UKAS: SINERGI BERSAMA PESATKAN PELANCONGAN NEGERI

September 21, 2010 by  
Filed under Berita Bergambar, Fokus

SEREMBAN: 21 Sept – Menyedari kepentingan sektor pelancongan dalam menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri dan rakyat, Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar Dato Seri Utama Haji Mohamad Hasan, kini menggalakkan jalinan sinergi antara pihak swasta dan awam bagi membantu merancakkan industri pelancongan di negeri berkenaan.

Ini termasuklah mewujudkan jalinan kerjasama  menerusi UKAS, atau Unit Kerjasama Awam Swasta, bagi menghasilkan produk-produk pelancongan yang kreatif, unik dan berpotensi menarik kemasukan pelancongan domestik dan asing ke negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Dato Mohammad Razi Kail, pendekatan bergantung sepenuhnya kepada pihak kerajaan dalam memperkembang produk pelancongan negeri perlu diubah.

Berpegang kepada konsep “Think & Act Tourism”, beliau giat merencana strategi dan mengimplimentasikan pendekatan paling efektif bagi memabntu meningkatkan sektor pelancongan di Negeri Sembilan.

“Di peringkat negeri, kita telah pun mewujudkan UKAS, iaitu Unit Kerjasama Awam dan Swasta bagi membangunkan sektor pelancongan secara bersama dengan pihak swasta.

Ini termasuklah memikirkan kaedah dan pendekatan terbaik bagi mambawa masuk pelancong dan pengunjung, mewujudkan kawasan tarikan baru selain memastikan produk pelancongan yang ada di negeri ini kini terus dipertingkatkan,” kata Dato’ Razi dalam pertemuan di pejabatnya di sini.

Pihak swasta perlu mengambil peluang dari pelbagai sumber pelancongan yang wujud di negeri ini untuk menghasilkan produk pelancongan baru yang dapat menarik minat pengunjung untuk menjadikan Negeri Sembilan destinasi pelancongan dan percutian utama negara.

Menurut Dato Razi, Negeri Sembilan amat bertuah kerana mempunyai segala sumber pelancongan seperti rupa bumi yang terpelihara, hutan semulajadi, pantai yang indah, kampung yang asli, adat yang unik, kawasan-kawasan sesuai untuk pelancongan eko (eco-tourism), pelancongan kesihatan, makanan dan sebagainya.

“Yang penting, segala langkah yang diambil perlu bersifat dinamik dan sentiasa memandang ke hadapan, dan menjadikan pengunjung dan pelancong sentiasa ingin kembali ke Negeri ini untuk bercuti atau berbelanja,” kata beliau.

Untuk memastikan strategi pelancongan yang berkesan, sektor pelancongan di negeri ini dikelaskan dalam beberapa kategori iaitu pelancongan inap desa atau homestay, pelancongan pantai, pelancongan eko dan rekreasi, pelancongan sejarah dan budaya, pelancongan kesihatan, pelancongan makanan, pelancongan pendidikan, pelancongan agro dan pelancongan sukan.

Ketika ini, produk pelancongan pantai utama merupakan produk utama negeri dengan Port Dickson, yang dikategorikan sebagai pantai peranginan negara, terus diberi tumpuan dan dipertingkatkan potensinya.

“Port Dickson merupakan aset negeri kerana ia merupakan pantai peranginan negara yang mempunyai segala kemudahan dan infrastruktur yang mampu menarik pelancongan dan pengunjung.

Apatah lagi dengan jarak yang berdekatan dengan Kuala Lumpur, pelbagai aktiviti dan kegiatan dan peninggalan sejarah, Port Dickson menjadi tunjang utama pelancongan negeri. Sebab itu, kerajaan mengajak pihak swasta, termasuk pemaju dan pemilik hotel turut berganding bahu dengan pihak kerajaan bagi mencari jalan untuk terus mempopularkan Port Dickson dan menyediakan infrastruktur dan prasarana yang lengkap,” kata beliau sambil menambah Port Dickson bukan sahaja dikenali sebagai pantai peranginan, tetapi juga pusat “Wellness” dan kegiatan sukan air.

Selain Port Dickson, kawasan atau daerah yang giat dibangunkan khusus untuk merancakkan sektor pelancongan di negeri ini ialah Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Tampin, Jelebu dan Jempol.

Strategi kerajaan negeri ialah membina potensi dan mengembangkan produk-produk pelancongan yang unik dengan kawasan dan daerah-daerah berkenaan untuk dimanfaatkan oleh penduduk setempat.

Umpamanya di Seremban, penekanan diberi terhadap pelancongan sejarah, pelancongan agro dan pelancongan pendidikan serta kesihatan manakala di Rembau terkenal dengan pelancongan sejarah termasuk inap desa, pelancongan eko seperti pengembaraan dan alam semulajadi.

Begitu juga, Kuala Pilah membangunakan kawasan tarikan semulajadi seperti di Ulu Bendul manakala Tampin terkenal dengan pelancongan hutan tropika semulajadi seperti Hutan Lipur Gunung Tampin dan destinasi bersejarah Stesen Keretapi Gemas.

Menurut Dato Razi, kerajaan negeri menggalakkan pihak-pihak swasta mengenalpasti kawasan baru yang sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan dan tarikan.

Aspek promosi diberikan penekanan utama dan Kerajaan negeri bercadang mempopularkan destinasi dan produk pelancongan utama negeri menerusi pelbagi medium termasuk promosi secara bersepadu di media cetak, media elektronik, internet dan promosi lain.

“Teknologi maklumat dan internet perlu manfaatkan sepenuhnya dalam sektor pelancongan, kerana apabila bercakap mengenai pasaran, ianya mencakupi pelancong asing yang berada beribu-ribu jauhnya.

