Blogging kembangkan perniagaan

February 19, 2013 by  
Filed under Wanita

Comments Off

SESETENGAH orang menjadikan blog sebagai sebuah diari hidup yang boleh dibaca oleh semua orang dan ada juga yang menjadikan blog tempat melepaskan perasaan dan pendapat masing-masing.

Namun bagi Syarifah Nadia Syed Mohsin Al Jufri, 24 yang dilahirkan di Kuala Kedah dan kini menetap di Pulau Pinang, dia menjadikan blognya sebagai medium mengembangkan perniagaan dalam bidang kecantikan.

Bercakap mengenai kecantikan sudah pastinya ia akan ditujukan kepada wanita-wanita kerana ia dianggap sebagai satu perkara yang wajib dikekalkan dalam diri mereka.

Begitu juga dengan Nadia yang begitu obses dengan kecantikan sehinggakan memilih untuk bekerja sambilan dalam bidang dandanan dan solekan.

Gadis kacukan Arab dan Melayu ini juga meminati bidang fesyen dan merupakan lepasan jurusan rekaan pakaian dan fesyen dari sebuah kolej komuniti di utara tanah air.

Mari kenali dengan lebih dekat blogger dan juga juru solek artis yang obses dengan kecantikan.

 

Illey minat aktiviti lasak

February 19, 2013 by  
Filed under Wanita

Comments Off

KEHADIRAN gadis bertubuh kecil molek dengan dengan lesung pipit di pipi kiri ini sememangnya mampu menghidupkan suasana apatah lagi dengan karakternya yang ceria dan mudah didekati.

Beraksi di hadapan kamera memang kemahiran Illey.

Tidak pernah lekang dengan senyuman, pemilik nama Nurul Iliyana Mohtada ini juga dilihat begitu pandai ‘beraksi’ tatkala berhadapan dengan kamera membuatkan sesi fotografi yang berlangsung begitu pantas berlalu.

Baju silih berganti seolah-olah tidak langsung menjadi beban kepada gadis yang baru berusia 22 tahun ini.

Tatkala diajukan persoalan di mana belajar cara-cara untuk bergaya ketika di hadapan kamera, pantas menjawab, sememangnya dia merupakan seorang model sambilan.

Maka tidak hairanlah Nurul Iliyana atau mesra disapa Illey muda memberikan pelbagai aksi ketika diminta berbuat demikian.

Ketika ditanya mengenai kerjayanya itu, anak kelahiran Ampang, Selangor, ini memberitahu bahawa penglibatannya dalam bidang tersebut bermula sejak di bangku sekolah lagi.

Malah jelas Illey hari ini kerjayanya bukan sahaja melibatkan pentas peragaan ataupun model untuk majalah tetapi dia juga merupakan seorang pelakon dan penari sambilan.

“Illey mula menjadi model sambilan sejak berusia 15 tahun dan hanya menerima tawaran setiap hujung minggu ataupun ketika cuti sekolah sahaja.

“Bukan itu sahaja malah Illey juga sering menjadi pengiring majlis dan semua ini hanyalah untuk memenuhi masa terluang.

“Malah sehingga hari ini Illey masih lagi mendapat tawaran tetapi untuk berlakon TV hanya watak-watak kecil sahaja,” ujarnya sambil tersenyum manja.

Selain bergiat aktif dalam dunia seni, dia kini juga bergelar usahawan.

Asalnya ingin mengisi masa lapang, tanpa disangka perniagaan yang diusahakan mendapat sambutan begitu menggalakkan.

Hanya menjual pakaian dan aksesori terkini untuk remaja, perniagaan yang diusahakan secara dalam talian itu secara tidak langsung menjadikan Illey seorang individu yang tidak menang tangan untuk mengendalikannya.

Begitupun Illey gembira dengan situasi tersebut malah tidak pernah dijadikan alasan untuk berhenti daripada dunia peragaan mahupun lakonan ataupun bidang tarian.

Mungkin disebabkan sudah didedahkan dengan suasana yang sebegitu sejak dari muda, ia secara tidak langsung menjadikan anak bongsu daripada empat beradik ini pandai menyesuaikan diri dan bergaul dengan orang sekeliling.

Sepanjang perbualan berlangsung dapat dilihat gadis ini merupakan seorang yang begitu bercita-cita tinggi selain ingin berjaya dalam kehidupan.

Masakan tidak kerana belum habis berbual mengenai perniagaan bajunya, Illey seterusnya memberitahu yang terbaharu dia juga merupakan seorang saudagar emas.

Begitu gigih untuk memajukan diri selain tidak betah duduk diam, kali ini perniagaan emas yang diusahakan adalah secara sepenuh masa.

Tidak bermakna perniagaan sebelumnya tidak dilakukan sepenuh masa cuma pelanggannya adalah terdiri daripada mereka yang melayari Internet.

Boleh dikatakan kesemua yang dilakukan adalah secara bersendirian tanpa berkongsi modal ataupun mengusahakannya secara bersama.

“Saya jenis yang tidak boleh duduk diam dan disebabkan itulah saya mencuba kesemuanya selagi terdaya.

“Tambahan pula sebagai model, gadis pengiring, pelakon dan juga penari dilakukan secara sambilan . Jadi tidak salah sekiranya saya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya yang betul-betul diminati.

“Untuk itu saya memilih bidang perniagaan sebagai kerjaya sepenuh masa dan kini saya mempunyai dua perniagaan yang diusahakan sendiri dan modal juga sendiri, lebih senang begitu daripada berkongsi,” kata Illey.

Memperdagangkan emas 916 dan juga 999, perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun yang lalu semakin mendapat perhatian daripada peminat mahupun pengumpul barangan kemas.

