Rosmizah menulis ketika pagi buta

April 24, 2012 by  
Filed under Wanita

Comments Off

MENITI jadual seharian penulis novel Tujuh Hari Mencintaiku, berjaga untuk meluahkan karyanya sewaktu ramai sedang diulit mimpi mungkin membuatkan orang lain mengeluh namun ia perkara biasa baginya.

Ketika hening pagi hari itulah idea mencurah-curah keluar dari mindanya membuatkan dia berjaga pada pukul 2 pagi dan ralit menulis hingga ke subuh.

Itulah permulaan jadual hariannya ketika dalam misi menyelesaikan setiap novelnya sehingga sanggup tidur satu atau dua jam sahaja kerana perlu bangun menguruskan keluarga serta ke pejabat di siang hari.

“Mungkin cara penulisan saya sedikit berbeza dengan penulis lain yang sanggup mengambil masa setahun atau lebih untuk menyiapkan sebuah novel kerana saya akan tetapkan tarikh akhir menyiapkannya.

“Contohnya saya beri masa tiga bulan untuk menulis membuatkan saya perlu berdisiplin dan memberi sepenuh komitmen dalam penghasilan karya saya itu walaupun perlu berjaga di awal pagi.

“Saya ada menulis di siang hari iaitu ketika di syarikat penerbitan saya, SR Publication tetapi selalunya idea lebih banyak datang ketika waktu malam,” ceritanya yang bakal melancarkan buku terbarunya, Takdir Itu Milik Aku pada 28 April ini di Dewan Kenanga, Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Sambung Rosmizah, diari sehariannya lebih berkisar tentang aktiviti di pejabatnya yang kini mempunyai enam orang penulis. Dia sendiri akan menyemak manuskrip yang dihantar dan menyunting selain memerah idea untuk setiap bahan terbarunya.

Dia juga turut turun padang ke syarikat percetakan serta ke kedai buku bagi memeriksa stok novel keluaran syarikatnya dan memerhati carta buku popular di sana.

Namun, walau sesibuk manapun aktiviti hariannya, dia pasti akan cuba mencuri masa untuk diri sendiri dan suami, Mazlan Zainol Abidin serta dua anak lelakinya.

“Sekarang ini saya suka membaca buku 1 hari 1 Resipi oleh Chef Hanieliza kerana dapat menambahkan lagi menu untuk dicuba memandangkan saya juga suka memasak,” ujarnya yang gemar memasak kuah asam pedas.

Menulis kerana mimpiMerungkai kisah pembabitan Rosmizah ke dalam dunia penulisan, ujarnya, dia tidak pernah terbayang terjebak dengan profesion tersebut kerana selesa dengan kerjayanya sebagai peguam sejak 15 tahun lalu.

Semuanya bermula dengan mimpi yang dialaminya selama tiga hari berturut-turut sekitar 2008 yang boleh dikatakan menghantuinya kerana ingatannya terhadap mimpi bersiri itu sangat jelas.

Dia bukan watak utama mimpi itu. Dalam mimpi tersebut, Rosmizah menyaksikan penderitaan seorang perempuan melalui kehidupan penuh onak duri malah sehingga didera dengan teruk kerana sifatnya yang baik hati.

Rosmizah akhirnya memilih untuk mengabadikan mimpinya itu ke dalam bentuk novel dan tidak disangka-sangka mendapat sambutan yang hangat.

“Saya tak tahu kenapa saya alami mimpi sedemikian. Mungkin kerana kes-kes mahkamah yang saya pernah uruskan sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi membentuk satu jalan cerita tersendiri.

“Ia adalah permulaannya dan sejak itu, novel-novel tulisan saya dihasilkan atas permintaan pembaca yang sering berhubung melalui surat dan e-mel,” ujarnya yang turut menulis novelCinta Kau Dan Aku dan Lafazkan Kalimah Cinta.