Menerusi internet dan portal web, usaha promosi dan tempahan tempat percutian, hotel, pengangkutan dan sebagainya dapat dilakukan dengan berkesan, ekonomikal dan pantas serta mempunyai impak yang tinggi,” kata beliau.

Bertemakan slogan “ Unique Culture, Popular Destination”, Dato Razi berharap usaha menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi utama pelancongan di negara ini dapat direalisasikan secepat mungkin.

“Sebab itu, sinergi antara kerajaan-swasta amat penting kerana ia mampu memacu dan mengembangkan pasaran pelancongan negeri dengan kadar lebih pesat dan pantas,” kata beliau.

SEKTOR PERTANIAN: MENJANA HASIL NEGERI, MENAMBAH PENDAPATAN DAN KEHIDUPAN RAKYAT

September 21, 2010 by  
Filed under Berita Bergambar, Fokus

JELEBU, 21 Sept – Kerajaan Negeri mensasarkan untuk meningkatkan hasil keluaran padi daripada 22 peratus ketika ini kepada 40 peratus menjelang tahun 2013, kata Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri YB Dato Yunus Rahmat.

Ini merupakan antara agenda yang telah dipahat oleh Kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Dato Seri Utama Mohamad Hasan dalam usaha menjadikan sektor pertanian sebagai antara penjana ekonomi penting bagi negeri dan rakyat.

Di sebalik kerancakan sektor perindustrian di Negeri Sembilan ekoran kewujudan dan penempatan pelbagai kilang pembuatan dan pelabur perindustrian, sektor pertanian tetap menjadi agenda utama kerajaan negeri untuk memastikan rakyat mempunyai pilihan dan opsyen untuk kemajuan diri dan bangsa.

Negeri Sembilan pada asasnya dianggap sebagai sebuah negeri yang berasaskan pertanian sebelum ini, dengan kira-kira 3,099 km persegi tanahnya digunakan untuk pertanian komoditi perindustrian seperti getah dan kelapa sawit.

Program di bawah Jabatan Pertanian Negeri kini yang memusatkan usaha menggerakkan empat bidang iaitu pembangunan industri sayur-sayuran, buah-buahan, tanaman ladang dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) merupakan antara langkah proaktif yang diambil.

Usaha tanaman dan pengeluaran padi masih dilihat sebagai antara penjana utama dalam sektor pertanian terutamanya bagi menampung keperluan penggunaan dan permintaan dalam Negeri.

Namun, masalah utama yang mengekang ialah tanah sawah terbiar yang tidak diusahakan atas pelbagai alasan. Ini termasuklah disebabkan oleh tanah adat, tanah anugerah dan sebagainya.

Bagi merealisasikan pencapaian sasaran 40 peratus itu, kerajaan negeri telah  mengorak langkah proaktif termasuk menganjurkan satu symposium pada Mac lepas negenai pengurusan tanah terbiar serta mencari jalan bagaimana mengatasi pelbagai halangan dan kekangan yang menyebabkan kawasan-kawasan berkenaan menjadi tanah terbiar.

Pembukaan beberapa kawasan baru memberikan sinar buat kerajaan untuk mengatasi pelbagai masalah yang mengekang usaha memajukan sektor pertanian khususnya penanaman padi di negeri ini.

Pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi tujuan menguruskan tanah-tanah terbiar yang dianggarkan meliputi kawasan seluas 3,000 hektar di Negeri Sembilan.

“Setakat ini sebanyak RM2.8 juta telah dibelanjakan untuk memulih dan membangunkan semula tanah terbiar ini menerusi projek penanaman padi, sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan dan sebagainya.

Usaha sebegini akan diteruskan menerusi pelbagai kaedah dan mekanisme termasuk jalinan kerjasama dengan pemimpin di peringkat akar umbi, pejabat-pejabat daerah, pegawai-pegawai pusat pertanian dan kalangan pemipin masyarakat, terutamanya dalam menguruskan malah tanah terbiar, tanah adat dan tanah anugerah,” kata beliau.

Usaha kerajaan untuk memperkasa sektor pertanian dijalankan menerusi pelbagai program yang direncanakan oleh kerajaan negeri menerusi kerjasama dan gandingan dengan pelbagai agensi pertanian negeri di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.  Ini termasuk memperkukuh sektor komoditi makanan seperti pengeluaran padi dan hasilnya, ternakan haiwan daging lembu, kambing, telur dan susu.

Menurut Dato Yunus, penanaman sayur-sayuran umpamanya merupakan antara aktiviti pertanian utama di negeri ini. Usaha mempertingkat industri sayur-sayuran ini dijalankan menerusi pelbagai kaedah proaktif termasuk tumpuan kepada ladang rakyat Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang  kini rancak dijalankan di Kuala Pilah, Tampin, Jelebu, Seremban dan Port Dickson.

Ladang rakyat berkenaan diusahakan untuk memastikan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang produktif dan mengeluarkan hasil tinggi.  “Secara tidak langsung, usaha sebegini juga membantu memenuhi keperluan masyarakat dan penduduk di Lembah Kelang. Ini dilakukan menerusi jalinan kerjasama dan pertalian erat dengan jabatan pertanian, veterinar, MARDI, lembaga Pertubuhan Peladang dan sebagainya,” kata beliau.

Melahirkan lebih banyak usahawan Tani

Dasar pertanian negeri juga mensasarkan usaha melahirkan lebih ramai usahawan-usahawan kecil dan sederhana (IKS) dalam sektor pemprosesan hasil pertanian, makanan dan hasil berasaskan industri asas tani.

Menurt Dato Yunus, kerajaan negeri mensasarkan peningkatan sebanyak 3 peratus dalam jumlah usahawan bagi memastikan hasil dan limpahan nikmat dari sektor pertanian dapat dirasai semua lapisan masyarakat.

