Hakim bebas tuduhan khalwat

May 18, 2012 by  
Filed under Mahkamah/Jenayah

Comments Off

GEORGETOWN: 18 Mei – Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, di sini, semalam melepas dan membebaskan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Adam Tumiran dan isterinya, Nurul Ezani Mat Isa daripada tuduhan berkhalwat.

Hakim Syarie Othman Ibrahim dalam penghakimannya berkata, mahkamah terpaksa menolak tuduhan dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh berikutan tiada asas relevan memandangkan Mahkamah Syariah Kota Tinggi, Johor sudah mengesahkan status perkahwinan Adam, 44, dan Nurul, 35, mengikut hukum syarak.

Menurutnya, berikutan pengesahan itu, mahkamah terikat dengan keputusan pengesahan berkenaan sekali gus melepaskan dan membebaskan mereka daripada pertuduhan dan wang jaminan RM2,500 seorang yang dibayar dikembalikan.

Adam yang sebelum ini bertugas sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang memakai batik ungu manakala Nurul memakai baju kurung kuning dan tudung merah jambu hadir ke mahkamah seawal jam 8 pagi.

Pasangan itu sempat bersarapan bersama sebelum masuk ke mahkamah yang mula bersidang pada jam 9 pagi.

Adam dan Nurul Ezani yang bertugas sebagai penasihat kewangan di Kuala Lumpur didakwa melakukan perbuatan itu pada 5 Disember 2010, jam 2.05 pagi di Kuarters Kerajaan Negeri, Jalan Masjid Negeri, di sini.

Adam didakwa mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Pulau Pinang manakala Nurul Ezani didakwa mengikut Seksyen 27 (b) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mereka diwakili Ahmad Munawer Abdul Aziz dan Wan Faridulhadi Mohd Yusoff.

Aidil Zafuan batal hasrat cerai Rita

May 17, 2012 by  
Filed under Mahkamah/Jenayah

Comments Off

PETALING JAYA: 17 Mei – Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam membenarkan permohonan pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 25, menarik balik hasrat untuk bercerai dengan isterinya yang juga pelakon, Rita Rudaini Mohamad @ Mokhtar, 36.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu dan turut memerintahkan Mohamad Aidil Zafuan (plaintif) membayar kos kerugian kepada Rita Rudaini (defendan) sebanyak RM250 kerana menarik balik kes itu pada saat akhir iaitu sehari sebelum sebutan kes ditetapkan pada 15 Mei lalu.

Terdahulu, Mohamad Aidil Zafuan yang diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari mengemukakan tiga alasan berhubung penarikan balik permohonan bercerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 difailkan anak guamnya pada 12 April lalu.

Beliau berkata, permohonan untuk bercerai tidak dapat diteruskan berikutan defendan memberikan jawapan tidak bersetuju pada prosiding lalu selain anak guamnya berhasrat berbaik semula serta dalam proses mengarahkan isterinya kembali taat dan tinggal di rumah disediakan plaintif.

“Anak guam saya juga risau jika diwujudkan jawatankuasa pendamai akan ada campur tangan pihak ketiga yang akan mengeruhkan lagi keadaan. Pihak kami juga membantah permohonan kos yang diminta defendan kerana ia bukan kesilapan plaintif, sebaliknya defendan tidak bersetuju bercerai,” katanya.

Bagaimanapun, Rita Rudaini yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Md Zain memberitahu mahkamah, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai penarikan balik itu beberapa jam sebelum prosiding bermula, kelmarin sekali gus memohon plaintif membayar kerugian ditanggung membabitkan masa dan perjalanan beliau, anak guamnya serta kos penerbangan bapa tiri Rita Rudaini, Johari Jonid, 62.

“Saya dan defendan (Rita) agak terkesima dengan apa diperkatakan plaintif (untuk menarik balik). Sepatutnya prosiding hari ini (semalam) adalah sebutan untuk melantik wakil ahli keluarga masing-masing bagi membentuk Jawatankuasa Pendamai.

“Kami sudah bersedia dan melantik bapa tiri Rita yang datang dari Kangar, Perlis sebagai menuruti arahan mahkamah. Oleh itu, kos RM500 harus dibayar plaintif,” katanya.

