Ahli sains kanan universiti kita ke New York
May 18, 2012 by Dudi
Filed under Berita Bergambar
Comments Off
NEW YORK, 18 Mei – LIMA universiti dan institusi penyelidikan negara akan menempatkan ahli sains kanan di pusat kecemerlangan dan industri di New York, Amerika Syarikat untuk mendedahkan mereka supaya menjadi ahli sains terkemuka dunia.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata program itu juga memberi motivasi kepada rakyat Malaysia supaya menjadi ahli sains terkenal.
“Kita juga menjemput Nobel Laurette dari Amerika Syarikat dengan kerjasama Akademi Sains New York (NYAS) dan State University of New York (SUNY) untuk menjadi tamu Laurette di universiti penyelidikan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, universiti juga akan meletakkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat permulaan yang diwujudkan semua universiti penyelidikan negara sebagai pelatih di pusat berkenaan untuk mengkomersialkan produk masing-masing.
Katanya, CEO syarikat itu diberi peluang menimba ilmu, di samping menjalin hubungan dengan masyarakat perniagaan.
“Dengan ini mereka akan membina kerjasama strategik bagi meninjau pasaran dan peluang untuk produk mereka di Amerika Syarikat. Semua ini bagi mencapai matlamat pelan strategik pengajian melahirkan universiti kelas dunia dan menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi.
“Kementerian akan memberi fokus untuk membawa hasil penyelidikan universiti itu ke pasaran,” katanya selepas mesyuarat kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam.
Antara universiti penyelidikan terbabit adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan NYAS, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Universiti Columbia, Pusat Kajian Mapan Global (CGSS) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Institut Bumi Universiti Columbia.
Khidmat bakti pelatih PDK amat disanjung
May 17, 2012 by Ainaa
Filed under Berita Bergambar, Seiring Sejalan
Comments Off
RANTAU, 17 Mei – Seramai 29 ahli Pusat Dalam Komuniti (PDK) menerima elaun yang telah disampaikan oleh Penasihat PDK Pekan Rantau, Raja Datin Seri Hajah Salbiah Bt Tengku Nujumudin di Pusat PDK, Taman Sri Anggerik, Rantau, pagi tadi.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua PEKERTI Negeri Sembilan, Datin Paezah Bt Ismail, Pegawai Penyelaras PDK Daerah Seremban, En. Ahmad Tajuddin Bin Jamaluddin, Pengerusi PDK Pekan Rantau, Puan Norizan Bt Ibrahim dan Timbalan Pengerusi PDK Pekan Rantau, En. Shamsudin Bin Khamis.
Penasihat PDK Pekan Rantau berkata, Pusat PDK yang diuruskan oleh para pelatih ini banyak memberikan khidmat bakti dan tunjuk ajar kepada anak-anak istimewa dan di sini juga tempat untuk mereka bergaul sesama sendiri.
Tambah beliau lagi, pihak tabika Kemas juga mempunyai tenaga pengajar terlatih untuk memberi tunjuk ajar dalam kerja tangan ataupun kraftangan jika pihak PDK memerlukan khidmat mereka. Ini juga dapat memberi kelainan dalam pembelajaran anak-anak.
Beliau turut bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri untuk melaksanakan sebuah rumah dua tingkat yang akan dijadikan sebagai pusat latihan kesemua PDK dan bangunan itu turut akan menjadi perpustakaan sebagai rujukan kepada kesemua PDK.
Beliau turut menasihati ibubapa supaya sentiasa membawa anak-anak ke Pusat PDK ini dansekaligus ianya menunjukkan bahawa masyarakat prihatin terhadap mereka.
“Pihak AJK ada mencadangkan untuk mengadakan majlis keramaian menyambut kelahiran anak-anak ini, maka kita akan adakan pada tahun ini dan menjemput semua PDK Negeri Sembilan untuk meraikan bersama,” ujar beliau.
Dalam majlis tersebut beliau turut memotong kek bersama-sama anak-anak istimewa sempena meraikan majlis penyampaian elaun tersebut.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan cenderahati kepada para pelatih dan ahli-ahli AJK PDK Pekan Rantau.
Oleh : Ainaa@n9kini.com
Malaysia bantu tonjol imej OCIS
May 17, 2012 by Ainaa
Filed under Berita Bergambar
Comments Off
LONDON: 17 Mei – Datuk Seri Najib Razak menghadiri majlis meraikan penganugerahan Piagam Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) sebagai tetamu Putera Wales, Putera Charles, kelmarin.
