Safee kena sesuai diri tanpa Mat Yo
PENYERANG utama skuad kebangsaan, Safee Sali perlu mencari keserasian dengan Zaquan Adha Radzak, Abdul Manaf Mamat dan Ahmad Shakir Md Ali untuk aksi persahabatan menentang Sabah Jumaat ini, dan Filipina Rabu depan, selepas ketiadaan gandingannya, Norshahrul Idlan Talaha.
Ini kerana Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, bakal terlepas aksi antarabangsa sulung 2012 menentang Filipina selepas mengalami kecederaan lutut ketika bertemu Sarawak, Sabtu lalu dan memerlukan dua minggu untuk pulih.
“Ketiadaan Mat Yo memang agak dirasai tetapi dalam latihan, saya akan cuba mencari keserasian bersama tiga penyerang yang ada ini. Zaquan saja pernah main bersama tetapi sudah agak lama selepas dia berehat panjang.
“Tapi ia bukanlah masalah besar kerana dengan semangat juang semua pemain yang menyertai kem latihan kali ini, saya yakin kami mampu memulakan kempen 2012 dengan nota kemenangan ke atas Filipina,” kata Safee setibanya dari Jakarta, pagi semalam.
Kali terakhir kapten Pelita Jaya itu bersama skuad kebangsaan ialah ketika menjaringkan dua gol pada aksi persahabatan menentang India di Kolkata 16 November lalu, yang menyaksikan skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu tewas 2-3.
“Selepas 11 perlawanan Liga Super Indonesia (ISL) bersama Pelita Jaya musim ini, saya sudah menjaringkan tujuh gol dan mahu sentuhan ini diteruskan bersama skuad kebangsaan bagi menambah lagi keyakinan diri,” kata Safee yang bakal kembali ke Indonesia, 1 Mac untuk aksi bertemu Persipura, 3 Mac depan.
‘Jepun bakal masuk perangkap ciptaan sendiri’
Mereka terdesak cari gol lebih: Kim Swee
KEGHAIRAHAN Jepun memburu gol apabila turun menentang skuad Olimpik kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, akan digunakan sepenuhnya Ong Kim Swee untuk memerangkap gergasi Asia itu.
“Saya tahu Jepun terdesak mahu mencari gol dan situasi itu saya akan gunakan untuk memerangkap mereka,” kata pengendali skuad Harimau Muda itu pada sidang media di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam.
“Ramai menganggap kami akan bertahan selepas kekalahan 0-2 di Fukuoka tempoh hari, tetapi mungkin saya akan menukar taktik, bergantung kepada permainan malam esok (malam ini). Saya mahu pastikan kami mengutip sekurang-kurangnya satu mata.
“Persiapan pasukan berjalan lancar dan saya lihat semangat pemain cukup tinggi menjelang perlawanan ini. Ini bukan lagi soal layak atau tidak, tetapi soal maruah yang perlu dipertahankan.
“Saya yakin dengan sokongan padu peminat, kelebihan berada di tangan kita. Pemain muda negara mempunyai keazaman tinggi untuk cipta sejarah baru bola sepak negara.
“Itu dorongan utama yang ada dalam diri mereka.”
Malaysia mengharungi saingan kelayakan Olimpik 2012 dengan menewaskan Pakistan dan Lubnan sebelum mara ke pusingan terakhir zon Asia tetapi dalam Kumpulan C yang turut dibarisi Jepun, Syria dan Bahrain, Malaysia belum mengutip sebarang mata selepas empat perlawanan.
“Ini peluang terakhir untuk kami menguji kemampuan dengan pasukan hebat seperti Jepun,” kata Kim Swee. “Entah bila lagi kita akan dapat bertemu mereka pada perlawanan kompetitif seperti ini.
“Jadi saya harap peluang ini digunakan sepenuhnya pemain. Menang atau kalah adat pertandingan, tetapi yang penting pemain berusaha memperbaiki persembahan berbanding aksi sebelumnya.”
