Bai’ah haram jika langgar syariat

February 23, 2012 by  
Filed under web/blog

Comments Off

Haram jika bai’ah langgar syariat agama

Pas perlu memastikan kandungan bai’ah atau sumpah taat setia yang diwajibkan kepada calon parti itu untuk bertanding pada pilihan raya nanti tidak menyimpang daripada syariat Islam.

Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, bai’ah boleh menjadi haram dan berdosa sekiranya terma yang terkandung di dalamnya melanggar hukum Islam dan lebih menjurus kepada kepentingan parti atau pemimpin.

Menurutnya, tidak salah bagi mana-mana individu untuk berbai’ah selagi sumpah taat setia dinyatakan itu tidak terkeluar daripada syariat dan peraturan Islam.

“Misalnya, satu ketika dulu, Pas perkenalkan amalan bai’ah menceraikan isteri dengan talak tiga sebagai tanda kesetiaan kepada parti. Perkara seperti ini yang harus diperincikan oleh Pas.

“Jika bai’ah yang baru ini mengandungi unsur-unsur tersasar dari syariat Islam maka ia satu dosa dan haram,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa setiap calon Pas yang bertanding dalam pilihan raya diwajibkan berbai’ah bagi menentukan calon tidak menyeleweng dari dasar Islam, cara dan matlamatnya.

Selain itu kata Dr. Juanda, mereka yang mengingkari bai’ah boleh dianggap ditimpa kecelakaan dalam kehidupannya kerana amalan sumpah yang dibuat berteraskan agama Islam.

“Hakikatnya, amalan bai’ah ini sudah lama dipraktikkan di kalangan pemimpin Islam zaman terdahulu bagi memastikan kepimpinan yang diamalkan mengikut lunas-lunas Islam,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mahu Pas memperincikan kandungan bai’ah yang dimaksudkan parti itu bagi mengelak kekeliruan dan tanggapan serong pihak lain.

Sementara itu, bekas Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Tan Sri Abd. Kadir Talib berkata, mana-mana individu bebas mengamalkan bai’ah selagi pelaksanaannya mengikut syariat dan hukum syarak.

Namun, katanya, jika kandungan bai’ah tersebut bertentangan dengan Islam maka amalan itu wajib dijauhi.

”Bai’ah ini sesuatu yang baik dan dituntut oleh Islam, oleh itu, jika amalannya bertentangan dengan syariat Islam maka ia salah mengikut agama,” katanya.

Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, bai’ah lebih menjurus kepada pengakuan sumpah setia kepada pemimpin untuk melakukan perbuatan yang mengikut lunas-lunas Islam.

”Bai’ah ini sebenarnya hanya perkara sunat dan digalakkan melakukannya jika ia menjadikan seseorang itu lebih baik dan tidak melanggar hukum syarak,” kata beliau.

Ujar beliau, hasrat Pas mewajibkan calon parti itu melakukan bai’ah sebelum pilihan raya sememangnya baik namun pada masa sama, parti itu harus memastikan pelaksanaannya mengikut hukum syarak Islam.

Sementara itu, pendakwah bebas, Md. Daud Che Ngah berkata, tidak salah mana-mana parti atau individu untuk berbai’ah tetapi ia wajib dilaksana mengikut keperluan Islam.

“Bai’ah ini kata-kata ikrar taat setia berlandaskan prinsip agama tetapi sukar untuk memberi jaminan yakni jika ia gagal dipatuhi maka boleh menyebabkan kecelakaan dunia dan akhirat,” katanya.

Tak setuju alasan Ketua Umum

February 22, 2012 by  
Filed under web/blog

Comments Off

Israel: Terserah kepada Anwar nak terima atau tidak – Nik Aziz

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi menegaskan parti itu sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel.

Beliau berkata, pendirian Pas itu adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa perikemanusiaan dan menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestin.

Katanya, adalah haram, menerima kewujudan negara Israel yang haram, ditambah lagi dengan tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua.

