Kualiti hidup lebih baik

May 18, 2012 by  
Filed under General

Comments Off

PUTRAJAYA: 18 Mei – Hampir 200,000 penduduk luar bandar di seluruh negara menerima bekalan elektrik dan air, malah sehingga April tahun ini sepanjang 2,212 kilometer (km) jalan siap dibina, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurutnya, kemudahan itu sudah pasti dapat meningkatkan kehidupan rakyat di luar bandar, malah melalui jalan yang dibina sedemikian rupa membolehkan anak mereka sampai ke sekolah dalam waktu lebih singkat manakala hasil luar bandar boleh dibawa ke pusat pasaran.

“Satu pencapaian yang saya turut berbangga, bukan satu kerja mudah. Ini satu usaha amat baik berbanding mengadakan demonstrasi.

“Walaupun ada beberapa masalah, kita yakin kita boleh bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri. Saya yakin kita menepati sasaran walaupun ada sedikit sebanyak rintangan dihadapi,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada warga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Naib Presiden Umno mengajak rakyat menilai tindakan pihak pembangkang seperti mengadakan demonstrasi jalanan sehingga membabitkan kecederaan dan kerosakan harta benda, berbanding pemerintah sekarang yang membantu rakyat mengatasi masalah mereka.

“Demonstrasi dilakukan pihak pembangkang, terbalikkan kereta, pukul orang sampai berdarah, itukah langkah baik?…Berbanding dilakukan pihak pemerintah sekarang ini yang membantu mengatasi masalah rakyat. “Jadi, saya berharap rakyat mengukur kebaikan dilakukan pihak pemerintah dan akibat daripada tindakan pihak yang menganjurkan demonstrasi, sudah tentu tidak ada kebaikan kepada negara dan kesannya amat buruk,” katanya.

Katanya, demonstrasi seperti itu bukan kaedah terbaik bagi membolehkan suara kedengaran, sebaliknya ada banyak saluran lain sama ada melalui Parlimen, dewan negeri atau kaedah media sosial yang ada. Menurutnya, tindakan beberapa individu yang terjerit-jerit dengan perkataan Bersih ketika Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) berucap pada Program Sepetang Bersama Perdana Menteri di London, beberapa hari lalu, satu kebiadaban bertentangan dengan budaya timur.

“Satu kebiadaban yang tidak harus ditonjolkan…kalau ada perbezaan pandangan, Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) saya yakin seorang pemimpin sangat terbuka. “Takkan kita seorang rakyat Malaysia yang ada kewarasan dalam membuat pertimbangan mengganggu gugat cara biadab pada majlis diadakan,” katanya.

Beliau menegaskan, Umno bersikap terbuka dan tidak menjadikan tindakan tidak bermoral sebagai satu budaya kerana ia tidak selari dengan peradaban timur.

Sebagai contoh, katanya, tiada cacian dan laungan tidak senonoh daripada Umno terhadap Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang hadir ke pentas Umno di Perak, baru-baru ini, malah beliau tidak dihalau.

Guru ejen transformasi

May 18, 2012 by  
Filed under General

Comments Off

KUALA LUMPUR: 18 Mei – Warga pendidik perlu memastikan sekolah menjadi tempat untuk memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh, sebagaimana dihasratkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Beliau berkata, visi dibawa kementerian, ‘Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang’ sepatutnya memberi peringatan jelas kepada golongan pendidik bahawa sekolah memegang peranan besar dalam menggabungkan maklumat dan kepakaran untuk membentuk generasi berkualiti pada masa depan.

“Dalam hal ini, guru memegang peranan penting bukan saja sebagai pendidik malah turut menjadi ejen transformasi yang bertanggungjawab berinteraksi secara langsung dengan murid atau pelajar.

“Ia bersesuaian dengan tema sambutan Hari Guru 2012 yang meletakkan Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sufaat Tumin pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di Lembaga Peperiksaan di sini, semalam.

Menurut Abd Ghafar, keilmuan, kesungguhan dan kesabaran guru memberikan bimbingan serta didikan adalah ramuan yang perlu ada dalam diri seorang guru.

