Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar

January 16, 2011 by  
Filed under Ridhuan Tee, web/blog

Saya amat pelik dengan politik orang Melayu, hanya kerana kita tidak sukakan seseorang, kita rela bakar jambatan. Marahkan seekor nyamuk kelambu dibakar. Contoh, hanya kerana tidak sukakan batang tubuh Muhammad Ali Hashim, bekas ketua eksekutif JCorp (kini masih memegang jawatan di QSR dan KFC), atau Mohd Khusrin, bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (kini dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor), kepentingan umat Islam tergadai.

Masa banyak terbuang memikirkan dan membincangkan cara-cara untuk menyingkirkan mereka. Kenapa tidak menjadikan orang yang kita tidak suka kepada orang yang kita suka? Sedang mereka ini seagama dan sebangsa. Cuma latar belakang dan pendirian sahaja berbeza, yang semestinya tidak dapat dielakkan, selagi bergelar manusia.

Saya masih teringat kata-kata semangar Zig Ziglar (2000), kita mungkin berkawan (berkahwin) dengan orang yang kita tidak suka, tetapi jika kita layan dia seperti orang yang kita suka, maka akan berakhir dengan kesukaan atau perdamaian. Sebaliknya, kita mungkin berkawan dengan orang yang kita suka, tetapi jika kita layan dia seperti orang yang kita tidak suka, maka ia akan berakhir dengan berantakan. Kata kuncinya adalah, bagaimana dan cara layanan kita kepada seseorang itu, bukan batang tubuhnya.

Hari ini, kita masih mempraktikkan politik rimba. Batang tubuh seseorang itu menjadi sasaran, bukannya idea, bakat dan kemahirannya. Mungkin akan ada yang bertanya, kenapa saya tidak suka kepada parti ultra kiasu? Jawapannya, kerana perjuangannya membahayakan politik negara.

Pada saya personaliti ini tidaklah terlalu penting berbanding dengan kepentingan yang lebih besar. JCorp dan kerajaan Selangor jauh lebih besar dan lebih penting dari Ali dan Khusrin. Logiknya, dalam demokrasi, rakyat yang memerhatikan mereka. Mereka tidak boleh berlagak dengan jawatan. Jawatan itu adalah amanah.

Justeru, apa yang menjadi masalah mereka berdua? Keputusannya tetap di tangan majoriti, walaupun mereka yang mungkin memimpin, namun mereka tetap dipimpin, dan perlu patuh the dos dan the don’t sebagai hamba Allah. Raja juga adalah hamba Allah. Apa yang kita buat, tetap akan dihisab akhirat nanti. Saya tidak yakin, mereka ingin menempat tiket ke neraka dengan melakukan perbuatan matlamat menghalalkan cara.

Kita tidak mahu wujud keadaan, gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah. Apa yang hendak ditakutkan, kuasa mereka tidak mutlak. Mereka adalah kalangan segelintir yang bernasib baik. Mungkin mereka mempunyai idea yang baik yang boleh dipergunakan, daripada walaupun ada, tetapi langsung tidak berguna atau tidak boleh digunakan.

Kenapa kita tidak mengambil iktibar atau belajar dari orang lain. Lihatlah bagaimana syarikat dan NGO bukan Islam bekerja. Dalam institusi mereka, ada macam-macam kepala dan pemikiran politik. Mereka tidaklah bergaduh seperti kita. Tetapi bakat dan kebolehan mereka dipergunakan. Yang paling penting adalah gabungan kekuatan, kelebihan dan kepakaran yang ada. Mereka yang paling lantang memperjuangkan nasib bangsa, maka merekalah yang akan dilantik dan dipilih menduduki hiraki yang paling tinggi.

Lihatlah politik di Pulau Mutiara, parti ultra kiasu tetap menyanjungi bekas ketua pemimpin negeri itu, walaupun mereka tidak sekapal. Di luar seolah-olah nampak dua parti yang berbeza yang dikatakan ‘saling bermusuhan atau berantakan’ tetapi sebenarnya di dalam mereka ‘saling berkawan dan berpeluk-pelukan’. Saya tidak tahu berapakah lagi nama-nama yang akan diletakkan di sana sini atas alasan mahu mengenang jasa.

Cuma saya pinta satu sahaja, tanya juga pendapat orang Melayu Islam pulau tersebut tentang ‘jasa-jasa’ pemimpin mereka sebelum ini. Apakah orang Melayu Islam begitu berjaya dan diangkat ketika di zamannya. Bukan apa, kadangkala kita terlebih memuji seseorang, semata-mata untuk menenggelamkan ‘kelemahan’ atau mahu mengambil hati, takut hilang undi.

Jasa-jasa Allahyarham Syed Hussein Alatas, selaku pengasas parti yang memerintah pulau tersebut sebelum ini, langsung tidak dikenang walaupun beliau telah meninggal dunia dan jasa Allahyarham juga tidak kurang hebatnya. Saya tidak nampak nama beliau diabadikan sebagai tanda mengenang jasa berbanding orang lain. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Malah, hasrat Syed Hussein yang ingin menjadikan parti tersebut untuk semua kaum terkubur begitu sahaja, apabila parti ini terus didominasi oleh satu kaum sahaja melalui perancangan halus.

Apa yang saya dengar, ketika menyampaikan syarahan di Universiti Sains Malaysia, ketua yang memimpin parti ultra kiasu pulau mutiara ini sekarang lebih sedikit terbuka berbanding dahulu. Mungkinkah ini disebabkan oleh semangat untuk mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz bagi mengambil hati atau mencairkan hati orang Melayu?

Lihat juga cara pemberitaan akhbar-akhbar mereka. Macam-macam kepala dan berita ada, tetapi gaya pemberitaannya tetap sama. Kepentingan bangsa lebih diutamakan, berbanding kepentingan negara. Contoh terbaharu, isu guru Melayu yang mengajar Bahasa Melayu di sekolah vernakular. Kementerian Pelajaran ditekan kiri kanan depan belakang, agar guru bahasa Melayu yang dihantar di sekolah ini mesti menguasai bahasa Mandarin pada masa yang sama. Jika tidak, guru bahasa Melayu ini akan ditolak atau tidak layak mengajar di sekolah vernakular. Ini bukanlah suara satu dua orang, tetapi adalah suara majoriti dan bukan hanya parti ultra kiasu sahaja.

Persoalannya, kenapa tidak diwajibkan pula guru yang mengajar bahasa Mandarin mesti menguasai bahasa Melayu? Di universiti tempat saya mengajar, guru yang mengajar subjek bahasa Mandarin adalah guru daripada Republik Rakyat China. Tidak diwajibkan pula mereka menguasai bahasa Melayu. Malah, mereka langsung tidak boleh berbahasa Melayu. Tetapi pelajar-pelajar Melayu yang mengambil kursus ini masih boleh menguasai bahasa Mandarin, walaupun tidak sehebat pelajar sekolah vernakular. Apa yang menjadi isu di sebalik sebenarnya? Fikirlah sendiri. Saya sudah letih mengutarakan persoalan-persoalan sebegini untuk direnungkan.

Saya mencadangkan guru bukan Melayu mengambil option bahasa Melayu supaya mudah untuk mengajar anak bangsanya. Malangnya, tidak ramai bukan Melayu mengambil bidang ini kerana bahasa Melayu tidak ada nilai komersial. Yang berminat dengan bahasa Melayu, hanyalah orang Melayu yang menjadi guru bahasa Melayu. Apakah mungkin satu hari ini, guru-guru bahasa Melayu akan diwajibkan belajar bahasa Mandarin atau Tamil untuk memenuhi desakan adan tuntutan sekolah vernakular. Oh! malang sungguh tinggal dalam sebuah negara berakarkan Melayu, yang mana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Kewujudannya, ibarat hidup segan, mati tak mahu. Justeru, apabila timbul keadaan sebegini, kerajaan atau kementerian juga yang dipersalahkan. Bahasa lain tidak penting, yang penting bahasa ibunda sendiri.

