Sukan perlu jadi agenda pembangunan

June 20, 2010 by  
Filed under Sukan, SUKMA

MELAKA – Industri sukan perlu terus menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan utama negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, sukan perlu diletakkan bukan sebagai kegiatan yang dipinggirkan sebaliknya ia perlu menjadi satu aktiviti utama di negara ini.

“Saya percaya kejayaan dalam bidang sukan ini boleh memberi banyak faedah kepada kita terutama dalam industri sukan, imej kita sebagai sebuah negara dan juga pada diri kita sebagai individu.

“Sebab itu saya ingin nyatakan sukan perlu menjadi sebahagian dalam agenda pembangunan negara dan tidak boleh dipinggirkan,” katanya.

Najib berkata demikian sewaktu menutup Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka 2010 yang penuh gilang-gemilang di Stadium Hang Jebat dengan dihadiri kira-kira 50,000 penonton, semalam.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Perdana Menteri menambah, sukan merupakan satu kegiatan satu wadah yang banyak memberi kebaikan kepada sesebuah negara.

Sewaktu menjadi Menteri Belia dan Sukan katanya, beliau melihat Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur telah memberi satu kesan yang cukup besar kepada negara.

“Waktu itu, negara dilanda kemelesetan ekonomi tetapi Malaysia menjadi juara Sukan SEA yang terbaik dalam sejarah ketika itu.

“Saya lihat seluruh Malaysia bersatu padu kerana mereka merasa teruja atas pencapaian yang diperoleh kontinjen negara hingga masalah kemelesetan ekonomi dilupakan seketika,” ujarnya.

Sehubungan itu, Najib menegaskan, betapa sukan perlu diberi keutamaan kerana ia dapat memberi banyak kebaikan kepada rakyat di negara ini.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa gembira kerana temasya tahun ini dapat menampilkan banyak bakat atlet muda hingga berjaya mencipta 10 rekod kebangsaan dan 90 rekod kejohanan.

“Tahniah kepada Melaka kerana menjadi tuan rumah yang berjaya,” ujarnya.

Terdahulu Mohd. Ali dalam ucapannya berkata, temasya tahun ini memenuhi objektifnya apabila ramai atlet muda tampil dengan banyak rekod kebangsaan dan kejohanan berjaya dicipta sepanjang 14 hari temasya berlangsung.

Kejayaan itu katanya adalah hasil usaha dan kerjasama daripada semua pihak terutama atlet, pegawai dan kontinjen negeri yang mengambil bahagian.

Temasya Sukma XIII labuh tirai

June 20, 2010 by  
Filed under Sukan, SUKMA


TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) XIII yang telah melabuhkan tirainya semalam pasti meninggalkan 1,001 kenangan buat tuan rumah, Melaka.

Meskipun gagal mencapai sasaran untuk bergelar juara pada Sukma kali ini, namun di bawah kepimpinan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Melaka boleh berbangga dengan kejayaan mereka selaku tuan rumah pada temasya sukan terbesar negara yang diadakan dua tahun sekali itu.

Penganjuran Sukma edisi ke-13 ini menyaksikan Melaka melakar sejarah tersendiri apabila sebanyak 33 jenis acara sukan dipertandingkan iaitu yang terbanyak sepanjang penganjuran temasya tersebut diadakan.

Temasya kali ini dan membabitkan penyertaan lebih 15,000 peserta termasuk para atlet, pegawai teknikal, pengurus sukan, jurulatih, sukarelawan dan pasukan sorak.

Pada majlis penutup yang berlangsung di Stadium Hang Jebat semalam, Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak telah menyempurnakan upacara tersebut dalam suasana yang penuh gilang-gemilang dengan disaksikan lebih daripada 30,000 penonton yang hadir.

Sukma XIII sekali lagi menyaksikan penguasaan daripada kontinjen Terengganu apabila muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa, sekali gus mengulangi pencapaian yang dilakar mereka pada edisi ke-12 ketika mereka menjadi tuan rumah dua tahun lalu.

