Khutbah Jumaat: Memulia, menyayangi ibu bapa sepanjang masa

May 18, 2012 by  
Filed under Ruang Bicara Agama

Comments Off

ISLAM mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim hingga kita dilahirkan begitu besar. Mereka bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita hingga dewasa.

Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak. Kepayahan dan pengorbanan ibu bapa mendidik dan membesar anak sekurang-kurangnya dalam tiga keadaan, ketika mengandung, saat melahirkan dan dari kecil sehingga dewasa.

Marilah kita merenung kembali wajah terindah ibu bapa kita, mungkin ada antara kita ibu bapanya telah pergi buat selama-lamanya dan mungkin ada yang masih lagi bersama. Cuba kita hayati wajah yang telah kedut ditelan usia, namun tetap tersimpul senyuman menggambarkan kasih sayang.

Menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika kedua-duanya masih hidup, tetapi berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur.

Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kasih ibu bapa kepada anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anak.

Apa yang kita miliki hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita adalah hasil daripada pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini.

Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

Tidak dapat dinafikan kasih sayang seorang ibu mengatasi segala-galanya. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anaknya walaupun sesaat, kadang kala ibu tidak dapat menyuap makanan, melelapkan mata dan ada kala tergenang air mata kerana teringatkan anaknya.

Rebutlah kesempatan yang ada ketika hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya. Hari ini, ada dalam kalangan anak yang sibuk dengan jawatan, mengejar kuasa dan pangkat tiada masa menziarahi ibu bapa walaupun kepulangannya sentiasa dinantikan penuh kerinduan. Ingatlah menziarahi ibu bapa satu tuntutan kepada seorang anak.

Anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah, kita luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.

Betapa besarnya pengorbanan ibu bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan perlu direnung kita semua sebagai anak, sudahkah menunaikan kewajipan terhadap ibu.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau pernah bertanya Rasulullah SAW amalan paling utama. Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.”

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian selepas isteri itu dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha supaya orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutannya.” (Hadis riwayat Ad Dailami)

Imam Bukhari meriwayatkan, Abdullah bin Amru bin al-‘As bertanya Rasulullah SAW mengenai dosa besar. Sabda Baginda: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.”

Ambillah iktibar dalam cerita si tanggang, seorang anak yang melupai ibunya dan durhaka selepas mendapat kedudukan yang tinggi akibatnya si anak itu diberi balasan oleh Allah SWT di dunia ini.

Menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup, tetapi berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Setiap hari amalan kita diangkat ke langit dan segala amalan itu dipertontonkan kepada roh ibu bapa kita.

Marilah bersama menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah dan wang ringgit bahkan seluruh jiwa dan raga. Jangan biarkan mereka kesepian dengan linangan air mata yang sayu lagi pilu.

Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa tertentu saja. Ambillah kesempatan yang ada ini untuk menyayangi mereka.

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Khidmat bakti pelatih PDK amat disanjung

May 17, 2012 by  
Filed under Berita Bergambar, Seiring Sejalan

Comments Off

RANTAU, 17 Mei – Seramai 29 ahli Pusat Dalam Komuniti (PDK) menerima elaun yang telah disampaikan oleh Penasihat PDK Pekan Rantau, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Bt Tengku Nujumudin di Pusat PDK, Taman Sri Anggerik, Rantau, pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua PEKERTI Negeri Sembilan, Datin Paezah Bt Ismail, Pegawai Penyelaras PDK Daerah Seremban, En. Ahmad Tajuddin Bin Jamaluddin, Pengerusi PDK Pekan Rantau, Puan Norizan Bt Ibrahim dan Timbalan Pengerusi PDK Pekan Rantau, En. Shamsudin Bin Khamis.

Penasihat PDK Pekan Rantau berkata, Pusat PDK yang diuruskan oleh para pelatih ini banyak memberikan khidmat bakti dan tunjuk ajar kepada anak-anak istimewa dan di sini juga tempat untuk mereka bergaul sesama sendiri.

Tambah beliau lagi, pihak tabika Kemas juga mempunyai tenaga pengajar terlatih untuk memberi tunjuk ajar dalam kerja tangan ataupun kraftangan jika pihak PDK memerlukan khidmat mereka. Ini juga dapat memberi kelainan dalam pembelajaran anak-anak.

