Kutuk penembak pesawat

July 25, 2014 by  
Filed under Berita Bergambar

Comments Off

KUALA LUMPUR 25 Julai – Mesyuarat Kementerian Kesatuan Eropah (EU)-ASEAN (EU-ASEAN) kali ke-20 di Brussels, Belgium yang berakhir semalam mengutuk sekeras-kerasnya penembakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Khamis lalu yang membunuh kesemua 298 orang di dalamnya.

Rakyat Malaysia, Dr. Nazam Dzolkarnaini memegang sepanduk Justice for MH370 & MH17 semasa majlis pembukaan Sukan Komanwel kali ke-20 di Glasgow, semalam.

 

Berikutan itu, EU-ASEAN mengalu-alukan langkah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggunakan Resolusi 2166 badan dunia berkenaan susulan insiden MH17 dan berharap ia diaplikasikan sepenuhnya.

“Semua menteri melahirkan rasa terkejut dan marah terhadap kematian tragik kesemua 298 orang daripada pelbagai negara di dalam penerbangan itu. Mereka merakamkan rasa simpati dan takziah kepada semua yang terjejas terutama ahli keluarga mangsa.

“Mesyuarat berkenaan mendesak satu siasatan antarabangsa dibuat segera, penuh, menyeluruh, telus dan bebas berpandukan garis panduan penerbangan awam serta meminta semua pihak yang berkepentingan di kawasan nahas memberi kerjasama sepenuhnya,” kata EU-ASEAN dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini.

Menurut EU-ASEAN, semua pihak perlu memberi kerjasama penuh merangkumi jaminan keselamatan, kawasan nahas yang tidak diganggu serta sokongan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan pasukan siasatan antarabangsa yang dilantik.

Dalam kenyataan itu, EU-ASEAN meminta pasukan bersenjata yang menguasai lokasi nahas perlu dihalang daripada melakukan pemeriksaan untuk memastikan integriti kawasan tersebut tidak dicemari oleh perkara-perkara asing.

“Kami menegaskan, urusan pengeluaran kesemua mayat mangsa dijalankan segera dengan penuh bermaruah, rasa hormat dan sikap profesional oleh pihak berwajib.

“Semua aktiviti ketenteraan termasuk oleh kumpulan bersenjata dihentikan segera di lokasi berkenaan demi keselamatan pasukan siasatan dan kesemua pihak digesa memberi bantuan sehingga urusan itu selesai,” katanya.

Menurut EU-ASEAN, pihak yang menjadi punca terhadap nahas MH17 perlu dibawa ke muka pengadilan dan dibicarakan untuk memastikan mereka bertanggungjawab terhadap tindakan tersebut.

Gabungan tersebut menambah, nahas MH17 adalah bukti pelbagai pertikaian yang berlaku di seluruh dunia memberi ancaman kepada keselamatan sejagat serta boleh meragut nyawa yang tidak berdosa dalam kejadian tragik dan tidak masuk akal.

“Kami menyeru semua pihak menghentikan kematian yang tidak masuk akal ini. EU-ASEAN menyeru gencatan senjata segera daripada semua pihak dan usaha bersungguh-sungguh untuk menghentikan konflik di kawasan itu,” katanya.

Istana Terbuka Seri Menanti 1 Syawal

July 24, 2014 by  
Filed under Berita Bergambar

Comments Off

Picture 512

SEREMBAN, 24 Julai : Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mengadakan Istana Terbuka di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada Aidilfitri pertama.

Setiausaha Sulit baginda, Mohd Zahirin Adnan berkata, majlis akan berlangsung dari pukul 10.30 pagi hingga 2 petang.

Rakyat adalah dijemput ke majlis tersebut.

image

“Baginda turut dijadual berangkat ke Masjid Diraja Tuanku Munawir untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri pada sebelah pagi sebelum berangkat ke Makam Diraja bagi menyempurnakan majlis tahlil,” katanya.

Sebulat suara kutuk tembak MH17

July 24, 2014 by  
Filed under Berita Bergambar

Comments Off

KUALA LUMPUR 24 Julai – Dewan Rakyat hari ini sebulat suara menyokong usul mengutuk tindakan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di timur Ukraine pada 17 April lalu.

ANGGOTA Parlimen bertafakur sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan usul mengenai tragedi malang yang menimpa pesawat MH17 dalam Persidangan Khas Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas oleh pihak yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 di timur Ukraine, minggu lepas. – BERNAMA

 

Usul tersebut dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Persidangan Khas Dewan Rakyat hari ini.

Seramai 22 Ahli Parlimen daripada pihak penyokong kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menggulung perbahasan turut mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang membahaskan dan menyokong usul yang dibawa oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata, Ahli-ahli Parlimen tanpa mengira agama, bangsa atau haluan politik bersepakat menyokong usul tersebut kerana nahas yang menimpa pesawat MH17 adalah tragedi berdarah yang amat memilukan dan menyayat hati seluruh rakyat.

“Seluruh rakyat mengecam sekeras-kerasnya perbuatan jenayah kejam lagi tidak berperikemanusiaan menjatuhkan pesawat MH17 oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kita bersatu dalam kesedihan mengenangkan nasib para penumpang dan anak kapal pesawat malang berkenaan,” katanya.

Muhyiddin menambah, kerajaan telah menubuhkan pasukan penyiasat khas yang dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk membolehkan siasatan dimulakan segera.

Beliau memberitahu, pada masa sama, kerajaan sedar bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan atau tangkapan di mana-mana negara lain.

“Siasatan ke atas perkara ini dan bidang kuasa ke atas penjenayah tersebut hanya akan dapat dilaksanakan sekiranya terdapat kerjasama serta komitmen sebenar daripada negara-negara dan pihak-pihak yang berkaitan,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi tujuan itu, Malaysia akan menggunakan undang-undang jenayah yang mempunyai bidang kuasa jenayah luar wilayah termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Penerbangan 1984.

Bagi menjawab celahan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) yang bertanya sama ada terdapat konsesi dalam rundingan di antara kerajaan Malaysia dan kumpulan pemberontak pro-Rusia di Ukraine, Muhyiddin menjelaskan, tiada syarat tambahan selain daripada tiga persetujuan yang dicapai menerusi rundingan tersebut.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beritahu kepada saya tiada apa-apa. Tidak ada lebih, tidak ada kurang.

“Tiada apa-apa erti lain seperti tuntutan dan seumpamanya, itulah yang diterima beliau daripada pemimpin kanan kumpulan pemberontak, Alexander Borodai,” jelasnya.

Ditanya apa yang boleh dikatakan beliau terhadap pihak yang terbukti melakukan jenayah menembak MH17, kata Muhyiddin: “Tiada maaf bagimu.”

Tragedi MH17 itu mengorbankan 298 penumpang, termasuk anak kapal.

« Previous PageNext Page »