“Di sini saya mengulangi pendirian Pas sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulama, iaitu Pas sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel dan tetap istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

“Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerima pendirian Pas ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman web parti itu di www.pas.org.my di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pertemuannya dengan Anwar semalam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pada beliau adalah haram bersekongkol dengan pihak Israel dalam apa bentuk hubungan sekalipun. – BERNAMA

Perlu fahami erti perjuangan

February 22, 2012 by  
Filed under web/blog

Comments Off

Veteran polis kesal segelintir ahli politik agungkan komunis

Generasi Malaysia sekarang dan akan datang perlu mempelajari bagaimanapun negara mencapai kejayaannya hingga ke tahap hari ini, kata bekas pegawai kanan polis, Tan Sri Yuen Yet Leng.

Sekalipun wujud perbezaan ketara di kalangan rakyat, mereka masih mampu bersatu untuk berjaya dalam perang menentang pengganas komunis yang cuba merampas kuasa politik negara pada masa lampau, kata beliau.

“Sekalipun selepas bersara, saya terus memainkan peranan menentukan bahawa kerajaan yang wujud, tidak kira apa parti politiknya, terus mentadbir negara dengan adil demi memenuhi keperluan semua kaum,” kata beliau.

Namun, Yuen melahirkan rasa kesal kerana ada ahli politik yang membuat kenyataan yang meracuni fikiran rakyat berhubung kegiatan pengganas komunis.

Terutama percubaan memaparkan seseorang itu sebagai wira, sedangkan pasukan keselamatan negara terpaksa berjuang selama empat dekad dan ada anggota yang terkorban demi kewibawaan dan kemerdekaan negara. – BERNAMA

Selesaikan di Majlis Syura

February 21, 2012 by  
Filed under web/blog

Comments Off

Anwar perlu jelaskan kepada Majlis Syura Ulama Pas

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikecam hebat ekoran sokongannya terhadap keselamatan Israel perlu memberi penjelasan kepada Majlis Syura Ulama Pas dan bukannya bertemu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara peribadi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ini kerana kata dua supaya menarik balik kenyataan menyokong keselamatan Israel dan menyaman The Wall Street Journal diputuskan Majlis Syura Ulama, manakala Nik Abdul Aziz hanya menyampaikan desakan itu.

“Anwar perlu memberi penjelasan kepada Majlis Syura Ulama, bukan jumpa Nik Abdul Aziz secara peribadi kerana yang membuat desakan dan memberi kata dua kepada Anwar adalah Majlis Syura Ulama. Nik Abdul Aziz hanya menyampaikan sahaja desakan tersebut.

“Sebab ini bukan suara Nik Abdul Aziz, kata dua ini adalah desakan Pas, sebab itu kita lihat Mursyidul Am Pas banyak berdiam diri dan hanya bersuara selepas Majlis Syura Ulama membuat pendirian,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas pertemuan Anwar dengan Menteri Besar Kelantan itu yang dijangka berlangsung hari ini, selepas ketua pembangkang memberitahu beliau akan menjelaskan erti sebenar sokongannya terhadap keselamatan Israel kepada Nik Abdul Aziz.

Mohd. Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menambah, beliau faham mengapa Anwar memilih bertemu Nik Abdul Aziz secara peribadi berbanding memberi penjelasan kepada Majlis Syura Ulama, kerana Mursyidul Am Pas itu lebih senang untuk dipengaruhi.

“Ini kerana Nik Abdul Aziz ulama politik berbanding Majlis Syura Ulama yang saya lihat lebih tegas dalam soal agama dan akidah, jadi tidak mustahil selepas pertemuan ini, Anwar menggangap isu Israel selesai dan kemudian menjadikan UMNO sebagai kambing hitam,” katanya.

Berdosa sokong Pas?

February 21, 2012 by  
Filed under web/blog

Comments Off

Seorang tokoh agama di negeri ini berpendapat, adalah berdosa menyokong Pas kerana perjuangan parti itu kini tidak lagi untuk menegakkan negara Islam, sebaliknya membawa kehancuran kepada sesama umat Islam.

Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah berkata, beliau sangat kecewa apabila pemimpin Pas yang selama ini lantang bercakap menegakkan Islam dan menuduh UMNO memperjuangkan kebangsaan, kini bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan menyokong usaha memastikan keselamatan negara Israel.

“Saya sangat-sangat kecewa dengan sikap pemimpin Pas yang bercakap menegakkan Islam, tetapi menipu diri sendiri apabila masih lagi bersama Anwar yang menyokong usaha memastikan keselamatan negara Israel, seteru umat Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas pendirian Pas yang terus menjalin kerjasama dengan Anwar dalam pakatan pembangkang di sebalik kenyataan Ketua Pembangkang itu kepada akhbar The Wall Street Journal, menyatakan sokongan terhadap usaha memastikan keselamatan negara Israel.

Mengenai cadangan tokoh akademik Islam, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid supaya Pas mengambil alih kepimpinan pakatan pembangkang daripada Anwar, Abdullah berpendapat, perkara itu mustahil kerana ia sudah tentu mendapat tentangan daripada DAP.

Debat PM – Ketua Umum tidak relevan

February 20, 2012 by  
Filed under web/blog

Comments Off

Setuju jika Pakatan keluarkan dasar terperinci.

Pakatan Rakyat (PR) dicabar mengeluarkan dasar terperinci mengenai rancangan masa depan negara, barulah Barisan Nasional (BN) bersedia berdebat secara terbuka dengan mereka bila-bila masa.

Ahli Parlimen Kota Belud (Umno), Datuk Abd Rahman Dahlan berkata, sekiranya Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang, maka BN akan defensif dalam debat itu.

Menurutnya, ia kerana PR mengetahui segala dasar dan rancangan BN dengan jelas, namun sebaliknya BN tidak mengetahui dasar PR, hanya melalui Buku Jingga dan ceramah lisan pemimpin mereka.

“Pembangkang amat bijak dalam hal ini, mereka tidak pernah mengeluarkan dasar secara menyeluruh, jadi bagaimana kami mahu debat mengenai dasar dan rancangan masa depan negara?

“Di negara luar, debat antara kerajaan dan pembangkang boleh diadakan kerana kedua-dua pihak mempunyai dasar yang jelas, maka debat itu medan terbaik supaya rakyat mereka boleh menilai kerajaan yang dikehendaki,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, debat bukanlah satu-satunya cara menilai pemimpin kerana bimbang ia hanya retorik dan medan bagi menghentam kerajaan.

“Debat antara (Presiden MCA) Datuk Seri Chua Soi Lek dan (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng kelmarin sebenarnya tiada apa-apa yang boleh kita ambil. Bagi saya debat antara kedua-dua pemimpin kaum Cina ini kerana Soi Lek bukanlah Ahli Parlimen, jadi dia perlukan pentas untuk bertanya dengan Guan Eng.

“Bagi Anwar pula, beliau Ahli Parlimen Permatang Pauh, maka segala soalannya dalam Dewan Rakyat akan dijawab kerajaan, di situ ada perbezaan ketara. Alasan Anwar tiada peluang berdebat, tidak berasas,” katanya.

Abd Rahman yang juga Setiausaha BN Sabah turut menegaskan Buku Jingga yang dibawa PR tidak lebih daripada manifesto semata-mata.

Guan Eng elak jawab kritikan

February 19, 2012 by  
Filed under web/blog

Comments Off

Selama ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kelihatan hebat ketika memberi ceramah di atas pentas politik tetapi apabila diberi peluang, beliau enggan menjawab beberapa kritikan terhadapnya ketika mengambil bahagian dalam debat MCA-DAP di Berjaya Times Square.

CHUA Soi Lek (kanan) bersama Lim Guan Eng (kiri) semasa Sesi Debat MCA-DAP di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, semalam.


Dalam debat selama satu jam sempena Persidangan Masyarakat Cina di Persimpangan Politik itu, Setiausaha Agung DAP tersebut bukan sahaja ‘gagal’ menjawab beberapa soalan peserta persidangan, malah cuba berdolak dalik termasuk sentiasa menyalahkan Kerajaan Pusat sepanjang perdebatan itu.