Sebenarnya, kita jarang mahu belajar atau mengambil iktibar. Sekurang-kurangnya lihatlah dan bandingkan dengan orang yang telah berjaya, jika sudah tidak yakin bahawa bangsa sendiri boleh juga berjaya. Ini tidak, kita asyik berpolitik dan berpecah. Permusuhan di luar dibawa sampai ke dalam. Tidak cukup dengan itu, di dalam pun bukan main hebat berantakan sehinggakan bermain sihir. Kalau boleh, kita mahukan musuh kita mati cepat. Kita sanggup melihat saudara kita sendiri merempat di tengah jalan, dek kerana tidak sekapal. Puas hati. Tak perlu bersusah payah lagi menghadapi mereka. Kenapa kita sebegitu bodoh? Maafkan saya menggunakan perkataan yang agak kasar.

Justeru, saya rasa amat bersyukur dengan pertemuan Menteri Besar Kelantan dengan Perdana Menteri dan Timbalannya, dengan disaksikan oleh Yang DiPertuan Agong di istana Terengganu sebagaimana diberitakan. Saya tidak tahu apa agendanya. Hanya mereka yang bertemu sahaja yang tahu. Kelihatan cukup berahsia. Baiknya pun ada. Supaya ada pihak-pihak tertentu yang tidak dapat tidur malam. Mengingatkan kita supaya jangan terlalu bongkak bila baru mendapat kuasa .

Tetapi saya yakin, pertemuan tersebut tidak dapat lari daripada agenda perpaduan dan masa depan umat Islam. Inilah yang paling ditakuti oleh mereka yang dikejar bayang-bayang sekiranya Umno dan Pas mengorak langkah memulakan rundingan awal untuk bersatu. Sudah tentu rancangan dan nafsu serakah rakus untuk ‘menakluki’ Putrajaya akan tergendala. Maka tidak hairanlah saban hari laman web ultra ini sentiasa memainkan isu-isu agar agenda perpaduan umat Islam tidak berjaya.

Saya akui, Pas mempunyai pengalaman yang pahit ketika menyertai Barisan Nasional semasa Perdana Menteri Malaysia,Tun Abdul Razak pada 1972 dan ditendang keluar pada 1978 oleh Tun Hussein Onn. Umno menyalahkan Pas kerana dikatakan pemimpin Pas bermain kayu tiga memperluaskan pengaruh di kalangan orang Melayu dan peneroka tanah rancangan FELDA melalui Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah, Mohd Asri Haji Muda. Perkara sebegini biasa berlaku dalam mencari pengaruh. Setiap parti mempunyai agenda masing-masing. Jangan salahkan sebelah pihak sahaja. Betulkan. Tetapi jangan ditendang keluar apabila tidak diperlukan atau habis manis sepah dibuang.

Barang yang lepas jangan dikenang, sudah menjadi hak orang lain. Yang penting, jadikanlah ia sebagai satu pengajaran. Apakah keadaan masih sama akan berlaku seperti dahulu, jika ditakdirkan berlaku perkongsian kuasa? Mungkin ya, mungkin tidak. Hanya Allah sahaja yang akan membenarkannya. Yang penting umat Islam, tidak kira Umno atau Pas mesti memandang jauh ke hadapan. Diri dan parti tidak penting, yang penting adalah masa depan umat Islam dan Malaysia secara keseluruhannya. Hakikat yang mesti diterima adalah, umat Islam tidak boleh kehilangan kuasa dalam negaranya sendiri. Ini bukan bermakna, kita mengenepikan kepentingan bukan Islam.

Jikalau Nabi Muhammad SAW boleh mengikat janji dan berkongsi kuasa dengan musuh tradisi Islam iaitu bukan Islam Madinah, demi kepentingan Islam. Kenapa tidak kita? Kita tidak boleh bersendirian hidup dalam sebuah negara bermasyarakat majmuk, berbilang agama dan budaya. Kita memerlukan mereka seperti mereka memerlukan kita. Tetapi janganlah kerana keperluan tersebut, maka maruah agama dan bangsa tergadai?

Jika Rasulullah SAW memberikan keutamaan kepimpinan kepada Quraisy di Madinah kerana Quraisy mempelopori perjuangan Islam, maka tentulah wajar bagi Pas dan Umno memperjuangkan keutamaan kepimpinan Islam di negara ini. Lebih-lebih lagi sebagai penduduk asal yang menjadi peneroka bumi ini. Logiknya, umat Islam berhak mendapat sedikit habuan dan keistimewaan. Janganlah yang sedikit inipun hendak diambil. Perbezaan politik tidak seharusnya merugikan kita. Fenomena ini biasa berlaku di negara lain. Seperti Maori di New Zealand dan Fijian di Fiji. Walaupun yang memerintah dua negara ini adalah orang luar, tetapi hak ‘peneroka’ tetap dijaga.

Sedikit keistimewaan ini juga disebut dalam kitab feqah dalam bahagian ‘Ihya ul Mawaat’ yang berbunyi: “Sesiapa menghidupkan bumi yang mati (peneroka) maka dia lebih berhak dengannya”. Islam begitu memberi galakan agar umatnya menghidupkan tanah yang mati. Sayyidina Ali sendiri pernah memarahi seorang sahabat yang tidak menghidupkan tanah yang diberi hasil rampasan perang.

Melalui dia senario ini, saya dapat simpulkan bahawa, janganlah kerana nyamuk kelambu dibakar. Belajar-belajarlah melayan musuh seagama, kerana matlamat kita semuanya sama. Umat Islam menarik nafas lega apabila Menteri Besar Johor dan Ketua Eksekutif JCorp mengatakan bahawa kepentingan strategic JCorp iaitu QSR dan KFCH tidak akan dijual bagi melangsaikan hutang JCorp selama ini. Selalu Setiausaha Agong Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), saya merasakan jaminan tersebut masih belum cukup, kerana mungkin ia tidak dijual, tetapi tidak mustahil untuk diswastakan. Rasa berdosa jika kita terus biarkan kemungkaran terus berlaku kerana kepentingan Islam mengatasi segala-galanya.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Oleh : Ridhuan Tee

Antara sejarah, setia dan bakat

December 23, 2010 by  
Filed under News1, Ridhuan Tee

Malaysiainsider dan beberapa akhbar bukan Melayu, bertungkus lumus mendapatkan ‘fakta’ dengan ‘menemubual’ rakyat Malaysia bukan Melayu (talent) yang bekerja di luar negara. Seperti biasanya taktik mereka, komen-komen yang negatif terhadap Malaysia dilemparkan, seperti ketidakadilan sosial, keburukan dasar kerajaan dan berbagai lagi komen negatif yang menyakitkan.

Terbaru, akhbar The Sun menemual dua orang ahli sejarah bukan Melayu, tanpa mendapatkan maklum balas daripada ramai lagi sejarahwan Melayu mengenai buku teks sejarah sekolah menengah yang dikatakan telah ‘diselewengkan’ faktanya, terutama berkaitan sumbangan bukan Melayu. Persoalan saya, kenapa baru sekarang dibangkitkan, kenapa tidak sejak dahulu lagi sebelum 2008? Apakah subjek sejarah itu hanya bercakap soal sumbangan kaum semata-mata? Bagaimana dengan fakta-fakta teras sejarah sesebuah negara?

Secara kebetulan pula, saya berkesempatan mengikuti “Persidangan Nasional Paradigma Baru Perpaduan Bangsa” yang dianjurkan oleh Majlis Profesor Negara di bawah kluster sejarah, warisan dan sosio-budaya. Saya mengikuti pembentangan sejarah asas Tanah Melayu daripada profesor tersohor negara yang begitu meyakinkan. Yang saya pelik, kenapa profesor tersohor sejarah ini tidak dicari oleh wartawan media tersebut?

Sedangkan kajian mereka terhadap bahan sejarah Melayu merentasi sempadan sehingga ke luar negara. Begitulah dalamnya mereka menggali ilmu sejarah dengan melakukan penyelidikan rapi. Negara kita juga mempunyai profesor sejarah tersohor bukan Melayu seperti Tan Sri Khoo Kay Kim. Kenapa pendapat beliau tidak diminta? Jawapannya mudah, pendapat Kay Kim tidak selari dengan media perkauman tersebut. Inilah perancangan halus yang mesti diketahui oleh kita semua.

