Kehidupan optimis Ras Adiba

February 25, 2013 by  
Filed under Wanita

Comments Off

TERTARIK dengan kata-kata semangat wanita ini. “Tuhan ambil yang lain, kurniakan keistimewaan lain,” ringkas kata Ras Adiba Mohd. Radzi atau lebih mesra dengan panggilan Dib.

Nama Ras Adiba bukan asing terutama dalam dunia kewartawanan dan pengacaraan suatu waktu dulu. Tapi selepas terlibat dalam satu kemalangan yang menjadikannya lumpuh separuh badan, kehidupannya mula berubah.

Lumpuh separuh badan, dari pinggang ke hujung kaki sejak pertengahan 2002, harapan untuknya kembali menjalani kehidupan normal hampir tidak ada.

Tidak banyak orang yang realistik menerima ujian takdir dengan tabah. Ras Adiba mampu melakukannya. Tuhan memilihnya dan sebagai manusia, apa lagi yang mampu dilakukan wanita ini kecuali menerima dengan syukur.

Ras Adiba terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa pulang daripada membuat liputan bola sepak Piala Malaysia 1996.

Akibat kemalangan itu, dia terpaksa menjalani dua pembedahan pada 1999 dan 2001 untuk memasukkan 24 keping implan bagi menyokong tulang belakangnya.

Pada Julai 2002, Ras Adiba disahkan lumpuh separuh badan sehingga terpaksa menjalani pembedahan di Australia.

Kejadian malang 17 tahun lalu itu tidak mematahkan semangatnya. Ras Adiba yang aktif dalam bidang kesusasteraan dan pernah menulis dua novel dan sebuah antologi puisi meneruskan minatnya menyanyikan lagu-lagu puisi. Dia juga berlakon teater Jebat dalam bahasa Inggeris bersama Jalaluddin Hassan arahan Rahim Razali.

Mendekati Ras Adiba hari ini, dia dilihat lebih optimis .

Tidak seperti orang normal yang tiba-tiba hilang upaya, Ras Adiba tidak mengasingkan diri daripada masyarakat sebaliknya cuba keluar daripada kepompong itu, mencari kekuatan untuk terus menceriakan kehidupannya sendirian.

Menurutnya, walaupun dia kini dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), namun dengan latihan yang dilaluinya, dia mampu menguruskan segala-galanya seperti orang normal.

Kekuatan”Bagi saya, untuk hidup seperti orang normal yang lain tidak sukar. Saya sentiasa optimis kerana saya mencintai diri sendiri.

Hari ini Tuhan ambil kehidupan normal lain, tetapi Dia akan kurniakan satu keistimewaan buat kita. Itu cara saya yakinkan diri dan kawan-kawan saya agar hidup lebih positif,” katanya yang mula aktif bersukan sejak bergelar OKU.

Pada 2003, Ras Adiba mula aktif menyertai maraton dan pernah mewakili negara dalam acara Paralimpik untuk sukan menembak.

Bukan itu sahaja, Ras Adiba mampu bermain badminton dan berenang menggunakan tangan.

Hakikatnya, dia kehilangan keupayaan kaki tetapi tangannya masih mampu melakukan segalanya.

Itulah keajaiban Tuhan yang memberi kekuatan hidup pada Ras Adiba.

Anak dan persatuanWalaupun aktiviti luar Ras Adiba agak terhad, dia masih berpeluang melakukan aktiviti bersama keluarga dan anak.

Hidupnya kini lebih sempurna dengan kehadiran anaknya, Umar Ras Engel Abdullah, 6.

Si kecil ini menjadi penawar dukanya.

Duka hatinya kian sembuh malah, hidupnya kembali diwarnai oleh Umar.

“Selain sibuk menguruskan anak, saya juga menemaninya melakukan pelbagai aktiviti. Saya merasakan hidup sempurna dengan kehadirannya. Jika orang lain mengatakan saya memberi kehidupan baru buat Umar tetapi sebaliknya. Bagi saya, dia tidak pernah menganggap saya OKU sehingga saya merasakan diri ibu yang normal seperti orang lain, ” katanya yang kembali membaca berita di ntv7 pada 2008.

Ras Adiba juga kian aktif dengan jemputan ceramah motivasi.

Dia kini menjadi Penasihat Persatuan OKU Perwira K9 Malaysia. Katanya, penglibatan dalam komuniti OKU seperti ini dapat membantu golongan pesakit dan ibu bapa memahami kehidupan sebenar golongan ini.

