Kerajaan negeri terus komited lahirkan cendekiawan dalam bidang agama
May 19, 2013 by Dudi
Filed under Uncategorized
Comments Off
Seremban, 19 Mei – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian pelajar-pelajar SMKA Sheikh Hj Mohd Said, Seremban yang mendapat keputusan cemerlang di tahun 2012.
Pencapaian yang cemerlang ini menjadikan SMKA Sheikh Hj Mohd Said, merupakan antara 8 buah sekolah menengah agama bantuan kerajaan yang menyumbangkan kepada peratusan tertinggi peperiksaan SPM tahun lalu.
Di dalam ucapan, beliau menyeru agar ibu bapa di negeri ini memberi perangsang kepada anak-anak agar menimba ilmu dan kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu telah menjanakan pendapatan bagi pendidikan melalui tanah Yayasan Negeri Sembilan yang diusahakan MAINS.
22 hektar tanah telah dibuka dengan penanaman kelapa sawit itu dijangka memberikan keuntungan dan anak-anak Negeri Sembilan yang mahu melanjutkan pelajaran keperingkat lebih tinggi tidak perlu risau lagi.
Beliau turut menyempurnakan majlis anugerah Permata Shams 2012 kepada 300 orang pelajar, di sini pagi tadi.
Ketika di tanya di sidang media ringkas sejurus program, beliau menyatakan hasrat dan fokus Kerajaan Negeri melalui MAINS di dalam usaha menyediakan modal insan di dalam bidang keagamaan. Malah terdapat juga dalam bidang profesional yang lain seperti bidang kedoktoran, bidang pentadbiran dan sebagainya.
Beliau juga memetik kejayaan pelajar-pelajar tersebut yang dihantar sejak beberapa tahun lalu dan telah tamat pengajian untuk diserapkan sebagai Eksekutif masjid di mana terdapat 30 buah masjid baru yang perlu ditadbir untuk dijadikan pusat komuniti masyarakat.
Ujarnya, jika masjid diurus secara sukarela matlamat menginstitusikan masjid itu tidak sampai kerana mereka mempunyai komitmen yang pelbagai.
Malah kepada 23 pelajar yang baru selesai ditemuduga tersebut akan menjalani kursus pentadbiran selama 6 bulan sebelum mereka memulakan tugas tersebut.
Selain itu, Menteri Besar mengfokuskan kepada menyiapkan jati diri pelajar dan belajar bahasa Arab yang bakal menuntut ke Universiti Timur Tengah terutamanya di Mesir dan Jordan, agar mereka mudah serasi dengan keadaan di sana.
Setiap tahun seramai 45 orang pelajar terpilih dihantar menyambung pelajaran di sana.
Beliau turut menambah, MAINS turut menggalakkan dan membiaya pelajar yang tamat pengajian menyambung keperingkat Sarjana dan Dr. Falsafah sebagai persediaan modal insan yang mahir ilmu agama.
Walaupun mereka belajar di dalam pelbagai bidang, namun ilmu yang mereka perolehi itu boleh juga digunakan sebagai sumber rujukan untuk perlbagai isu yang diragui.
Turut hadir, Puan Norlaila, Pengetua Cemerlang SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban.
Keputusan sabotaj Umno PRU13 minggu depan
May 19, 2013 by admin
Filed under Uncategorized
Comments Off

Tan Sri Megat Najmuddin Megat
KUALA LUMPUR – Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata apa jua keputusan atau bentuk hukuman berhubung perbuatan mensabotaj parti oleh anggota Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dijangka diketahui minggu depan.
Katanya siasatan mengenai aduan itu masih dijalankan.
“Lembaga Disiplin menerima 11 aduan sabotaj dan kita telah arahkan pihak penyiasat membuat siasatan rapi supaya kita dapat membuat keputusan dengan adil dan tidak menganiaya mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas perbuatan sabotaj oleh anggota Umno pada PRU13.
Sebelum ini pada 18 April, Lembaga Disiplin Umno memaklumkan telah menerima beberapa aduan sabotaj dalam kalangan anggota parti menjelang pilihan raya.
Megat Najmuddin berkata perbuatan sabotaj yang dilaporkan itu berlaku di peringkat bahagian di beberapa negeri termasuk Perak, Pahang, Kelantan dan Kedah, dengan kesalahan seperti berkempen untuk pembangkang, menghasut anggota Umno lain dan enggan membuka bilik gerakan pilihan raya.
“Bagaimanapun ini tidak membabitkan kesalahan anggota bertanding sebagai calon bebas atau menjadi penyokong dan pencadang bagi calon selain Umno. Mereka ini telah kita pecat,” jelasnya.
Katanya, hukuman yang akan diputuskan bergantung kepada keseriusan perbuatan sabotaj yang dibuat.
Bagi PRU13, Umno telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dianggotai empat wakil Majlis Tertinggi Umno dan empat wakil Lembaga Disiplin parti bagi mempercepatkan proses membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman kepada mereka yang didapati bersalah mensabotaj atau melanggar disiplin parti.
Pada 22 April, Umno memecat 58 anggota serta-merta kerana bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRU13.
Pada pilihan raya umum 2008, sebanyak 22 kes dari enam negeri dibawa ke Lembaga Disiplin Umno yang menyaksikan tiga anggota dipecat manakala enam digantung keanggotaan selama tiga tahun, dan seorang anggota diberi amaran keras kerana melanggar disiplin parti.
Tunggu tindakan tegas – Zahid Hamidi
May 18, 2013 by Dudi
Filed under Uncategorized
Comments Off
KUALA LUMPUR 18 Mei – Kerajaan tidak akan memberi sebarang amaran kepada mana-mana pihak yang bercadang mahu mencetuskan huru-hara sebaliknya akan terus bertindak secara tegas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada sebarang kompromi dengan pihak tertentu khususnya pemimpin pembangkang yang sedang menghasut rakyat turun ke jalanan bagi mencetus rusuhan sekali gus menjayakan hasrat menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak akan memberi amaran tetapi tunggulah tindakan tegas,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas tindakan yang bakal diambil ke atas pemimpin pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merancang mencetuskan huru-hara.
Isnin lalu, pemimpin pembangkang seperti Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) R. Sivarasa dan Tian Chua ketika berceramah dalam Perhimpunan Tragedi 13 Mei secara terbuka menghasut rakyat ke jalanan bagi menumbangkan kerajaan BN melalui kaedah rusuhan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Dalam Negeri yang diterajui kepimpinan baharu bersedia sepenuhnya memastikan kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara kekal terpelihara dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada.
“Pencegahan itu lebih baik daripada penyelesaian, dan pencegahan awal itu lebih murah ‘harganya’ berbanding penyelesaian masalah. Saya akan guna pendekatan itu agar pihak kerajaan tidak disanggah dan mereka (pembangkang) juga tidak melakukan penyanggahan,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas kecaman pembangkang selepas beliau meminta pihak tidak setuju dengan sistem pilihan raya Malaysia berhijrah ke negara republik jika menjadikan isu undi popular sebagai alasan, Ahmad Zahid berkata, pembangkang melenting kerana mereka cuba menipu rakyat.
“Orang yang makan cili memang akan terasa pedasnya, sebab itu pemimpin seperti Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng melenting dengan kenyataan saya, tetapi apa yang dinyatakan adalah hakikat dan sudah sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.











