Kerajaan negeri terus komited lahirkan cendekiawan dalam bidang agama

May 19, 2013 by  
Filed under Uncategorized

Comments Off

Seremban, 19 Mei – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian pelajar-pelajar SMKA Sheikh Hj Mohd Said, Seremban yang mendapat keputusan cemerlang di tahun 2012.

Pencapaian yang cemerlang ini menjadikan SMKA Sheikh Hj Mohd Said, merupakan antara 8 buah sekolah menengah agama bantuan kerajaan yang menyumbangkan kepada peratusan tertinggi peperiksaan SPM tahun lalu.

Di dalam ucapan, beliau menyeru agar ibu bapa di negeri ini memberi perangsang kepada anak-anak agar menimba ilmu dan kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu telah menjanakan pendapatan bagi pendidikan melalui tanah Yayasan Negeri Sembilan yang diusahakan MAINS.

22 hektar tanah telah dibuka dengan penanaman kelapa sawit itu dijangka memberikan keuntungan dan anak-anak Negeri Sembilan yang mahu melanjutkan pelajaran keperingkat lebih tinggi tidak perlu risau lagi.

Beliau turut menyempurnakan majlis anugerah Permata Shams 2012 kepada 300 orang pelajar, di sini pagi tadi.

Ketika di tanya di sidang media ringkas sejurus program, beliau menyatakan hasrat dan fokus Kerajaan Negeri melalui MAINS di dalam usaha menyediakan modal insan di dalam bidang keagamaan. Malah terdapat juga dalam bidang profesional yang lain seperti bidang kedoktoran, bidang pentadbiran dan sebagainya.

Beliau juga memetik kejayaan pelajar-pelajar tersebut yang dihantar sejak beberapa tahun lalu dan telah tamat pengajian untuk diserapkan sebagai Eksekutif masjid di mana terdapat 30 buah masjid baru yang perlu ditadbir untuk dijadikan pusat komuniti masyarakat.

Ujarnya, jika masjid diurus secara sukarela matlamat menginstitusikan masjid itu tidak sampai kerana mereka mempunyai komitmen yang pelbagai.

Malah kepada 23 pelajar yang baru selesai ditemuduga tersebut akan menjalani kursus pentadbiran selama 6 bulan sebelum mereka memulakan tugas tersebut.

Selain itu, Menteri Besar mengfokuskan kepada menyiapkan jati diri pelajar dan belajar bahasa Arab yang bakal menuntut ke Universiti Timur Tengah terutamanya di Mesir dan Jordan, agar mereka mudah serasi dengan keadaan di sana.

Setiap tahun seramai 45 orang pelajar terpilih dihantar menyambung pelajaran di sana.

Beliau turut menambah, MAINS turut menggalakkan dan membiaya pelajar yang tamat pengajian menyambung keperingkat Sarjana dan Dr. Falsafah sebagai persediaan modal insan yang mahir ilmu agama.

Walaupun mereka belajar di dalam pelbagai bidang, namun ilmu yang mereka perolehi itu boleh juga digunakan sebagai sumber rujukan untuk perlbagai isu yang diragui.

Turut hadir, Puan Norlaila, Pengetua Cemerlang SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban.

Tunggu tindakan tegas – Zahid Hamidi

May 18, 2013 by  
Filed under Uncategorized

Comments Off

KUALA LUMPUR 18 Mei – Kerajaan tidak akan memberi sebarang amaran kepada mana-mana pihak yang bercadang mahu mencetuskan huru-hara sebaliknya akan terus bertindak secara tegas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada sebarang kompromi dengan pihak tertentu khususnya pemimpin pembangkang yang sedang menghasut rakyat turun ke jalanan bagi mencetus rusuhan sekali gus menjayakan hasrat menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak akan memberi amaran tetapi tunggulah tindakan tegas,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas tindakan yang bakal diambil ke atas pemimpin pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merancang mencetuskan huru-hara.