Perdana Menteri yang diiringi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Seri Zakaria Sulong adalah antara 150 tetamu kehormat dalam kalangan negara Islam dunia.

NAJIB berbual dengan Putera Charles pada majlis meraikan penganugerahan Piagam Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford, London, kelmarin.
Antara tetamu dari Malaysia, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan isteri, Tuanku Zara Salim, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; Felo OCIS, Datuk Dr Afifi Alkiti dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Perdana Menteri adalah anggota majlis tertinggi pusat berkenaan, manakala Putera Charles penaung yang aktif serta menggalakkan dialog manakala Raja Nazrin dan Ahmad Sarji masing-masing pemegang amanah OCIS.
Majlis berkenaan berlangsung dalam suasana santai tanpa istiadat rasmi tempat piagam itu dipamerkan.
Najib yang pernah menyampaikan ucap utama bertajuk ‘Gabungan antara Kesederhanaan dan Ketamadunan’ di pusat itu tahun lalu berkata, penganugerahan itu adalah satu pengiktirafan dan penghormatan kepada Malaysia.
“Kita menyokong OCIS dari segi kewangan dan menyumbang bahan dan tenaga (untuk pembinaan pusat itu) kerana percaya kita perlu menonjolkan imej sebenar Islam dan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang turut mempertahankan hak mereka yang bukan Islam.
“Kita perlu menonjolkan negara kita sebagai sebuah negara yang progresif dan moden dan OCIS membolehkan kita berbuat begitu,” katanya pada sidang media, semalam.
Malaysia adalah antara penyumbang utama untuk pembinaan bangunan baru OCIS, tempat auditorium utamanya dihiasi ukiran dari Malaysia.
Anugerah Piagam Diraja diberi Raja-Raja negara ini mengikut saranan Dewan Penasihat sejak sejak abad ke-13. Ia disampaikan kepada institusi dan badan yang bekerja demi kepentingan awam dan yang dapat menunjukkan keunggulan, kestabilan dan rekod pencapaian yang kukuh dalam bidang masing-masing.
OCIS yang diasaskan pada 1985 adalah pusat bebas yang diiktirafkan di Universiti Oxford. Pusat ini menggalakkan pemahaman yang lebih baik terhadap budaya dan peradaban Islam dan masyarakat Islam menerusi penyelidikan, pengajaran dan penerbitan.
Sokong atau bantah patuh undang-undang
May 16, 2012 by Dudi
Filed under Berita Bergambar
Comments Off
LONDON, 16 Mei : Rakyat mempunyai hak menyokong atau membangkang kerajaan tetapi perlu mengikut undang-undang kerana sikap tidak menghiraukan kedaulatan undang-undang boleh mencetuskan huru-hara di dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau boleh menghargai perbezaan pendapat dan pandangan, tetapi tidak akan menghormatinya jika pihak tertentu melanggar undang-undang yang menjadi satu-satunya perlindungan untuk masa depan Malaysia.
“Anda boleh ada kebebasan individu tetapi mestilah tidak menjejaskan kepentingan majoriti,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 rakyat Malaysia yang menghadiri program Sepetang Bersama Perdana Menteri, di 02 Arena di timur London, malam kelmarin.
Selepas ucapan dalam suasana santai itu, warga Malaysia di United Kingdom, termasuk pekerja, keluarga serta pelajar, berpusu-pusu untuk beramah mesra dan bersalaman dengan Perdana Menteri dan Datin Seri Rosmah Mansor.
Hadir sama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Seri Zakaria Sulong yang menganjurkan majlis itu dan isterinya, Datin Seri Hazizah Ahmad.
Najib juga menyatakan rasa bangga dan gembira dengan kehadiran ramai rakyat Malaysia pada majlis itu yang menurutnya jelas mencerminkan gagasan 1Malaysia. Malah, beliau amat terharu dengan kesanggupan mereka mengharungi perjalanan jauh untuk bersamanya dan Rosmah.
Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan sedang mengusahakan yang terbaik untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara maju sepenuhnya menjelang 2020.
Katanya, kini adalah detik penting dalam sejarah negara kerana ini kali pertama transformasi dilakukan secara besar-besaran yang bukan hanya dari segi ekonomi, malah sosial dan politik.
