Exco Negeri Sembilan diberi tempoh sebulan isytihar harta
May 23, 2013 by admin
Filed under Program Parti
Comments Off

Mohamad Hasan
SEREMBAN – Semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Exco) yang bAru dilantik hari ini diberi tempoh sebulan untuk mengisytiharkan harta mereka.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata mereka semua termasuk dirinya juga perlu keluar daripada sebarang kepentingan atau jawatan dalam perniagaan jika memilikinya sebelum ini.
“Perisytiharan harta ini mesti dibuat terhadap semua yang ada, kita isytihar sahajalah.
Nanti senang masa-masa depan orang tidak boleh kata sebab kita memang sudah ada (harta) pun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Exco Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Beliau berkata semua Exco juga diberi tempoh dua bulan untuk menyediakan perancangan strategik berkenaan portfolio masing-masing sebelum dibentang untuk tindakan lanjut.
Katanya perancangan strategik portfolio itu bertujuan untuk memastikan setiap exco dapat menjalankan gerak kerja segera dalam mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri.
Ditanya sama ada beliau akan membuat penilaian prestasi Exco-Exco selepas dua tahun, Mohamad berkata kali ini pendekatan lebih tegas akan diambil iaitu mana-mana anggota Exco yang tidak mencapai prestasi akan terus dipecat.
Beliau berkata anggota Exco terbabit juga perlu menjaga keperibadian dan tidak melakukan sebarang perkara yang mencemarkan imej kerajaan negeri.
Pada sidang akhbar itu Mohamad berkata 14 portfolio diwujudkan bagi meneruskan dasar-dasar kerajaan negeri sebelum ini dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau sendiri selaku Menteri Besar memegang empat portfolio iaitu Kewangan dan Tanah; Hal Ehwal Agama Islam; Keselamatan dan Penerangan; dan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Luar Bandar.
Portfolio lain iaitu Pertanian dan Industri Asas Tani dipegang oleh Datuk Hasim Rusdi; Perpaduan dan Integrasi Nasional (Datuk Ismail Lasim); Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga (Datuk Norhayati Omar); Pendidikan dan Kesihatan (Datuk Shamsulkahar Mohd Deli); dan Modal Insan, Belia dan Sukan (Datuk Zaifulbahri Idris); Portfolio Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Datuk Jalaludin Alias); Sumber Manusia, Peladangan dan Kampung Baru (L.Manickam); Pelancongan dan Kepenggunaan (Tun Hairudin Abu Bakar); Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu (Abd Razak Ab Said); dan Kemudahan Awam dan Alam Sekitar (Abu Ubaidah Redza).
Dalam pada itu, beliau berkata persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi melantik Speaker dan angkat sumpah semua anggota dewan ditetapkan pada 17 Jun.
Tarikh perasmian sidang Dun bagi penggal ini pula dijangka pada 23 Sept, bergantung kepada jadual Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir manakala 22 Nov pula ditetapkan sebagai tarikh sidang Dun untuk pembentangan Belanjawan 2014. – Bernama
MAINS teruskan usaha lonjak kecemerlangan pendidikan ke peringkat tertinggi
May 22, 2013 by admin
Filed under Ruang Bicara Agama
Comments Off
SEREMBAN 21 Mei – Usaha menggalakkan kecemerlangan bidang pendidikan di negeri ini terus dilakukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) apabila 38 pelajar tajaannya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) sejak tahun lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan adalah menjadi hasrat kerajaan negeri bagi memastikan kesemua pelajar cemerlang tajaannya dapat menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi apatah lagi dalam bidang perubatan dan juga pengajian am.
”Kita mahu supaya kecemerlangan mereka dalam bidang pengajian ini tidak hanya terhenti setakat sarjana muda sahaja akan tetapi diteruskan ke tahap sarjana dan PhD.
”Daripada 38 orang pelajar itu, seorang pelajar dari negeri ini menyambung pengajian ke peringkat sarjana di Maghribi manakala tiga pula di Universiti Al Azhar. Tetapi ada juga yang melanjutkan pengajian mereka di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Permata Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd. Said (SHAMS) dekat sini semalam.
Beliau yang juga Menteri Besar memberitahu, ilmu yang ada dalam kalangan pelajar ini amat diperlukan dalam menghurai apa juga permasalahan berkaitan isu-isu agama pada masa depan yang lebih kompleks.
”Tahun lalu sahaja ada 17 orang dalam bidang perubatan dan 35 orang bidang pengajian am ini telah ditempatkan di bawah Sekretariat Pelajar Timur Tengah yang mana mereka ini ditempatkan di beberapa buah jabatan kerajaan.
”Mereka juga diberikan elaun sebanyak RM1,000 sebulan kerana kita tidak mahu mereka ini terbiar dan akhirnya menjadi penceramah bebas yang kemudiannya menghentam kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad juga turut menjelaskan, pelajar baru yang bakal meyambung pengajian mereka di beberapa buah negara meliputi Mesir, Jordan dan Maghribi telahpun ditemuduga dan akan menerima surat tawaran tidak lama lagi.
ADUN Klawang tumpu kemudahan asas
Kemudahan infrastruktur jalan raya selain bekalan air dan elektrik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang antara perkara yang akan diberikan tumpuan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat berkata, biarpun jaringan jalan raya sedang diperhebatkan kerajaan negeri dan Persekutuan, namun aspek penyelengaraan perlu diberikan perhatian berterusan.
Malah kata beliau, pihaknya juga berharap agar Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat segera menyiapkan projek pembinaan jalan raya termasuk di kawasan Kilometer 17 Jalan Seremban – Kuala Klawang dekat sini.
”Saya dimaklumkan kerja ini sedang dilakukan JKR dan harapan kita ia disegerakan kerana lokasi tersebut adalah kawasan kemalangan jalan raya dan pernah meragut nyawa.
”Kita berharap, pengguna jalan raya berhati-hati apabila melalui kawasan terbabit terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah yang akan bermula hujung bulan ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengenai bekalan air pula, Yunus memberitahu, masalah tersebut akan dapat diselesaikan secara berperingkat-peringkat selepas Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) mempertingkatkan bekalan dan penyaluran air kepada penduduk.
”Tentulah masalah tekanan air rendah ini menjadi perhatian kerajaan dan semuanya sedang diuruskan. Apabila siap loji, kita percaya perkara ini akan dapat diatasi sepenuhnya,” ujarnya.
Selain itu, kata Yunus, bekalan elektrik di kawasan pedalaman juga sudah diselesaikan dan adalah diharapkan agar pemimpin akar umbi dapat melaporkan kepada beliau, kawasan yang masih berhadapan dengan masalah tersebut.
”Segera salurkan maklumat dan kita minta semua pihak Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk bersama-sama memantau perkembangan ini untuk diselesaikan,” katanya.












