Jangan perlekeh Perkasa – Ibrahim
May 20, 2013 by Dudi
Filed under Isu Politik Terkini
Comments Off
“Tindakan tidak bermoral ahli-ahli pembangkang melaga-lagakan Hindraf dan Perkasa membuktikan sikap sebenar mereka yang sakit jiwa kerana terus menjadikan kami sasaran dalam pelbagai isu.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberi amaran kepada pembangkang berhenti memperlekeh pertubuhan itu berhubung pelantikan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf), P. Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, Perkasa menghormati keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Waythamoorthy dan yakin pemimpin itu mampu membawa perubahan besar kepada kedudukan sosioekonomi masyarakat India.
Menurutnya, keputusan Najib untuk tidak melantik mana-mana pemimpin Perkasa dalam barisan Kabinet baharu tidak sepatutnya menjadi isu kerana perjuangan Perkasa bukan bagi mengejar jawatan.
“Amat melucukan kerana pembangkang menyindir dan memperlekeh Perkasa termasuk mendakwa kami ‘dibakulsampahkan’ dalam pembentukan Kabinet kali ini sedangkan kami tidak pernah beranggapan begitu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan blog pembangkang yang memperlekeh Perkasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu lain dengan mendakwa suara mereka diketepikan kerajaan berikutan pelantikan Waythamoorthy dalam Kabinet.
Kenapa pembangkang hendak melenting?
May 20, 2013 by Dudi
Filed under Isu Politik Terkini
Comments Off
SESUATU yang menghairankan apabila ada pemimpin DAP melatah dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan, pembangkang perlu berhijrah ke negara yang mengamalkan sistem republik jika mereka mahu menjadikan hujah undi popular sebagai alasan enggan menerima hakikat kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Ahmad Zahid membuat kenyataan itu berikutan tindakan pembangkang yang terus memanipulasikan undi popular yang mereka peroleh seolah-olah ia melayakkan pembangkang untuk memerintah.
Tetapi seperti mana ditegaskan oleh Ahmad Zahid, selaku negara Komanwel, Malaysia mengguna pakai sistem pilihan raya berasas acuan British dan ia diakui pembangkang sejak pilihan raya umum pertama lagi.
Tegas beliau, berasaskan acuan tersebut sistem pilihan raya Malaysia adalah first past the post iaitu cuma seorang wakil rakyat mewakili kawasan ditandingi dan bukan single transferable vote seperti mana diguna negara-negara republik.
Justeru tegas beliau, isu undi popular yang dijaja pakatan pembangkang dalam mengapi-apikan sentimen penyokong mereka agar turun ke jalanan bagi mencetuskan rusuhan tidak lebih hanya alasan untuk lari daripada hakikat kegagalan.
“Jika golongan ini mahu menerima pakai single transferable vote yang digunakan oleh negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka.
“Malaysia bukan negara untuk menterjemahkan kepercayaan politik mereka. Jika benar setia ke pada negara kena terima sistem politik yang membentuk kerajaan sedia ada kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Janganlah kerana tidak dapat menerima hakikat kekalahan, sistem yang telah sekian lama terpakai di negara ini dimomokkan sehingga sanggup mengajak rakyat turun ke jalan raya”.
Itu penegasan Ahmad Zahid dan hujah seumpama itu tidak ada salahnya, justeru kenapa perlu pemimpin DAP melatah sehingga ada antara mereka mendesak Menteri Dalam Negeri itu menarik balik kenyataannya, memohon maaf kepada rakyat atau berhadapan dengan usul di Parlimen.
Sesuatu yang aneh, ketika pemimpin-pemimpin pembangkang menganggap PRU-13 berlaku penipuan dan penyelewengan sehingga mereka sanggup mengadakan perhimpunan haram setiap malam di seluruh negara, kini mereka bercakap soal hendak mengambil tindakan ke atas Ahmad Zahid di Parlimen.
Kalau betul sudah menganggap keputusan PRU-13 ini ada penipuan kenapa hendak bercakap soal Parlimen? Sepatutnya mana-mana ahli pembangkang yang terlibat dalam perhimpunan haram tersebut tidak mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.
Apa yang melucukan pemimpin DAP menganggap kenyataan Ahmad Zahid ekstrem dan tidak menghormati rakyat.
Soalnya, apabila pemimpin-pemimpin pembangkang menuduh BN menipu dalam PRU-13 apakah ia menghormati keputusan rakyat khususnya mereka yang mengundi BN?