“Setakat ini, seramai 2,650 orang telah berdaftar dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPE) dalam semua sektor industri asas tani.  Jika kita dapat tambah ke 3 peratus, InsyaAllah, sektor pembuatan hasil makanan ini seperti pembuatan kerepek pisang, jem dan lain-lain makanan boleh berkembang,” kata beliau.

Kurang bantuan dan peruntukan bukan lagi alasan bagi usahawan menggandakan usaha. Ini kerana kerajaan negeri sentiasa menambah bantuan dari semasa ke semasa .

“Setiap tahun, kita berikan bantuan kepada tidak lebih 220 usahawan yang sedia ada atau usahawan baru untuk menambahkan hasil dan sumber pendapatan. Tahun ini, lebih 200 orang telah diberi bantuan, ini termasuklah memberi bantuan mempertingkatkan kaedah pengeluaran seperti bantuan mesin dan sebagainya,” kata Dato Yunus.

Di peringkat pusat, Kementerian sendiri telah menyalurkan bantuan sebanyak RM2.1 juta bagi usaha membantu usahawan kecil dalam semua sektor pertanian mengembangkan usaha mereka.

Galak belia ceburi pertanian

Pembabitan kalangan belia pula amat penting dalam memastikan dasar pertanian negeri dan sektor pertanian dapat dijayakan.  Di peringkat negeri, pembabitan belia dalam sektor pertanian di Negeri Sembilan amat menggalakkan terutama dalam bidang ternakan lembu, kambing, penternakan ikan sangkar dan kolah di Kuala Pilah, Rembau dan Tampin.

“Ini terhasil menerusi pelbagai program yang wujud termasuk pinjaman belia niaga yang telah membantu para belia mendapatkan suntikan modal untuk melipatgandakan usaha termasuk menjayakan program ladang rakyat di TKPM di Bemban, Air Kering dan Jempol.

“Dalam setiap program membabitkan TKPM, memang ada peruntukan 20 peratus penyertaan belia. Usaha dan peluang untuk para belia ini tidak terbatas hanya pada satu kaum, tetapi meliputi semua kaum kerana memang menjadi dasar kita untuk menjayakan sektor ini menerusi penyertaan pelbagai kaum,” kata Dato Yunus.

Dalam pada itu, kewujudan Pusat Fidlot Kebangsaan (National Fidlot Centre)  di Gemas juga telah menghasilkan kejayaan terutama dalam menampung keperluan daging lembu di musim-musim perayaan.

Menurut beliau, setakat ini lebih daripada 5,000 ekor lembu telah dibawa masuk, dipelihara dan dibiak menjadikan bilangan berkenaan bertambah dari semasa ke semasa. “Setiap kali diadakan program Mantai Perdana, banyak daging lembu dipasarkan di negeri ini dengan harga amat berpatutan dan secara tak langsung, memberi manfaat kepada rakyat,” kata beliau.

Memandangkan pasaran daging lembu yang sentiasa meningkat dan tidak mencukupi, inisiatif dibuat untuk mewujudkan 5 ladang satelit iaitu tiga di Tampin, masing-masing satu di Rembau dan Jelebu.

“Pembangunan ladang satelit berkenaan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM25 juta dan mampu menternak kira-kira 6,000 ekor lembu yang diusahakan samada oleh penternak sedia ada atau penternak yang baru.

“Kita akan cuba membawa masuk seberapa ramai anak-anak Negeri Sembilan untuk terbabit dalam ternakan di ladang-ladang satelit ini di pelbagai daerah.

‘Di bawah program ladang ternakan satelit ini, sebanyak 30 kandang disediakan dengan purata 200 ekor bagi setiap kandang. Jadi, kelima-lima ladang satelit ini mampu menyediakan 6,000 ekor lembu yang mampu dipasarkan pada bila-bila masa” kata Dato Yunus.

Memperkasa ternakan ikan air tawar

Selain ternakan dan lembu, usaha dipertingkatkan untuk memastikan industri ternakan ikan air tawar muncul antara penjana utama ekonomi negeri dan rakyat.

Jelebu misalnya kini mempunyai Pusat Penyelidikan Air Tawar, satu-satu seumpamanya di Malaysia, yang memberi kemudahan kepada masyarakat, pengusaha dan penternak mendalami ilmu ternakan air tawar.

“Di bawah inisiatif berkenaan, diwujudkan bank genetik untuk pertanian di mana orang-orang kampung boleh mendalami atau mendapatkan maklumat berguna untuk meningkatkan pengeluaran hasil mereka. Segala ini memang disediakan untuk rakyat,” kata beliau.

Segala kemudahan telah diwujudkan, dan segala peluang juga tersedia untuk diusahakan, Segalanya terpulang kepada inisiatif dan kemahuan diri untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Kerajaan negeri mahu memastikan dasar pertanian negeri tercapai tetapi segala ini perlukan penyertaan total daripada rakyat dan usahawan, kata Dato Yunus.

“Saya harap golongan petani, penternak, usahawan tani tidak berlengah merebut segala peluang yang tersedia di depan mata mereka untuk terbabit membangunkan sektor ini.

Di pihak kerajaan, bantuan akan diteruskan, bimbingan akan terus disediakan, segala prasarana dan infrastruktur telah diwujudkan termasuk khidmat nasihat daripada semua sekotor pertanian .

Menimba pengetahuan bukan lagi halangan kerana pelbagai saluran telah disediakan untuk memastikan petani dan penternak menjalankan usaha mengikut konsep moden.

“Paling penting ialah masyrakat sendiri mesti bersikap pro aktif dan jika ada sebarang masalah atau kemusykilan, rujuk kepada pegwai dan jabatan tertentu, termasuklah Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen yang telah diwujudkan di setiap peringkat Parlimen negeri,” kata beliau mengakhiri temubual.