Selepas prosiding kes itu, Rita yang memakai jubah hitam dan bertudung merah jambu kelihatan tidak bertegur sapa dengan Mohamad Aidil Zafuan sebaliknya masing-masing pulang bersama ahli keluarga yang hadir ke mahkamah.

Mohamad Aidil Zafuan ketika ditanya di luar mahkamah berharap hubungannya dan Rita Rudaini kembali pulih demi dua anak mereka.

BERSIH 2.0 gagal cabar pengharaman

May 16, 2012 by  
Filed under Mahkamah/Jenayah

Comments Off

KUALA LUMPUR, 16 Mei : Pada 8 Julai 2011, seramai 14 anggota Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, termasuk bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan perintah mengisytiharkan kumpulan berkenaan sebagai pertubuhan haram.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Gerakan BERSIH 2.0 untuk menyoal balas Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara dalam kes semakan kehakiman dikemukakan kumpulan itu bagi mencabar pengharamannya oleh kerajaan.

Hakim Datuk Rohana Yusof membuat keputusan itu dalam kamar beliau di sini, semalam. Prosiding itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad yang mewakili kerajaan dan peguam K Shanmuga bagi pihak BERSIH 2.0.

Shanmuga ketika ditemui berkata, afidavit balasan oleh kerajaan dalam permohonan itu yang dikemukakan semalam menyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih dengan pendiriannya bahawa kumpulan BERSIH 2.0 adalah tidak sah.
Katanya, afidavit itu juga menyatakan bahawa komen oleh Hishammuddin yang disiarkan media hanya berkenaan perhimpunan yang dianjurkan secara aman.

“Mahkamah kemudian menetapkan pada 26 Jun depan bagi perbicaraan semakan kehakiman itu,” katanya.

 

Polis nafi paksa doktor mengaku jual bayi

May 16, 2012 by  
Filed under Mahkamah/Jenayah

Comments Off

KUALA LUMPUR, 16 Mei : Seorang pegawai polis menafikan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam beliau memaksa doktor pakar bedah supaya membuat pengakuan bahawa hospital swasta di Jalan Ipoh, di sini ada menjalankan aktiviti penjualan bayi.

Saksi pendakwaan keenam berpangkat Inspektor itu dengan tegas memberikan jawapan ‘tidak setuju’ apabila peguam, Y Anbananthan mewakili Datuk Dr Mohammad Fei-zal Abdullah, 72, mengajukan soalan berkenaan ketika beliau membuat serbuan ke hospital itu pada 1 November 2010.

 “Saya tidak setuju. Saya terserempak dengan seorang lelaki ketika menaiki tangga dan bertanyakan butiran dirinya sebelum diberitahu namanya adalah Mohamad Feizal Abdullah,” katanya ketika sesi pemeriksaan semula dalam perbicaraan kes terhadap pakar bedah yang juga pemilik hospital swasta di Jalan Ipoh di sini, Dr Mohammad Feizal dan bekas jururawatnya, Gulab Jan Abdul Jabir, 50.
Pada 18 November 2011, Dr Mohammad Feizal mengaku tidak bersalah memalsukan butiran pendaftaran seorang bayi perempuan di sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh di sini, antara 26 Jun dan 21 September 2010 mengikut Seksyen 26(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.

Gulab Jan pula mengaku tidak bersalah atas tuduhan memperdagangkan bayi sama bagi maksud eksploitasi di sebuah pangsapuri di Kepong di sini, jam 8.15 malam, 14 November 2010 mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

Terdahulu, ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ashiqin Zulkifli saksi memberitahu beliau mengambil masa antara dua hingga tiga jam, bermula jam 2 petang untuk membuat pemerhatian di hadapan hospital berkenaan dengan anggaran jarak sejauh 20 meter.

Sementara itu, ahli kimia dari Seksyen DNA Forensik Jabatan Kimia Malaysia (JKM) mengesahkan bayi perempuan yang dilahirkan di hospital itu pada 22 September 2010 bukan anak kandung kepada pasangan suami isteri yang kini di bawah jagaan mereka.

Saksi pendakwaan ketujuh berusia 33 tahun itu berkata, keputusan DNA menunjukkan spesimen darah bayi itu adalah sama dengan sampel darah saksi pendakwaan pertama kes berkenaan, iaitu wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu gerai makan.

