‘Video panas kerja orang dalam’
Rakaman video panas yang didakwa mirip Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bersama seorang wanita yang tersebar baru-baru ini didakwa dilakukan ‘orang dalam’ PKR sendiri.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Datuk Zulkifli Noordin, mendakwa rakaman itu dibuat untuk menjatuhkan pemimpin terbabit kerana perebutan jawatan dan ingin mendapat perhatian yang lebih daripada Penasihat PKR yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ia kerja dalaman (PKR), tak ada kena mengena dengan orang luar. Saya tahu siapa rakamkan video ini, bila tiba masa nanti, saya akan dedahkan,” katanya selepas menyampaikan ceramah umum Pendedahan Eksklusif Wajah Sebenar Anwar Ibrahim di Kampung Sungai Kiat di sini.
Beliau berkata, dalam masa terdekat akan ada beberapa lagi video aksi panas membabitkan pemimpin pembangkang akan didedahkan.
“Ada beberapa video lagi membabitkan pemimpin pembangkang lain dan ‘pelakonnya’ memang tak disangka,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebuah buku mengenai perkahwinan campur yang antara kandungannya memberi mesej wanita Islam dibenarkan mengahwini lelaki bukan Islam kini dikesan disebar meluas secara percuma di negara ini.
Menurut Zulkifli, buku membawa fahaman liberalisme dan pluralisme disebarkan atas alasan Islam adalah konsep menyerah diri kepada Tuhan tanpa mengira agama.
“Mengikut konsep dalam buku berkenaan, setiap wanita Islam boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki bukan Islam, buku ini sangat berbahaya kepada akidah (orang Islam),” katanya.
Penerbitan buku terbabit didakwa ditaja oleh sebuah yayasan dari Jerman, Konrad Adenauer Foundation atau lebih dikenali sebagai Konrad Adenauer Stiftung (KAS) yang menurut Zulkifli, yayasan berkenaan terbabit membantu penajaan badan pemikir Anwar, Institut Kajian Dasar (IKD).
Zulkifli berkata, penyebaran buku berkenaan perlu diharamkan dan siasatan mengenainya perlu dibuat segera bagi menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini. – BERNAMA
Transformasi Najib berjaya
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata transformasi yang digagaskan dan dilaksanakan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah terbukti membawa banyak impak positif kepada pembangunan ekonomi negara dan rakyat.
“Dalam keadaan ekonomi dunia yang begitu mencabar, negara kita masih mampu merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus pada tahun lalu.
“Pada tahun lalu juga, dalam suasana rakyat di negara maju ramai yang hilang pekerjaan tetapi di Malaysia, kita berjaya menyediakan hampir 100,000 peluang pekerjaan kepada rakyat kita,” katanya.
Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan “Ihsan Samudera” oleh Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Masyarakat Semporna di sini, semalam.
Katanya, rakyat yang sebelum ini tiada pekerjaan kini sudah bekerja, rakyat yang tidak menerima bekalan air bersih dan elektrik kini sudah menikmati kemudahan itu dan rakyat luar bandar juga sudah menikmati kemudahan jalan raya, semuanya kesan daripada program transformasi kerajaan.
Malah, beliau berkata pelajar daripada peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi juga merasai kesan transformasi berkenaan iaitu pemberian bantuan persekolahan sebanyak RM100, pemberian baucar pembelian buku bernilai RM200 serta pemberian lebih banyak biasiswa kepada pelajar cemerlang.
Sehubungan itu, katanya rakyat perlu terus menyokong gagasan Najib untuk membawa negara ke tahap lebih maju kerana sokongan sedemikian pada akhirnya akan membawa kemakmuran kepada rakyat manakala negara pula berupaya bersaing di peringkat antarabangsa.
Komplot guling kerajaan
Datuk Seri Najib Razak mendedahkan ada kumpulan tertentu merancang ‘menawan’ Dataran Merdeka sekurangkurangnya empat hari ketika perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu untuk mengguling kerajaan.
Perdana Menteri berkata, kumpulan itu mahu berhimpun sehingga cuti umum Hari Pekerja pada Selasa lalu untuk menunjukkan kepada dunia luar kononnya kerajaan menindas mereka.
“Mereka ada perancangan untuk cuba berhimpun beberapa hari. Kita mengambil tindakan berasaskan lunas undang-undang. Kita benarkan perhimpunan walaupun mereka tidak menyokong kerajaan asalkan berhimpun secara aman,” katanya selepas melancarkan Karnival Komuniti 1Malaysia (K1M) anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, di padang Pusat Sivik Gua Musang, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Najib berkata, kumpulan itu menolak tawaran kerajaan supaya perhimpunan diadakan di Stadium Merdeka kerana mahu kekacauan berlaku untuk mempamerkan kononnya polis melakukan kekasaran terhadap mereka sebagai modal politik sempit.
Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak dari satu segi perhimpunan itu memberi kesan positif kepada kerajaan, Perdana Menteri berkata, majoriti rakyat tidak mahu keamanan dan ketenteraman awam terjejas, menyokong pendirian dan tindakan kerajaan menangani perhimpunan itu.
Namun, katanya, ada pihak tertentu menggunakan kemudahan komunikasi maklumat (IT) menyebarkan klip video polis melakukan kekerasan terhadap perusuh.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan harus menjelaskan penganjur perhimpunan itu tidak menepati janji untuk berhimpun secara aman dan kerajaan berusaha mengelak ia daripada berlaku dengan menawarkan Stadium Merdeka sebagai lokasi perhimpunan.
“Naib Pengerusi DAP, (Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim) pun tidak sokong kerana sudah tentu ada kumpulan tidak menghormati undang-undang melakukan kekerasan dan bawa budaya samseng. Ini menjadikan perhimpunan aman bertukar menjadi yang kita tidak ingini,” katanya.
Menjawab soalan mengenai dakwaan pembangkang kononnya perhimpunan itu menyebabkan BN terpaksa berfikir banyak kali sebelum membubarkan Parlimen, Najib berkata, ia tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya kerana BN mempunyai faktor lain untuk dipertimbangkan.
Ketika berucap, Najib berkata, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan pihak yang tidak menghormati undang-undang dan merusuh dalam perhimpunan itu semata-mata menganggap kononnya kerajaan harus ditumbangkan melalui demonstrasi jalanan.
Bukti DAP kuasa dominan: Najib
Datuk Seri Najib Razak berkata, pengakuan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang rela menjadi kuda tunggangan DAP, membuktikan DAP adalah kuasa dominan dalam pakatan pembangkang.
Perdana Menteri berkata, ia juga membuktikan perangai sebenar Anwar yang dikatakan oleh banyak pihak pada masa ini seperti pepatah ‘sudah terang lagi bersuluh.’
“Nampaknya dia buat pengakuan terbuka. Sebenarnya itu pandangan banyak pihak masa kini mengenai perangainya. Dalam apa juga pakatan mereka, kuasa dominan adalah DAP. Apa yang disyaki selama ini nampaknya sudah terang lagi bersuluh,” katanya semalam.
Najib diminta mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai kenyataan Anwar beliau rela menjadi kuda tunggangan DAP jika tindakan itu membolehkan pembangkang menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana lebih mempercayai pemimpin DAP termasuk Penasihatnya, Lim Kit Siang, berbanding pemimpin dalam UMNO.
Di KUALA TERENGGANU, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pengakuan Anwar itu bukanlah perkara baru.
“Dia (Anwar) memang kuda DAP dari awal,” kata bekas Perdana Menteri.
Malah, katanya, Anwar yang menjemput pemerhati luar, termasuk, Senator bebas dari Australia Nicholas Xenophon, untuk memantau perhimpunan BERSIH, Sabtu lalu.
“Ahli politik itu bukan saja anti-Islam, malah penyokong kuat perkahwinan sejenis. “Memang geng dialah tu,” katanya selepas program Bicara Negarawan Bersama Tun Dr Mahathir di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak.
Di KEPALA BATAS, Tun Abdullah Ahmad Badawi pula menyifatkan tindakan Anwar itu adalah satu perbuatan bodoh.
Bekas Perdana Menteri berkata, kenyataan yang diumumkan dalam ceramah perdana sempena Konvensyen Pakatan Pembangkang Perak, Selasa lalu adalah memalukan diri beliau sendiri.
“Bodoh… sampai sanggup menjadi kuda tunggangan orang lain. Kalau dia mahu jadi tunggangan UMNO sekalipun, UMNO pun tak mahukan dia.
“Sepatutnya dia (Anwar) berasa malu dengan sikap yang sanggup menjadi kuda pihak lain,” kata Abdullah.
Sementara itu, larian sempena sambutan ulang tahun ke-66 Umno yang bermula di Perlis Selasa lalu dan menjelajah Kedah kelmarin, tiba di Pulau Pinang semalam.
Peserta larian dari Kedah yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menyerahkan bendera UMNO kepada Abdullah di sempadan Kedah dan Pulau Pinang di Jambatan Merdeka, Bumbong Lima di sini.