Beliau berkata, Malaysia kini menjadi negara berpendapatan sederhana dan memiliki pelbagai infrastruktur terbaik, berbanding suatu ketika dulu sebagai negara tidak dikenali, berasaskan pertanian dan agak miskin.
Najib ajak perantau berbakti
May 15, 2012 by Ainaa
Filed under Berita Bergambar
Comments Off
LONDON: 15 Mei – Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK) untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara walaupun berada jauh dari tanah air.

NAJIB berucap pada majlis pelancaran FBNUK di London, semalam dalam rangka lawatan kerja dua hari ke UK.
Perdana Menteri berkata, sumbangan itu boleh dibuat sama ada pulang ke Malaysia atau berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan institusi kebangsaan dari pangkalan mereka di Britain.
“Malaysia masih mempunyai ruang untuk rakyat kita yang menetap di luar negara, tidak kira siapa mereka dan walau apa cara sekali pun mereka mahu menyumbang. Setiap orang ada peranan masing-masing, setiap orang ada peranan untuk melakukan perubahan dan setiap orang boleh maju serta makmur.
“Sebagai negara muda, perjalanan kita ke masa depan pasti amat menyeronokkan. Jadi, saya menggesa rakyat kita sentiasa berhubung rapat dengan Malaysia, ikuti setiap perkembangan yang berlaku di negara dan bersedialah untuk memainkan peranan anda,” katanya dalam ucap utama pada majlis pelancaran Rakan Barisan Nasional UK (FBNUK) di Dewan Negara di sini, semalam.
Turut hadir Presiden FBNUK yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI), Datuk Michael Yeoh; bekas Pengerusi Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Munir Majid; Pengerusi Kelab Bola Sepak Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.
Perdana Menteri tiba di sini pagi semalam dalam rangka lawatan kerja dua hari ke UK. Selain melancarkan FBNUK, Najib akan menghadiri majlis resepsi yang dihoskan Putera Wales, Putera Charles sempena penganugerahan Piagam Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) dengan Perdana Menteri adalah ahli majlis tertingginya.
Penganugerahan Piagam Diraja itu kepada OCIS adalah signifikan kerana menandakan kali pertama sebuah institusi Islam di UK dianugerahkan dengan status berprestij itu.
Dalam ucapannya, Najib berharap FBNUK dapat membantu bukan saja mewujudkan hubungan lebih erat antara kedua-dua negara, tetapi sebagai sumber untuk menghebahkan maklumat yang tepat kepada rakyat Malaysia di UK.
“Saya teruja kerana ada ramai sahabat BN di UK (FBNUK). Seperti semua persahabatan, ia perlu dipupuk dan diperkukuhkan. Saya ingin mengajak FBNUK menyertai perjalanan kami menjadikan Malaysia satu kejayaan.
“Saya juga berharap FBNUK menyebarkan cerita benar mengenai Malaysia, keadaan sebenar negara. Ketika ini banyak maklumat tidak benar disebarkan sehingga menjejaskan imej Malaysia,” katanya.
Mengimbas hubungan Malaysia-Britain, beliau berkata, sejak Syarikat Hindia Timur membuka cawangannya di Pulau Pinang lebih 200 tahun, Malaysia mempunyai jaringan dagangan kukuh dengan UK dan diperkukuhkan lagi dengan lawatan Perdana Menterinya, David Cameron ke Malaysia, bulan lalu.
Perdana Menteri juga menghargai sokongan rakyat UK kepada Ashraf Haziq, pelajar Malaysia yang cedera dan dirompak ketika rusuhan di England, tahun lalu.
“Insiden itu membuktikan kedua-dua negara bukan saja bersama dalam nilai kita, malah turut komited terhadap keluhuran undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Yeoh berkata, objektif penubuhan FBNUK adalah mengelak salah tafsir terhadap Kerajaan Malaysia dan mempromosi inisiatif transformasi Perdana Menteri, selain mewujudkan hubungan lebih erat antara kedua negara dalam perniagaan dan ekonomi.
PM bubar Parlimen minggu ini, PRU 9 Jun?
May 13, 2012 by Dudi
Filed under Berita Bergambar
Comments Off
SHAH ALAM, 13 Mei – Selepas spekulasi lebih setahun, mengambil kira ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan ulang tahun Umno ke-66 kelmarin, teka-teki terbaru menyebut Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, esok, untuk mendapatkan perkenan membubarkan Parlimen.

