‘Tawar hati’
KENYATAAN daripada Mat Zan Mat Aris – yang kini sudah hampir pasti meninggalkan skuad Terengganu – dan juga Steve Butler, semalam menjurus kepada satu lagi episod menarik perkembangan bola sepak tanah air.
Ia berlaku secara kebetulan apabila Mat Zan menyuarakan dia sudah tawar hati dengan pihak pengurusan skuad Penyu dan sanggup berundur dengan syarat manakala bekas ketua jurulatih Kelantan itu pula berkata ada orang telefon dan tanyakan mengenai prospek dia membimbing Terengganu.
Ketika ini Mat Zan direhatkan dua minggu daripada tugasan jurulatih manakala espnstar.my melaporkan Butler sudah meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih pasukan Liga Super Indonesia (ISL), Persiba Balikpapan dan kini mencari pekerjaan baru.
NS calar imej Merah Kuning
May 9, 2012 by Ainaa
Filed under BOLA SEPAK NS, Sukan
Comments Off
HAJAT Selangor meraih kemenangan berturut-turut buat kali pertama musim ini tidak kesampaian, sebaliknya mereka pula diaibkan di laman sendiri apabila tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada aksi ke-16 Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

PEMAIN Selangor Safiq Rahim (kanan) cuba dihalang pemain Negeri Sembilan Marian Farbak (kiri) pada pertemuan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Dengan keputusan itu, Negeri Sembilan kini hanya satu mata kurang berbanding Selangor yang kekal di tangga keempat liga dengan 24 mata dan ketinggalan dua mata dengan pasukan tangga ketiga, Terengganu yang kurang satu perlawanan.
Gawang Selangor bocor seawal minit pertama berpunca daripada salah faham barisan pertahanan dan penjaga gol, G Jeevananthan yang mudah dimanfaatkan penyerang Negeri Sembilan, Firdaus Azizul untuk gol pertama pelawat.
Selangor yang menguasai permainan selepas itu hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-16, namun sepakan Safiq Rahim hasil gerakan satu dua menarik dengan Bosko Balaban sempat ditepis keluar penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias.
Firdaus terpaksa digantikan Nazrin Nawi pada minit ke-30 selepas mengalami kecederaan tetapi empat minit berselang, Negeri Sembilan berjaya menambah gol kedua menerusi rembatan kencang Ahmad Shakir Md Ali di depan pintu gol selepas tandukan awal Marian Farbak sekadar ditepis lemah Jeevananthan.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan terus selesa apabila berjaya mendapatkan gol ketiga, juga menerusi Ahmad Shakir pada minit ke-63 selepas percubaan tidak berbahaya penyerang kebangsaan itu dari luar kotak penalti sudah cukup untuk memperdayakan Jeevananthan yang tersalah langkah.
Gol sagu hati Selangor hanya menjelma pada masa kecederaan menerusi penyudah kemas Balaban untuk gol kelapannya dalam saingan liga musim ini.
Siaran langsung Piala FA meriah
KALAH menang bukan menjadi ukuran, sebaliknya perpaduan di kalangan 1,550 penyokong Liverpool dan Chelsea yang menonton aksi final Piala FA di D’Stall Corner Restaurant & Cafe di Dataran Glomac, Kelana Jaya, kelmarin, menjadi keutamaan.

PENYOKONG Chelsea meraikan kejayaan pasukan mereka menjuarai Piala FA di DStall Corner Restaurant & Cafe di Dataran Glomac, Kelana Jaya, kelmarin.
Program siaran langsung skrin besar anjuran New Straits Times (NST) itu berlangsung cukup meriah selama lima jam apabila penyokong kedua-dua kelab mula berkumpul sejak jam 9 malam dan menyertai pelbagai acara sampingan.
Bagi Presiden Kelab Bola Sepak Liverbird Malaysia, Fariz Abu Bakar, program seumpama itu wajar diteruskan bagi menarik minat golongan muda mengisi aktiviti dengan lebih berfaedah.
“D’Stall Corner ini menjadi ‘port’ kami menonton setiap perlawanan membabitkan Liverpool sejak tahun lalu. Kalah atau menang, kami dan penyokong lawan tetap menghormati satu sama lain,” kata Fariz ketika ditemui bersama-sama hampir 1,200 penyokong setia Liverpool.
Sementara itu, biarpun hanya membawa 350 penyokong Chelsea ke ‘port’ Liverbird itu, Presiden Malaysia Blues Army (MBA), Aminul Rasyid Tarmidi tetap gembira dapat menjayakan program itu.
“Kami teruja kerana ini kali pertama kami bekerjasama dengan Liverbird Malaysia. ‘Port’ kami sebenarnya di Khulafa Bistro, Seksyen 7, Shah Alam dan Restoran Ali Maju, Setapak.