“Semua kriteria berkenaan penting dalam memastikan kejayaan anak didik mereka dan sebab itu, tahun ini kita mengadakan Anugerah Khas untuk diberikan kepada seorang guru yang berusaha gigih melaksanakan tuntutan serta tanggungjawab kerjayanya sebagai pendidik.

“Guru yang menerima anugerah ini merancang pelbagai program untuk meningkatkan penguasaan murid dalam pembelajaran serta melaksanakan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) hingga berjaya meningkatkan pemahaman pelajar dalam mata pelajaran diajar “Paling penting, guru berkenaan bukan saja gigih dan sedia berkorban, malah turut berjaya membudayakan konsep guru penyayang di kalangan pelajar,” katanya.

Sekiranya tahun lalu mengutamakan penghargaan kepada murid cemerlang, kali ini beliau berkata, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melakukan sedikit kelainan dengan memberi anugerah kepada sekolah yang berjaya mencapai prestasi cemerlang dalam SPM 2011.

“Kita harap inisiatif ini dapat menyuntik semangat semua warga sekolah erutama kepimpinan dan tenaga pengajarnya untuk bekerja lebih keras dalam satu pasukan demi menempa kecemerlangan sekolah,” katanya.

Eksport produk halal ke China

May 17, 2012 by  
Filed under General

Comments Off

PUTRAJAYA: 17 Mei – Pasaran produk halal Malaysia akan diperluaskan ke seluruh China apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengadakan kerjasama strategik dengan sebuah pusat perdagangan gergasi di negara berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata Malaysia menjadi negara pertama bekerjasama dengan Syarikat Perdagangan Produk Halal Antarabangsa San Bao Shuangxi yang berpusat di Xi’an, China itu.

Beliau berkata, 10 usahawan produk halal di negara ini menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan syarikat berkenaan selepas mengambil bahagian dalam Festival Makanan Halal Xi’an yang berlangsung sejak 12 hingga 18 Mei ini.

“Melalui perjanjian itu, usahawan Malaysia akan mendapat manfaat dengan berpeluang meluaskan pasaran produk halal yang mereka hasilkan ke seluruh China.

“Syarikat terbabit akan membuka 3,000 cawangan di seluruh China yang berperanan memasarkan lebih 30,000 jenis produk halal dari seluruh dunia termasuk dari Arab Saudi yang dijangka bermula tahun ini,” katanya di sini, semalam.

Noh berkata, peluang memasarkan produk halal kepada syarikat berkenaan tidak terhad kepada 10 usahawan itu saja sebaliknya terbuka kepada semua pengeluar yang mempunyai sijil halal.

“Pada peringkat tempatan, Bahagian Industri Asas Tani di kementerian akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menarik lebih ramai penyertaan usahawan produk halal negara ini memasarkan produk mereka ke China,” katanya.
Sementara itu, katanya masalah teknikal yang berlaku terhadap eksport sarang burung walit Malaysia ke China sudah selesai.

“Kerajaan China melalui Menteri Pentadbiran Am Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin (AQSIQ), Zhishu Ping, bersetuju menandatangani dokumen protokol dalam masa terdekat dan eksport sarang burung walit akan dapat diteruskan.

“Kita memberi jaminan bahawa kualiti sarang burung walit yang akan dieksport ke negara berkenaan sentiasa mematuhi piawaian yang dipersetujui dalam protokol yang akan ditandatangani itu,” katanya.

Beliau berkata, kementerian akan memastikan hanya pengusaha sarang burung walit yang memenuhi syarat ditetapkan dibenarkan eksport.

Selain itu, katanya lawatan ke China kelmarin juga membuka peluang kepada Malaysia menambah jumlah eksport durian sejuk beku sehingga 100 tan ke negara berkenaan.

“Sebelum protokol (berkaitan eksport durian sejuk beku) ditandatangani, nilai eksport RM92,000 tetapi selepas ia ditandatangani, jumlah eksport pada 2011 meningkat sehingga RM1.1 juta,” katanya.

Maut jatuh pangsapuri

May 16, 2012 by  
Filed under General

Comments Off

KUALA LUMPUR, 16 Mei : Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat empat rumahnya di Pangsapuri Villa Angkasa dekat Sentul di sini, malam kelmarin.

Kanak-kanak terbabit ditemui terbaring di kawasan letak kereta pangsapuri itu jam 9.45 malam oleh seorang penduduk sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan.