Penganjur dapat sokongan AS
Hubungan penganjur perhimpunan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan Kongres Amerika Syarikat (AS), mencetuskan persoalan kemungkinan ada usaha menggunakan pihak asing untuk menumbangkan kerajaan.
Seorang penulis bebas, Nile Bowie yang menyumbang rencana untuk laman web Global Research yang berpangkalan di Montreal, Kanada, berkata walaupun penganjur perhimpunan, Datuk S Ambiga menegaskan tidak terikat dengan mana-mana parti politik, mereka disokong penuh oleh Anwar yang mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai pertubuhan di Amerika.
“Memetik rencana New York Times bertajuk Kumpulan AS memupuk benih kebangkitan Asia Barat, NDI mendapat dana daripada National Endowment for Democrasy (NED), sebuah pertubuhan yang mendapat dana daripada Kongres AS,” katanya dalam entri terbaru blognya.
NDI adalah NGO yang aktif memupuk pembaharuan demokrasi dan dipengerusikan bekas setiausaha negara AS, Madeline Albright.
Nile berkata, penganjur perhimpunan itu turut mendapat sokongan sebuah lagi pertubuhan yang berpangkalan di AS, Freedom House yang mendapat dana langsung daripada Kongres dan pada awal tahun ini mengeluarkan kenyataan mendesak Malaysia membenarkan perhimpunan aman.
“Meskipun desakan untuk mengatasi kelemahan sistem pilihan raya dan tuntutan lain oleh BERSIH mungkin ada justifikasi, kerjasama kumpulan itu dengan parti politik pembangkang serta kumpulan yang dibiayai AS menggambarkan ada maksud tersirat,” katanya.
Beliau turut memetik amaran Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan Barisan Nasional (BN) menjadi sasaran disebabkan pendirian keras kerajaan terhadap Israel dan kritikan terhadap dasar Amerika.
“Dr Mahathir turut mengecam Anwar yang mempunyai hubungan akrab dengan Paul Wolfowitz (bekas ketua Tabung Mata Wang Antarabangsa IMF), serta pemimpin lain daripada pertubuhan Project for the New American Ventury (PNAC),” katanya.
Dalam blognya itu, Nile turut memetik Dr William Robinson berhubung gerakan demokrasi menumbangkan kerajaan menerusi buku Promoting Polyarchy yang menyatakan AS membentuk pelbagai pertubuhan berbeza di seluruh dunia untuk menyusup ke dalam sistem politik negara lain bagi memenuhi agenda Washington.
“Ketika penganjur kelihatan tidak mempunyai kaitan dengan politik, kerjasama pemimpinnya dengan pembangkang jelas bertujuan mengerah peserta demonstrasi di bawah payung besar gerakan pilihan raya bebas dan adil,” katanya.
Cabar Azmin saman blog
Pelbagai pihak mencabar Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali membuat laporan polis dan mengambil tindakan mahkamah terhadap blog yang menyiarkan gambar aksi seks lelaki miripnya untuk membersihkan namanya.
Pengerusi RISDA, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, berkata Azmin wajar mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan perkara itu tidak benar dan sengaja diada-adakan.
Katanya, pemimpin kanan PKR itu mempunyai hak untuk membersihkan diri daripada segala tohmahan termasuk dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terbabit dalam penyebaran gambar berkenaan.
“Azmin mesti membersihkan diri. Ambil tindakan undang-undang macam saya. Saya dulu ditohmah dengan pelbagai skandal yang mengaibkan saya tapi saya tahu saya di pihak yang benar dan saya mengambil tindakan undang-undang. Akhirnya saya terbukti tidak bersalah.
“Rakyat mahu mengetahui perkara sebenar dan mereka mesti mengambil tindakan segera supaya rakyat tahu mereka bersalah atau tidak,” katanya.
Kelmarin, Azmin menafikan lelaki itu dirinya dan mendakwa ia dilakukan pihak tertentu semata-mata untuk memburukkannya.
Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut mencabar Azmin menyaman pemilik blog yang memaparkan aksi seks lelaki mirip beliau.
“Individu itu seharusnya berani tampil dan tidak hanya berdiam diri kerana mahkamah boleh menentukan kesahihannya. Saya minta tuan punya diri saman sesiapa yang mendedahkan gambarnya serta mendakwa mereka yang berkenaan di mahkamah.
“Jika tidak mahu mengambil tindakan undang-undang, rakyat perlu menilai sendiri,” katanya.
Mohd Ali berkata, beliau akan berasa hairan sekiranya Azmin enggan menyaman pihak terbabit kerana tindakan seperti itu bukan perkara baru bagi mereka.