Tebus maruah negara: Kim Swee
‘Kejayaan benam Jepun pasti akan kekal dalam sejarah bola sepak negara’
“WALAUPUN sudah tidak berpeluang ke Sukan Olimpik London tahun ini, kemenangan ke atas Jepun pasti akan kekal dalam sejarah bola sepak negara!”
Itulah kata-kata perangsang Ong Kim Swee kepada anak buahnya menjelang perlawanan kedua terakhir kelayakan Olimpik 2012 Kumpulan C bertemu Jepun di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Sedar jurang dengan gergasi Asia itu masih jauh, Kim Swee berharap anak buahnya akan cuba memperbaiki permainan selepas kekalahan 0-2 di Jepun pada perlawanan pertama lalu.
“Kita perlu realistik dengan kemampuan kita, tetapi tidak mustahil mengutip sekurang-kurangnya satu mata di laman sendiri. Dengan sokongan padu penonton, saya pasti pemain akan lebih bersemangat,” kata Kim Swee.
“Sepanjang sesi latihan, saya nampak keazaman pemain untuk menebus maruah negara selepas empat kekalahan berturut-turut dalam peringkat kelayakan ini. Apa yang saya harapkan ialah mereka mengekalkan tumpuan hingga tamat permainan.”
Kim Swee yakin pengalaman dikutip menerusi enam perlawanan berprofil tinggi dalam kelayakan ini mampu meningkatkan prestasi pasukan menjelang saingan kelayakan Piala AFC Bawah 22 yang julung kali dipertandingkan badan induk bola sepak Asia.
“Dengan pengalaman yang dikutip pemain muda dalam dua kejohanan – Sukan SEA dan kelayakan Olimpik 2012 – saya pasti kita berpeluang meraih kejayaan pada saingan itu nanti,” kata Kim Swee selepas sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Pada perlawanan esok, Kim Swee bakal kehilangan khidmat Gary Steven Robbat dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang digantung perlawanan, serta Ahmad Hazwan Bakri yang cedera otot paha.
‘Saya juga teraniaya’
Atlit angkat berat Firdaus buat laporan polis, minta siasatan
SELEPAS atlit olahraga Mohd Yunus Lasaleh, atlit angkat berat negara, Firdaus Abdul Razak, 24, pula membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dia mengambil dadah terlarang ketika Sukan SEA Indonesia tahun lalu.
“Kemungkinan saya dianiaya jurulatih terbabit kerana sepanjang pembabitan saya dalam sukan ini, saya tidak pernah mengambil bahan terlarang. Saya melalui ujian sejak 2002 dan kali terakhir pada 17 September tahun lalu, yang menunjukkan saya bebas daripada sebarang bahan terlarang untuk kelayakan ke Sukan SEA iaitu ketika kejohanan angkat berat kebangsaan di Kuala Lumpur, sebelum berlatih di China,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, semalam.
Firdaus berkata, susulan kes itu, dia terpaksa menanggung malu dan mahu namanya dibersihkan kerana yakin dirinya teraniaya.
Menurutnya, rakan baiknya ada memaklumkan bahawa berkenaan menghubungi rakannya itu untuk meminta Firdaus tidak membuka mulut mengenai ubat berkenaan.
Sebelum ini, Firdaus yang positif ujian dadah ketika beraksi pada temasya Sukan SEA Indonesia, mendakwa dia diberi dua jenis ubat berbentuk kapsul berwarna putih oleh jurulatih itu sepanjang latihan di China.
Dia mendakwa diberi ubat berkenaan secara tertutup dalam sebuah bilik dan jurulatih menyatakan ubat itu sebagai makanan tambahan dan sejenis herba China yang boleh membantunya menjalani latihan bersama atlit angkat berat lain.
“Saya ada menghubungi Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong bagi mendapatkan nasihat mengenai kejadian ini dan beliau meminta saya membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan itu, selain membersihkan nama saya yang sudah tercalar,” katanya.
FAM akan bertindak
![]() |
Hamidin Mohd. Amin
|
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan bertindak lanjut sebaik sahaja Chris Eaton menjawab surat tuntutan penjelasan berhubung dakwaannya pegawai FAM turut terlibat dalam mengatur keputusan perlawanan.
Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, buat sementara pihaknya masih hanya mengambil pendirian ‘tunggu dan lihat’ walaupun beliau mengakui turut dihubungi oleh akhbar Singapura, The Straits Times yang menyiarkan laporan dakwaan Eaton itu pada minggu lalu.
“Buat sementara ini, biar kami tunggu jawapan Eaton, baru FAM akan menilainya dan mengambil langkah susulan walaupun saya menganggap kenyataannya sebagai amat mengecewakan kami,” katanya selepas Majlis Pelancaran Persatuan Bola Sepak Nuha (Nuha FA) di Kompleks Penyayang Bakti, Bandar Sri Damansara, semalam.
FAM dalam kenyataan media, minggu lalu, menyebut, surat tuntutan penjelasan sudah dihantar kepada bekas Ketua Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu sambil menyatakan rasa kesal mereka selain mahukan bekas pegawai FIFA yang meletak jawatan Jumaat lalu untuk menyertai Pusat Antarabangsa Untuk Keselamatan Sukan di Qatar, memberikan bukti jika dakwaannya itu berasas.
Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM turut merumuskan persaingan kalah mati kebangsaan, Piala FA 2012 yang bermula Jumaat lalu sebagai tidak mempunyai banyak kejutan kecuali juara Piala Malaysia 2011 dan Piala Sultan Ahmad Shah, Negeri Sembilan yang dipintas Johor FC 2-1 di Seremban.
“Ia boleh dianggap sedikit kejutan walaupun kedua-duanya daripada liga yang sama (Super) sementara perlawanan lain, pasukan pilihan masing-masing menepati ramalan dengan menewaskan lawan yang berlainan liga (Liga Super, Perdana dan FAM),” katanya yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Sementara itu, Nuha FA mengambil daya usaha aktif dalam membantu meningkatkan pembangunan bakat muda baru bola sepak negara menerusi penubuhan pasukan bawah 17, 15, 12 dan 10 tahun bagi penduduk sekitar Bandar Sri Damansara, Damansara Damai, Bandar Bukit Manjalara dan Sungai Penchala.
Kata Presidennya, Mohd. Ramzan Mansor: “Persatuan ini diasaskan sejak Disember lalu dan sudah berjaya mengumpul 80 pemain dengan yuran hanya RM30 sebulan. Kami juga mendapat tunjuk ajar teknikal jurulatih ternama seperti Subadron Aziz dan Lim Kim Swee selain pernah menghantar pasukan bawah 10 yang mara ke suku akhir Liga PNSB, baru-baru ini.”
Tujuh pil, suntikan setiap pagi – Schzuan
Tujuh biji pil dan suntikan di lengan setiap pagi ketika mengikuti latihan persediaan ke Sukan SEA XXVI Indonesia tahun lalu didakwa diberikan kepada ahli kuartet 4×400 meter negara, Mohd. Yunus Lasaleh yang positif ujian doping pada temasya dwi tahunan tersebut.
Perkara ini didedahkan salah seorang ahli kuartet tersebut, Schzuan Ahmad Rosely yang turut menerima ubatan tersebut ketika menyertai latihan di Miri Sarawak dan di Brunei pada September hingga Oktober tahun lalu.
Kata Schzuan, doktor dari Bulgaria yang merawatnya juga tidak memaklumkan secara terperinci ubatan sampingan yang diberikan kepada mereka sehingga menimbulkan keraguan.
“Doktor akan datang pada saya setiap pagi ketika saya hendak bangun tidur dan itulah yang kami berdua terima setiap hari sepanjang latihan berlangsung. Ia juga umpama jam penggera buat kami untuk bangun tidur.
“Kami juga diminta untuk memakan hampir tujuh biji pil yang hanya dimaklumkan oleh doktor sekadar berfungsi untuk memulihkan tenaga kami.
“Saya juga ada bertanya tentang suntikan setiap pagi itu, namun doktor hanya memberitahu ia hanya vitamin B12 sahaja,” kata Schzuan.
Ketika latihan persediaan itu berlangsung hanya Mohd. Yunus dan Schzuan sahaja yang berada di Miri dan Brunei manakala dua lagi ahli kuartet iaitu P. Yuvaraaj serta S. Kannathasan tidak turut serta.