——

AGRICULTURE SECTOR: GENERATING STATE REVENUE, INCREASING INCOME AND IMPROVING LIVING STANDARDS

JELEBU: SEP 12 – State Government aims to boost paddy output from the current 22 percent up to 40 percent by 2013, YB Dato Yunus Rahmat, EXCO Agriculture, Agro-based Industries, Entrepreneur Development and State Cooperative said. 

This agenda is one upheld by State Government premiered by Menteri Besar Dato Seri Utama Mohamad Hasan to elevate the agriculture industry as an essential revenue generator for the state and its constituents.

Beneath the buzz of the industrial sector in Negeri Sembilan, following the implementation and location of various manufacturing factories and industrial investors, the agriculture sector remains as the main agenda of the State Government in ensuring its constituents’ availability of choice and option for personal and national development.

Negeri Sembilan, in its roots, has been perceived as a state with in fundamentals based in agriculture, as approximately 3.099 square kilometers of its land space utilized to agriculture for industrial commodity like rubber and oil palm.

Ministry of Agriculture’s present program’s proactive steps employs to centralize efforts for development of vegetable, fruit and farm produce industry and Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Paddy plantation and production is still viewed as one of primary generator in the agriculture sector especially to accommodate the need and demand within the State.

However, the key repressing problem is the undeveloped and abandoned fields due to multiple reasons which include awarded lands and rite land amongst others.

In order to accomplish the 40 percent target, State Government has employed practical measures together with organizing a symposium in March on the management of abandoned lands as well as unearthing ways to overcome the obstacles and hindrance causing these particular lands to be deserted.

Opening of several new areas shines a ray of hope for the State Government in prevailing over the multitude of problems that inhibits advancement in the agriculture sector specifically paddy plantation in this state

Ministry of Agriculture and Agro-based Industry has funneled allocation of RM 5 million purposed to handle matters in relation to abandoned lands estimated to span over 3000 hectares in Negeri Sembilan.

“As of now, RM 2.8 million has been spent in restoring and re-developing these abandoned lands with projects like paddy plantation, cultivation of fruits and vegetables, farming and husbandry.”

 “Attempts like these will be continued through a variety of methods and mechanism including collaborative ties with grassroots leaders, district offices, officers at agriculture centers and amongst community leaders, especially in managing abandoned, rite and awarded lands,” he furthered.

Government’s effort to muscle the agriculture sector is carried out through a range of programs scheduled by State Government by collaborations and unions with state agriculture agencies under the purview of the Ministry of Agriculture and Agro-based Industry will comprise of strengthening the food commodity sector like paddy production and husbandry produce such as beef, mutton, eggs and dairy.
 
 According to Dato Yunus, cultivation of vegetables, for example, will be one of the main agricultural activities in this state. Improvement of the vegetable industry will be will be conducted by the course of diverse down-to-business schemes particularly spotlighting the people’s farm, Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), that has received robust attention in Kuala Pilah, Tampin, Jelebu, Seremban and Port Dickson.


The people’s farm (TKPM) is designed and developed to guarantee productive vegetable and fruit farming and yield high harvest rating. “Indirectly, these efforts also aid in fulfilling the need from the Klang Valley community. This has been possible from the collaboration and strong ties between the Ministry of Agriculture, veterinaries, MARDI, Farmers Association bodies and the likes,” he furthered.


Delivering more Agro entrepreneurs


State agricultural policies also intend to give rise to more small and medium entrepreneurs (SME) in the processing sector for agricultural crops, food and agro-based produce.



Dato Yunus asserted, State Government aspire an increment of 3 percent in the total number o entrepreneurs to ensure revenue and overspills from the agricultural sector are enjoyed across the community strata.



“2650 people have registered themselves in the State Economic Planning Unit (UPE) in all agro-based industry sectors. If we are able to add up to desired 3 percent, InsyaAllah, expansion and growth in food productions such as banana chips, jams and other foods is more than possible,” he added.


Lack of aid and allocation can no longer be an excuse for entrepreneur to double their efforts. This is because the State Government is always committed in increasing assistance and supplying aid from time to time.


“Every year, we provide assistance to no more than 220 available entrepreneurs or new ones to increase revenue and income source. This year, more than 200 have received our assistance, this includes aid to advance production methods such as machinery among others,” Dato Yunus informed.

At the central level, the Ministry has channeled aid worth up to RM 2.1 million to assist small agro-based entrepreneurs in expanding their efforts.

NurulhudaEllya@n9kini.com

 

“GREATER KUALA LUMPUR”: Seremban, Port Dickson dan Rembau raih nikmat limpahan pembangunan

July 28, 2010 by  
Filed under Fokus, Program Harian Menteri Besar

AKTIVITI dan kesan pembangunan pesat di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang bakal melimpah dan dinikmati penduduk Seremban, Port Dickson dan Rembau, — tiga kawasan yang dikenalpasti termasuk dalam pembangunan “Greater Kuala Lumpur”.

Dalam masa beberapa tahun akan datang, penduduk kawasan berkenaan khususnya bakal merasai kesan limpahan ekonomi dan pembangunan fizikal dan sosial menerusi rancangan pembangunan berimpak tinggi yang dijalankan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), seperti diumumkan Perdana Menteri YAB Dato Sri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Ini tentunya mendorong kewujudan dan kerancakan pelbagai kegiatan sosial dan aktiviti ekonomi yang sihat, yang bakal memacu, meransang, dan mempertingkat taraf kehidupan penduduk, baik dari aspek fizikal mahu pun sosial.

Agenda dan matlamat Menteri Besar Dato Seri Utama Mohamad Hasan, untuk memastikan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan sentiasa terbela akan dapat dipercepat menerusi program pembangunan berimpak tinggi di bawah RMK10 nanti.