Trend pemberitaan stereotaip media sebegini sudah dijangka. Bukan suatu perkara baharu. Semua yang dilakukan kerajaan tidak betul. Niat mereka hanya satu, mahu memastikan kerajaan BN tumbang pada pilihan raya akan datang, selepas itu mudahlah mereka untuk mengubah fakta dan sejarah. Sebelum tibanya hari pilihan raya itu, maka tekanan demi tekanan diberikan kepada kerajaan, bagi ‘membuka’ hati rakyat agar menolak BN.

Bagi memenuhi niat serakah tersebut, setiap ucapan pemimpin-pemimpin BN akan dinilai dan diberikan perhatian satu-persatu. Tersalah cakap, buruk padahnya, akan segera disensasikan dan dipaksa supaya meminta maaf. Sedangkan Namewee, bukan sahaja tidak disuruh minta maaf, malahan disanjung dan dijunjung. Apakah kita masih buta?

Perlu diingatkan bahawa sejarah negara tidak hanya boleh dirujuk kepada perjuangan menentang Jepun dan komunis semata-mata. Begitu juga dengan sumbangan Yap Ah Loy dalam membangunkan Kuala Lumpur, tetapi semua itu tidak percuma. Setiap usaha dibalas dengan kekayaan hasil bumi bertuah ini.

Berbeza dengan mereka yang mempertahankan tanahair daripada berterusan dijajah sehingga nyawa menjadi gadaian. Sumbangan siapakah yang lebih besar dan patut ditonjolkan? Saya tidak fikir berjuangan menentang komunis dan Jepun itu perlu diperbesarkan sangat. Ini disebabkan ada sejarah tersurat dan tersirat yang perlu kita kaji disebalik penentangan ini, yang kadangkala sengaja disembunyikan bagi menonjolkan kehebatan tokoh-tokoh tertentu yang dipilih. Saya tidak perlu ceritakan kerana saya telah jelaskan dalam artikel-artikel yang lalu, seperti kenapa Jepun memusuhi Cina (bukan Melayu) dan kenapa komunis serta MPAJA menentang Jepun?

Sebab-musabab ini perlu juga dijelaskan dengan rapi. Apakah benar tokoh-tokoh ini mempertahankan tanahair atau mempertahankan diri semata-mata? Adakah semangat nasionalisme mereka sebegitu kuat berbanding Leftenan Adnan dan Kanang anak Langkau (Iban Sarawak). Sudah tentu saya tidak perlu ceritakan tokoh-tokoh lain sebelum itu seperti Banting, Sharif Masahor, Rentap (Sarawak), Mat Salleh dan Antanum (Sabah). Saya sengaja tidak menyebut tokoh-tokoh Melayu bagi mengelakkan saya dituduh lebih Melayu dari Melayu.

Tahun lalu, perkara yang sama dibangkitkan, termasuk ketua pemuda MCA. Segelintir ultra kiasu ini tidak habis-habis mahukan watak seperti Lim Bo Seng, Gurchan Singh dan Sybil Karthigesu direkodkan sebagaimana Leftenan Adnan yang diberikan perhatian berserta fotonya sekali.

Cubalah buat perbandingan bagaimana Singapura menunggang terbalikkan sejarah negeri itu yang menjadi sebahagian Tanah Melayu suatu ketika dahulu dan kedudukannya di kepulauan Melayu? Sehinggakan sikap ultra kiasu turut diwasiatkan oleh mendiangkan Madam Kwa (isteri Lee Kuan Yew), mengingatkan suaminya sebelum meninggal, supaya jangan percayakan Umno dan orang Melayu. Begitu dahsyatnya golongan Belanda minta tanah ini memutarbelitkan sejarah bumi Melayu.

Saya mengkagumi ramai ahli sejarah yang kononnya ‘berwibawa’ melakukan kerja-kerja penyelidikan dan penerbitan sejarah dengan begitu baik. Apa yang menggusarkan saya adalah mengenai tujuan tersirat dan tersurat yang pada permukaannya nampak begitu baik, namun di sebaliknya terselit agenda tertentu. Memang tidak dinafikan juga ramai tokoh sejarah yang layak ditonjolkan. Namun, jika semua individu tertentu mahu dimasukkan, atas dasar semangat 1Malaysia, dibimbangi sudah tidak jadi buku teks lagi.

Agak-agaknyalah, pada bahagian manakah dalam banyak-banyak catatan sejarah negara ini yang sebenarnya ada dalam minda kumpulan ultra ini? Bagaimana pula dengan era-era sebelum zaman kependudukan Jepun? Adakah ia tidak penting disebabkan hanya orang Melayu sahaja yang mempertahankan tanahair ini daripada penjajah British, Belanda dan Portugis. Apakah pada pandangan ‘ahli sejarah’ tersebut? Berapa ayat atau halamankah yang perlu dituliskan?

Sorotan semua peristiwa sebegini sepatutnya membuka mata kita semua bahawa kita jangan terlalu berharap kepada orang lain untuk membangunkan bumi tercinta ini. Biarlah mereka yang faham sejarah dan yang setia sahaja yang tinggal. Kita perlu menghargai mereka yang setia, kerana setia itu adalah asas kepada patriotisme.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan keseronokan dan kebebasan, biarkan sahaja. Saya yakin, Perdana Menteri mahukan bakat yang berada di luar itu mempunyai semangat patriotism yang tinggi kepada negara. Walaupun mereka berada di luar, mereka tidak pernah memburuk-buruk negara kita. Berbanding dengan mereka yang berada di dalam negara, tetapi menjadi duri dalam daging dan musang berbulu ayam.

Saya tidak kisah sama ada mereka yang bekerja di luar negara akan kembali atau tidak, kerana pada saya kesetiaan kepada negara itu yang paling penting, berbanding tenaga yang mengalir ke luar. Apa ertinya tenaga tersebut dipanggil balik jika kesetiaan tidak ada dan asyik mengungkit agar perkara-perkara sensitif dihapuskan. Itu lebih bahaya daripada mereka terus tinggal di luar negara. Jika kesetiaan itu sudah tiada, balikpun tidak ada ertinya. Kerana semangat patriotisme bermula dengan kesetiaan.

Biarlah mereka mencari kebahagiaan di luar sana. Saya yakin mereka yang setia akan kembali jua akhirnya. Mungkin buat masa ini mereka ada komitmen dan perancangan tertentu. Yang perlu dipanggil balik adalah mereka yang setia, bukannya yang ultra kiasu dan tidak mengenang budi.

Saya yakin, pandangan saya ini akan dikatakan sebagai merosakkan gagasan 1Malaysia. Hari ini gagasan 1Malaysia tidak lagi dilihat sebagai plan tindakan kerajaan untuk membangunkan dan menyatupadukan rakyat mengikut fakta sejarah, tetapi gagasan ini dijadikan batu loncatan untuk mendapatkan kepentingan dan nafsu kaum masing-masing.

Buktinya begitu jelas, DAP mencabar PM supaya melantik bukan Melayu menjadi Timbalan PM. Sedarlah diri wahai DAP, bumiputera Sabah dan Sarawak lebih layak untuk jawatan tersebut. Saya cadangkan pemimpin DAP tersebut membawa idea ini ke China atau India, supaya mendesak mereka melantik Timbalan PM di kalangan bangsa yang sama tetapi beragama Islam? Apakah pandangan ini akan diterima?

Sama juga desakan MIC supaya kerusi menteri penuh diberikan kepada presiden MIC yang baru dilantik, tanpa menganggu-gugat jawatan menteri kabinet wakil India yang sedia ada. Persoalan saya, kerusi siapakah yang patut dikorbankan? Fikir punya fikir, akhirnya kerusi Umno juga yang menjadi mangsa kerana orang lain sudah tentu tidak mahu mengalah? Sedikit diambil maka hebohlah satu Malaysia.

Berpada-padalah wahai rakyat 1Malaysia. Kerusi yang dimenangi oleh MCA dan MIC majoritinya adalah undi ehsan orang Melayu. Jika MCA dan MIC benar-benar yakin dia kuat, saya cabar mereka bertanding di kawasan bandar yang dominasi Cina menentang DAP. Tunjukkan siapa kuat? Jika mereka menang, ketika itu barulah mereka boleh meyakinkan saya bahawa mereka mungkin ‘layak’ untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri. Syaratnya janganlah jawatan TPM itu dijadikan bahan kempen. Kerana saya tahu, jika isu ini dijadikan bahan kempen memang ultra kiasu akan menang.

