Nyaris maut terkena palang tol

May 18, 2012 by  
Filed under Articles

Comments Off

SHAH ALAM: 18 Mei – Seorang penunggang motosikal nyaris maut apabila terjatuh selepas terkena palang di laluan tol kereta ketika nekad meloloskan diri dari sekatan polis berhampiran Plaza Tol Batu 3, di Lebuhraya Persekutuan, di sini, semalam.

Bagaimanapun, biarpun sudah jatuh, penunggang berkenaan bingkas bangun mengangkat motosikalnya sebelum memecut melarikan diri ke ibu negara.

Itu antara adegan ketika operasi Ops Motosikal dilakukan cawangan Trafik Bukit Aman yang diketuai Pegawai Turus Penguatkuasa, Superintendan Hamzah Ahmad di sini, semalam.

Hamzah, ketika ditemui berkata, Ops Motosikal itu dijalankan berikutan penunggang dan pembonceng yang terbabit kemalangan jalan raya semakin meningkat.

“Penunggang motosikal kategori tertinggi yang dilaporkan dalam kemalangan maut. Operasi bersepadu ini dilakukan untuk mengesan kesalahan penunggang motosikal.

“Disebabkan golongan ini menjadi penyumbang terbanyak kepada kematian akibat kemalangan jalan raya, kami mahu mengambil tindakan agresif bagi mengurangkan angka kemalangan,” katanya.

Cuepacs, MTUC kemuka 4 tuntutan badan berkanun

May 18, 2012 by  
Filed under Articles

Comments Off

KUALA LUMPUR: 18 Mei – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengemukakan empat tuntutan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bagi menjamin kebajikan pekerja di tujuh badan berkanun selepas mereka tamat perkhidmatan kelak.

Empat tuntutan itu – mewujudkan Skim Dana Pencen, memanjangkan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) yang diberi kepada sektor awam kepada tujuh agensi berkenaan, bayaran saguhati tamat perkhidmatan, dan penambahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) syer majikan yang pelaksanaannya berbeza antara agensi berkenaan – akan dikemukakan kepada Najib dalam tempoh terdekat.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman, berkata agensi terbabit ialah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Simpanan Nasional (BSN), Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

“Tujuh agensi ini, dahulu di bawah sektor awam sepenuhnya, tetapi pada 1992, ia diasingkan untuk diurus tadbir secara autonomi atau mutlak.

“Kita memohon kepada kerajaan supaya mengkaji semula pengasingan itu supaya ia tidak ketinggalan dengan sektor awam dan masa depan pekerjanya terjamin selepas tamat perkhidmatan nanti,” katanya selepas menghadiri sambutan Hari Pekerja tujuh agensi berkenaan di Ibu pejabat Perkeso, di sini, semalam.

Omar berkata, pihaknya turut berharap kerajaan tidak meminggirkan agensi itu dalam setiap penambahbaikan terhadap sektor awam.

Cuepacs juga berharap tujuh agensi itu akan mendapat pencen secara berkala, seperti yang dipertimbangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), jika ia tidak boleh mendapat pencen seperti sektor awam.

Beliau meminta langkah itu, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 120,000 pekerja sokongan, diselesaikan tahun ini selepas dikemukakan kepada kerajaan sejak 2009.

Mengenai nasib kira-kira 35,000 kakitangan kontrak di agensi kerajaan, Omar berkata Cuepacs meminta kerajaan supaya tidak menamatkan tempoh perkhidmatan mereka sebaliknya ditawarkan penyambungan kontrak jika tiada kekosongan jawatan untuk ditetapkan.

Cuepacs menerima banyak aduan daripada kakitangan kontrak bahawa kontrak mereka tidak disambung dan memohon jasa baik Perdana Menteri untuk menangani perkara itu dengan kadar segera.

Ajal dihempap besi perancah

May 18, 2012 by  
Filed under Articles

Comments Off

KUCHING: 18 Mei – Seorang buruh binaan menemui ajal selepas dihempap besi perancah yang dipasang pada bangunan dalam pembinaan di Jalan Simpang Tiga, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, Friday anak Ashu, 47, dari Kampung Bunan Gega, Tebakang, di sini, dikatakan melakukan kerja kemasan pada lantai di tingkat bawah bangunan berkenaan.

