Berkarya Melalui Manik

July 26, 2012 by  
Filed under Uncategorized

Share |

Personaliti VIP ini cukup ramah. Senyuman manisnya pula sentiasa kekal di bibir. Dengan kurung moden dan berselendang serba biru, Datin Nor Fadzilah Laili Mohd Salji, 45, atau lebih senang dipanggil Datin Elly ini cukup teruja apabila bercerita mengenai manik.

Sememangnya Datin Elly dan manik cukup sinonim. Jahit manik bukan lagi sekadar aktiviti bagi memenuhi masa lapangnya tetapi dia juga merupakan Presiden Persatuan Peminat, Penjahit, Pemakai Sulaman Manik (PeMANIK).

Namun di sebalik hasil kerja tangannya yang mengagumkan penulis, isteri kepada Datuk Kamarulzaman Darus, 57, punya kisah tersendiri mengenai permulaan pembabitannya di dalam bidang ini.

“Pada tahun 1985, ketika saya masih bekerja, saya sering kali perlu menghadiri pelbagai majlis. Sehinggalah suatu hari saya berminat dengan sehelai baju. Dengan harga ribuan ringgit, saya rasa ia tidak berbaloi dengan hiasan manik yang begitu ringkas. Untuk menempah jahit manik ketika itu begitu mahal. Ini membuatkan saya tekad untuk belajar menjahit manik. Apabila dapat melakukan sendiri, saya rasa lebih berpuas hati.

“Dahulu saya sombong. Apabila ada yang menawarkan kelas pada harga RM350, saya rasa mahal. Saya memilih untuk ke kelas lain. Namun barulah saya tahu sebenarnya dalam menjahit manik, paling penting ialah kemahiran yang tepat.

“Sekarang pula, jahitan manik 3D yang menjadi pilihan. Saya sendiri mempelajari teknik ini melalui internet. Jika di luar negara jahitan ini telah popular tetapi mereka mengaplikasikannya untuk membuat aksesori. Namun saya mencabar diri saya sendiri untuk melakukan jahit manik 3D terus kepada pakaian. Apabila telah mahir, pelbagai rekaan boleh dilakukan,” ujarnya.

Lupa Masalah bila menjahit manik Dalam pada itu kata Datin Elly, dia tidak berkemahiran membuat lakaran. Bukan itu sahaja, jika ada pelanggan yang mahu mengikut rekaannya, dia terlebih dahulu akan meminta maaf kepadanya.

“Bagi saya cucuk sahaja manik ke jarum, ilham untuk rekaan manik tersebut datang. Saya bersyukur kerana kebanyakan pelanggan menerima hasil kerja saya dan percaya kepada kebolehan yang dimiliki. Untuk setiap jahitan, caj yang dikenakan cuma dari RM150 hingga RM1500.

“Bagaimanapun, saya kurang mengambil tempahan pelanggan kerana saya lakukan bukan untuk berniaga. Saya gemar menterjemahkan karya saya melalui busana sendiri. Saya suka berpakaian baru dan cantik, tambahan pula suami sering kali mengajak saya ke acara rasmi,” katanya yang berasal dari Klang tetapi membesar di Ipoh ini.

Selesa menggunakan jarum paling halus, jejarinya terus ligat memasukkan manik ke dalam jarum seterusnya menjahit manik di sehelai pakaian ketika sesi temu ramah berlangsung. Tuturnya melakukan aktiviti yang digemari membuatkan dia lupa akan kekangan yang dihadapi.

“Masa saya sebenarnya terhad tetapi saya memperuntukkan tiga hingga empat jam sehari untuk menjahit manik. Untuk menyiapkan jahitan manik pada sehelai pakaian, saya tetapkan sehingga dua hari sahaja.

“Menjahit manik ini memerlukan ketelitian. Untuk tujuan itu, saya mempunyai sebuah bilik khas, selain memerlukan pencahayaan yang baik agar mata tidak letih. Bagaimanapun, sebenarnya di mana-mana pun saya boleh menjahit manik.

“Sementara menunggu orang, biarpun di dalam kereta, tangan saya boleh terus menyulam manik. Pada saya, hilang segala sakit dan tekanan apabila dapat memegang jarum dan manik ini,” katanya sambil tertawa.

Datin Elly juga seorang yang tidak lokek ilmu. Dia sedia memberi tunjuk ajar kepada individu yang berminat untuk mendalami bidang ini. Ada kalanya dia tidak mengambil bayaran biarpun sesen kerana baginya itu sahaja yang boleh dilakukan dalam memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Ramai yang menjadikan aktiviti ini sebagai satu hobi. Ada di kalangan penuntut saya terdiri dari kalangan profesional seperti jurutera dan peguam.

“Saya lebih selesa mengadakan kelas secara personal. Namun begitu, saya tidak menolak jika ada yang meminta saya membimbing peserta secara berkumpulan. Sebaik-baiknya tidak melebihi 50 orang kerana bimbang mereka tidak dapat memberi tumpuan.

“Saya percaya semua orang boleh memegang jarum dan manik tetapi untuk menghasilkan jahitan yang kemas dan cantik, mereka perlu menghadiri kelas. Ini bagi mempelajari teknik sahaja kerana kreativiti itu datangnya daripada diri sendiri,”ujarnya.