Sama juga jika berlaku pertandingan satu lawan satu antara calon Umno dan DAP. Orang MCA dan Gerakan belum tentu mengundi Umno. Berbanding pertandingan antara calon Melayu DAP dan calon Cina MCA, saya yakin orang Umno akan mengundi calon Cina MCA dan sanggup melupakan calon bangsanya sendiri. Ini hanya jangkaan pemikiran saya apabila membaca pemikiran dan budaya politik bangsa saya. Itupun mereka begitu lantang bersuara dan mengkritik Umno dengan istilah big brother and small brother.

Semua ini memberikan isyarat kuat kepada umat Islam supaya bangun dan membuka mata. Masa tidak menunggu kita lagi. Kita mesti berubah sebelum terlambat. Bangunkan bumi sendiri sebelum nasi menjadi bubur. Jangan leka atau terus bermain. Jangan terlalu banyak berhibur dan merempit. Masa bermain dan bersentimen politik sudah tidak ada lagi. Umat Islam mesti berubah. Minda umat Islam mesti diubah. Sikap complacent mesti dibuang jauh-jauh. Sekarang masa kita untuk bekerja. Minda umat Islam perlu diisi dengan ilmu. Ilmu tidak boleh sekular, ia mesti bersepadu dan tidak boleh sama sekali dipisahkan dengan Islam. Memperkasakan minda umat Islam untuk berfikir merenung masa depan. Budaya intelektual mesti dihidupkan. Pengaruh barat mesti dijauhi, kerana di situ ada perancangan untuk merosakkan kita apabila telah lalai. Memang kita perlukan kepakaran mereka. Tetapi kadangkala kita tidak ada pilihan. Kita terpaksa memilih satu antara dua. Ingatlah pesan Allah, setelah kamu selesai solat, bertebaranlah kami di muka bumi ini dan carilah kekayaan sebanyak mungkin (surah Al Jumuah: 10).

Umat Islam mesti bersatu dengan melupakan latar belakang politik. Saya fikir kepakaran dalam Umno, Pas, bumiputera Sabah Sarawak, orang Cina dan India yang kurang ultra kiasu begitu ramai. Semua pakar telah sedia ada. Persoalannya, bagaimana kita nak manfaatkan kepakaran. Bagaimanakah menggembelingkan kepakaran tersebut dengan melupakan perbezaan politik. Saya yakin jika umara dan ulamak Umno dan Pas mesti bergabung tenaga, Malaysia akan menjadi hebat. Jangan gadaikan prinsip semata-mata untuk menang dalam pilihan raya. Ikhwanul Muslimin dan Hamas, terus berjuang, tetapi prinsip tidak pernah tergadai. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib kita sehingga kita mengubah diri kita sendiri (Surah Ar-rad: 11). Jika kita masih gagal merenung nasib di bumi sendiri, maka terimalah akibatnya nanti. Ingatlah, setiap penat lelah akan dinilai oleh Allah (surah al-Insyiqaaq: 6, An-nisa: 104, al-ankabut: 69).

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penuli

Di mana salahnya ketuanan Melayu?

December 13, 2010 by  
Filed under Ridhuan Tee, web/blog

Berbagai pihak memberikan pandangan mengenai ketuanan Melayu. Saya fikir semua faham, tetapi sengaja buat-buat tidak faham. Istilah ketuanan Melayu langsung tidak ada kaitan antara hubungan tuan dan hamba. Melayu bukan tuan, bukan Melayu bukanlah hamba.

Ketuanan Melayu sekadar istilah atau identiti menunjukkan bahawa bumi ini adalah kepunyaan orang Melayu asalnya, itu sahaja. Bacalah artikel dan pendapat siapapun, itulah rata-rata jawapannya, kecuali pandangan MCA dan sekutunya. Hanya mereka yang ultra kiasu sahaja yang memberikan jawapan sebaliknya. Apa yang saya tahu inilah adalah percubaan halus untuk menghapuskan apa juga identiti negara ini yang berkaitan dengan Melayu.

Dalam buku teks sejarah sekolah menengah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2004), ketuanan Melayu didefinisikan sebagai semangat cinta akan apa sahaja yang berkaitan dengan bangsa Melayu seperti hak politik, bahasa, kebudayaan, warisan, adat istiadat dan tanah air. Semenanjung Tanah Melayu dianggap sebagai tanah pusaka orang Melayu. Jadi, dimanakah salahnya istilah ini? Berdasarkan kepada definisi ini jelas menunjukkan bahawa semua bangsa mempunyai ketuanan masing-masing. Bezanya cuma, ia tidak disebut sahaja ketuanan Cina atau ketuanan India, namun perjuangan dan apa yang mereka perolehi menampakkan segala.

Saya amat pelik bagaimana ada pemimpin Melayu boleh begitu anti dengan istilah tersebut walhal dulu semasa berada dalam Umno, tidak pun istilah ini diungkit atau ditentang. Malah, saya yakin jika mereka masih berada dalam Umno, istilah ini akan dipertahankan bermati-matian. Cepat sungguh mereka berubah bagi mendapatkan laba politik.

Jika perkataan tuan itulah yang menjadi masalah, maka saban hari kita adalah hamba, sebab dalam urusan rasmi dan surat-menyurat panggilan tuan atau puan sudah merangkumi semua golongan dan pangkat, sama ada yang bergelar atau tidak bergelar. Panggilan tuan sudah sebati dengan masyarakat negara ini. Selaku pensyarah di institusi akademik pertahanan, panggilan tuan adalah lumrah. Jika sedemikian elerginya panggilan tuan bermakna, saya adalah tuan setiap hari, manakala pegawai kadet adalah hamba sepanjang masa. Bila berbahasa dengan raja, kita gunakan tuanku – patik. Dahulu sesama kita menggunakan perkataan tuan-hamba. Panggilan tuan sekadar panggilan hormat, tidak ada maksud lain.

Sebab itu, saya sentiasa menyeru segelintir bukan Melayu, terutama MCA, Gerakan dan DAP, cuba memahami adat budaya Melayu daripada orang lain, kerana ia lebih membawa makna untuk masa depan negara daripada terlalu bongkak. Orang Melayu yang saya kenali begitu menghormati bukan Melayu. Kebanyakan bila mereka bercakap dengan bukan Melayu, tiba-tiba pelat atau bunyi (accent) mereka berubah seperti pelat bukan Melayu berbahasa Melayu, sehingga bahasa Melayunya menjadi caca merba.

Benar, surah al-Hujurat ayat 13, Allah menjelaskan semulia-mulia manusia berbilang bangsa di kalangan kamu adalah iman dan takwa. Tetapi manusia tetap ada bangsa yang diciptakan untuknya. Maka, ia perlu dipelihara dan dijaga. Justeru, di mana salahnya istilah ketuanan Melayu? Negara lain tidak perlu mengungkapkan istilah ketuanan kerana nama negara mereka sudah cukup mencerminkan bahawa mereka adalah tuan asal negaranya, seperti Cina, India, Vietnam, Siam, Nyanmar dan sebagainya. Tetapi tidak Malaysia. Tanah Melayu telah bertukar nama. Singapura telah bertukar kepada Singapore. Identiti Melayu telah hilang. Maka sebagai tanda identiti, istilah ini digunakan.

Apakah dengan istilah ini menimbulkan masalah kepada bangsa lain? Dengan makna, diskriminasi menjadi-jadi, orang bukan Melayu terus merempat? Apa yang kita lihat, semakin lantang Umno mahu kekalkan ketuanan Melayu, dasar Umno semakin terbuka.

Umno ditekan kiri kanan, depan dan belakang, sehingga tidak dapat bernafas. Tuntutan demi tuntutan bukan Melayu terus dipenuhi dan peluang terbentang luas, sehingga orang Melayu sudah tidak mampu untuk mengejarnya.

Kenapa isu ini hendak dipolitikkan dengan mengaitkan dengan ketuanan Allah, ketuanan Rakyat dan sebagainya. Sebenarnya tidak ada kaitan. Inilah akibat apabila kita melihat sesuatu bukan daripada bidang kepakaran atau sejarah. Semua mahu bercakap. Maknanya, istilah ini terdedah kepada pandangan semua orang. Sudah tentu mereka akan memilih sesuatu yang menyebelahi mereka. Kita tidak menggunakan ketuanan Allah kerana perkataan tuan itu tidak sesuai untuk Allah, maka kita gunakan Maha Esa atau Maha segalanya untuk Allah.