Secara tiba-tiba besi perancah yang dipasang tumbang lalu menghempapnya dan mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di pusat perubatan swasta berhampiran, akibat cedera parah di kepala.

Menurut sumber, ketika kejadian, angin bertiup kencang sehingga besi yang dipasang itu tercabut dan jatuh sebelum menghempap mangsa.

“Ketika kejadian, semua pekerja lari menyelamatkan diri melainkan mangsa. Mangsa turut dihempap bekas berisi simen yang diletakkan atas besi perancah berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awal, kebanyakan pekerja sibuk melakukan tugas termasuk ada yang menampal simen pada dinding bangunan berkenaan.

“Disebabkan cuaca buruk, mereka dikatakan mahu berehat seketika dan secara tiba-tiba besi perancah runtuh,” katanya.

Sumber itu berkata, rakan sekerja mangsa membawanya ke hospital swasta untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.

“Pusat perubatan terbabit menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat’” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pakaian RM8j dirampas

May 18, 2012 by  
Filed under Articles

Comments Off

SUNGAI BULOH: 18 Mei – Dua premis yang menjadi gudang simpanan pakaian jenama tiruan diserbu Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor di Bandar Sri Damansara, di sini, semalam.

Serbuan jam 8 pagi itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDNKK Selangor diketuai Pengarah Penguatkuasanya, Othman Nawang.

Othman berkata, serbuan terhadap dua premis itu dilakukan serentak selepas pihaknya mendapat aduan awam mengenai kegiatan mengedar dan menjual barangan jenama tiruan di kawasan berkenaan.

Katanya, dalam serbuan terbesar itu, pihaknya menemui lebih 250,000 helai pakaian pelbagai jenama seperti Adidas, Nike dan Polo termasuk jersi pasukan bola sepak Malaysia dan antarabangsa membabitkan nilai rampasan mencecah RM8 juta.

“Setakat ini 90 kes membabitkan serbuan barangan tiruan berjaya ditumpaskan dengan nilai rampasan mencecah RM55 juta, namun ini yang terbesar bagi KPDNKK Selangor,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati, syarikat itu mempunyai lesen perniagaan sah dan menjalankan kegiatan berkenaan sejak setahun lalu.

“Mereka bukan saja menjual secara langsung dengan peniaga kecil-kecilan malah turut menjadi pengedar di sekitar Lembah Klang dan Selangor dengan harga antara RM15 hingga RM35 sehelai bergantung kepada jenis pakaian,” katanya.

Katanya, permintaan yang tinggi terhadap jersi berjenama sempena kempen Euro 2012 Jun ini juga memberi peluang kepada pemilik berkenaan menambah jumlah bekalan berlipat kali ganda agar dapat memenuhi permintaan pelanggan mereka.

“Barangan jenama tiruan itu dirampas bukan berdasarkan nama kelab atau pasukan bola sepak tertera sebaliknya jenama pakaian itu disahkan pengedarnya sebagai tiruan,” katanya.

Katanya, bagi individu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan.

‘SPR dah rujuk JPN’

May 18, 2012 by  
Filed under Articles

Comments Off

PORT DICKSON: 18 Mei – “Tindakan mempertikaikan kewujudan lebih 1,000 pemilih berusia lebih 100 tahun seperti mempersoalkan kemampuan rakyat negara ini untuk hidup melebihi tempoh berkenaan sedangkan memang ada pengundi berusia lebuh 100 tahun,” kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Katanya, tindakan mempertikaikan kewujudan golongan itu seolah-olah memperlekeh perkhidmatan kesihatan negara sangat baik hingga rakyat boleh hidup lebih 100 tahun tidak dapat diterima.