Yang pasti, selain pandai menguruskan masa, perniagaan yang diusahakan juga dibuat dari rumah sahaja.

Ini kerana menurut Illey senang untuknya bergerak malah sekiranya membuka kedai dia perlu memikirkan banyak perkara termasuklah pekerja, gaji pekerja dan juga keselamatan.

Daripada apa yang dibualkan ternyata pepatah Melayu, ‘mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’ amat sesuai buat Illey.

Dia yang sememangnya dilahirkan dalam keluarga yang begitu komited dalam bidang perniagaan tidak dapat lari daripada kenyataan tersebut.

Ibunya seorang pengusaha salon manakala abangnya pula mempunyai syarikat percetakan dan pengiklanan sendiri.

Maka tidak hairanlah sekiranya tanpa sebarang pendidikan formal Illey mampu menguruskan perniagaannya sendirian di samping mendapat nasihat daripada ibu ataupun ahli keluarganya yang lain.

Tinggalkan seketika mengenai kerjayanya, biarpun bertubuh kecil molek siapa sangka gadis ini begitu meminati aktiviti lasak.

Suka memandu kenderaan All-Terrain Vehicle (ATV) setiap hujung minggu, Illey juga gemar mencabar diri dengan memanjat tembok tiruan.

Tidak cukup dengan itu, Illey juga suka menunggang kuda selain motosikal berkuasa tinggi dan tidak ketinggalan motosikal scrambler.

Ternyata rutin hariannya sentiasa dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik dan mencabar.

Pada masa yang sama ‘wanita tetap wanita’. Ini kerana sifat membeli belah yang terdapat pada golongan Hawa turut diwarisi anak gadis ini.

Gemar merehatkan diri dengan membeli belah, Illey memberitahu tidak ada salahnya sekiranya menghadiahkan diri sendiri dengan apa yang diminati.

“Terus terang saya katakan, saya memang suka membeli belah.

“Apa salahnya setelah penat bekerja dan hasilnya kita hadiahkan pada diri sendiri dan rasanya itu lebih berbaloi daripada digunakan untuk perkara yang tidak berfaedah,” ujarnya lagi.

Tidak cukup dengan ‘pendedahan’ yang diberikan, Illey sekali lagi memberitahu dia kini juga bergelar seorang mahasiswi.

Menyambung pelajaran di peringkat ijazah, Illey memilih bidang perakaunan untuk jaminan masa depan.

Ketika ditanya mengapa akaun menjadi pilihan, ringkas sahaja jawapannya, “Saya suka matematik.”

Jadi kepada mereka yang ingin melihat perniagaan dalam taliannya perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran Illey (kerana segala barangan yang dijual merupakan koleksi terhad yang eksklusif) dan boleh email kepadanya di iliymohtada91@gmail.com.

Kotej Inggeris

February 15, 2013 by  
Filed under Wanita

Comments Off

MENJEJAKKAN kaki ke rumah milik Shabanum Mohd. Sari ini  terasa bagai berada di kedai hiasan dalaman gaya Inggeris. Di setiap sudut  apartmen miliknya dihias dengan barangan berkonsepkan gaya Inggeris yang  menaikkan mood romantis daripada sofa, almari, langsir, pinggan mangkuk  hinggalah ke barang perhiasan kecil yang tersusun rapi di rak putihnya.

Siapa-siapa saja yang melihat hiasan dalaman rumah yang sungguh feminin ini  akan menyangka ia milik wanita bujang. Hakikatnya Shabanum sudahpun berumah  tangga malah mempunyai seorang anak lelaki berusia 4 tahun!

“Suami saya tak kisah malah menyokong hobi saya asalkan rumah sentiasa kemas  dan teratur.

“Idea memiliki rumah yang penuh dengan hiasan ala Inggeris ini juga timbul  daripada suami yang pernah menghadiahkan sebuah bakul comel berenda berwarna  putih sebelum kahwin.

“Sewaktu itu, saya terus membayangkan alangkah indah jika rumah dipenuhi  dengan hiasan sebegitu dan gembira ia dapat direalisasikan,” ujarnya yang masih  menyimpan pemberian suaminya itu.

Terangnya yang selesa dipanggil Anum, cintanya terhadap hiasan gaya Inggeris  bermula sejak zaman remaja lagi dengan membeli ornamen kecil menghiasi biliknya.

Dia menggilai hiasan berenda serta bunga ros kerana baginya gaya tersebut  tidak lapuk dek zaman malah tidak jemu dilihat.

Ceritanya, dia berasa amat tenang setiap kali pulang ke rumah selepas penat  bekerja malah dengan melihat renda sahaja sudah berjaya membuatkan dia lupa  dengan segala kepenatannya.

“Apa yang penting kita perlu mengaturkan setiap barang agar tidak nampak  serabut,” ujarnya yang kini berjinak-jinak mengumpul tin pelbagai bentuk.

Kebanyakan ornamen di rumahnya ditempah khas daripada tukang jahit mengikut  gaya yang dikehendaki seperti sarung bantal dan hiasan kain berbentuk kasut.

Anum turut menghasilkan sendiri kraftangan gaya Inggeris seperti botol kaca  yang dihias dengan manik, reben, gambar wanita klasik dan renda bila kelapangan  malah turut menerima tempahan daripada rakan-rakan yang sama hobi dengannya.

Ceritanya yang turut menyediakan sebuah bilik khas untuk menghasilkan  kraftangan, membuat kraf sendiri lebih menjimatkan dan dapat memberikan sentuhan  peribadi pada setiap barangan yang dihasilkannya.

« Previous PageNext Page »