MCA diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada debat itu yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tan Ah Chai.

Terdahulu, pihak penganjur telah menetapkan beberapa garis panduan termasuk membenarkan peserta persidangan mengajukan soalan kepada kedua pendebat tersebut.

Antara soalan peserta persidangan ialah adakah Guan Eng akan menghapuskan tol Sungai Nyor di Pulau Pinang seperti yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.

“Berkenaan ‘cek kosong’ atau janji kosong di Pulau Pinang, kerajaan negeri beriltizam untuk melaksanakannya termasuk tol di Sungai Nyor, tetapi tidak dapat melakukannya kerana kuasa berada di bawah Kerajaan Pusat,” jawabnya.

Namun penjelasan Guan Eng itu ternyata tidak memuaskan hati penyokong MCA dan mengakibatkan dewan menjadi gamat.

Selain itu, Guan Eng langsung tidak menjawab soalan peserta persidangan yang mendakwa rakyat Cina di Kedah ditindas di bawah pentadbiran kerajaan Pas.

Malah Setiausaha Agung DAP itu juga ‘menolak’ untuk menjawab soalan tentang beliau cuba menyembunyikan isu pemberian kontrak pakaian rasmi ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membabitkan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming.

Kegagalan Guan Eng menjawab beberapa soalan itu menyaksikan penyokong DAP hanya mampu ‘duduk diam’ melihat penyokong MCA terus ‘menyebut-nyebut’ nama Soi Lek.

Dalam pada itu, semasa sidang akhbar, Guan Eng mengalu-alukan tindakan MCA menjemputnya berdebat kerana ia merupakan sebahagian daripada proses demokrasi.

Katanya, mereka berdua juga bersetuju supaya satu lagi sesi debat antara MCA dan DAP diadakan sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris pada bulan depan.

“Ia merupakan perkara yang ditunggu-tunggu kerana selama 55 tahun, akhirnya satu perdebatan antara MCA dan DAP menjadi kenyataan kerana sesi debat itu sepatutnya berlangsung lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Soi Lek menyifatkan tidak ada pihak yang menang dan kalah dalam debat itu kerana pemenang bagi debat itu adalah rakyat bukan beliau atau Guan Eng.

“Ini kerana, disebabkan kekangan masa, adalah sukar untuk menjawab lima soalan dalam tempoh tiga minit,” katanya.

‘AS bantu jatuhkan kerajaan’

February 19, 2012 by  
Filed under web/blog

Comments Off

Parti politik, pertubuhan di Malaysia terima wang guling pemerintah: Dr M

MOHD ALI (kiri) membebaskan 30 burung merpati sebagai gimik pelancaran Waqaf Water 4Gaza Jelajah Keamanan peringkat negeri di Ayer Keroh, semalam sambil diperhatikan Dr Mahathir (tiga dari kanan).

MOHD ALI (kiri) membebaskan 30 burung merpati sebagai gimik pelancaran Waqaf Water 4Gaza Jelajah Keamanan peringkat negeri di Ayer Keroh, semalam sambil diperhatikan Dr Mahathir (tiga dari kanan).


Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran Malaysia tidak akan terkecuali daripada menghadapi gerakan menjatuhkan kerajaan sedia ada menerusi bantuan kewangan oleh badan bukan kerajaan (NGO) tertentu dari Amerika Syarikat (AS).

 Katanya, beliau mengetahui negara berkenaan sejak dulu sudah melakukan aktiviti itu bagi menjatuhkan kerajaan yang tidak disukai oleh pihak terbabit menerusi pendekatan pertukaran regim.
“Saya tak hairan kerana saya percaya ada kewangan yang diterima NGO dan badan politik daripada AS supaya melaksanakan pertukaran rejim. Ini dinyatakan secara terbuka oleh Presiden AS bahawa negara itu mahu pertukaran pemerintah di negara yang tidak menyokong AS.