Katanya, ini menunjukkan wanita itu adalah ibu kandung bayi berkenaan.

Beliau berkata, empat barang kes dikenal pasti sampel darah milik bayi, ibu dan bapa angkatnya serta seorang wanita warga Indonesia diterima oleh JKM pada 23 November 2010 sebelum menyerahkannya semula bersama laporan analisis kes kepada pegawai penyiasat pada 24 Januari 2011.

Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain bersambung 25 Jun ini.

Rampas dadah RM43 juta

May 15, 2012 by  
Filed under Mahkamah/Jenayah

Comments Off

KUALA LUMPUR: 15 Mei – Sindiket pengedaran dadah kini semakin licik dengan kebanyakan tidak lagi menyeludup masuk dadah jenis sintetik ke negara ini, tetapi sebaliknya ‘mengimport’ pakar dari luar negara untuk memproses dan membuat sendiri dadah di dalam negara.

Taktik terbabit dikesan hasil pemantauan dan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyerbu beberapa makmal pemprosesan dadah Eramin 5 di Klang, Selangor dan Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Dalam serbuan pada jam 1 tengah hari itu, 25 suspek ditahan termasuk tiga lelaki warga Taiwan yang juga pakar memproses dadah dengan jumlah rampasan bernilai RM43 juta.

Pengarah JSJN, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, sejak kebelakangan ini, trend pengedaran dadah sintetik menjadi tumpuan sindiket kerana mereka mempunyai kepakaran memproses sendiri dadah.

“Sabtu lalu, kami menjalankan 15 serbuan serentak di Klang, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta menemui makmal dadah di Pulau Pinang dan makmal utama di Klang.

“Dalam serbuan itu, kami menahan 25 ahli sindiket dadah antarabangsa berusia 24 hingga 60 tahun terdiri daripada 17 lelaki dan dua wanita tempatan serta tiga lelaki warga Taiwan selain tiga lagi lelaki warga Nepal. “Polis juga merampas 282.62 kilogram serbuk dan 88,000 biji pil disyaki Eramin 5 dianggarkan bernilai RM43 juta serta menyita 12 kenderaan termasuk BMW dan Mercedes -Benz selain wang tunai RM82,305,” katanya.

Menurutnya, dalang utama sindiket dadah jenis pil Eramin 5 terbesar ditumpaskan itu turut diberkas dan siasatan awal mendapati mereka mula beroperasi sejak awal tahun ini.

“Kejayaan kali ini juga adalah hasil kerjasama erat dengan pihak berkuasa Taiwan dan suspek direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Isteri Jimmy Shanley ditampar ibu sendiri

May 15, 2012 by  
Filed under Mahkamah/Jenayah

Comments Off

SHAH ALAM: 15 Mei – Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam diberitahu isteri pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley, Nursuhaila Eliani Suhaimy pernah ditampar ibunya sendiri, Oktober tahun lalu.

Dalam keterangannya kepada mahkamah, Jimmy mendakwa, ibu mentuanya menampar defendan, Nursuhaila pada 1 Oktober 2011 kerana tidak tahan dengan sikap dan perangai anaknya itu.

Menurut Jimmy selaku plaintif, selepas kejadian itu, pada hari yang sama ibu mentuanya lari dari rumah dan menghubunginya untuk tumpang bermalam di rumah.

“Ibu mentua hubungi saya untuk tumpang bermalam kerana tidak ada tempat lain untuk pergi,” terang Jimmy ketika menjawab soalan peguam syarie Sa’adiah Din yang mewakili Nursuhaila pada sesi soal balas perbicaraan tuntutan nusyuz dan kembali taat.

Tambah bekas pengacara Trek Selebriti dan Akademi Fantasia itu, dia berjumpa dengan isterinya pada 4 Oktober 2011 selepas ibu mentuanya memaklumkan defendan mahu berjumpanya.

“Menurut ibu mentua, isteri nak jumpa saya untuk minta cerai dan memujuk ibunya pulang ke rumah.

“Pada 4 Oktober 2011, isteri datang ke rumah saya meminta maaf dan minta cerai serta tidak mahu kes ini berpanjangan,” katanya.

Bagaimanapun, Jimmy berkata dia hanya mendengar saja penjelasan Nursuhaila.