Justeru, raja dirujukkan sebaga Duli Yang Maha Mulia. Ia hanya satu ungkapan kemuliaan raja. Jangan pulak ada yang menuduh saya syirik nanti. Sebenarnya, istilah Maha ini hanya untuk Allah, tetapi disebabkan oleh budaya feudal Melayu taat dan memuliakan kepada raja, maka istilah Maha itu sebenarnya merujuk kepada tuan. Justeru, ketuanan raja tidak perlu dibahaskan kerana telah diterima seperti termaktub dalam perlembagaan.

Oleh kerana semua raja adalah kerabat keturunan Melayu sebagai identiti, maka adalah tidak salah istilah ini dipanjangkan kepada ketuanan Melayu. Orang Melayu boleh atau layak menjadi raja jika keturunan raja sudah tidak ada atau putus. Seperti di China dan di India, apabila jatuhnya institusi perajaan, maka sistem pemerintahan berubah. Raja tetap wujud cuma nama sahaja yang berbeza. Lagipun semua manusia bermula dengan manusia biasa. Istilah raja digunakan merujuk mereka yang menjadi pemimpin pada satu-satu ketika dan seterusnya diwarisi oleh keturunannya. Raja dan kerajaan sudah sinonim. Raja adalah pemerintah kerajaan. Bagi negara yang tidak mempunyai raja, maka pemimpin nombor satu dirujuk sebagai Presiden atau Perdana Menteri.

Kepada mereka yang faham sejarah, istilah Ketuanan Melayu ini merujuk kepada kerajaan negara ini pernah diperintah Sultan dan Raja-raja Melayu, yang merupakan tuan kepada tanah Melayu. Begitu juga dengan istilah negeri-negeri bersekutu dan tidak bersekutu ada sejarahnya tersendiri yang perlu dikaji dan difahami secara tersurat dan tersirat, serta kaitannya dengan ketuanan Melayu. Pendek kata, sultan dan Raja-Raja Melayu adalah simbol kepada ketuanan Melayu di negara ini, seperti mana di negara-negara barat lain yang masih mengekalkan raja.

Sejarah membuktikan juga bahawa ketika kebangkitan nasionalisme pada tahun-tahun 1800an dan 1900an, hanya orang Melayu sahaja yang bangkit menentang penjajah, walaupun ketika itu Tanah Melayu sudah bermasyarakat majmuk. Melayu berjuang membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah bukan demi kepentingan Melayu semata-mata, tetapi demi agama tercinta. Sama juga di Mesir pada tahun 1882, muncul gerakan pemulihan Islam di Mesir untuk membangkitkan kesedaran di kalangan umat Islam bagi membela kedaulatan bangsa dan agama.

Gerakan ini dipelopori oleh Sheikh Muhammad Abduh. Pelajar-pelajar Tanah Melayu di Mesir ketika itu seperti Sheikh Mohd Tahir Jalaluddin Al-Azhari dan Syed Sheikh Al-Hadi menerima pengaruh ini dan menyebarkannya di Tanah Melayu bagi membela nasib bangsa dan agama. Keadaan tidak banyak bezanya berlaku di Indonesia. Pendek kata, tidak salah mempertahankan ketuanan bangsa selagi mana tujuan untuk menjamin kesejahteraan agama.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjadi kontroversi, langsung tidak menggugat kedudukan bangsa bangsa-bangsa lain. Mereka juga bebas memperjuangkan ‘ketuanan’ mereka dalam pelbagai aspek seperti politik, pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Mereka bebas untuk mengamalkan budaya dan cara hidup sendiri, bebas dalam meningkatkan taraf ekonomi kaum, bebas beragama, bebas meneruskan sistem pendidikan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dengan mengekalkan pengajaran bahasa ibunda masing-masing dan sebagainya. Faktor ini membuktikan bahawa istilah Ketuanan Melayu itu, bukanlah satu istilah yang mengiktiraf bahawa bangsa Melayu itu menjadi tuan, sementara kaum-kaum lain menjadi hamba kepada bangsa Melayu.

Tidak ada negara dalam dunia seperti negara kita yang begitu bertolak ansur sehingga mereka langsung tidak diasimilasikan. Ketika Perdana Menteri berucap dalam Konvensyen Barisan Nasional minggu lalu, pemimpin MCA langsung tidak senyum atau memberikan reaksi di atas cuitan ucapan PM, apabila PM berlawak jenaka bahawa orang Melayu tidak pernah mengasimilasikan orang bukan Melayu sehingga nama ditukar dari Soi Lek kepada Salleh. Begitulah hakikat toleransi yang tidak ada tolok bandingnya.

Islam meraikan “ketuanan” bangsa-bangsa tertentu berasaskan kepada faktor sejarah dan sebagainya. Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda tidak menghapuskan identiti kaum Ansar yang terdiri dari Aus dan Khazraj. Mereka diberi peluang terlibat sama dalam kepimpinan politik bernegara. Begitu juga setelah berlaku pembukaan Kota Mekah (Fath Mekah), Rasulullah tidak mengambilalih kepimpinan politik tempatan daripada pembesar Quraisy di Mekah walaupun Islam menguasai ketika itu.

Selesai pembukaan Kota Mekah, Baginda sendiri mengisytiharkan sesiapa yang tinggal di dalam rumah masing-masing tidak akan dicederakan. Walaupun Baginda pernah diusir daripada Mekah, tetapi Baginda tetap meraikan tanah asal usul sesuatu bangsa dan pulang ke Madinah. Mekah tetap dipulangkan kepada bangsa Quraisy di bawah pemerintahan Islam.

Hujah ini menunjukkan bahawa mempertahankan ketuanan sesuatu bangsa di bumi mereka sendiri adalah fitrah manusia itu sendiri yang dijadikan oleh Allah SWT. Tanyalah bangsa-bangsa yang ada di negara kita ini, siapakah yang bongkak mempertahankan identiti dan dengan ketamadunannya? Tepuk dada tanyalah MCA, DAP dan Gerakan serta sekutunya.

Rasulullah SAW pernah ditanya oleh para sahabat: “Wahai Rasulullah…adakah dari kalangan Asabiyyah, seseorang itu sayang kaumnya sendiri”. Baginda menjawab: “Tidak!…akan tetapi Asabiyyah adalah seseorang itu membela kaumnya ke atas kezaliman” (riwayat Imam Ahmad dan Ibn Majah). Jelas di sini, Islam tidak menolak mempertahankan ketuanan bangsa selagi tidak bercanggah dengan prinsip Islam.

Terdapat banyak hadis sahih berkaitan ‘ketuanan sesuatu bangsa’. Antaranya yang berbunyi:

“Para Imam (mesti) dari golongan Quraisy” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi). Hadis lain menjelaskan, “Kalian adalah manusia yang paling layak memegang urusan (pemerintahan) ini selama kalian berada dalam kebenaran. Apabila kalian menyimpang dari kebenaran maka kalian akan dikupas habis sebagaimana kulit kayu ini dikupas! – Baginda menunjuk sebuah kayu yang ada ditangannya.” (riwayat al-Baihaqi). Rasulullah mempertahankan ketuanan Quraisy, selagi Quraisy berada dalam kepemimpinan Islam.

Menurut Ibn Khaldun (2006: 199-208), bangsa Quraisy dimuliakan kerana mereka merupakan golongan yang kuat dan berwibawa terutama dalam hal ehwal politik dan kenegaraan, selain daripada keturunan Nabi. Penyerahan kekuasaan kepada golongan lain akan menimbulkan kekacauan. Tidak mustahil akan terjadi peperangan sesama umat Islam yang tidak berkesudahan. Golongan Quraisy akan terus dipilih selagi mana asabiyyah (kekitaan), kewibawaan dan kekuatan politik dapat dipertahankan. Para pemerintah umat Islam mesti terdiri daripada kaum atau bangsa yang mempunyai kekuatan asabiyyah (kekitaan) dan kekuasaan yang diakui pada zamannya supaya dapat memimpin orang lain dan kesatuan umat dapat dicapai dengan pembelaan yang baik.