Kuartet tersebut yang pertama kali digandingkan melakar kejutan apabila memperoleh emas pada Sukan SEA 2011 dalam acara 4x400m sebelum terpaksa pulang awal tanpa sempat meraikan kejayaan di atas podium.
Bagaimanapun, penganjur temasya mendapati ujian doping sampel A Mohd. Yunus positif sebelum keputusan yang sama diperoleh melalui sampel B pada minggu lalu.
Sementara itu, atlet jarak jauh, Mohd. Jironi Riduan yang turut mengikuti latihan persediaan di dua tempat tersebut memberitahu mereka ‘seakan teraniaya’ kerana diberikan ubatan tanpa penjelasan terperinci.
“Hampir 13 atlet olahraga yang mengikuti latihan persediaan itu diberikan ubatan berbeza mengikut acara disertai.
“Malah kami juga tiada pilihan untuk menolak daripada mengambil ubatan tersebut selepas dimaklumkan pil tersebut hanya vitamin sampingan untuk memulihkan tenaga selepas berlatih,” kata Jironi.
NS lepas peluang
February 19, 2012 by Dudi
Filed under BOLA SEPAK NS, Sukan
Comments Off
Selangor akan menentang Johor FC, yang mengejutkan Negeri Sembilan dengan menumpaskan skuad Hobin Jang Hobin 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Kedua-dua jaringan pelawat menerusi Arthuro Bernhat pada minit ke-24 dan 79, manakala gol tuan rumah dijaringkan Jean Emmanuel Effa Owana minit ke-29.
PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha terjatuh akibat diasak pemain pertahanan Sarawak dalam perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Mohammad IV , Kota Bharu semalam.
Pemain gantian, Farhan Muhammed muncul penyelamat Kelantan, apabila jaringannya pada masa kecederaan membawa juara Liga Super itu ke pusingan kedua Piala FA selepas bangkit menumpaskan Sarawak 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam.
Penyandang juara, Terengganu dan juara lima kali, Selangor juga mara menerusi kemenangan selesa 4-0 ke atas lawan masing-masing, manakala T-Team turut layak dengan menundukkan Johor 2-0.
Dalam saingan di Kota Bharu, Kelantan nyaris diheret ke masa tambahan apabila terikat 1-1 selepas 90 minit perlawanan, malah dikejutkan dengan gol pembukaan pelawat pada minit ke-20 menerusi Azizan Baba, sebelum Indra Putra Mahyudin menyamakan kedudukan di minit ke-33.
Begitupun Farhan yang dibawa masuk pada babak kedua, meledakkan gol kemenangan seminit selepas saingan memasuki masa kecederaan, sekali gus membawa Kelantan menempah pertemuan dengan Kuala Lumpur, yang menumpaskan Majlis Perbandaran Muar 3-0 di Stadium Hang Jebat.
Di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Selangor nyata bukan tandingan Shahzan Muda apabila dua jaringan Safiq Rahim (minit ke-66, 74), penyerang import, Basko Balaban (25) dan gol ke-100 ketua pasukan, Amri Yahya pada minit ke-82 membantu mereka menang besar 4-0.
Terengganu pula mengesahkan pertemuan dengan Perak selepas membelasah PDRM 4-0 hasil dua jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-37 dan 65, diikuti Abdul Hadi Yahya (9) dan Francis Doe pada minit ke-79.
Lions XII (Singapura) dan Preach Khan Reach dari Kemboja meneruskan saingan ke pusingan kedua.
Lions XII menjinakkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 3-0 di Stadium UiTM, Shah Alam untuk bertemu Betaria FC yang menumpaskan Melaka 4-0, manakala Preach Khan Reach menang tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk menempah pertemuan dengan Kuala Lumpur SPA yang menewaskan MBJB FC 3-0.
Di Stadium Utama, Kangar, Perlis selesa menumpaskan SDM Kepala Batas 3-0.
‘Tentera tak bernasib baik’
SEMANGAT melawan anak buahnya tetap membanggakan B Sathianathan biarpun Tentera tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tumpas 1-0 kepada Perak di Ipoh, kelmarin.