Datuk Seri Najib Tun Razak
Malah, laporan-laporan blog dan SMS disebar luas mengatakan Parlimen akan dibubarkan Selasa ini manakala penamaan calon akan berlangsung pada 26 Mei dan diikuti dengan tarikh pengundian pada 9 Jun – dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Ramalan itu turut mengambil kira cuti sekolah dua minggu bermula 28 Mei.
“Berdasarkan maklumat yang saya terima, Perdana Menteri akan bubar Parlimen Isnin,” kata seorang pemimpin kanan parti komponen kepada Sinar Harian, semalam.
“Nampak gaya Perdana Menteri lebih yakin ekoran sambutan diberikan oleh ahli-ahli Umno,” katanya lagi.
Ketika ditanya Najib akan berada di United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk menghadiri majlis konvokesyen dan kemudian bercuti, pemimpin itu menambah, “itu satu rutin, ini perkara lebih penting.”
Apabila diajukan soalan yang sama, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional di Parlimen, Datuk Bung Moktar Radin berkata, pihaknya kini berada di paras “cukup bersedia” untuk menghadapi PRU13.
“Saya tidak terkejut jika Parlimen dibubarkan minggu depan, apa pun keputusan akhir di tangan PM,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.
Beliau yang turut menghadiri sambutan ulang tahun ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil berkata, mesej perhimpunan kali ini menunjukkan “pilihan raya sudah semakin dekat.”
“Memang pilihan raya sudah dekat. Hanya tunggu untuk mendengar semboyan PRU,” katanya lagi.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, “berdasarkan apa yang saya dapat lihat semalam, nampaknya Umno kini sudah bersedia.”
Ibrahim juga berkata beliau tidak hairan jika Najib, selaku Pengerusi BN memutuskan untuk membubarkan Parlimen minggu ini.
Penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian yang seiring dengan pandangan beliau pula berkata: “PRU13 akan diadakan sebelum Ramadan… awal bulan Jun.”
Bagaimanapun Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melihat mesej bahawa Najib akan menghadap Agong “hanya satu gurauan”.
“Apapun gurauan ini juga boleh menjadi realiti (diadakan PRU13 lebih awal), apapun boleh terjadi,” kata pemimpin dari Sarawak itu.
Menurut Wan Junaidi, selepas menyelesaikan siri isu dan masalah, Najib mempunyai satu lagi perkara penting untuk ditangani iaitu projek nadir bumi Lynas di Pahang.
“Saya fikir Najib mahu menyelesaikan kesemua masalah yang ada dengan baik. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen hanya akan membentangkan laporan pada awal Julai ini… jadi, saya fikir paling cepat pun awal pada Julai sebelum Ramadan atau selepas Aidilfitri, sekitar September,” kata beliau.
- Sinar Harian
Kita sudah bersedia – Najib
May 12, 2012 by Ainaa
Filed under Berita Bergambar
Comments Off
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil gegak gempita malam semalam apabila seakan-akan telah membuat keputusan mahu membubarkan Parlimen.
Ketika menyifatkan Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-66 itu begitu hebat dengan kehadiran kira-kira 120,000 orang dan akan diingati dalam lipatan sejarah negara, Presiden UMNO itu berkata, beliau seperti merasakan mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.
Ketika hadirin yang terdiri daripada ahli UMNO termasuk ketua-ketua parti komponen, badan-badan bukan kerajaan serta para perwakilan asing dan wakil media bersorak mendengar ungkapan beliau, Najib kemudian ‘meredakan’ keadaan dengan menarik perhatian hadirin supaya menafsir tujuh sebab sama ada Pilihan Raya Umum ke-13 perlu diadakan dalam waktu terdekat atau tidak.
“Baik…nak ada pilihan raya esok, bulan Jun ke…bila-bila bulan…tahun depan…tak boleh (tahun depan)? kita dah bersedia! kita dah bersedia! kita dah bersedia!, boleh menang! boleh menang! boleh menang!.
“Tuan-tuan dan puan-puan, saya bagi tujuh sebab…sebab tujuh dekad UMNO dah berjasa pada negara.
“Kalau kita nak pilihan raya nanti bila sampai masanya, kita perlu buat perhitungan. Ada tujuh prinsip yang kita boleh buat pertimbangan,” kata beliau ketika berucap menyempurnakan majlis sambutan tersebut.
Pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan veteran parti termasuk bekas Presiden, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu, Najib mengungkapkan satu persatu tujuh prinsip berkenaan yang perlu direnung oleh rakyat Malaysia sebelum Parlimen boleh dibubarkan, iaitu:
1) Antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, mana satu kepimpinan yang boleh dipercayai dan janjinya ditepati. Siapa sudah bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), Baucar Buku 1Malaysia kepada mana-mana sekolah, siapa sudah beri (bonus atau durian runtuh) kepada peneroka Felda.
Siapa sudah buat Klinik Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, jalan luar bandar dan dalam bandar, siapa sudah buat sekolah. Siapa sudah buat segala-galanya…bukankah BN.
Namun, sebelum saya (Perdana Menteri) pergi ke prinsip kedua, saya nak tuan-tuan nyatakan siapa yang ‘pegang kepala’ Kampung Buah Pala (di Pulau Pinang) yang janji pakatan pembangkang, kalau mereka menang, mahu kekalkan kampung berkenaan.
Siapa pula buat 22 janji di Selangor tetapi sebahagian besarnya gagal ditunaikan. Siapa yang gagal uruskan soal air?
2) Yang kedua, kalau tentu (parti itu) nak dipilih, tentukan kita pilih hari esok lebih baik dari hari ini. Siapa yang boleh beritahu ini?
3) Siapa boleh pelihara kedaulatan undang-undang, kesucian Islam, keluhuran Perlembagaan, institusi raja-raja serta hak-hak kaum lain.
4) Siapa boleh uruskan ekonomi kita yang sangat baik ini serta membawa pertumbuhan yang memberangsangkan?
5) Siapa yang boleh menjamin keharmonian dan perpaduan (kaum) berkekalan?
6) Siapa yang boleh membuat pembaharuan secara tersusun. Siapa yang membawa transformasi kepada negara ini?
7) Siapa yang boleh tentukan kemakmuran negara sehingga hari ini dengan izin Allah boleh menjadi negara yang berpendapatan tinggi?
Dalam hal ini, Presiden UMNO itu menarik perhatian hadirin pada sambutan itu supaya menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai saksi di mana semua mereka berkumpul untuk bersama-sama memupuk keyakinan menghadapi pilihan raya umum.
“Siapa kata dokongan orang Melayu pada UMNO sudah menurun sedangkan hari ini kita menyaksikan sokongan kepada kita semakin meningkat.
“Saya nak tanya, apabila kedudukan orang Melayu dipersoal, Islam diasak, bila institusi raja-raja diketepikan, siapa yang pertahankannya.
“Sesungguhnya UMNO sudah berjalan begitu jauh, setiap inci tanah sudah dimakmurkan. Jangan sesekali kita biarkan kita dibinasakan. Biar putih tulang, jangan biar rakyat dan bangsa dibinasakan, kelak anak cucu terbangsat hidup mereka,’’ katanya.
Kepada hadirin dan ahli UMNO seluruhnya, Najib berpesan: “Jangan terpalit damak beracun, sandiwara lawan yang tempah kegagalan.
“Ayuhlah, jangankan gerimis, hujan pun kita akan redah, ribut taufan kita akan harungi, jangankan air bah, gelombang pun kita akan harungi… jangankan gerhana, gelap gelita pun kita harungi. Biar berdentum guruh di langit, hidup UMNO untuk Barisan (Nasional),” tegasnya.
Gelombang Merah landa Stadium Nasional
May 11, 2012 by Ainaa
Filed under Berita Bergambar
Comments Off
KUALA LUMPUR: 11 Mei – Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini dilanda “gelombang merah” apabila lebih 100,000 ahli UMNO berpakaian merah berhimpun bagi sambutan ulang tahun ke-66 UMNO yang menjadi perhimpunan terbesar parti itu sejak penubuhannya pada 1946.
Sejak tengah hari, “gelombang merah” sudah dilihat dari luar stadium menuju ke gelanggang sambutan bagi sama-sama menyertai pemimpin tertinggi parti yang sudah lama memperjuangkan nasib rakyat.
Kira-kira 2,800 buah bas dari seluruh pelosok negara yang membawa ahli UMNO mula tiba sejak pagi ini untuk mendengar sendiri amanat Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
Acara besar-besaran yang julung kali diadakan itu turut diserikan dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang tiba di stadium itu diarak masuk dengan menaiki “buggy” sambil diiringi Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Turut sama menyaksikan detik bersejarah perhimpunan gergasi UMNO malam ini adalah pemimpin parti politik luar negara termasuk dari China, Singapura dan Sri Lanka.