Tumpuan pada majlis penutup semalam sudah pastinya terarah kepada pengumuman Olahragawan dan Olahragawati Sukma XIII.

Segala-galanya terjawab setelah atlet olahraga tuan rumah, J. Karthik(gambar) dan perenang Wilayah Persekutuan, Chan Kah Yan(gambar) masing-masing dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Sukma edisi ke-13.

Karthik layak bergelar Olahragawan Sukma kali ini selepas kejayaannya menyumbangkan tiga pingat emas buat kontinjen Melaka apabila mengungguli acara 3,000 meter lari berhalangan, 5,000 meter dan 1,000 meter.

Lebih membanggakan, atlet muda berusia 21 tahun ini berjaya memperbaharui satu rekod kejohanan dalam acara 3,000 meter lari berhalangan selepas mencatatkan masa 9 minit 20.25 saat untuk memadam rekod lama milik S. Vikkram dari Perak (9 minit 24.06 saat).

Seperti diramal, kejayaan Kah Yan merangkul tujuh pingat emas serta dua pingat perak serta memecahkan dua rekod kejohanan sudah cukup buat perenang Wilayah Persekutuan itu diberi gelaran Olahragawati Sukma ke-13.

Kah Yan mengungguli saingan dalam acara 100 meter gaya bebas, 4×100 meter rampaian, 200 meter gaya bebas, 200 meter kuak lentang, 200 meter rampaian, 800 meter gaya bebas dan 100 meter kuak lentang.

Selain itu, dua catatan terpantas yang dilakukan Kah Yan juga berjaya memecahkan rekod kejohanan iaitu dalam acara 100 meter gaya bebas dengan catatan 58.10 saat untuk memperbaharui rekod lama milik Leung Chii Lin dari Sabah (58.14 saat).

Satu lagi rekod baru kejohanan Kah Yan adalah menerusi gandingannya bersama kuartet Wilayah Persekutuan apabila mendominasi saingan 4×100 rampaian selepas mencatatkan masa terpantas 4 minit 25. 82 saat untuk memadam rekod lama kuartet Sabah dengan catatan 4 minit 27. 12 saat.

Sukma XIII juga menjadi penanda aras terhadap kehebatan atlet-atlet muda negara apabila berjaya memperbaharui 10 rekod baru kebangsaan dan 94 rekod baru kejohanan.

Upacara penutup semalam diakhiri dengan penyerahan bendera kejohanan yang menyaksikan giliran Pahang menjadi tuan rumah kepada temasya Sukma yang akan berlangsung dua tahun daripada sekarang.

Penyerahan bendera temasya tersebut telah diserahkan oleh Ali Rustam kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob

Badang wanita Johor pecah rekod

June 18, 2010 by  
Filed under SUKMA

MELAKA – Atlet angkat berat Johor mendominasi acara angkat berat wanita Sukma XIII apabila merangkul emas bersama rekod baru kebangsaan. Kedua-dua rekod dicatat Arisha Farra Erwin dan Tey Shang Fun.

Arisha memulakan hari cemerlang Johor dalam kelas bawah 75 kilogram apabila mengangkat bebanan 85kg dalam acara snatch, memadam rekod lama miliknya sendiri, 81kg.

Dia turut memperbaiki rekod clean & jerk menerusi angkatan 102kg – 2kg ,mengatasi rekod lama 100kg, yang juga dilakukan olehnya.

Rekod kedua kebangsaan hadir menerusi Shang Fun dalam kelas atas 75kg. Dalam saingan snatch, dia melakukan angkatan 84kg. Rekod lama, 75kg. Shang Fun kemudian melebur rekod lamanya dalam clean & jerk, 101kg menerusi angkatan baru 106kg.

Sementara itu, Firdaus Abdul Razak dari Kedah memecah dominasi Johor apabila menyumbangkan dua emas menerusi acara snatch dan clean & jerk lelaki bawah 94kg.