Pada prosiding semalam juga, Jimmy tidak menafikan dia pernah bertunang dengan orang lain, namun pertunangan itu putus sebelum dia bertunang dengan Nursuhaila.

Jimmy juga memberitahu tiada benda milik Nursuhaila yang dia ambil dan perlu dipulangkan ketika merujuk khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Nursuhaila kepadanya berbunyi ‘Bagi balik harta benda I dan tinggalkan I’.

“Tidak ada benda dia yang saya ambil kecuali kereta yang ibu bapa dia beri untuk pergi kerja,” katanya.

Pasangan itu bernikah pada 1 Oktober 2010.

Jimmy, 31, atau nama sebenarnya, Jimmy Shanley Nor Jahan Salleh dan Nursuhaila, 25, kini dikurniakan seorang anak perempuan, Zahrah Shanley yang lahir pada 24 Jun tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Saharuddin Selamat bersambung 19 Julai 2012.

Warga Nigeria dihukum gantung kerana edar dadah

May 14, 2012 by  
Filed under Mahkamah/Jenayah

Comments Off

ALOR SETAR: 14 Mei – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warganegara Nigeria yang didapati bersalah mengedar dadah dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap James Kamara, 23, selepas berpuas hati dengan keterangan pihak pendakwa raya yang berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

James yang juga penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur, didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 18,810 gram di Terminal Bas Shahab Perdana di sini, pada jam 9.05 malam 13 September 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam, Nur Sarah Dina Baharudin manakala tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.

Broker dibogel, kena cabul

May 13, 2012 by  
Filed under Mahkamah/Jenayah

Comments Off

KUALA LUMPUR: 13 Mei – Bukan hanya dibogel dan dicabul, malah seorang broker hartanah turut dikurung lebih 10 jam di sebuah unit kondominium mewah di Mont Kiara, di sini, petang Khamis lalu ketika mengendalikan urusan jual beli hartanah berkenaan.

Difahamkan, wanita berusia 34 tahun itu dihubungi sepasang suami isteri dipercayai warga tempatan melalui laman web hartanah menyatakan minat untuk melihat dan membeli unit kondominium berkenaan sebelum mengadakan janji temu pada petang hari kejadian.

Bagaimanapun, sebaik tiba di unit kondominium itu, mangsa dipercayai dipukul kedua-dua suspek sebelum dibogel dan dicabul, seterusnya diikat dan dikurung dalam bilik di unit kondominium itu.

Mangsa hanya berjaya diselamatkan kira-kira jam 3 pagi Jumaat lalu oleh Polis Bantuan yang menjalankan rondaan rutin di kawasan kondominium selepas dimaklumkan penduduk yang terdengar tangisan dan jeritan wanita berkenaan meminta pertolongan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika mengesahkan kejadian, berkata polis terpaksa memecahkan pintu unit kondominium itu sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak berpakaian dengan kedua-dua tangannya diikat, selain mengalami beberapa kecederaan dipercayai dipukul.

“Mangsa juga broker hartanah dari Kepong, dihubungi suspek atas alasan mahu melihat rekaan dalaman unit kondominium itu. Bagaimanapun, suspek bertindak agresif sebaik memasuki kondominium dengan memukul mangsa, seterusnya mencabul sebelum mengikat dan mengurung wanita itu.

“Hasil siasatan mendapati suspek turut menyamun barangan berharga milik mangsa, termasuk telefon bimbit dan beg duit, selain melarikan sebuah kereta jenis Toyota Vios milik wanita itu,” katanya.

Ku berkata, polis sedang menjalankan gerakan memburu kedua-dua suspek berdasarkan kesan cap jari, selain mengenal pasti identiti mereka melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kondominium itu.

Penjenayah mengerang tepi rumah

May 12, 2012 by  
Filed under Mahkamah/Jenayah

Comments Off

ALOR GAJAH: 12 Mei – Seorang penjenayah warga asing ditemui mengerang kesakitan di tepi rumah yang disamunnya di Kampung Pantai Belimbing, Durian Tunggal, di sini, selepas terkena tembakan senapang patah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, suspek berusia 37 tahun cedera di kaki kiri selepas ditembak pemilik rumah, Mohd Shamir Fauzi, 28, yang cuba disamunnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, tiga suspek menceroboh masuk rumah mangsa melalui pintu depan selepas memotong jeriji besi.