Acara sambutan ulang tahun itu yang bertemakan “Pembela Rakyat” dimulakan dengan larian bendera UMNO, “Sang Saka Bangsa” sejak 1 Mei lalu yang diarak dari utara dan selatan Semenanjung serta Sabah.
Bendera itu yang tiba di Ibu Pejabat UMNO Selangor kelmarin, disimpan sehari sebelum diserahkan kepada UMNO Wilayah Persekutuan pada hari ini untuk diarak ke destinasi terakhir larian di Stadium Nasional.
Selangor dipilih sebagai pusat berakhirnya larian bendera dari empat penjuru iaitu Perlis, Sabah, Kelantan dan Johor kerana negeri tersebut kini tapak kebangkitan semula UMNO dan BN di seluruh negara.
Kira-kira 500,000 ahli UMNO seluruh negara mengambil bahagian dalam larian bendera itu.
Bendera itu diserahkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang diiringi Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin kepada Najib.
Stadium Nasional Bukit Jalil seterusnya bergema dengan nyanyian lagu UMNO, “Bersatu Bersetia Berkhidmat” serentak dengan upacara menaikkan bendera parti, “Sang Saka Bangsa”.
Malam ini juga menyaksikan Najib mengumumkan anugerah Tokoh Melayu Terbilang kepada Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub, bagi kategori lelaki dan ahli akademik, penulis terkenal dan bekas wartawan, Khalidah Adibah Amin, bagi kategori wanita.
Acara malam ini diakhiri dengan upacara memotong pulut kuning dan persembahan bunga api.
Semalam, satu majlis tahlil dan bacaan Yasin serta doa kesyukuran diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra yang dihadiri Najib serta ahli UMNo lain.
Sambutan ulang tahun ke-66 UMNO akan diteruskan hingga Ahad ini di sini dengan pelbagai acara menarik termasuk karnival kerjaya, sambutan Hari Ibu, seminar motivasi, futsal, paintball, konsert dan pameran robotik.
Haniff ketuai panel bebas siasat BERSIH
May 10, 2012 by Dudi
Filed under Berita Bergambar
Comments Off
PUTRAJAYA, 10 Mei : Majlis Peguam, SUHAKAM tiada dalam senarai 6 ahli
Kerajaan semalam mengumumkan senarai enam ahli Panel Penasihat Bebas dipengerusikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar bagi menyiasat kejadian rusuhan ketika perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.
Ahli lain panel itu ialah bekas Ketua Hakim Borneo, Tan Sri Steve Sim; Ketua Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Husammuddin Yaacob; Penasihat Undang-Undang Kumpulan Akhbar Sin Chew, Liew Peng Chuan; Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat PETRONAS, Datuk Medan Abdullah dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ruszmi Ismail.
“Matlamat utama panel penasihat ini ialah untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian 28 April lalu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini, semalam.
Beliau berkata, panel itu memberi ruang kepada semua pihak mengemukakan laporan, bantahan, maklum balas dan bahan bukti berkaitan kejadian berkenaan.
Katanya, kerajaan berharap hasil siasatan panel itu akan mendedahkan perkara sebenar secara menyeluruh di sebalik pelbagai hujah dan dakwaan oleh banyak pihak pada masa ini.
Hishammuddin juga berkata, terpulang kepada panel itu juga sama ada mahu mencadangkan untuk menjemput ahli panel dari luar negara dalam siasatan mereka.
Mengenai ketiadaan wakil Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dalam panel itu, Hishammuddin berkata:
“Majlis Peguam mempunyai masalah mereka sendiri, maksud saya kita melihat banyak perbahasan berkaitan laporan mereka, akan ada perbahasan dalam mesyuarat agung luar biasa dan daripada yang saya dengar, lebih baik mereka selesaikan itu dulu.”
Mengenai penyertaan SUHAKAM, katanya, beliau terbuka jika panel mahu menjemput wakil suruhanjaya itu.
Sementara itu, Haniff yang dihubungi Berita Harian semalam memberi jaminan siasatan akan dilakukan berdasarkan fakta dan bukti, bukannya dipengaruhi emosi.