“Nasib nyata tidak menyebelahi kami kerana gagal mendapatkan gol yang diperlukan walaupun memberi tentangan sengit pada babak kedua.
Menurut Sathia, dia terpaksa mengubah perancangan dan strategi selepas anak buahnya ketinggalan seawal minit ketiga permainan hasil jaringan Michal Kubala.
“Ia jaringan daripada sepakan percuma dan tiada siapa boleh dipersalahkan.
Berikutan itu kami terpaksa mengamal corak menyerang untuk mencari gol tetapi gagal. Bila itu berlaku benteng Tentera terdedah kepada serangan balas Perak, mujur mereka juga gagal menambah gol.
“Apapun saya berbangga dengan persembahan setiap pemain yang menunjukkan semangat juang kental. Itu petanda baik buat pasukan. Saya memandang ke depan untuk kami mencuba nasib dalam Piala Malaysia pula nanti,” katanya.
Sementara itu jurulatih Perak, Norizan Bakar memuji persembahan anak buahnya yang menunjukkan permainan bermutu untuk menghasilkan kejayaan.
“Tahniah kepada pemain kerana bermati-matian hingga berjaya mengutip kemenangan. Tetapi masih ada kelemahan dan kepincangan yang perlu diperbaiki.
Rehat hampir dua minggu selepas ini akan digunakan untuk mengatasi kelemahan ini.”
Kejohanan Golf Tuanku Muhriz 2012

SEBUAH kereta BMW Z4 dan Mini Cooper menjadi hadiah kepada pemain yang membuat pukulan ‘hole-in-one’ (pukul sekali masuk lubang) dalam Tuanku Muhriz Shield Golf Challenge 2012 di Nilai Spring Golf & Country Club, Nilai pada 25 Februari ini.
Pengerusi jawatankuasa penganjur Datuk Rusli Harun berkata hadiah lain termasuk pelbagai barangan serta cabutan bertuah.
“Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut kejohanan ini diadakan bagi merebut hadiah utama piala pusingan Perisai (Shield) Tuanku Muhriz.
“Kejohanan ini diadakan sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku
Muhriz Almarhum Tuanku Munawir yang ke-64 pada 14 Januari lalu,” katanya pada satu sidang media semalam.
Rusli berkata kejohanan ini disertai 200 pemain secara jemputan yang terdiri daripada kerabat diraja, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Exco, anggota Dewan Undangan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri serta kenalan Tuanku Muhriz.
Kejohanan anjuran Persatuan Tuanku Muhriz Shield Negeri Sembilan berlangsung dalam dua sesi iaitu sebelah pagi dan petang manakala majlis penyampaian hadiah dan jamuan makan diadakan pada sebelah malam, katanya. – Bernama
Atur keputusan, FAM tuntut penjelasan FIFA
![]() |
Chris Eato
|
Ketua Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton perlu menjelaskan secara terperinci berhubung kenyataannya kepada sebuah akhbar Singapura yang membayangkan bahawa pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut terlibat dengan gejala mengatur keputusan.
Kesal dengan laporan akhbar Straits Times Singapura itu, FAM dalam kenyataan medianya semalam, menegaskan, pihaknya turut mahukan Eaton memberikan bukti jika dakwaannya terhadap mana-mana pegawai FAM itu berasas.
“Surat menuntut penjelasan itu dihantar kepada Eaton berdasarkan laporan akhbar berkenaan yang memetiknya sebagai sumber yang membuat kenyataan itu.
“FAM memandang serius gejala rasuah dan kegiatan mengatur perlawanan. Persatuan ini juga sudah merangka strategi untuk membanteras gejala yang tidak sihat ini,” menurut kenyataan tegas FAM.
FAM menerusi Jawatankuasa Pemantauan, Ketelusan dan Penyelarasannya, baru-baru ini turut memperkenalkan pendekatan 3E (education – pendidikan, engagement – perhubungan dan enforcement – penguatkuasaan) malah menubuhkan Unit Khas dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
