Di BATU PAHAT, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi meminta membuat laporan polis dan menyaman pengendali blog, jika benar tidak bersalah.
“Sekiranya Azmin benar-benar yakin beliau tidak bersalah, beliau perlu segera membuat laporan supaya pihak berkuasa dapat membuat siasatan, sekali gus menghapuskan kesangsian rakyat.
BERSIH 3.0 : Amaran DS Hj Mohamad Hj Hasan
“Jangan ingat mereka sahaja ada penyokong, kita pun ada penyokong dan penyokong kita lebih ramai daripada mereka untuk bangun bagi mempertahankan negara dan tanah air.”
Itu ketegasan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu yang bertukar insiden ganas.
Beliau juga meminta pihak penganjur Bersih 3.0 dan penyokongnya tidak mencabar kuasa majoriti.
“Jangan cabar kita terlampau sangat kerana jika dicabar, kita akan bangun dan masa itu nanti kita semua akan hilang rasional dan negara kita akan hancur.
“Saya harap pihak berkenaan fikir kesannya kerana jika kita bertempur, kita yang akan rugi bersama-sama. Jadi jangan terus cuba mencabar kita. Kita ada batas kesabaran,” katanya.
Mohamad berkata, sepatutnya mereka yang menyertai perhimpunan Bersih 3.0 harus bersyukur menjadi rakyat Malaysia kerana hidup dalam keadaan aman damai dan tidak berdepan sebarang bencana.
“Tetapi malapetaka pula berdepan dengan kita akibat kerosakan yang kita buat sendiri kerana mempunyai generasi begitu biadab, mudah terpengaruh dengan hasutan dilemparkan oleh mereka yang mempunyai agenda peribadi,” katanya.
Sehubungan itu katanya, beliau berharap semua pihak akan membuka mata dan sedar.
“Jadi saya berharap, kita buka mata dan berdiri teguh bersama-sama sebagai rakyat yang merdeka dan tidak sekali-kali merosakkan negara sendiri,” katanya. – Sinar Harian
BERSIH ganas
Perusuh rempuh sekatan cuba ceroboh Dataran Merdeka, herdik, tumbuk, tendang selain serang kenderaan polis
-
PESERTA perhimpunan bertindak liar dengan merempuh pagar penghadang di Dataran Merdeka, semalam.
KEROSAKAN dan sampah sarap di sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selepas perhimpunan BERSIH di ibu negara, semalam.
Saya percaya tindakan rempuh penghadang punca polis menembak meriam air dan gas pemedih mata: Ambiga
-
11 anggota polis cedera
- 388 perusuh ditahan polis
- Penganjur, pembangkang perlu bertanggungjawab kerana mencetus huru-hara: Hishammuddin
PKR buat rakyat keliru
PKR didakwa sengaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dengan mendedahkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebagai ahli Umno.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mengikut undang-undang, tidak salah penjawat awam menjadi ahli parti politik, asalkan tidak memegang jawatan dalam parti itu.
Wan Ahmad bukan ahli UMNO
Wan Ahmad: Saya tidak jadi ahli Umno sejak sertai SPR.
Beliau berkata, ia merupakan fitnah dan pembohongan yang sengaja dibuat oleh pembangkang dalam usaha mencari sokongan rakyat.
“Saya tidak berada dalam Umno sejak menyertai SPR pada Mei 1998,” katanya menerusi satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama hari ini.
Wan Ahmad mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa beliau adalah anggota Umno Cawangan Kubang Bunggor di Pasir Mas, Kelantan manakala Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof menjadi anggota Umno Cawangan Sri Ampang Baru (bahagian Ampang).
Wan Ahmad menegaskan tindakan pembangkang itu jelas menunjukkan bahawa mereka semakin terdesak dan ketandusan isu untuk meraih sokongan rakyat.
Menurut Wan Ahmad, pembangkang selama ini sememangnya mengguna dan mencuba pelbagai cara termasuk propaganda dan fitnah untuk meraih sokongan rakyat serta menjatuhkan kredibiliti SPR.
“Tak cukup dengan itu, mereka sekarang mula mengheret hal peribadi untuk tujuan merosakkan nama dan kredibiliti pengerusi SPR dan saya,” katanya.
Wan Ahmad berkata, sebagai sebuah badan di bawah Perlembagaan, SPR sentiasa sedar tentang amanah dan tanggungjawab besar suruhanjaya itu untuk menguruskan pilihan raya. – Bernama
