Durian runtuh dibayar 3 kali
May 9, 2012 by Ainaa
Filed under Berita Bergambar
Comments Off
JERANTUT: 09 Mei – Khemah tempat perhimpunan peneroka FELDA di Jengka 8 di sini, semalam, bergemuruh dengan tepukan dan laungan gembira peneroka ketika Datuk Seri Najib Razak mengumumkan durian runtuh RM15,000 kepada setiap keluarga.

NAJIB disambut peneroka ketika hadir pada Majlis Sejahtera Peneroka Bersama Perdana Menteri di FELDA Jengka 8, Jerantut, semalam.
Ada antara 40,000 peneroka secara spontan menadah tangan berdoa dan menitiskan air mata sejurus Perdana Menteri mengumumkan bayaran masing-masing RM5,000 kepada ketua keluarga, isteri dan generasi kedua mereka.
Malah, ramai isteri peneroka seperti tidak percaya mendapat perhatian khusus Perdana Menteri berikutan pengumuman pemberian RM5,000 kepada mereka sehingga terpaksa diyakinkan rakan.
Ketika mengumumkannya sempena program Sejahtera Peneroka Bersama Perdana Menteri itu, Najib berkata, kerajaan memperuntukkan dana RM1.689 bilion untuk diagihkan secara tunai kepada 112,635 keluarga peneroka yang akan dibayar dalam tiga fasa.
Pembayaran fasa pertama RM5,000 untuk setiap ketua keluarga akan dilaksanakan tidak lama lagi, diikuti fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka bagi mengiktiraf sumbangan mereka yang dibuat sejurus bayaran fasa pertama selesai.
Bayaran RM5,000 lagi akan diagihkan kepada anak peneroka yang dijangka dilaksanakan selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Malaysia, bulan depan. Selain itu, kira-kira 20,000 pegawai dan kakitangan Kumpulan FELDA akan menerima bonus tambahan dua setengah bulan gaji tahun ini.
Perdana Menteri berkata, durian runtuh itu secara keseluruhannya bukan saja untuk menghargai sumbangan peneroka dan keluarga mereka membangunkan negara, malah warga kerja FELDA.
Beliau juga mengumumkan tabung amanah khas yang membolehkan peneroka menikmati faedah pembayaran dividen berdasar keuntungan FGVH di Bursa Malaysia kelak kerana tabung itu memegang 20 peratus ekuiti dalam FGVH.
“Kita tawarkan juga ‘pink form’ untuk pemilikan saham dan tambahan RM5,000 bantuan dana Yayasan FELDA bagi membantu program baik pulih kampung lama dan tradisional sekitar tanah rancangan FELDA.
“Contohnya, mengikut unjuran jika FGVH untung RM1.5 bilion tahun depan, maka peneroka bakal menerima dividen kira-kira RM1,300 setiap seorang. Jika untung lebih, peneroka dapat lebih,” katanya dalam ucapan disiarkan secara langsung menerusi televisyen.
Hadir sama Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Najib juga berkata, durian runtuh itu amat bermakna kepada peneroka yang banyak berkorban membuka dan memajukan kawasan hutan sebagai tanah rancangan dan penempatan berkelompok.
“FELDA yang bermula di Lurah Bilut, Pahang pada 1956, kini memasuki fasa terakhir abad ke-21 yang bukan lagi bertatih, tetapi mampu berdiri dan gagah perkasa di pentas ekonomi dunia,” katanya.
Pada sidang media kemudian, Najib berkata, bayaran tunai untuk fasa pertama akan selesaikan dalam masa dua hingga tiga minggu dan FELDA akan menyelaraskan agihan menerusi jenteranya dan wakil rakyat yang akan selesai kira-kira tiga minggu akan datang.
“Fasa kedua saya akan umumkan sebaik selesai bayaran fasa pertama dan diikuti fasa ketiga kemungkinan selepas penyenaraian FGVH. Pendekatan bayaran dibuat sama seperti bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Bonus untuk kakitangan Kumpulan Felda juga dibuat secepat mungkin,” katanya.
Berhubung tawaran ‘pink form’, Perdana Menteri mengingatkan peneroka tidak menjualnya kerana ia akan memberi lebih banyak keuntungan dalam tempoh jangka panjang.
INFO
Manfaat diteruskan untuk peneroka
- Bonus produktiviti
- Imbuhan duit raya
- Pinjaman tanpa faedah perumahan
- Latihan kemahiran, pembangunan usahawan di kalangan peneroka berjalan seperti biasa



















