Badminton Dan Sekolah Beri Kegembiraan Buat Datin Hamisah

January 28, 2012 by  
Filed under Wanita

Share |

Bidang perguruan dan politik ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan dalam diri personaliti minggu ini. Kenangan cukup manis dalam dunia politik apabila dilantik sebagai Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Chenderoh.

Lebih bermakna lagi, beliau merupakan antara individu pertama yang dilantik ketika Puteri Umno ditubuhkan ketika itu. Selain itu beliau turut dipertanggungjawabkan sebagai Naib Ketua Puteri Umno (penaja) Bahagian Lenggong.

Nanum jodohnya dalam bidang politik tidak kekal lama apabila beliau mengambil keputusan untuk bersara demi memberi tumpuan kepada anak-anakyang ketika itu masih kecil.

Pun begitu kerjaya sebagai guru masih diteruskan. Demi kecintaan dalam membantu anak bangsa, Datin Hamisah Hussin 43 meneruskan kerjaya tersebut sehingga kini sudah 20 tahun lamanya dalam bidang perguruan.

“ Waktu aktif dalam bidang politik, saya sudah pun bergelar guru. Walaupun orang lain mungkin berpendapat kerjaya guru tidak sesuai untuk aktif dalam politik, namun saya tidak setuju.

“Pada saya, tidak salah untuk seseorang guru aktif dalam politik kerana ia mendekatkan lagi diri dengan masyarakat. Cuma yang menyebabkan orang salah tafsir adalah silap menguruskan masa. Ia menyebabkan orang memandang serong pada guru yang aktif dalam politik,” ujar Datin Hamisah. Sambungnya selepas suami memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Chenderoh (sekarang Padang Rengas ) beliau turut sama aktif dan dilantik sebagai Naib Ketua Puteri Umno ketika itu.

“Namun, selepas melihat kesibukan suami menyebabkan saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan. Bagi suami isteri saya tidak boleh sama-sama berpolitik. Kalau dua-dua sibuk, siapa yang akan memberi tumpuan kepada anak-anak.

“Bukan tidak sayang untuk meninggalkan bidang yang sudah saya minat sejak dulu lagi. Saya mula aktif dalam politik sewaktu anak sulung berusia tiga tahun. Tetapi saya harus berkorban antara politik mahupun keluarga.

“Saya memilih keluarga kerana ini keutamaan dalam segala hal. Lagipun ketika itu tiga anak-anak saya sedang membesar dan memerlukan perhatian,” kata ibu kepada Ainaa”” Hazirah 18, Shamsul Nadjmi 10, dan Shamsul Hakimi, 7 ini.

Anak Ikut Jejak
Gemar memasak suami, keluarga selain menjamu rakan-rakan, isteri kesayangan Dato’ Shamsul Anuar Bin Nasarah, Ahli Parlimen Lenggong ini juga suka bermain badminton. Bahkan, dua orang anaknya sudah menampakkan minat untuk mengikut jejak langkahya dalam sukan badminton.

“Sukan badminton mula menjadi minat saya. Kalau diikutkan saiz badan, dulunya kecil dan rendah sahaja. Mungkin ada yang tidak sangka saya boleh aktif dalam sukan ini. Setiap tahun saya mewakili Baiduri Perak dan PSKPP Hulu Perak dalam acara badminton.

“Paling manis sewaktu pertama kali menyertai pertandingan pada tahun 2009, saya mendapat tempat ketiga bagi Piala Perdana. Setahun selepas itu, saya merangkul Naib Johan. Cuma nasib tidak menyebelahi pada tahun lepas kerana hanya mampu menduduki tempat keempat. Waktu itu, saya dan beberapa peserta lain terkena keracunan makanan sewaktu menyertai pertandingan yang berlangsung di Terengganu,” ceritanya sambil menambah anak keduanya turut aktif bermain badminton. Malah setiap dua kali seminggu Datin Hamisah menemaninya berlatih dengan jurulatih yang disediakan.

“Walaupun terpaksa menghantar dan menjemputnya pulang dari latihan, namun saya tidak kisah. Janji anak-anak saya minat dalam aktiviti tersebut. Kadang-kadang, saya turut sama turun padang bermain ketika anak tengah berlatih,” ungkapnya lagi.

Kembali Sibuk
Sibuk dengan persatuan dan juga kerjaya sebagai guru, namun anak-anak tidak diabaikan. Dalam pada itu beliau juga tidak menjauhkan diri dengan tanggungjawab sebagai isteri kepada seorang wakil rakyat.

Akui guru yang mengajar subjek Matematik ini juga, biarpun sudah bersara dari bidang politik, namun dia masih aktif terutama dalam kegiatan amal dan persatuan.

“Sejak dulu lagi saya amat meminati bidang politik selain bidang perguruan. Selepas meninggalkannya saya masih ingin menaburkan khidmat bakti kepada masyarakat. Kerana itu, menyibukkan diri dengan kegiatan amal dan persatuan.

“Kalau diikutkan dulu saya berhenti dari politik kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga. Tidak sangka, selepas aktif dalam persatuan jadual saya kembali sibuk seperti dahulu. Mujurlah anak-anak tidak kisah. Mungkin mereka faham dengan minat saya sejak dahulu lagi,” kata yang akan melancong bersama keluarga jika berkelapangan.

“Saya tidak kisah soal tempat untuk bercuti, asalkan saya dan suami meluangkan masa bercuti dengan anak-anak. Dalam negara sudah memadai bagi saya apatah lagi suami suka bercuti ke Pulau Langkawi manakala anak anak tidak kisah asalkan dapat bersama kami,” ulas Datin Hamisah yang menggunakan pendekatan mengajar di sekolah untuk mendidik anak anaknya di rumah.

Teman Sehati Sejiwa
Ditanya kenangan paling manis bergelar pendidik, bagi Datin Hamisah yang juga Setiausaha Semai Bakti dan Pengerusi Pusat Dalam Komuniti (PDK) Daerah Hulu Perak. tiada yang lebih manis dan membahagiakan bagi seorang guru apabila mengetahui anak didiknya mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Malah, beliau bersyukur kerana ada antara pelajarnya yang sehingga kini masih berhubung dan menziarahinya biarpun sudah berkahwin dan memiliki anak.

“Sejak dahulu lagi saya sudah cakap pada suami, dua perkara yang menjadi keseronokan kepada saya selain badminton adalah sekolah. Mujurlah suami begitu menyokong dan tidak pernah menghalang untuk saya aktif dalam kedua-dua bidang ini.

“Malah saya bersyukur kerana dikurniakan teman sehati sejiwa’ yang bukan sahaja berkongsi hidup tetapi juga berkongsi minat yang sama iaitu aktif dalam persatuan dan politik. Saya bukan seorang yang suka duduk diam tanpa melakukan apa-apa kerja.

“Kalau diikutkan penat, memanglah penat tetapi keseronokan mengajar membolehkan saya bertahan sehingga kini. Impian saya selepas bersara kelak, saya teringin membuka sebuah rumah anak-anak yatim khususnya untuk anak-anak yang pintar dan mempunyai potensi tetapi peluang pendidikan kurang.

“Justeru, saya mahu membuka peluang kepada anak-anak ini untuk majukan diri sekali gus mencapai kejayaan. Itulah impian yang saya ingin saya lakukan bersama-sama suami andai ada peluang kelak,” kata Datin Hamisah sebelum mengakhiri.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.