Beliau mengulas hasil kajian diterajui seorang penyelidik tempatan yang melabelkan daftar pemilih SPR tidak boleh digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Projek Analisa Daftar Pemilih Malaysia (Merap) diketuai Dr Ong Kian Ming, baru-baru ini, membuat pelbagai dakwaan terhadap SPR berhubung daftar pemilih, termasuk mempersoalkan kewujudan lebih 1,000 pemilih berusia lebih 100 tahun. Menurutnya, dakwaan bahawa selepas 100 tahun manusia mesti mati tidak adil dan sepatutnya bertanya kepada SPR bagaimana mahu membuktikan pemilih berusia lebih 100 tahun itu masih hidup.

“Kalau tanya, saya akan jawab SPR menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengesahkan pengundi itu,” katanya selepas merasmikan Majlis Taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pengurus Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Negeri Sembilan dan Melaka di sebuah hotel, di sini, semalam.

Menurut Abdul Aziz, kajian yang melabelkan daftar pemilih SPR tidak boleh digunakan dalam PRU-13 sebagai cuba mengelirukan rakyat. “Mereka yang membuat penyelidikan juga tiada akses Sistem Alis (Agency Link-Up System) yang membolehkan SPR memeriksa maklumat mengenai pemilih yang sah sebagai warganegara,” katanya. Menurutnya, SPR tidak menghalang mana-mana pihak membuat penyelidikan, tetapi perlu menjaga etika dan penyelidikan atau analisis menggunakan data SPR, sepatutnya terlebih dulu mendapatkan penjelasan suruhanjaya itu.

Katanya, banyak pihak sebelum ini menggunakan data SPR untuk membuat penyelidikan atau analisis, tetapi sebelum membuat rumusan, mereka akan mendapatkan maklum balas SPR.

Mengulas tindakan parti politik yang kini giat memasang poster dan bendera, katanya, SPR tidak mempunyai kuasa untuk menghalang perbuatan itu.

Khalil sambung khidmat bagi penggal ketiga

May 18, 2012 by  
Filed under Articles

Comments Off

MELAKA TENGAH: 18 Mei – Khidmat Tun Mohd Khalil Yaakob sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-6 disambung bagi penggal ketiga berturut-berturut, berkuatkuasa 1 Jun ini, selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mengesahkan perkembangan itu di sini, berkata Mohd Khalil, 75, akan menerima surat watikah pelantikan daripada Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara pada tarikh berkenaan.

Katanya, majlis pelantikan akan diadakan di Dewan Seri Negeri, di Ayer Keroh, dekat sini, sehari selepas itu. Khidmat Mohd Khalil bagi penggal kedua, dijadual berakhir pada 31 Mei ini.

“Saya bagi pihak rakyat Melaka menjunjung kasih kepada Tuanku Abdul Halim atas perkenan Baginda melantik semula Tun Mohd Khalil sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi penggal ketiga, berkuatkuasa 1 Jun ini.

“Ucapan terima kasih juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas sokongan beliau bagi pelantikan ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kilang Recron Malaysia (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Tangga Batu, dekat sini, semalam.

Mohd Khalil yang dilahirkan di Kuantan, Pahang pada 29 Disember 1937, dilantik kali pertama sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 4 Jun 2004, sebelum khidmatnya disambung semula empat tahun kemudian bagi penggal kedua.

Sebelum menjawat jawatan itu, beliau pernah menjadi Menteri Besar Pahang dari 14 Ogos 1986 sehingga 22 Mei 1999, selain Setiausaha Agung UMNO (22 Mei 1999 sehingga 31 Mei 2004) dan Menteri Penerangan.

Mengulas lanjut, Mohd Ali melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas pelantikan semula itu selepas kepemimpinan Mohd Khalil terbukti berjaya membawa keamanan dan kemajuan kepada Melaka.

“Sebagai mewakili rakyat Melaka, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Tun Mohd Khalil kerana menjalankan perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri dengan sebaiknya untuk seluruh rakyat Melaka,” katanya.