Firdaus melakukan angkatan 141kg dalam snatch dan 181kg dalam clean & jerk.

4 curi tumpuan hari terakhir

June 18, 2010 by  
Filed under SUKMA

MELAKA – Nurul Sarah Kadir melengkapkan kecemerlangannya pada Sukan Malaysia (Sukma) XIII apabila merangkul emas ketiga dalam 200 meter wanita, namun tumpuan hari terakhir olahraga semalam pastinya kepada Melinda Kaur yang memecah rekod kebangsaan.

Turut mencuri tumpuan di Stadium Hang Jebat, Rahila Othman dan atlet tuan rumah, J. Khartik yang masing-masing meraih emas bersama mencipta rekod baru temasya.

Nurul Sarah yang masih segar dengan gelaran Ratu Pecut Sukma selepas menjuarai acara 100m, menambah koleksi emas peribadi apabila menjuarai acara 200m dengan masa 24.68s. Kelmarin, dia membantu Melaka menjuarai acara 4x100m.

Terdahulu, atlet Pulau Pinang, Melinda menutup tirai olahraga dengan rekod 3,000m lari berhalangan kebangsaan menerusi 10:55.31s, memadam rekod lama, 11:04.14s.

Atlet Johor, Rahila pula memperbaiki rekod temasya dalam lontar peluru wanita – 13.93 meter. Rekod lama, 12.74m milik Asrenny Asik dari Sabah.

Karthik membanggakan tuan rumah dalam acara 3,000m lari berhalangan lelaki apabila mencatat rekod baru temasya, 9.20.25s, mengatasi catatan lama, 9:24.06s milik S. Vikkram dari Perak pada 2006.

Emas 200m lelaki pula milik Ahmad Fakhri Ismail dari Kelantan dengan masa 1.64s.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2007, Rayzamshah Sofian (gambar) dari Sabah membuktikan kejaguhannya dalam 110m lari berpagar lelaki dengan muncul juara menerusi 14.25s.

Acara 100m lari berpagar wanita milik pelari Selangor, Raja Nursheena Raja Jaafar meraih emas dengan kepantasan, 14.32s.

Sehari sebelum melabuhkan tirai, Terengganu unggul mengatasi negeri lain dalam pungutan pingat emas keseluruhan selepas mengumpul 42 emas, meninggalkan Wilayah Persekutuan kedua (40), diikuti Selangor (35), Kedah (34) dan Johor (33).

Terkini Pungutan Pingat

June 17, 2010 by  
Filed under SUKMA

Melaka,17 Jun-Sehingga sekarang Wilayah Persekutuan masih kekal berada di tangga teratas senarai pungutan pingat diekori rapat Terengganu dengan mengumpul 38 emas, 35 perak dan 34 gangsa mengumpul keseluruhan 107 pingat, Terengganu pula mengumpul 34 emas, 17 perak dan 28 gangsa mengumpul keseluruhannya 79 pingat. Sementara itu , Selangor berada di tempat ketiga mengumpul 31 emas, 30 perak dan 33 gangsa dengan jumlah keseluruhan 94 pingat.

Tangga keempat pula dimiliki oleh Kedah yang mengumpul 26 emas, 10 perak dan 23 gangsa mengumpul 59 pingat keseluruhannya. Sarawak menduduki tangga kelima diikuti Johor dan Pahang dimana mempunyai  25 pingat emas.

Kah Yan ratu renang Sukma

June 17, 2010 by  
Filed under SUKMA

Catat fonemena menang tujuh pingat emas dalam lapan acara

JIKA aksi pada Sukan Malaysia (Sukma) dua tahun lalu, Chan Kah Yan (gambar) sekadar membutirkan satu pingat emas dan enam perak, perenang Wilayah Persekutuan itu mencetuskan fenomenanya sendiri pada temasya kali ini dengan menukar pingat kemenangan kepada tujuh emas dan satu perak untuk muncul ratu kolam.