Menurutnya, idea penulisannya yang sering bertemakan kasih sayang, kekeluargaan dan persahabatan sering diperolehi daripada kisah masyarakat sekeliling membuatkan pembaca berasa seolah-olah mereka antara watak novelnya.

Dari peguam ke penulisApabila mula menguruskan syarikat penerbitan, ibu kepada Mohd. Haziq, 10, dan Mohd. Haiqal, 11, ini mengakui dia memperlahankan langkahnya sebagai seorang peguam.

Akuinya, dia tidak menyesal memilih untuk beralih ke bidang penulisan pula kerana berasa seronok melakukan rutin lain daripada yang telah dia lalui sejak 15 tahun lalu.

“Kalau dulu saya berdepan dengan orang berbeza, berunding dengan hakim dan peguam, kini perasaan sungguh lain dan menarik kerana saya berjumpa dengan peminat yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia,” ujarnya.

Datuk Rosnani Jamil

April 21, 2012 by  
Filed under Wanita

Comments Off

Datuk Rosnani Jamil Kunci Bahagia di Tangan Kita!

Disebabkan itu pasangan bahagia ini banyak menghabiskan masa di rumah mereka di Kuala Lumpur. “Inilah rumah Mak. Mak dan Abah memang berhajat menetap di kawasan kampung pada penghujung usia kami. Lebih santai dan damai di sini, berbanding di Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk. Macam-macam boleh buat. Boleh mandi sungai dan bercucuk tanam. Namun hanya pada hujung minggu sahaja Mak pulang ke rumah di Janda Baik ini,” ujar Datuk Rosnani yang lebih mesra dipanggil Mak Nani manakala abah pula merujuk kepada suaminya, Datuk Jamil Sulong.

Mak Nani ialah seorang wanita yang sangat mencintai ilmu sejak muda lagi. Bagi wanita ini, ilmu sangat penting untuk meningkatkan kemahiran diri. Menurut Mak Nani, sejak dia menetap di Singapura lagi, dia sudah giat menimba ilmu terutama bahasa Inggeris.

“Ketika di Singapura dahulu, arena perfileman Melayu dikuasai oleh pengarah filem berbangsa India. Mereka semua menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan pelakon dan tenaga produksi. Ketika hendak memberi arahan kepada pelakon, mereka akan bercakap kepada penolong pengarah dan penolong pengarah akan bercakap kepada kita apa-apa yang pengarah mahu. Jadi, sebagai pelakon, Mak tak puas hati. Mak mahu pengarah bercakap terus kepada Mak supaya mesej itu lebih jelas.

Sebab itulah Mak belajar bahasa Inggeris, supaya Mak lebih faham apa yang pengarah mahu,” jelas Mak Nani yang begitu sesuai dengan watak Hamidah dalam filem Ibu bersama Tan Sri P. Ramlee yang memegang watak pemain trompet bernama Remy. Mak Nani bukan sekadar belajar di dalam negara tetapi juga hingga ke London, United Kingdom. Ketika di sana iaitu pada 1971 hingga 1972, Mak Nani turut berpeluang bertugas secara sambilan di BBC London. Mak Nani membuat program Keluarga Bahagia untuk siaran radio Suara Malaysia. Tugasnya ialah menemu bual pelajar-pelajar Malaysia di London. Bukan sekadar Suara Malaysia sahaja, tetapi Mak Nani juga berpeluang bertugas di Suara Indonesia kerana boleh berbahasa Indonesia.

“Ketika itu Mak belajar di Universiti London Film School selama dua tahun. Di sana Mak belajar asas solekan dan perfileman. Di samping itu Mak belajar bahasa Inggeris juga. Mak memang suka belajar dan kos pendidikan Mak di sana ditanggung oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA). Mak bangga kerana menjadi artis tempatan pertama yang bekerja di BBC London,” ujar Mak Nani lagi yang manis berkebaya jingga pada hari pertemuan kami. Selain itu, Mak Nani juga digalakkan oleh suaminya supaya menambah ilmu seperti alih suara, penyuntingan dan menulis skrip untuk drama, filem atau bangsawan. Semuanya untuk menambah ilmu dan ternyata sehingga kini, Mak Nani boleh melakukan pelbagai tugas dalam bidang seni. Antaranya berlakon filem, berlakon drama radio, menulis skrip, mengarah dan menerbitkan filem.