Beliau turut bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri untuk melaksanakan sebuah rumah dua tingkat yang akan dijadikan sebagai pusat latihan kesemua PDK dan bangunan itu turut akan menjadi perpustakaan sebagai rujukan kepada kesemua PDK.

Beliau turut menasihati ibubapa supaya sentiasa membawa anak-anak ke Pusat PDK ini dansekaligus ianya menunjukkan bahawa masyarakat prihatin terhadap mereka.

“Pihak AJK ada mencadangkan untuk mengadakan majlis keramaian menyambut kelahiran anak-anak ini, maka kita akan adakan pada tahun ini dan menjemput semua PDK Negeri Sembilan untuk meraikan bersama,” ujar beliau.

Dalam majlis tersebut beliau turut memotong kek bersama-sama anak-anak istimewa sempena meraikan majlis penyampaian elaun tersebut.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan cenderahati kepada para pelatih dan ahli-ahli AJK PDK Pekan Rantau.

Oleh : Ainaa@n9kini.com

 

Jezz Lincah Beraksi Di Litar Lumba

May 16, 2012 by  
Filed under Minda Remaja

Comments Off

Pertemuan dengan gadis ini sememangnya tidak dirancang, namun sudah ketentuan untuk bertemu, wajah manis ini akhirnya dapat ditemu ramah walaupun kekangan masa membatasi sewaktu di awal perjanjian. Walaupun sedikit lewat, namun semuanya tetap berjalan dengan lancar Dengan hanya membimbit topi keledar kereta kereta. Begitulah karakter Jastina Mohd Johari atau lebih mesra dikenali sebagai Jezz. Walaupun tidak memegang nama besar sebagai pelumba yang handal, namun Jezz sudah dikenali di kalangan pelumba pelumba sukan bermotor yang biasa disertainya.

Latar Belakang

Jezz merupakan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Selangor (UNISEL) kampus utama yang terletak di Bestari Jaya Kuala Selangor. Kini dia sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik tahun keempat. Kata Jezz, dia berminat terhadap kursus ini kerana ia memberikan 1001 cabaran dan peluang yang luas. Ini kerana dari kecil lagi dia sudah menunjukkan minat dalam bidang ini apabila dia sering kali membaiki peralatan elektrik yang rosak di rumah.

Isi Masa Lapang

Apabila tiada kelas dan perkara lain yang akan dilakukan, Jezz akan meluangkan masa lapangnya dengan melakukan aktiviti sukan lasak seperti Touge, Drift, Time Attack Challenge dan membaiki serta membuat modifi kasi dalaman enjin dan luaran kenderaan. Antara tempat latihan yang digemarinya untuk berlatih lumba kereta ini ialah di Bukit putus Negeri Sembilan, Jalan lama Rawang-Batu Arang Selangor dan Jalan Karak Lama Batu 12-Genting Sepah pahang. Selain itu, Jezz juga mempunyai perniagaan sampingan iaitu menjadi pengedar alat ganti terpakai untuk kenderaan lama dan baru (Konichiwa Autoparts) serta menjalankan perniagaan kereta sewa untuk pelajar-pelajar di universiti. Menurutnya, dia mahu menjadi seorang yang versatil walaupun masih belajar dan kerana itulah dia sering menghabiskan waktunya dengan perkara yang berfaedah serta bermanfaat.

Bijak Atur Masa

“Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti, pada setiap malam sebelum tidur saya akan merangka setiap perkara yang perlu dilakukan dan diselesaikan pada keesokan hari ataupun pada minggu tersebut. Malah saya sentiasa saling berhubungan dengan rakan sekelasnya untuk mengulang kaji pelajaran bersama. Dengan mengatur perancangan lebih awal, ia dapat membantu saya menguruskan masa dengan lebih teratur tanpa mengganggu pembelajarannya di universiti. Saya juga sentiasa memastikan diri tidak tertekan dan berfikiran positif dalam setiap perkara yang dilakukan. Bukan itu sahaja, saya juga minat dalam setiap aktiviti yang dilakukan,” ujarnya berkongsi tip menguruskan masa.

Usaha Tangga Kejayaan

“Setiap orang pasti ada impian tersendiri. Sebenarnya tiada perkara yang mustahil dalam dunia ini. Usaha ialah kunci kepada setiap kejayaan dan yang membezakannya hanyalah cepat atau lambat sesuatu perkara itu diperoleh. Namun, apa yang penting ialah keazaman dan kesungguhan yang ditanam dalam jiwa dan sentiasalah mempunyai sikap ingin keluar daripada kepompong sendiri,” nasihat Jezz kepada para remaja.