“Dalam persatuan kami bukan sekadar memberi kata-kata semangat. Kami juga ada ceramah daripada pakar-pakar kesihatan dan pendidikan selain panduan bagaimana golongan ini membina kerjaya.

“Kami memahami ramai OKU terutamanya mereka yang dulunya normal sukar meneruskan kehidupan. Sebab itulah perlunya pendedahan melalui persatuan seperti ini untuk membantu,” katanya yang masih bergantung pada ubat tahan sakit.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130224/ke_01/Kehidupan-optimis-Ras-Adiba#ixzz2LslApTep
© Utusan Melayu (M) Bhd

Blogging kembangkan perniagaan

February 19, 2013 by  
Filed under Wanita

Comments Off

SESETENGAH orang menjadikan blog sebagai sebuah diari hidup yang boleh dibaca oleh semua orang dan ada juga yang menjadikan blog tempat melepaskan perasaan dan pendapat masing-masing.

Namun bagi Syarifah Nadia Syed Mohsin Al Jufri, 24 yang dilahirkan di Kuala Kedah dan kini menetap di Pulau Pinang, dia menjadikan blognya sebagai medium mengembangkan perniagaan dalam bidang kecantikan.

Bercakap mengenai kecantikan sudah pastinya ia akan ditujukan kepada wanita-wanita kerana ia dianggap sebagai satu perkara yang wajib dikekalkan dalam diri mereka.

Begitu juga dengan Nadia yang begitu obses dengan kecantikan sehinggakan memilih untuk bekerja sambilan dalam bidang dandanan dan solekan.

Gadis kacukan Arab dan Melayu ini juga meminati bidang fesyen dan merupakan lepasan jurusan rekaan pakaian dan fesyen dari sebuah kolej komuniti di utara tanah air.

Mari kenali dengan lebih dekat blogger dan juga juru solek artis yang obses dengan kecantikan.

 

Illey minat aktiviti lasak

February 19, 2013 by  
Filed under Wanita

Comments Off

KEHADIRAN gadis bertubuh kecil molek dengan dengan lesung pipit di pipi kiri ini sememangnya mampu menghidupkan suasana apatah lagi dengan karakternya yang ceria dan mudah didekati.

Beraksi di hadapan kamera memang kemahiran Illey.

Tidak pernah lekang dengan senyuman, pemilik nama Nurul Iliyana Mohtada ini juga dilihat begitu pandai ‘beraksi’ tatkala berhadapan dengan kamera membuatkan sesi fotografi yang berlangsung begitu pantas berlalu.

Baju silih berganti seolah-olah tidak langsung menjadi beban kepada gadis yang baru berusia 22 tahun ini.

Tatkala diajukan persoalan di mana belajar cara-cara untuk bergaya ketika di hadapan kamera, pantas menjawab, sememangnya dia merupakan seorang model sambilan.

Maka tidak hairanlah Nurul Iliyana atau mesra disapa Illey muda memberikan pelbagai aksi ketika diminta berbuat demikian.

Ketika ditanya mengenai kerjayanya itu, anak kelahiran Ampang, Selangor, ini memberitahu bahawa penglibatannya dalam bidang tersebut bermula sejak di bangku sekolah lagi.

Malah jelas Illey hari ini kerjayanya bukan sahaja melibatkan pentas peragaan ataupun model untuk majalah tetapi dia juga merupakan seorang pelakon dan penari sambilan.

“Illey mula menjadi model sambilan sejak berusia 15 tahun dan hanya menerima tawaran setiap hujung minggu ataupun ketika cuti sekolah sahaja.

“Bukan itu sahaja malah Illey juga sering menjadi pengiring majlis dan semua ini hanyalah untuk memenuhi masa terluang.

“Malah sehingga hari ini Illey masih lagi mendapat tawaran tetapi untuk berlakon TV hanya watak-watak kecil sahaja,” ujarnya sambil tersenyum manja.

Selain bergiat aktif dalam dunia seni, dia kini juga bergelar usahawan.

Asalnya ingin mengisi masa lapang, tanpa disangka perniagaan yang diusahakan mendapat sambutan begitu menggalakkan.

Hanya menjual pakaian dan aksesori terkini untuk remaja, perniagaan yang diusahakan secara dalam talian itu secara tidak langsung menjadikan Illey seorang individu yang tidak menang tangan untuk mengendalikannya.

Begitupun Illey gembira dengan situasi tersebut malah tidak pernah dijadikan alasan untuk berhenti daripada dunia peragaan mahupun lakonan ataupun bidang tarian.