Kerajaan tak cadang badan alternatif ganti Majlis Peguam

May 18, 2012 by  
Filed under Articles

Comments Off

KUALA LUMPUR: 18 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan badan peguam alternatif bagi menggantikan fungsi Majlis Peguam Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana kerajaan memahami badan profesional itu ditubuhkan mengikut akta dan peruntukan Perlembagaan.

Apa yang penting, tegas beliau kepemimpinan majlis sedia ada harus bersikap lebih bertanggungjawab bagi mengelak persepsi negatif rakyat yang kini menganggap badan itu satu pertubuhan dimonopoli pembangkang.

“Majlis Peguam memikul beban yang berat bagi mengubah persepsi ini, sebagai peguam mereka harus bersikap adil dan saksama, tidak boleh berat sebelah namun terbukti dalam hal tertentu, mereka seolah-olah mengambil pendirian semua salah kerajaan, polis.

“Kalau anda manusia yang adil, hakim atau peguam berpengalaman, mesti bersikap rasional, mana yang betul kata betul, tidak betul kata tidak betul, baru adil.

“Terpulang kepada masyarakat menilai, ini sebelum buat keputusan, kita sudah tahu, niat dan kecenderungan mereka di mana, ini tidak bantu untuk naik imej majlis sebagai badan berintegriti, mereka kena tunjuk (keadilan), kalau tidak selama mana rakyat menilai ia badan politik bukan Majlis Peguam, itu beban yang mereka harus tanggung,” katanya pada sidang media selepas majlis makan tengahari sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-21 Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia di sini, semalam.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata kerajaan bercadang mengkaji pembentukan majlis peguam kedua sebagai alternatif kepada peguam yang tidak berpuas hati dengan majlis sedia ada yang didakwa menyokong perjuangan pembangkang.

Mengulas dakwaan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang ditawarkan RM50,000 oleh pemimpin DAP bagi menutup mulut dalam isu peletakan jawatannya, baru-baru ini, Muhyiddin berkata, perbuatan itu langsung tidak menghormati pemimpin berkenaan.

Segera laksana autopsi maya

May 18, 2012 by  
Filed under Articles

Comments Off

Harussani Zakaria

KUALA LUMPUR: 18 Mei – Kaedah autopsi maya yang diluluskan kerajaan perlu dilaksanakan segera kerana Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan kaedah sekarang bertentangan kehendak syarak.

Pelaksanaan kaedah bagi mengelak penyeksaan ke atas mayat yang diharamkan Islam itu masih tertangguh walaupun kerajaan sudah meluluskannya dengan peruntukan permulaan sebanyak RM40 juta sejak tiga tahun lalu.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata beliau yakin kaedah itu dapat dilaksanakan segera selepas beberapa prosedur mengenainya diselesaikan Kementerian Kesihatan.

Katanya, beliau mengemukakan cadangan kaedah autopsi maya kepada kerajaan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selepas perbincangan menyeluruh dengan beberapa pihak berkepentingan, katanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju dan meluluskan kaedah itu.

“Saya yakin pelaksanaannya dapat dilakukan secepat mungkin selepas segala prosedur dijalankan oleh pihak hospital yang dipertanggungjawabkan,” katanya kepada Berita Harian.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-73 yang bersidang pada 4 hingga 6 April 2006 membincangkan hukum menggunakan kaedah autopsi maya sebagai alternatif kepada bedah siasat mayat.

Muzakarah memutuskan bahawa penggunaan kaedah autopsi maya dalam bedah siasat mayat jika memenuhi keperluan, wajib diberi keutamaan berbanding kaedah bedah siasat yang diamalkan sekarang.

Kaedah autopsi maya dilaksanakan menerusi teknik teknologi maya tiga dimensi yang menggabungkan teknik Multi Slice Computed Tomography (MSCT) dan Magnetic Resonance Imaging (MRI).

Akhbar sebelum ini, melaporkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bermuzakarah di Shah Alam pada 2006 berpendapat kaedah autopsi maya lebih sesuai dilakukan terhadap mayat orang Islam berbanding kaedah sekarang.