Atlit berusia 18 tahun itu mencatat gemilang dalam dua acara akhirnya semalam, 100 meter kuak lentang dan 4x100m rampaian bergandingan dengan Chong Siew Mun, Christina Loh dan Tania Lee, selain melakarkan rekod baru kejohanan 4 minit 25.82 saat, memadam catatan perenang Sabah, 4:27.12s, dua tahun lalu.

Kah Yan sebelum ini meraih emas dalam acara 100m gaya bebas, 100m kuak lentang, 200m gaya bebas, 200m kuak lentang, 200m rampaian individu, 800m gaya bebas selain perak dalam acara 4x100m gaya bebas.

“Ini memang kejutan yang besar buat saya dan kemunculan semula yang baik selepas memberi tumpuan terhadap SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun lalu,” katanya, yang mencatat 1:05.83s untuk emas 100m kuak lentang.

Perenang Perak, Kevin Yeap Soon mengulangi kecemerlangan aksi sulung apabila membaiki rekod kejohanannya sendiri pada 2008 (16:07.71s) dengan catatan 15:59.08s untuk meraih emas 1,500m gaya bebas lelaki.

Kuartet Wilayah Persekutuan, Ian James Barr, Melvin Chua, Kevin Lim dan Joshua Lee turut mencatatkan rekod baru kejohanan dalam memenangi emas acara 4×100 meter rampaian lelaki dengan catatan 3:58.72s.

Tiga pingat emas kolam yang lain dituai Ian dalam 100m kuak lentang lelaki, Chui Lai Kwan (Sabah) 50m gaya bebas wanita dan 26.56s, Foo Jian Beng (Selangor) dalam 50m gaya bebas lelaki.

Terengganu, Selangor mara ke final

June 17, 2010 by  
Filed under SUKMA

JUARA bertahan Terengganu akan melakukan perhitungan dengan Selangor dalam merebut gelaran raja bola sepak Sukma XIII apabila kedua-dua mengatasi lawan masing-masing di separuh akhir, semalam.

Tatkala Terengganu terpaksa meniti penentuan sepakan penalti sebelum menang 5-4 ke atas Wilayah Persekutuan, Selangor pula melakarkan kemenangan 1-0 mengatasi Kedah hasil jaringan Mohd Fitri Shazwan Radwan pada minit ke-92 masa kecederaan.

Penjaga gol Md Sharmiza Yusoff muncul hero Terengganu selepas berjaya menyelamatkan sepakan penalti Ahmad Hazwan Bakri bagi membolehkan juara bertahan itu mara ke final, apabila kedudukan terikat seri tanpa jaringan selepas 120 minit perlawanan.

Wilayah Persekutuan berpeluang memenangi perlawanan tetapi rembatan Ahmad Hazwan pada minit ke-71 sekadar menggegar tiang kanan gol Terengganu.

“Perlawanan kali ini memang lebih sukar tidak seperti dalam saingan awal dan jelas laluan mempertahankan gelaran kali ini lebih berliku berbanding 2008,” kata jurulatih Terengganu, Khalid Mohd Dahan.

Johor Rangkul Dua Emas Acara Angkat Berat Wanita

June 17, 2010 by  
Filed under SUKMA

MELAKA, 17 Jun -Pasukan Johor berjaya merangkul pingat emas pada kategori bawah 69kg wanita pada pertandingan angkat berat bagi acara snatch dan Clean & Jerk Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-13 Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Keroh di sini, Rabu.

Nor Khasida Abd Halim, 19, berjaya memperoleh emas untuk Johor selepas berjaya mengangkat beban 74kg dalam acara snatch dan mendapat pingat perak bagi acara clean & jerk dengan angkatan beban 92kg.

Rakan senegerinya Khairani Abd Malek, 18, memungut emas bagi acara clean & jerk dan pingat perak bagi acara snatch masing-masing dengan angkatan berat beban 92kg dan 73kg.