Apakah pembangkang tidak memperlekehkan amalan demokrasi apabila terus mengadakan perhimpunan haram sedangkan dalam masa yang sama mereka juga sudah mengangkat sumpah memegang jawatan di negeri-negeri yang mereka tawan.
Mereka menyuruh Ahmad Zahid meminta maaf tetapi bagaimana dengan telatah memualkan mereka mengadakan perhimpunan haram? Tidakkah pembangkang perlu meminta maaf kerana seolah-olah mengajar rakyat negara mencabar undang-undang memandangkan perhimpunan mereka tidak mendapat permit polis?
Janganlah pembangkang cuba mengalih isu atau berlagak seolah-olah mereka sahaja yang betul. Apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid adalah satu kebenaran.
Gesaan Ahmad Zahid bukanlah luar biasa, itulah sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pihak yang tidak boleh menerima sistem pilihan raya di negara ini.
Pembangkang tidak perlu melenting, melatah apatah lagi cabar mencabar. Sikap pembangkang yang tidak boleh menerima kekalahan mereka sehingga mahu menyeret rakyat menyokong perjuangan songsang mereka perlu diperbetulkan terlebih dahulu.
Jika mereka merasakan apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid itu tidak betul maka berilah penjelasan. Tetapi apa yang kita saksikan pembangkang lebih suka menyerang Ahmad Zahid termasuk menggunakan bahasa cukup kasar, “dia ingat negara ini bapak dia punya”.
Pembangkang perlu menghentikan politik propaganda mereka dengan cuba meracuni fikiran rakyat untuk menyokong mereka dengan menggunakan isu undi popular.
Kalau mereka masih mahu menggunakan hujah berkenaan maka janganlah hendak mengalih isu dengan menyerang Ahmad Zahid pula.
Naib Presiden UMNO itu hanya menyatakan kebenaran supaya pembangkang memahami bahawa apa yang mereka lakukan sekarang adalah salah dan bertentangan dengan semangat demokrasi.
Sekarang adalah masa untuk bekerja dan bukannya berpolitik. Rakyat sudah membuat keputusan maka hormatilah keputusan rakyat. Jika pembangkang berterusan mahu berpolitik maka selayaknya gesaan mereka kepada Ahmad Zahid dianggap ‘angin lalu sahaja’ sebab mana mungkin kita mendengar kelompok yang ibarat, kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.
DAP hargai sokongan Melayu
May 8, 2013 by Dudi
Filed under Isu Politik Terkini
Comments Off
BENTONG – Peningkatan sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Rakyat (PR) di sini membantu kemenangan DAP di tiga kerusi Dun iaitu Sabai, Bilut dan Ketari.
Adun Ketari, Lim Chin Chen berkata, peningkatan sokongan pengundi Melayu berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk keterbukaan minda mereka menerima maklumat berkaitan isu semasa.
Katanya, kesedaran mereka berkaitan pelbagai isu semasa terutama rasuah dan penyelewengan secara tidak langsung membantu PR.
“Sekiranya pengundi Melayu tidak memberikan sokongan, sudah pasti kemenangan tidak berpihak kepada DAP.
“Berdasarkan peratusan, hampir 40 peratus pengundi Melayu di kawasan Dun Ketari mengundi DAP dan ia menunjukkan orang Melayu kini tidak lagi takut pada parti ini,” katanya.
Chin Chen juga berkata, kemenangan di tiga kerusi Dun juga adalah hasil kesepakatan jentera PR terutama Pas yang banyak membantu khususnya di kawasan Melayu.
Sementara itu, Adun Bilut, Chow Yui Hui berkata, pilihan raya kali ini bukan sahaja menunjukkan berlakunya ‘Chinese swing’, tetapi juga ‘Malay swing’.
Katanya, pengundi Melayu kini tidak lagi takut menyatakan pendirian mereka walaupun ditakutkan dengan pelbagai perkara tidak benar.
“Kami menghargai undi mereka dan akan berkhidmat dengan baik di kawasan dimenangi,” katanya.
Sementara itu, D Kamache berkata, angin perubahan berlaku di daerah ini kerana sebelum ini, PR tidak memenangi mana-mana kerusi.
Katanya, kubu kuat Barisan Nasional di sini sudah runtuh berikutan kesedaran pengundi terutama Melayu.
“Di Sabai, saya akan mengambil berat soal kebajikan kaum Melayu terutama di Kampung Lengkong, Kampung Jambu Rias dan Felda Sertik.
“Berdasarkan pertemuan saya dengan pengundi Melayu, mereka sememangnya mengharapkan perubahan di kawasan itu,” katanya. – Sinar Harian











