Azam Aznalna

January 2, 2013 by  
Filed under Hiburan

Share |

Peroleh hikmah di sebalik kontroversi tahun lalu, mahu buktikan diri bukan pelakon tempelan.

Anzalna Anzalna

Biarpun tidak pernah merelakan diri terpalit dalam kontroversi, pelakon Anzalna Nazir nampak hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Tentu ramai masih ingat, pelakon jelita ini yang memiliki darah campuran iaitu Cina daripada sebelah ayah dan ibu berketurunan Punjabi, dihambat isu kontroversi pertengahan tahun lalu.

Ketika itu, kisahnya bertelagah bersama dua aktres muda lain iaitu Neelofa dan Tasha Shila menghiasi dada akhbar. Namun, kesan daripada kontroversi itu, nama Anzalna terus melonjak walaupun bakat lakonannya belum cukup teruji.

Sejak peristiwa itu, tawaran lakonan yang datang kepada Anzalna bagai tak menang tangan.

Lebih beruntung, gadis yang fasih berbahasa Perancis itu turut ditawarkan watak utama dalam filem pertamanya, Sepah The Movie.

“Dari awal lagi saya sudah berjanji dengan diri sendiri, saya menceburi bidang seni ini untuk menjual bakat bukan mencari kontroversi.

“Jika boleh, sedaya upaya saya akan elak daripada mencari masalah. Namun, sebagai manusia biasa saya tidak berjaya mengawalnya,” katanya yang tetap bersyukur kerana mempelajari sesuatu yang berharga dalam hidupnya, tahun lalu.

Anzalna tidak menolak hikmah di sebalik apa yang berlaku, namanya menjadi hangat sehingga ramai produser menawarkan dirinya berlakon dalam filem dan drama.

“Memang saya akui kontroversi melonjakkan artis. Namun, saya terjebak dengan isu ini bukan kerana disengajakan atau sengaja mencari kontroversi. Hanya satu yang saya saya pegang iaitu sentiasa percaya kepada Allah. Ini kerana setiap musibah atau fitnah itu akan dibalas dengan nikmatNya,” katanya.

Anzalna memberitahu, dia tidak pernah menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku.

“Dalam kehidupan, tiada perkara yang berlalu dengan senang kerana perlu ada liku yang harus kita tempuhi. Inilah liku yang saya harus lalui.

“Saya juga tidak mahu ingat kembali isu lalu sebaliknya sentiasa berfikiran positif. Masalah jika difikirkan boleh memudaratkan kita, setiap benda yang sudah berlaku biasanya saya akan buang ke tepi dan mula dengan kehidupan baru” kata gadis yang menginjak usia 25 tahun pada 9 Januari ini.

Tolak dakwaan aktres ‘kayu’

Pada awal pembabitan dalam dunia penuh glamor ini, Anzalna tidak terlepas dikritik sebagai pelakon ‘kayu’ kerana tidak menunjukkan jiwa ketika beraksi.

“Memang saya sangat malu apabila lakonan saya ditegur seperti kayu. Pada awal kemunculan saya di televisyen, saya tidak berani menontonnya kerana terlalu malu. Namun perasaan itu saya lawan demi untuk memperbaiki kelemahan saya.

“Sekarang, alhamdulillah sedikit sebanyak saya mampu atasi dengan bantuan pelakon senior seperti Adi Putra, Aaron Aziz dan Bront Palare,” katanya.

Anzalna berkata, dia tahu dirinya diperhatikan selepas kontroversi tahun lalu.

“Saya tahu selepas isu itu, masyarakat akan mula melihat gerak-geri kita. Sama ada saya menceburi bidang lakonan ini untuk menjual bakat atau menjaja cerita kontroversi.

“Namun, alhamdulillah, beberapa drama lakonan saya mendapat maklum balas positif malah ia disebut-sebut masyarakat,” katanya.

Enter Google AdSense Code Here

Comments are closed.