Belia perlu berani dan yakin menganjur aktiviti bermanfaat
MAMBAU, 24 Jun – Red FC dari Taman Kelab Tuanku menjuarai kejohanan bola sepak 9 sebelah peringkat DUN Rantau 2012 dan membawa hadiah kemenangan sebanyak RM1,000 beserta jersi dan plak.
Naib johan membawa pulang RM750, jersi dan juga plak dmenangi Libas Otai FC. Tempat ketiga dan keempat, Warisan Putera dan Gadong Jaya masing-masing membawa pulang RM400.
Perlawanan ini dianjurkan oleh Persatuan Belia Warisan Putera dengan kerjasama Pergerakan Pemuda Cawangan Wawasan Taman Kelab Tuanku, Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Taman Kelab Tuanku dan Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Mambau.
Turut mendapat perhatian ialah bakat muda bagi kategori bawah 12 tahun, antara Mambau FC menentang Warisan Putera.
Bertemakan ‘Hidup Toleransi dan Saling Hormat Menghormati, Keharmonian dan Perpaduan dikecapai’ mencapai objektif apabila sebanyak 24 buah pasukan sekitar DUN kawasan Rantau menyertainya.
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar merangkap ADUN Rantau sempat meluangkan masa sekejap menyaksikan perlawanan beberapa pasukan yang diadakan di padang SMK Mambau.
Kehadiran beliau sebagai tanda sokongan tidak berbelah bagi kepada sukan bola sepak yang dapat menyatukan semua orang.
Ujarnya ketika berucap ringkas, “bertepatan dengan tema penganjuran kali ini, ianya mendidik pemain agar lebih berdisiplin dan mempunyai daya juang yang tinggi serta menghormati apa yang diadili oleh pengadil ketika perlawanan.
“Disiplin ini boleh diterapkan di dalam kehidupan seharian untuk menjadi lebih berjaya lagi.” Ujar beliau.
Beliau turut menggalakkan belia DUN Rantau agar berani melakukan apa sahaja aktiviti yang mendatangkan manfaat, dan apa yang penting ialah jujur, rajin berusaha dan amanah.
Turut menyaksikan kejohanan ini ialah Dato’ Mohd Najeeb Abdullah, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rasah.












