“Walaupun hanya 350 penyokong Chelsea hadir, apa yang lebih penting ialah membentuk perpaduan tak kira pasukan mana disokong,” kata Aminul.
Bryan, Huang serasi
JAGUH terjun negara, Bryan Nickson Lomas dan rakan segandingan, Huang Qiang, menepati ramalan apabila merangkul pingat emas pada sirkit kedua, Grand Prix Terjun Fina di Montreal, Kanada, awal pagi semalam.
Bryan dan Huang Qiang mengutip catatan 431.10 mata untuk acara 3m papan anjal seirama, mengenepikan tuan rumah Reuben Ross-Alexandre Despatie (419.58), di tangga kedua dan Rommel Pacheco-Jonathan Rovalcabab dari Mexico, 388.71, ketiga.
Kejayaan itu sekali gus membuktikan Bryan dan Huang sememangnya serasi, meskipun keduanya baru saja digandingkan ketika mencipta kejutan meraih pingat gangsa di Piala Dunia FINA di London, Mac lalu.
Tanpa penyertaan juara dunia dari China, Chen Roulin dan Hu Yadan, ratu terjun negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee, sekadar berada di tangga kelima dengan catatan 301.32 mata dalam acara kegemaran 10m paltform seirama.
Namun, ketiadaan dua bintang China itu, tidak dipersiakan tuan rumah, Kanada, apabila mendominasi kedudukan satu dan dua, acara 10m platform seirama, menerusi wakilnya Meaghan Benfeito-Roseline Filion, 327.96 dan pasangan adik beradik, Carol Ann-Pamela Ware, 326.28. Tangga ketiga dimenangi Australia, Loudy Wiggins-Rachel Bugg, 316.86. China, menerusi wakilnya, Li Kang-Sheng Yi, akur ditundukkan di tangga keempat, dengan catatan 315.18 mata.
Meskipun tidak begitu menyerlah dalam acara individu, negara masih boleh berbangga dengan kemaraan Huang Qiang (3m papan anjal lelaki), Bryan (10m platform individu lelaki), Pandelela (10m platform wanita) dan Cheong Jun Hoong, 3m papan anjal wanita yang layak ke final, kelmarin.
Kejayaan mereka sekali gus melakar sejarah Malaysia yang kali pertama mempunyai wakil dalam kesemua empat acara individu dalam saingan GP.
Bagaimanapun, Bryan dan Jun Hoong sekadar berada di tangga keenam dengan catatan 390.75 dan 275.00 mata di final acara masing-masing.
Huang Qiang menduduki tempat ketiga dengan catatan 424.85 mata pada separuh akhir A bersama Pandelela yang tamat saingan separuh akhir B di tangga ketiga selepas mengumpul 343.50 mata. Final kedua-dua acara ini berlangsung jam 10 malam waktu tempatan semalam dan dijangka tamat, awal pagi ini.
Chong Wei hampiri kejuaraan keempat
PEMBURUAN kejuaraan keempat berturut-turut makin menggamit jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei selepas layak ke final menewaskan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto dalam saingan separuh akhir Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia di Stadium Bandaraya, semalam.
Namun, corak permainan naib juara Olimpik 2008 itu tampak sedikit goyah sebelum mengatasi anak lagenda badminton Indonesia, Icuk Sugiarto 21-18, 2-18 dalam tempoh 46 minit.
“Sekali lagi saya mula agak lambat dan kerap membuat kesilapan namun itu hanya sekadar ingin melihat corak permainan Tommy yang sudah mula tunjuk peningkatan malah saya cuba tutup ruang dia mengutip mata.
“Kini saya sudah melepasi halangan separuh akhir dan hanya satu lagi perlawanan untuk mencatat kejuaraan keempat. Saya tak kisah siapa bakal ditemui esok (hari ini) kerana fokus utama adalah beri persembahan terbaik,” kata Chong Wei.
Turut melangkah ke final adalah beregu nombor satu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menewaskan pasangan senegara, Mohd Zakry Latif-Mohd Fairuzizuan Tazari 17-21, 21-16, 21-13 untuk bertemu Chooi Kah Ming-Ow Yao Han.
Dalam acara beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang diletak selaku pilihan kedua menewaskan beregu Jepun, Yu ki Fukushima-Yui Myauchi 21-19, 21- 10.
Turut mara ke final adalah pasangan beregu campuran, Chang Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewas kan lawan dari Indonesia, Riky Widianto-Puspita Richi Dili 21-18,21-18.
Beregu muda negara, Kah Ming-Yao Han melakar kejutan apabila layak buat pertama kali ke final selepas bangkit pada kekalahan set pertama sebelum melakar kemenangan pada set kedua dan ketiga apabila menewaskan pasangan Gan Teik Chai-Ong Soon Hock yang mewakili KLRC 20-22, 21-6, 21-16.