Pelajaran Amat Penting

Mak Nani bergiat dalam bidang seni bukanlah untuk mengejar glamor sebaliknya kerana minat. Justeru di samping berlakon, Mak Nani tetap mempelajari kemahiran lain demi memperlengkapkan diri untuk menjadi insan lebih baik. Semangat “Mak bahagia dengan anak-anak. Pada usia begini, Mak fikir segalanya sudah Mak peroleh. Hanya satu sahaja yang Mak tak tercapai lagi iaitu melihat anak Mak menjadi seorang doktor. Pernah Mak suruh anak bongsu menjadi doktor. Anak Mak tak bantah tetapi dia kata begini pada Mak; saya boleh belajar dan jadi doktor tapi saya tak suka. Sebagai ibu, Mak redha, dia kini berjaya dengan kerjaya pilihannya,” kata Mak Nani lagi sambil ketawa besar.

Mementingkan Kesihatan

Bertemu dengan Mak Nani membuatkan saya kagum melihat kecergasannya. Pada usia 75 tahun bolehlah dikatakan bahawa dia memiliki kesihatan dan kecergasan yang begitu mantap. Kata Mak Nani, untuk kekal sihat pada usia sekarang, dia banyak dan rajin bergerak. “Kita perlu aktif dan jangan malas bergerak. Pergerakan tubuh adalah sama seperti bersenam yang boleh membuatkan tulang sihat,” kata Mak Nani yang mengalami sedikit kesakitan di kaki, akibat terjatuh di Singapura. Bagi saya, jika wanita lain seusianya jatuh sedemikian rupa, tentu tidak mampu berjalan, tetapi Mak Nani masih mampu berjalan dan kekal cergas. Selain itu, Mak Nani juga menjaga pemakanan dan tidak makan daging lembu serta ayam. Dia lebih suka makan ikan. Mak Nani juga suka makan sayur kampung apatah lagi kebanyakannya ditanam sendiri di sekitar rumah.

“Mak juga ambil makanan tambahan atau supplemen untuk menyihatkan tulang serta menjaga kulit. Nasihat Mak, makanlah sekadar perlu sahaja dan berhenti makan sebelum kenyang. Tubuh Mak yang kecil ini mungkin faktor keturunan kerana keluarga Mak juga bertubuh begini. Selain itu, untuk penjagaan tubuh pula, kita perlu amalkannya sejak muda. Macam Mak, Mak memang kuat berpantang terutama selepas melahirkan anak dahulu. Mak buat jamu sendiri iaitu kunyit ditumbuk dan diperah airnya. Kemudian campurkan madu lebah serta kuning telur. Bagus untuk kesihatan dalaman,” kata Mak Nani memberi petua sihat yang diamalkannya.

Saling Menghormati

Ketika bertemu dengan Mak Nani di rumahnya, sempat bertemu dengan Datuk Jamil Sulong. Beliau agak kurang sihat namun tetap ramah melayan tetamu yang hadir. Kala makan tengah hari, saya sempat melihat Mak Nani melayan suaminya makan. Ternyata pasangan ini cukup bahagia melayari rumah tangga mereka. “Mak dan Abah adalah dua manusia yang cukup berlainan; ibaratnya siang dan malam. Sikap kami berbeza. Mak suka bercampur orang ramai, dan suka berbual. Namun Abah pula lebih suka duduk di rumah dan membaca di perpustakaan mininya di rumah ini.