400 orang menerima BR1M Dun Sikamat peringkat keenam

May 16, 2012 by  
Filed under Berita Terkini

Comments Off

Majlis Penyampaian Baucar Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) Dun Sikamat peringkat keenam telah disempurnakan oleh bapa angkat DUN Sikamat, Dato Mohammad Razi Bin Kail baru-baru ini.

Seramai lebih kurang 400 orang ketua isi rumah hadir di Balairaya Sikamat untuk menerima bantuan ini.

Bantuan ini merupakan bajet belanjawan 2012 yang telah dibentang oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi meringan beban hidup yang ditanggung oleh masyarakat.

Kelayakan untuk memohon bantuan ini adalah berdasarkan pendapatan bulanan seisi keluarga kurang daripada RM3000.

Oleh : Ainaa@n9kini.com

Adunan warna kontra

May 16, 2012 by  
Filed under Shoppe Guide

Comments Off

DUNIA fesyen hari ini sememangnya tidak pernah lekang dengan idea-idea menarik dan segar daripada pereka-pereka fesyen tempatan mahupun antarabangsa.

Rekaan yang ditampilkan pereka-pereka fesyen ini sudah pasti seiring dengan pelbagai tema ataupun musim yang ‘menjengah’ negara masing-masing.

Pelbagai warna turut ditampilkan dalam usaha menceriakan lagi fesyen yang ditampilkan.

Ada satu ketika, pemakaian warna kontra dilihat tidak begitu sesuai malah sesiapa sahaja yang menggayakan pasti akan kelihatan pelik.

Tetapi hari ini, gabungan warna-warna kontra bukan sahaja dilihat menarik malah ia turut mengembalikan nostalgia era 50-an dan juga 60-an.

Terbaru koleksi musim bunga/panas dari bYSI yang diilhamkan daripada fesyen golongan atasan menampilkan koleksi moden.

Yang pasti, setiap koleksi yang ditampilkan bYSI tidak pernah ketinggalan menampilkan unsur-unsur kemewahan.

Malah kesemua koleksi yang diperagakan amat sesuai digayakan setiap wanita tanpa mengira usia dan apa jua majlis yang dihadiri.

Selain menggabungkan warna-warna seperti pastel, jingga, kuning dan biru firus (turquoise), fesyen kali ini turut menampilkan rekaan seperti jaket pendek beserta seluar paras lutut.

Menariknya, kebanyakan rekaan yang ditampilkan pastinya menyerlahkan lagi corak klasiknya.

Sementara itu, untuk koleksi 60-an, bYSI banyak bermain dengan warna-warna terang selain menggabungkan gaya klasik.

Masih mengekalkan ciri-ciri kewanitaannya, koleksi kali ini dilihat lebih ringkas tetapi moden dan tidak was-was lagi, gabungan warna-warna kontra dilihat lebih sesuai dan serasi untuk era ini.

Secara jujur, koleksi-koleksi yang ditampilkan kali ini kelihatan lebih segar dengan gabungan warna-warna terang dan kontra selain mengembalikan nostalgia fesyen zaman dahulu.

Hari Guru istimewa buat cikgu Nani

May 16, 2012 by  
Filed under Wanita

Comments Off

WALAUPUN baru empat tahun bergelar pendidik, anak kelahiran Alor Star, Kedah, ini amat menyukai kerjaya yang disandangnya hari ini.

Tidak pernah menyesal mengambil keputusan untuk mendidik anak-anak bangsa, bagi ibu kepada dua cahaya mata ini kerjaya sebagai seorang guru mempunyai kelebihan dan cabaran tersendiri.

Dia berpendapat selain dapat memberikan pelajaran dan pendidikan kepada anak bangsa secara tidak langsung dapat berbakti kepada negara.

Menyingkap penglibatannya dalam profesion perguruan ini, jelas pemilik nama Nur Hanani Ismail, dia sememangnya suka kepada kanak-kanak dan menyimpan cita-cita untuk bergelar cikgu sejak di bangku sekolah lagi.

Dalam masa yang sama, kedua ibu bapanya juga merupakan guru, maka tidak hairanlah sekiranya Nur Hanani atau lebih mesra disapa Nani meminati bidang perguruan.

Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tetapi ujar Nani, terdapat perbezaan antara guru hari ini jika hendak dibandingkan dengan zaman sebelumnya.

Ini kerana menurutnya, guru hari ini bukan sahaja perlu mengajar malah mereka juga perlu menghadapi kerenah masyarakat dan disiplin para pelajar.

“Jika dilihat apa yang mak Nani alami dahulu sebagai seorang guru memang jauh beza dengan cikgu hari ini.

“Dahulu seorang cikgu bebas untuk mengajar dan menegur kesalahan anak murid masing-masing tanpa menghadapi sebarang masalah.

“Tetapi hari ini cikgu bukan sahaja perlu mencari bahan untuk mengajar anak-anak murid yang lebih cerdik tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah ibu bapa dan disiplin anak-anak murid,” ujarnya ketika ditemui Mega baru-baru ini.

Cikgu manis berusia 31 tahun ini bagaimanapun tidak pernah menjadikan masalah-masalah tersebut satu beban, malah Nani tetap meneruskan kerjayanya seperti biasa untuk membimbing anak bangsa.

Begitupun, jika disingkap perjalanan hidup wanita ini, ia agak menarik untuk dikongsi bersama.

Ini kerana sebelum terjun ke dalam dunia pendidikan, anak sulung daripada tiga beradik ini terlebih dahulu bergelar seorang wartawan hiburan di Stesen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Nani memberitahu, penglibatannya dalam dunia kewartawanan adalah secara tidak sengaja kerana permohonan pertamanya untuk memasuki maktab perguruan tidak diterima.

Sehubungan itu, dia telah ditawarkan menyambung pengajian dalam Ijazah Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Tanpa berfikir panjang dan sememangnya ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, dia telah mengikuti kursus tersebut selama dua tahun.

Jadi untuk tidak membazirkan ilmu yang dipelajari ketika di UiTM, Nani membuat keputusan untuk meneruskan kerjaya dalam bidang kewartawanan di RTM sebelum meneruskan kerjayanya di salah sebuah syarikat penerbitan terkenal.

Selepas itu, tanpa jemu membuat permohonan untuk memasuki Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Nani akhirnya telah diterima.

Tanpa berfikir lama, Nani telah menerima dan sanggup melepaskan kerjaya wartawan yang baru hendak dibinanya.

Selain itu, satu lagi sisi menarik mengenai Nani ialah, dia bukanlah calang-calang guru kerana peminat barangan Hello Kitty ini merupakan seorang cikgu pemulihan (kelas istimewa) di Sekolah Kebangsaan Alam Megah 3, Seksyen 28, Shah Alam, Selangor.

Baginya, menyandang jawatan cikgu pemulihan tanggungjawabnya lebih besar dan lebih berisiko kerana berhadapan dengan murid yang menghadapai masalah pembelajaran.

Selain corak pengajaran yang berbeza, dia juga perlu banyak bersabar apabila berhadapan dengan anak-anak muridnya.

“Menjadi cikgu pemulihan ini amat berbeza corak pengajarannya dengan cikgu-cikgu biasa yang lain. Walaupun kelas Nani hanya sekitar lima orang murid tetapi ia menuntut Nani lebih kreatif dan berinisiatif apabila mengajar.

“Berhadapan dengan murid-murid istimewa ini kita perlu pandai berkomunikasi selain mencari bahan pengajaran yang menarik untuk meraih perhatian mereka.

“Secara tidak langsung ia memerlukan Nani bekerja lebih keras dan sabar untuk memastikan mereka menjadi seorang murid yang normal (pandai membaca dan mengira),” katanya lagi.

Bagaimanapun, jelas Nani pada awalnya dia memohon untuk mengajar Bahasa Inggeris tetapi memandangkan ketika itu keperluan untuk cikgu pemulihan amat diperlukan, dia tidak menolak.

Lagipun, sepanjang mengikuti kursus KPLI, dia turut mengikuti kelas psikologi untuk berhadapan dengan murid-murid istimewa kelak.

Setinggi manapun tahap kesabaran seseorang individu itu, ia pasti tidak dapat dibendung.

Begitu juga dengan Nani, sekiranya kerenah murid mencabar tahap kesabarannya, dia mengambil pendekatan dengan keluar kelas untuk menenangkan diri sebelum masuk semula untuk mengajar selepas dirinya kembali tenang.

Nani juga tanpa berselindung, ada ketika dia menangis mengenangkan nasib anak-anak muridnya yang tidak mampu menguasai pembelajaran ketika di dalam kelas.

Yang pasti, kesemua anak muridnya akan terus kekal di kelas pemulihan selagi mereka tidak boleh membaca ataupun mengira. Sebagai seorang cikgu, Nani hanya mampu berusaha dan beriktiar agar para pelajar mampu menjadi seperti kanak-kanak normal yang lain.

Siapa sangka, daripada seorang wartawan hiburan yang lincah, Nani akhirnya bergelar seorang cikgu.

Dia yang kini ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik tidak pernah terfikir untuk berpatah balik ke kerjaya asal. Malah dia tidak menafikan, pengalamannya di dalam dunia kewartawanan banyak membantunya hari ini untuk memberikan yang terbaik ketika bertugas.

Berbicara mengenai sambutan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun, menurut Nani, sepanjang bergelar cikgu, hanya sekali dia menerima hadiah daripada anak muridnya.

Walaupun hadiah tersebut hanyalah tiga batang pen yang berwarna merah, biru dan hitam, ia tetap menggembirakan hati Nani kerana dia tidak pernah mengharapkan apa-apa ‘habuan’ daripada anak muridnya.

Dia tetap bersyukur kerana walaupun tanpa hadiah mereka (anak murid) tidak pernah lupa untuk memberikan ucapan “Selamat Hari Guru” kepadanya setiap tahun.

Dia yang memahami masalah setiap anak muridnya hanya berharap agar segala ilmu yang dicurahkan dapat membantu mereka pada masa hadapan.

Benarlah bagai dikata, ‘guru ibarat lilin membakar diri menerangi orang lain’ yang membawa maksud, guru terpaksa menempuh pelbagai kesukaran demi melihat kejayaan anak-anak bangsa.

Melihat wajah cikgu yang amat meminati warna merah jambu ini ternyata dia amat gembira dengan kerjaya yang disandangnya hari ini. Dia amat berharap agar segala keringat yang dicurahkan digunakan sebaik mungkin oleh para pelajarnya dalam meniti kejayaan pada masa hadapan.

NUTP mahu guru ada ijazah

May 16, 2012 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN), yang akan diadakan di 15 lokasi sehingga Julai depan.

NUTP mahu guru ada ijazah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu tenaga pengajar di sekolah seluruh negara adalah guru siswazah 100 peratus sebagai antara pengisian utama transformasi pendidikan negara yang sedang dirangka Kementerian Pelajaran.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata ketika ini dianggarkan kira-kira 45 peratus guru di sekolah rendah masih bukan siswazah, selepas kementerian melaksanakan Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG), yang mensasarkan 50 peratus tenaga pengajar di sekolah peringkat itu adalah lepasan ijazah menjelang 2010.

Beliau berkata, adalah penting untuk semua sekolah rendah dan menengah diisi guru siswazah sepenuhnya demi kepentingan pelajar yang berdepan perkembangan pendidikan semakin mencabar.
Katanya, langkah itu juga akan memudahkan urusan penempatan tenaga pengajar di sekolah.

“Guru yang belum bergelar siswazah berpeluang melanjutkan pelajaran melalui pelbagai program sedia ada.

“NUTP akan mengemukakan usul ini bersama keseluruhan cadangan lain untuk transformasi pendidikan negara, selepas mengadakan bengkel khas pada bulan depan atau Julai ini.

“Kami akan menjemput pakar yang banyak melakukan penyelidikan dalam bidang pendidikan untuk turut memberi input,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Dialog itu bertujuan mendengar pandangan rakyat dalam proses merangka agenda transformasi pendidikan negara.

Selain mendapatkan pandangan semua peringkat masyarakat, ia turut membabitkan sesi perjumpaan dan perbincangan dengan pertubuhan guru, termasuk NUTP.

Yim Pheng berkata, pendidikan negara memerlukan transformasi berterusan untuk memastikannya bersesuaian keperluan negara.

“Saya ingin memperbetulkan persepsi orang ramai. Transformasi dilakukan ini bukan bermakna pendidikan negara tidak bagus, ada banyak masalah atau kelemahan, serta perlu diubah semuanya.

“Sebaliknya, transformasi ini bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan negara dengan kos paling minimum dan sumber manusia dimanfaatkan secara optimum, iaitu yang baik diteruskan, manakala kelemahan pula diperbaiki atau diganti dengan pelaksanaan baru berdasarkan inovasi dan kreativiti,” katanya.

Jangan lupa jasa guru, tanpanya kita tidak mampu membina Negara – MB

May 16, 2012 by  
Filed under News1, Program Harian Menteri Besar

Comments Off

SEREMBAN, 16 Mei – Bersempena Hari Guru yang jatuh pada hari ini, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada warga pendidik seluruh Negara yang banyak mencurahkan jasa dan bakti bagi melahirkan modal insan berjaya serta berguna kepada agama, bangsa dan Negara.

Beliau turut mengucapkan terima kasih terhadap jasa guru yang mendidik anak bangsa sehingga Negara berada pada kedudukan yang baik dan progresif, di Wisma Negeri, petang tadi.

Tidak di lupa, penghargaan kepada guru-guru yang pernah mengajar beliau yang akan di kenang sampai bila-bila.

Bersempena Hari Guru ini juga, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelajaran Negeri akan mengadakan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri pada 22 Mei 2012 di Majlis Perbandaran Seremban.

Pada tahun 2011, majlis makan malam sambutan hari guru perdana di adakan di daerah Rembau, dan tahun ini ianya diadakan di daerah Seremban pula.

Berbeza dari tahun lalu di mana warga pendidik dari sekolah agama tidak terlibat, tahun ini mereka dipelawa bersama-sama di dalam majlis Makan Malam Perdana secara tidak langsung ianya akan mengeratkan silaturahim di antara satu sama lain.

Bantuan mingguan Menteri Besar di Wisma Negeri

May 16, 2012 by  
Filed under Program Harian Menteri Besar

Comments Off

SEREMBAN, 16 Mei – Seramai dua puluh orang penerima bantuan mingguan yang di serahkan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di Wisma Negeri, Seremban tengahari tadi.

Penyampaian sumbangan tersebut merupakan rutin mingguan Pejabat Menteri Besar dan ianya meliputi bantuan zakat dan bantuan kepada persatuan-persatuan NGO di Negeri Sembilan.

Bantuan zakat yang diberikan Menteri Besar meliputi bantuan perubatan, bantuan pendidikan dan bantuan kebajikan.

Manakala bantuan kepada persatuan NGO pula meliputi persatuan belia, bantuan penyelenggaraan, bantuan program dan sebagainya.

Melalui bantuan-bantuan yang di sumbangkan oleh Menteri Besar, sedikit sebanyak telah membantu mereka menjalankan aktiviti pembangunan masyarakat dan melahirkan modal insan yang proaktif untuk Negeri.

Pengorbanan ibu bapa tidak ternilai

May 15, 2012 by  
Filed under Ruang Bicara Agama

Comments Off

Anak kena taat perintah selagi tidak bertentangan dengan agama.

KEJAYAAN anak adalah hasil dorongan dan pengorbanan ibu bapa itu sendiri. - Gambar hiasan

KEJAYAAN anak adalah hasil dorongan dan pengorbanan ibu bapa itu sendiri. – Gambar hiasan



KASIH sayang anugerah Allah SWT kepada makhluk-Nya untuk mereka hidup harmoni dan berkongsi rasa cinta serta belas kasihan dalam perjalanan singkat yang dinamakan kehidupan.

Begitu indah kasih sayang Allah SWT kepada setiap hamba-Nya dengan mengurniakan insan yang setia berdamping sejak awal usia kandungan lagi. Ditetapkan untuk setiap manusia itu hidup selamat dalam rahim kira-kira sembilan bulan sepuluh hari.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami telah menasihati manusia supaya berlaku baik kepada kedua-dua orang tuanya ketika mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang teramat berat keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan penyusuan setelah (bayi) berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepada-Ku dan seterusnya kepada kedua-dua ibu bapamu dan kepada-Ku kamu akan kembali.” (Surah Luqman, ayat 14)

Pada usia kandungan itu jugalah kita sebagai manusia bergantung harap kepadanya atas nama kehidupan, kerana nyawa kita bersama nyawanya dan setiap darah yang mengalir dalam tubuhnya membolehkan kita hidup selesa, selamat, tenang, harmoni dan tiada sebarang gangguan.