Walau bagaimanapun kata Datin Elly ada juga pelajar yang tidak kreatif tetapi mereka mengikut sahaja rekaan yang sedia ada. Jadi apabila ada di kalangan mereka yang mahu meminjam pakaian untuk meniru rekaan, dia tidak keberatan.

Buat Kelas Percuma Bantu Wanita
Tambahnya modal menjahit manik ini juga tidak besar tetapi ia boleh menjana pendapatan lumayan. Oleh itu, dia menyeru kepada suri rumah untuk menambah kemahiran dalam jahitan manik ini.

Malah sebagai presiden PeMANIK, Datin Elly banyak membuat kelas percuma untuk membantu para wanita terutamanya kepada kelompok ibu tunggal.

“Hanya itu yang termampu saya bantu. Saya tidak dapat menolong mereka dengan memberi wang ringgit. Saya juga tidak pernah berasa rugi apabila memberikan kelas percuma ini. Tidak perlu saya kedekut ilmu kerana ilmu itu datang dari Allah S.W.T.

“Ini menjadikan hubungan saya bersama pelajar juga rapat. Ada di antaranya menjadi rakan baik saya selepas itu. Mereka boleh menghubungi atau bertemu saya pada bila-bila masa,” tambahnya yang juga berjaya menarik minat pelajar dari Singapura dan sejauh Amerika Syarikat.

Bermula Di Laman Facebook
Bercerita lebih lanjut mengenai PeMANIK, menurutnya yang suka berkaraoke di kala lapang, segalanya bermula melalui laman sosial Facebook. Sehingga kini terdapat lebih daripada 400 orang ahli dari seluruh Malaysia.

“Apabila saya mendaftarkan diri untuk mempelajari jahit sekuin, dari situ saya mengetahui rupanya ramai penjahit manik merupakan suri rumah dan bergerak melalui blog serta laman sosial.

“Kemudiannya kami merancang untuk bertemu dalam kelompok yang kecil. Sambil minum kopi, masing-masing membawa pakaian dan mula menjahit manik. Dari situ juga, kami saling berkongsi pengetahuan mengenai jahitan manik.

“Selepas dua pertemuan, kami merancang untuk menubuhkan persatuan. Bermula dengan kertas kerja, akhirnya pada Mac 2011, PeMANIK berjaya direalisasikan. Melalui persatuan ini banyak aktiviti yang dilakukan demi kebaikan kepada para ahli. Hanya dengan RM30 setahun, ahli mendapat kelas percuma dan berkongsi panduan bersama pencipta rekaan manik,” katanya yang mendapat undangan untuk melakukan pameran di Australia ini.

Jangan Abai Pakaian Sendiri

Digelar ”Queen of 3D”, ujarnya di dalam PeMANIK para ahli sering kali melakukan perjumpaan. Bagaimanapun mereka punya cara sendiri untuk meraikan sesama ahli.

“Kebanyakan pemanik menerima tempahan hingga mengabaikan pakaian sendiri. Namun begitu, untuk ahli-ahli, saya galakkan mereka hadir ke perjumpaan dengan menggayakan pakaian yang siap dijahit manik oleh mereka dengan menganjurkan pertandingan. Mereka yang hadir dengan rekaan tercantik akan memenangi pertandingan tersebut. Seronok melihatkan ahli PeMANIK tampil cantik.

“Untuk Ramadan ini, tiada aktiviti yang dapat dilakukan kerana masing-masing sibuk menyiapkan tempahan. Insya-Allah selepas Aidilfitri kelak kami merancang untuk melakukan pertemuan,” katanya yang bakal menghasilkan buku mengenai jahitan manik ini.

Di usia 45 tahun, Datin Elly masih kekal jelita. Tiada sebarang kedut di wajahnya seiring dengan peningkatan usia. Juga tidak lokek berkongsi rahsia, menurut ibu kepada Khairul Zaman, 24, Kamalia Zaman, 22, Khairul Zaman, 15 dan Khairun Zaman, 11 tahun ini mengamalkan pemakanan seimbang.

“Saya lakukan senaman untuk kesihatan tubuh. Suami akan menegur jika berlaku perubahan bentuk badan. Jadi, saya sentiasa memastikan berat badan tidak naik. Lazimnya saya mengambil oat dalam sajian makan dan menolak makanan segera. Untuk makan malam, saya pastikan kami sekeluarga makan sekitar jam enam hingga tujuh.

“Saya juga meminum banyak air kosong. Jika sebelum ini saya ketagih kopi tetapi sekarang saya memilih untuk meminum jus buah-buahan. Bukan itu sahaja, saya juga mengamalkan urutan. Sekali seminggu. Hasilnya peredaran darah lebih lancar dan tubuh berasa segar.

“Bukan sahaja saya tetapi suami pun turut sama memilih makan sihat. Secara tidak langsung, seisi keluarga mengikut saya berdiet. Tentunya menu di kala bersahur ini, saya cuma mengambil biskut, oat dan kurma sahaja, manakala berbuka dengan juadah yang tidak terlalu berat. Kami sekeluarga juga jarang berbuka di luar kerana saya sendiri cerewet dengan kebersihan penyediaan hidangan dan lebih selesa memasak sendiri,” katanya yang berulang alik ke Pulau Pinang pada hujung minggu sepanjang Ramadan ini untuk berbuka puasa bersama anak keduanya.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.