Bolehlah Mak katakan bahawa kunci kebahagiaan kami ialah kami saling menghormati. Abah hormat ‘gaya’ Mak dan Mak hormat ‘gaya’ Abah,” katanya lagi. Selain itu, Mak Nani juga mengatakan bahawa dia tidak suka menyusahkan suaminya apatah lagi kala suaminya bekerja. Jika dia boleh uruskan sendiri, Mak Nani akan uruskan sendiri kecuali perkara yang terlalu penting atau kecemasan. “Perkara yang paling menyentuh hati Mak mengenai Abah adalah ketika Mak minta ampun kerana Mak hendak menunai umrah dulu. Ketika itu Abah ampunkan Mak dan dia menerima segala kelemahan Mak sebagai isteri. Itulah yang membuat Mak sangat terharu dan Mak anggap Abah sebagai suami yang sempurna di mata Mak,” kata Mak Nani mengenai suaminya.

Mak Nani juga sedih kerana tidak berpeluang bercuti jauh dengan suaminya pada usia begini kerana halangan kesihatan. Datuk Jamil tidak begitu sihat. Kata Mak Nani, pada usia begini sangat seronok jika dapat bersiar-siar untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri. Pun begitu, Mak Nani tetap seronok menghabiskan masa dengan suami di kediaman indah dan damai mereka di Janda Baik.

Kosongkan almari untuk beramal

April 21, 2012 by  
Filed under Wanita

Comments Off

INI bukanlah kali pertama jualan amal diadakan oleh Datuk Farida Effendi. Tahun lalu ia diadakan dalam keadaan santai di kediamannya.

IBU dan anak yang berkongsi minat dan gemar membuat kebajikan.


 

Mengambil kira sambutan yang menggalakkan daripada sahabat dan teman rapat, anak perempuan Farida, Elyna Effendi mencadangkan supaya diadakan jualan amal di satu tempat yang lebih luas dan boleh dikunjungi lebih ramai orang.

Lalu keputusan diambil dan 15 April ini bakal menyaksikan jualan amal oleh Farida, anaknya Elyna dan beberapa lagi selebriti tempatan di Red Carpet Avenue, The Strand, Kota Damansara.

Charity Bazaar Carnival @ The Strand Kota Damansara itu bukan sekadar hari berjual-beli, sebaliknya pelbagai program menarik turut menanti pengunjung.

Bukan sekadar untuk orang dewasa, karnival ini juga bakal menghiburkan kanak-kanak dengan acara seperti lukisan serta hiburan oleh badut.

Farida juga telah berbesar hati ‘mengosongkan’ almari beliau untuk jualan amal itu yang disifatkannya sebagai satu amalan yang dapat memberikan dirinya ketenangan fikiran.

Pada jualan tersebut, Farida akan menjual barangan kesayangan seperti beg tangan, baju kurung, blaus, barang perhiasan rumah dan kasut.

Lebih menarik ia adalah barangan yang masih elok dan berkeadaan seperti baru.

“Rugi kalau tak datang jualan ini kerana barangan ini akan dijual pada harga yang yang amat berpatutan.

“Selain itu dapat juga menyertai banyak aktiviti menarik yang telah saya rangka untuk pengunjung,” kata Farida ketika ditemui di kediamannya, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu Elyna berkata, tujuan mereka uar-uarkan pada umum kerana mahukan penyertaan lebih ramai pengunjung pada hari tersebut.

Ini kerana ia bukan sekadar jualan amal tapi hari untuk setiap ahli keluarga berhibur dengan aktiviti di samping merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.

Semua hasil kutipan daripada jualan itu pula akan disalurkan ke dalam akaun badan kebajikan yang terpilih.

“Kami mahu lebih ramai orang datang. Sebab itu ruangan yang lebih luas dipilih untuk jualan amal ini.

“Bukan hanya saya dan ibu yang akan menjual barangan kesayangan kami, beberapa artis dan selebriti tempatan juga akan turut serta menjual barangan kesayangan mereka pada hari tersebut.