Faisal ledak hatrik
MALAYSIA gah layak pantas ke separuh akhir Kejohanan Hoki Remaja Asia ke-7 selepas membelasah pasukan pilihan, Korea Selatan 6-3 pada aksi menarik di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit, malam tadi.
Lebih manis kemenangan kedua skuad bimbingan K Dharmaraj itu disumbangkan menerusi jaringan penyerang berbisa negara, Faisal Saari yang merakamkan hatrik pada minit ke-6, 45 dan 57.
Aksi kurang menjadi Korea Selatan nyata digunakan sepenuhnya skuad negara meneruskan rentak cemerlang dengan meledak jaringan seawal minit ke-6 menerusi Faisal sebelum Mohd Yusof Mohamad Syamim menjaringkan gol kedua selang tujuh minit selepas itu.
Korea Selatan berjaya mengurangkan defisit apabila Yang Jihun melunaskan gol pertama pada minit ke-22 menewaskan penjaga gawang, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri.
Skuad negara yang menerima suntikan semangat daripada Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta 3,500 penyokong terus menjarakkan jaringan gol pada babak kedua dengan jaringan Amir Farid Ahmad Fuzi (m-45).
Selang tiga minit kemudian, Jeong Younseok menghasilkan gol kedua Korea Selatan tetapi kapten Malaysia, Muhammad Nor Faaez meledak dua gol pada minit ke-6 dan 67 untuk memberi bayangan awal beraksi di Piala Dunia Remaja 2013 di India.Gol ketiga Korea Selatan dihasilkan kapten pasukan,Yang Jihun minit ke-69.
Chong Wei berpeluh
JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dipaksa berhempas pulas sehingga tiga set oleh rakan senegara, Chong Wei Feng sebelum mara ke saingan separuh akhir Grand Prix (GP) Emas semalam, dalam pemburuannya mencatat gelaran keempat berturut-turut.
Dalam saingan di Stadium Bandaraya Johor Bahru itu, Chong Wei tidak berdepan kesukaran pada set pertama apabila menang 21-18 ke atas pilihan kelapan itu tetapi dia tewas pada set kedua 15-21 sebelum bangkit 21-8 pada set ketiga.
Beregu pilihan pertama kejohanan, Koo Kien Keat-Tan Boong Heong juga tidak menghadapi kesukaran untuk menempah tempat ke separuh akhir apabila mengatasi gandingan Korea Selatan, Kim Dae Eun-Lee Sang Jong 21-14,21-12 dan akan menentang Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Tazari pada separuh akhir hari ini.
Pasangan KLRC itu menewaskan Hoon Thien How-Teo Yi Ee dalam pertarungan tiga set 21-14, 20-22, 21-17.
“Menentang beregu Korea Selatan itu jelas kurang mencabar tetapi saya pasti menentang Mohd Zakry-Mohd Fairuzizuan esok (hari ini) bakal menjanjikan saingan sengit, sekali gus menguji keupayaan sebenar kami dalam persiapan menghadapi Piala Thomas,” kata Boon Heong.
Pilihan utama beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga dipaksa bekerja keras sebelum mara ke separuh akhir selepas mengatasi rakan senegara, Ong Jian Guo-Lim Yin Loo dalam tempoh 32 minit sebelum menang 21-14, 23-21 dan akan bertemu pasangan Indonesia, Riky Widianto-Puspita Richi Dili yang menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Dae Eun-Ko A Ra 21-19, 21-13, semalam.
Malaysia garang belasah Iran 6-1
Aksi lincah anak buah Muhammad Dhaarma Raj membuka tirai jaringan menerusi kapten pasukan, Muhammad Noor Faeez Ibrahim seawal minit keenam.
Malaysia mempamerkan aksi garang pada pembukaan Kejohanan Hoki Remaja Asia Ke-7 apabila membelasah Iran 6-1 di Stadium Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, semalam.
Namun, lawan yang tidak panik kembali mengatur langkah dan berjaya memperdayakan pasukan negara pada minit ke-20 hasil jaringan Hamid Noraniyan.
Bagaimanapun, keseronokan pasukan pimpinan Esfandyar Safaei itu tidak berkekalan kerana gawang mereka bolos lagi pada minit ke-30 hasil jaringan Muhammad Firhan Ashari sebelum permainan berhenti untuk separuh masa pertama.
Babak kedua memberikan rentak lebih bertenaga kepada pasukan negara apabila Muhammad Noor Faeez dan Amir Farid masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-38 dan 61.
Jangan lekeh Sime Darby: Khairul
PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menyeru rakan sepasukan supaya tidak memandang mudah keupayaan Sime Darby yang mencipta kejutan dengan menewaskan Terengganu untuk layak ke final Piala FA.