Desakan menolak istilah ini adalah perancangan halus untuk menyamakan semua agama, setelah berjaya menolak dominasi identiti kaum majoriti. Hari ini, saya tidak berapa nampak identiti Melayu mendominasikan upacara rasmi melainkan hanya bacaan doa. Itupun dipertikaikan juga disebabkan sikap ultra kiasu yang melampau.

Kesimpulannya, istilah ketuanan Melayu, tidak perlu dipertikaikan selagi mana matlamat perjuangan kebangsaan tersebut adalah untuk menegakkan Islam. Kepincangan dalam mempertahankan ketuanan Melayu oleh Umno misalnya, tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak ketuanan Melayu tanpa memahami sejarah bumi bertuah ini. Jika Umno yang bersalah sehingga menjadikan ketuanan Melayu seolah-olah ketuanan Umno, yang bersalah adalah Umno dan bukannya identiti ketuanan bangsa Melayu itu di buminya sendiri termasuk mereka yang berada di dalam Pas dan PKR. Justeru, janganlah dilihat bahawa mempertahankan ketuanan Melayu adalah untuk mempertahankan ketuanan Umno kerana ulamak terdahulu turut mempertahankan Melayu dan Islam walaupun ketika itu Umno masih belum wujud.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Dipergunakana atau langsung tak guna

December 5, 2010 by  
Filed under Articles, Ridhuan Tee

Minggu lalu laman web Malaysianinsider menyerang saya melalui tajuk berita “Chinese MPs slam Ridhuan Tee’s publicity stunt”. Wartawan web ini meminta pendapat ahli-ahli parlimen ultra kiasu DAP, tidak ketinggalan Ketua Pemuda MCA. Saya dituduh menggunakan identiti Cina untuk menyerang saudara sebangsa saya. Jahat sekali tuduhan biadab ini. Namun, saya tidak hairan dengan tuduhan emosi wanita andartu yang masih belum ‘berkahwin’ itu dan juga sekutunya.

Mereka mungkin mendapat maklumat melalui pelajar-pelajar yang mengikuti Seminar Pemimpin Muda di parlimen baru-baru ini. Dalam forum tersebut, saya mengatakan segelintir golongan ultra kiasu akan menjadi penghalang kepada program tranformasi kerajaan, jika mereka dibiarkan berleluasa. Hujah saya, golongan ini tidak pernah puas dan sentiasa mempertikaikan perkara-perkara sensitif, seperti perkara 3(1), 152, 153 dan sebagainya. Semua yang dilakukan oleh kerajaan salah. Mereka sahaja yang betul. Mereka yang saya maksudkan adalah DAP.

Mereka menuduh saya dipergunakan. Kadang kala, fikir punya fikir, elok juga dipergunakan, sekurang-kurangnya kita dapat merasakan diri kita berguna. Daripada tidak dipergunakan, menunjukkan diri kita langsung tidak berguna. Mungkin ahli parlimen tersebut merasai sedemikian. Apapun, saya tidak begitu bodoh untuk dipergunakan oleh orang Melayu, apatah lagi UMNO.

Saya boleh menyertai UMNO jika saya mahu, sebab saya adalah Melayu dari segi perlembagaan, perkara 160 (2), tetapi saya tetap Cina dari segi penciptaan oleh Allah Yang Maha Kuasa. Saya lebih memilih memberikan pandangan akademik daripada berpolitik. Saya menjunjung surah al Hujurat ayat 13 mengenai kejadian berbilang bangsa oleh Allah untuk kita saling mengenali antara satu sama lain. Yang paling mulia di kalangan kita adalah orang yang bertakwa, bukan bangsa atau keturunannya. Allah tidak akan tanya kita di akhirat nanti, apa bangsa kita. Tetapi yang akan ditanya, siapa Tuhan kamu, siapa Nabi kamu dan apa agama kamu. Persoalan bangsa sudah tidak wujud apabila berhadapan dengan Rabbul Jalil.

Mesej saya jelas, hanya menyeru orang Melayu Islam bersatu, sebagaimana bangsa saya bersatu atas nama bangsa. Saya tidak menyeru Melayu bersatu atas nama Melayu. Bodohlah saya, kerana saya adalah orang Cina. Tetapi saya menyeru bersatu atas nama Islam kerana Melayu beragama Islam. Apabila Islam berada di atas, semua boleh duduk sekali, tidak kira Melayu, Cina, India mahupun bumiputera Sabah dan Sarawak atau mungkin juga makhluk lain. Kerana semuanya diciptakan Allah SWT. Saya tidak mahu umat Islam berpecah-pecah sehingga ultra kiasu atau DAP menangguk ikan di air yang keruh atau menahan lukah di pergentingan.

Saya cuma mengajak kita supaya bersyukur dan menegur pihak-pihak tertentu dengan berhikmah, bukannya cara kurang ajar seperti yang dilakukan oleh laman web dan ahli parlimen tersebut. Mereka sahaja boleh memberikan pandangan, manakala saya tidak boleh. Apa lebihnya ahli parlimen tersebut dan apa kurangnya saya? Saya bercakap berasaskan fakta, mereka bercakap berasaskan khabar angin yang dilaporkan oleh tali barutnya di IPTA. Apa yang dilaporkan belum tentu benar kerana datang dari mulut orang lain. Bila saya merujuk DAP sebagai ultra kiasu, maka mereka mengatakan saya merujuk kepada semua orang Cina. Kenapa perlu menanamkan kebencian ini?

Tidak perlulah ajar saya tentang perkara 8 perlembagaan persekutuan. Saya memang mengajar subjek Politik Malaysia dan Hubungan Etnik di universiti. Maaf cakap, saya lebih memahami sejarah Tanah Melayu berbanding ahli parlimen tersebut. Dengan kefahaman inilah saya menjadikan kurang kiasu. Cuma, saya harap ahli parlimen tersebut membuat kajian sama, jangan asyik-asyik dengan Perkara 8 setelah tidak dapat berhujah. Adakah ahli parlimen tersebut pernah membuat kajian perkara-perkara utama yang mendasari perlembagaan? Atau hanya mendengar sumber berita dari orang lain. Selepas itu mengambil peluang untuk menghentam orang sana sini. Mengkritik boleh, tetapi perlulah beradab.

Jika tidak tahu adab, belajar dan bergaullah dengan orang Melayu dengan lebih lama. Kenali hati budi mereka. Orang Melayu, bangsa yang saya kenali amat lembut dan beradab sopan. Namun, jangan ambil kesempatan atas ‘kelemahan’ tersebut. Nilai-nilai Islam telah menyantuni mereka. Itulah yang menjadi mereka dapat memberi dan menerima, sehingga terlalu banyak memberi, sedikit sahaja yang diterima, tetapi mereka tetap menerima. Ditakdirkan Melayu masih tidak Islam sehingga ke hari ini, bagaimanakah kedudukan kita hari ini?

Kenapa kita perlu mengungkit perkara sensitif tersebut. Sedangkan kewujudannya tidak sama sekali menggugat kedudukan kita. Apakah dengan adanya perkara 3 (1), 152, 153, dan sebagainya menjadikan kita miskin dan papa kedana? Apakah istilah atau laungan ketuanan Melayu telah melahirkan begitu ramai hamba di kalangan kita? Tidak juga. Ringkasnya, sama ada ketuanan Melayu wujud atau tidak, keadaan tidak banyak berubah. Yang kaya bertambah ramai, yang miskin terus merubah hidup. Tidak ada apa yang menghalang. Jadi, di manakah isu sebenarnya kalau bukan mencari publisiti murahan?