Tiga projek berimpak tinggi telah digaris dan dirancang untuk dibangunkan dan Negeri Sembilan, menurut Dato Seri Mohamad, bertuah kerana salah satu daripadanya membabitkan “penyertaan” negeri itu sebagai penggerak dan penjana memperkukuh bukan sahaja ekonomi negeri, tetapi ekonomi negara secara keseluruhannya.

Pastinya, penduduk rakyat khususnya di tiga kawasan berkenaan akan merasakan nikmat daripada arus pembangunan ini. Justru, rakyat juga diminta bersedia menerima hakikat bahawa kawasan-kawasan berkenaan sudah pun menjadi “sebahagian” Kuala Lumpur, sambil mereka pula kini sudah bergelar penduduk “sub-urban” Kuala Lumpur.

“Secara sedar atau tidak, penduduk di Seremban, Port Dickson dan Rembau sudah pun menjadi sebahagian daripada warga Lembah Kelang. Perkara ini sudah pun diwartakan, di mana ketiga-tiga kawasan ini merupakan sebahagian daripada Lembah Kelang yang besar (Greater Kuala Lumpur) di bawah liputan kawasan gabungan bandar-bandar kecil Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Conurbation),” kata Dato Seri Mohamad.

Menurut beliau, tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan pusat kepada Negeri Sembilan sebagai platform menjana pembangunan dan ekonomi negara merupakan petanda peri pentingnya peranan Negeri dalam sama-sama meransang ekonomi negara menerusi projek-projek berimpak tinggi.

“Jadi semua pihak, daripada jentera kerajaan, agensi, pihak swasta, bahkan rakyat secara keseluruhannya perlu bekerjasama dan perlu sama-sama menjayakan agenda pembangunan ini.  Yang pasti, akan membawa kesejahteraan buat rakyat,” kata beliau.

Rancangan berimpak tinggi itu termasuk pembangunan secara tersusun di kawasan 9 ribu ekar di Labu dan satu lagi di kawasan seluas 11 ribu ekar di Sendayan meliputi Tanah Merah.

Di bawah rancangan berkenaan, Labu (New Labu Estate) bakal dibangunkan sebagai bandar Pelajaran yang menempatkan pelbagai universiti kerajaan dan swasta serta kolej-kolej dan sekolah berasrama penuh dan sekolah harian yang bakal merancakkan pembangunan pendidikan dan memupuk modal insan termasuk kemahiran teknikal.

“Ini diharap dapat merealisasikan usaha kerajaan negeri menjadikan Negeri Sembilan sebagai hab pendidikan bagi melahirkan modal insan berkualiti secara berterusan,” kata beliau.

Labu juga bakal jadi tumpuan penganjuran acara-acara sukan ternama di masa depan dengan statusnya sebagai bandar sukan dengan pembinaan kemudahan dan infrastruktur sukan secara berpusat, bertaraf antarabangsa dan berimpak tinggi. Ini termasuk pembinaan  pusat pembangunan dan penyelidikan sukan, institut sukan negara, sekolah sukan, stadium bertaraf antarabangsa dan institusi pengajian tinggi (IPT) berteraskan sukan.Jarak yang dekat dengan Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur juga memudahkan segala bentuk program dan pembinaan kemudahan sukan.

Begitu juga, Tanah Merah akan digerakkan sebagai sebuah bandar perindustrian dan kawasan pelancongan, kata beliau.

“Pembangunan perindustrian di kawasan ini akan membawa kepada pelbagai manfaat lain seperti menarik kemasukan pelabur asing selain membuka peluang pekerjaan secara meluas, manakala kepesatan sektor pelancongan pastinya memberi impak kepada industri-industri berkaitan pelancongan,” kata beliau.

Menurut beliau, prospek kepesatan pembangunan itu disalah terima dan disalah anggap sebagai membawa kesan negatif oleh segelintir pihak, terutama kesan sosial yang terbit daripada arus pembangunan yang pesat seperti itu.

“Kita kini berada betul-betul di tengah kerancakan pembangunan dan ini tidak dapat dielakkan kerana  Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan sekitarnya kini sudah semakin sesak. Saya, selaku Ketua kerajaan negeri akan pastikan kesejahteraan rakyat diutamakan dalam apa juga tindakan kita,” kata beliau.

Dalam pada itu, rancangan pembangunan kawasan perindustrian baru seluas 4,451 hektar dalam tempoh 10 tahun di kawasan hiliran negeri ini, iaitu Port Dickson, diharap berupaya mengelak pencemaran terhadap sumber air negeri ini. Ini kerana kebanyakan industri ketika ini terletak di kawasan hulu yang menyebabkan pencemaran kepada sungai yang menjadi sumber air minuman.

Pembangunan pesat negeri juga meliputi pembinaan jajaran jalanraya dan lebuhraya yang efisien di bawah RMK10. Antaranya meliputi jajaran jalanraya  baru dari KLIA ke Sendayan, Rantau, Sg. Gadut hingga ke Lebuhraya LEKAS dan bercantum di Kuala Pilah dan Senawang.

Penyediaan rangkaian jajaran jalanraya sebegitu amat penting untuk memberi impak dan menarik penyertaan syarikat-syarikat konglomerat dan antarabangsa untuk melabur dan dan beralih arah mewujudkan operasi di Negeri Sembilan.

Antaranya syarikat asing besar yang kukuh bertapak termasuklah Samsung, ON Semiconductor, Nestle, TDK, ALPS, Hitachi Cables, 3M, Philip Morris, Dumex, SKF Bearing, Camcar Textron dan banyak lagi.

Apa yang diharapkan kini ialah bagi rakyat untuk sama-sama berusaha  dan merasai arus pembangunan yang dirancang. Dato Seri Mohamad Hasan sendiri mengharapkan rakyat tidak terlalu terpengaruh atau termakan dengan tanggapan negatif serta pelbagai tohmahan yang sekadar mahu meraih populariti dan menidakkan keupayaan kerajaan negeri mempertingkat agenda pembangunannya.