Pingat gangsa digondol oleh atlet harapan Kedah Intan Ayuni Abdullah bagi acara snatch dan clean & jerk masing-masing dengan berat beban 70kg dan 92kg.

Bagi kategori bawah 85kg lelaki acara snatch dan clean & jerk, pingat emas dimenangi atlet Terengganu, Abdul Mubin Rahim dengan angkatan beban masing-masing 140 kg dan 175kg.

Pingat perak dimenangi oleh atlet dari Sarawak, Belon Ben dalam kedua-dua acara iaitu snatch dengan angkatan beban 130kg dan clean & jerk dengan angkatan beban 155kg.

Shahril Suratman dari Pahang meraih pingat gangsa dalam acara snatch dan clean & jerk setelah berjaya mengangkat beban 124kg dan 150kg.

Sebanyak 22 daripada 32 pingat emas ditawarkan pada Rabu dan pertandingan diteruskan pada Khamis.

Sukma:Pungutan Pingat

June 15, 2010 by  
Filed under SUKMA

Sehingga pukul 5.15 pm tadi, Wilayah Persekutuan masih terus mendahului pungutan pingat dengan mengumpul 27 emas,22 perak dan 22 gangsa dengan jumlah keseluruhan pingat 71. Kedah mengekori rapat di tangga ke 2 dengan mengumpul pingat sebanyak 24 emas, 6 perak, 11 gangsa dan mengumpul 41 pingat keseluruhannya.Sementara itu , Negeri Sembilan kini telah mengumpul sebanyak 13 emas, 15 perak dan 20 gangsa,kini mengumpul 48 keseluruhannya.

Selangor pula menghuni tangga ke 3 keseluruhan dengan mengumpul 22 emas, 23 perak dan 24 gangsa dengan jumlah keseluruhan 69 pingat.Hari ini, 77 pingat keseluruhan yang ditawarkan untuk kesemua acara yang diadakan.

Sukma: Terengganu, Wilayah Persekutuan, Kedah, Selangor Layak Ke Separuh Akhir

June 15, 2010 by  
Filed under SUKMA

MELAKA, 14 Jun (Bernama) — Juara bertahan Terengganu akan bertemu dengan Wilayah Persekutuan pada perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 di Stadium Hang Tuah di sini, pada Rabu ini.

Kedua-dua pasukan itu layak ke peringkat tersebut selepas menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan suku akhir di sini, hari Isnin.

Dalam perlawanan di Stadium Hang Tuah petang ini, Terengganu membelasah Sabah 5-0 di mana Joseph Kallang Tie menyumbang jaringan hatrik pada minit ke-19, 49, dan 61, diikuti Wan Mohd Aliff Wan Jamil pada minit ke-70 dan Shamsul Kamal Mohamad minit ke-88.

Wilayah Persekutuan pula menewaskan Pahang 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tun Fatimah di sini.

Dua gol Wilayah Persekutuan itu dijaringkan Mohd Rosdi Zakaria pada minit ke-70 dan Ahmad Hazwan Bakri minit ke-93.

Dua lagi pasukan yang layak ke separuh akhir ialah Selangor dan Kedah di mana mereka dijadual bertemu di Stadium Hang Tuah dekat sini, pada sebelah malam pukul 8.45 malam juga pada Rabu ini.

Selangor melangkah bergaya ke separuh akhir selepas membelasah Kelantan 5-0 dalam perlawanan di Stadium Hang Tuah, malam ini.

Gol Selangor dijaringkan Farderin Kadir pada minit ke-34 dan 90, G.Mahatevan pada minit ke-43 dan 53, dan Mohd Azrif Nasrulhaq pada minit ke-93.

Kedah layak ke separuh akhir selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan di padang Sekolah Menengah Seri Kota di sini, hari ini.

Gol Kedah dijaringkan Mohd Shafiq Jamal pada minit ke-44 dan 47 manakala gol Negeri Sembilan oleh Abdul Rahman Abdul Ghani minit ke-55.

Next Page »