Isnin lalu, pemimpin pembangkang seperti Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) R. Sivarasa dan Tian Chua ketika berceramah dalam Perhimpunan Tragedi 13 Mei secara terbuka menghasut rakyat ke jalanan bagi menumbangkan kerajaan BN melalui kaedah rusuhan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri yang diterajui kepimpinan baharu bersedia sepenuhnya memastikan kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara kekal terpelihara dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

“Pencegahan itu lebih baik daripada penyelesaian, dan pencegahan awal itu lebih murah ‘harganya’ berbanding penyelesaian masalah. Saya akan guna pendekatan itu agar pihak kerajaan tidak disanggah dan mereka (pembangkang) juga tidak melakukan penyanggahan,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas kecaman pembangkang selepas beliau meminta pihak tidak setuju dengan sistem pilihan raya Malaysia berhijrah ke negara republik jika menjadikan isu undi popular sebagai alasan, Ahmad Zahid berkata, pembangkang melenting kerana mereka cuba menipu rakyat.

“Orang yang makan cili memang akan terasa pedasnya, sebab itu pemimpin seperti Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng melenting dengan kenyataan saya, tetapi apa yang dinyatakan adalah hakikat dan sudah sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

TPM lancarkan Hari Guru bertema ‘Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda

May 17, 2013 by  
Filed under Uncategorized

Comments Off

LEO_0173

Nilai, 16 Mei : Lebih 10,000 orang warga pendidik dari seluruh negara berhimpun di Majlis Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, malam tadi.

Negeri Sembilan menjadi tuan rumah bagi majlis tahunan tersebut meraikan para warga pendidik yang banyak berjasa dan telah disambut sejak 14 Mei lalu bagi majlis tersusun dan terancang melibatkan pelbagai agensi termasuk Utusan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan pelbagai lagi.

Majlis disempurnakan oleh Dato’ Seri Utama Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri meranngkap Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi.

Beliau hadir bersama isteri Puan Sri Hajah Norainee Abdul Rahman di sambut oleh Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan dan isteri Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumuddin.

Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin di dalam ucapan  berkata, Penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi akan menyeragamkan pelaksanaan dasar bagi melonjakkan mutu pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, menerusi penggabungan itu, semua peringkat pendidikan akan menikmati perkongsian sumber dan kepakaran bagi memastikan bidang pendidikan dapat diurus dengan lebih cekap seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.

 Menurutnya lagi, Keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) untuk menggabungkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu bumbung dengan pelantikan seorang Menteri Kedua adalah satu keputusan tepat.

Urusan lebih cekap

Ia melambangkan keprihatinan kepimpinan beliau untuk melihat bidang pendidikan di negara kita dapat diurus dengan lebih cekap dan menyumbang secara lebih berkesan kepada kemajuan negara,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin turut mengumumkan bahawa kementerian baru hasil gabungan dua kementerian itu akan dikenali sebagai Kementerian Pelajaran, berbanding Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi sebelum ini, selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri. 

Transformasi pendidikan

Beliau berkata, dengan penggabungan itu adalah usaha transformasi pendidikan supaya dapat dilaksanakan dengan lebih efisien apabila kepakaran daripada semua peringkat pendidikan dapat digembleng secara lebih menyeluruh untuk menghasilkan satu lonjakan berganda dalam pendidikan negara.

Sementara itu beliau berkata, pemilihan tema ‘Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda’ untuk sambutan Hari Guru tahun ini amat bertepatan dengan hasrat kementerian untuk mentransformasi sistem pendidikan negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah dilancarkan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan keberanian guru di Lahad Datu, Sabah ketika berhadapan dengan situasi pertempuran serangan pengganas Kiram, baru-baru ini.

“Saya mengucapkan terima kasih terutamanya kepada Cikgu Saabi Hasin dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Buani Lahad Datu yang menjadikan rumahnya sebagai sekolah sementara untuk anak murid belajar dan membiayai pula perbelanjaan makan dan minum mereka.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Catherine Gonolon dari SK Fajar Harapan Lahad Datu yang sanggup berada dalam kawasan pertempuran dan mengajar murid dari sekolah berlainan,” katanya lagi.

Justeru kata Muhyiddin, ini adalah contoh guru yang disanjung tinggi.

Hadir Sama, Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh serta dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mary Yap dan P Kamalanathan; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Next Page »