“Kerja keras dan tiada jalan pintas mencapai kejayaan, selain percaya bahawa tiada yang mustahil dalam dunia ini…jika ini jadi pegangan, saya percaya kerajaan dan rakyat boleh maju dan mencapai apa saja misi yang ditetapkan,” kata Dato Seri Mohamad.

DARI MEJA PENGARANG KHAS N9KINI.COM

FOKUS KHAS – MEMPERKASA GOLONGAN BELIA NEGERI SEMBILAN

July 26, 2010 by  
Filed under Fokus, Program Harian Menteri Besar

PEMBANGUNAN Belia merupakan antara teras dan inisatif yang digerakkan secara serius oleh Kerajaan negeri di bawah teraju Menteri Besar Dato Seri Utama Mohamad Hasan, yang sentiasa mahukan belia di negeri ini berfikir di luar lingkungan dan mempunyai daya pemikiran yang kritis.

Untuk itu, pelbagai peluang, medium dan platform di sediakan bagi golongan muda ini untuk memajukan diri, selain aktif menyumbang idea, tenaga dan kemahiran bagi pembangunan negeri, baik fizikal, spiritual dan juga pembangunan insan. Bergerak menerusi pelbagai persatuan yang wujud merupakan satu langkah yang dapat membangunkan pemikiran belia, terutama dalam era penuh mencabar di mana persaingan kini bukan lagi terhad di dalam negeri, tetapi sudah berbentuk global dalam persekitaran dunia tanpa sempadan.

“Kepimpinan belia di negeri ini dan juga para belia sendiri tidak harus bergantung sepenuhnya terhadap bantuan kerajaan sebaliknya berfikir dengan lebih terbuka bagi menguruskan persatuan mereka secara total,” kata Dato’ Seri Mohamad Hasan.

Belia yang berwawasan, yang mempunyai jati diri merupakan aset dan inilah yang sedang diusahakan secara tersusun oleh pentadbiran kerajaan negeri yang mahu melahirkan insan belia yang mempunyai jati diri yang ampuh dan berwawasan.

“Belia harus menjadi ejen yang mampu mengerakkan sesebuah organisasi mengikut acuan mereka,” kata beliau pada satu majlis baru-baru ini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri bersedia memberi apa jua bantuan seperti pembinaan infrastruktur bagi membantu pergerakan belia di negeri ini beroperasi dalam keadaan yang kondusif dan menjana pemikiran yang kritis.

“Kerajaan negeri akan membantu daripada aspek pembinaan infrastruktur dan sebagainya bagi membolehkan setiap persatuan dapat bergerak bagi memenuhi aspirasi mereka,” kata beliau.

Begitupun, corak gerakan dan aktiviti beliau harus dikembangkan dan diglobalkan agar ia boleh memasukkan penyertaan masyarakat secara menyeluruhd an tidak terbatas kepada aktiviti belia sahaja.

“Itulah sebabnya saya meminta semua belia untuk berfikir secara lebih terbuka dalam memastikan pertubuhan mereka bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli bahkan kepada masyarakat,” katanya.

Pada masa yang sama, syarikat swasta juga diharap dapat berganding bahu turut sama membantu pertubuhan belia dan memperkasa kedudukan belia.

Menerusi gerak kerja di bawah Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan yang diterajui oleh Datuk Abd. Samad Ibrahim, pembangunan belia di negeri ini diharap dapat mencapai tahap seperti yang digariskan dalam RMK10. Belia masa kini dilihat sebagai aset penting, apatah lagi mereka merupakan pewaris kepimpinan negara di masa depan. Jadi penting bagi jentera kerajaan negeri, NGO mahupun parti-parti politik memastikan bahawa pemikiran mereka sentiasa berkembang secara positif dan tidak dicemarkan dengan pemikiran songsang atau ekstrem.

Menerusi gerakan yang diusahakan oleh Majlis Belia Negeri Sembilan, belia di negeri ini diberikan pelbagai pendedahan termasuk usaha-usaha yang membolehkan mereka meningkatkan skil dan kemahiran.

Pewujudan Sistem Infobelia yang digerakkan sebelum ini menghasilkan kesan positif dengan lebih 55,000 pengguna dari kalangan belia dilaporkan sudah menyertainya. Sistem itu membolehkan Menteri Besar, sebagai ketua negeri untuk lebih mudah berinteraksi menerusi sistem pesanan SMS dengan golongan muda dan mengetahui sendiri secara peribadi apa yang berlaku di peringkat akar umbi.

Beliau berpuashati dengan sambutan dari golongan belia terhadap langkah berkenaan yang menurutnya, mampu mendekatkan golongan belia dengan pentadbiran kerajaan negeri.

“Sambutan yang diterima amat baik sekali kerana setakat ini sudah 55,000 orang aktif menyertai sistem ini dengan menjadi ahli. Saya kini sentiasa berkomunikasi dengan mereka dan bangga dan besar hati kerana golongan muda ini dapat memberi pelbagai maklum balas.

Katanya, golongan belia di negeri ini semakin matang kerana mereka kini lebih bersikap proaktif dalam membincang dan memberi maklumat mengenai pelbagai masalah setempat dan kepincangan-kepincangan dalam sistem sosial.

Perhatian serius yang diberikan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan semasa sambutan Perhimpunan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan Mei lepas yang dihadiri lebih 5,000 belia dari seluruh negeri juga jelas menunjukkan keprihatinan beliau untuk terbabit dalam aktiviti belia dan mahu berhubung secara langsung dengan belia dari seluruh negeri ini.

