Buah limau penghubung kasih

February 25, 2012 by  
Filed under Minda Remaja

Share |

NG PEI SIN, 29, memberitahu, dia tidak sabar untuk menghadiri perayaan Capgome yang berlangsung di Taman Tasik Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Katanya, sudah lama dia menantikan saat itu. Mengapa? Jujur ujar akauntan di salah sebuah syarikat konglomerat di ibu kota itu, sebelum ini dia kurang mempercayai amalan tradisional melontar buah limau ke dalam laut atau sungai untuk mendapatkan jodoh.

“Namun, persepsi itu berubah apabila rakan saya menemui pasangan dengan cara begitu beberapa tahun lepas. Paling menarik, dia baru sahaja menimang cahaya mata pertama. Apabila saya melawatnya baru-baru ini, dia menasihatkan saya supaya melakukan perkara yang sama,” ujarnya.

Kata Pei Sin, dalam sambutan Capgome yang mempunyai amalan melontar buah ke dalam sungai, ia ibarat perkenalan dalam Facebook pada zaman dahulu.

“Kita menerima buah itu dan kemudian berkenalan,” kata Pei Sin ketika ditemui sebelum majlis bermula.

Wanita bujang itu sempat berpesan kepada generasi baharu di zaman milenium ini supaya tidak mengabaikan semua praktis dan warisan nenek moyang zaman berzaman.

“Segala perbuatan dan amalan orang dulu-dulu mesti bersebab dan demi kebaikan bersama,” ujarnya.

Kad hajat

Cerita yang sama diutarakan oleh Adam Tan. Lelaki yang berusia 34 tahun itu memberitahu, keluarganya meminta dia hadir untuk menyempurnakan tradisi yang sudah berusia berabad lamanya.

Seperti Pei Sin, Adam tidak mengendahkan amalan itu sehinggalah dia merasakan pada peringkat umurnya, dia sepatutnya sudah mendirikan rumah tangga dan memiliki zuriat.

“Saya berdoa agar tahun hadapan saya akan berkahwin, saya sudah pun menulis pada kad hajat untuk cinta dan sudah menggantungnya. Saya juga telah melayarkan kapal hajat saya di tasik. Harap-harap segala impian saya akan dimakbulkan tuhan,” katanya bersungguh.

BEREBUT-REBUT. Kaum lelaki masuk ke kolan air beramai-ramai sejurus para wanita membaling buah limau mandarin di kolam Tasik Taman Permaisuri baru-baru ini.


Merungkai semula sejarah perayaan Capgome yang merupakan hari ke-15 atau hari terakhir dalam sambutan Tahun Baru Cina. Ia merupakan satu-satunya hari untuk wanita dan lelaki bujang keluar mencari pasangan hidup.

Pada hari itu anak gadis dibenarkan berjalan-jalan keluar dari rumah ke tokong-tokong pinggir laut bagi melontar limau dengan pakaian yang paling cantik di samping berdandan dengan penuh anggun.

Tidak hanya kaum wanita, lelaki bujang yang mempunyai niat yang sama turut melakukan perkara tersebut. Mereka turut keluar beramai-ramai untuk memerhati wanita yang membuatkan mereka jatuh hati. Barangkali jika bernasib baik, mereka akan diterima dan akan mengakhirinya dengan ikatan perkahwinan.

Dalam pada itu, mengikut kepercayaan masyarakat Cina, dewa dari langit akan turun pada hari malam Capgome untuk mengikat kaki pasangan lelaki dan gadis yang serasi dengan benang merah.

Ia dikatakan adalah simbolik bahawa pasangan tertentu akan kekal bahagia dan sentiasa bersama sehingga ke akhir hayat. Sedikit masa dahulu, amalan Pesta Tanglung atau Capgome dalam dialek Hokkien memerlukan orang tengah dalam membantu dan mengaturkan perkahwinan. Namun, peralihan masa menyaksikan tradisi itu dianggap sudah kurang relevan.

Hal itu diakui oleh penganjur Festival Kasih Sayang Chap Goh Meh Kuala Lumpur 2012 yang juga pemilik Cheng Pai Events & Solutions, Dennis Loh. Pada era moden ini, beliau melihat perayaan itu sebagai salah satu pendekatan untuk memupuk semangat kasih sayang sesama masyarakat.

Dulu 350 sekarang 3,000 orang

Pada malam perayaan lalu, lebih kurang 3,000 pengunjung hadir membanjiri Taman Tasik Permaisuri. Masing-masing hadir dengan gaya tersendiri. Si teruna tampil kacak bergaya sementara, si dara melaram dengan pakaian yang dirasakan terbaik yang terdapat di gerobok masing-masing.

Meskipun acara dijadual bermula pada pukul 9 malam, orang ramai sudah memenuhi pekarangan tasik sejak pukul 6.30 petang lagi.

“Festival ini pertama kali dianjurkan pada tahun 2000 dihadiri seramai 350 orang dan meningkat dari tahun ke tahun,” kata Dennis gembira.

SEKIRANYA kaum wanita menulis pengenalan diri mereka di atas sebiji limau mandarin, kaum lelaki pula menulis di atas sebiji pisang.


Meskipun, acara dilaksanakan di sebuah kolam berhampiran dengan tasik, ia sedikit pun tidak merencatkan majlis. Lelaki diminta berkumpul di sebelah sisi kiri kolam, sementara para wanita beramai-ramai menunggu di sebelah kanan kolam.

Sebelum itu, para wanita terlebih dulu akan menulis nama dan nombor telefon di atas buah limau mandarin untuk dilontarkan ke dalam kolam.

Apa pula yang akan dilakukan oleh para lelaki? Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kaum lelaki mencari jodoh dengan menggunakan buah pisang untuk menulis pengenalan diri mereka.

Kemeriahan jelas terasa. Tidak ada wajah muram sebaliknya, ribuan tetamu hadir dengan hati yang riang.

Sebaik sahaja pengacara majlis membuat perkiraan masa, dengan penuh harapan kaum wanita tidak mengira usia melontarkan limau mandarin ke dalam kolam. Lantas, kaum lelaki dengan segera masuk ke dalam kolam dan mengutip buah secara rawak.

Ada yang mengambil hanya sebiji limau tetapi, tidak kurang juga yang mengutip sehingga memenuhi satu plastik.

Pendekatan lelaki kepada kaum wanita pula dilihat lebih praktikal. Ini kerana mereka akan masuk ke kolam beramai-ramai dan menghulurkan buah pisang kepada wanita yang diinginkan.

Dengan perasaan malu-malu, si wanita mengambil dan menyimpannya untuk tindakan seterusnya sama ada memilih atau menolak jejaka itu.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.