Apa yang saya tekankan adalah jika asimilasi bangsa telah gagal, maka sekurang-kurangnya kita perlu ‘mengasimilasikan’ dasar-dasar kerajaan dan perlembagaan yang telah dipersetujui bersama. Kenapa setelah 53 tahun merdeka perkara-perkara asas ini tidak diambil pusing, malah semakin ultra? Masih ada di kalangan kita, malah ramai, yang tidak boleh/tahu berbahasa kebangsaan. Mereka berhujah bahasa kebangsaan bukan ukuran patriotisme. Persoalan saya, jika perkara sebesar ini, yang menentukan hidup atau matinya identiti sesebuah negara, pun kita tidak mahu ambil kisah, bagaimana dengan perkara besar yang lain. Kenapa kita begitu elergik dengan identiti Melayu yang telah diterima dan sepatutnya menjadi tunggak negara ini? Tidakkah wajar mereka mendapat pengiktirafan di buminya sendiri? Kenapa perlu memandang rendah terhadap mereka dan identitinya? Tidakkah kita perlu lebih memahami mereka daripada orang lain yang di luar sana?

Bayangkan jika dahulu, ketika penghijrahan berlaku, orang Melayu menggunakan kekerasan, memaksa kita mengasimilasikan diri kita menjadi Melayu, sudah tentu hari ini kita sudah menjadi minoriti di Thailand, Indonesia dan Filipina, yang langsung tidak mempunyai identiti bangsa sendiri melainkan telah diserapkan ke dalam identiti majoriti. Berlainan sekali dengan negara tercinta ini. Kita tidak ada beza langsung dengan negara asal kita dalam apa jua aspek sekalipun, melainkan berlainan negara dan perlembagaan sahaja. Inilah ‘asimilasi’ perlembagaan yang saya cadangkan tetapi sengaja disalahfahamkan.

Malangnya, kita bukan sahaja menolak ‘asimilasi’ tersebut, malah secara sengaja membangkitkan isu-isu sensitif, malah terus menuntut supaya sekolah, universiti, bandar, akhbar, televisyen, radio, nama jalan, nama lebuhraya dan lain-lain lagi berasaskan identiti bangsa supaya diperbanyakkan. Sekiranya dibenarkan, sudah tentu ia akan menenggelamkan identiti penduduk pribumi. Tindakan sebegini akan mengundang perasaaan tidak puas hati.

Hari inipun kita sudah lihat hasilnya, kita tidak langsung berbahasa kebangsaan sesama kita, apatah lagi di rumah. Pendek kata, kadangkala satu patah perkataan bahasa Melayupun tidak dipertuturkan. Mungkin berminggu-minggu, berbulan-bulan malah bertahun-tahun. Kita seolah-olah hidup tanpa berperlembagaan. Patriotikkah kita jika perkara asas langsung tidak dipedulikan? Itu belum bercakap perkara-perkara yang lain. Tidakkah kita bersimpatilah dengan identiti bumiputera Sabah dan Sarawak selaku pribumi yang identiti bangsanya tidak begitu menonjol berbanding kita. Cuba bandingkan penguasaan bahasa kebangsaan mereka dengan kita!

Apa yang saya lihat pada hari ini, orang Melayu hanya boleh berbangga dengan peruntukan perlembagaan pada teorinya sahaja. Realiti dan perlaksanaannya, tidak banyak kelihatan atau lebih kepada ilusi. Mereka hidup serba sederhana, bukan tidak ada yang kaya, tetapi lebih sibuk untuk mengahwini artis. Pendek kata, di tanah Melayu, identiti Melayu tidak mendominasi. Tidak ada sekolah Melayu atau universiti Melayu. Jika adapun contoh yang selalu dihujahkan ultra kiasu adalah UiTM dan sekolah agama. Itupun tidak banyak membantu, kerana graduan ini mungkin hanya popular dalam sektor kerajaan tetapi tidak sektor swasta. Sektor swasta yang dikuasai bukan Melayu, mereka lebih berminat dengan graduan-graduan universiti tertentu sahaja.

Apapun berlaku, bukan Melayu tidak rugi kerana mereka sudah pergi jauh meninggalkan orang Melayu, terutama dalam aspek ekonomi dan penguasaan kekayaan. Inilah faktor utama yang menyebabkan orang boleh menguasai dunia. Yang rugi orang Melayu, sudahlah ketinggalan serba serbi, asyik bergaduh dan berpecah tidak habis-habis. Mungkinkah sehingga kucing bertanduk?

Saya yakin, apabila artikel ini disiarkan, saya akan dituduhkan merosak program kerajaan seperti gagasan 1Malaysia dan program tranformasi. Kenapa kita katakan bahawa kewujudan puak ultra kiasu DAP ini juga menimbulkan masalah program kerajaan kerana selalu menimbulkan rasa tidak puas yang boleh menggugat ketenteraman? Orang Cina tidak perlu risau dengan setiap penulisan saya dalam Mingguan Malaysia. Saya tidak bahaya, apatah lagi membahayakan bangsa saya sendiri. Jika ada orang Cina yang dianiayai oleh bangsa lain, saya akan tampil membela.

Selama inipun, saya sanggup turun naik ke pejabat kerajaan membantu bangsa saya yang tidak bernasib baik. Saya tidak pernah ceritakan semua ini kerana dalam Islam, saya diajar supaya tidak ungkit kebaikan yang kita lakukan, nanti tidak dapat pahala. Tidak seperti ultra kiasu ini, setiap kebaikan yang dibuat, dicanangkan dan dipublisiti agar orang lain nampak dia buat kerja, sedangkan kerjanya tidak seberapa. Orang lain buat kerja juga, malah hasilnya besar, tetapi mengenangkan perintah agama supaya jangan riak, maka didiamkan sahaja, walaupun itulah jalan yang paling mudah untuk mendapatkan political mileage. Fahamilah, kerana Islamlah orang Melayu bersifat sedemikian, justeru jangan lah diambil kesempatan. Gauli dan dekati mereka, barulah kita mengenai mereka sebenarnya

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Berkorbanlah untuk bersatu

November 21, 2010 by  
Filed under Ridhuan Tee

Ajakan Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno agar Pas menyertai Barisan Nasional ditolak mentah-mentah oleh Idris Ahmad, Ketua Penerangan Pas. Menurut Idris, Pas tidak memerlukan Umno, kerana Pas akan berusaha untuk memikat ahli-ahli Umno khususnya dan orang Melayu Islam untuk menyertai parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu. Setiausaha Agung PKR menyifatkan ajakan Umno itu sebagai hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Sebelum inipun Presiden Pas pernah mengeluarkan kenyataan meminta Umno supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Pada hemat saya, ini bukan soal hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong atau tidak. Ini berkaitan dengan masa depan umat Islam. Pas dan PKR janganlah terlalu yakin untuk mengambil Putrajaya. Jika ditakdir mereka berjaya, saya tidak fikir mereka mampu mendapat majoriti dua pertiga. Apatah lagi untuk menegakkan negara Islam. Paling hebatnya mereka hanya akan mendapat kelebihan beberapa kerusi. Senarionya mungkin lebih kurang sahaja seperti apa yang berlaku hari ini. Jika Umno kalah sekalipun, tidaklah sampai kehilangan semua kerusi. Apapun, kita tunggu dan lihat kekuatan masing-masing nanti.

Cuma, janganlah terlalu sombong dalam menilai kekuatan parti. Setiap parti ada kelebihan dan pengaruh masing-masing. Secara peribadi, saya mengenali kesemua tokoh ini tersebut. Kita bukan bercakap soal siapa menang atau siapa akan kalah dalam pilihan raya. Pilihan raya hanya alat untuk mendapatkan kuasa dan menjadi parti yang memerintah kerajaan. Siapa yang dipilih oleh rakyat, kita perlu menghormati keputusan tersebut. Apa yang lebih penting adalah masa depan agama, bangsa dan negara yang akan diwarisi oleh anak cucu cicit kita. Ke syurgakah mereka atau ke neraka ketika di bawah pemerintahan kita, itu yang lebih penting?

Apa guna menang pilihan raya jika maruah agama dan kampung tergadai. Pilihan raya bukanlah segala-galanya dalam kehidupan umat Islam. Di negara-negara maju, jatuh bangun sesebuah parti dalam pilihan raya adalah perkara biasa. Bezanya kita dengan mereka, kalah atau menang dalam pilihan raya, kedudukan agama dan bangsa mereka tidak terjejas, malah terus gagah dan bermaruah. Tetapi tidak kita pada hari ini, seolah-olah menang mahu jadi arang, kalah jadi abu.