Hakikat bahawa hanya sekitar 10 peratus sahaja belia di negeri ini yang berpersatuan seharusnya menerbitkan kebimbangan dan menerusi beberapa kaedah khususnya kerjasama dengan Majlis Belia Negeri Sembilan, diharap dapat ditingkatkan sehingga 60 peratus seperti yang disarankan oleh Menteri Besar.

Mendekati golongan belia pada masa ini juga berbeza berbanding masa lepas, dengan pelbagai kaedah, platform dan aplikasi baru yang sentiasa mengalami evolusi menurut arus permodenan.

Selain sistem Infobelia, beliau juga mendekati belia menerusi laman web sosial termasuk Facebook yang dianggap kini sebagai medium paling efektif dalam penyaluran maklumat terkini dan pantas.

Beliau percaya, sekiranya masalah birokrasi dapat dikurangkan, beliau yakin, belia akan lebih mudah didekati dan ini pastinya membantu jentera pentadbiran kerajaan negeri menjayakan pelbagai agenda pembangunan fizikal dan spiritual.

“Saya harap kaedah kaedah ini akan memberi ruang kepada belia dan masyarakat menghadapi kerenah birokrasi yang kadang-kadang menapis pandangan-pandangan, idea atau maklumat yang mereka hendak sampaikan,” katanya.

Sistem penghantaran mesej dengan cara menaip : MBNSmesejdan hantar ke 06-7642000 itu dilihat sebagai satu pendekatan baru yang dapat memintas banyak masalah birokrasi.

Dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi golongan belia, peranan Dewan Tertinggi Majlis Belia Negeri Sembilan juga ditagih dalam menggembeling tenaga dan fikiran dan bertindak sebagai perancang menggerakkan aktiviti belia di negeri ini dengan lebih tersusun. Dewan berkenaan dianggotai oleh kesemua 23 pengerusi persatuan belia di negeri ini untuk memberikan idea dan pandangan cara terbaik memperkasakan belia.

Begitu juga, penubuhan Sekretariat Tetap Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan sebelum ini yang meletakkan seorang penyelaras belia di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri bertujuan memastikan golongan belia tidak tertinggal dari arus pembangunan negeri.

Kesemua langkah diambil bagi memastikan bahawa belia di negeri ini dapat diperkasakan menerusi pendidikan, sukan dan rekreasi, ekonomi, kebudayaan dan kesenian.

Jika ini dapat dilakukan secara efektif, usaha untuk membentuk jati diri belia, dengan penyediaan ruang dan peluang di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dapat dilaksanakan secara efektif. Gerakan memperkasa belia juga perlu untuk memastikan agenda pendidikan dan modal insan, sukan dan rekreasi, ekonomi dan keusahawanan dan kebudayaan dan kesenian tercapai.

Pelan tindakan rancangan pembangunan belia di Negeri Sembilan yang digerakkan sebelum ini yang menekankan kepada pendidikan dan kemahiran, kesihatan dan kecergasan, pekerjaan dan ekonomi, jati diri dan sosio-budaya serta persatuan dan partisipasi, merupakan antara tindakan pro-aktif Menteri Besar bagi memperkasa golongan belia.

Ia bagi membangunkan belia di negeri itu menjadi belia yang kukuh dari segi spiritual, psikologikal, intelektual dan fizikal, berilmu tinggi dan berbudaya, berdikari dan produktif.

Belia di Negeri Sembilan sebenarnya mempunyai pelbagai peluang memajukan diri, dan inisiatif yang digerakkan dan diilhamkan oleh Dato Seri Mohamad Hasan sebelum ini banyak menjurus kepada pembangunan dan pembinaan kapasiti serta pengupayaan belia agar menjadi barisan pimpinan masa depan yang boleh diharapkan.

DARI MEJA PENGARANG KHAS N9KINI.COM

FOKUS KHAS – AGENDA PELANCONGAN JADIKAN NS DESTINASI PILIHAN

July 17, 2010 by  
Filed under Fokus, Program Harian Menteri Besar

Pelancongan merupakan sektor penting yang mampu menjana kekukuhan ekonomi sesebuah negara dan rakyatnya menerusi pelbagai limpahan manfaat seperti peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi samada berskala besar atau kecil selain menggiatkan pembangunan sosial kepada masyarakat setempat.

Negeri-negeri di Malaysia sememangnya dianugerahkan dengan pelbagai tarikan unik yang mampu dijadikan sebagai sumber bagi menjana hasil ekonomi untuk rakyat.

Negeri Sembilan, umpamanya,  tidak kurang dengan pelbagai tarikan, bukan sahaja lanskap dan geografi yang menawan pemandangan, pantai mahupun makanan yang pelbagai, tetapi juga tersohor dengan budaya dan adat pepatih unik yang tidak didapati di negeri-negeri lain.

Justru, agenda pelancongan bagi memperkenal dan memperluaskan pemahaman mengenai sistem adat serta pelbagai tarikan lain terus dipergiatkan di bawah teraju kerajaan pimpinan Menteri Besar YAB Dato Seri Utama Mohamad Hasan.

Sejak bertukar arah dari kancah korporat kepada menjadi ketua kerajaan negeri sejak enam tahun lepas, Dato Seri Mohamad tidak menoleh ke belakang dan berterusan berusaha keras menggalas amanah bagi memastikan kemakmuran negeri dan rakyat. Pelbagai usaha digerakkan untuk tujuan itu termasuklah inisiatif menggerakkan semula Port Dickson dengan pelbagai insiatif bagi mengembalikan kegemilangan Port Dickson sebagai destinasi pelancongan yang hebat di negara ini.

Dato Seri Mohamad amat serius, mahukan pelancongan menjadi produk utama Negeri Sembilan. Ini kerana katanya, sektor ini dapat memberikan rakyat seperti pemandu teksi, penjual kraftangan dan lain-lain mendapat perniagaan dari sektor ini.