Begitu mulianya pendamping setia kita iaitu ibu. Apabila menyebut mengenai erti kasih sayang seseorang ibu, maka terbayang dalam lipatan pemikiran kasih sayang yang tiada nilainya sejak kita dalam kandungan sehinggalah dewasa.

Tahukah kita ketaatan kepada ibu besar tuntutannya seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan berlaku baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Allah SWT meletakkan kewajipan mentaati ibu bapa selepas kewajipan mentauhidkan-Nya. Al-Quran juga menceritakan pengorbanan seseorang ibu semasa mengandungkan anaknya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami telah menasihati manusia supaya berlaku baik kepada kedua-dua orang tuanya ketika mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang teramat berat keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan penyusuan setelah (bayi) berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepada-Ku dan seterusnya kepada kedua-dua ibu bapamu dan kepada-Ku kamu akan kembali.” (Surah Luqman, ayat 14)

Apabila melihat realiti yang berlaku dewasa ini, kita dapati anak semakin kurang memberi tanggungjawab serius terhadap hak penjagaan kedua-dua ibu bapa mereka. Betullah kata-kata, seorang ibu mampu menjaga 10 anak, tetapi 10 anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.

Tidak keterlaluan untuk saya nyatakan, semakin ramai dalam kalangan kita yang berani menderhaka kepada ibu bapa sama ada dengan menengking, marah atau tidak ambil peduli langsung kebajikan kedua-dua ibu bapa mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu berkata kepada keduanya (ibu bapa) dengan perkataan ‘ah’ dan janganlah pula kamu mengherdik mereka. Bercakaplah kepada mereka dengan perkataan yang mulia.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Berdasarkan firman Allah SWT ini, ulama mengeluarkan hukum hanya dengan menyebut perkataan ‘ah’ dan seumpamanya kepada kedua-dua ibu bapa boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus dalam dosa penderhakaan.

Sesuatu yang lebih menyayat hati apabila ada anak yang sanggup berlaku ganas dengan memukul malah sanggup membunuh ibu bapa sendiri atas hasutan nafsu dan syaitan. Di manakah ihsan kita?

Sememangnya tanggungjawab menjaga ibu bapa adalah satu tugas yang berat, namun apakah sama taraf bandingnya dengan keperitan mereka lalui ketika mengandungkan, melahirkan seterusnya mendidik kita dengan didikan yang sempurna?

Direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, Nabi SAW didatangi seorang lelaki untuk bersama berjihad dalam peperangan. Lalu Nabi SAW bertanya: Adakah kamu sudah meminta izin daripada kedua-dua ibu bapamu? Lantas lelaki itu menjawab: Belum. Maka Nabi SAW menyuruhnya untuk pulang meminta izin daripada kedua-duanya dan jika tidak dibenarkan untuk turut sama berperang maka Nabi SAW menyuruhnya untuk kekal berbakti kepada keduanya.

Berlaku baiklah kepada kedua-duanya walaupun sesibuk manapun kita. Jika ada perselisihan, maka berbincanglah dengan baik dan mendahulukan kehendak ibu bapa itu lebih utama berbanding kehendak diri dan keluarga kita.

Janganlah kerana kepentingan isteri dan anak, kita melupakan tanggungjawab penjagaan kedua ibu bapa. Turutilah kata mereka selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam. Jika bercanggah dengan syariat maka tolaklah dengan baik dan janganlah menderhaka kepada kedua-duanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila mereka menyuruh engkau menyekutukan-Ku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui maha janganlah engkau taati mereka berdua dan bergaullah dengan mereka berdua di dunia secara baik.”

Ibnu Kathir menukilkan kisah seorang sahabat, Saad bin Abi Waqqas yang menolak permintaan ibunya untuk meninggalkan agama Islam sehinggakan ibunya mengugut Saad bin Abi Waqqas untuk tidak makan dan minum sehinggalah beliau meninggalkan Islam.

Maka turunlah perintah Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah mewasiatkan kepada manusia untuk berlaku baik kepada kedua-dua ibu bapa. Jika mereka menyuruh kamu mesyirikkan-Ku dengan apa yang engkau tidak ketahui maka janganlah kamu mentaatinya.” (Surah al-‘Ankabut, ayat 8).

Next Page »