“Antara artis yang telah bersetuju untuk turut serta ialah seperti Jeslina Hashim yang akan menjual aksesorinya, Linda Jasmin dan Que Haidar, Maya Karin dan beberapa lagi artis.

“Lebih menarik 100 peratus hasil jualan ini akan didermakan kepada badan kebajikan. Antara rumah kebajikan yang telah kami kenal pasti ialah Yayasan Anak-Anak Chow Kit, Kiwanis dan Rumah Anak Yatim Darul Hikmah.

“Saya juga terlibat menjual pakaian anak-anak yang masih elok, pakaian dari butik suami saya, buku-buku dan permainan yang semuanya masih dalam keadaan baik,” ujar Elyna yang menemani ibunya sepanjang temu bual tersebut.

Menurutnya lagi, sepanjang jualan amal tersebut, terdapat juga jualan makanan dan minuman yang mana peratusan daripada hasilnya turut disumbangkan untuk kebajikan.

Malah ibunya yang memang hebat dalam dunia masakan tradisional turut akan menjual makanan demi tujuan amal.

“Ibu memang suka memberi layanan kepada tetamunya dan beliau memang seorang yang pandai memasak dan hos yang baik.

“Banyak yang saya belajar daripada beliau termasuklah untuk melakukan seberapa banyak perkara kebaikan agar ia dapat memberi manfaat kepada orang lain pula,” ujarnya yang mengagumi ketabahan ibunya.

baju kuning ini bukan untuk dijual, ia adalah kenangan farida ketika menyertai pertandingan nyanyian pada usia 11 tahun.

Warisan

Ketika ditanya tujuan beliau menganjurkan jualan tersebut kata Elyana: “Sejak kecil lagi ibu sudah mengajar saya agar menjadi seorang yang prihatin dengan nasib orang lain.

“Idea untuk jualan amal ini juga sememangnya idea beliau. Ibu memang selalu mendidik kami adik-beradik untuk memikirkan keperluan orang lain.”

Malah Elyna mengakui ibunya bukanlah jenis yang suka mencanangkan tentang perkara yang dibuat kerana bagi ibunya itu satu tindakan yang tidak baik.

“Selama ini ibu terlibat dengan bermacam aktiviti amal tapi dia memang tidak suka sebarang liputan.

“Untuk jualan kali ini saya telah memaksanya dengan menyatakan bahawa ia sebahagian dari promosi supaya lebih ramai orang dapat datang dan turut serta dengan jualan terbabit.

“Lebih ramai maka lebih meriah dan lebih banyak sumbangan dapat diberikan kepada badan amal yang terpilih.

”Badan amal yang telah kami pilih juga bersetuju bantuan diberikan berbentuk wang berbanding barangan, maka ini adalah cara yang terbaik,” jelas Elyna yang juga akan bersama anak-anaknya Putri Elyca Faiza Casmad, 7, dan Mecael Effendi, 5.

Elyna juga sempat berkongsi perasaan tentang apa yang dilalui bersama ibu kepada anak-anaknya.

“Apa yang diajar ibu saya turunkan kepada anak-anak saya. Sangat seronok apabila melihat anak-anak saya mula menyimpan barangan permainan lama mereka ke dalam kotak dan menyatakan bahawa mereka mahu lakukan ini demi menolong orang yang kurang bernasib baik.

“Inilah antara pendidikan berharga yang kita belajar dari ibu bapa dan seterusnya diturunkan kepada anak-anak pula.

“Zaman sekarang memang mudah untuk spoil anak-anak sebab itu sebagai ibu dan bapa perlu mainkan peranan yang sepatutnya. Saya juga bertuah kerana ibu saya seorang nenek yang begitu mesra dengan empat orang cucunya. Malah beliau sentiasa mengunjungi kami untuk bermain dengan cucu,” ujar Elyna yang mengakui mewarisi sifat ibunya dalam mendidik anak.

« Previous PageNext Page »