“Jika di Malaysia berlaku pun, ini perkara biasa bagi AS kerana itulah kerja mereka. Nak bagi jatuh kerajaan kalau tak sokong. Umpamanya, dia nak suruh kita adakan sekatan berhenti dagangan dengan Iran.

“Ini adalah satu cara AS, kalau tak berhenti, mereka akan ambil tindakan terhadap dagangan kita,” katanya selepas pelancaran Waqaf Water 4Gaza Jelajah Keamanan peringkat negeri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Seri Negeri di sini, semalam.

Program anjuran Perdana Global Peace Foundation (PGPF) dengan sokongan kerajaan Melaka ini antara lain bertujuan mengumpul dana bagi mewakafkan 1.5 juta botol air kepada penduduk Gaza mendapatkan bekalan air bersih susulan sekatan haram Israel.

Sempena majlis itu, sebanyak RM109,000 berjaya dikumpulkan menerusi sumbangan pelbagai pihak termasuk daripada kerajaan negeri berjumlah RM20,000; EXCO kerajaan negeri (RM30,000) dan jabatan, agensi serta pihak berkuasa tempatan (RM26,000).

Melaka adalah negeri pertama persinggahan program ini. Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad dan Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai.

Mengenai kesan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan ke atas usaha melindungi keselamatan Israel seperti disiarkan Wall Street Journal (WSJ), baru-baru ini, Dr Mahathir secara sinis berkata, ketua pembangkang itu sudah berjaya menukar pemikiran sesetengah pemimpin Islam Malaysia.

“Saya dapati orang yang dulunya menyokong Palestin, sekarang ini seolah-olah menghalalkan atau menerima kenyataan dibuat Anwar berhubung menjaga keselamatan Israel. Nampak beliau sudah menukar pemikiran sesetengah pemimpin Islam di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan PAS juga sanggup mengetepikan kepentingan Islam dan menyokong Israel jika langkah itu mampu mengekalkan keutuhan pakatan mereka.

‘Perbuatan maksiat hak asasi’

February 18, 2012 by  
Filed under web/blog

Comments Off

Ada pemimpin kerajaan Selangor, PAS sokong salah laku umat Islam

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berkata, ada pemimpin kerajaan Selangor termasuk daripada PAS sendiri menerima perbuatan maksiat oleh umat Islam sebagai satu cabang hak asasi manusia.

Beliau berkata, dalam tempoh lebih tiga tahun menjadi EXCO menjaga hal ehwal Islam kerajaan Selangor, beliau cuba menegakkan Islam melalui peruntukan enakmen syariah negeri terhadap orang Islam tetapi mendapat bantahan kuat DAP dan PKR yang bersama PAS membentuk kerajaan negeri.

“Mereka memberi alasan apa yang saya buat bertentangan dengan prinsip hak asasi, kebebasan untuk buat pilihan dan ada menyatakan apa salahnya siang-siang sudah teruk bekerja dan biarlah malam dia melakukan sesuatu yang melegakan dengan girlfriend,” katanya semasa ditemuramah dalam program bual bicara Helo Malaysia BernamaTV di saluran 502 Astro, malam tadi.

Sesi selama satu jam itu dikendalikan bersama Timbalan Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Zulkefli Salleh dan kolumnis ‘Cuit’ Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan yang juga Penolong Ketua Pengarang akhbar itu.

Ditanya tidakkah beliau mendapat sokongan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam urusan Islam, Hasan berkata: “Saya tidak boleh letakkan percentage (peratus) pada ketua saya, tetapi yang saya boleh katakan dalam hal itu saya tidak dapat sokongan padu daripada atas dan teman EXCO yang lain. Bila hal Islam, memang banyak halangan”.

“Saya digugurkan bukan kerana salah guna kuasa, tidak bermoral, minum atau liwat tetapi saya dipecat kerana hendak tegakkan Islam, martabatkan Melayu dan nak tegakkan institusi raja.