Apatah lagi, kini, dengan pendekatan kerajaan persekutuan yang meluaskan liputan Lembah Kelang sehingga meliputi Seremban, Nilai dan Port Dickson, potensi pelancongan dan kepentingannya memang tidak dinafikan lagi. Jajaran perhubungan darat dan jalanraya yang semakin mudah, efisien dan canggih pula meransang sektor pelancongan Negeri Sembilan, khususnya di tiga kawasan berkenaan.

Komitmen Menteri Besar bahawa kerajaan negeri tidak akan sewenang-wenangnya membina kilang-kilang baru di Port Dickson kerana tidak mahu mencemarkan alam sekitar nyata satu langkah prihatin dan berwawasan.

Bagi menarik wang asing dalam pelancongan, infrastruktur dan pelbagai kemudahan mestilah dipertingkat dan inilah yang sedang dan akan terus dilakukan oleh kerajaan negeri untuk memastikan agenda pelancongan negeri terus kukuh dan berkembang dibawah kerajaan negeri pimpinan Dato Seri Mohamad.

Ini termasuk pembinaan chalet dan hotel yang sesuai yang mampu menarik kemasukan pelancong asing, yang terbaru ialah pembinaaan chalet berkonsep mewah alat percutian luar negara The Hibiscus Garden di Port Dickson. Chalet berkonsep jual dan sewa kembali ini telah 90 peratus terjual kepada rakyat dari negara luar.

Katanya, untuk menggerakkan industri pelancongan negeri, tiada yang lebih penting daripada sinergi antara kerajaan dan pihak swasta. “Selain menjadi destinasi rehat bagi pelancong asing dan tempatan, Hibiscus Garden Chalets akan menjulang kembali Port Dickson dan meletakkannya semula dalam peta pelancongan dunia. Kita akan dapat memastikan aliran masuk wang asing menerusi projek –projek sebegini,” kata beliau, sambil menekankan angka 2 juta pelancong tempatan dan luar negara sentiasa menjadi sasaran kerajaan.

Selain Port Dickson, Jelebu juga dilihat sebagai destinasi penting yang mampu menyokong perkembangan industri pelancongan negeri. Peruntukan yang disediakan kerajaan negeri untuk mempertingkat fasiliti pelancongan di Hutan Lipur Lata Kijang dan Gunung Besar Hantu misalnya memberi kesan positif.

Gunung Besar Hantu setinggi 1,462 dari aras laut, umpamanya, merupakan kelompok gunung yang terletak di penghujung Banjaran Titiwangsa dan antara gunung tertinggi di Semenanjung. Ia merupakan “batu” sempadan antara Pahang dan Negeri Sembilan dan berpotensi dikembangkan sebagai destinasi eko-pelancongan.

Kawasan seperti Jeram Toi, yang dijumpai pada tahun 1895 menjadi antara tarikan penting dan peningkatan kemudahan seperti chalet, kawasan perkhemahan, surau, dewan, kantin dan pelbagai kemudahan lain sentiasa diberi perhatian.

“Pelancong datang untuk mencari keselesaan apabila bercuti. Kita tidak mahu mereka hanya datang sehari atau balik hari, tetapi mahu mereka terus tinggal lebih lama di sesuatu tempat, jadi kemudahan dan fasiliti amat penting,” kata Dato Seri Mohamad Hasan.

Selain tarikan geografi dan lanskap, pelbagai tarikan lain yang menjadi “modal” bagi Negeri Sembilan termasuklah makanan juga adat Pepatih yang telah menjadi amalan sejak sekian lama.

Ini jelas mendapat perhatian semasa istiadat pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhun Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan dalam istiadat penuh bewarna tetapi padat dengan adat Pepatih yang popular.

Ini jugalah yang mendorong Dato Seri Mohamad untuk mencadangkan agar bahan penerbitan mengenai adat pepatih dalam versi Bahasa Inggeris diterbitkan untuk menjadi rujukan masyarakat antarabangsa.

”Versi bahasa Inggeris itu juga boleh menjadi rujukan di institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai bahan kajian ilmiah utama,” katanya. Sehingga kini, sebanyak 16 buku mengenai adat perpatih telah diterbitkan oleh kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

”Ia merupakan identiti, jati diri dan kaedah kita memperkenalkan diri kepada orang lain sama ada dalam konteks sosial mahupun dalam bidang lain khususnya pelancongan,” ujarnya.

Menurut beliau, Bandar Diraja Seri Menanti kini menjadi sebutan pelbagai masyarakat dari pelbagai benua khususnya Eropah dan Amerika selepas tayangan istiadat pertabalan itu di saluran Discovery Channel.

Selain adat dan budaya, pelancongan sukan juga menjadi agenda penting dan penganjuran Jemputan Golf Masters yang diadakan buat kali ke-6 mulai 15 Julai lepas merupakan antara program yang digerakkan sendiri oleh YAB Menteri Besar.  Kejohanan itu bermula pada 2005 dengan gagasan Datuk Seri Mohamad untuk memacu sektor pelancongan negeri menerusi penganjuran kejohanan golf professional bertaraf antarabangsa.

Pada tahun pertama kejohanan, hadiah yang ditawarkan cuma RM150,000 sebelum meningkat kepada RM400,000 pada tahun lalu dan RM500,000 tahun ini.Kejohanan itu merupakan kejohanan golf professional pertama negara yang tersenarai sebagai salah satu kejohanan dalam kalendar Jelajah Pembangunan Asia (Asian Development Tour).

Yang pasti, di bawah teraju Dato Seri Mohamad,  Negeri Sembilan kini sedang giat bergerak memenuhi potensi sebenar yang dimiliki oleh negeri dalam konteks pelancongan, sekali gus memastikan semua rakyat mendapat limpahan nikmat dari program dan agenda pembangunan tersusun kerajaan negeri.

Dari : Meja Pengarang Khas N9kini