Cadangan jadikan BN parti tunggal adalah rasional dan perlu dikaji: Muhyiddin
PHUKET, 24 Mei : Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal adalah rasional dan perlu dikaji secara mendalam untuk kesinambungan sokongan rakyat pada masa depan.
Timbalan Perdana Menteri hari ini, berkata cadangan besar dan penting bagi memastikan BN kekal relevan itu perlu difikirkan segera oleh setiap parti komponen dan dijawab dalam tempoh terdekat jika mengambil kira keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Bercakap kepada pemberita di sini, Muhyiddin berkata, cadangan itu mempunyai asas tetapi menuntut setiap parti melakukan kajian mendalam dengan mendapatkan maklum balas dan pandangan anggota parti masing-masing kerana ia membabitkan soal organisasi dan struktur penubuhannya.
Beliau berkata, walaupun cadangan itu mungkin berdepan tentangan tetapi yang penting setiap anggota parti perlu melihat ke depan dan jika merasakan ia wajar dilakukan, satu mekanisme pelaksanaan yang boleh diterima semua anggota parti yang bergabung dalam BN perlu dikemukakan segera.
“Ini adalah lebih dari soal bermuhasabah, kita kena lihat sendiri struktur BN yang sedia ada bahawa apakah sudah sampai ketikanya sebuah parti yang dinamakan BN dibentuk, bukan lagi dalam bentuk gabungan parti-parti komponen BN tetapi BN sebagai sebuah parti politik,” katanya.
Sehubungan itu beliau mencadangkan sebuah makmal politik diadakan bagi mencerna idea tentang format baru BN seperti yang dicadangkan di mana semua pihak, termasuk kalangan bukan anggota parti yang mengambil berat mengenai masa depan negara dan ingin memberi sumbangan turut dilibatkan.
“Bagi saya itu sesuatu yang agak besar tetapi saya juga berpendapat ia penting kerana saya tidak tahu sama ada kita boleh kekalkan kedudukan sebegini untuk tempoh lima tahun mendatang tetapi yang pasti persoalan ini perlu dijawab dalam tempoh yang terdekat dan kalau ia wajar, bagaimana hal itu hendak dilaksanakan.
“Ini perlu difikirkan untuk tempoh beberapa bulan dan setahun ke hadapan, kalau sudah dianggap boleh selepas makmal itu dibuat mungkin boleh panggil satu konvensyen maka pemimpin BN boleh duduk bersama bagi membincangkan hala tuju dan survival parti di masa depan,” katanya.
Ditanya apakah beliau akan membawa cadangan penubuhan makmal itu ke peringkat lebih tinggi, Muhyiddin berkata: “di peringkat BN saya pun telah beritahu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin satu daripada perkara yang kita akan teliti ialah struktur BN itu sendiri, bukan lagi sekadar kosmetik tetapi secara serius bagaimana ia harus berubah dari yang lama kepada struktur baharu yang lebih ke depan.
Beliau berkata, cadangan itu mengambil kira perubahan pemikiran masyarakat, pengundi dan generasi muda yang sebahagiannya tidak mahu melihat parti yang dikatakan dibentuk berasaskan kaum.
Dalam perkembangan lain Timbalan Perdana Menteri berkata, bedah siasat BN berhubung keputusan Pilihan Raya Umum yang sedang dilakukan oleh sebuah badan yang dilantik khas boleh diketahui selewat-lewatnya Julai ini.
Muhyiddin berkata, bagi memastikan analisis yang tepat, bebas dan telus pasukan itu dibentuk dari kalangan mereka daripada luar parti bagi memberi kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk mengemukakan pandangan asalkan berasas.
“Kita tidak mahu berselindung, kita hendak tahu apakah sebab kita menang atau kalah, apa faktor yang menyebabkan kemenangan dan kekalahan, dan lebih lanjut daripada itu adalah perakuan-perakuan yang kita akan buat untuk menentukan supaya BN terus relevan dan bagaimana kita menangani tempoh lima tahun sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya. – BERNAMA
Gambar `black out’ hari mengundi fitnah dan lakonan: SPR
May 24, 2013 by Dudi
Filed under Program Parti
Comments Off
KUALA LUMPUR, 24 Mei : Siasatan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sekeping gambar dimuatkan di internet menunjukkan kononnya berlaku insiden lampu padam semasa pengiraan undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu adalah fitnah dan lakonan itu dirakamkan sebelum PRU13 lagi.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kesimpulan itu dibuat hasil penelitian beliau bersama pegawai-pegawainya.