The Red Warriors yang menewaskan Kedah menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas agregat 3-3, kelmarin akan menentang pasukan kelab itu di final pada 19 Mei ini.
“Untuk pertemuan dengan pencabar baru seperti Sime Darby ini, kita tidak boleh memandang mudah dan tidak terlalu yakin kerana sepanjang saingan Piala FA mereka (Sime Darby) bermain penuh semangat dan kita perlu berhati-hati,” katanya.
Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan Apek berkata selain berwaspada dengan rentak permainan Sime Darby dia bertekad untuk membaiki prestasi dan membentuk keyakinan diri sebelum menjelang perlawanan akhir nanti.
“Saya mengakui pernah membuat beberapa kesilapan ketika beraksi namun saya akan membaiki kelemahan dalam masa terdekat dan akan fokus dalam perlawanan akhir nanti,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak memuji kekentalan anak buahnya yang mampu menghalang kemaraan Kedah dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA – sekali gus layak ke final buat dua musim berturut-turut.
Bojan menyifatkan jaringan pemain pertahanan import, Obinna Nwneri pada babak kedua pencetus semangat kepada rakan sepasukan untuk bangkit biarpun ketinggalan 0-2 pada babak pertama.
“Kami akui pemain tidak bermain dengan baik pada separuh masa pertama kerana pihak lawan mendahului dua jaringan dan ia juga hampir membunuh moral pemain kita.
“Bagaimanapun jaringan Obinna berjaya menghidupkan kembali semangat pasukan dan pemain mula bangkit untuk mencari kemenangan sehingga Mohamad Ghaddar berjaya menjaringkan gol kedua,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelantan, Sime Darby ke final
KELANTAN dan Sime Darby FC melangkah ke final Piala FA 2012.
Sime Darby mara dengan kelebihan agregat 2-1 selepas terikat seri tanpa jaringan dengan Terengganu pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Selayang malam tadi.
Kelebihan agregat tersebut diperoleh hasil kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Kuala Terengganu minggu lalu.
Kelantan pula melangkah bergaya selepas mencatat keputusan 2-2 dengan Kedah pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi sekali gus mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.
Pada aksi pertama minggu lalu, kedua-dua pasukan turut mencatat keputusan seri 1-1.
Meskipun terikat dengan agregat 3-3 tetapi Kelantan mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.
Kedah pernah beraksi di final Piala FA pada tahun 1996, 2007 dan 2008 dengan meraih gelaran sebagai juara, namun pada tahun 2010 mereka dihampakan Negeri Sembilan yang pada masa itu dibimbing Wan Jamak Wan Hassan.
Nasib ternyata tidak menyebelahi anak-anak buah pengendali yang berasal dari Johor itu berdasarkan perkiraan gol ditempat lawan menerusi agregat 3-3.
Kelebihan dua jaringan pada babak pertama menerusi jaringan penyerang licik, Mohd. Khyril Muhymeen Mohd. Zambri yang mampu memberi kelebihan kepada Kedah gagal dipertahankan sehingga wisel penamat.
Sebaliknya Kelantan bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain pertahanan, Obinna Nwaneri dan penyerang, Mahmoud Ghadar.
Kedua-dua pasukan yang mahu mencari jaringan awal sebagai gol semangat saling mengasak sebaik wisel dibunyikan pengadil perlawanan, M. Yusof Mat Karim.
Pasukan tuan rumah berpeluang mendahului menerusi Gerc pada minit ke-29, namun diselamatkan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat.
Usaha skuad Kenari akhirnya berhasil menerusi sepakan percuma Ketua Pasukan, Baddrol Bakhtir yang dikuis cantik Mohd. Khyril Muhymeen pada minit ke-31.
Mohd. Khyril Muhymeen sekali lagi menceriakan lebih 30,000 penyokong skuad Hijau Kuning apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-42.
Pemain berjersi 18 itu menolak masuk hantaran Mohd. Fazliata Taib yang menerima hantaran Mohd. Khairul Helmi Johari daripada kawasan tengah padang untuk meletakkan pasukan tuan rumah selesa mendahului dua jaringan.
Skuad Kijang memulakan babak kedua dengan langkah kanan apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi pemain import, Obinna Nwaneri yang menanduk masuk bola hantaran sepakan sudut Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-47.
Mohd. Khyril Muhymeen yang berjaya melepasi pertahanan pasukan pelawat sekali lagi berpeluang melebarkan jaringan dua minit kemudian, namun sepakannya diselamatkan Khairul Fahmi.
Pasukan pelawat selepas itu menggandakan asakan dan akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi Mahmoud Ghadar pada minit-61.



