“Mereka pergi ke bilik mangsa, namun kehadirannya disedari penghuni rumah yang melepaskan dua das tembakan senapang patah.

“Mangsa yang terpaksa mempertahankan diri selepas dibaling dengan alat pemotong besi dan diserang menggunakan parang, melepaskan dua tembakan dan mencederakan dua suspek,” katanya.

“Seorang suspek yang cedera kaki kiri ditahan polis yang tiba tidak lama kemudian manakala seorang lagi dipercayai cedera di perut, berjaya melarikan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, suspek yang ditahan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan itu mempunyai pasport sah dan baru masuk ke negara ini enam hari lalu.

Lapan penjenayah perang

May 12, 2012 by  
Filed under Mahkamah/Jenayah

Comments Off

KUALA LUMPUR: 12 Mei – Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT) semalam, memutuskan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush dan tujuh sekutunya bersalah dan disabitkan sebagai penjenayah perang kerana melakukan penyeksaan dan kekejaman serta layanan yang tidak berperikemanusiaan ke atas mangsa perang.

Panel lima hakim tribunal diketuai bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Mohd Yunus sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan diketuai Pegawai Pendakwa diketuai Profesor Gurdial Singh Nijar berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Dalam penghakiman dibacakan selama sejam setengah, Lamin berkata, pihak pendakwaan membuktikan cabang eksekutif AS diwakili Presidennya (Bush), Naib Presiden, Setiausaha Pertahanan dan peguam mereka secara sedar dan rela hati merancang tidak memberikan layanan kepada tahanan mengikut Konvensyen Geneva.

Katanya, pendakwaan juga membuktikan Bush bersalah dengan mengeluarkan perintah seperti memorandum pada 7 Februari 2002 mengisytiharkan tahanan al-Qaeda tidak termasuk dalam perlindungan konvensyen berkenaan selanjutnya memberikan kuasa supaya mereka menerima layanan yang membawa kepada jenayah perang.

“Bush berniat supaya arahan itu dipatuhi, mengetahui ia memang dilaksanakan dan AS melanggar Konvensyen Penyeksaan 1984 dan Konvensyen Geneva serta gagal untuk campur tangan bagi menghalang pelanggaran itu.

“Tindakan dilakukan semua tertuduh serius kerana ia satu penyeksaan seperti dimaksudkan dalam Konvensyen Penyeksaan. Memorandum daripada Pejabat Peguam Negara bertarikh 1 Ogos 2002 satu kesilapan perundangan dengan menyatakan pemahaman AS bahawa penyeksaan adalah terhad hanya kepada layanan tidak berperikemanusiaan dan kejam secara ekstrem,” katanya.
Dalam perbicaraan kali ini, Bush dituduh bersama-sama dengan bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney, bekas Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld; bekas Peguam Negara AS, Alberto Gonzales; bekas Ketua Staf Pentadbiran Presiden Bush, David Addington; bekas Penasihat Jabatan Pertahanan AS, William Haynes; bekas Hakim Mahkamah Rayuan AS, Jay Bybee dan profesor Undang-Undang John Yoo, melakukan jenayah penderaan serta jenayah perang.

Empat hakim lain Tunku Sofiah Jewa, Alfred Lambremont Webre, Prof Salleh Buang dan Mohd Saari Yusuf. Peguam Jason Kay Kit Leong bertindak sebagai sahabat mahkamah mewakili Bush dan tujuh lagi.

Dalam perbicaraan selama empat hari bermula Isnin lalu, bekas tahanan Teluk Guantanamo, termasuk tahanan perang Iraq yang didera dan diseksa, iaitu iaitu Abbas Abid, Moazzam Begg dan Jameelah Hameedi memberikan keterangan manakala dua lagi, Ali Shalal dan Rhuhel Ahmed mengemukakan akuan bersumpah masing-masing kepada tribunal.

Sementara itu, Lamin berkata, KLWCT berharap kesemua saksi yang juga mangsa jenayah perang dengan berpandukan kepada keputusan tribunal membawa kes mereka kepada mana-mana negara atau entiti perundangan yang sanggup untuk menjalankan bidang kuasanya bagi menguatkuasa keputusan berkenaan terhadap kelapan-lapan tertuduh dan AS.

Next Page »