“Jika Putrajaya jatuh ke tangan golongan parasit itu, negara Islam tidak akan dapat ditegakkan kerana ini sudah dibuktikan di Selangor,” katanya.

Hasan berkata, dalam kerajaan PAS Kelantan juga wujud parasit yang dekat dengan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Takkan (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul) Hadi Awang dan Nik Aziz tidak layak jadi Perdana Menteri? Takkan pasal pakai kopiah tidak boleh jadi Perdana Menteri sedangkan ada banyak pemimpin luar tidak fasih berbahasa Inggeris.

China jadi kuasa ekonomi dalam dunia walaupun tidak pandai cakap orang putih,” katanya. – BERNAMA

Air lombong tak selamat

February 17, 2012 by  
Filed under web/blog

Comments Off

Penggunaan merbahayakan kesihatan, ada logam berat. Langkah Kerajaan Selangor untuk menggunakan air mentah dari bekas lombong bagi menampung keperluan air di Lembah Klang boleh menimbulkan masalah kesihatan kerana kandungan bahan logam berat.

 Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata kajian yang dilakukannya sebelum ini mendapati air bekas lombong tidak bermasalah jika diambil pada bahagian permukaan tetapi jika disedut hingga ke dasar, bahan logam berat akan turut disedut sekali.
Bagi mengelak isu air berlarutan, Dr Zaini yang juga Naib Canselor serta Profesor Pelestarian Air di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengulangi cadangannya berhubung penubuhan satu panel bebas yang terdiri daripada pakar dalam dan luar negara yang tidak dipengaruhi mana-mana pihak dengan segala hasil kajian dan cadangan panel perlu dipersetujui semua pihak.

Berikutan itu, air mentah dari bekas lombong tidak sesuai dijadikan bekalan air kerana cukup berisiko kepada masalah kesihatan awam, terutama boleh menyebabkan penyakit kulit.

“Walaupun boleh dirawat, ia membabitkan kos yang besar selain negara masih belum mempunyai kemudahan berkenaan dan belum bersedia menanganinya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Kerajaan Selangor itu serta cadangan merawat dan menapis air bawah tanah, hujan dan sungai yang dikatakan lebih menjimatkan berbanding projek membangunkan infrastruktur pemindahan air dari Pahang.

Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 masih tergendala selepas isu penyusunan semula industri air negeri itu melalui perbincangan dengan Kerajaan Pusat masih gagal mencapai penyelesaian.

Dr Zaini yang juga Naib Canselor serta Profesor Pelestarian Air di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, projek PPAMPS adalah langkah paling sesuai dan lebih menjimatkan untuk menangani masalah air Lembah Klang kerana sebahagian infrastrukturnya sudah pun siap dan hanya menunggu masa untuk disambung.

Bagi mengelak isu air berlarutan, beliau mengulangi cadangannya berhubung penubuhan satu panel bebas yang terdiri daripada pakar dalam dan luar negara yang tidak dipengaruhi mana-mana pihak dengan segala hasil kajian dan cadangan panel perlu dipersetujui semua pihak.

“Ia adalah isu serius dan tidak boleh diambil ringan. Kerajaan Selangor perlu memastikan kebajikan rakyat dan industri di Lembah Klang terjamin.

“Dakwaan menggunakan pelbagai sumber untuk menampung keperluan air di Lembah Klang memang betul tetapi cukupkah ia untuk menampung keperluan semua dan mapan.

“Jika benar ingin menggunakan air bawah tanah, ia perlu dilakukan dari sekarang. Takkan mahu tunggu krisis air baru mahu korek lubang sedangkan krisis bekalan air di Lembah Klang kini berada pada tahap maksimum,” katanya.

Beliau melihat tindakan Kerajaan Selangor itu hanya cuba menjadikan isu air sebagai isu politik serta menafikan pendapat pakar yang membuat unjuran mengenai krisis air di Lembah Klang pada 2014 yang membabitkan kajian bernilai jutaan ringgit, mengambil kira semua aspek dan tidak dipengaruhi sentimen politik.

Sumber : Berita Harian

Next Page »