 Bagaimanapun, mangsa yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia selepas empat jam diberikan rawatan di hospital.

Difahamkan, ketika kejadian, ibu kanak-kanak itu sedang mandi, manakala mangsa bermain bersama adik bongsunya berusia tujuh tahun dalam sebuah bilik.

Sumber berkata, kanak-kanak itu memanjat tingkap di bilik berkenaan sebelum tergelincir dan terjatuh ke tempat letak kereta pangsapuri terbabit.

Katanya, sejurus kejadian itu, seorang lelaki yang juga jiran mangsa terdengar bunyi dentuman kuat di kawasan letak kereta sebelum bergegas melihat apa yang berlaku.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

6,000 akan dapat pekerjaan

May 15, 2012 by  
Filed under General

Comments Off

KUALA LUMPUR: 15 Mei – Lebih 6,000 pencari kerja yang mengunjungi Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BNYJF) di Stadium Nasional Bukit Jalil, berakhir kelmarin akan ditawarkan pekerjaan dalam tempoh satu hingga dua bulan.

Pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Hussin, berkata daripada 15,000 permohonan melalui dalam talian serta resume yang diterima, sebahagiannya dijangka ditawarkan mengisi kekosongan jawatan di pelbagai sektor, termasuk teknologi maklumat, perakaunan, kejuruteraan dan pengilangan.

Katanya, proses senarai pendek permohonan bagi mencari kelayakan tertentu berdasarkan rekod pencapaian serta kriteria calon sedang dinilai majikan.

“Melalui maklum balas (majikan), lebih lima kali ganda permohonan diterima (daripada tawaran) sepanjang tiga hari karnival dan mereka (majikan) memerlukan tempoh sebulan untuk membuat semakan bagi setiap permohonan.

“Malah penganjur akan membuat iklan semula di laman web www.bnyouthjobfair.my bermula minggu depan bagi memaklumkan pekerjaan yang masih kosong dan belum diisi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

BNYJF yang menawarkan peluang kerjaya menerusi penyertaan 40 gerai pameran dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta bersempena sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-66 itu berjaya menarik 33,000 pengunjung.

Karnival yang menggunakan slogan ‘Kerjaya, Pencapaian, Pelajaran dan Pemilikan Rumah (CASH)’ itu bukan saja memfokus dalam pencarian pekerjaan, malah merangkumi usaha pembangunan kerjaya, pelajaran dan peribadi generasi muda.

Nazir berkata, konsep utama yang diketengahkan BNYJF bukanlah hanya tertumpu kepada pencarian kerja saja, bahkan meliputi peluang menjana dan mencari pendapatan lain melalui perniagaan.

Penyertaan agensi kerajaan dan perbankan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Permodalan Nasional Berhad serta Bank Rakyat membantu memberi peluang kepada pencari kerja menceburi bidang perniagaan dan usahawan.

Sementara itu, Nazir berkata, selepas kejayaan BNYJF di Lembah Klang yang berakhir kelmarin, ia akan disusuli Kuching pada 7 hingga 8 Julai; Sabah (22-23 September), Pulau Pinang (6-7 Oktober), Perak (13-14 Oktober), Terengganu (2-3 November), Negeri Sembilan (16-17 November) dan peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 23 hingga 25 November ini.

Gangguan bekalan air di Kuala Pilah esok

May 14, 2012 by  
Filed under General

Comments Off

SEREMBAN: 14 Mei – Beberapa kawasan di Kuala Pilah akan mengalami gangguan bekalan air esok berikutan kerja pemasangan injap kawalan tekanan di Taman Satelite, Bahau.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Azlan Abdul Aziz, berkata gangguan yang bermula dari jam 8 malam hingga 2 pagi itu membabitkan Jalan Terusan, Bukit Gelugor, Juasseh Kapitan, Rembang Panas dan Taman Putra.

“Bekalan air akan disambung semula selepas waktu yang dinyatakan dan dijangka pulih secara berperingkat. Bagaimanapun, beberapa kawasan tinggi dijangka mengalami gangguan memandangkan pemulihan bekalan air sepenuhnya akan mengambil masa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pengguna yang memerlukan bantuan pada hari berkenaan boleh hubungi talian bebas tol 1-800-88-6982, katanya.