Mungkin disebabkan sudah didedahkan dengan suasana yang sebegitu sejak dari muda, ia secara tidak langsung menjadikan anak bongsu daripada empat beradik ini pandai menyesuaikan diri dan bergaul dengan orang sekeliling.

Sepanjang perbualan berlangsung dapat dilihat gadis ini merupakan seorang yang begitu bercita-cita tinggi selain ingin berjaya dalam kehidupan.

Masakan tidak kerana belum habis berbual mengenai perniagaan bajunya, Illey seterusnya memberitahu yang terbaharu dia juga merupakan seorang saudagar emas.

Begitu gigih untuk memajukan diri selain tidak betah duduk diam, kali ini perniagaan emas yang diusahakan adalah secara sepenuh masa.

Tidak bermakna perniagaan sebelumnya tidak dilakukan sepenuh masa cuma pelanggannya adalah terdiri daripada mereka yang melayari Internet.

Boleh dikatakan kesemua yang dilakukan adalah secara bersendirian tanpa berkongsi modal ataupun mengusahakannya secara bersama.

“Saya jenis yang tidak boleh duduk diam dan disebabkan itulah saya mencuba kesemuanya selagi terdaya.

“Tambahan pula sebagai model, gadis pengiring, pelakon dan juga penari dilakukan secara sambilan . Jadi tidak salah sekiranya saya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya yang betul-betul diminati.

“Untuk itu saya memilih bidang perniagaan sebagai kerjaya sepenuh masa dan kini saya mempunyai dua perniagaan yang diusahakan sendiri dan modal juga sendiri, lebih senang begitu daripada berkongsi,” kata Illey.

Memperdagangkan emas 916 dan juga 999, perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun yang lalu semakin mendapat perhatian daripada peminat mahupun pengumpul barangan kemas.

Yang pasti, selain pandai menguruskan masa, perniagaan yang diusahakan juga dibuat dari rumah sahaja.

Ini kerana menurut Illey senang untuknya bergerak malah sekiranya membuka kedai dia perlu memikirkan banyak perkara termasuklah pekerja, gaji pekerja dan juga keselamatan.

Daripada apa yang dibualkan ternyata pepatah Melayu, ‘mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’ amat sesuai buat Illey.

Dia yang sememangnya dilahirkan dalam keluarga yang begitu komited dalam bidang perniagaan tidak dapat lari daripada kenyataan tersebut.

Ibunya seorang pengusaha salon manakala abangnya pula mempunyai syarikat percetakan dan pengiklanan sendiri.

Maka tidak hairanlah sekiranya tanpa sebarang pendidikan formal Illey mampu menguruskan perniagaannya sendirian di samping mendapat nasihat daripada ibu ataupun ahli keluarganya yang lain.

Tinggalkan seketika mengenai kerjayanya, biarpun bertubuh kecil molek siapa sangka gadis ini begitu meminati aktiviti lasak.

Suka memandu kenderaan All-Terrain Vehicle (ATV) setiap hujung minggu, Illey juga gemar mencabar diri dengan memanjat tembok tiruan.

Tidak cukup dengan itu, Illey juga suka menunggang kuda selain motosikal berkuasa tinggi dan tidak ketinggalan motosikal scrambler.

Ternyata rutin hariannya sentiasa dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik dan mencabar.

Pada masa yang sama ‘wanita tetap wanita’. Ini kerana sifat membeli belah yang terdapat pada golongan Hawa turut diwarisi anak gadis ini.

Gemar merehatkan diri dengan membeli belah, Illey memberitahu tidak ada salahnya sekiranya menghadiahkan diri sendiri dengan apa yang diminati.

“Terus terang saya katakan, saya memang suka membeli belah.

“Apa salahnya setelah penat bekerja dan hasilnya kita hadiahkan pada diri sendiri dan rasanya itu lebih berbaloi daripada digunakan untuk perkara yang tidak berfaedah,” ujarnya lagi.

Tidak cukup dengan ‘pendedahan’ yang diberikan, Illey sekali lagi memberitahu dia kini juga bergelar seorang mahasiswi.

Menyambung pelajaran di peringkat ijazah, Illey memilih bidang perakaunan untuk jaminan masa depan.

Ketika ditanya mengapa akaun menjadi pilihan, ringkas sahaja jawapannya, “Saya suka matematik.”

Jadi kepada mereka yang ingin melihat perniagaan dalam taliannya perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran Illey (kerana segala barangan yang dijual merupakan koleksi terhad yang eksklusif) dan boleh email kepadanya di iliymohtada91@gmail.com.

« Previous PageNext Page »