Dalam laporan itu, Harussani dipetik sebagai berkata, pendapat awal itu disandarkan kepada kaedah itu sendiri yang tidak membabitkan pembedahan secara fizikal sehingga mengaib mayat.

Katanya, ia selaras tuntutan Islam agar tidak berlaku penyeksaan kepada mayat.

Sementara itu, Harussani berkata, pelaksanaan kaedah autopsi maya jelas membuktikan kerajaan sentiasa bersedia melaksanakan pendekatan Islam dalam semua aspek.

Polis, DBKL kawal rumah Ambiga

May 18, 2012 by  
Filed under Articles

Comments Off

KUALA LUMPUR: 18 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan rondaan sekitar kediaman Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga di Bukit Damansara, di sini berikutan beberapa insiden kekecohan di hadapan kediamannya sejak Ahad lalu.

Tinjauan Berita Harian semalam mendapati kawasan kediaman Ambiga di Jalan Setiakasih 1, agak tenang, malah tiada lagi kelihatan gerai burger mahupun kumpulan tertentu berkumpul untuk melakukan demonstrasi menyatakan bantahan terhadap tindakan beliau menganjurkan Perhimpunan BERSIH 3.0, 28 April lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid, berkata rondaan dijalankan di sekitar kediaman itu rondaan rutin dilakukan polis bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah selain memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Kita bukannya melakukan rondaan ekoran laporan polis yang dibuat Ambiga mengenai tindakan beberapa pihak yang didakwa berniaga burger dan melakukan senaman punggung di hadapan rumahnya, namun sebaliknya tugas itu dilakukan adalah bagi meningkatkan kehadiran polis di kawasan yang berisiko,” katanya ketika dihubungi semalam.

Maklum jika lewat laksana gaji minimum

May 18, 2012 by  
Filed under Articles

Comments Off

KOTA KINABALU: 18 Mei – Majikan yang memerlukan masa lanjutan bagi melaksanakan gaji minimum selepas diwartakan boleh mengemukakan permohonan kepada Majlis Perundingan Gaji Negara (NWCC) bagi mengelak dikenakan tindakan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pihaknya bersedia memberi peluang kepada majikan terbabit membuat penyesuaian kos atau menentukan kadar gaji baru pekerja dengan pemantauan NWCC.

Berdasarkan syarat NWCC, syarikat yang menggaji sekurang-kurangnya lima dan lebih pekerja diwajibkan melaksanakan kadar gaji minimum dalam tempoh enam bulan selepas diwartakan dan setahun bagi syarikat yang memiliki kurang lima pekerja. – Datuk Seri Dr S Subramaniam, Menteri Sumber Manusia

Berdasarkan syarat NWCC, katanya, syarikat yang menggaji sekurang-kurangnya lima dan lebih pekerja diwajibkan melaksanakan kadar gaji minimum dalam tempoh enam bulan selepas diwartakan dan setahun bagi syarikat yang memiliki kurang lima pekerja.

“Kementerian dalam proses mewartakannya dan berharap ia boleh diselesaikan dalam masa terdekat supaya majikan boleh melaksanakannya Januari depan, disusuli majikan lain enam bulan kemudian.

“Jika dalam tempoh itu, ada syarikat tidak dapat melaksanakannya, majikan perlu memaklumkannya kepada NWCC dan memohon tempoh lanjutan yang diperlukan,” katanya pada sidang media selepas majlis taklimat pelaksanaan gaji minimum swasta peringkat negeri, di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Yee Moh Chai; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal NWCC, Prof Zakariah Abdul Rashid; Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Sabah (FSM), Datuk Wong Khen Thau dan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja negeri, Datuk Siti Aishah Mohd Asri.
Subramaniam berkata, tiada majikan atau syarikat yang dikecualikan daripada syarat itu dan jika ingkar tanpa memohon tempoh lanjutan, mereka akan dikenakan tindakan mengikut Akta NWCC 2011.

Sementara itu, beliau berkata, langkah menyamakan kadar gaji minimum pekerja tempatan dan asing bertujuan memastikan majikan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan selaras usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Next Page »