250,000 meriahkan sambutan

May 14, 2012 by  
Filed under General

Comments Off

KUALA LUMPUR: 14 Mei – Lebih 250,000 pengunjung berbilang kaum membanjiri pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, bagi memeriahkan Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-66 yang diadakan selama tiga hari, berakhir semalam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata daripada jumlah itu, 70 peratus pengunjung adalah golongan muda sekali gus membuktikan golongan terbabit semakin menerima parti berkenaan.

“Sasaran yang kita tentukan khususnya bagi menarik golongan muda sudah tercapai. Ini membuktikan hasrat parti bagi memastikan mereka mendalami perjuangan UMNO berjaya,” katanya pada sidang media pada hari terakhir sambutan itu, semalam.

Tengku Adnan berkata, karnival yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan berfaedah itu juga menjadikan kefahaman golongan muda mengenai perjuangan UMNO semakin jelas, sekali gus membetulkan tanggapan yang salah terhadap parti itu.

Beliau berkata, dengan sambutan memberangsangkan itu, UMNO akan meneruskan pelbagai aktiviti mendekati golongan itu supaya persepsi buruk terhadap parti dapat dihapuskan.

“Dakwaan mengata golongan muda tidak menyukai UMNO adalah tidak benar. Ini hanyalah cubaan pembangkang sebagai usaha menjauhkan golongan itu mendekati UMNO,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya yakin golongan muda kini semakin berani mendekati dan menerima perjuangan Barisan Nasional (BN) berikutan aktiviti yang dirancang menepati kehendak mereka.

Kerinchi perintis konsep K-Baru

May 13, 2012 by  
Filed under General

Comments Off

KUALA LUMPUR: 13 Mei – Rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi di sini, dipilih menjadi perintis bagi pelaksanaan konsep K-Baru iaitu projek pembangunan semula yang dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat bandar.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB), Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, berkata K-Baru akan dilaksanakan secara bersama antara kementerian itu dengan pihak swasta.

Sebagai permulaan katanya, unit rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi yang sebelum ini hanya mempunyai satu bilik akan ditransformasi kepada Kerinchi Residensi, sebuah penempatan pangsapuri moden tiga bilik dengan persekitaran lebih bersih dan selamat selain meningkatkan taraf sosial serta ekonomi pemilik.

“Setakat ini, KWPKB menerima banyak permintaan daripada penduduk yang mahu kawasan perumahan mereka menerima peluang sama untuk pembangunan semula, tetapi ia masih dalam proses perbincangan.

“Di bandar, tidak banyak program subsidi yang boleh dimanfaatkan masyarakat jadi kerajaan berusaha membantu dengan cara meningkatkan aset tunggal dimiliki penduduk melalui usaha pembangunan semula sebegini.

“Apa yang menggembirakan, apabila projek ini disempurnakan dan pemilik asal berpindah semula ke kediaman masing-masing dalam masa dua atau tiga tahun lagi, nilai kediaman mereka akan mencecah sekurang-kurangnya RM200,000 hingga RM300,000 pada masa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran K-Baru serta majlis pecah tanah Kerinchi Residensi di tapak rumah pangsa empat tingkat, Kampung Kerinchi, di sini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU) KWPKB, Datuk Ahmad Phesal Talib; Timbalan KSU KWPKB, Datuk Adnan Md Ikhsan dan Pengarah Suez Domain Sdn Bhd (Suez Domain), Abdul Hadi Ahmad serta Yasran Hussin.

Pada majlis sama, Raja Nong Chik turut mengumumkan ‘durian runtuh’ kepada penduduk apabila pemaju bersetuju mempertingkatkan keluasan Kerinchi Residensi yang sebelum ini hanya 882 kaki persegi kepada 900 kaki persegi.

Pemaju, Suez Domain katanya, turut bersetuju membina sebuah dewan serbaguna bagi kegunaan penduduk Kampung Kerinchi, manakala KWPKB akan memperuntukkan RM20,000 bagi menambah baik kelengkapan di dewan berkenaan.

