Sesetengah kanak-kanak yang diserang ekzema mungkin juga alergi kepada susu lembu. Bincang dengan doktor terlebih dahulu.

- Tiada bukti bahawa mengelakkan makanan tertentu semasa menyusu atau hamil boleh menghindar bayi mendapat ekzema.

- Simpan diari pemakanan untuk melihat dan mengesahkan apakah yang mencetuskan ekzema dan bincang dengan doktor.

- Sesetengah orang percaya yang pendedahan kepada makanan tertentu akan membuat ekzema lebih teruk kerana lebih kurang 10 peratus kanak-kanak mempunyai ekzema akibat alahan makanan.

- Habuk juga dipercayai pencetus sesetengah kes ekzema walaupun tiada bukti kukuh. .

- Bilik yang panas boleh membuat ekzema lebih teruk, oleh itu pastikan kain-kain katil dan pakaian nipis untuk memberikan keselesaan kepada bayi dan ketahui bagaimana memastikan bayi nyaman dalam cuaca hangat.

- Pastikan kuku bayi pendek untuk mengelak iritasi kulit akibat menggaru.

Tanam kanta dalam mata

April 21, 2012 by  
Filed under Kesihatan

Comments Off

RAMAI yang terpaksa memakai cermin mata atau kanta lekap apabila mengalami myopia (rabun jauh) atau hyperopia (rabun dekat).

Memakai cermin mata atau kanta lekap memang remeh kerana perlu penjagaan rapi selain mungkin tersilap letak.

Sebelum ini mereka yang ingin ‘membuang’ cermin mata atau kanta lekap mendapatkan rawatan LASIK yang sentiasa dikemas kini.

Tetapi bukan semua sesuai untuk mendapatkan rawatan LASIK seperti pesakit yang mengalami masalah penglihatan rabun jauh yang teruk atau mereka dengan kornea nipis.

Terkini satu teknologi baru bukan saja dapat ‘membuang’ cermin mata dan kanta lekap bahkan mampu meningkatkan daya penglihatan seperti televisyen berdefinisi tinggi penuh (Full HD).

Syarikat penjagaan mata, VISTA Eye Specialist (VISTA) memperkenalkan Visian Implantable Collamer Lens (ICL) V4c CentraFLOW yang lebih baik berbanding produk sebelumnya.

Dengan Visian ICL V4c pesakit boleh mendapat kualiti penglihatan lebih tajam, jelas dan terang dengan dimensi dan jarak lebih hebat atau lebih tepat Penglihatan Berdefinisi Tinggi.

Teknologi Visian ICL V4c CentraFLOW mempunyai bukaan yang telah dipatenkan KS-AquaPORT yang terletak di tengah kanta ICL bagi memastikan pengaliran cecair dalam mata lancar selain mengekalkan kestabilan tekanan dalam mata.

Ketua Pegawai Oftalmologi, Pakar Bedah Katarak dan Refraksi VISTA Eye Specialist, Dr. Aloysius Joseph Low berkata, sebelum ini, pakar bedah perlu melakukan pembedahan kecil YAG peripheral iridotomy dua minggu sebelum memasukkan implan ICL..

“Dalam prosedur berkenaan, dua bukaan kecil dibuat di bahagian tepi iris (bahagian mata berwarna) yang terletak di antara kanta semulajadi mata dan ruang depan mata,” katanya.

Bukaan ini bertindak sebagai saluran semulajadi cecair antara dua kawasan mata tersebut untuk mengelakkan peningkatan tekanan intraocular di dalam mata.

Menurut Dr. Aloysius, dengan teknologi CentraFLOW™ kanta Visian® ICL V4c, prosedur YAG peripheral iriditomy ini tidak diperlukan lagi.

“Ini membuatkan implan menjadi lebih mudah, tidak langsung menyakitkan dan menjadi pilihan utama pesakit,” katanya.

Selain kualiti penglihatan berdefinisi tinggi, pesakit yang menggunakan implan turut tidak mengalami peningkatan tekanan intraocular yang boleh menyebabkan glukoma.

Visian® ICL V4c diperbuat daripada Collamer®, bahan kanta bio berteknologi tinggi eksklusif oleh Syarikat STAAR® Surgical.

“Bahan kanta Visian® ICL V4c juga mengandungi penghalang UV yang boleh menghindarkan sinaran UVA dan UVB bahaya daripada memasuki mata.

“Visian® ICL V4c selaku kanta yang boleh dilipat akan diletakkan secara pembedahan melalui bukaan yang kecil di belakang iris mata,” katanya.

Ia berfungsi dengan baik bersama kanta semulajadi sedia ada untuk membetulkan penglihatan tanpa merubah struktur semulajadi mata.

Bagaimana Visian® ICL V4c dimasukkan ke dalam mata?

Dr. Aloysius menambah prosedur berkenaan hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk satu mata dan tidak menyakitkan.

“Pesakit boleh melakukannya bagi mata kedua selepas berehat selama sejam,” katanya.

Setelah memberikan pelalian topikal, pakar oftalmologi akan memulakan prosedur dengan melakukan satu atau dua bukaan kecil di tapak kornea.

Seterusnya sejenis gel akan dimasukkan ke dalam mata untuk melindunginya semasa meletakkan kanta (gel tersebut akan dibuang selepas prosedur).

Setelah memasukkan gel, kanta ICL yang telah dilipat akan diletakkan ke dalam katrij kecil dan kemudian dimasukkan ke dalam mata melalui bukaan kecil tadi.

Setelah kanta implan terbuka sepenuhnya, keempat-empat bahagian tepi kanta akan berada di belakang iris mata hitam.

Ini menjadikan ia tidak dapat dilihat oleh sesiapa. Memandangkan pembedahan tersebut amat kecil, ia tidak memerlukan jahitan.

Prosedur ini amat sesuai untuk mereka yang aktif kerana bukan saja dapat meneruskan aktiviti seharian dalam masa satu hari tetapi juga dapat menikmati Penglihatan Berdefinisi Tinggi baru.

Visian® ICL menerima pengiktirafan CE Mark pada 1997 dan mendapat kelulusan FDA pada 2005. Sejak itu, lebih 250,000 Visian® ICL telah diimplan di seluruh dunia.

Syarikat STAAR® Surgical menerima pengiktirafan CE Mark untuk Visian® ICL V4c CentraFLOW™ pada April 2011.

“Sebagai salah satu syarikat pertama yang menawarkan Visian® ICL di Malaysia pada 2005, kami amat berbangga menawarkan revolusi Visian® ICL V4c kepada pesakit,” katanya.

Sebanyak 36 kes Visian® ICL V4c berjaya dilakukan sejak Januari 2012 dengan hasil pembedahan yang cemerlang.

Pesakit yang mempunyai gaya hidup aktif dan mereka yang ingin mendapatkan kualiti Penglihatan Berdefinisi Tinggi boleh mencuba Visian® ICL V4c.

Peningkatan penglihatan yang berkualiti dan tempoh penyembuhan yang singkat serta tidak menyakitkan memberikan pengalaman pemulihan yang baik kepada pesakit.

“Kami komited untuk merubah kehidupan pesakit, bertepatan dengan misi kami untuk memberi penglihatan yang lebih jelas dan membawa kesan positif dalam kehidupan mereka,” kata Lim Boon Siong, Ketua Pegawai Eksekutif VISTA.

Next Page »