Beliau berkata, bukti paling nyata apabila gambar tersebut menunjukkan terdapat ramai pemberita dan jurugambar berada di dalam tempat pengiraan undi sedangkan hakikatnya tidak ada sesiapa yang boleh berada di tempat tersebut melainkan petugas SPR dan ejen calon.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tatacara kerja seperti yang ditunjukkan oleh gambar itu langsung tidak betul… mereka sudah terlupa, hendak menipu tetapi tidak faham tatacara kerja dan tidak matang.
“Malah dulang yang digunakan untuk meletak kertas undi juga bukan dulang SPR, bahan dan saiznya berbeza.. banyak perkara dalam gambar tidak ikut SOP SPR,” katanya.
Wan Ahmad berkata, sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat berkaitan dakwaan lampu padam dan itu membuktikan bahawa ia ternyata fitnah pembohongan yang direka-reka dan tidak berasas.
“Kalau ada lampu padam, tentulah ada ejen-ejen parti membuat laporan polis, mereka mewakili calon, mereka ada di tempat mengira undi, jika lampu padam dia yang akan mula-mula sekali berlari buat laporan polis, tetapi tidak.
“Malah pada malam pengiraan undi itu juga, saya apabila mendapat ‘tweet’ mengatakan lampu padam oleh ‘cybertrooper’ yang tidak bertanggungjawab, kita terus semak kawasan mana, kita semak dengan pengarah negeri kita, Pegawai Pengurus dan saluran sekolah yang dituduh tetapi ternyata tidak ada apa-apa,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai dakwaan sebuah akhbar pembangkang bahawa 24 petugas SPR di Besut, Terengganu telah dikurung bagi memangkah kertas undi, Wan Ahmad berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
Beliau berkata, namun kesemua mereka dipercayai masuk ke satu bilik itu untuk memangkah kertas undi masing-masing memandangkan kesemua mereka mengundi secara pos kerana bertugas pada PRU13.
“Salah seorang daripada mereka didapati telah membuat laporan polis… itu keputusan yang bagus dan betul agar polis dapat membuka kertas siasatan.
“Namun dipercayai mereka mendapat sampul surat yang berisi kertas undi untuk mengundi cara pos dan itu hak mereka untuk pangkah di mana-mana lokasi termasuk di dalam bilik yang dikatakan itu.. namun apa yang sebenarnya berlaku kita tidak tahu,” katanya.
Katanya, masyarakat tidak harus membuat andaian dan rumusan sendiri dengan hanya membaca melalui media pembangkang sedangkan semua yang dilaporkan berkaitan SPR adalah buruk dan berbaur fitnah.
Sementara itu, Wan Ahmad berkata cadangan pembangkang agar Tribunal Rakyat ditubuhkan adalah amat berbahaya kerana ia membelakangkan perlembagaan dan undang-undang negara.
“Siapa yang akan mewakili Tribunal Rakyat itu? Orang-orang mereka, pemimpin NGO yang selama ini yang menentang sistem dan dasar pilihan raya? Mereka yang menyemai budaya tidak baik dan tidak sopan pada anak muda?,” katanya. – BERNAMA
“Hanis dah sampai di puncak dunia”
May 24, 2013 by Dudi
Filed under Berita Nasional, Program Parti
Comments Off
LUKLA, 24 Mei : “Assalamualaikum semua…Hanis dah sampai di puncak dunia. Allahuakbar…Allahuakbar…Allahuakbar.”
Itulah yang diucapkan oleh Siti Hanisah Sharuddin yang berjaya menjejakkan kakinya ke gunung tertinggi dunia, Gunung Everest pada jam 7.41 pagi tadi (waktu Nepal).