1,000 kerja untuk diisi

May 12, 2012 by  
Filed under General

Comments Off

KUALA LUMPUR: 12 Mei – Pemuda Barisan Nasional (BN) menyasarkan 10,000 pencari kerja bakal mengunjungi Karnival Kerjaya Pemuda BN 2012 (BN YJF12) yang diadakan selama tiga hari bermula semalam, di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena ulang tahun Umno ke-66.

Pengarah BN YJG12, Mohd Yassin Mohd Ismail berkata karnival itu menawarkan lebih 1,000 jawatan kosong sama ada oleh kerajaan atau swasta menerusi 40 gerai pameran yang dibuka kepada pengunjung karnival terbabit.

Katanya, ia adalah satu landasan terbaik untuk pencari kerja bagi mendapatkan pekerjaan dan menyeru semua lepasan graduan serta yang masih belum mendapat kerja supaya tidak melepaskan peluang mengunjungi karnival itu.

“Untuk kali ini, kami menyediakan kemudahan baru iaitu ‘online profiling’ (profil atas talian) untuk pencari kerja dan berharap sistem berkenaan dapat membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan dengan lebih mudah.

“Dalam online profiling ini terdapat 600 syarikat yang berdaftar dengan BN YJF12. Fungsinya ialah untuk menyesuaikan pekerjaan dengan kelayakan pemohon dan ini akan membolehkan pencari kerja tahu syarikat mana yang menawarkan kekosongan jawatan.

“Karnival ini akan dibuka mulai jam 10 pagi hingga 10 malam dan kemasukan adalah percuma. Pencari kerja terutamanya lepasan graduan diharap tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi karnival ini,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengunjung yang hadir, Nabil Shah 22, berkata karnival seumpama itu dapat menjimatkan masanya untuk mencari kerja kerana banyak syarikat yang mengambil bahagian.

Sebulan ingati Sudirman

May 12, 2012 by  
Filed under General

Comments Off

KUALA LUMPUR: 12 Mei – Sumbangan seni penghibur nombor satu Asia, Datuk Sudirman Arshad selama lebih dua dekad terus dihargai menerusi penganjuran kempen Aku Sudirman.

Kempen ini berlangsung selama sebulan bermula 11 Mei lalu sehingga 11 Jun ini. Ia dianjurkan Astro Holdings Sdn Bhd dengan sokongan Sinar FM sebagai stesen radio rasmi bersama Era FM dan Harian Metro selaku rakan media.

Naib Presiden, Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh atau Khai berkata, pengisian atur cara kempen itu merangkumi pelbagai aktiviti seperti tayangan filem, program TV, album muzik, klip video dan peraduan.

“Filem baru, Hoore! Hoore! arahan Saw Teong Hin akan membuka lembaran kempen ini apabila ia ditayangkan di pawagam pada 24 Mei ini.

“Astro memainkan tanggungjawab besar menghiburkan penonton dengan kandungan hiburan bermutu dan menerusi kempen ini diharap dapat menyuntik semangat legenda yang mengharumkan nama negara pada jiwa anak muda generasi masa kini,” katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan di sini semalam.

Khai berkata, pemilihan Sudirman diraikan dalam kempen itu dibuat selepas kejayaan kempen Di Mana Kan Ku Cari Ganti mengenang Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee yang dianjurkan pada 2010.

“Astro menerusi saluran Astro Ria, Prima, Awani dan Hitz TV akan menayangkan program mengenai Sudirman seperti Di Sebalik Pembikinan Hoore! Hoore!, Trek Selebriti Sudirman, Cerita Artis Malaysia, Konsert Hoore Hoore Aznil, tayangan filem Kami, Out and About dan dokumentari.

“Konsert Kenangan Sudirman akan diadakan secara percuma di Stadium Bolasepak Cheras pada 3 Jun ini.

“Penerbitan album interpretasi lagu-lagu Sudirman juga akan diterbitkan dengan kerjasama Warner Music Malaysia yang dijangka berada di pasaran pada penghujung bulan ini,” katanya.

Dalam memeriahkan atur cara kempen, Sinar FM akan memainkan lagu Sudirman selama 24 jam pada 25 Mei ini.

Pada acara pelancaran itu, hadir sama Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan dan Pengurus Besar Astro Shaw, Gayatri Su-lin Pillai.

Next Page »