Belumpun apa-apa kita sudah dapat rasakan bagaimana agama dan bangsa kita dipijak-pijak. Apakah ini yang kita mahu? Umno hanya mempelawa, kalau tidak setuju tidak mengapa. Tolaklah dengan cara baik. Tetapi jangan menyakitkan hati orang dengan kenyataan-kenyataan seperti kapal karamlah, hidung tak mancunglah dan sebagainya. Hebat sangatkah kita?

Secara peribadi saya amat kecewa dengan umat Islam hari ini. Tidakkah kita ini semuanya bersaudara tanpa mengira bangsa dan ideologi politik? Tidakkah kapal yang bocor dan hendak karam itu perlu diselamatkan demi survival umat Islam secara keseluruhan. Apakah kita tidak belajar daripada kejatuhan empayar-empayar Islam sebelum ini? Akibat dendam kesumat dan perbuatan menyakitkan hati sesama sendiri, kita terus berpecah tiada kesudahan, sehingga ke tahap sanggup menikam sesama sendiri.

Selaku Cina Muslim yang tidak ada apa-apa kepentingan dalam soal bangsa Melayu, melainkan agama Islam, berbincanglah dahulu pelawaan Ahmad Maslan itu. Tidakkah Islam menganjurkan kita bermesyuarah. Sesuatu kejayaan bermula dengan langkah pertama. Mungkin selepas ini pertemuan boleh diaturkan dengan Perdana Menteri. Apakah formula dan konsep yang boleh dipersetujui bersama demi masa depan umat Islam? Apakah jawatan yang mungkin boleh ditawarkan kepada Pas. Jika tidakpun jawatan Perdana Menteri, mungkin jawatan Timbalan Perdana Menteri. Apakah Pas terlalu yakin bahawa mereka akan diberikan jawatan penting apabila PR ditakdirkan memerintah nanti?

Jika itulah jawapannya, sudah tentu Pas akan diberikan jawatan penting di bawah kerajaan Pulau Pinang. Tetapi adakah ia berlaku? Di manakah kedudukan Pas setelah PR memerintah Pulau Pinang? Begitu juga kedudukan Pas, apabila PKR memerintah Selangor. Apakah mungkin akan diberikan jawatan menteri besar Selangor selepas PRU 13? Jauh panggang dari api. Dalam PKR hari ini pun masih berantakan untuk merebut jawatan parti. Tujuannya tidak lain, bila menang jawatan dalam parti, peluang untuk memegang jawatan tertinggi peringkat negeri dan negara adalah lebih besar. Sebab itu macam-macam perkara berlaku dalam parti pemilihan parti yang tidak perlu disebut lagi.

Saya boleh bersetuju dengan kata-kata Idris Ahmad bahawa ada pemimpin Umno yang cuba menggelapkan berita kebaikan Pas dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Kedah. Perkara ini turut ditegur oleh Sultan Kedah. Adalah suatu yang silap jika Umno mengeluarkan kenyataan sedemikian apatah mereka yang berjawatan. Sepatutnya kita bertolong-tolongan sesama kita tanpa mengira latar belakang. Jangan mangsakan rakyat disebabkan mereka memilih Pas. Hormati keputusan rakyat buat masa ini. Jika Umno mahu bertahan dalam PRU 13, Umno mesti berlaku adil dan menghulurkan bantuan kepada semua termasuk negeri yang ditadbir oleh pembangkang. Umno perlu menunjukkan bahawa ia adalah parti untuk rakyat, bukan hanya untuk pengikutnya sahaja seperti yang selalu disebut Perdana Menteri.

Jika ada masalah timbul atau perkara yang tidak dipersetujui antara parti, eloklah diselesaikan secara berhemah. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, tetapi tidak perlulah sehingga menyakiti hati orang lain. Elok juga diteliti cadangan beberapa sahabat sebagai langkah pertama ke arah penyatuan. Jika kita semua mengakui benar-benar memperjuangkan Islam, sahutlah ingatan Allah SWT yang berbunyi:

“Maka dengan segala rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihani orang-orang yang bertawakkal kepadaNya (Al-Imran: 159)

Allah mengingatkan kita supaya bersikap lemah lembut dalam sesama manusia. Tidakkah itu yang menjadi dasar dakwah Pas selama ini. Jika kita berkeras dan berkasar, tidakkah Umno akan lari dari Pas. Hari ini kita hanya bercakap soal perpaduan umat Islam. Bagaimanakah kita dapat menyampaikan dakwah kepada bukan Islam, jika sesama Islam kita terus bercakaran.

Kelebihan Pas berbanding Umno, adalah Pas selalu berhujah menggunakan ayat-ayat Quran dan Hadis. Syabas diucapkan. Namun, perlu diingatkan juga sebanyak manapun Quran dan Hadis dihujahkan, jika pendekatan kita menyakitkan hati orang, sesiapa pun akan lari daripada kita. Cubalah ambil iktibar pengajaran yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Musa dan Harun. Allah mengingatkan kedua-dua Nabi Allah ini supaya berlemah lembut hatta kepada Firaun (Surah Taha: 43-44). Apakah Umno itu lebih buruk daripada Firaun? Harap anggapan ini tidak ada dalam pemikiran kita.

Jika Umno bersalah selama ini, tidak bolehkah kita memaafkannya. Tidakkah boleh kita berbicara secara berhikmah dengannya. Benar, kita boleh berbeza pendapat, tetapi janganlah sampai putus tali persaudaraan dan membawa perpecahan yang menakutkan. Ingatan Allah SWT ini perlu dijadikan pedoman:

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib (Surah Fussilat: 34, lihat juga surah Al-Fath: 29).

Jika ada masalah, kita amat digalakkan bermesyuarat. Janganlah terlalu menyalah orang lain. Tidakkah kita sedar, ada kalangan kita yang menolak sesuatu kebaikan, bukan kerana mereka jahil, tetapi mungkin disebabkan mereka masih berserabut dengan budaya politik yang menyukarkan keadaannya. Budaya politik secara asuhan sejak kecil menjadikan pemikiran mereka jumud sehingga sukar untuk menolak pembaharuan. Tidak kurang juga, perasaan ego yang menghantui diri untuk mengakui bahawa apa yang dilakukan selama ini sebenarnya adalah mungkin tidak kena atau kurang tepat. Justeru, inilah peluang untuk menyampaikan sesuatu yang benar atau berdakwah, bukan mendakwa.

Bermesyuaratlah, dalam maksud, kita mendengar pendapat mereka, menyampaikan pendapat kita dan kemudian, bersama-sama mencari kebenaran. Ada kalanya mereka salah, kita benar atau mungkin sebaliknya mereka benar, kita yang salah. Kita hanya manusia biasa, bukan malaikat.

Setelah itu, bertawakkallah kepada Allah setelah kita berusaha. Perkara asas yang perlu diingat oleh Pas adalah, tanggungjawab berdakwah dan menyampaikan sebagaimana yang dilakukan oleh para anbiya. Bukannya memaksa orang menerima apa yang didakwahkan atau menghukum jika mereka tidak mahu menerima. Jika kita memilih sedemikian, pengorbanan kita terhadap Islam tidak sebesar mana, niat murni kita untuk membetulkan mereka pada awalnya tidak kesampaian, dan paling ditakui sampai ke tahap berdosa. Berkorbanlah untuk bersatu. Itulah iktibar yang paling besar setiap kali datangnya hari raya korban.

Namun, jika kita telah melaksanakan tanggungjawab, mereka tidak mahu menerima atau berubah, maka tugas kita selain bertawakkal adalah mencari jalan, di manakah silapnya dan kekurangan sehingga kita gagal. Apakah agenda seterusnya bagi memastikan kita akan beroleh kejayaan? Kenapa orang masih menjauhkan diri daripada sunnah Rasulullah? Adakah yang menjadi faktor penggagal itu sunnah para anbiya atau pendekatan kita sendiri dalam usaha cuba menegakkan sunnah tersebut?

Inilah perkara-perkara yang perlu difikirkan oleh semua parti umat Islam hari ini yang berlumba-lumba untuk mendapat kuasa dan menang pilihan raya. Pada saya, anggaplah pelawaan Ahmad Maslan sebagai titik tolak untuk mencari jalan penyelesaian atas kemelut yang melanda. Jika tidak sudi, tolaklah dengan cara baik daripada mengeluarkan kenyataan yang menyakiti hati.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis