70 peratus guru BI tak fasih

June 15, 2013 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

70 peratus guru BI tak fasih

Kuala Lumpur: Tujuh puluh peratus guru Bahasa Inggeris gagal menguasai bahasa itu dengan fasih berdasarkan ujian Cambridge Placement Test (CPT), tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching, berkata guru terbabit perlu meningkatkan penguasaan kerana tahap kefasihan yang rendah menyukarkan mereka mendidik pelajar untuk cemerlang dalam subjek berkenaan.

Hanya 30 peratus guru Bahasa Inggeris yang menyertai CPT mencapai tahap fasih, katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kepemimpinan Untuk Pelajar Pintar anjuran Yayasan Pintar, di sini semalam.
Kain Ching bagaimanapun tidak menyatakan jumlah sebenar guru subjek itu yang mengikuti CPT, peperiksaan yang turut tersenarai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Tahun ini, seramai 70,0000 guru opsyen Bahasa Inggeris diuji tahap kefasihan mereka.

Tingkat tahap kefasihan

Beliau berkata, kementerian sudah meminta semua guru yang gagal menguasai bahasa itu supaya berusaha meningkatkan tahap kefasihan mereka.

Katanya, ia penting untuk meningkatkan pencapaian pelajar mereka termasuk persediaan ke arah merealisasikan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2016.

Mengenai kaedah berkesan untuk meningkatkan penguasaan guru menggunakan bahasa itu, beliau berkata, ia termasuk melaksanakan amalan baik yang pernah dijalankan sebelum ini seperti hari berbahasa Inggeris dan minggu bahasa Inggeris.

Selain itu, sebelum perhimpunan harian bermula, guru terbabit boleh menyampaikan syarahan atau membuat persembahan drama menggunakan bahasa itu. Mereka juga boleh menubuhkan Kelab Bahasa Inggeris yang menggunakan sepenuhnya bahasa berkenaan sebagai perantara dalam semua kegiatan, katanya.

Mengenai desakan berterusan pihak tertentu supaya sekolah vernakular dimansuhkan, Kain Ching berkata, sekolah jenis itu juga sebahagian sistem pendidikan negara dan termasuk dalam pelaksanaan PPPM 2013-2025.

Kemuka cadangan

Katanya, setiap kumpulan atau individu berhak mengemukakan cadangan, namun ia perlu disusuli analisis sama ada sesuai dengan dasar ditetapkan kerajaan atau sebaliknya.

Seperti saya tegaskan sebelum ini, pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia menyukarkan kita melahirkan modal insan cemerlang menerusi sistem pendidikan berkualiti, katanya.

Sekolah satu aliran pupuk perpaduan

June 15, 2013 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

Kuala Lumpur: Sistem persekolahan satu aliran perlu diperkenalkan bagi membentuk perpaduan selain mewujudkan interaksi berbilang kaum terutama generasi muda.

Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata sistem persekolahan satu aliran itu juga memberi banyak manfaat kepada penduduk negara ini.

Hasil penelitian, hanya Malaysia yang menggunakan sistem pendidikan pelbagai aliran. Oleh itu, keperluan sistem pendidikan satu aliran itu penting bagi membentuk acuan kepada jati diri sekali gus mencapai aspirasi nasional.
Senario perkauman di negara ini semakin tegang, ter-utama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Justeru, sistem berkenaan boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian masa supaya pelaksanaannya diterima semua pihak, katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Kelmarin, 130 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam meminta kerajaan supaya mengkaji semula sistem persekolahan tanpa bersandarkan kepada bahasa ibunda.

Punca tak mengenali

Kewujudan 61 sekolah vernakular swasta dan 78 sekolah jenis kebangsaan (SJK) menjadi punca kepada rakyat berbilang kaum gagal mengenali dan menghormati antara satu sama lain.

Kok Seong berkata, polarisasi kaum agak ketara di sekolah apabila 90 peratus murid Melayu bertumpu di sekolah kebangsaan, SJK Cina (90 peratus murid Cina) manakala 100 peratus murid Tamil di SJK Tamil.

Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, berkata penubuhan sekolah vernakular tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi dinyatakan dalam dasar kerajaan.

Perkara 152, Perlembagaan memperuntukkan bahasa kebangsaan negara ini adalah bahasa Melayu. Bagaimanapun, peruntukan itu tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan.

Kajian terperinci diperlukan dengan mengumpulkan suara rakyat berkenaan isu itu supaya semua kaum terbabit dan mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan mereka, katanya.

Hormati sistem pendidikan terbuka negara

June 14, 2013 by  
Filed under Pendidikan

Comments Off

SHAH ALAM – Cadangan pemansuhan dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang hanya menerima kemasukan Bumiputera dianggap tidak menghormati sistem pendidikan terbuka negara.

Hamidzun Khairuddin
Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin

Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin berkata, Malaysia telah mengamalkan sistem berkenaan sejak dahulu lagi dengan membenarkan sekolah vernakular.

Menurutnya, UiTM juga lahir daripada sistem terbuka dan cadangan meminta universiti itu menukar dasar sama seperti tidak mahu sistem sekolah vernakular dilaksanakan.

“Negara kita mempraktikkan sistem pendidikan terbuka yang mengizinkan sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina (sekolah bahasa ibunda) di buka.

“Sama seperti UiTM yang menerima kemasukan Bumiputera, negara juga juga membenarkan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) dibuka yang 99 peratus pelajarnya adalah kaum Cina,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, sistem pendidikan seharusnya tidak dipolitikkan sebagai rasis kerana negara kita memiliki keunikan yang tersendiri.

“Mengambil contoh jiran negara terdekat, Singapura dan Indonesia mereka tidak mempunyai sistem pendidikan vernakular, tidak seperti negara kita memberi kebebasan yang melahirkan masyarakat pelbagai kaum yang aman dan harmoni,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidzun turut mencadangkan NGO, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) untuk menghantar memorandum menentang kekejaman terhadap masyarakat Islam di Israel sekiranya mahu memperjuangkan sistem Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman.

“Di Malaysia ini tiada diskriminasi pendidikan dan masing-masing ada diberi keistimewaan. Jadi, UiTM perlu diteruskan menjadi universiti Bumiputera seperti mana kita meneruskan sistem pendidikan terbuka,” katanya.

Next Page »